Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Saturday, 1 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 10


Bab  10
  


SALMIHA HAINI mengemas beberapa helai pakaiannya. Dia harus bersemuka dengan Pak Langnya. Dia tidak boleh menangguhkan lagi pertemuan ini. Dia harus lontarkan apa yang terbuku di hatinya. Permintaan dan hasrat Pak Langnya, tidak akan sama sekali dituruti. Dia punya matlamat hidup. Dan dia juga punya impian. Oleh itu dia tidak mahu impian dan matlamatnya musnah akibat menjadi pak turut.
Semuanya harus diselesaikan hari ini juga. Itu tekadnya. Selepas ini dia akan sibuk dan tidak punya masa untuk berbincang kerana sudah bekerja. Myvi miliknya dipandu laju membelah tengah hari. Panggilan telefon yang diterimanya lewat jam satu petang tadi, membuatkan dia berada di Lebuh Raya Utara Selatan.
Keretanya kini betul-betul berada di hadapan pagar rumah Pak Lang Yusof di Bangi. Loceng pagar ditekan berulang kali. Naik kematu jari telunjuknya menekan, barulah terhegeh-hegeh pembantu rumah Pak Langnya keluar.
“Bik..., tuan ada?”
Ngak ada Salmiha. Tuan ke airport. Ada urusan di luar negara bilangnya.”
Aik... bukan ke pukul satu tadi, lelaki itu baru menelefonnya? Yang menjadikan dia naik geram dan hendak meroyan, majlis pertunangannya diadakan serentak dengan majlis pernikahan. Macam mana dia tak jadi gila?!
“Dia pergi ke mana Bik dan bila waktu penerbangannya?”
“Katanya ke Abu Dhabi. Waktunya Bik ngak ingat.”
“Kalau begitu tak apalah Bik, saya pergi dulu.” Salmiha Haini mula bengang.
“Sekejap Salmiha, ada benda yang tuan minta serahkan pada Salmiha.” Terkocoh-kocoh Bik Murni masuk ke dalam rumah. Tidak lama kenudian dia keluar bersama sampul surat berwarna coklat.
Salmiha Haini menyambut sampul surat tersebut bersama kerutan di dahi.
“Apa ni Bik Murni?”
Bik Murni jungkit bahu tanda tidak tahu.
“Tuan cuma pesan, serahkan pada Salmiha jika Salmiha datang ke rumah.”
“Terima kasih Bik,” ujar Salmiha Haini sebelum berlalu. Tiada rasa dia hendak melihat apa yang tergandung dalam sampul surat itu. Apa yang dia tahu, Pak Lang Yusofnya harus dijejaki segera. Salmiha Haini segera memandu laju Myvi putih kesayangannya.
Terngiang-ngiang lagi di telinga Salmiha Haini akan perbualannya dengan Pak Lang Yusof...
“Assalamulaikum Pak Lang. Pak Lang sihat?” Tanya Salmiha Haini lembut pabila nama Pak Langnya tertera di skrin telefon bimbit.
“Aku sihat. Aku cuma nak bagi tahu kau, aku dah terima lamaran Dato’ Bahar untuk anak lelakinya Irfan,” ujar Pak Lang Yusofnya tegas.
Salmiha Haini yang ketika itu sedang menggoreng ikan, terasa hendak pitam mendengarnya. Segera api dapur gas ditutupnya.
“Tapi kenapa Pak Lang tak tanya saya dulu? Saya yang nak dikahwinkan, jadi saya ada hak untuk tahu,” bentak Salmiha Haini tanpa sedar.
“Aku dah telefon dan bagi tahu kau beberapa hari yang lepas, kau dah lupa?” Suara Pak Lang Yusofnya mula meninggi.
“Tapi saya tak beri apa-apa keputusan lagi.” Salmiha Haini masih membantah.
“Itu aku tak mahu tahu. Apa yang aku tahu... lagi lima minggu kau mesti balik, sebab majlis tunang dan nikah akan diadakan serentak. Minggu depan juga kau kena balik sebab nak uruskan prosedur nikah kahwin.”
Mendengar perkhabaran itu Salmiha Haini sudah terduduk. Menangis.
“Ingat... kau mesti balik dan jangan cuba-cuba hendak memalukan aku. Jika kau lari atau buat hal, aku akan pastikan engkau menyesal seumur hidup,” ugut Pak Lang Yusofnya. Setelah itu panggilan diputuskan.
Mengimbau kembali kata-kata Pak Langnya, air mata Salmiha Haini merembes laju hingga menghalang pemanduannya. Selepas memarkir keretanya, dia bergegas ke balai berlepas. Dia harus mencari Pak Langnya dengan segera.
Mana Pak Lang ni? Gumam Salmiha Haini. Puas dia mencari namun bayang Pak Lang Yusofnya tidak kelihatan. Teringatkan Rafeah, dia segera menghubungi sepupunya itu. Namun panggilannya hanya masuk ke dalam peti simpanan suara.
“Helo... Bik, Rafeah ada?” Tanya Salmiha Haini ketika menghubungi kediaman Pak Lang Yusofnya. Rafeah merupakan anak tunggal Pak Lang Yusof dan arwah Mak Langnya.
“Dia ikut tuan sekali,” terang Bik Murni.
Salmiha Haini rasakan hendak hantuk kepalanya ke dinding. Dia benar-benar geram dan berang sekarang ini. Mujur Pak Langnya tidak ada di depan mata. Jika tidak tentu patah riuk tubuh lelaki itu dikerjakannya. Sesuka hati orang tua itu aje hendak menjadi match maker.
Jam sudah menunjukkan ke angka lapan malam. Batang hidung Pak Lang Yusof dan Rafeah langsung tidak kelihatan. Adakah Pak Langnya sudah pergi? Dan dia terlepas peluang untuk mempertahankan haknya? Air matanya semakin lebat merembes. Dia sudah tidak hiraukan lagi banyak mata yang memandang. Apa yang dia tahu, dia harus lepaskan semua yang terbeban dalam jiwanya.
Sungguh... dia benar-benar tidak mengerti kenapa Pak Lang Yusofnya begitu membenci dirinya. Apa silapnya dan apakah dosanya, dia sendiri tidak tahu. Walhal dijaga tutur kata agar tidak menggores hati sesiapa dan sentiasa skema. Lidahnya acap kali dididik supaya tidak melantunkan bicara yang bisa menyengatkan halwa telinga sesiapa yang mendengarnya. Bahkan dikawal diri daripada melakukan sesuatu di luar batasan agar tidak mendatangkan aib kepada keluarganya. Bimbang dicanang dan dijaja dek orang akan tingkah laku buruknya. Pastinya nama arwah mama dan papanya terpalit jua, sedangkan mereka berdua sudah tiada lagi untuk mengiringi rentak perjalanan hidupnya di dunia ini. 
Salmiha Haini melangkah longlai. Air matanya masih lagi mengalir laju. Tanpa rasa malu dan segan, air mata dan hingus yang mengalir dikesat menggunakan hujung t-shirtnya. Jiwanya benar-benar kosong. Dia kebuntuan. Haruskah dia ikut kemahuan Pak Langnya dan biarkan hidupnya dalam penjara derita? Buatnya lelaki yang bakal dia nikahi itu kaki botol dan kaki perempuan, alangkah malang hidupnya. Andainya lelaki itu kaki judi dan kaki pukul, tidakkah makin bertimpa-timpa perit hidupnya. Perlukah dia melarikan diri sejauh yang mungkin atau bersembunyi? Tapi dia takut. Ancaman Pak Lang Yusofnya tidak boleh dipandang remeh. Bapa saudaranya itu mampu membuatkan hidupnya jadi lebih huru-hara nanti.
Salmiha Haini mengelamun jauh memikirkan nasib diri...
Pada siapa nak aku merayu? Pada siapa nak kukhabarkan bebanan di jiwa ini? Adakah insan yang sudi mendengar keluh-kesah hatiku ini? Alangkah bagusnya jika saat ini ada orang yang sudi memujuk hatiku yang walang ini. Oh... TUHAN! Hantarlah pemilik tulang rusukku yang sebenarnya secepat mungkin, rintih Salmiha Haini.
“Aduh!” Desis Salmiha Haini. Akibat melayan perasaan sedihnya tanpa sedar tubuh seseorang dilanggarnya.
“Maafkan saya encik, saya benar-benar tak sengaja,” pinta Salmiha Haini dengan perasaan bersalah yang menggunung tinggi. Wajah orang yang dilanggarnya dipandang seketika.
“Tak mengapa,” ujar lelaki itu bersama senyuman.
Setelah memohon maaf sekali lagi, Salmiha Haini berlalu pergi. Dia ingin mencari tempat yang sesuai untuk merehatkan mindanya. Salmiha Haini berjalan pantas menuju ke sebatang tiang. Dia berselindung situ. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum dihembus keluar. Dia harus menenangkan dirinya. Dia harus fikirkan apakah tindakan yang akan dia ambil selepas ini. Menangis air mata darah sekalipun sekarang ini, tidak ada gunanya. Orang yang sepatutnya dia hamburkan kemarahannya tiada di depan mata. Jadi tiada gunanya dia melempiaskan apa yang terbuku di hatinya ketika ini. Wajahnya diraup berulang kali sambil beristighfar. Mohon supaya ALLAH berikan jalan untuknya.


SHAHRUL HAIRI bagaikan tidak percaya dengan apa yang terhidang di depan mata. Tidak sampai seminggu mereka berpisah, kini wajah itu kembali muncul di hadapan matanya. Tapi kenapa wajah itu bersedih? Mungkinkah si dia dibelenggu masalah putus cinta atau cinta terhalang? Gadis itu seolah-olah sedang mencari seseorang di balai berlepas. Tapi siapa? Pakwe dia cabut lari agaknya, fikir Shahrul Hairi. Tiba-tiba hatinya menjadi perit.
Mata Shahrul Hairi masih tidak lepas memandang Salmiha Haini. Masih tertanya-tanya kenapa Salmiha Haini jadi sebegitu. Apalah yang ditangiskannya ya?
 “Kau pandang siapa?” Tanya Max sambil menepuk bahu temannya.
“Takde sesiapalah,” pintas Shahrul Hairi. Namun matanya langsung tidak beralih dari memandang Salmiha Haini.
Shahrul Hairi masih memikirkan kenapa Salmiha Haini bermuram durja. Adakah sesuatu yang tidak baik telah menimpa dirinya? Terlanjur barangkali. Mungkin tadi dia sedang mencari lelaki yang telah memusnahkan hidupnya. Lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatan kejinya.
Jantan itu pun satu hal. Sudah jahanamkan anak dara orang, tak nak bertanggungjawab. Main blah macam itu aje! Gerutu Shahrul Hairi.
Tapi... tak mungkin! Salmiha Haini tidak mungkin melakukan perbuatan yang terkutuk dan keji. Dia yakin tentang itu. Gadis itu kelihatannya seperti gadis baik-baik sahaja. Tapi mengapa dia berada di sini dalam keadaan emosi yang sangat teruk? Persoalan itu masih terus berlegar-legar di mindanya.
Max memandang pelik perlakuan teman baiknya. Apa yang sedang membebankan sahabatnya itu? Tadi elok aje.
Hey... kenapa muka kau nampak tegang? Kau tak sihat?” Max menunjukkan keprihatinannya. Dia ingin tahu apa yang menyebabkan Shahrul Hairi kelihatan tidak tenang seperti selalu. Seolah-olah ada yang memberat di fikirannya.
“Aku okey!” Luah Shahrul Hairi sambil meraup wajahnya berulang kali.
Dia harus membuang syak wasangka yang mula bersarang di hatinya. Dia perlu melontarkan prasangkanya yang tidak elok itu sejauh yang mungkin. Tidak baik dia bersangka buruk. Kesahihan cerita rekaannya belum lagi terbukti kebenarannya. Lagipun berdosa besar jika dia cuba mencambahkan benih-benih fitnah dan curiga dalam hatinya.
Whats up friend?” Tanya Max lagi. Risau  dia  melihat  keadaan  rakan  sekerjanya itu. Shahrul Hairi sekarang ini bukan seperti Shahrul Hairi yang dia lihat sebelum-sebelumnya. Lelaki itu biasanya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum melakukan penerbangan. Ratusan nyawa berada dalam tanggungjawabnya. Dia bimbang andai Shahrul Hairi gagal mengawal emosinya.
Hesy... dia ni! Macam aku tak faham ayat Bahasa Melayu sampai nak kena cakap BI. Bukan ke dok pi dok mai, tang tu jugak persoalan yang ingin dia ketahui.
“Aku tak ada apa-apalah. Kau jangan bimbang,” jelas Shahrul Hairi sambil menepuk bahu sahabatnya berulang kali, semata-mata ingin menunjukkan yang dirinya benar-benar okey.
Matanya kembali mencari figura Salmiha Haini. Gadis itu kelihatannya sedang bercakap-cakap dengan seseorang di talian. Dan si dia juga masih lagi dihambat kepiluan. Air mata Salmiha Haini masih tetap mengalir. Ingin rasanya dia merangkul gadis itu ke dalam pelukan, memujuk. Namun dia tahu, itu terlalu mustahil. Hendak bersalaman pun gadis itu enggan, inikan pula memeluknya. Ada karang penyepak naik ke muka!
“Hai... Max! Hai... Rie!” Sapa satu suara dengan manja sekali.
Uwekk! Hendak loya Shahrul Hairi mendengarnya. Kenapalah dalam banyak-banyak stewardess, perempuan yang bernama Darlina ini jugak yang selalu bekerja sepasukan dengannya? Mujurlah dia berkhidmat hanya untuk beberapa bulan sahaja lagi. Buatnya sampai pencen? Mahu parah!
“Hai... Dar! You buat apa kat sini? Mana krew-krew cabin yang lain?” Soal Max, sekadar mahu mengambil hati.
“Manalah I tahu! Bukannya I jaga dia orang pun!” Sinis sekali jawapan yang diberikan oleh Darlina.
Berwajahkan Pan Asian, Darlina rasakan dirinya terlalu hebat dan cantik. Manakan tidak, dia sering menjadi perhatian penumpang-penumpang di dalam pesawat terutamanya si mata keranjang.
Naik menyampah pula Shahrul Hairi melihat kesombongan dan keangkuhan perempuan yang bernama Darlina itu. Macamlah bagus sangat! Jika setakat bersandarkan kecantikan sahaja itu belum mencukupi. Alangkah bagusnya jika kecantikannya itu diserikan lagi dengan budi pekerti yang mulia.
“Rie... jom kita pergi minum,” ajak Darlina manja. Wajah Shahrul Hairi direnung dengan penuh mengharap. Darlina merasa sangat hairan. Kenapa lelaki bernama Shahrul Hairi bin Tan Sri Sharman ini terlalu sukar untuk dihampiri dan terlalu payah hendak didekati. Kalau lelaki lain, pantang dipelawa, terus aje bersetuju. Malahan ada juga yang datang merayu dan memujuknya walaupun dia menolak.
Sorry Darlina, saya tak berapa sihat. Mungkin lain kali kita minum bersama.” Shahrul Hairi menolak secara lembut dan halus. Dia bimbang andai dia menolak secara kasar, Darlina menjadi berang. Perempuan seperti Darlina pasti akan membuat dirinya jadi gila. Daripada dia menjadi mangsa kerakusan Darlina, lebih baik dia mencari helah untuk menghindari demi kesejahteraan hidupnya dunia dan akhirat.
“Ala... you ni Rie, selalu aje bagi reason kalau I ajak! Sombong sangatlah you ni.” Darlina mula menunjukkan kemarahannya. Namun dia cuba mengawal rasa ketidakpuasan hatinya sebaik mungkin. Dia tidak mahu Shahrul Hairi terlepas pergi. Lelaki hebat dan kacak seperti Shahrul Hairi perlu ditawan hatinya. Darlina risau dan bimbang sekiranya dia tercicir dari senarai calon pilihan hati Shahrul Hairi. Di luar sana pasti ramai gadis yang ingin menawan hati lelaki seperti Shahrul Hairi ini.
“Saya bukannya hendak mengelak. Tapi saya benar-benar kurang sihat,” dalih Shahrul Hairi.
“Betul kata Rie tu Dar, dia memang tak sihat.” Max membantu rakannya itu. Lagipun dia tahu, Shahrul Hairi memang tidak berminat hendak menerima pelawaan Darlina.
“Baiklah kalau macam tu. I pergi dulu,” pamit Darlina.
Setelah Darlina jauh dari pandangan mereka, Shahrul Hairi bersuara.
“Terima kasih Max kerana lepaskan aku daripada perempuan sihir tu.”
Tergelak Max mendengar kata-kata Shahrul Hairi. Rakannya itu ada saja nama yang pelik-pelik untuk digelarkan kepada Darlina.
“Tak ada hal punya! Lagipun aku tahu kau memang tak berkenan dengan dia,” ujar Max sambil menepuk lembut bahu temannya.
Shahrul Hairi hanya tersenyum mendengar kata-kata kawan baiknya itu. Dia kembali mencari Salmiha Haini, namun gadis itu sudah tiada. Ini Darlina sengal punya fasallah ni. Dah hilang gadis pujaanku!


MIHA kau kat mana?” Tanya Sofea tanpa tertangguh apabila panggilannya bersambut. Dia benar-benar risau. Sewaktu dia pulang dari pusat asuhan, rumahnya masih bergelap dan kereta Salmiha Haini juga tiada. Jarang sahabatnya itu keluar rumah tanpa memberitahu kepadanya terlebih dahulu.
            Mendengar sahaja suara Sofea, Salmiha Haini kembali sebak.
“Miha kenapa ni? Apa yang membuatkan kau menangis dan bersedih ni?” Sofea bertanya lagi apabila hanya suara esakan Salmiha Haini sahaja yang kedengaran. “Bagi tahu aku, kau kat mana? Aku akan ke sana sekarang,” pinta Sofea lembut. Dia tidak mahu temannya itu tertekan.
“Aku kat KL!” Balas Salmiha Haini sambil menahan sendu. “Fea tolong aku! Pak Lang aku dah tetapkan majlis perkahwinan aku hujung bulan depan. Apa yang harus aku buat Fea?” Salmiha Haini meluahkan bebanan yang dia simpan sejak tengah hari lagi. “Tadi aku ke rumah dia, tapi dia takde. Dia pergi Abu Dhabi. Aku rasa macam nak mati sekarang ni!”
“Bawa mengucap Miha. Banyakan beristighfar. Ingat ALLAH! Semuanya akan berjalan dengan baik jika kau mampu bertenang dan berfikir dengan waras,” pujuk Sofea.
Salmiha Haini berdiam diri mendengar nasihat Sofea. Dalam hatinya mengeluh berat. Bersabar?! Bagaimana dia hendak bersabar kalau permintaan bapa saudaranya itu hanya membebankan dirinya.
“Apa kau cakap tadi? Pak Lang kau paksa kau kahwin hujung bulan depan?” Jerit Sofea pabila dia teringatkan kembali kata-kata Salmiha Haini sebentar tadi. “Orang tua tu dah hilang akal ke apa? Suka-suka aje paksa orang!” Marah Sofea.
Kelakar sungguh Si Sofea ni! Tadi dia nasihatkan Si Salmiha Haini supaya bersabar dan beristighfar. Sekarang ni dia pulak yang mengamuk sakan!
Aah! Dia cakap kalau aku cuba mengelak atau membantah, dia akan buat sesuatu hingga aku menyesal seumur hidup. Apa yang perlu aku buat Fea? Aku tak nak kahwin!” Mujurlah Sofea menghubunginya. Kekacauan di jiwanya sedikit terubat. Dan kini dia sudah mampu bertenang.
Eee... geramnya aku! Apa dia ingat kau ni anak ayam ke, takde hati dan perasaan? Main paksa-paksa je!” Bebel Sofea. “Cuba kita paksa dia kahwin, nak tak dia?”
Salmiha Haini tergelak kecil mendengar kata-kata terakhir Sofea. Terlupa sudah dia akan kesedihannya. Kehadiran Sofea benar-benar mampu menghalau pergi galau di hatinya.
“Fea... kalau kau suruh dia kahwin dengan kau, confirm dia setuju punya! Takdenya dia nak membujang lama-lama bila ada gadis muda dan cantik macam kau menawarkan diri,” usik Salmiha Haini. Pada firasatnya agak mustahil Pak Lang Yusofnya akan menduda sampai ke mati selepas Mak Langnya meninggal dunia. Tapi tak tahulah kalau Pak Lang Yusofnya itu jenis setia pada yang satu. Hati manusia tiada siapa yang mampu menelahnya.
Sofea mendengus.
“Miha... mulut kau tu jaga sikit ya! Tak ada maknanya aku nak kahwin dengan bapa saudara kau. Tunang aku yang kacak menawan tu aku nak campak mana?” Sofea meluahkan rasa tidak senangnya.
Salmiha Haini terkedu seketika. Marahkah Sofea?
“Maafkan aku sebab buat kau marah.” Salmiha Haini bimbang kerana mulutnya dia bakal kehilangan sahabat sejati.
Kini Sofea pula yang hilang punca. Terasakah kawan baiknya itu?
Errr... aku tak marah kat kaulah. Dan kau pun takde buat salah dengan aku. Jadi tak perlulah nak mintak maaf. Aku ni ha... yang sepatutnya minta maaf sebab buat kau tersinggung dengan kata-kata aku tadi.” Sofea tidak mahu temannya itu terus-terusan terasa bersalah. Sudahlah kawannya itu punya masalah yang berat, kini ditambah pula dengan perangainya yang kurang cerdik sebentar tadi.
“Kau pun takde buat salah dengan aku. Kalau ada pun dah lama aku maafkan,” balas Salmiha Haini tulus. Salmiha Haini benar-benar bersyukur kerana punya teman baik seperti Sofea. Sofea sentiasa ada ketika dia susah dan tahu bagaimana hendak memulih dan menstabilkan emosinya. Mungkin pengalaman menjaga anak-anak kecil banyak membantu Sofea mendalami jiwa seseorang.
“Habis tu kau nak buat apa lepas ni?” Tanya Sofea lembut setelah kesepian kembali membaluti mereka.
“Aku ingat nak tunggu dia balik. Aku nak bincang dengan dia elok-elok.”
“Kalau dia tak setuju jugak macam mana?”
Salmiha Haini melepaskan keluhan yang paling berat. Apa yang harus dia lakukan kalau Pak Langnya tetap enggan menerima cadangannya?
“Aku tak tahu!”
“Takpe kau jumpa dia dulu,” pujuk Sofea. “Andai dia tetap dengan keputusannya, kita buat sesuatu yang lebih havoc! Sepupu aku pun syok gak kat kau. Kalau kau nak larikan diri, ada baiknya kau kahwin dengan dia. Lagipun kau dengan dia dah kenal.” Sofea memberi pendapatnya.
“Gila kau nak suruh aku kahwin dengan Imran Ajmal! Tak naklah aku kahwin dengan jejaka Malaya tu! Ada karang aku menjerut rasa sepanjang masa,” bantah Salmiha Haini. Dia memang tak berkenan langsung dengan ‘buaya kategori tembaga’ itu.
“Manalah tahu lepas kahwin dengan kau, dia berubah!” Sofea cuba merasionalkan Salmiha Haini.
“Tak apalah! Terima kasih banyak-banyak, aku tak minat. Daripada aku kahwin dengan dia lebih baik aku kahwin dengan abang pilot yang aku langgar tadi.”
“Wah... kau ada jumpa abang pilot ke? Kacak tak dia?” Sofea bertanya dengan teruja.
“Entah! Aku tak cam sangat muka dia! Hensem kot!” Jelas Salmiha Haini sambil menjongket bahu. Bagaimana dia nak cam muka lelaki yang dilanggarnya tadi kalau dalam kepala otaknya sarat dengan masalah yang ditimbulkan oleh Pak Lang Yusof.
“Hesy... kenapa kau tak tengok betul-betul?” Sofea tidak berpuas hati.
“Kau ni apa hal? Kalau dia handsome bagai nak rak sekalipun, bukannya dia boleh jadi laki aku. Aku kenal dia pun tidak!” Tempelak Salmiha Haini. Geram pulak dia dengan sikap melebih-lebih temannya itu.
“Kau marahkan aku ke? Ala... sorry ek! Aku bukannya apa, kalau kau dah ada teman lelaki boleh jugak kau ajak dia kahwin. Sekurang-kurangnya bila kau dah kahwin, Pak Lang kau tak berani kacau.” Sofea mengutarakan cadangannya. “Susah-susah sangat, kau tackle aje Si Les tu, habis cerita. Aku ingat kalau kau ajak dia kahwin, mesti dia setuju punyalah. Dia kan dah lama tangkap lentok dengan kau,” giat Sofea.
“Kau ni... baru tadi minta maaf. Tak sampai lima saat dah buat hal balik. Ni aku geram ni!” Salmiha Haini pura-pura marah. Dia tahu sahabatnya sekadar memberi pendapat dan bergurau sahaja.
“Okey! Okey! Aku minta maaf banyak-banyak! Aku janji tak akan cakap apa-apa lagi tentang Les.” Sofea memohon maaf bersungguh-sungguh. Risau juga dia jika sahabatnya itu merajuk. “Tapi aku nak tanya kau dari hati ke hatilah. Kau jangan marah ya. Aku janji ini yang terakhir.”
“Kau nak tanya tentang apa?”
“Kenapa kau tak nak dekat Les? Buruk sangat ke dia tu? Aku tengok okey je.”
“Les tu sebenarnya tak ada cacat celanya pun. Tapi kau tahukan yang aku ni amat-amat alergi dengan lelaki yang pakai kaca mata tebal. Rentung aku kalau cermin mata dia tiba-tiba buat hal. Tak ke niaya aku nak kena pimpin ke mana dia nak pergi.” Salmiha Haini berlelucon.
“Tak munasabah langsung alasan yang kau beri. Tak boleh diterima pakai. Bagi aku, siapa pun dia, kau tak ada hak hendak mempertikaikannya.” Marah Sofea.
Les kacak orangnya Fea. Cuma... ketampanan dia terselindung di balik kaca mata tebalnya itu, bisik hati Salmiha Haini. Dia tahu akan hal itu kerana pernah terserempak dengan Les tanpa kaca mata. Tapi itulah, hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Apatah lagi isyarat memanggil cinta tidak pernah sampai ke hatinya setiap kali dia memandang Les. Dan apa yang Sofea katakan ada benarnya, kekacakan dan kecantikan paras rupa tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur. Sebaliknya iman dan taqwa merupakan teras keunggulan seseorang manusia yang bergelar hamba ALLAH.
“Kau ni teremolah pulak! Aku bergurau ajelah tadi. Mungkin kalau dah terdesak sangat-sangat, akan aku buka pintu hati ini seluas-luasnya untuk terima dia sebagai suami,” jelas Salmiha Haini dengan nada serius. Sengaja hendak mengenakan sahabat baiknya itu.


18 comments:

  1. Apa yg terjadi?
    Makin tertny tny n tak sbr nak tahu kisah selanjutnya.
    makin byk bab makin best n menarik.
    Tahniah dayana krn mampu berkarya dgn baik.
    suka dgn karya awak

    K. Ina

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak tahu kena tungu bab2 yg berikutnya K. Ina

      Delete
  2. Pertemuan dah terjd di antara mrk...
    Suka dgn watak hero n heroin.
    Terbaik DD

    ReplyDelete
  3. Bestnya.
    Apa akan ya lps niih

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih krn sukakan saca.
      Nak tahu, kena tunggu bab seterusnya

      Delete
  4. Bestt....

    ~Nin~

    ReplyDelete
  5. Benci dgn Pak Lang Salmiha Haini..
    Cepatlah Shahrul Hairi tolong...
    Menarik sgt2

    ReplyDelete
  6. sahabat sejati susah nak cari skrg ni.
    Cter ni blh dijdkan pengajaran.
    Jdlah kawan yg membantu bkn menghancurkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu.
      sahabat yg benar2 sukar utk ditemui

      Delete
  7. Kak DD
    luv u la sis
    best citer ni.

    ReplyDelete