Bab 12
MAMA!!!
PAPA!!! Bantu Miha! Benarkah jalan
yang Miha pilih ni? Rintih Salmiha Haini dalam hati. Hatinya masih lagi
berbolak-balik hendak menerima cadangan lelaki yang bernama Ringgo itu. Tapi
mampukah dia menolak kini? Dia sudah pun berada di kampung kawan baik bakal
suaminya itu. Dia ditinggalkan di situ, sementara bakal suaminya pulang ke
kampungnya untuk menguruskan dokumen pernikahannya pula. Lelaki itu berjanji
akan segera kembali sebaik sahaja urusannya selesai.
“Jauh termenung. Fikirkan apa?”
Syarafuddin menegur. Gadis yang berjaya mencuri hati teman baiknya itu
direnung. Pandai Shahrul Hairi memilih teman hidupnya.
Beberapa
hari yang lalu rakannya itu ada menghubunginya minta pendapat. Dia yang berasa
kasihan mendengar cerita Shahrul Hairi sedia menghulurkan bantuan. Apa salahnya
dia membantu rakannya itu membina masjid. Besar pahalanya. Mungkin gadis pilihan
Shahrul Hairi ini lebih baik berbanding pilihan ibu dan ayahnya itu. Lagi pula
dia kenal benar dengan sikap dan tingkah laku ibu Shahrul Hairi, sombong benar
orangnya. Apatah lagi kalau bukan setaraf dengannya. Berbeza dengan Tan Sri
Sharman yang baik hati dan rendah diri.
Salmiha
Haini mengangkat wajahnya.
“Tak fikir apa-apa. Cuma gementar
nak menjadi isteri orang,” dalih Salmiha Haini. Dia kalau boleh nak cabut lari
aje sekarang ni. Tapi bila pergerakannya bagai diperhatikan, dimatikan saja
niatnya itu. Bimbang hal lain pula yang terjadi.
Syarafuddin tersenyum mendengar
penjelasan gadis yang memakai baju kurung berwarna kuning itu. Mujurlah Salmiha
Haini bermastautin di negeri ini, mudah sikit urusan nikah kahwinnya.
“Tak perlu bimbang dan runsing. Kawan
saya tu pasti jaga awak dengan baik,” ucap Syarafuddin jujur. Dia kenal siapa
Shahrul Hairi, teman baiknya semasa belajar di sekolah menengah. Walaupun sudah
mengikut haluan masing-masing, mereka tetap berhubung hingga kini.
Salmiha Haini tersenyum cuma
mendengar penjelasan Syarafuddin. Entah benar, entah auta aje kata-kata lelaki
itu. Mana ada orang hendak kutuk kawan baik sendiri. Tapi... tak akanlah dia
nak menipu aku pulak. Bukannya ada
faeadah pun. Lagi pula ahli keluarganya dari keturunan yang baik-baik. Mungkin
betullah kut apa yang dia katakan.
“Dah lama kenal dengan...”
“Maksud Miha kenal dengan Rie?”
Kata-kata Salmiha Haini segera dicantasnya.
Salmiha Haini mengangguk. Oh, nama
timangan Ringgo... Rie!
“Dah lama. Sejak sekolah menengah
lagi. Dulu kami satu sekolah,” balas Syarafuddin.
Patutlah baik sangat. Dah lama benar
berkawan. Aku yang kenal Sofea masa universiti pun boleh kamceng hingga
sekarang. Inikan pula dah berkawan sejak zaman sekolah menengah lagi, getus
Salmiha Haini.
“Marilah kita masuk ke dalam.
Sekejap lagi dah Maghrib,” pelawa Syarafuddin. Dia tahu Salmiha Haini tidak
selesa berada di rumahnya apatah lagi tanpa kehadiran Shahrul Hairi di sisi.
Setelah menolong emaknya menyediakan minum petang dan mencuci pinggan, gadis itu
terus meminta izin untuk mengambil angin di luar rumah.
Salmiha Haini akur dengan ajakan
Syarafuddin. Lagi pula memang tidak elok berlegar di luar rumah ketika waktu
senja-senja begini. Pantang larang arwah neneknya, dia ingat hingga kini. Kata
neneknya, waktu senja begini banyak syaitan yang berkeliaran dan mudah
tersampuk dengan benda-benda halus.
Usai
solat Isyak, Salmiha Haini menghampiri Mak Cik Kimah yang sedang sibuk melipat
pakaian di ruang tamu. Ringan tangannya membantu wanita itu melipat kain baju
yang kelihatan membukit di atas lantai.
Tersenyum
Mak Cik Kimah melihat kerajinan bakal isteri Shahrul Hairi. Berkenan hati
tuanya melihat wajah lembut dan ayu itu. Sesuai dengan Shahrul Hairi yang baik
dan menghormati orang tua.
“Biarlah
mak cik buat sendiri Miha. Dah banyak Miha bantu mak cik hari ni, tentu penat.”
Kasihan dia melihat gadis itu, tak reti duduk diam. Pantang dia buat kerja,
pasti gadis itu datang membantu dan menghabiskan tugas-tugasnya.
“Tak
penat pun mak cik. Lagipun bukannya berat sangat lipat kain baju ni,” ujar
Salmiha Haini sambil melipat kain batik yang berada di tangannya.
Beruntungnya
Shahrul Hairi dapat bakal isteri rajin macam ni.
“Esok
pagi kita ke rumah Kak Shimah ya.” Mak Cik Kimah bersuara.
“Ke
rumah Kak Shimah? Nak buat apa mak cik?”
“Oh,
Rie ada pesan kat Din suruh mak cik temankan Miha cari baju nikah yang sesuai.
Si Shimah tu dia ada butik pengantin tapi taklah segah yang macam kat
bandar-bandar besar tu.”
Salmiha
Haini tersenyum mendengar penjelasan Mak Cik Kimah. Memandai je lelaki itu memesan berbagai.
Macamlah nak buat majlis nikah besar-besaran. Sekadar nikah di masjid dan
bertemankan keluarga Syarafuddin dan beberapa orang jiran tetangganya sahaja.
Tak perlulah nak cari baju nikah. Pakai baju yang ada sudah mencukupi.
“Tak
menyusahkan mak cik ke? Saya rasa pakai baju kurung yang ada-ada tu pun dah
mencukupi.” Salmiha Haini menolak dengan baik. Tidak betah rasanya menyusahkan
orang lain. Mak Cik Kimah sekeluarga sudi menolong menguruskan majlis
pernikahannya dengan Shahrul Hairi pun sudah memadai.
“Hesy...
mana ada menyusahkan pun. Seronok lagi adalah. Rasa macam nak uruskan majlis
nikah anak sendiri pulak,” beritahu
Mak Cik Kimah teruja. “Lagi pun Rie dah bagi duit dekat Din suruh uruskan
semuanya.” Tambah Mak Cik Kimah lagi. Esok dia bercadang hendak menjemput jiran
tetangganya membantu apa yang patut. Dia ingin mengadakan kenduri doa selamat
di rumahnya sempena majlis pernikahan Shahrul Hairi dan Salmiha Haini nanti.
SELEPAS
mengambil cuti beberapa hari, Shahrul Hairi bergegas pulang ke Johor Bahru. Dia
ingin menguruskan dokumen nikah kahwinnya secepat mungkin. Hatinya sudah tidak
sabar hendak menjadi suami kepada Salmiha Haini. Mujurlah semua urusannya dapat
disiapkan hari ini juga. Itu pun dia bernasib baik kerana rata-rata tempat yang
dia pergi, orang kenal akan ayahnya. Dia juga sempat berpesan supaya tidak
menghebahkan perkara ini sebelum waktunya. Tunggu hingga ayahnya membuka mulut.
Alasannya, bimbang tak jadi. Dia sebenarnya bimbang jika ibunya dapat menghidu
pernikahannya ini dan menghancurkan semuanya nanti.
Shahrul
Hairi menekan nombor ayahnya. Dia ingin memberitahu berita gembira ini kepada
ayahnya. Dia mahu Tan Sri Sharman menemaninya ketika dia merakamkan detik indah
bergelar suami kepada perempuan yang berjaya memiliki sekeping hatinya.
“Mana
ayah ni?” Rungut Shahrul Hairi apabila telefon bimbit ayahnya gagal dihubungi.
Nombor ayahnya ditekan sekali lagi tetapi tetap gagal dihubungi. Lantas nombor
telefon pejabat ayahnya ditekan.
Setelah
menunggu beberapa ketika, talian itu diangkat.
“Helo.”
“Tan
Sri Sharman ada?” Belum sempat setiausaha ayahnya bersuara panjang lebar
Shahrul Hairi segera memintasnya.
“Tan
Sri tak ada. Dia bertolak ke China semalam,” beritahu Murni.
Shahrul
Hairi mengetuk dahinya. Bagaimana dia boleh terlupa yang ayahnya akan ke China
selama beberapa hari bersama delegasi dari Malaysia untuk melihat peluang
pelaburan di sana.
“Kalau
macam tu tak apalah. Terima kasih.” Shahrul Hairi segera memutuskan talian.
Malas dia hendak bercakap lama-lama dengan setiausaha ayahnya itu.
Baru
tangannya hendak menekan nombor telefon kawan baiknya Syarafuddin, telefon
bimbitnya mengeluarkan nada dering yang sangat-sangat dia kenali dan ingin dia
hindari buat sementara waktu ini. Siapa lagi kalau bukan ibunya.
Shahrul
Hairi mengeluh. Hendak diangkat bimbang hatinya jadi tak sabar mendengar
bebelan demi bebelan ibunya. Hendak dibiarkan begitu sahaja, bimbang dicop
sebagai anak yang tidak menghormati orang tua. Tapi dia memang tiada hati
hendak menjawabnya. Hatinya jadi lega apabila deringan itu berhenti dengan
sendirinya.
Baru
dia hendak bersenang lenang, telefon itu berbunyi sekali lagi. Dengan hati yang
malas, Shahrul Hairi mengangkatnya juga.
“Assalamualaikum
ibu.” Shahrul Hairi bersuara tanpa rasa.
“Rie
kat mana ni? Tak balik Johor ke? Bukan ke Rie sedang cuti sekarang?”
Tahu
aje ibu jadual kerja aku. Mujur ibu tak tahu aku ambil cuti tahun.
“Rie
tak baliklah ibu. Rie dah cakap dengan ayah yang Rie akan balik masa nak sambut
raya nanti. Lagipun Rie kan dah nak berhenti kerja, bagilah Rie lepak dengan
kawan-kawan sementara Rie masih ada bersama mereka.” Shahrul Hairi beralasan.
Tetapi dia memang ada memberitahu ayahnya yang dia hanya akan pulang pada hari
raya nanti. Lagi pula dia malas hendak mendengar pujuk rayu dan paksaan ibunya
setiap kali terpandang wajahnya.
“Buat
apa Rie nak duduk kat sana masa cuti-cuti ni? Baliklah sini, boleh kenal rapat
dengan Aspalela.”
Kan
betul apa yang dia kata. Balik-balik nama Aspalela juga yang meniti di bibir
ibunya. Naik jelak dia mendengar nama nan satu itu hari-hari.
“Tak
bolehlah ibu. Rie dah janji dengan kawan-kawan nak habiskan masa tiga bulan ni
bersama mereka.”
Puan
Sri Zainon mengeluh di talian. Anak itu makin besar makin degil. Walaupun
Shahrul Hairi tidak pernah meninggi suara dengannya tetapi melawannya dalam
diam. Itu yang membuatkan hatinya jadi sakit dan geram.
“Okeylah
ibu, Rie nak gerak sekarang. Ada hal yang perlu Rie selesaikan.” Setelah itu
dia segera menutup telefon bimbitnya. Tidak mahu sebarang gangguan. Dia terus
memecut laju keretanya menuju ke Kuala Lumpur. Terlupa sudah hasratnya hendak
membeli cincin buat Salmiha Haini dan memilih baju Melayu buat dirinya.
Shahrul
Hairi pulang ke rumahnya seketika untuk mengambil beberapa helai pakaian sebelum
bertolak ke rumah Syarafuddin. Kepenatan tubuh badannya ditolak ke tepi.
Hatinya lebih tidak sabar hendak menatap wajah gadis yang bakal menjadi suri
hidupnya. Lagi pula dia perlu menyerahkan borang nikah kahwinnya secepat
mungkin agar proses pernikahannya bersama Salmiha Haini dapat dilakukan dengan
kadar segera.
Shahrul
Hairi tiba dipekarangan rumah Syarafuddin hampir jam dua belas tengah malam.
Terasa malu pun ada pergi ke rumah orang tengah malam-malam buta. Namun
tuntutan hatinya tidak mampu dipandang sepi. Hatinya meronta-ronta hebat untuk
datang ke mari menemui cinta hatinya yang ditinggalkan hampir seharian.
Sebaik sahaja enjin keretanya
dimatikan, pintu rumah sahabatnya terbuka. Begitu juga lampu di bahagian
beranda. Terjengul Syarafuddin di muka pintu. Shahrul Hairi segera melangkah
keluar bersama beg kecil di tangan. Kasihan kawannya itu, pasti tidak tidur
kerana menunggunya. Sudah dipesan kepada Syarafuddin supaya menunggu
kedatangannya malam ini.
“Maaf ganggu waktu tidur kau.”
Shahrul Hairi bersuara sambil menjabat tangan sahabatnya.
“Tak ganggu pun. Memang aku biasa
tidur lewat. Lagilah kalau aku sedang bercuti macam ni, mata aku mana nak tidur
awal,” ujar Syarafuddin sambil tertawa kecil. Tangan kawannya disambut erat.
“Dah tidur ke semua orang?”
“Mak dan ayah aku dah. Tapi buah
hati kau tu belum lagi. Puas aku suruh tidur, tapi tak mahu jugak. Tak mengantuk lagi katanya.”
“Iya?”
Shahrul Hairi bersuara teruja. Tunggu dia agaknya, suara hati Shahrul Hairi
berbisik nakal. Shahrul Hairi menjengah kepalanya ke dalam rumah. Terlihat
akannya wajah yang dirindui sepanjang hari ini sedang enak menonton televisyen.
Amboi... bakal isteri abang ni, bukan main ralit lagi tengok tv. Tak akanlah
tak dengar suara bakal suami honey ni,
honey oiii...? Honey? Sedap jugak
panggil dia honey lepas kahwin nanti,
hati Shahrul Hairi tertawa gatal.
“Eh, jomlah masuk! Tak akan nak
cegat berdiri tengah pintu kut. Kau pun dah penatkan, tentu nak berehat.”
Syarafuddin menepuk lembut bahu Shahrul Hairi. “Malam ni kau kongsi bilik
dengan aku ya... Lepas nikah baru kongsi bilik dengan dia tu,” usik Syarafuddin
sambil memuncungkan mulutnya ke arah Salmiha Haini.
Shahrul Hairi tertawa. Lontaran
suaranya yang agak lantang buatkan Salmiha Haini menoleh. Mujurlah bilik tidur
mak dan ayah Syarafuddin agak jauh dari ruang tamu, kalau tidak pasti tidur
mereka juga turut terganggu dengan suaranya yang sedikit nyaring.
Tersengih Syarafuddin dengan tingkah
sahabatnya itu.
“Kau duduklah dulu, aku nak simpan beg kau ni
kejap.” Beg pakaian yang berada di tangan Shahrul Hairi diambilnya dan dibawa
ke bilik. Setelah itu dia berlalu ke dapur.
“Tengok cerita apa tu? Bukan main
khusyuk lagi,” tegur Shahrul Hairi sambil mengambil tempat duduk di sisi
Salmiha Haini.
“Entah! Tak tahu tajuk apa,” balas
Salmiha Haini. “Dah siap ke semua urusan?” Salmiha Haini bertanya. Pelik juga
dia bila Shahrul Hairi tiba-tiba muncul. Sangkanya petang esok baru lelaki itu
sampai.
“Dah siap dah. Kalau tak, takdenya saya ada kat sini malam ni. Esok
pagi bolehlah kita hantar dokumen tu,” beritahu Shahrul Hairi dengan nada
ceria. Hilang terus penatnya bila mendengar suara Salmiha Haini. Magik betul!
“Awak... betul ke apa yang kita nak
buat ni?”
Shahrul Hairi pantas menoleh.
“Maksudnya?”
“Saya rasa macam tak yakin la.
Yalah, kita kenal tak sampai sehari dah buat keputusan nak kahwin. Saya takut
kita tak serasi je nanti. Dan saya
tak berani nak tanggung risiko.
“Kita cubalah dulu.”
Salmiha Haini pandang tepat anak
mata Shahrul Hairi.
“Awak
ingat nikah kahwin ni bahan eksperimen ke nak cuba-cuba? Atau awak ingat nikah
kahwin ni macam belajar masak-masak, boleh dicuba-cuba? Tak jadi atau tak
sedap, humban masuk tong sampah. Awak tahu tak, nikah kahwin ni percaturan
dalam hidup. Tak kena gaya, boleh lingkup rumah tangga kita. Saya tak berani
nak pertaruhkan masa depan saya.” Salmiha Haini sedikit emosi namun nada
suaranya masih terkawal.
Shahrul Hairi mengeluh perlahan.
Percayalah pada saya, Salmiha Haini.
“Hesy...
jauhnya melalut! Maksud saya, kita cuba kenal hati budi. Cuba belajar fahami
pasangan masing-masing. Pastu kita cuba serasikan diri kita sebagai suami
isteri. Lagipun orang kata, tak kenal maka tak cinta. Tak cuba mana kita nak
tahu sama ada serasi ke tak.” Shahrul Hairi cuba membuang perasaan tidak enak
dalam fikiran Salmiha Haini. Semua sudah diatur, tak akan nak dibatalkan pulak? Dia memang tak sanggup dan dia
memang dah nekad nak sehidup semati dengan Salmiha Haini.
“Awak kena yakin dengan saya, Salmiha Haini.
Awak kena ingat, bila saya lafaz: Aku terima nikahnya Salmiha Haini binti Ishak
dengan mas kahwin 80 ringgit tunai..., maknanya saya dah berjanji pada ALLAH
untuk jaga awak sebaik mungkin. Tak akanlah saya nak memperlekehkan janji saya dengan
ALLAH? Alamatnya ke nerakalah saya. Hesy... tak nak saya!” Shahrul Hairi
terus-terusan cuba meyakini bakal isterinya.
Salmiha
Haini melepaskan keluhan kecil. Payahnya nak buat lelaki bernama Shahrul Hairi
ini mengalah.
“Saya
tak pandai masak, awak kahwinlah dengan orang lain.”
Shahrul
Hairi tergelak kecil. Pulak dah...
Ceh,
dia gelakkan aku!
“Saya
bukannya nak cari tukang masak. Saya cuma nak cari isteri yang boleh jaga makan
minum saya je.” Oh... cuba tipu kita
ya? Bukan ke awak ada tulis dalam resume
yang hobi awak memasak? Kita tahulah awak pandai masak dan suka cuba resipi
baru. Kita kan dah berbual tentang ni masa temu duga hari tu? Tak sedap pun takpe sayang, kita telan je.
Jaga
makan minum tu bukan kena masak ke? Atau makna jaga makan minum tu, beli lauk
pauk dan nasi kat kedai, kemudian hidang je
atas meja?
“Saya malas dan tak rajin kemas rumah.”
Isy...
isy... ada aje helahnya. Rajin dengan malas, tak sama ke honey?
“Saya
bukannya nak cari amah, saya nak cari suri rumah. Lagipun selama ni saya upah
orang untuk kemas rumah saya.”
Hesy...
ada aje akalnya nak mencaras kata-kata aku! Salmiha Haini menjeling geram.
“Jangan
menyesal sudah!”
“Insya-ALLAH
tak.”
Salmiha
Haini berlalu ke kamar tidur yang tersedia untuknya, malas nak bertekak lagi.
Lagipun dia tahu, dia bakal kalah punya. Harapannya cuma satu, Shahrul Hairi
akan tunaikan segala janji-janjinya.
Hehehe...
tahu pun surrender. Ingatkan nak ajak
bertekak lagi. Mahu tak tidur malam ni jika asyik perang mulut je. Jangan bimbang sayang, rumah tangga
kita, kita corakkan bersama seperti mana yang Islam telah gariskan.
HARI
yang dinanti-nantikan oleh Shahrul Hairi dan Salmiha Haini tiba jua. Debaran
melanda jiwa pasangan muda itu. Shahrul Hairi berdebar hendak menjabat tangan
bapa Syarafuddin selaku jurunikahnya pada hari ini dan memikul tanggungjawab
sebagai seorang suami. Manakala Salmiha Haini berdebar dengan jalan yang
dipilihnya ini.
Lengan
baju Shahrul Hairi, Salmiha Haini tarik. Dia sedang bergelut dengan perasaannya
ketika ini.
“Awak...”
Panggil Salmiha Haini. “Betul ke tindakan yang kita ambil ni?”
“Maksud
awak?” Soal Shahrul Hairi sambil menjongket sebelah keningnya.
“Keputusan
kita nak nikah ni, tepat ke?”
“Bukan
ke awak dah setuju nak kahwin dengan saya? Dan kita dah bincang pun tentang hal
ni.” Hati Shahrul Hairi mula mengalunkan rentak kebimbangan. Gusar sekiranya
Salmiha Haini menarik balik kesediaannya untuk menjadi isterinya.
“Itu
saya tahu. Tapi saya bimbang sekiranya ada masalah lain pula yang timbul di
kemudian hari.” Salmiha Haini melepaskan keluhannya. Sejak bersetuju hendak
bernikah, sudah acap kali dia mengeluh dan mengeluh.
“Apa
yang hendak dibimbangkan dan dirisaukan lagi, emmm?” Shahrul Hairi bersuara lembut. Hati Salmiha Haini harus
ditawannya. Salmiha Haini harus menjadi isterinya. Memang itu targetnya.
Salmiha
Haini tentang mata Shahrul Hairi.
“Saya
bimbang penerimaan keluarga awak. Buatnya mereka tak suka saya macam mana?”
Salmiha Haini meluahkan kegusarannya. Bukan mudah kahwin tangkap muat macam ni.
Walaupun dia ingin melarikan diri daripada Pak Lang Yusof, tapi itu tidak
bermakna dia hendak meletakkan nyawanya di hujung senapang.
“Berapa
kali perlu saya nyatakan pada awak?” Shahrul Hairi sambil merenung tajam
Salmiha Haini. “Awak peganglah kata-kata saya ni. Awak tak akan menyesal seumur
hidup awak kalau jadi isteri saya. Dan saya akan pastikan awak kekal bahagia di
sini saya hingga ke akhir hayat.”
Salmiha
Haini garu keningnya. Hendak percaya dengan tidak, saling bertingkah ketika
ini. Matanya juga sempat menjeling keluarga Syarafuddin yang sedang memandang
ke arah mereka.
Melihat
tiada keyakinan dalam diri Salmiha Haini terhadap kata-katanya, Shahrul Hairi
lantas bersuara.
“Atau
awak nak dengar ayat-ayat cinta dari saya dulu baru awak nak percaya? Baiklah
kalau itu yang awak mahukan.” Shahrul Hairi memandang wajah Salmiha Haini
dengan renungan yang lembut dan redup. “Salmiha Haini... saya sayang awak,
cinta awak! Sudi tak awak jadi bidadari dalam hidup saya hingga ke akhir
hayat?”
Pesakit
mental ke apa mamat ni? Kenal baru sehari dua... tiba-tiba aje luahkan
perasaannya. Seram sejuk pula Salmiha Haini rasakan. Tapi muka nampak macam
normal. Ketulusan juga jelas terpancar di wajah lelaki itu. Berserah kepada
Yang Maha Berkuasa ajelah, tekad Salmiha Haini.
“Baiklah
saya setuju.”
“Lega
hati saya bila awak setuju menerima saya sebagai suami.”
“Tapi
ingat, andai tiada keserasian antara kita, saya boleh tuntut cerai bila-bila
masa, kan?” Salmiha Haini mengingatkan Shahrul Hairi.
“Ya!
Saya tahu tentang itu,” balas Shahrul Hairi sedikit geram. Dah jadi bini aku,
tahulah macam mana aku nak buat. Jangan mimpi nak pergi jauh.
“Sekiranya
awak mungkir janji, siap awak nanti.” Salmiha Haini mengugut.
“Awak
nak buat apa?” Soal Shahrul Hairi dengan senyuman sinis.
“Adalah!”
“Emmm... apa-apa jelah. Jom kita pergi kat mereka. Dah lama sangat mereka tunggu
kita kat pekarangan masjid tu,” jelas Shahrul Hairi. Majlis pernikahan mereka
dijangkakan akan berlangsung pada pukul sepuluh setengah pagi.
Salmiha
Haini pandang wajah Shahrul Hairi. Pabila Shahrul Hairi mengangguk dan
tersenyum, dia turut berbuat demikian. Andai demikian suratan yang tertulis
buatnya, siapalah dia yang hendak melawan ketentuan ALLAH. Mungkin besar hikmah
yang terselindung dibaliknya.
Teruja nak tahu apa yg bakal jd lps mrk kawen
ReplyDeleteterima kasih ya atas sokongan.
DeleteTeruja nak tahu perjlnan mrk sbg suami isteri
ReplyDeleteblh bc di bab yg seterusnya utk tahu apa yg terjadi
Deletebest.
ReplyDeleteterima kasih baby mio krn sentiasa memberi sokongan
Deletebest...
ReplyDeletenak lgi Kak DD.
ReplyDeleteSgt2 best
Blh2 Atilia.
Deletenantikan saja...
Nak lgi... Best.
ReplyDelete~Nin~
Blh Nin.
DeleteSalmiha jgn sangsi ikut aje ckp Sharul Hairi tu.
ReplyDeleteTerbaik kak DD
Terima kasih Athirah.
DeleteNak tahu ada kesangsian ke tidak kena baca hingga tamat
Dulu suka dgn Mikhail, lps tu Darwisy. Skrg ni giliran Shahrul Hairi pula yg jd gero idaman hati.
ReplyDeletesgt2 menarik. Best idea DD dlm bab ni.
Gelihati tgk mrk bertekak pasal nak kahwin. Pandai Shahrul Hairi mainkan peranan dia.
Terbaik DD
Terima kasih Onah kerana sukakan hero2 saya yg x seberapa tu.
Deletemenarik citer akak nih
ReplyDeletebest Kak DD.
ReplyDeleteTerima kasih Raihana
Delete