SEPERTI
yang dijanjikan, Athirah menghubungi Mikhail walau hati membungkam. Athirah
menenangkan perasaannya sebelum menekan nombor telefon Mikhail. Sengaja dia menyuruh
Mikhail top up RM100 jika ingin dia
menghubungi. Tak sangka pula Mikhail sanggup menuruti kata-katanya. Buat masa
ini, apa yang perlu difikirkannya adalah untuk mengelakkan diri daripada
disaman oleh Mikhail. Nak tak nak, terpaksa juga dia menjayakan rancangan
Mikhail yang agak kebodohan itu. Jika tidak... dia juga yang susah nanti!
“Helo...”
Kedengaran suara di hujung talian.
“Assalamualaikum...,
abang ke tu?” Athirah terus memberi salam dan menggunakan panggilan sepertimana
yang Mikhail inginkan. Jika ingkar, kena saman pulak. Fobia sungguh Athirah dengan perkataan saman!
Bila
masa pulak Si Mikhail ni ada adik? Oh...
jangan-jangan adik angkat dia tak? Kata hati Borhan.
“Boleh
saya tahu siapa ni?” Borhan bertanya.
Hisy...
mamat ni! Dia suruh aku telefon, lepas tu... dia boleh tanya aku siapa? Ada yang
nak kena cepuk ni! Ramai sangat ke perempuan yang hubungi dia setiap malam? Marah
Athirah dalam hatinya. Terbit juga perasaan cemburu dalam dirinya.
“Athirah
di sini!” Athirah memperkenalkan dirinya.
Bila
masa pulak Mikhail menjalinkan
hubungan sulit dengan Athirah? Bukan ke... kalau berjumpa mereka berperang
sahaja? Pandai sungguh mereka berlakon ya? Depan orang buat-buat gaduh, belakang
orang bukan main romantik lagi. Rupa-rupanya, mereka ni ada skandal! He... he... he..., baik aku uji
tahap percintaan mereka! Di atas kepala Borhan sudah tumbuh dua batang tanduk
yang menyeramkan!
“Athirah
tengah buat apa tu? Rindu abang tak?” soal Borhan manja.
Mamat
ni bengong ke? Dah tentulah aku tengah bercakap dengan dia dekat telefon. Nak
buat apa lagi? Rindu? Eeii... tak
kuasa aku nak merindu mamat sengal lagi mereng ni! Athirah menunjukkan aksi
geli-gelemannya. Nasib baik orang di sebelah sana tak nampak. Kalau tidak... mahu
dinaikkan kadar saman apabila melihat aksi Athirah sebentar tadi.
“Ala...
abang ni! Buat-buat tanya pulak? Sekiranya
Athirah telefon, tentulah Athirah rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Jika
boleh malam ni jugak nak jumpa abang.
Nak tengok muka abang yang hensem tu.”
Athirah mengalunkan nada manja dan menggoda.
Nah,
ambik kau! Nak sangat menggatal dengan aku! Biar aku jadi ulat bulu sekejap.
Biar meremang bulu roma kau. Alang-alang kau kata aku minah gedik, biar malam
ini aku tonjolkan kegedikkan itu. Lepas ni... gerenti kau serik nak suruh aku
telefon lagi, gumam Athirah.
Aduh,
dah lemah longlai dah lutut aku ni dengar suara Athirah yang mendayu-dayu! Untungnya
kau Khai... dapat pikat Athirah! Kalau aku yang dapat Si Athirah ni, mahu aku ajak
kahwin terus. Tak tahan iman aku bila digoda dengan suara manja dan lemak
berkrim macam ni, desis Borhan. Mana pulaklah
Si Khai ni? Agaknya dia lupa kut nak bawa telefon bimbitnya sekali. Untung juga
telefonnya tertinggal, boleh aku berborak dengan awek dia.
Borhan
meneruskan penyamarannya.
“Athirah
dah makan?”
“Dah
lewat macam ni, tentulah dah makan. Abang dah makan?” tanya Athirah manja.
“Abang
tak ada seleralah. Sekiranya Athirah tolong suapkan tentu berselera abang nak
makan.” Borhan bersuara miang keladi.
Alamak,
mamat ni! Dah keluar aura kegatalan dia. Ha... padan muka kau Athirah! Kononnya
tadi nak test buat-buat gatal,
mudah-mudahan orang di sana tarik diri. Rupa-rupanya orang di sebelah sana semakin
menjadi-jadi merenyamnya. Layan... Athirah... layan! Nanti kalau dia merajuk
susah pula kau.
Borhan
menoleh apabila ada orang menepuk bahunya. Dia menghulurkan telefon bimbit
tersebut kepada tuannya dan tersengih sambil menyusun sepuluh jari.
“Alahai...
kesiannya buah hati Athirah ni! Emm...
betul ke jika Athirah suapkan, abang berselera nak makan? Kalau macam tu
datanglah sini, biar Athirah tolong suap. Ta... pi... dah malam sangatlah
abang. Esok boleh?” Athirah memanjakan suaranya.
“Okeylah
sayang, malam esok kita keluar makan. Sayang tidur dulu ya... dah lewat malam ni. Good night and sweet dream!” Tanpa
menunggu balasan daripada Athirah, Mikhail terus menekan butang merah. Dia
perlu menanyakan beberapa soalan pada Borhan.
Athirah
sedikit pelik. Kenapa suara yang baru kedengaran sangat berbeza daripada yang
tadi? Kenapa baru sekarang dia panggil aku sayang dan tidak sedari tadi? Lantak
kaulah! Janji aku dah menurut perintah dan tak akan kena saman.
“Siapa
izinkan kau jawab panggilan aku?” Mikhail menyoal Borhan.
“Aku
manalah tahu buah hati kau yang nak telefon! Aku ingatkan tadi parents kau,” jawab Borhan sambil
tersengih.
“Emm... betul juga tu! Tapi selepas kau
tahu bukan parents aku yang telefon, kenapa
kau tak suruh dia call balik?” Tegas
Mikhail.
Borhan
hanya tersengih mendengar kata-kata Mikhail. Tidak terjangkau dek akalnya
hendak menyuruh Athirah menghubungi Mikhail semula. Waktu itu hanya dia tahu,
dia ingin mengetahui sejauh mana hubungan Mikhail dan Athirah.
“Apa
yang kau bualkan dengan dia?” soal Mikhail lagi.
“Aku
tanya dia sedang buat apa? Dah makan ke belum? Biasalah soalan skema. Tapikan Khai,
suara dia... fulamak! Mengancam! Romantik
dan menggoda... aku cakap kat engkau! Sampaikan aku terpikat dibuatnya. Nasib
baiklah aku ni jenis yang kuat iman. Jika tidak... mahu meleleh air liur aku ni
dibuatnya! Ini pun setitik dua hampir terkeluar,” seloroh Borhan.
“Kau
jangan nak lebih-lebih dengan buah hati aku ya? Nanti aku debik karang.” Mikhail
menunjukkan penumbuknya.
“Eh,
Khai! Bila masa kau mengayat Si Athirah tu? Bukan ke kau orang selalu bertekak
macam anjing dengan kucing bila bertemu?” soal Borhan tidak berpuas hati. “Pandai betul korang sorok ya? Aku baru nak masuk jarum, sekali kau dah potong queue. Ini buat aku jeles ni!” Borhan pura-pura marah.
“Bila
masa aku mengorat dia? Kau nampak ke
aku mengayat dia, telefon atau kacau dia? Tak ada... kan?” Mikhail menafikan.
“Nampak
gayanya, kawan Athirah yang bernama Fazlina tu pulak yang menjadi sasaran aku. Harap-harap tiada siapalah yang
berkenan kat dia lagi. Jika tidak, melepas lagilah aku kali ini,” ujar Borhan
dengan nada sedih yang sengaja dibuat-buat.
“Eh,
Hans! Kau tak nak tidur lagi ke? Aku dah mengantuk ni. Esok acara kemuncak minggu
orientasi, nanti terlewat pulak
kita.” Mikhail melihat jam di tangannya sudah menunjukkan ke angka satu pagi. Harap-harap
malam ni, datanglah si dia dalam mimpi aku. Begitu besar harapan Si Mikhail.
ATHIRAH
gelisah di tempat tidurnya. Seluruh wajah dan badannya sudah dibasahi peluh dingin.
Kelihatan lembaga serba hitam sedang menuju ke arahnya sambil mengacukan sepucuk
pistol dan mengarahkannya menuju ke tali gantung. Ketika itu dia tengah sarat
mengandung. Dia merayu-rayu minta dilepaskan. Namun lembaga itu tidak mengendahkan
rayuannya. Lembaga yang hodoh itu terus mentertawakan dirinya sambil memperlihatkan
rupa paras yang sangat mengerikan. Sedang dia meronta-ronta minta dibebaskan, muncul
cahaya terang benderang menuju ke arahnya. Pabila cahaya itu menghampirinya,
terdengar bisikan suara...
“Sabar
sayang... abang akan selamatkan sayang dan lindungi sayang dengan seluruh kasih
sayang dan nyawa abang.”
Athirah
terus tersedar daripada mimpi ngerinya apabila terasa ada tangan yang
menggoncang tubuh badannya.
“Kenapa
Athirah?” tanya Fazlina cemas. Risau dia melihat keadaan Athirah yang
meracau-racau dalam tidurnya.
“Aku
tak apa-apa, cuma bermimpi sahaja. Dahlah kau pergi tidur.” Athirah menenangkan
sahabatnya.
“Tapi
keadaan kau tadi benar-benar membimbangkan aku. Kau mimpi apa?”
Athirah
merenung wajah Fazlina. Kasihan pula dia melihat muka sahabatnya yang
menagihkan penerangannya.
“Aku
mimpi ada orang nak bunuh aku. Dahlah... kau tak payah risau, hanya mainan tidur
sahaja,” pujuk Athirah. “Jomlah kita sambung tidur! Baru pukul dua setengah
pagi,” ajak Athirah.
“Itulah...
semangat sangat nak telefon cik abang gorila kau, sampai tidur pun tak ambil
wuduk. Jangan-jangan doa pun terlupa nak baca. Macam manalah tak kena ganggu dengan
syaitan,” bebel Fazlina.
“Cik
Fazlina Firhad, kau tak payahlah nak buat kuliah Subuh dekat aku. Lagipun waktu
Subuh belum masuk lagi. Pergi tidur... nanti terlambat bangun pula,” sindir
Athirah.
Apakah
maknanya mimpi ini? Adakah ini amaran daripada ALLAH kerana aku mencurangi
suamiku? Siapakah lelaki itu? Adakah dia suamiku? Ya ALLAH... bantulah hamba-Mu
ini. Andai dia benar-benar jodohku, Kau rapatkanlah kami. Kau pertemukanlah kami
dalam lembayung kasih-Mu. Satukanlah hati kami Ya ALLAH. Kau limpahkanlah hubungan kami ini dengan
kasih sayang yang berpanjangan. Kau anugerahkanlah kami kebahagiaan yang berkekalan
hingga ke syurga. Amin...
Athirah
meraup kedua-dua belah tapak tangannya ke muka seusai berdoa. Abang... di manakah
kau? Datanglah padaku. Tunjukkanlah wajahmu, agar bisa kukenal akan dirimu.
Jangan kau bimbang, aku tidak akan berdendam denganmu. Malah akan aku pupuk
cinta dan kasih sayangku ini hanya untukmu.
Teringat
Athirah rentetan peristiwa yang berlaku dua tahun lalu sebelum keputusan SPM
diumumkan...
Pemandangan Laut China Selatan yang
hijau membiru terhampar indah di halaman matanya. Desiran ombak yang
mengasyikkan, membuai-buai perasaannya untuk terus menikmati alunan irama
tersebut. Bayu pagi yang berpuput lembut menampar-nampar pipi gebunya. Sungguh
nyaman Athirah rasakan, hingga fikirannya menerawang entah ke benua mana.
Kedengaran suara memanggil namanya mematikan terus lamunan Athirah.
“Athirah, ayah kamu panggil.” Mak
Munah menyampaikan pesan.
“Ayah panggil? Ada apa Mak Munah?”
tanya Athirah dalam nada kehairanan.
“Entahlah, tak pula ayah kamu
beritahu. Cuma itu saja yang ayah kamu pesan.”
“Baiklah, Mak Munah.”
“Kamu pergi tahu, jangan tak pergi pulak. Nanti bising ayah kamu tu. Tak
pasal-pasal dengan Mak Munah sekali yang terkena,” pesan Mak Munah lagi sebelum
berlalu dari tempat Athirah berdiri.
“Yalah... Mak Munah,” laung Athirah
apabila langkah Mak Munah semakin menjauh. Bibir Athirah tanpa sedar memasang
senyuman sambil matanya menghantar pergi kelibat Mak Munah. Mak Munah adalah salah seorang pekerja
ayahnya yang bertanggungjawab membersihkan ruang dalam Teratak Emelda.
Teratak Emelda adalah homestay yang ayahnya usahakan lebih sepuluh
tahun lalu. Di samping itu, ayahnya juga melakukan kerja-kerja kampung dan
sekali-sekala akan turun ke laut. Dusun buah-buahan yang diusahakan ayahnya
juga banyak mendatangkan hasil buat mereka sekeluarga. Selain untuk dinikmati pengunjung
Teratak Emelda, ayahnya juga memajak sebahagian dusun mereka.
Tanpa menunggu lama, Athirah turut berlalu
dari tepian pantai. Dia mendapatkan ayahnya yang ketika itu sedang berbual
dengan Abang Aris. Abang Aris adalah salah seorang pekerja ayah yang biasanya menjadi pemandu
pelancong bagi tetamu yang menginap di Teratak Emelda.
“Ayah... ayah panggil Baby?” Athirah bertanya.
“Aah... macam ni! Petang nanti ada tetamu yang akan sampai. Nanti Baby layan mereka... ya.” Terus Pak
Kassim memberitahu Athirah sebab musabab kenapa dia memanggil anakya itu.
“Haaa...? Baby? Kenapa Baby yang
kena layan mereka? Abang Aris kan ada ni!” Athirah betul-betul terkejut dengan
arahan yang baru sahaja ayahnya beritahu.
“Abang Aris kena ikut ayah hari ni.
Ayah perlu ke tanah besar sebab ada pelanggan yang ingin berjumpa dengan ayah.
Ayah kena cepat ni, nanti ketinggalan bot pulak.”
Tanpa menghiraukan sama ada Athirah bersetuju ataupun tidak dengan arahannya
itu, Pak Kassim terus mengatur langkah bersama Abang Aris.
“Aduh... macam mana aku nak handle mereka ni? Aku manalah pernah
layan tetamu kat Teratak Emelda! Buatnya tersalah cakap masa bagi penerangan,
bagaimana? Tak ke busuk nama teratak ni? Adoi, masalah... masalah!!!” Athirah
mengomel sendirian.
“Baby... segala butiran tetamu, ayah dah letak atas meja dalam bilik
ayah. Nanti kalau tetamu tu dah sampai, suruh mereka berehat dahulu sebab
mereka tiada sebarang aktiviti petang ni. Dan jangan lupa bagi jadual aktiviti
pada mereka. Oh, ya... lagi satu! Jangan duk mengomel sorang diri. Masa nilah
nak belajar layan tetamu.” Kedengaran suara Pak Kassim melaung padanya. Rupanya
mereka berdua masih belum jauh lagi.
“Yalah... ayah!” jawab Athirah malas.
Langkahnya diatur menuju ke Teratak Emelda. Kerja sedang menantinya disana.
ATHIRAH menyapu daun-daun rambutan dan mangga yang
berguguran di halaman Teratak Emelda. Matanya juga meliar memandang kawasan
sekitarnya. Athirah pernah bertanya kenapa teratak ini diberi nama Emelda dan
bukannya Athirah? Alasan emaknya mudah sahaja, nama Emelda lebih glamour.
Sedang Athirah terbongkok-bongkok
menyapu, kedengaran suara orang memberi salam. Selepas menjawab salam pasangan
suami isteri itu, dia menyambut kedatangan mereka dengan sopan dan ramah.
Senyuman manis sentiasa menghiasi bibirnya. Athirah menjemput mereka naik dan
berehat sepertimana yang diarahkan oleh ayahnya.
“Silakan naik tuan... puan! Tuan
dan puan berehat dulu ya, saya nak sediakan minum petang,” ujar Athirah sopan.
“Panggil umi dan abi sahaja,” kata
Dr. Zulaikha sambil tersenyum manis. Tangannya mengusap bahu Athirah dengan
penuh kasih sayang.
Athirah
memandang tetamu yang datang bertandang ke terataknya dengan pandangan yang
pelik. Namun bagi menghormati permintaan tetamu tersebut, dia turutkan sahaja.
“Puan,
eh.... eh... umi!” Tergeliat lidah Athirah hendak membahasakan diri Dr.
Zulaikha dengan panggilan umi. “Umi dan abi, tengok-tengoklah dulu kelengkapan
dan kemudahan yang disediakan. Andai ada yang tidak memuaskan hati, boleh bagi
tahu saya,” ujar Athirah sebelum berlalu.
Begitulah cara mereka memuaskan hati tetamu yang berkunjung ke Teratak Emelda.
Athirah membantu emaknya di dapur.
Dia menyediakan karipap pusing, kek coklat kukus dan bubur jagung. Usai
semuanya, dia menghidangkan juadah tersebut untuk tetamu yang berkunjung ke
Teratak Emelda.
Dr. Zulaikha yang kebosanan
terperap di dalam bilik, keluar mencari Athirah. Dia memerhati Athirah yang sedang
menghidangkan juadah minum petang. Athirah kelihatannya tidak kekok melakukan kerja-kerja
rumah. Tentu anaknya beruntung beristerikan Athirah nanti, fikir Dr. Zulaikha.
“Assalamualaikum..., Kak Sal,
Athirah,” tegur Dr. Zulaikha.
“Waalaikumsalam...,” balas Mak
Salamah seraya berpaling.
Mak
Salamah memeluk erat tubuh Dr. Zulaikha. Hampir lapan belas tahun dia
tidak bertemu dengan bekas majikannya itu.
“Ya ALLAH, Ika rupanya. Patutlah Abang Kassim
ada bagi tahu tetamu istimewa dari Kuala Lumpur akan tiba petang ni.
Rupa-rupanya Ika yang nak datang. Mana yang lain-lain?” Mak Salamah ramah bertanya.
“Abang Malik ada dalam bilik sedang
berehat. Adam tak dapat ikut, ada kelas,” ujar Dr. Zulaikha. Anak lelakinya itu
berada di tahun dua dan sedang sibuk dengan kuliahnya.
Dr. Zulaikha mengambil sepotong kek
coklat kukus.
“Emm... sedap! Siapa buat ni?” tanya Dr. Zulaikha. “Anak saya...
Adam memang suka dengan kek coklat kukus ni. Kalau dia ada, tentu licin kek ni
dia kerjakan,” tambah Dr. Zulaikha lagi.
“Kuih-muih ni Athirah yang buat
semuanya. Sekiranya dia tak sibuk, dialah yang tolong. Bila lagi nak memahirkan
diri? Sekarang nilah. Bila dah berumah tangga nanti senang nak uruskan makan
pakai suami,” ujar Mak Salamah sambil menjeling anak daranya itu.
“Betul Kak Sal, saya bersetuju.
Untung Adam dapat memperisterikan Athirah nanti.” Dr. Zulaikha sudah tersenyum
manis sambil memandang Athirah.
Athirah terpegun mendengar
kata-kata Dr. Zulaikha. Berkahwin dengan Adam? Siapa Adam? Majistret? Doktor? Ahli muzik? Wah, dah
macam dialog cerita P. Ramlee pulak! Melihat
keakraban emaknya dan Dr. Zulaikha, Athirah tertanya-tanya siapakah Dr. Zulaikha
itu. Dia tidak pernah tahu emaknya ada kenalan di Kuala Lumpur.
“Umi nak makan di ruang tamu atau
di bawah pokok mangga?” Athirah bertanya di mana Dr. Zulaikha ingin menikmati minum
petangnya.
“Bawah pokok mangga ya. Umi nak
panggil abi dulu,” ujar Dr. Zulaikha. Dia berlalu memanggil suaminya. Dr.
Zulaikha memilih di bawah pohon mangga kerana ingin menikmati suasana petang
dan menghirup udara segar.
Mak Salamah sibuk di dapur menyediakan
makan malam. Dia meminta Athirah melayan Dr. Zulaikha dan Tuan Malik. Athirah
menunjukkan muka masam tanda tidak berpuas hati dengan permintaan emaknya itu.
Jika boleh dia ingin bertemu dengan rakan baiknya Rafidah. Sudah lama rasanya
mereka tidak bersua dan bertukar-tukar cerita. Terasa rindu pula.
SEMINGGU
selepas keputusan SPM diumumkan. Emak dan ayahnya tergesa-gesa mengajaknya pulang
ke Taiping, Perak.
Setibanya
mereka di rumah opah, kelihatan beberapa orang penduduk kampung sedang sibuk
memasang khemah dan menyusun kerusi. Di samping itu juga, ada yang menolong
memotong ayam, memilih beras dan mengupas bawang serta melakukan kerja-kerja
yang lain. Bagaikan ingin mengadakan kenduri kahwin sahaja, fikir Athirah.
Emm...
mesti opah hendak buat kejutan untuknya. Maklumlah keputusan SPMnya cemerlang
dan dia juga merupakan satu-satunya cucu perempuan yang opah ada, bisik hati
Athirah. Dia sedikit girang.
Namun
jawapan yang diterima lewat petang, amat mengecewakan dirinya. Rupa-rupanya
bukan majlis kerana dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tetapi majlis
pernikahannya. Kenapa perlu tergesa-gesa majlis ini diadakan? Umurnya masih muda,
baru lapan belas tahun. Bagaimana dia ingin hidup dengan orang yang dia tidak pernah
kenal? Apa yang dia tahu, bakal suaminya itu adalah anak kenalan emak dan ayahnya
yang datang ke Teratak Emelda tempoh hari. Menurut emaknya, lelaki itu bernama
Adam, berusia dua puluh satu tahun dan masih menuntut.
Majlis
pernikahan Athirah diadakan di masjid. Walaupun sukar untuk dia menerima
keputusan orang tuanya, namun sebagai anak, siapalah dia hendak mengingkarinya.
Masih ada lagi rasa hormat terhadap mereka yang telah membesarkannya. Dia juga
tak mahu dilabel sebagai anak derhaka dan tidak tahu mengenang budi.
Sebaik
sahaja upacara akad nikah selesai, perjalanan majlis menjadi sedikit
kelam-kabut dan gempar. Belum sempat upacara membatalkan air sembahyang dan
menyarungkan cincin dilangsungkan, nenek suaminya tiba-tiba diserang sakit
jantung dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Dia juga tidak berkesempatan
bertemu empat mata dengan suaminya.
Cincin
pernikahan mereka pun hanya diserahkan kepada wakil pihak pengantin lelaki
sahaja. Melalui wakil berkenaan, keluarga Athirah dimaklumkan bahawa nenek
suaminya terpaksa mendapatkan rawatan segera di IJN, Kuala Lumpur. Terdengar
juga desas-desus mengatakan, punca nenek pengantin lelaki terkena serangan
jantung disebabkan cucunya melarikan diri sebaik sahaja upacara akad nikah
selesai.
Panggilan
telefon yang diterima pada malam pernikahannya juga amat mengejutkan Athirah.
Namun segala-galanyanya disimpan di dalam hati kerana tidak mahu ibu bapa dan
ahli keluarganya bersedih dan kecewa.
“Helo...!”
ujar lelaki itu kasar.
Athirah
sudah terpinga-pinga mendengar suara yang tidak kenalinya.
“Aku
nak beritahu kau, aku tak kenal kau dan aku juga tak cintakan kau. Aku tahu...
kau pun tak suka dengan pernikahan ini, kan? Jadi kau dan aku bebas melakukan
apa yang sahaja yang kita suka. Kau jangan cuba nak mengongkong hidup aku.
Faham!” jerkah suara di sebelah sana.
Athirah
sedikit terkejut dengan jerkahan si pemanggil.
“Ada
juga manusia yang tak bertamadun dalam dunia ni,” omel Athirah. “Telefon orang
pun main terjah aje tanpa bagi salam. Dia ingat aku heran sangat nak kahwin dengan dia? Hisy... aku pun tak ingin tahu!” omel Athirah lagi sambil merenung telefon
bimbitnya yang sudah pun diputuskan talian. Nombor telefon lelaki tersebut
terus dipadam daripada senarai panggilan yang diterima.
Inikah
lelaki yang mereka pilih untuk menjadi pembimbing dan pelindung hidupku? Inikah
lelaki yang akan memimpin tanganku hingga ke Syurga Firdaus ALLAH SWT? Lelaki
angkuh lagi bongkak inikah yang telah menikahiku siang tadi? Andai inilah
lelakinya, porak-peranda! Mahu karam bahtera kehidupanku nanti jadinya. Mak...
tolong Baby! Athirah menangisi
dirinya sepanjang malam, mengenang badai yang melanda nasib hidupnya.
Sejak
terputusnya talian telefon itu, maka terputuslah juga hubungannya dengan lelaki
yang telah menjadi suaminya itu. Khabar berita daripada mentuanya dan wang
nafkah yang diterima setiap bulan sahaja yang menjadi jambatan hubungan mereka.
Apa yang dia tahu, lelaki itu masih lagi bernafas di muka bumi ini.
Dirinya
juga diziarahi mentuanya sewaktu ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.
Menyedari hubungan mereka suami isteri bagaikan kutub utara dan kutub selatan
kedudukannya, mentuanya merayu agar dia bersabar. Mentuanya juga meyakinkan dia
bahawa jodohnya bersama suami pasti ada, cuma masanya belum tiba. Tapi sampai
bila dia harus menunggu dan berharap? Perlukah dia bersabar dan terus menanti
untuk disayangi juga dicintai oleh suaminya seperti pasangan suami isteri yang
lain?
Athirah
seperti biasa, mengambil wuduk lalu menyerahkan dirinya yang kerdil kepada
TUHAN Yang Maha Esa. Hanya DIA yang mampu mendengar doa dan rintihan hatinya.
DI KOLEJ KEDIAMAN
sebelah sana, seorang jejaka turut mengalami mimpi ngeri yang seakan-akan sama.
Mikhail bermimpi seorang perempuan merayu-rayu meminta pertolongannya.
“Abang
tolong sayang, lembaga itu ingin membunuh sayang. Abang tolong!” rintih suara
itu.
Mikhail
tercari-cari lembaga yang dimaksudkan oleh perempuan itu. Kelihatan lembaga yang
amat mengerikan menoleh ke arahnya. Mendengar hilai tawa lembaga itu, Mikhail
sendiri merasa seram sejuk dibuatnya. Dia menghulurkan tangan dan cuba menarik
perempuan itu ke dalam dakapannya. Namun belum sempat dia berbuat demikian,
lembaga itu telah melepaskan beberapa das tembakan hingga perempuan itu terkulai
layu. Mikhail terus menerpa dan menyambut tubuh yang tidak bernyawa itu. Dipangkunya
kepala perempuan itu sambil menangis tersedu-sedan.
“Sayang
jangan tinggalkan abang. Abang terlalu cinta dan sayangkan dirimu.”
Mikhail
tersedar dari lenanya bila terasa ada cairan panas mengalir di pipinya. Dia duduk
berteleku seketika memikirkan maksud yang tersirat di sebalik mimpinya tadi.
Dia beristighfar berkali-kali dan berdoa semoga mimpinya itu adalah mainan
tidur semata-mata dan bukanlah suatu petanda buruk.
Siapakah
perempuan itu? Adakah itu isteri yang telah aku abai dan nafikan haknya? Berdosakah
aku Ya ALLAH... membenihkan perasaan cinta ini buat insan lain, selain
isteriku? Kejamkah aku Ya ALLAH... menghukum isteriku yang tidak berdosa itu? Apa
yang harus aku lakukan Ya ALLAH? Persoalan
demi persoalan menerjah mindanya.
Bantulah
hamba-Mu ini Ya ALLAH. Ya ALLAH... andai dia benar-benar jodohku yang telah
Engkau tetapkan di Loh Mahfus, eratkanlah ikatan dan hubungan yang suci ini.
Ya ALLAH... aku mohon agar kami dipertemukan
dan limpahkanlah perasaan kasih dan sayangku ini hanya untuknya.
Maafkan aku wahai isteri, aku gagal
menjalankan amanah dan tanggujawabku selama ini, bisik Mikhail dengan nada
penuh penyesalan.
Tapi
Athirah bagaimana? Layakkah isterinya menerima curahan kasih sayang dan cintanya?
Sanggupkah isterinya berkongsi kasih dengan perempuan yang dia benar-benar
cinta? Aku tidak akan sekali-kali melepaskan Athirah pergi dari hidupku.
Perlukah aku lepaskan sahaja isteriku itu daripada aku terus menyeksa dan
menghukum dirinya yang tidak berdosa? Jika itu jalan yang terbaik, maka aku
harus lakukannya. Ya ALLAH... bantulah aku dalam mencari jalan penyelesaian
yang membelenggu hidupku ini.
Mikhail
bangun lalu berwuduk dan menunaikan solat sunat taubat dan solat istikharah
seperti malam-malam sebelumnya. Dia perlu memohon petunjuk daripada ALLAH agar
dapat menetapkan hatinya, sama ada melepaskan isterinya dan memilih Athirah
atau melepaskan Athirah dan memilih isterinya. Dia tidak mahu menjadi lelaki
yang tamak. Tapi apa yang dia rasakan sekarang ini, perasaan cinta dan sayangnya
semakin menggebu untuk Athirah. Athirah akan kekal menjadi kekasihnya dan kekal
di sampingnya sehingga dia benar-benar yakin dan pasti ke mana hati perlu
diserahkan. Sesudah melakukan solat sunat, dia menyambung kembali lenanya.
Gemersik
azan Subuh yang berkumandang mengejutkan Mikhail dari lenanya yang tidak
seberapa. Dia benar-benar mengantuk, namun ditahan jua kantuknya demi
menunaikan seruan Ilahi.
Mikhail
menghampiri Borhan. Mengejutkan Borhan juga sudah menjadi rutin hariannya.
“Oii... pak cik! Bangunlah mandi! Lepas ni
nak pergi masjid pulak.”
Mikhail
berlalu untuk membersihkan diri selepas mengejutkan Borhan.
“Hans...
cepatlah sikit! Nanti ramai orang, kita tak dapat duduk saf depan.Terhegeh-hegeh
betullah kau ni!” Mikhail berleter. “Kalau tak kejutkan, bukan main lagi
merungut ini dan ini. Dikejutkan pulak,
susah nak bangun,” bebel Mikhail lagi.
“Yalah...
yalah...! Aku cepatlah ni! Kau ni cubalah bawa bersabar sikit. Ini tak
menyempat-nyempat. Kau ada temu janji dengan awek kau ke pagi-pagi buta ni?”
giat Borhan.
“Awek
kepala otak kau! Aku cuma nak duduk saf depan, itu saja. Bukan ke banyak pahala
sekiranya kita berada di saf hadapan? Sembahyang pun lebih khusyuk,” terang Mikhail.
Selepas
kuliah Subuh, masing-masing pulang ke bilik sementara menunggu masa untuk
melakukan aktiviti selanjutnya. Mikhail menyambung kembali lenanya buat
seketika.
“Hans...
pukul tujuh setengah nanti kau kejutkan aku ya. Aku nak tidur kejap.”
Borhan hanya
menganggukkan kepalanya. Dia meneliti buku program dan menyemak segala aktiviti
yang bakal berlangsung sepanjang hari ini.
Wah... Borhan ambil kesempatan. Tp kelakarlah. AThirah pun satu. Dilayan budak Borhan tu buat apa???
ReplyDeleteAyu... hehehe...
ReplyDeletebest citer nih..da publish ea?rsa2 cm pnah jmpa at kdai..
ReplyDelete##jeles btul dgn org yg ad bkat mnulis ni..