Bab 20
SHAHRUL HAIRI membawa
isterinya keluar bersiar-siar dan menikmati keindahan Musim Bunga di bumi
Korea. Tengah hari esok mereka akan kembali semula ke Malaysia. Tempat utama
yang ingin dia bawa isterinya pergi ialah Pulau Nami. Dia pasti isterinya akan
gembira apabila tiba di sana nanti.
“Abang nak bawa Hani pergi mana ni?”
“Rahsia.”
“Ala... bagilah tahu!” Pujuk Salmiha
Haini.
Shahrul Hairi geleng kepala. Tanda
enggan berkompromi.
“Tak
baik tau main rahsia-rahsia,” rajuk Salmiha Haini. Muncungnya sudah panjang
sedepa.
Shahrul Hairi tersengih melihat
muncung isterinya. Boleh buat hanger,
bisik hatinya nakal.
“Kita nak ke Pulau Nami,” bisik
Shahrul Hairi beralah. Dia mahu isterinya merasai detik gembira dan bukannya
bermuram durja.
Gembira
bukan kepalang Salmiha Haini bila mendapat tahu mereka akan ke Pulau Nami. Dia
benar-benar teruja hendak melihat lokasi penggambaran filem Winter Sonata itu.
“Wah...
bestnya!” Ucap Salmiha Haini ceria.
Lantas pipi Shahrul Hairi dikucup. “Sayang abang,” ujarnya sambil tersenyum
manis.
“Amboi...
bawa jalan-jalan, sayang! Kalau tak bawa ke mana-mana siap kutuk abang lagi,”
perli Shahrul Hairi.
“Mana
ada! Setiap hari sayang abang tau,” balas Salmiha Haini manja.
Shahrul
Hairi mengukirkan senyuman. Bahagia segenap pelosok hatinya mendengar ungkapan
sayang dari mulut Salmiha Haini.
Setibanya di Pelabuhan Gapyeong,
mereka menaiki feri menyeberangi Sungai Han. Perjalanan hanya mengambil masa
lebih kurang sepuluh minit sahaja untuk tiba di Pulau Nami. Salmiha Haini
begitu teruja dan asyik melihat pemandangan di kawasan sekitar. Sungguh
menakjubkan sekali kejadian alam ciptaan ALLAH ini.
Shahrul Hairi merangkul erat
pinggang Salmiha Haini. Mereka berjalan menyusuri laluan yang digunakan oleh
Joon-Sang dan Yu-Jin ketika memadu kasih dalam filem Winter Sonata.
“Abang cantiknya tempat ni,” puji
Salmiha Haini. Rata-rata pelancong yang terdapat di situ juga sama sepertinya.
Teruja!
Shahrul Hairi angguk kepala. Dia
turut menikmati keindahan di pulau cinta itu. Mereka meneruskan langkah sambil
berpimpinan tangan.
“Lain kali kita datang lagi. Kita
ronda kat kawasan ni puas-puas,” ujar Shahrul Hairi sambil mengucup bibir
isterinya.
“Hesy... abang ni, tak senonoh
betul. Malulah orang tengok,” tegur Salmiha Haini memprotes. Merona merah
wajahnya apabila perbuatan Shahrul Hairi menjadi santapan mata segelintir
pelancong.
Shahrul Hairi sekadar tergelak
mendengar omelan isterinya.
Salmiha Haini membulatkan matanya
tanda geram.
Sebelum
pulang mereka mengambil gambar kenang-kenangan. Poster
pelakon utama Winter Sonata dijadikan latar bagi merakamkan gambar mereka.
Kalaulah Sofea tengok gambar mereka ketika ini, tentu jeles habis perempuan tu.
Salmiha Haini sebenarnya teringin
sangat hendak bergambar sambil memeluk patung hero tersebut. Tetapi abang
sayangnya sudah buat muka ketat mengalahkan dia hendak memeluk tubuh hero yang
sebenar-sebenarnya. Tak faham sungguh! Dengan patung yang keras kejung tu pun nak cemburu.
DI
SEBELAH PETANG
pula, Shahrul Hairi membawa Salmiha Haini pergi ke Namdaemun market. Isterinya ingin mencari sedikit
buah tangan untuk di bawa pulang. Koleksi kerongsang yang cantik-cantik
membuatkan Salmiha Haini rambang mata. Shahrul Hairi menggeleng kepala melihat
gelagat isterinya. Kalau boleh semua barangan yang dijual di situ ingin
dibelinya. Shahrul Hairi sebenarnya tidak kisah jika isterinya ingin memborong
barang-barang yang terdapat di situ kerana baginya kegembiraan isterinya adalah
kegembiraannya jua. Tapi biarlah berpada, jangan sampai jadi pembaziran pula.
“Aduh... letihnya abang!” Keluh
Shahrul Hairi apabila tiba di bilik hotel. Dia melontarkan tubuhnya ke atas
tilam. Sudah beberapa kali dia terbang ke Korea, baru kali ini dia merasa
benar-benar letih. Biasanya dia lebih suka memerap di dalam bilik. Keluar pun
sekadar mencari makanan untuk mengalas perut atau mencari barang-barang yang
dikirim oleh rakan-rakannya sahaja.
“Huh... tak ikhlaslah tu kalau dah
merungut macam tu?” Sindir Salmiha Haini. Dia membelek barang-barang yang baru
dibelinya tadi.
Shahrul Hairi bingkas bangun.
Bimbang juga dia jika isterinya terasa hati dengan kata-katanya.
“Mana ada! Abang ikhlaslah bawa
isteri abang jalan-jalan dan membeli-belah,” beritahu Shahrul Hairi. “Kalau honey nak tahu, baru hari ni abang berjalan-jalan
di sini. Sebelum ni abang hanya duduk dalam bilik je.”
Salmiha Haini memandang wajah
suaminya mencari kebenaran.
“Kalau tengok muka abang macam nak
telan tu, tahu sangat dah! Mesti honey
tak percaya kata-kata abang, kan?” Perli Shahrul Hairi. Memang dia tahu sangat
dengan sikap isterinya itu. Langsung tak ada nak sorok-sorok mimik muka dia
sekiranya dia tak yakin dengan kata-kata seseorang.
“Tanya dekat Max sekiranya tak
percaya!” Shahrul Hairi bersuara lagi.
“Percayalah!”
“Nasib baik percaya. Jika tidak
terpaksa la abang belah dada abang ni untuk membuktikan kebenarannya,” usik
Shahrul Hairi.
“Betul ke nak belah dada?” Usik
Salmiha Haini. Raut wajahnya diseriuskan. Tangannya menyelongkar beg tangannya.
“Honey cari apa tu?” Tanya Shahrul Hairi dengan nada cuak.
“Nak cari pisau lipat!” Jawab
Salmiha Haini bersahaja.
“Hah! Nak buat apa dengan pisau
tu?” Shahrul Hairi sudah gelabah. Biar betul bini aku ni! Aku gurau je. Tak akan dia tangkap serius pulak?
“La... tadi kata nak belah dada.
Ni... Hani nak tolong belahkan dada abanglah!”
“Hesy... apa ni honey? Abang gurau ajelah!”
Salmiha Haini ketawa kelucuan. Muka
pucat suaminya buatkan dia geli hati.
“Hah... tahu takut!” Ejek Salmiha
Haini.
“Oh... dah pandai gurau kasar
sekarang ni ya?” Shahrul Hairi menghampiri isterinya.Terus pinggang isterinya
digeletek.
Jerit-pekik Salmiha Haini minta
dilepaskan.
Shahrul Hairi langsung tidak
mengendahkannya malahan makin galak lagi dia menggeletek.
“Abang geli la...” Bergenang air
mata Salmiha Haini akibat terlalu banyak ketawa dan menahan kegelian.
“Hah... rasakan! Tadi bukan main
lagi kenakan abang,” balas Shahrul Hairi sambil tergelak. Tangannya masih lagi
ligat menggeletek pinggang Salmiha Haini.
“Abang... tolonglah! Rasa macam nak
terkucil aje ni,” rayu Salmiha Haini. Tawanya juga turut bergema. “Hani minta
maaf,” ucapnya pula.
Kasihan pula Shahrul Hairi
mendengar rayuan isterinya. Segera dia menghentikan tindakannya. Dia menarik
Salmiha Haini ke dalam pelukannya.
“Abang ni teruklah! Nak bergurau
senda pun tak boleh,” rungut Salmiha Haini.
“Ini macam nak kena geletek aje
lagi ni?” Usik Shahrul Hairi.
Salmiha Haini pantas menggeleng
kepala. Tak sanggup rasanya digeletek buat kedua kali. Serik!
nk lagi.......bestnya.....
ReplyDeleteNak lagi...
Deletedah tamat di blog.
Blh dptkannya dlm versi cetak pula.
BEST 3X NAK LAGI.
ReplyDeleteBc dlm versi cetak pula ya baby mio.
DeleteSACA ni mmg best dan menarik. Dah habis bc pun...
ReplyDeleteyg blm bc jgn jeles ya...
Terima kasih Onah...
Deleteharap berpuas hati dgn SACA
Novel ni smpai bab 20 jer ke?
ReplyDelete