Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Tuesday 10 April 2012

Cinta Itu Milikku Bab 19

              
Salam kemaafan buat semua. Maaf sgt2 sbb lambat post n3 kali ini. Selamat membaca dan mohon maaf jika ada yang tak sempurna. CIM sudah smpi ke peghujungnya. Hanya tinggal 3 bab shj lg utk dipostkan ke sini. Semoga anda semua terhibur dan sayang sgt2 anda semua.Terima kasih atas sokongan kerajinan anda semua membaca coretan yang tidak seberapa ini. Rajin2lah tinggalkan jejak anda....  ^-^




                                                                   
KINI... hampir tiga minggu umat Islam menjalani ibadah puasa. Tidak lama lagi, Athirah dan seisi warga Kuala Lumpur mahupun Selangor yang berhijrah sama ada menuntut ilmu ataupun mencari rezeki akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidil Fitri.


Athirah berhasrat pulang ke rumah abang-abangnya untuk menghantar baju Melayu yang sudah siap dijahit. Dia ingin memastikan baju-baju yang dijahitnya menepati cita rasa abang-abang kesayangannya itu. Dia juga akan berbuka puasa dan bermalam di sana. Teman karibnya Fazlina, Salmi, Aina dan Aisyah juga ingin mengikutnya.


Roslan dan Rosman sudah pun menanti ketibaan Athirah iaitu adik kesayangan mereka. Seperti biasa, Athirah akan menyalami dan mengucup kedua-dua belah pipi abang-abangnya. Rakan-rakannya yang lain sudah terlopong melihat keakraban antara Athirah dan abang-abangnya. Mereka... jika berjumpa dengan adik-beradik sekadar mencium tangan. Tidak ada adegan berlaga pipi, apatah lagi dengan adik-beradik lelaki. Keakraban dan kasih sayang yang Athirah tonjolkan di hadapan mereka, menarik minat masing-masing untuk terus memandang.


“Abang Lan dan Abang Man, kenalkan kawan-kawan Baby. Yang ini Salmi, Fazlina, Aina dan Aisyah,” ujar Athirah sambil menudingkan ibu jarinya ke arah rakan-rakan karibnya itu.


“Mari masuk semua. Jangan malu-malu buat macam rumah sendiri,” beritahu Roslan sambil memeluk mesra bahu adiknya itu. Sebelah lagi tangannya menjinjing beg pakaian yang dibawa oleh Athirah sebentar tadi.


Rosman memegang tangan kiri Athirah sambil mempelawa sekali lagi rakan-rakan adiknya masuk ke dalam rumah.


“Wah, sedapnya bau! Siapa masak ni?” tegur Athirah. Dia sudah masuk ke bahagian dapur selepas mempersilakan rakan-rakan berehat di ruang tamu. “Emm... sedapnya bau gulai ikan tongkol ni! Abang Lan masak ya?” tanya Athirah. Dia mencapai sebatang sudu dan merasa gulai ikan tongkol yang masih lagi berasap itu.


Hisy... Baby ni, tak senonoh betul! Kalau ya pun tak puasa, hormatlah sikit orang yang sedang berpuasa. Jika tak ada perasaan malu sesama manusia, malulah sikit dengan ALLAH,” nasihat Rosman sambil mencubit pipi gebu adiknya itu.


“Maaf! Siapa suruh Abang Man ikut Baby sampai ke dapur? Duduklah kat depan berborak-borak dengan kawan-kawan Baby. Hari tu suruh Baby carikan calon isteri untuk abang, kan? Pilihlah yang mana satu abang berkenan kecuali yang pakai baju warna hijau tu. Itu dah ada yang punya.” Athirah merujuk pada Fazlina.


Mata Rosman tidak berkelip memandang wajah Athirah. Biar benar adiknya seorang ini? Deman ke apa dia ni? Patutlah tiba-tiba aje angkut kawan-kawannya ke mari, getus Rosman.


“Eh... Abang Lan mana? Dah tak nampak batang hidung.” Athirah bertanya.


“Ada kat sini. Kenapa? Dah rindu sangat dengan abang?” usik Roslan. Kepala adiknya digosok.


“Siapa yang masak gulai ni? Sekiranya sedap macam ni, mesti Abang Lan yang masak. Nak harapkan Abang Man, alamatnya hancurlah gulai ikan ni dikerjakannya.” Athirah mengusik Abang Rosmannya. Rosman pakar memasak nasi Arab. Maklumlah menuntut di Timur Tengah beberapa tahun, sedikit sebanyak abangnya dapat menguasai masakan di sana.


“Huh, Baby ni! Jika tak sakitkan hati Abang Man, memang tak sah!” Rosman sedikit merajuk.


Roslan ketawa dan menggeleng. Adiknya itu jika sehari tidak mengusik mereka, boleh jatuh sakit!


Kawan-kawan Athirah hanya mendengar adik-beradik itu bertikam lidah. Mereka gembira dengan suasana begini. Keakraban antara Athirah dan abang-abangnya jelas kelihatan sekali. Mereka tidak sunyi dengan gurau senda dan sakat menyakat. Sungguh meriah!


Sorry... geng!” ujar Athirah sambil mengambil tempat duduk di sisi teman-temannya. Kasihan pula membiarkan kawan-kawannya buat hal sendiri di ruang tamu. “Aku kalau jumpa dengan abang-abang aku memang macam ni. Tak pernah tak bertekak. Itu belum lagi Abang Rostam ada. Jika dia ada, mahu runtuh rumah ini dibuatnya,” jelas Athirah bersama senyuman.


Dua hari lagi Abang Rostamnya akan tiba dari Dubai. Kerjanya di sana telah siap lebih awal dari yang dijadualkan. Setelah itu, Athirah dan abang-abangnya akan pulang ke kampung mereka yang terletak di Pulau Kapas. Abang-abangnya juga bercuti selama seminggu sebagaimana universiti Athirah. Bagi mereka, berkumpul adik-beradik adalah saat yang paling menyeronokkan. Pelbagai aktiviti sepanjang hari raya dapat dilakukan bersama. Banyak program yang telah mereka rancangkan sepanjang cuti raya kali ini. Mereka bercadang pulang ke kampung halaman emak dan ayahnya di Taiping, Perak.


Athirah tidak tahu macam mana emak dan ayahnya boleh merantau hingga ke Pantai Timur. Mungkin ingin mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Itulah yang Athirah fikirkan selama ini.


Athirah juga tidak sabar hendak pulang ke Taiping. Dia ingin bertemu dengan opah dan sahabat baiknya Hariz. Walaupun Hariz tua enam tahun daripadanya, namun mereka amat rapat. Harizlah orang pertama yang menghulurkan salam persahabatan ketika Athirah menjejakkan kaki ke Taiping buat pertama kali. Ketika itu, Hariz di tingkatan lima manakala Athirah di darjah lima. Mereka akan bertemu setiap kali Aidil Fitri. Cuma kebelakangan ini sahaja mereka jarang berjumpa selepas Hariz melanjutkan pelajarannya ke UK. Athirah berharap sangat dapat bertemu dengan Hariz ketika pulang beraya kali ini. Dia sangat merindui sahabatnya itu.


Oiit... sudah-sudahlah tu berangan! Pergi hidang makanan kat dapur dan buat air. Sekejap lagi nak masuk waktu berbuka puasa,” tegur Abang Roslannya.


“Jom abangku sayang, kita pergi dapur. Anak-anak dara sekalian, kau orang duduk di sini dulu ya. Kami nak ke dapur, nak hidang makanan,” ujar Athirah.


“Eh... tak apa... tak apa...! Biar kami yang tolong kau,” ujar Salmi mewakili rakan-rakannya yang lain.


Aah... betul tu Athirah! Biar kami yang tolong kau hidangkan makanan. Lagipun kesian kat abang-abang kau. Dahlah mereka siapkan makanan untuk kita berbuka puasa, tak akanlah mereka nak kena hidangkan juga,” tambah Aisyah.


“Kalau begitu kata kau orang, jomlah kita ke dapur,” ajak Athirah.






SEPANJANG berbuka puasa, masing-masing makan dengan tertib. Sama ada sang teruna malu dengan kehadiran sang dara. Atau si dara pingitan segan dengan adanya si teruna di hadapan mereka. Sepatah Athirah tanya, sepatah jugalah yang mereka jawab. Kadangkala pertanyaan Athirah langsung tidak berjawab. Athirah pelik melihat gelagat rakan-rakan dan juga abang-abangnya.

Bukankah selama ini ada sahaja benda yang ingin mereka cerita dan tanyakan. Emak dan ayah yang selalu menegah mereka membuat bising di meja makan pun kadangkala mereka abaikan. Ada ketikanya, sampai bertepuk bertampar di meja makan. Tapi sekarang apa sudah jadi? Macam makan di meja VVIP pulak. Semuanya penuh dengan kesopanan dan ketertiban. Kawan-kawannya pula seperti ingin menyorok bawah meja sahaja lagaknya. Hari ini dalam sejarah hidup Athirah, makan dalam suasana senyap, sunyi dan sepi.

“Ehem... ehem...” Athirah berdehem.

Masing-masing memandang Athirah dengan sedikit kehairanan.

“Kenapa hari ni, semuanya makan dengan penuh perasaan? Sedap sangat ke abang aku masak sampai kau orang tak boleh nak buka mulut?”Athirah bertanya kawan-kawannya.

Fazlina, Aina, Salmi dan Aisyah membalas kata-kata Athirah dengan senyuman. Terasa segan pula mereka hendak bersuara.

“Dan abang-abangku sayang, tak akanlah tengok kawan-kawan Baby yang cantik jelita ni sampai hilang suara yang macho tu?” Athirah mengusik abang-abangnya pula.

Baby... habiskan makanan tu dulu baru bercakap,” tegur Roslan. “Cepat sikit makan! Sekejap lagi boleh kita solat Maghrib berjemaah,” ujar Roslan sedikit tegas.

Alamak! Dah keluar aura tegas dia! Bisik hati Athirah. Athirah mengukirkan senyuman manis buat Abang Roslannya. Dia tahu abangnya itu tidak selesa berlama di meja makan dengan orang yang dia tidak kenal rapat. Abang Rosmannya pula, memang tidak akan membuka mulut jika ada orang perempuan di hadapannya.

“Abang Lan dan Abang Man pergilah sembahyang dulu, tak perlu tunggu kami. Kami semua tengah angkat bendera merah,” ujar Athirah. Kebetulan pula sebulan dua ini, mereka berlima menghadapi ‘hari wanita’ bersama-sama.

Merona merah muka kawan-kawan Athirah. Sungguh tak ada bertapisan langsung sahabatnya itu jika bercakap.

“Athirah... benda sensitif macam ni kau boleh cerita selamba dengan abang-abang kau? Kalau aku takdelah nak buka cerita,” luah Aina sewaktu membantu Athirah mencuci pinggan di dapur. Terkejut Aina apabila Athirah tanpa segan-silu bercerita perihal wanita dengan abang-abangnya. Sedangkan dia... jika abangnya dapat tahu pun sudah terasa malu.

“Maaflah sekiranya aku dah buat korang tak selesa,” pinta Athirah. Tiada terniat di hatinya hendak memalukan sahabat-sahabat baiknya itu.

“Hal kecik aje,” balas Aisyah.

“Betul kata Aisyah tu.” Fazlina bersuara.

Salmi mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Aisyah dan Fazlina.

Athirah tersenyum memandang teman-temannya.

Athirah hanya lepas laku dengan adik-beradiknya sahaja. Bersama orang yang dia tidak rapat atau kenal, dia akan menjaga adab pergaulannya. Secara automatik, tingkah lakunya akan menjadi tertib. Athirah rasa, dia tidak perlu berahsia tentang hari wanitanya dengan abang-abangnya. Roslan selalu merawatnya jika dia didatangi senggugut dan membekalkan ubat-ubatan untuknya. Rosman pula sering mengajarnya tentang kebersihan dan cara menguruskan tuala wanita dengan betul manakala Rostam sudah faham angin puting beliungnya jika hari wanitanya datang menjelma. Sejak kebelakangan ini, dia sudah bijak mengawal anginnya. Lagipun tidak ada orang yang hendak melayan kerenah manjanya itu. Kalau ada pun hanya Mikhail seorang.






DISEBABKAN mata Athirah belum mengantuk, dia menyertai Rosman dan Roslan menonton perlawanan bola sepak. Sejak pulang dari solat tarawih, abang-abangnya setia menghadap televisyen. Athirah  datang menumpang sekaki tetapi dengan niat yang berbeza. Dia ingin mengganggu konsentrasi abang-abangnya itu.

“Abang Lan dan Abang Man dah cuba baju yang Baby jahit?” tanya Athirah. “Cubalah dulu ya. Jika tak selesa bagi tahu, nanti Baby ubah balik.”

“Semua dah okey. Tak perlu buat apa-apa lagi,” ujar Rosman. Tanpa memandang Athirah.

Roslan hanya mengangguk.

Mata mereka masih lagi tertumpu pada skrin TV.

“Jumaat ni nak suruh abang ambil pukul berapa?” Rosman memandang adiknya sepintas lalu. Matanya kembali menonton perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung.

“Abang ambil lepas solat Jumaat, boleh? Nanti boleh kita hantar kawan-kawan Baby ke Pudu Raya dan Hentian Putra sekali,” saran Athirah.

“Baiklah jika macam tu. Esok pukul berapa nak suruh abang hantar ke kolej?” Rosman bertanya lagi.

“Amboi, abang! Tak sabar-sabar nak halau Baby balik ya?” gurau Athirah.

“Takdelah sampai menghalau. Esok senang nak aturkan masa. Kalau lambat susah pula nak berbuka puasa,” tokok Rosman kembali.

“Esok lepas Zohor boleh?” tanya Athirah lagi.

Emm... okey!”

Abang Roslannya andai lihat Chelsea beraksi, mulutnya sudah terkunci. Berlakulah apa-apa di sekitarnya, dia buat tak kisah sahaja. Apalah yang seronok sangat dengan bola sepak ini? Keluh Athirah. Athirah hanya menonton bola sepak jika Cristiano Ronaldo beraksi. Itu pun disebabkan hendak melihat muka pemain bola sepak yang dikatakan hensem itu. Dia bukanlah penggemar tegar sukan bola sepak. Tapi kini disebabkan Mikhail lebih hensem berbanding Cristiano Ronaldo, maka bintang bola sepak pujaan ramai itu dihumban jauh dari mindanya.

Kawan-kawan Athirah sudah pun masuk ke bilik yang disediakan untuk mereka. Salmi dan Fazlina tidur di bilik Athirah. Aina dan Aisyah tidur di bilik yang disediakan untuk  emak dan ayahnya. Athirah pula menumpang di bilik Rostam memandangkan tuannya tidak ada di rumah.

“Abang Man dan Abang Lan, tak berkenan dengan kawan-kawan Baby?” Athirah bertanya.

Roslan dan Rosman memandang pelik wajah adiknya.

Roslan segera meletak tangannya untuk merasa suhu badan Athirah.

Athirah segera menepis tangan abangnya itu.

“Nasib baik tidak ada penyakit yang serius!” usik Roslan. “Sejak bila Baby jadi ejen pencari jodoh?”

“Sejak ketiga-tiga abang Baby dah jadi bujang terlajak,” ujar Athirah selamba.

“Amboi..bisanya ayat!” tambah Roslan. “Umur abang muda lagilah. Baru dua puluh sembilan tahun. Orang lelaki, makin tua makin tinggi saham dan ramai peminat,” ujar Roslan selamba. Dia sudah ketawa melihat cebikan di mulut comel adiknya itu.

“Sekiranya Abang Lan muda lagi, maka Abang Man pun masih muda jugalah. Abang  Man dua tahun lebih muda daripada Abang Lan.” Rosman tersengih memandang muka adiknya yang sudah masam mencuka.

“Eh, abang berdua nak tahu tak? Kat kampus Baby ada seorang senior tu, umur dia baru dua puluh tiga tahun tapi dah kahwin. Ni tengok adik abang ni, umur lapan belas tahun dah kahwin,” bisik Athirah. Bimbang rakan-rakannya mendengarnya.

“Nampak sangat abang-abang Baby ni tak laku! Nak kata tak hensem, muka sorang-sorang dah macam pelakon Korea. Nasib baik mata tak sepet. Kalau tidak, memang orang kata abang-abang Baby ni kacukan Korea Melayu punyalah,” perli Athirah. “Jikalau Baby ni bukan adik abang, dah lama Baby mengofferkan diri jadi isteri salah sorang daripada abang-abang Baby ni,” ujar Athirah sedikit bengang bila abang-abangnya tidak mengendahkan cadangannya.

Baby ingat kahwin ni macam order pizza atau KFC? Nampak sedap atau menyelerakan terus rembat?” soal Roslan. “Kita perlu kenal hati budi dan perangainya terlebih dahulu. Latar belakang keluarganya macam mana. Dan paling penting keimanannya. Semuanya kita kena selidik dengan teliti. Jangan nampak berkenan terus ambil buat isteri atau suami. Tak boleh macam tu,” terang Abang Roslannya. “Sekurang-kurangnya berkawan dulu. Andai serasi barulah ke peringkat seterusnya,” tambah Roslan lagi.

Rosman angguk kepala. Setuju!

“Orang perempuan memang kena kahwin awal sebab mereka cepat menopause,” usik Roslan. Dia sudah hendak ketawa terbahak-bahak melihat wajah cemberut Athirah. Tetapi ditahannya kerana bimbang adiknya terasa dan mengganggu lena kawan-kawan adiknya pula.

“Kawan Baby tu okey juga Abang Lan tengok. Cuma Abang Lan masih belum bersedia lagi,” ujar Roslan sambil menggosok-gosok kepala Athirah. Lantas kepala itu dilentokkan ke bahunya. Dia tidak mahu mengulas tentang perkahwinan awal Athirah, bimbang akan hanya mengguris hati dan perasaan adiknya sahaja.

“Abang Man macam mana pula? Dulu beria-ia suruh Baby carikan jodoh.” Athirah masih lagi tidak berputus asa.

“Abang Man? Sekiranya orang dah berkenan, Abang Man terima aje. Dia nak ke dengan abang yang terlebih kacak ni?” Rosman buat lawak tak seram.

Athirah mendiamkan diri.

Rosman menyambung kembali kata-katanya.

Baby jangan risau, ALLAH dah tentukan jodoh untuk setiap hamba-Nya. Cuma cepat atau lambat, itu sahaja. Kita sama-sama berdoa semoga ALLAH mempertemukan jodoh yang terbaik buat kita semua,” ujar Rosman lembut supaya Athirah dapat menerima kata-katanya dengan hati yang terbuka.

Baik Roslan mahupun Rosman, mereka tidak tahu apa yang bersarang dalam kepala adiknya itu. Athirah sebenarnya kasihankan Salmi. Bukan Athirah tak tahu bagaimana kehidupan Salmi sejak mereka berkawan. Sumber kewangan Salmi juga terhad. Mujurlah Salmi bijak menguruskan perbelanjaan hariannya. Pabila dia ingin menghulurkan bantuan, Salmi sering menolak dengan alasan tidak mahu menyusahkan orang lain. Jika ada abangnya yang berkenan dengan Salmi, bolehlah dia mengusulkan cadangan kepada emak dan ayahnya. Sekiranya Salmi berkahwin dengan salah seorang abangnya, sekurang-kurangnya beban kewangan Salmi dapat dikurangkan.

Baby nak masuk tidur dululah. Cakap dengan abang berdua buat habiskan air liur aje,” ujar Athirah sedikit merajuk.

“Esok jangan lupa bangun awal! Masak untuk sahur,” seloroh Roslan.

Baby tahulah tanggungjawab Baby tu!” jawab Athirah sambil memuncungkan mulutnya.

Roslan dan Rosman tertawa melihat gelagat adik bongsunya. Sudah besar adiknya itu.

Roslan masih ingat lagi ketika dia berusia sembilan tahun. Rosman berusia tujuh tahun manakala Rostam pula menginjak ke usia lima tahun. Arwah adiknya Rashid berusia sembilan bulan. Setelah mendapat panggilan daripada majikannya, ayahnya Pak Kassim keluar. Tidak lama kemudian, ayahnya pulang ke rumah dalam keadaan kelam-kabut. Emaknya pula tergesa-gesa mengemas pakaian dan barang-barang perlu. Kata ayahnya, mereka perlu meninggalkan rumah besar itu dengan segera. Dia ditugaskan mengejut adik-adiknya daripada tidur. Ayahnya ketika itu bekerja sebagai pemandu peribadi kepada seorang peguam terkenal di KL manakala emaknya menjadi tukang masak di rumah besar itu.

Ketika mereka sedang sibuk berkemas, muncul tuan rumah bersama satu bungkusan kain berwarna putih. Rupanya tuan rumah tersebut menyerahkan seorang bayi yang sangat comel. Peguam tersebut menyuruh emaknya menjaga dan mendidik bayi comel itu dengan baik dan sempurna.

Selepas peristiwa itu, dia dan Rosman hampir seminggu tidak ke sekolah. Setelah menghantar mereka ke Terengganu, ayahnya terpaksa ke Kuala Lumpur semula untuk menguruskan pertukaran sekolah mereka. Sepanjang tempoh seminggu tidak bersekolah itu, dialah yang sentiasa berada di sisi bayi comel itu. Roslan tidak mahu Rosman ataupun Rostam mengganggunya. Panggilan Baby digunakan sejak Athirah kecil lagi dan kekal hingga ke saat ini. Arwah Rashid pula dipanggil adik oleh emak dan mereka yang lain. Hanya setakat itu sahaja dia tahu tentang kewujudan Athirah. Pernah juga dia bertanya tentang Athirah, tetapi emaknya meminta jangan diungkit lagi apa-apa cerita yang sudah lepas. Mereka juga tidak boleh jatuh cinta dengan adiknya itu kerana mereka adalah adik-beradik susuan menurut emaknya.

Kisah adiknya dinikahkan secara paksa juga masih segar dalam ingatannya. Sewaktu dia dan Rostam tiba, Athirah terus memeluknya erat dan menangis semahu-mahunya. Jenuh dia memujuk adiknya itu supaya tabah dan reda dengan ketentuan ALLAH. Wajah adik iparnya agak kabur dalam ingatan. Maklumlah berjumpa pun hanya seketika di majlis pernikahan tersebut. Selesai sahaja upacara akad nikah, adik iparnya itu terus berlalu pergi walaupun cuba dihalang oleh ahli keluarganya. Apa yang diberitahu oleh emaknya, adiknya itu masih lagi isteri orang.

“Man tak nak tidur lagi?” Roslan menepuk paha adik lelakinya.

“Abang Lan pergilah tidur, Man nak habiskan tengok perlawanan bola ni dulu. Lagipun esok Man tak kerja. Lainlah Abang Lan, kerja Abang Lan memerlukan komitmen yang tinggi. Nanti tempat lain yang perlu Abang Lan bedah, terbedah tempat lain pulak. Tak ke haru jadinya pesakit abang tu?” Rosman mengusik abang sulungnya itu.

“Abang masuk tidur dulu. Sebelum Man tidur, jangan lupa periksa semua pintu dan tingkap sekali lagi sama ada sudah berkunci ataupun belum,” pesan Roslan.


“Insya-ALLAH... nanti Man turun periksa semuanya,” ujar Rosman.            

















26 comments:

  1. Bestlah abg2 Athirah ni. Rasa nak masuk aje dlm famili ni. Penuh dgn kasih sayang dan keprihatinan. Jeles lah wei ada abang2 mcm ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Satu cth yg baik buat kita semua, betul tak anonymous?

      Delete
  2. Pengubat rindu sudah mari. Alahai kak mana Abg Khai kesayangan saya tu????? Oh... Tidak!!!! Mikhail I miss U lerrr...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Abang Khai tgh sibuk berpuasa jd tak blh tonjolkan diri selalu. Takut hilang pahala. hehehe...

      Delete
  3. Alahai... Abang Lan dan Abang Man, perilaku anda berdua buatkan saya terjatuh cinta. Betul kata anonymous tu... pasti best jika ada abg2 mcm ni... Nak abang gak. kesiannya aku takde abang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Puteri...

      Ambiklah Abg Lan dan Abg Man tu, takde org nak marah pun.
      Mmg best pun jika ada abg yg baik & selalu ambil berat.

      Delete
  4. Mmg hepening mrk adik beradik ni. Ada shj tingkah mrk yg buat saya tersenyum.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous...

      Teruskan membaca ya. Dan tq sbb sukakan watak2 dlm CIM.

      Delete
  5. Comey jer Athirah dan abg2nya. Mana Mikhail menghilang? dah Windu ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous...
      Rindukan Mikhail. Bab akan dtg dpt jumpa dia. Tp part dia tak byklah...

      Delete
  6. Salam Kak Dayana...

    Alina suka sgt dgn citer ni.... Dah nak stop ye kak CIM ni? Pasti saya terkenang2kan hero dan heroinnya nnt. Sob...sob...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Alina...

      TQ sbb sukakan citer yg tak seberapa ini. CIM dah smpi ke penghujungnya. Takpe jgn bersedih mgkn lepas ni blh dptkan dlm versi cetak pula. Insya Allah.

      Delete
  7. Awat cek blh terlepas Airbus ni??? Dah ramai yg bc dulu. Kak.. lain kali caling2 lah adik akak ni...

    Terbaiklah abg2 Athirah. Dlm kelakar2 mrk ada terselit nasihat yg berguna. Setuju sgt2 dgn Roslan, pilih pasangan bkn mmcm oder piza atau KFC atau Mc D. Salah plih hancurlah masa depan. Karamlah bahtera perkahwinan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ayu...

      Maaflah tak sms spt selalu... Sibuk sikit.

      Mmg btl tu Ayu, dlm memilih pasangan perlulah lakukan yg terbaik. Bimbang jika main tangkap muat atau ikut perasaan, bimbang jika apa yg diimpikan hanya tinggal anganan. Yg plg ptg nawaitu kita dlm bercinta. Jika ikhlas kerana-NYA, insya Allah akan dipermudahkan-NYA.

      Delete
  8. Bagusnya Athirah. Sanggup nak jodohkan slh sorg abgnya demi membantu seorg sahabat. Masih ada lg ke insan murni spt ini?
    Tahniah Dayana Darwisy. Cerita yg anda garapkan bkn sekadar cerita kosong tp terselit nasihat dan teguran membina. Saya sgt2 sukakannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous...

      Athirah ni mmg nak kak ipar sbb tu dia suruh abang dia kahwin.

      Terima kasih krn sukakan cerita yang masih byk kekurangannya ini.

      Delete
  9. Suka bila CIM ada bab baru. Idea yg diketghkan mmg menarik. Tak bosan membcnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Raihana...

      TQ sbb suka dgn CIM. Teruskan menyokong ya.

      Delete
  10. Mana Mikhail? Nak MIkhail!!! Apapun cerita ni mmg best.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous...

      Mikhail sibuk pergi terawih. hehehe...

      Delete
  11. mcm tu asal usul athirah.. apa2 pn mmg best kak dayana..

    ReplyDelete
  12. ade 3 bab lg?? pasni akan dibukukan ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Hafiza...

      Ya... lbh krg 3 atau 2 bab lg. Insya Allah jika diizinkan-NYA CIM blh didpti dlm versi cetak.

      Delete
  13. Parents Athirah benar2 dah mati atau hidup cik writer?
    Nak smbgannya lagi...
    Bila nak diterbitkan novel ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous...

      Nak tahu ibubapa Athirah hidup atau pun tidak kena tunggu...

      Bila CIM bakal diterbitkan, blm tahu lg.

      Delete