SALMIHA HAINI membuang
pandang melihat gelagat pengunjung yang datang ke pusat membeli-belah itu.
Ikutkan hati, dia memang malas hendak ke mana-mana dengan tangan yang masih
sakit dan berbalut. Tetapi Si Sofea merayu-rayu bagai nak rak agar dia menemani
untuk bertemu dengan buah hatinya. Mata Salmiha Haini tiba-tiba menangkap
kelibat seseorang, lantas lengan Sofea dicuitnya. “Eh... Fea! Itu bukan abang
sayang kau ke?” Tanya Salmiha Haini sambil memuncungkan mulutnya. “Awek mana pulak yang dia kepit tu?”
Berderau
darah Sofea mendengarnya. Kolam matanya mula terasa panas. Sampai hati Muaz!
Lelaki itu cinta sejatinya sejak zaman sekolah menengah lagi. Mereka pernah
berikrar, hanya maut sahaja yang akan memisahkan cinta tulus dan suci mereka.
Salmiha
Haini kekal memandang pasangan tersebut. Amboi... bukan main mesra lagi. Siap
cuit pipi, cuit hidung lagi. Tengah couple
syoklah sentuh sana dan sentuh sini. Bila dah nikah nanti mulalah cepat bosan,
sebab semua tempat dah habis cuit masa bercinta.
Sofea
memintal hujung tudungnya. Resah hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu saat ini.
Tak terjangkau dek akalnya yang Muaz sanggup perlakukan dirinya sedemikian.
Sangkanya Muaz benar-benar lelaki jujur dan setia.
Salmiha
Haini menceber melihat perangai pasangan itu. Meluat! Hendak termuntah dia
melihat aksi gedik merpati dua sejoli itu. Dia menoleh melihat Sofea di
sebelah.
Nak
tengok ke tidak? Sofea berkira-kira dalam hatinya. Dia cekalkan hati dan
semangatnya. Biarlah hari ini pemutus segalanya. Lantas dia menoleh untuk
melihat abang sayangnya itu. Sofea mengetap bibirnya. Bahu Salmiha Haini
dihempuk dengan beg tangannya berulang kali. Hantu sungguh kawannya itu!
“Hoi...
perempuan! Itu bukan abang ‘sayang’ aku tapi abang ‘sayang’ kau!” Panas hatinya
bila dikenakan oleh Salmiha Haini.
Tergamam
Salmiha Haini jadinya apabila dihentam bertalu-talu oleh Sofea. Sungguh dia
tidak menyangka yang Sofea boleh bertukar menjadi ganas apabila bersangkut paut
dengan Muaz. Namun tidak lama kemudian dia ketawa. Geli hatinya melihat wajah
pucat Sofea sebentar tadi.
“Sorry ek... dia langsung tak tersenarai dalam calon pilihan hati aku
untuk buat suami. Kalau aku kena berpacaran dengan dia, alamatnya kiamatlah
dunia ni,” ulas Salmiha Haini sambil tergelak kecil melihat raut wajah Sofea
yang kelat. Bahunya yang sedikit perit diusap. Padan muka aku! Siapa suruh buat
lawak tak seram. Kan... dah dapat sakit!
Gelak
tawa Salmiha Haini membuatkan hati Sofea semakin kegeraman. Tapi dia pun bodoh
juga sebab percayakan bulat-bulat Si Salmiha Haini. Dah sah-sah malam ini
mereka ada temu janji, tak akanlah Si Muaz tu berani nak buat serampang dua
mata. Lagi pula dia kenal sangat siapa Si Muaz. Lelaki itu sentiasa menjaga
batas pergaulannya. Lelaki itu pernah berkata, selagi perempuan yang diciptakan
untuknya tidak hadir dalam mimpinya setelah solat istikharah dilakukan, selagi
itulah dia tidak akan memberi cintanya.
Bayangkan...
berapa tebalnya muka Si Sofea ketika itu? Sebab apa mukanya boleh tebal? Sebab
dia gatal-gatal pergi melamar Muaz untuk dijadikan boyfreindnya. Adeh...
hari ini dalam sejarah! Perempuan pergi lamar lelaki. Budak sekolah pulak tu. Perempuan yang bernama Sofea
ni memang SENGAL!!!
Sofea
teringat lagi di malam yang hening ketika umat manusia sedang enak diulit mimpi
dia menerima panggilan daripada Muaz...
“Assalamualaikum
Sofea, saya Muaz. Maaflah ganggu Sofea malam-malam buta ni. Sofea dah tidur
ke?” Lembut dan sopan sahaja tutur kata Muaz ketika itu.
Jantung
Sofea saat itu bagaikan nak tertanggal dan tercabut. Mujurlah dia belum tidur
lagi ketika itu sebab mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan SPM. Jika
tidak... mahu pening kepalanya menerima panggilan pukul dua belas tengah malam.
“Oohh... aaa... emmm... saya belum tidur lagi.” Kelu lidahnya hendak berbicara.
Maklumlah lelaki pojaan yang menelefon.
“Ada apa ya telefon saya? Awak hilang jadual peperiksaan ke?” Hah... kau!
Soalan bodoh sudah keluar dari mulutnya. Waktu tu... Muaz sudah ketawa di
hujung talian sana. Aduh... merdunya alunan suara dia! Bisik hati Sofea.
“Bukan
fasal jadual periksalah. Lagipun Sofea dengan saya mana sama. Saya STPM dan
Sofea SPM.”
Mendengar
kata-kata Muaz, Sofea sudah menghantuk kepala di meja study. Kalaulah Muaz ada di depan matanya, barang kali lelaki itu
sudah terguling-guling ketawakan dirinya. Bangang sungguh!
“Saya
cuma nak ucapkan selamat menjalani peperiksaan SPM dan buat yang terbaik. Dan
seperkara lagi, saya terima lamaran cinta Sofea kerana saya juga mencintai
Sofea.
Akibat
kata-kata keramat yang keluar dari mulut Muaz, dia jadi blur dalam dewan peperiksaan. Dan sebab itu jugalah kenapa dia
terpaksa mengambil BM Julai. Salmiha Haini sengaja je mengutuk dia, kata tak pandai BM. Padahal bukan sebab tak pandai
BM dia kantoi. Tapi kerana asyik
teringatkan kata-kata Muaz. Angaulah katakan!
“Udoh-udoh ler berangan! Tu Abang Muaz
kesayangan kau dah sampai.” Salmiha Haini menunjukkan arah di mana Muaz berada.
Namun tiada reaksi balas daripada Sofea.
Mata
Sofea masih lagi melihat abang sepupunya Imran Ajmal a.k.a playboy terhangat. Ini
kalau Mak Teh tengok, mesti masuk CCU. Mana tidaknya, pakaian perempuan yang
bergandingan dengan Imran Ajmal mengalahkan artis Hollywood.
“Assalamualaikum...,”
sapa Muaz. Dia tersenyum tatkala matanya bersabung dengan mata Salmiha Haini.
Kemudian dia memandang ke arah yang sama seperti Sofea.
“Fea
tengok apa tu?” Bisik Muaz.
“Oh...
mak kau masuk CCU!” Latah Sofea. Terkejut dia mendengar suara yang begitu
hampir cuping telinganya.
Muaz
dan Salmiha Haini sudah ketawa. Salmiha Haini menekan perutnya kerana tidak
tahan mendengar latah Sofea.
Sofea
menjeling memberi amaran supaya diam.
Tawa
Muaz dan Salmiha Haini terhenti serta-merta.
“Miha...
kau pergi beli tiket ya. Biar aku dan Muaz beli makanan,” pinta Sofea. “Tangan
kau yang jatuh pagi tadi masih lagi sakit, kan? Jadi aku bagi kerja yang ringan
dan mudah untuk kau.” Dia malas hendak bersesak-sesak berbaris membeli tiket.
“Eleh...
cakap aje yang kau nak mengintip Imran Ajmal! Kau kan mata-mata Mak Teh kau!”
Sindir Salmiha Haini selamba.
“Pandai
pun kau!” Puji Sofea. Senyuman juga menghiasi bibirnya yang berwarna merah
jambu itu.
Memang itu pesan Mak Tehnya setiap kali nampak
batang hidungnya. ‘Tolong tengok-tengokkan Imran.’ Mulanya dia tidak tahu apa
sebabnya. Tapi setiap kali terserempak dengan Imran Ajmal, lelaki itu semedang
aje bertukar pasangan, barulah dia tahu niat Mak Tehnya. Mak Tehnya ingin tahu
setiap gerak dan langkah anak bujangnya.
SALMIHA HAINI
meneliti jam tangannya. Masih awal lagi, bisik hatinya. Malam ini mereka
bertiga bercadang menonton filem Hantu Kak Limah 2. Dan masa tayangannya jam
9.20 malam. Itulah masa yang menjadi pilihan mereka. Sebelum masuk panggung
bolehlah mereka solat terlebih dahulu.
“Aduh...
panjangnya nak berbaris!” Rungut Salmiha Haini.
Padahal
takdelah panjang mana, dia orang yang
ke dua puluh dan kaunter untuk membeli tiket pun banyak dibuka. Saja je dia nak buat gempak. Matanya meliar
mencari Sofea. Bulat mata Salmiha Haini melihat Sofea sedang rancak berborak
dengan Imran Ajmal dan sesekali mata lelaki itu menerawang seperti mencari
sesuatu.
Aik...
mana perginya perempuan vogue tu
tadi? Ah... lantaklah! Bukannya ada kena mengena dengan aku pun untuk aku perah
otak bagai nak rak, getus Salmiha Haini sambil memandang ke arah lain.
Salmiha
Haini menoleh pabila terasa ada jari yang mencuit bahunya. Hampir terlompat dia
dibuatnya bila muka Imran Ajmal begitu hampir dengan mukanya bersama senyuman
menawan. Dan sesungguhnya lelaki itu memang... memang... tampan! Tapi... bila
masa pulak lelaki itu ‘terbang’ ke
mari? Gumam Salmiha Haini.
“Tolong
belikan tiket untuk saya sekali ya,” pinta Imran Ajmal bersama senyuman
kacaknya. Sekeping not RM100 dihulurkan kepada Salmiha Haini.
Oh...
panahan arjuna! Sungguh... aku sudah tertawan! Eh... tak boleh! Tak boleh! Aku
tak sesuai dan tak akan jatuh cinta dengan lelaki budaya darat ni! Itulah tekad
Salmiha Haini bila dia mampu berfikir dengan waras.
“Takpelah! Guna duit Miha aje.” Lembut
sahaja tutur katanya. Sewaktu bersama Sofea dan Muaz tadi, memang takdelah keluar perangai ala-ala gadis
Melayu terakhir. Lepas laku adalah!
“Ambillah!
Saya belanja!”
Salmiha
Haini menggeleng tanda menolak.
“Ambik!” Desak Imran Ajmal. “Cepatlah!
Tak lama lagi turn Miha sampai,” gesa
Imran Ajmal sedikit tegas. Melihat Salmiha Haini teragak-agak hendak
mengambilnya, Imran Ajmal meletakkan duit tersebut di atas telapak tangan
Salmiha Haini.
“Kenapa
tangan ni berbalut?” Tanya Imran Ajmal prihatin. Wajah Salmiha Haini
dipandangnya.
“Errr... jatuh motor pagi tadi,” terang
Salmiha Haini teragak-agak. Dia menarik tangannya perlahan-lahan.
Imran
Ajmal tersenyum melihat tingkah Salmiha Haini. Risau sangat orang sentuh dia
lama-lama. Macam luak!
“Biar
saya belikan,” ujar Imran Ajmal. Dia beratur di sisi Salmiha Haini.
Terlopong
mulut Salmiha Haini mendengar kata-kata Imran Ajmal. Biar betul mamat ni? Dia
nak tengok wayang dengan kita orang sekali ke? Ingatkan lelaki itu sekadar
bergurau. Maklumlah kekasih hatinya pakai baju tak ikut piawaian. Mahu beku
dalam panggung sebelum cerita tamat. Mata nakalnya meliar mencari perempuan
seksi yang berada di sisi Imran Ajmal sebentar tadi. Takde pun!!! Mana dia sorok awek dia?
“Miha
cari apa?” Bisik Imran Ajmal. Pelik dia melihat tingkah laku Salmiha Haini.
“Hah?”
Terkejut beruk Salmiha Haini bila ada suara di tepi telinganya. “Oh... haa...
aaa... saya cari Fea!” Tergagap-gagap Salmiha Haini mencari helah. “Tahu tak
dia ke mana?” Salmiha Haini pura-pura bertanya setelah otaknya mampu mencerna
soalan yang ditanyakan oleh Imran Ajmal.
“Dia
dan Muaz pergi senQ.”
Pergi
senQ? Buat apa? Tak akan pergi survey
barang rumah? Eh... jap!!! Bukan ke
perempuan tu kata bila mereka kahwin nanti, dia orang akan tinggal kat rumah
yang dia dan Sofea diami sekarang? Nak beli barang apa lagi? Semuanya dah cukup
lengkap! Omelnya dalam hati.
Imran
Ajmal merenung wajah Salmiha Haini yang sedang berkerut-kerut. Dia pernah
terserempak dengan gadis itu sewaktu berkunjung ke rumah ibu saudaranya
seminggu yang lalu. Ketika itu majlis pertunangan Sofea. Sungguh cantik dan
manis sekali gadis itu. Baju kurung warna jingga yang dipakainya memang sesuai
sekali dengan kulitnya yang putih melepak. Terserlah kejelitaannya walaupun
tanpa sebarang warna-warni yang tercalit di wajahnya.
“Awak!”
Salmiha Haini mencuit lengan Imran Ajmal. Lelaki itu dilihatnya hanyut ke benua
lain.
“Apa?”
“Tu..!!!”
Salmiha Haini memuncung ke arah kaunter yang perlu dituju oleh Imran Ajmal.
Pasti gadis penjaga kaunter itu bengang kerana terpaksa menunggu.
“Oh...
maafkan saya!” Imran Ajmal segera menuju ke kaunter yang dimaksudkan oleh
Salmiha Haini.
Salmiha
Haini mengikut langkah Imran Ajmal.
“Hai,
si cantik manis!” Tegur Imran Ajmal sambil mengenyitkan mata kepada gadis yang
menjaga kaunter tersebut.
Huh...
dasar mata keranjang! Tukas Salmiha Haini. Meluat pulak dia menonton aksi gedik dua orang manusia tersebut. Si gadis
tersipu malu dan yang lelaki pula sudah terbit aura miang keladinya.
“Empat
keping tiket.” Imran Ajmal mengalun suara ‘romeo’nya.
“Encik
nak pilih tempat duduk mana?”
“Saya
nak bahagian tengah. Emmm... saya
pilih kat bahagian sini.” Imran Ajmal menunjuk tempat duduk pilihannya.
Sewaktu
Imran Ajmal membeli hanya empat keping tiket, otak Salmiha Haini ligat berputar.
Seperti biasa dia mencari sebab mengapa dan kenapa.
“Empat
je tiket?” Salmiha Haini bertanya.
Ketika itu mereka sudah pun selesai membelinya.
“Empat
jelah! Buat apa beli banyak-banyak?”
“Habis
tu makwe awak?”
“Itu
bukan makwe sayalah. Kawan biasa je.
Kami secara tak sengaja terserempak kat sini.”
Salmiha
Haini cuba untuk mempercayai kata-kata Imran Ajmal walaupun dalam hati dan
kepala otaknya memang tiga ratus peratus awal-awal lagi sudah menolak untuk
mempercayainya. Biasalah orang lelaki yang dah terbiasa memegang watak hidung
belang, mana nak mengaku.
“Apa fasal muka macam
tu?”
“Muka macam tu? Muka yang macam
mana?” Soal Salmiha Haini tanda tidak mengerti. Dia meraba mukanya. Manalah
tahu ada tumbuh jerawat batu.
“Muka orang yang tidak mempercayai kata-kata
orang lain!” Ulas Imran Ajmal. Dia yakin Salmiha Haini pasti melihat perempuan
yang bergandingan dengannya sebentar tadi.
Alamak! Dia tahu ke aku tak percaya
kata-katanya. Pandai sungguh dia membaca fikiran aku.
“Ada tertulis ke kat muka saya yang
saya tidak mempercayai kata-kata awak?” Salmiha Haini menyoal balas.
“Memanglah takde.”
“Habis tu, kenapa menuduh tanpa usul
periksa?”
“Tapi ketara sangat yang Miha
meragui kata-kata Im. Atau Miha cemburukan dia?” Usik Imran Ajmal.
Erk?
Ada gaya ke... muka aku tengah cemburu sekarang ni? Rasanya tak ada langsung
kecuali rasa tidak percaya aje. Lagi pula apa kes aku nak cemburu kat dia ni?
Kenal rapat pun tidak.
“Mana ada cemburu. Lagipun awak
bukannya kekasih atau tunang saya. Jadi buat apa nak cemburu.”
“Manalah tahu tiba-tiba aje perasaan
cemburu tu muncul. Lagipun mana ada orang yang sanggup mengaku dirinya sedang
dilanda cemburu. Betul tak?” Sakat Imran Ajmal lagi.
“Eee...
tak kuasalah nak cemburu-cemburu ni!” Tempelak Salmiha Haini. Dia terus berlalu
mendapatkan Sofea dan Muaz. Malas dia hendak melayan sikap gatal Imran Ajmal.
Sekiranya dilayan, pasti semakin menjadi kebirahannya.
“Eh... apa fasal korang berdua ni lama sangat beli tiket? Korang beli tiket atau pergi dating?” Soal Sofea berbaur usikan.
Hendak ketawa dia melihat muka Salmiha Haini yang sudah masam mencuka.
Imran
Ajmal tersengih mendengar usikan sepupunya.
Muaz
menggeleng dengan perangai nakal Sofea.
Salmiha
Haini hanya mencebik mendengar kata-kata Sofea yang dirasakannya tidak masuk
akal langsung. Dia... berdating dengan Imran Ajmal? Memang bakal gilalah dia
tak lama lagi. Dah terang-terang lelaki tu ramai makwe, memang buat tebiat la... jika dia join sekaki.
Nak lagi kak DD. Best!
ReplyDeleteTak sabar nak tengok Salmiha Haini bekerja dengan Shahrul Hairi.
Rindunya Kak DD dgn Shahrul Hairi & Salmiha Haini.
ReplyDeleteAmboi Salmiha renung anak teruna org ya...
Bila identiti Shahrul Hairi bakal terbongkat ni????
Sengal betul si sofea ni, ada ke bagi idea yg merapu-rapu.
ReplyDeleteApapun SACA ni best.
Tahniah kak DD.
Kak DD sambung lg.
ReplyDeleteShahrul Hairi cepat jd penyelamat.
Kak DD bila mrk nak together gether ni?
Sambungan plezzzz...
ReplyDeleteTertanya2 apa yg bakal berlaku lepas ni?
DD cpt smbg.
ReplyDeleteBagaimanalah agaknya pertemuan antara Miha n Hairi ni...
mesti gempak bila mrk kerja sama nanti.
sila sambung lagi.
ReplyDeleteIngin tahu kemelut yg melanda Salmiha Haini.
Best, best... jgn lmbt sgt smbg.
ReplyDeleteakak, ada facebook tak ?
ReplyDelete