SEAWAL pagi, perut Athirah sudah mendendangkan irama keroncong. Semalam dia tidak sempat mengambil makan malam. Selepas
menelefon emaknya di kampung, dia terus ke
perjumpaan kolej. Athirah tidak mahu lagi kelewatan. Dia tidak sanggup didenda dan melayan kerenah Mikhail yang menyakitkan
jiwa. Asyik melihat makanan yang ingin
disantap, kakinya terasa sakit dipijak seseorang...
“Aduh,
sakitnya kaki aku!” Athirah mengaduh kesakitan. “Macam kaki gajahlah mamat ni.
Buta ke apa? Main redah aje! Langsung tak pandang orang yang berada di depan atau
di belakang.” Athirah mengomel sambil membongkokkan badannya dan mengurut-urut kakinya
yang kesakitan.
“Maaf
cik, saya benar-benar tak sengajanya.” Lelaki itu memohon maaf sambil menundukkan
badannya untuk melihat kaki gadis yang dipijaknya tadi. Mendengar rintihan
suara itu, dia tahu gadis itu benar-benar kesakitan.
Maaf...,
maaf...! Apa dia ingat dengan minta maaf boleh hilang sakit kaki aku ni? Gumam
Athirah. Athirah mendongak untuk melihat siapakah gerangan kaki gajah yang
memijak kakinya itu. Mulut Athirah sudah separuh terlopong dan badannya automatik
menjadi tegak.
“Adoi,
sakitnya kepala aku!” Athirah menggosok-gosok dahinya. “Hei, kaki dengan kepala
awak ni diperbuat daripada apa, hah? Keras macam konkrit!” Athirah merengus. Sakit
dahinya terhantuk kepala Mikhail semasa hendak membetulkan kedudukannya tadi.
Alamak!
Buah hati pengarang jantunglah pulak
yang terkena pijak kaki. Sakit sangat ke sayang abang ni?
Amboi...
Mikhail, gatalnya engkau! Sudah pandai bersayang-sayang!
“Kenapa
hah... asyik jumpa muka awak hari-hari? Awak mengintip saya ya?” Tuduh Athirah. “Boleh tak awak jangan ekori saya
lagi? Kalau sehari tak nampak muka awak, memang tak sah agaknya! Bila jumpa atau
terserempak, mesti ada saja bala yang timbul.” Athirah menghamburkan amarahnya.
“Hei,
mulut awak jaga sikit ya! Bila masa saya intip awak? Saya pun banyak lagi kerja
lain yang hendak dibuat. Apa faedahnya saya ikut awak? Cuba awak cakap!
Bukannya dapat duit pun tengok muka awak dua puluh empat jam!” sindir Mikhail.
Athirah
menjeling geram. Sudahlah buat orang sakit! Banyak bunyi pulak!
“Hah,
sakit sangat ke kaki awak tu?” tanya Mikhail kasar.
Athirah
menggigit bibirnya. Panas hatinya mendengar omelan Mikhail. Dia ni buta ke apa?
Tak nampak... aku sedang menahan sakit?
“Alahai,
manjanya! Kena pijak sikit pun nak menangis. Inilah orang perempuan, tak boleh
tahan sakit sikit! Mulalah nak melalak macam budak kecik,” ejek Mikhail selamba
sambil mengawal getaran di dada tatkala terpandang wajah Athirah.
Hati
Athirah sudah membahang.
“Apa...?
Awak kata tak sakit?” Melengking suara Athirah. “Mari sini saya pijak kaki awak
pulak. Kita tengok sama ada sakit
ataupun tidak?” Belum pun habis kata-kata yang meluncur daripada mulut Athirah,
kakinya sudah pun mendarat di atas kaki Mikhail.
Muka
Mikhail usah ceritalah bagaimana rupanya. Berkerut-berkerut menahan sakit. Athirah
bukan sahaja memijak, malahan melenyek-lenyek kaki Mikhail sekuat hatinya. Perasaan
untuk menjaga keayuan dan kesopanan sudah tidak ada lagi.
“Huh,
padan muka!” Athirah mendengus. Dia merasa puas melihat Mikhail kesakitan.
“Huh,
tak padan dengan perempuan! Perangai macam orang gila meroyan. Dahlah kerek, perasan cantik pulak tu!” dengus Mikhail. Kesakitan
yang dialaminya ditahan seboleh mungkin. Malulah sekiranya nampak lembik di
hadapan Athirah.
“Hei...
dengar sini baik-baik ya! Kalau saya gila meroyan dan perasan cantik, awak tu mamat
gila talak yang sengal dan perasan bagus! Lagipun saya memang cantik apa!”
Athirah membalas balik kata-kata Mikhail.
Hu... hu... hu... sampai hati kau sayang! Abang yang kacak lagi macho ni kau kata gila talak dan mereng!
Hisy... hisy... hisy...!!! Tak patut...
tak patut...!!! Bisik Mikhail dalam hatinya.
“Seandainya
awak ni adik saya, dah lama saya cili-cilikan mulut tu dan hantuk kepala awak
ke dinding. Tak pun saya ketuk dengan penukul biar berkecai kepala awak yang
biul tu!” marah Athirah lagi. Benci sungguh dia dengan Mikhail.
“Saya
tak inginnya nak jadi adik awak!” Mikhail berkata dengan geram.
Athirah
mencebik. Macamlah aku sudi nak jadikan dia adik aku, gerutu Athirah. Mukanya
dipaling ke lain.
“Andai
awak pulak yang ditakdirkan jadi adik
saya Cik Athirah, saya jentik-jentik mulut awak yang suka mengomel tu. Tak pun saya
ramas-ramas macam perah santan,” jelas Mikhail bersahaja.
Jadi
adik dia? Lagilah aku tak sudi! Mesti hari-hari dia buli aku. Dia kan kaki
buli! Gerutu Athirah dalam hatinya.
“Tapi...
tak syoklah awak jadi adik saya.” Mikhail berkata polos. “Apa kata saya tukarkan
status awak jadi isteri saya pulak,”
usik Mikhail.
Terkejut
Athirah mendengar kata-kata Mikhail. Aku sekeh juga kepala mamat ni karang!
Suka... suka... dia aje nak jadikan aku isteri dia. Tak hingin! Athirah menjeling geram.
“Haaa...
kalau awak isteri saya, dah lama saya cium dan gigit-gigit mulut awak yang macam
bertih jagung tu supaya awak diam. Agaknya jika kita kahwin nanti, mesti hari-hari
awak membebel kan... jika saya balik lewat.” Mikhail juga tidak mahu kalah
dalam menjentik perasaan Athirah. Dia juga turut tertawa dengan kata-katanya.
Romeo sungguh aku ni! Getus Mikhail.
Eeii...
geramnya aku! Nafas Athirah sudah turun naik.
“Hei...
saya tak inginlah nak jadi isteri awak! Kalau saya isteri awak, dah lama saya ceraikan
awak, tahu!” balas Athirah kegeraman.
“Sekiranya
awak teringin sangat nak ceraikan saya, jomlah kita nikah dulu.” Mikhail sudah mengekek-ngekek
ketawa. “Undang-undang negara mana yang awak pakai sayang, seorang isteri diberi mandat untuk menceraikan
suaminya?” tanya Mikhail sambil tersenyum sinis.
Kepala
Athirah sudah berasap.
“Hey... kenapa awak suka ikut cakap saya
hah...!!” bentak Athirah.
“Hey... kenapa awak suka ajuk cakap saya
hah....!!!” ujar Mikhail sambil melembutkan suaranya. Tangannya pula
dilembutkan seperti sotong. Sesudah menghabiskan kata-katanya, Mikhail ketawa
berdekah-dekah.
Athirah
mengetap bibir dan mencerlungkan matanya. Tangannya diangkat dan cuba untuk
menampar Mikhail. Entah apa yang merasuknya, tiba-tiba perbuatannya terhenti.
Seakan ada suara yang menghalang tindakannya. Dijegilkan matanya ke arah Mikhail
hingga tawa lelaki itu terhenti. Athirah terus melangkah pergi dengan perasaan marah yang tidak tertahan. Namun jauh di sudut
relung hatinya, dia mula terasa bahagia dengan usikan Mikhail.
TAKDIR
TUHAN tiada siapa yang mampu
menghalangnya. Sekali lagi mereka dipertemukan. Masing-masing saling menjeling dan
mencebik antara satu sama lain. Dah macam budak tadika bergaduh pun ada. Tidak
juga diketahui oleh orang lain, dalam pada bergaduh setiap kali berjumpa,
masing-masing dibelenggu rasa yang serupa iaitu semakin dihambat rasa cinta di
hati!
Peristiwa
yang berlaku pagi tadi, tiada seorang pun rakan mereka yang tahu. Mujur jugalah
ketika itu masih tidak ada lagi pelajar yang berkunjung ke kafe. Mereka ni macam
tahu-tahu aje peperangan akan meletus. Jika tidak, pasti ramai yang melihat
adegan perang mulut yang sedang berlangsung. Tingkah laku mereka berdua
mengalahkan orang berperang mulut untuk memilih pasukan bola sepak mana yang
akan menang.
“Kau
orang berdua ni, beli makanan atau tolong Kak Yam masak dulu?” tegur Zeck bila
melihat Mikhail dan Borhan melabuhkan punggung mereka.
“Aikk... apa pasal muka kau macam baru lepas
suntik botox Khai, tegang semacam je...?” Zeck menyambung kata-katanya.
Mikhail
hanya membisu dan matanya tidak beralih dari menjeling Athirah.
Zeck
memandang Borhan dan mengangkat keningnya bertanya.
Borhan
hanya mengangkat bahunya sahaja tanda tidak tahu.
Entah
apa pula peperangan yang berlaku kali ini? Dah macam perang dingin antara Korea Utara dan Korea Selatan pula, gumam
Zeck.
“Kau
tengah jeling siapa tu?” tanya Zeck kembali.
Dia
memusingkan kepalanya ke belakang untuk melihat siapakah gerangan yang menjadi mangsa jelingan kawannya itu. Oooo...
tengah usha budak yang comel lote tu rupanya! Tapi kenapa muka macam tertelan
bola lisut aje? Ketat semacam! Emm...
jangan-jangan Mikhail tak puas hati bila ada yang cuba merampas bunga impiannya,
tak? Tidak pun jeles bila Borhan
potong line? Hah, ini mesti pasal dia
marahkan Athirah sebab tolak cinta dia? Tapi kenapa dia tengok muka Athirah
macam nak ditelannya minah tu hidup-hidup? Hisy...
apa lagi yang tak kena ni? Getus Zeck. Aduh, pening-pening bila tak berjaya
menjadi ahli nujum Pak Belalang!
Hidung
Mikhail sudah kembang kuncup macam payung terjun menahan perasaan. Sakit hati,
sakit jiwa dan sakit kaki semua bercampur menjadi satu. Dah macam white coffee
3 in 1 Kapal Api. Kulit mukanya
yang putih dan cerah sudah bertukar kemerahan seperti cerita Sang Monyet yang
termakan cili.
Si
Borhan tetap tekun menyuap makanannya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Dia perlu cepat. Selepas ini, dia hendak
bertemu dengan Prof. Dr. Othman.
Mikhail
masih lagi dengan api kemarahannya. Makanannya sedikit pun tidak terusik.
Si
Zeck pula masih kekal menjadi pemerhati yang setia.
“Aku
geram sungguh dengan perempuan tu,” tutur Mikhail sambil memuncungkan mulutnya ke
arah Athirah.
“Perempuan
mana?” Zeck sengaja menanyakan soalan yang berunsur bangang lagi bebal untuk
menambahkan lagi bara api di hati Mikhail.
“Eh,
kau ni! Mata kau letak kat mana?” soal Mikhail dengan nada marah. “Berapa banyak
perempuan yang ada kat depan kita? Dan yang paling penting musuh ketat aku
nombor satu!” dengus Mikhail.
Oh,
betullah apa yang aku fikirkan tadi, getus hati Zeck.
Borhan
mengangkat mukanya seketika memandang Athirah, kemudian dia menyambung kembali
suapannya.
“Eh,ramai
tu? Yang mana satu?” soal Zeck kembali. “Tak tahu pulak aku yang engkau ni dah ada musuh sepanjang belajar kat sini. Apa
perempuan cantik tu dah buat kat engkau? Dia tolak cinta kau ke?” tanya Zeck sambil
tersengih.
“Kau
ni Zeck... sejak kahwin dengan Azah, dah pandai membebel dan banyak soal pulak ya. Siapa ajar kau? Si Azah?”
tanya Mikhail sinis. “Aku tengah geram ni, tahu tak? Ada ke patut dia pijak kaki
aku. Sudahlah masa tu aku pakai sandal saja, mahu tak sakit bila kena lenyek.
Dia ingat kaki aku ni diperbuat daripada besi ke?”
“Kau
nak marahkan aku kenapa? Bukannya aku yang pijak kaki kau,” bidas Zeck tidak
berpuas hati.
“Aku
bukannya marah kan kau! Aku cuma luahkan ketidakpuasan hati aku terhadap perempuan
yang ‘mata hijau’ tu,” jelas Mikhail. Dia tidak mahu kawannya itu tersalah
sangka. “Aku dah minta maaf kat dia elok-elok, alih-alih dipijaknya kaki aku.
Mana aku tak bengang!” Mikhail melepaskan geramnya. “Lepas tu, nyaris-nyaris
nak dilempangnya pipi aku ni.” Mikhail mengadu.
Sebenarnya
peristiwa pagi tadi bukanlah penyumbang utama dia hendak marah. Dia sedikit pun
tidak kisah bab Athirah pijak kaki atau nak lempang dirinya. Apa yang
membuatkan dia mengamuk dan geram tak tentu pasal ialah desas-desus yang
mengatakan Athirah dan Salman sedang dilamun cinta. Walaupun jalan ceritanya
masih samar, tetapi dia tetap tidak boleh terima khabar angin yang bodoh itu.
Jiwanya benar-benar merusuh! Hendak sahaja dia membaling kerusi ke muka Salman
kerana cuba merampas gadis pujaannya.
Borhan
yang sedari tadi hanya diam dan mendengar, mula menyampuk.
“Kau
ni Khai, tak baik tahu panggil dia ‘mata hijau’. Emak dan ayah dia siap bagi nama
yang cantik-cantik, kau suka-suka aje panggil dia ‘mata hijau’. Kalau kau tak
tahu nama dia, biar aku bagi tahu. Nama dia, Syarifah Athirah Emelda bt Syed
Zakuan,” terang Borhan selamba.
“Pada
pendapat akulah, kau memang minta maaf dengan dia, tapi... pada masa yang sama kau
sakitkan hati dia. Mulut kau dah le...
takde insurans! Pastu tu mana reti duduk
diam, asyik pok... pek... pok... pek... Mulut murailah
katakan. Pasti ada saja kata-kata kau yang membuatkan hatinya membara. Bukan
aku tak tahu perangai kau, kalau dah bercakap mana ada nak tengok depan
belakang dan kiri kanan. Asal kau boleh redah, kau redah aje...!” perli Borhan.
Zeck
mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Borhan.
Mikhail
menjeling ke arah Borhan. Dia ni tak habis-habis nak menangkan budak perempuan
tu, gerutu Mikhail.
“Aku
bukan setahun kenal kau. Masuk tahun ini dah dekat empat tahun, tahu. Kalau engkau
kahwin dah boleh dapat anak. Paling tidak pun sorang. Kau tengok Zeck, tahun lepas
kahwin, tahun ni dah dapat seorang.” Borhan mengusik Mikhail.
“Kau
ni Hans, kawan aku atau kawan budak ‘mata hijau’ tu? Aku tahulah kau dah tangkap
lentok dengan dia, tapi janganlah jadi kawan makan kawan,” ujar Mikhail tidak berpuas
hati bila Borhan terang-terangan menyebelahi Athirah dan mengenakan dirinya.
“Aikk... janganlah marah! Aku kan kawan
baik kau dunia akhirat. Lagi satu, aku ni pangkat abang dengan kau,” pujuk Borhan sambil
tersengih. Bahu sahabatnya ditepuk
perlahan.
Mikhail
menolak tangan Borhan. Muncungnya sudah panjang sedepa.
Hendak
ketawa Borhan dan Zeck melihat tingkah temannya. Namun mereka tahan jua. Bimbang jika temannya itu semakin
berasap.
“Aku
mana ada sebelahkan siapa-siapa. Kau buat salah, aku kena tegur. Tak akanlah dah terang lagi bersuluh kau buat silap, aku
nak kata apa yang kau buat tu betul. Tak bolehlah macam tu. Lagipun aku
kesiankan Si Athirah, asyik kena dera dengan kau saja. Jikalau perangai kau terusan
begini, macam manalah Si Athirah tak sakit hati dengan kau. Kau janganlah buat
dia macam tu, tak baik! Dan tak lama lagi, dia bakal jadi kakak ipar kau. Kau
doa-doakanlah ya... semoga jodoh aku dengan dia sampai cepat.” Borhan menyakat
Mikhail. Sengihan juga semakin melebar.
Hati
Mikhail semakin membengkak. Dahlah Salman terang-terangan nak pikat Athirah.
Kini Borhan pun sama. Dia ingatkan Borhan hanya main-main sahaja. Rupa-rupanya Borhan
benar-benar maksudkan. Ini tak boleh jadi ni! Aku kena buat sesuatu.
“Eleh....
kau ni Hans! Macamlah kau tu tua sangat daripada aku. Cuma beza lapan bulan aje
tau,” perli Mikhail. “Dahlah cerita pasal budak tu! Asyik cakap tentang dia,
semua kerja kita terbengkalai,” tambah Mikhail lagi.
Bulat
mata Mikhail melihat Athirah menjelirkan lidahnya. Sudahlah dendam pagi tadi belum berakhir, kini ditambah lagi
dengan dendam yang baru. ‘Mata hijau’ ni memang
nak cari nahas dengan aku, desis hati Mikhail.
“Jomlah
kita blah. Dah hilang selera aku nak
makan. Kau pun nak jumpa Prof. Dr.
Othman, kan?” Mikhail mengajak teman-temannya beredar. Makin lama dia
menghadap muka Athirah, makin berbuku
hatinya.
DI MEJA
seberang sana, muka Athirah sudah masam mencuka tika terlihat kelibat Mikhail. Semakin
dia menjauhi Mikhail, semakin kerap pula berlaku pertemuan antara mereka.
“Rilekslah
Athirah! Sekiranya kau marah-marah, masam muka dan sakit hati macam ni, aku takut
kau pulak yang terkena serangan jantung,
barah hati atau darah tinggi.” Fazlina cuba mententeramkan Athirah. “Manalah
tahu hari ni kau benci sangat dekat dia, tup-tup esok lusa tak boleh nak
berenggang. Hah... masa tu baru kau tahu, hilang benci timbul sayang!” tokok
Fazlina lagi.
“Cuba
kau bagi tahu aku, Faz. Macam mana dan bagaimana aku boleh bersabar dengan dia?
Kau tak nampak ke, apa yang dia buat pada aku? Sekiranya berjumpa, pasti ada saja
perbuatan dia yang boleh mendidihkan hati aku,” ujar Athirah sedikit berang.
“Pada
hemat akulah Faz. Budak Si Athirah ni, untuk tempoh lima tahun akan datang... penyakit darah tinggi, sakit jatung
atau barah hati mungkin tak ada. Tapi sakit cinta aku rasa akan menular dalam tubuh badan dia. Dahlah
Abang Khai tu hensem, bijak pulak tu. Yang paling aku suka, senyuman
dia. Sekali dia senyum... pergh!!! Menawan
seyyy!!! Hingga tak lena tidur aku dibuatnya. Bisa
buat aku jatuh cinta! Alangkah indahnya hidup aku...
jika aku yang menjadi pilihan hatinya! Tak gitu Mek Athirah sayang?” usik Aisyah
sambil tersengih nakal memandang Athirah.
“Huh,
Aisyah! Engkau kalau bercakap tak agak-agak. Muka macam rumah tak siap kau kata
hensem?” Tapi memang hensem pun, puji Athirah dalam hatinya.
“Setakat mamat gorila tu, aku tak hairan laa...!!! Bagi free pun aku tak hingin!
Abang-abang aku lagi hensem tau,” balas
Athirah.
“Aku
tahulah abang-abang kau hensem. Andai
sudah tertulis jodoh kau dengan rumah tak siap atau mamat gorila tu macam mana?
Tak dapetlah den nak menolongnya,” usik Aisyah lagi. “Dan lagi satu, kau
bukannya boleh kahwin dengan abang kau tu,” tambah Aisyah.
“Kau
jangan cakap besar Athirah! Aku takut kau yang merana nanti. Sekarang bolehlah
kau kata benci, muka macam rumah tak siap, muka gorilalah tapi bila kau dah betul-betul
sayang, mahu jatuh sakit kau nanti bila tak dapat tengok muka dia. Nanti barulah
kau tahu sakit merindu tu macam mana. Orang tua-tua kata... makin kita benci,
makin dekat jodoh kita dengan dia. Tapi kan... aku macam terbau-bau aje nasi
minyak kau dengan dia. Jangan-jangan... ALLAH dah tentukan jodoh kau dengan dia
tak?” usik Salmi.
Makin
panas hati Athirah mendengar usikan nakal sahabat-sahabatnya.
“Hisy... apa yang kau cakapkan ni Sal? Aku...?
Ada jodoh dengan dia? Eeii...
tolonglah! Aku kalau jadi bini dia, alamatnya banjirlah kampus ni tak lama
lagi. Minta-mintalah ALLAH jauhkan jodoh aku dengan dia.” Athirah tidak berpuas
hati dengan kata-kata Salmi.
“Sabar
Athirah... sabar! Marah-marah ni tak bagus untuk kesihatan,” usik Fazlina.
“Nanti Si Mikhail sihat walafiat, kau pulak
yang masuk hospital.”
“Sudahlah
tu, kesian Athirah.” Aina menegur Salmi, Aisyah dan Fazlina.
“Beginilah
Athirah... kau anggap sahaja kata-kata Mikhail tu sebagai lagu nan syahdu untuk
dodoikan kau tidur. Tidak pun kau anggap dia sedang buat pertunjukan lawak
macam dalam rancangan Raja Lawak tu dan kau sebagai jurinya, habis cerita. Kau tak
sakit hati dan jiwa kau pun tenang,” ujar Aina yang dari tadi hanya menjadi
pendengar. Bahu Athirah diusap lembut bagi menurunkan lahar kemarahan temannya
itu.
“Dahlah
kita tukar topik lain pula,” luah Aina kepada teman-temannya.
“Nasib
baik ada Aina. Mahu jadi gila aku dok melayan
korang yang tak sudah-sudah menyokong
mamat sengal tu. Macamlah dia bagi duit selori kat korang, beria-ia sangat puji
melambung,” bebel Athirah. Matanya mencuri pandang Mikhail yang berada
tidak jauh darinya.
Athirah
tidak menyangka perbuatannya mencuri pandang akhirnya tertangkap. Tanpa
disengajakan, lidahnya terlebih dahulu bereaksi sebelum sempat dia mengawalnya.
Matilah aku kali ini, gumam Athirah. Mesti dia fikir perbuatan aku tadi
sememangnya disengajakan, bisik hati kecil Athirah.
Huhuhu... gaduh-gaduh sayang ke ni? Sweetnya Mikhail ni.
ReplyDeleteLawak2!!! Gatal gak Mikhail ni.
Amboi Athirah! Garangnya kau!!!!
Best sgt part ni. Suka... sukaaaaa...
Heheeee... gedik sikit.
haha.. kelakarlah diorg.. comey aje..
ReplyDelete