*****************************************************
GEMBIRA sungguh hati Jeslina menerima kunjungan Damia. Damia seringkali bertemu dengannya jika pulang ke Malaysia. Sekiranya dia tidak bercuti, Damia sanggup pergi ke Pulau Pinang semata-mata ingin bertemu dengannya. Biasanya Reqza lah yang sering menemani Damia. Pernah juga dia bertanya kepada Damia sama ada Reqza itu buah hatinya atau sekadar teman biasa. Malangnya Damia hanya tersenyum, seolah-olah menyimpan sebuah rahsia.
“Wah... Mia! Makin jelita kau
sekarang. Apa rahsianya?” Tegur Jeslina. Tubuh
temannya itu dipeluk
erat.
“Amboi,
Jes! Dah macam iklan kecantikan pulak,
apa rahsianya... apa rahsianya!” Sakat Damia. “Mana ada cantik-cantiknya, Mia
biasa-biasa sajalah,” ujar Damia merendah diri. Dia membalas pelukan temannya
itu.
“Banyaklah Mia... biasa-biasa saja!
Tengok... makin berubah penampilan. Ni mesti dah ada yang istimewa kat UK? Itu
yang makin berseri-seri!” Giat Jeslina.
“Eleh... kata kat kita! Dia pun apa
kurangnya, makin cantik dan ceria aje. Dah jumpa yang special ke?” Balas Damia pula sambil tersenyum mesra.
“Mana ada,” sanggah Jeslina sambil
tersipu malu. “But Damia, you are really look very beautiful and
nice!” Terang Jeslina. Dia sudah tersengih bila Damia membesarkan biji matanya.
Tahu sangat dia dengan perangai Damia yang tidak suka orang terlalu memuji
kecantikannya. Menurut Damia, kecantikan tidak akan kekal lama jika hati tidak
secantik dan semurni raut wajah yang dikurniakan Tuhan Yang Maha Esa.
“Dahlah... tukar topik lain! Bosan pulak Mia dengan perihal kecantikan ni,”
marah Damia manja. Bagi Damia setiap insan yang lahir ke muka bumi ini semuanya
cantik-cantik belaka. Bagaimana kita menilai dan mentafsir kecantikan itu, terpulang
kepada setiap individu.
“Jes apa khabar? Sihat?” Soal
Damia.
“Jes sihat walafiat.”
“Macam mana? Dah jumpa kerja yang bersesuaian?”
“Ingat nak berehat dulu sebulan
dua. Lepas tu baru fikir nak cari kerja,” terang Jeslina.
“Mana mak dan abah? Adik-adik Jes
yang lain mana?” Tanya Damia sambil menjenguk ke dalam rumah Jeslina.
“Mak ada kat dapur. Abah belum
balik lagi dari masjid. Wan dan Lan biasalah kat rumah Haji Bahar, belajar
mengaji. Eh... marilah masuk! Tak akan Mia nak duduk kat beranda sahaja,”
pelawa Jeslina.
Damia mengikut Jeslina ke dapur.
Mak Cik Juriah sedang menghidangkan makan malam. Begitu sibuk sekali Damia
melihat Mak Cik Juriah di dapur.
“Assalamualikum mak,” tegur Damia
ramah sambil menyalami tangan tua itu.
“Waalaikumussalam. Ya ALLAH... anak
bertuah ni, dah sampai rupanya. Amboi... dah berminggu-minggu balik baru nampak
batang hidung?” Sindir Mak Cik Juriah. Kepala Damia diusap sayang.
“Bukan tak nak balik sini. Tapi mak
tahulah dengan perangai mama tu, tak sudah-sudah asyik menyakitkan hati Mia sahaja.
Balik ni pun sebab ada ‘tugas rasmi’ daripada mama. Kalau tidak, Mia lebih suka
tinggal kat rumah nenek. Lagi aman dan mententeramkan,” ulas Damia panjang
lebar kepada Mak Cik Juriah.
Mujurlah ada Mak Cik Juriah, dapat
juga dia merasa kasih sayang seorang ibu. Nak harapkan mamanya? Alamat mati
beraganlah jawabnya. Mamanya lebih mementingkan kerjaya berbanding keluarganya.
Papa sering makan hati dengan sikap mama yang sukar bertolak ansur. Disebabkan
itulah agaknya ALLAH ambil nyawa papanya terlebih dahulu. Mungkin ALLAH kasihan
melihat papa yang sering makan hati berulam jantung dengan sikap dan kerenah
mama.
“Tak baik cakap mama Mia macam tu.
Mia kena ingat, tanpa mama tentu Mia tak akan dapat lahir ke dunia ini,”
nasihat Mak Cik Juriah.
Damia hanya mampu mengeluh.
Kenapalah nasib dirinya tidak sebaik Jeslina. Kalaulah papa masih ada tentu
papa akan membaluti setiap kelukaan yang dia alami. Tentu papa akan membantah
keinginan mama yang mahu menentukan pasangan hidupnya. Hanya papa yang mengerti
kehendak dan kemahuannya. Hanya papa yang benar-benar sayang akan dirinya.
Siapakah yang bakal membawa sinar kebahagiaan untuk dirinya kelak? Dapatlah
kiranya orang itu mempunyai sifat-sifat seperti papa, yang punya kasih sayang
yang melimpah ruah dan bertanggungjawab.
Ucapan salam oleh Pak Cik Abdullah
mencantas keresahan yang melingkari jiwa Damia.
Tersenyum Pak Cik Abdulllah melihat
wajah anak angkatnya. Meskipun dilahirkan dalam dulang emas, Damia langsung
tidak membanggakan diri. Malahan gadis itu sentiasa merendah diri dan hidup
dalam kesederhanaan. Sudahlah rupa paras tiada tolok bandingannya, sahsiah dan
budi pekerti pula membuatkan mata yang memandang semakin tertarik.
“Dah lama anak abah sampai?” Tanya
Pak Cik Abdullah ramah. Pak Cik Abdullah merupakan pesara polis.
“Lama tak lama jugalah abah, kalau
makan ni... mahu dah empat kali round!”
Seloroh Damia. Kesedihan yang melanda jiwanya seolah-olah dibawa pergi ketika
berada di rumah Jeslina. Keluarga harmoni dan bahagia ini bagaikan selimut yang
menutupi ruang kegersangan kasih sayang yang dia alami selama ini.
Tidak lama kemudian kedengaran
suara Mazlan dan Ridwan yang baru pulang dari mengaji.
“Eh... ada Kak Mia rupanya,” tegur
Mazlan.
Kedua-dua beradik itu menyalami Damia.
“Bila Kak Mia sampai?” Tanya Ridwan
pula.
“Kak Mia baru aje sampai. Macam
mana belajar? Okey?” Tanya Damia. Tahun ini Mazlan akan menduduki SPM manakala
Ridwan mengambil PMR.
“Bolehlah,” jawab kedua-duanya serentak.
“Hisy... tak bolehlah macam tu! Kamu berdua perlu ada keyakinan
dalam diri untuk berjaya. Jangan mengalah sebelum berjuang. Buat yang terbaik.
Mudah-mudahan kejayaan bersama-sama kamu berdua,” nasihat Damia. Memandangkan
dia anak tunggal, Mazlan dan Ridwanlah tempat dia mencurahkan kasih sayang
sebagai seorang kakak. Dia benar-benar mengambil berat tentang dua beradik itu.
“Mari kita makan dulu. Dah sejuk
nasi dan lauk pauk ni, tak sedap pula,” pelawa Mak Cik Juriah.
“Wah... sedapnya mak masak!” Ujar
Damia. Terliur Damia melihat sambal tumis petai, ikan bakar dan sup tulang yang
disediakan oleh Mak Cik Juriah.
Mereka menikmati makan malam dengan
gembira dan ceria. Damia begitu berselera sekali. Sudah lama dia tidak menikmati
suasana sebegini. Dia benar-benar merindui papanya. Biasanya papalah yang
sentiasa menceriakan suasana di meja makan. Kenangan itu begitu bermakna sekali!
TEPAT
jam tujuh pagi, Reqza sudah terpacak di hadapan rumah Jeslina. Melilau matanya
mencari kelibat Sayang Damia binti Dasuki Aqtar.
“Hisy... perempuan ni! Semalam beriya-iya suruh aku datang
cepat dan tepat pada waktunya. Tapi batang hidung dia, entah tersorok kat celah
manalah agaknya hingga tak nampak sampai sekarang?” Bebel Reqza. Reqza mengeluarkan
telefon bimbitnya. Memang nak kena dia ni...! Desis Reqza.
“Hah... berapa lama lagi kau nak
aku jadi jaga kat depan rumah Jeslina ni?” Sembur Reqza pabila panggilannya
diangkat. Marahnya sudah tidak terkata lagi setelah hampir sepuluh minit
tercacak bagaikan orang bodoh di luar pagar.
“Assalamualikum.
Siapa ni? Maaflah... Damia takde, dia
kat tandas,” jawab Jeslina sopan.
Terkejut beruk Reqza dibuatnya.
Terasa malu pun ada dengan sifatnya yang gelojoh dan kurang sopan sebentar
tadi. Bagaimanalah agaknya tafsiran Jeslina tentang dirinya? Tentu Jeslina
fikir dia seorang lelaki yang tidak sesuai untuk disenaraikan sebagai calon
suami. Sudahlah gadis itu yang ingin dikenenkan
oleh Damia supaya menjadi kekasihnya.
“Maaflah... saya ingat awak ni
Mia.” Reqza cuba mengawal gelabah di jiwa. Keningnya digaru tanpa sebab.
“Sebenarnya saya dah lama tunggu Mia kat depan rumah awak. Agak-agak Mia lambat
lagi ke? Kalau lambat saya balik dulu, nanti saya datang semula,” terang Reqza
sopan.
“Oh... tak mengapa, saya faham! Tentu
awak bosan tunggu Mia terlalu lama kat luar sana. Awak tunggu sekejap, saya
bukakan pintu. Tak perlulah awak berulang-alik. Lagipun kesian awak. Rumah awak
bukannya dekat nak ke sana ke mari.” Jeslina cuba bersikap rasional.
Damia yang mengintai di balik
langsir pintu bilik tersenyum melihat telatah sahabatnya yang malu-malu ketika
bercakap dengan Reqza. Macamlah Reqza boleh nampak! Tentu Reqza tak keruan
berbual dengan Jeslina tanpa dirinya. Biasanya Reqza lebih banyak mendiamkan
diri jika dia, Jeslina dan Reqza bertemu enam mata.
“Baiklah kalau begitu. Saya tunggu
awak bukakan pintu,” ujar Reqza sambil mengawal nada suaranya. Malunya bila
tersalah jerkah orang. Nak marahkan Si Damia, tetapi orang lain pula yang
mendapat bahananya.
Damia melarikan diri semula ke
bilik air yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur Jeslina setelah
temannya itu menamatkan perbualannya dengan Reqza. Lengkap berpakaian, Damia
menemui Reqza dan Jeslina yang sedang berbual-bual di ruang tamu. Nampak
gayanya Jeslina lebih banyak mendominasi keadaan berbanding Reqza yang agak
malu-malu.
“Maaf Req sebab buat kau
tertunggu-tunggu agak lama kat luar tadi.” Dami memulakan bicara. Wajah
cemberut Reqza tatkala terpandang akan wajahnya membuatkan dia hampir ketawa
melihat telatah yang bagaikan anak kecil itu.
“Apa hal kau suruh aku datang
sesudah Subuh ni?” Reqza bersuara tegas. Terlupa dia menjaga adab dan tutur
kata ketika bersama Damia. Terlupa juga dia akan Jeslina yang berada
bersebelahan dengan Damia. Mendengar Damia terbatuk-batuk kecil menyentak Reqza
ke alam yang nyata. Mukanya berubah kemerahan kerana malu dengan tuan rumah.
“Aku nak minta tolong kau make over wajah aku. Kau kan pandai dan
mahir dalam bidang ni walaupun kau belajar bisnes.” Dia tidak mahu membuatkan
Reqza tertanya-tanya tujuan dia meminta Reqza datang bertemu dengannya.
“Kenapa?” Tanya Reqza sepatah.
“Aku nak buat orang yang cuba
mendekati dan berkenalan dengan aku merasa jelek dan termuntah bila terpandang
wajah aku nanti. Lepas tu mereka akan lari lintang-pukang,” terang Damia
bersama tawa yang tidak mampu ditahan-tahan.
Buntang mata Reqza mendengar
kata-kata Damia.
“Gila ke apa kau ni?” Soal Reqza.
“Orang lain beriya-iya nak cari teman hidup, kau pulak nak buat
orang lari berjuta batu bila terlihat muka kau. Apa yang tidak beres ni?” Tanya
Reqza tidak berpuas hati.
“Aku bencilah dengan kehendak mama
aku. Ada ke patut hari ni dia buat tiga temu janji dengan calon menantu
pilihannya. Kau bayangkanlah semuanya kena jumpa dalam masa satu hari. Mujurlah
waktunya lain-lain. Jika tidak... mati kering aku. Aku rasa terkongkong sangat.
Kenapa mama aku perlu bersusah payah hendak tentukan masa depan aku dan dengan
siapa aku perlu berkahwin? Aku nak jadi seperti orang lain di luar sana yang
hidup dengan curahan kasih sayang. Mereka juga boleh pilih bidang kerjaya yang
diingini dan bebas tentukan pilihan hati. Kenapa aku tak layak mendapat hak
itu?” Terang Damia dengan mata yang berkaca. Pantas air matanya diseka sebelum
sempat menitis.
Tersentuh hati Reqza dan Jeslina
mendengarnya. Melimpah perasaan kasihan terhadap sahabatnya itu.
“Kalau kau nak, aku boleh menyamar
sebagai kekasih kau.” Reqza cuba menghulurkan bantuan.
Damia hanya menggeleng. Damia tahu
apa natijahnya jika dia gagal dalam rancangannya nanti. Pelawaan Reqza belum
mampu membuatkan ketiga-tiga lelaki itu menarik diri. Pasti mereka sudah tahu
status dirinya dan melihat raut wajahnya, sebab itulah lelaki-lelaki itu
bersetuju hendak bertemu dengannya. Damia tidak mahu hatinya sengsara di
kemudian hari. Manusia mampu berlakon menjadi baik selagi impian mereka belum
tercapai. Damia tidak mahu terjerumus ke dalam dunia manusia yang penuh dengan hipokrit.
“Sebelum kita mulakan agenda ini,
apa kata kita keluar cari sarapan dulu. Lepas tu... kita pergi ke hotel yang
aku dah booked semalam,” jelas Damia
ceria. Dia berusaha menutup kesedihan di hati.
Bulat mata Jeslina dan Reqza
mendengar penerangan Damia.
Ketawa Damia melihat gelagat
rakan-rakannya itu. Hatinya yang walang juga sudah sedikit terubat.
“Req... kau ada bawa kan barang
yang aku pesan semalam?” Tanya Damia. Melihat anggukan Reqza, Damia menjadi lega.
Setelah mendapat keizinan daripada
Pak Cik Abdullah dan Mak Cik Juriah, mereka bertiga beredar meninggalkan rumah
Jeslina. Selesai bersarapan mereka bertiga menuju ke hotel, tempat di mana
Damia ingin melancarkan rancangannya. Di hotel itu juga dia telah membuat temu
janji dengan ketiga-tiga jejaka malang pilihan mamanya.
SEBELAS
PAGI,
mangsa pertama Damia tiba. Damia yang memakai busana muslimah dan berpurdah
menghampiri Benjamin Asyraf.
“Assalamualaikum...,” sapa Damia.
“Waalaikumussalam...,” jawab
Benjamin Asyraf sambil menoleh untuk melihat wajah yang memberi salam sebentar
tadi. Tegak duduk Benjamin Asyraf melihat calon pilihan mummynya.
Alahai... mummy! Gadis sebegini muslimah manalah sesuai dengan jiwanya yang suka
enjoy. Namun dia tersenyum manis
terhadap gadis yang bernama Damia itu. Ingin sekali dia melihat wajah di
sebalik purdah itu. Sewaktu dia melihat gambar Damia minggu lepas, hatinya
terus tertarik. Damia pada tanggapannya tidak kurang cantiknya jika
dibandingkan dengan Mona dan Jessica yang selalu didakapnya.
“Emmm... silalah duduk.” Benjamin Asyraf menarik kerusi
mempersilakan Damia duduk. Dia bersikap seperti lelaki sejati sepertimana yang
sering dilakukan terhadap teman-teman wanitanya.
“What should I call you? Damia
or Mia?” Benjamin Asyraf memulakan bicara. Apa salahnya dia berbuat baik
dengan pilihan mummynya ini. Untung
nasib badannya boleh diusung terus ke bilik hotel.
“Just call me, Mia,” balas Damia sopan sambil tersenyum mengejek
terhadap Benjamin Asyraf.
Huh... nampak sangat perangai Mat
Romeo dan Don Juannya, bisik hati Damia. Menyampah pula dia melihat senyuman
gatal yang tersungging di bibir Benjamin Asyraf.
“Mia nak minum atau makan? Saya boleh
panggilkan pelayan,” ujar Benjamin Asyraf mesra.
“Biarlah dulu.” Damia menolak
lembut. “Emmm... apa kata kita
bincangkan tentang topik pertemuan yang diadakan untuk kita berdua hari ini.”
Damia memulakan bicaranya. “Saya rasa saya bukanlah gadis yang sesuai buat
Encik Benjamin Asyraf. Ramai lagi gadis yang lebih cantik dan jelita di luar
sana. Lagipun...”
Damia membuka purdah yang menutupi
wajahnya sebentar tadi. Hendak tergelak dia melihat wajah pucat Benjamin
Asyraf. Langsung ternganga mulut lelaki itu kerana terlalu terkejut. Huh, padan
muka kau! Nak sangat jumpa aku, bisik Damia.
“Sebab itulah saya menolak cadangan
mama saya yang ingin menjodohkan kita berdua. Saya sedar wajah saya yang buruk
ini tidak sepadan dengan Encik Benjamin Asyraf yang kacak bergaya.”
Benjamin Asyraf mengusap lehernya
menghilangkan rasa terkejut. Dia benar-benar tidak menyangka wajah Damia jauh
benar berbeza dengan yang di dalam gambar. Terperanjat bukan sedikit dia tadi.
Huh... mummy! Mengapalah muka yang
buruk dan hodoh ini boleh terpilih untuk dijodohkan dengan dirinya? Benjamin
Asyraf tidak betah lagi berlama di situ. Malu rasanya jika bertembung dengan
rakan-rakan atau pekerjanya nanti. Jatuhlah sahamnya bila mereka terlihat dia
bersama dengan perempuan yang berwajah jelek. Benjamin Asyraf berpura-pura
melihat jam di tangannya. Dia perlu mencari helah untuk melarikan diri. Tak
sanggup rasanya dia hendak melihat wajah yang berparut hodoh itu lebih lama
lagi.
“Maaflah Mia, sebenarnya saya ada
urusan lain sebentar lagi. Saya rasa cukuplah setakat ini pertemuan kita.”
Benjamin Asyraf terus bangun dan berlalu pergi.
Ketawa besar Damia melihat Benjamin
Asyraf beredar.
“Yes!” Damia bersuara girang. Berhasil juga dia mengusir mangsa
pertamanya. Kini dia menunggu mangsa yang kedua pula, Fauzan Taufiq.
Fauzan Taufiq juga seperti Benjamin
Asyraf tatkala terpandang akan wajah Damia. Terkejut! Terasa ngeri pun ada.
Tapi dia cuba beriak selamba.
“Boleh saya tanya saudari Damia
beberapa soalan?” Melihat anggukan Damia, Fauzan Taufiq meneruskan bicaranya. “Mengapa
berbeza sangat wajah saudari Damia sekarang berbanding di dalam gambar?”
“Oh... itu gambar saya sebelum
terlibat dalam kemalangan!” Jawab Damia selamba. “Lagipun kemalangan itu baru
aje beberapa bulan berlaku sebelum saya pulang ke Malaysia.
“Kenapa tak buat pembedahan plastik
ke atas wajah saudari Damia? Keluarga saudari Damia kan mampu.”
Hisy...
banyak cekadak pulak lelaki ni. Damia
tetap mempamerkan senyuman manis walaupun hati sudah membungkam.
“Ini dah buat plastic surgery lah ni! Jika tidak, lagi teruk.” Damia
menakut-nakutkan Fauzan Taufiq. Damia dapat melihat ketidakselesaan Fauzan
Taufiq. Nampak gayanya lelaki ini juga akan berhambus sedikit masa lagi.
“Kalau begitu biar saya berterus
terang.” Fauzan bersuara. “Sebenarnya saya sudah mempunyai pilihan hati. Mama
saya yang beriya-iya mahu saya berkenalan dengan saudari Damia,” bohong Fauzan
Taufiq. Padahal sebelum ini, dia lah yang sebenarnya yang tidak sabar hendak mengenali
Damia dengan lebih dekat lagi.
“Jadi saya harap saudari Damia
tidak berkecil hati sekiranya saya menolak hasrat keluarga kita,” ulas Fauzan
Taufiq panjang lebar. Mana mungkin dia menerima Damia yang berwajah hodoh
sebagai pasangannya sedangkan dia mampu mendampingi jelitawan-jelitawan di luar
sana.
“Eh... tak mengapa! Tak mengapa!
Saya sedikit pun tak kisah. Lagipun saya sedar dengan kekurangan diri saya.
Saya setuju sangat-sangat dengan hasrat Encik Fauzan Taufiq tu.”
Tidak lama kemudian Fauzan Taufiq
meminta diri untuk beredar.
“Saya pergi dulu,” pinta Fauzan Taufiq.
Gembira bukan kepalang Damia kerana
rancangannya hendak menyingkirkan Benjamin Asyraf dan Fauzan Taufiq telah
berjaya. Memang benar apa yang mama selalu katakan kepadanya. Dia budak degil
dan nakal. Jika tidak... masakan dia boleh terfikir hingga ke tahap ini?
Teringat lagi Damia akan kata-kata
neneknya apabila mama memberitahu dia seorang yang nakal. Kata nenek... dia
bukannya degil atau nakal tetapi belum akhir baligh dan tidak matang.
Damia pun pelik sebenarnya
mendengar kata-kata neneknya. Tak akanlah umur dah lebih dua puluh tahun pun
masih belum baligh lagi! Biar betul nenek ni? Tapi tadi tu... apa? Tidak ke nakal namanya?
Tidak lama selepas Fauzan Taufiq
beredar, Damia menerima panggilan daripada seseorang yang mengatakan dia tidak
dapat datang kerana sedang bercuti dan terus menyatakan hasratnya yang tidak
berminat hendak berkenalan dengannya. Jadi tak perlulah Damia bersusah payah
berlakon di hadapan orang itu.
Jeslina dan Reqza ditugaskan
mengambil gambar dalam setiap pertemuan yang diadakan dengan jejaka-jejaka yang
malang itu. Dia juga meminta Jeslina merakam wajahnya yang sedang disolek oleh
Reqza. Semua itu ingin dijadikan koleksi peribadinya.
Wah! Menarik2. Ai suka sgt2. tak sbr nak tahu siapa lelaki yg menrik diri itu.
ReplyDeleteDak nakal Damia ni. Kesian lelaki pilihan mamanya, semuanya kena tendang.
Terima kasih krn sukakannya. Teruskan membaca.
DeleteBagus banget deh, isinya. Asyik gitu. Kapan2 gue dtg lagi.
ReplyDeleteTerima kasih. Jemputlah dtg lagi.
Deletehari yg dinnt tiba jua. Dah lama sgt tunggu n3 baru. Baru ari ni ada. syabas kak DD. Mmg terbaikkkkkkkkkkkkkkkkk!!!!!
ReplyDeleteTerima kasih keran sudi luangkan masa di blog yg tak seberapa ini.
DeleteSyoknya... smpi tak terkata. Watak damia yg sukar dijangka sgt menarik. Nak lagiii. Jgn malu2 masukkan n3 setiap hari. heheheh....
ReplyDeletehari2? Mgkn tak dptlah. Teruskan membaca ya. Terima kasih krn sudi bc idea yg serba kekurangan ini.
DeleteMakin menarik. Tak sabar nak tahu bab yg selanjutnya. Bagaimanakah nasib yg menimpa Damia selepas ini. Apapun syabas Damia krn kekreatifan anda. Suka sgt part ni.
ReplyDeleteSalam Raihana. Terima kasih krn sukakannya.
DeleteBest... besttt.. Itu shj yg nak kata.
ReplyDeleteBest ke? TQ darling sayang.
DeleteSenget btllah kepala Damia ni. Blh die wat cam tu.... Apapun best.
ReplyDeleteHehehe... kesian Damia dikatakan senget.
DeleteHahahaha....
ReplyDeleteOpps lupa nal bg salam.
Assalamualaikum...
Kak DD, nenek Damia ni lawaklah. Ada ke dia kata cucu dia yg dah tua tu blm akhir baligh.
Suka sgt cara Damia usir jejaka2 gatai tu.
Syabas kak DD, tak rugi saya follow citer ni.
Super duper bestnya.
waalaikumussalam Ayu...
DeleteTeruskan bersama SPH ok.
Kelas kau Damia...
ReplyDeleteNakal sungguh demo ni.
Kak cpt sikit post n3 baru. tak sabar nak tahu apa yg berlaku seterusnya. Mesti mama Damia mengamuk sakan.
Teruskan bersama SPH utk tahu apa yg berlaku selanjutnya.
DeleteAmboi abg Reqza kita garangnya. Mujurlah Damia tak syok kat kau.
ReplyDeleteKak nak lagi. Sambung cepat-cepat. Nak tahu apa yg berlaku pas ni. Please!!!!!
Insya ALLAH minggu depan akan ada smbgannya,sabar menanti.
DeleteAhak. Suka sgt2. Best!
ReplyDeleteTq... Teruskan bersama SPH
DeleteNak lagi. Nak lagi. best sgt. Tak cukup.
ReplyDeleteInsya ALLAH akan ada smbgannya nnt. Sabar ya.
DeleteApa yg akan terjadi selps Damia tolak semua calon suami mak dia ya????
ReplyDeleteNak tahu apa akan jd... nntkan bab selanjutnya. Manalah tahu lelaki2 ini akan meroyan apabila tahu wajah damia yg sebenarnya.
DeleteManalah hero tak muncul2. nak berkenalan dgn hero pas nieeee...
ReplyDeleteBab akan dtg akan muncul heronya.... jgn bimbang.
DeleteGilerrr lah Damia, blh dia pk wat camtu, tak takut ke mak dia mengamuk. Tak nak jd dokter pun mak dia dah naik angin...
ReplyDeleteMahu kena sembelih.
hehehe... ^_^
DeleteTeruskan berkarya. Sentiasa menyokong.
ReplyDeleteNot bad. Tahniah writer cubaan yg berani. Semoga anda terus bintang anda erus bersinar dalam berkarya. Syabas! keep it up
ReplyDeleteInsya Allah. Terima kasih anihani.
ReplyDelete