BERGELAR
pelajar memang memenatkan. Setiap masa, dia perlu berkejar ke sana ke mari untuk
mencari bahan rujukan dan bertemu pensyarah. Namun... untuk menjadi manusia
yang berguna dan berilmu, semua itu bukanlah batu penghalang buat Athirah.
Itu
belum lagi pening kepalanya mencipta alasan untuk menolak setiap ajakan Salman
dan beberapa pelajar lain. Pernah suatu hari dia keluar makan malam bersama
Salman, apabila bertembung dengan Mikhail, terus lelaki itu mengamuk. Macamlah
dia isteri Mikhail. Nasib baik tidak berlaku pergaduhan, jika tidak tentu malu
besar jadinya. Mana Athirah hendak letak muka andainya perkara tersebut sampai
ke pengetahuan emak dan ayahnya di kampung serta mentuanya. Jikalau
abang-abangnya tahu, lagi teruk! Mati dia dikerjakan!
Tapi
Salman ni jenis manusia yang tak pernah serik. Katanya... selagi dia belum
rasmi menjadi isteri Mikhail, selagi itulah Salman akan merebutnya. Raut wajah
Mikhail ketika itu usah ceritalah. Mengalahkan singa yang tak makan setahun.
Sejak itu, Mikhail mengongkongnya. Ke mana dia pergi dan apa yang hendak dia
lakukan, harus dilaporkan terlebih dahulu. Dia juga tidak bebas berkawan atau
bergaul dengan lelaki lain di kampus.
Setelah
tamat kelasnya, Athirah pergi ke perpustakaan mencari bahan untuk assignmentnya. Fazlina tidak dapat turut
serta kerana ada perjumpaan kelab. Salmi, Aina dan Aisyah telah pulang ke
asrama. Hampir tiga jam bergelumang dengan buku dan kertas, Athirah melangkah keluar
dari perpustakaan.
Getaran
telefon bimbit dipoket seluarnya membuatkan Athirah tersentak dan kegelian.
Semasa di perpustakaan, dia telah menukar telefon bimbitnya pada silent mode.
“Helo!
Assalamualaikum...” Athirah memulakan bicara.
“Waalaikumsalam.
Baby sihat...?” Rostam bertanya.
Selepas
menghantar Athirah mendaftar tempoh hari, baru hari ini dia berpeluang
menghubungi adiknya itu. Tuntutan kerja membuatkan masanya untuk bersama adik
kesayangannya itu semakin berkurangan.
“Abang
Tam...,” jerit Athirah. Mata-mata yang memandangnya tidak lagi dihiraukan.
Sudah lama dia tidak mendengar khabar berita dan berjumpa dengan abangnya yang
seorang itu berbanding Abang Roslan dan Abang Rosmannya.
“Abang
Tam... rindunya dekat abang! Rindu sangat-sangat! Abang Tam kat mana sekarang ni?
Jikalau Abang Tam ada kat KL, datanglah jumpa Baby.” Athirah bersuara teruja. Dia benar-benar gembira dapat
mendengar suara abangnya itu.
“Memang
Abang Tam nak jumpa Baby. Baby kat mana sekarang? Abang Tam dah
ada depan asrama Baby ni. Hari ni
kita balik rumah ya! Esok pagi-pagi, Abang Tam hantar pergi kelas. Abang Tam ada
beli hadiah istimewa untuk Baby tau!”
Rostam memancing adiknya.
“Ala... Baby masih dekat library lagi ni! Apa kata Abang Tam ambil Baby kat sini,” pinta Athirah manja.
“Okey!
Baby tunggu kat tempat yang mudah Abang
Tam nampak! Sekejap lagi abang sampai.”
Mata
Athirah melilau mencari kelibat Rostam. Athirah tidak sedar ada sepasang mata yang
melihat dan sepasang telinga yang mendengar. Athirah melambai-lambaikan tangannya
bila terlihat Kawasaki ZZR1400 milik Rostam. Seperti biasa, tangan dan kedua-dua
belah pipi abangnya itu dikucup.
Perasaan
jejaka yang memandang aksi Athirah dan Rostam panas membara. Hancur luluh hati
lelakinya mendengar nada ceria Athirah. Tapi dia tidak boleh salahkan Athirah.
Dia tidak pernah meluahkan perasaannya yang sebenar. Malahan mereka menjadi rapat
pun kerana ugutannya.
Hati
lelakinya membungkam melihat Athirah memeluk erat tubuh lelaki itu. Dia kenal lelaki
itu. Lelaki yang sama semasa hari pendaftaran. Matanya setia memerhati Athirah hinggalah
bayang Athirah hilang dari pandangan. Dia akan berusaha meraih cinta Athirah. Dia
tidak boleh terlalu cemburu. Mungkin sahaja hubungan mereka sudah lama
terjalin. Pastinya lelaki itu sungguh istimewa di hati Athirah hinggakan
Athirah masih lagi setia dan tidak berpaling hingga kini.
Dia
akan merampas Athirah dari genggaman lelaki itu secara perlahan-lahan. Dia akan
buat Athirah merasakan kehadirannya dan menyintai dirinya sepenuh hati. Dia tidak
boleh tersilap langkah dan terburu-buru. Andainya dia tersalah membuat
percaturan, dia pasti akan kecundang dan Athirah akan pergi jauh dari hidupnya.
Tidak mustahil juga dia akan kehilangan Athirah buat selama-lamanya. Dia nekad
akan merebut Athirah dari tangan sesiapa pun. Athirah akan jadi miliknya dan
kekal jadi miliknya sampai bila-bila.
ATHIRAH
merenung abang-abang kesayangannya. Masing-masing seronok bercerita tentang
zaman kecil mereka. Hubungan Athirah dengan mereka hanyalah adik-beradik susuan.
Tetapi kasih sayang yang dihulurkan oleh mereka, seolah-olah dia daripada rahim
dan benih yang sama. Tidak kurang sedikit pun kasih sayang yang diterimanya,
malahan melimpah ruah. Sikap ambil berat abang-abangnya membuatkan Athirah
tidak pernah merasa tersisih.
Roslan
berusia dua puluh sembilan tahun. Merupakan Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan
Universiti Malaya. Rosman berusia dua puluh tujuh tahun, bertugas sebagai Pegawai
Hal Ehwal Agama Islam di JAWI, Kuala Lumpur manakala Rostam berusia dua puluh
lima tahun dan bekerja sebagai arkitek di salah sebuah syarikat terkenal di ibu
negara. Mereka juga mempunyai seorang adik lelaki bernama Rashid tetapi telah meninggal
dunia. Khabarnya, semasa Athirah dilahirkan, adik lelaki mereka baru berusia
sembilan bulan dan mengalami masalah jantung berlubang. Semasa Athirah berusia tiga
bulan, Rashid telah pergi meninggalkan mereka semua kerana berlaku komplikasi jantung
dan gagal diselamatkan.
Ibu bapa Athirah meninggal dunia ketika
dia masih bayi. Athirah merasa amat sedih kerana tiada satu pun kenangan ibu bapanya
yang ditinggalkan, hatta sekeping gambar. Athirah teringin sangat hendak
menatap wajah mereka. Menurut cerita Mak Salamah, ibunya meninggal dunia semasa
melahirkannya kerana mengalami pendarahan yang teruk akibat kemalangan dan
bapanya pula meninggal dunia kerana disuntik dengan suntikan beracun.
Selain Mak Salamah dan Pak Kassim,
Athirah juga mempunyai mama dan papa angkat. Mama angkatnya bernama Khaty dan
papa angkatnya pula bernama Wan. Mereka jarang berada di Malaysia. Kebanyakan
masa mereka dihabiskan di luar negara. Mereka mempunyai banyak rangkaian
perniagaan di dalam dan luar negara. Papa dan mama angkatnya sering
menghubunginya melalui telefon dan mengirimkan pelbagai hadiah terutama ketika
menyambut ulang tahun kelahirannya.
Athirah masih ingat lagi semasa
berusia lima tahun. Mama dan papa angkatnya datang ke Teratak Emelda dan
tinggal bersama mereka selama beberapa tahun. Ketika itu, papa dan mama
angkatnya baru pulang dari Amerika Syarikat setelah mendapatkan rawatan di sana
kerana terlibat dalam kemalangan ngeri. Tujuan mereka kembali ke Malaysia
adalah untuk mendapatkan rawatan bomoh patah yang terkenal di Terengganu. Papa
angkatnya lumpuh daripada bahagian pinggang hingga ke kaki.
Mereka sangat baik dan sayangkan
Athirah. Mereka juga mahu Athirah menganggap mereka seperti mama dan papa
sendiri kerana mereka tidak mempunyai anak manakala Athirah telah kehilangan
kedua ibu bapa. Setiap malam Athirah akan tidur bersama papa dan mama
angkatnya. Mereka juga banyak menghabiskan masa bersama. Mama angkatnya
mengajar dia dan abang-abangnya bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bertutur bahasa
tersebut setiap hari menyebabkan Athirah begitu fasih berbahasa Inggeris.
Tetapi dia lebih mengagungkan penggunaan bahasa Ibunda. Mama dan papa angkatnya
juga banyak membantu dia dan abang-abangnya dari segi kewangan.
Athirah tidak perlu membuat
pinjaman PTPTN untuk belajar di universiti. Wang yang diterima daripada ayah, abang-abang, papa
angkat dan wang nafkah suaminya, mencecah ribuan ringgit sebulan. Hanya dia
sahaja yang tidak mahu mempamerkan kemewahannya. Kata emaknya, jangan terlalu
boros dalam menggunakan wang ringgit dan guna bila perlu sahaja. Sejak kecil lagi,
dia dididik supaya bersederhana dan menabung. Oleh itu, hingga dia meningkat dewasa,
dia gemar mengekalkan sifat sebegitu dalam dirinya.
Sedang sibuk melayan perasaan mengimbau
memori lampau, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Mikhail di situ.
Athirah berlalu meninggalkan abang-abangnya dan masuk ke bilik tidurnya.
“Assalamualaikum..., abang.”
Athirah memulakan mukhadimahnya.
“Waalaikumsalam. Sayang buat apa tu?” Mikhail bertanya. Dia
ingin tahu ke mana Athirah pergi dan dengan siapa dia berjumpa.
“Tak buat apa-apa. Kenapa? Abang
nak buat spot check ke?” soal
Athirah. Athirah sekadar ingin bergurau dengan Mikhail.
“Kalau abang nak buat spot check, tak boleh ke?” soal Mikhail kembali.
“Boleh...” Meleret manja sahaja
nada suara Athirah. “Okey... sayang bagi tahu abang! Sekarang ni sayang berada di rumah
adik-beradik sayang dan sedang berbaring di atas katil. Tengah berbual dengan
seorang lelaki yang kacak lagi tampan bernama Mikhail. Puas hati abang sayang?”
usik Athirah.
Tertawa
Mikhail mendengar kata-kata Athirah.
“Habis
tu, macam mana sayang nak pergi kelas esok?”
“Itu
abang tak perlu risau. Buah hati sayang akan hantar ke kampus esok.”
Athirah
rasakan, dia tidak perlu menjaga hati dan perasaan Mikhail. Mikhail bukan
kekasih atau suaminya. Andai Mikhail tidak mahu berkawan lagi dengannya, itu
sudah baik. Tidak perlu dia melayan kerenah Mikhail yang kadangkala menyesakkan
dada dan menggetarkan naluri wanitanya. Athirah turut merasa bimbang dan
rungsing. Jika tersalah langkah, dia juga yang jatuh tersungkur nanti. Dia
bukan lagi gadis bujang yang boleh menabur benih kasih dan cinta terhadap insan
yang dia sayangi sesuka hati. Kasih sayangnya yang mula bercambah tidak mampu
ditanam di tempat yang terlarang itu.
Mendengar
pengakuan Athirah, jantung Mikhail terasa hendak meletup. Hatinya bagaikan
dihiris sembilu berbisa. Tidak salah lagi tekaannya. Lelaki itu memang ada
hubungan istimewa dengan Athirah. Apakah yang harus dia lakukan? Perlukah dia mengaku
tewas sebelum berjuang?
“Jikalau
dia itu buah hati sayang, habis tu siapa pula abang di hati sayang?” Mikhail perlu tahu kata hati
Athirah.
“Abang...
kekasih sayanglah. Bukan ke abang yang suruh sayang jadi kekasih abang?”
Athirah berkata jujur. Pening Athirah memikirkan soalan Mikhail. Bukan ke
Mikhail yang inginkan dia menjadi kekasih lelaki itu?
Mikhail
yang tidak mahu mengeruhkan suasana, mengubah topik perbualan mereka.
“Sayang
nak abang jemput esok?”
“Tak
payahlah. Sayang tak nak menyusahkan abang.”
Athirah
menoleh pabila terdengar bunyi ketukan pintu. Terlihat muka Rostam di muka
pintu.
“Abang...
kita berhenti di sini dulu ya. Buah hati sayang dah panggil, kami nak keluar makan.”
“Baiklah
jika macam tu.” Terus Mikhail memutuskan talian.
Perasaan
sedih, kecewa dan marah bergabung menjadi satu. Athirah menerimanya sebagai
kekasih sebab dia yang suruh dan paksa. Bagaimana pula dengan lelaki itu? Adakah
Athirah menerimanya dengan rela atau terpaksa seperti dengannya juga? Dia harus
bersabar dan terus berusaha seandainya mahu Athirah kekal disampingnya. Dia
juga harus membuangkan perasaan cemburu jika ingin mengekalkan hubungan yang sedia
terjalin antara mereka.
Mikhail
tidak mahu terlalu cepat mengaku kalah tanpa bertempur terlebih dahulu.
Sekiranya dia memutuskan hubungannya dengan Athirah, ramai lelaki di kampus bertepuk
tangan dan bergembira. Mereka pasti mengambil peluang yang terbuka luas untuk
memikat Athirah dan seterusnya menjadikan Athirah sebagai teman mereka. Antara
Athirah dan lelaki itu belum tentu akan kekal bersama. Selagi Athirah belum
berkahwin, Mikhail rasakan peluangnya untuk memiliki Athirah amat cerah sekali.
ish ish ish mikhail...sian kat kau..hehehhehe
ReplyDeleteqminz... Bukan kecewa lagi. Tp parah!!!
Deletehuhuhu... Mikhail jeles. Cian kat Abang Khai kita niee. Jgn risau bro, itu abang dialah!!!
ReplyDeleteKnplah kau kawen awal sgt??? Knplah kau tgk muka wife kau bro??? Nanti Athirah dah syok kat kau, tiba2 kau sayang kat wife kau plak! Tak ke kesian si Athirah tu nnt???
Emo sikit!!!
huhu.. hampir kecewa dh tu si Mikhail..
ReplyDelete