Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Sunday 19 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 3

TEPAT lima petang, acara kebudayaan dan debat diadakan. Athirah tiba agak lewat  untuk sesi latihan. Perutnya meragam sejak tengah hari tadi. Begitulah keadaannya apabila mengibarkan bendera merah.


“Awak mari sini.” Mikhail memanggil Athirah. Tangan kirinya mencekak pinggang.


Dengan perasaan takut dan gementar, Athirah menghampiri Mikhail.


“Kenapa awak datang lewat?” tanya Mikhail agak kasar. Raut wajahnya tegang dan garang. “Belum apa-apa lagi dah tunjuk besar kepala.” Mikhail menghamburkan  kemarahannya.


Sekali lagi Athirah menerima amukan Mikhail. Kali ini atas kelewatannya pula. Athirah merasa amat malu sekali apabila banyak mata tertumpu ke arahnya sambil tersenyum sinis. Dia akui sememangnya kesilapan kali ini berpunca daripadanya. Tetapi tidak boleh ke dia diberi peluang untuk membela diri?


“Awak ingat muka awak cantik dan lawa, orang buat tak kisah bila awak datang sesuka hati? Dengan orang lain, awak boleh tergedik-gedik, tapi tidak dengan saya,” sinis Mikhail.


Perasaan marahnya terhadap Athirah kesan daripada sifat cemburu yang sukar dibendung sejak pagi tadi. Dia juga sengaja mencari kesalahan Athirah. Hanya dengan cara ini sahaja dia boleh menghampiri gadis tersebut. Hendak berbual mesra seperti Salman, dia tidak mampu. Dari awal mengenali gadis itu, hanya bibit-bibit pertengkaran yang wujud antara mereka.


Athirah memandang Mikhail seketika sebelum membuang pandang ke arah lain.


“Kenapalah takde muka lain yang aku boleh jumpa? Balik-balik muka mamat gorilla ni? Setiap ceruk mesti jumpa muka dia punyalah. Jangan-jangan dia ni ada bela hantu raya tak? Kalau tidak macam mana dia boleh tahu aku datang lewat? Hisy... mamat ni, tahu saja kat mana aku berada! Ini mesti dia suruh hantu raya dia intip aku. Itu sebabnya dia perasan aku ada ke tidak. Menyampah sungguh!” omel Athirah perlahan hanya untuk dirinya sendiri. Kelakar juga mamat ni. Dalam marah-marah pun, masih boleh puji aku cantik, desis hati Athirah.


“Apa awak kata ‘mata hijau’?” sergah Mikhail.


Geram sungguh Mikhail apabila omelan Athirah mengenai dirinya sayup-sayup singgah di telinga. Paling dia tidak boleh terima dan tidak masuk akal apabila Athirah menuduhnya memelihara hantu raya. Macam manalah dia tidak naik hantu dengan gadis bernama Athirah? Mulut comel itu, ada sahaja yang hendak menjawab dan membalas balik setiap apa yang dia katakan. Mak dia ni mesti suka makan tongkeng ayam masa mengandung. Itu sebab mulutnya tak berhenti menceceh setiap masa, bisik hati Mikhail.


“Hah, apa dia?”Athirah bertanya balik. Dia mengurut dadanya yang bergetar hebat akibat sergahan Mikhail. Nasib baik jantungnya dalam kondisi baik. Kalau tidak... sah-sah dia masuk IJN hari ini! Tidak mustahil suatu masa nanti dia bakal menghuni IJN jika disergah Mikhail setiap hari.


Dia dengar ke apa yang aku cakap? Bukan ke aku cakap perlahan aje tadi? Athirah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Agaknya mamat ni spesies supernatural tak? Habis tu macam mana dia boleh tahu aku kutuk dia? Hisy... menakutkanlah mamat ni! Sudahlah garang nak mampus. Badan pun punyalah besar. Sekali dia lenyek aku, terus penyek macam rempeyek. Ingat Athirah... kalau kau nak kutuk dia mesti hati-hati. Nanti hantu dia tahu! Bisik Athirah pada dirinya. Athirah memerhati dan mengamati Mikhail.


Lelaki metroseksual seperti Mikhail tentu ramai peminat, desis Athirah. Badan Mikhail tegap dan sasa. Penampilan Mikhail juga persis model iklan. Kalaulah di kampusnya ada program Manhunt, mesti Mikhail menjadi juara. Muka tampan, kulit putih bersih, hidung mestilah mancung. Dan paling Athirah suka, melihat bibir Mikhail yang merah. Ini membuktikan yang dia bukan perokok. Antara ciri jejaka idaman hatiku sejak dulu, bisik hati Athirah.


Walau bagaimanapun... disebabkan tahap kegarangan Mikhail yang melampau, Athirah membenamkan diri Mikhail sebagai calon yang harus dia pertimbangkan untuk menjadi kekasih hati sekiranya dia masih single. Disebabkan kegarangan Mikhail juga, maka dengan itu dia tidak layak diisytiharkan sebagai THE MOST GORGEOUS MALE IN CAMPUS, omel Athirah lagi dalam hatinya.


Hisy... apa pasal aku boleh beri pujian melambung pada mamat ni pulak? Nasib baik dia tak dengar. Jika tidak tentu mamat perasan bagus ni kembang kempis hidungnya. Silap-silap hari bulan, bangunan kolej ini pun boleh dilompatnya sekiranya dia tahu aku memujinya...



MIKHAIL memerhati tingkah laku Athirah. Ini mesti takde kerja lain. Kutuk akulah tu! Tengok muka tu... dah berkerut sana berkerut sini, terherot sana terherot sini. Dahi pun dah berlapis-lapis macam fikirkan masalah negara. Agaknya kalau jadi PM tentu tak tidur malam. Tentu setiap hari pening kepala fikirkan masalah rakyat.


Athirah dilihatnya hanyut dalam dunianya sendiri. Kesempatan yang ada membolehkan Mikhail menilik raut wajah yang berada di hadapannya. Athirah memang menarik. Hidung mancung, pipi bak pauh dilayang dan kulitnya pula putih kemerah-merahan. Bibirnya walaupun tanpa calitan lipstik, tetap kelihatan merah, segar dan menarik. Ketinggian Athirah hampir menyamai dirinya. Cuma kurang beberapa sentimeter sahaja. Dia ni kacukan Timur Tengah dan Barat kut? Bisik hati Mikhail.


“Ehem..., ehem...!” Mikhail berdehem dan matanya ditunakkan kepada Athirah. “Dah habis mengata dan mengutuk saya? Sekiranya dah habis, mari ikut saya.”


Bulat mata Athirah memandang Mikhail. Dia bagai tidak mempercayai ayat yang baru terhambur daripada mulut Mikhail. Hah, kan betul aku cakap! Dia ni ada bela hantu raya! Tengok... dia boleh tahu apa yang tersirat dalam fikiran aku. Jika dia tidak ada belaan, macam mana dia boleh tahu aku sedang mengata dia? Tukas Athirah dalam hati. Athirah masih lagi tidak habis dengan teori hantu rayanya.


Hu... hu... hu... apa lagilah mamat sewel ni nak suruh aku buat? Tak cukup-cukup lagi ke dera aku? Nanti aku hubungi talian NUR baru tahu! Mak... datang sini ambik BabyBaby nak balik...!!! Abang Salman tolong...!!!


Wah... sejak bila kau pandai minta tolong dengan Si Salman ni? Dengan kawan-kawan kau, tak pulak kau meraung dan melolong minta tolong? Gatal juga kau ni Athirah ya...?


“Hans... tolong minta pen dan kertas dekat Nora,” pinta Mikhail.


Setelah mendapatkan pen dan juga kertas, Mikhail mencoret sesuatu di atasnya. Kemudian dia menepuk kuat tangannya berulang kali untuk menarik perhatian mereka yang berada di situ.


“Okey yang lain... hentikan dulu aktiviti anda semua. Sekarang kita dengar apa yang kawan awak ini ingin sampaikan. Saya harap selepas ini tidak ada lagi yang berani datang lewat atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” mersik sekali suara Mikhail kedengaran.


Salmi, Fazlina, Aina dan Aisyah hanya mampu memandang sahabat karibnya didenda. Mereka ingin datang serentak dengan Athirah. Tetapi temannya itu menolak. Menurut Athirah, dia tidak mahu menyusahkan rakan-rakannya dan meminta mereka pergi dahulu. Kalaulah mereka berkeras dan menolak cadangan Athirah tadi, tentu kawannya itu tidak keseorangan menerima hukuman.


“Saya nak awak baca apa yang saya tulis ini dengan kuat dan lantang,” tegas  Mikhail. Dia menghulurkan dua helai kertas kepada Athirah.


Mengada-ngada betullah mamat ni. Kesalahan yang tak seberapa ini pun hendak dihukum. Bukannya nak selidik dulu kenapa orang datang lewat? Lain kali tanyalah dulu sebab-musabab seseorang itu datang lambat. Ini tidak... terus nak denda! Macamlah aku ni perompak, penyamun atau pembunuh hendak dikenakan berbagai hukuman. Dalam mahkamah pun ada sesi soal jawab sebelum hukuman dijatuhkan. Nanti kau... aku bagi tahu abang-abang aku! Biar dia orang belasah kau secukup rasa! Gerutu Athirah. Perasaan benci terhadap Mikhail semakin meluap-luap. Athirah merampas kertas yang berada di tangan Mikhail dengan kasar.


Bulat mata Mikhail melihat perlakuan Athirah yang terlampau ‘sopan’ itu. Huh, harap muka aje macam supermodel dan miss universe, tapi perangai hancur!!! Rungut Mikhail.


Muka Athirah sudah bertukar masam seperti pickles.


Athirah membacanya dengan kuat dan lantang helaian pertama yang berada di tangannya. “Saya minta maaf atas kelewatan saya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi.”


Selesai sahaja membaca helaian kertas yang pertama, Athirah membaca helaian yang kedua pula.


“Saya juga sangat...”


Namun pembacaanya terhenti. Terjegil biji matanya memandang wajah Mikhail. Hatinya sudah panas mendidih. Ringan saja tangannya hendak menampar muka Mikhail.


“Teruskan bacaan awak,” arah Mikhail lantang.


“Saya tak nak baca dan tak akan baca walau macam manapun hukuman yang awak berikan selepas ini.” Athirah meninggikan suaranya. Dengan beraninya dia menentang bola mata Mikhail. Perasaan benci, marah dan dendam berkumpul menjadi satu. Hatinya sangat- sangat merusuh dengan tindak-tanduk Mikhail.


Mikhail memandang wajah Athirah dengan perasaan geram. ‘Mata hijau’ ni kalau tak melawan cakap aku tak boleh ke? Ada sahaja yang hendak dijawab dan dibantah olehnya. Nasib baik bukan bini aku! Jika tidak... sah-sah dapat dosa melawan cakap suami, bisik hati Mikhail.


“Betul awak tak nak baca? Awak jangan degil! Nanti saya cium awak depan khalayak ramai, awak nak?” ugut Mikhail. “Atau awak nak temankan saya pergi disko malam minggu ni?” Wajah Athirah direnung dengan pandangan menggoda.


Muka Athirah sudah pucat tidak berdarah. Dia semakin takut dengan Mikhail.


“Atau awak nak tidur dengan saya? Awak tahukan bila saya bawa awak ke tempat tidur, apa yang saya nak daripada seorang perempuan?” bisik Mikhail. Dengan aksi menggoda, tangannya merayap-rayap di tepi telinga Athirah yang beralaskan kain tudung berwarna ungu. “Sekarang awak pilih. Baca atau awak kena lakukan ketiga-tiga yang saya nyatakan sebentar tadi,” tegas Mikhail.


Athirah menelan air liur berulang kali mendengar ugutan Mikhail. Air liurnya bagaikan tersekat di kerongkong. Kepala lututnya terasa longgar dan tubuhnya menggeletar. Kepalanya menjadi pening dan tekaknya tiba-tiba terasa mual. Perutnya juga sudah memulas-mulas. Mamat di depannya ini mesti womanizer dan kaki clubbing! Ya ALLAH... jauhkanlah aku dan lindungilah hamba-Mu ini daripada manusia durjana ini. Dengan rendah  diri, hati kecil Athirah berdoa.


Mikhail menahan gelak melihat wajah Athirah bertukar pucat lesi.Ya ampun... wahai cik adik yang cantik manis! Semua yang aku katakan, tidak pernah tercatat dalam kamus hidupku. Mikhail sengaja menggertak Athirah. Belum pernah lagi dalam hidupnya keluar berdua-duaan dengan perempuan. Apatah lagi sampai membawa anak dara orang hingga ke bilik tidur. Menjejakkan kaki ke disko juga tidak pernah dilakukannya. Dia masih ingat pesan umi dan abinya tentang dosa pahala dan syurga neraka. Semua kata-katanya tadi akibat rasukan cemburu yang mendera hati. Athirah boleh melayan Salman dan rakan-rakannya dengan baik tetapi tidak dirinya. Tambahan pula tidak ada yang berani mengingkari arahannya sebelum ini. Hanya Athirah sahaja yang berani membangkang  perintahnya.



TERKETAR-KETAR Athirah memegang kertas yang berada di tangannya. Athirah bertambah takut dengan Mikhail. Sememangnya dia tidak kenal siapa Mikhail. Bagaimana perilakunya, Athirah juga tidak tahu. Seandainya Mikhail benar-benar kotakan kata-katanya sebentar tadi, bagaimana? Tentu keadaan menjadi parah. Athirah tidak mahu menanggung malu dan menconteng arang ke wajah ibu bapa dan keluarga mentuanya. Meskipun dia tidak mengenali suaminya, namun dia harus menyuburkan ketaatan, kerana itu merupakan perintah ALLAH.


Mak... Baby nak balik! Abang tolong Baby.....!!! Rintih hati Athirah. Wajah emak dan ayah serta abang-abang kesayangannya menari-nari di tubir mata. Dengan suara tersekat-sekat Athirah meneruskan bacaannya.


“Saya minta maaf atas kelewatan saya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi. Saya sangat menyintai dan menyayangi saudara Mikhail sejak kali pertama bertentang mata.” Suaranya semakin lama semakin perlahan. Hati Athirah amat sayu sebaik sahaja menghabiskan ayat yang dianggapnya telah menjatuhkan maruahnya ke tahap yang paling hina.


Mikhail tidak berpuas hati. Dia menyuruh Athirah mengulanginya semula. Namun suara Athirah tetap tidak kedengaran. Air mata Athirah mula mengalir dan tubuhnya juga  melonglai.


“Kamu semua boleh sambung balik latihan yang tergendala sebentar tadi,” arah  Mikhail.


“Sekarang saya nak awak baca..., saya sangat mencintai dan menyayangi saudara Mikhail hingga habis dan pandang ke dalam anak mata saya,” tegas Mikhail.


Mikhail merasa bersalah melihat air mata yang menitis di pipi gebu itu. Hendak rasanya dia menyeka setiap titisan yang mengalir dengan jemarinya. Ingin rasanya dia menarik gadis itu ke dalam dakapan dan memujuknya. Namun ego lelaki yang setinggi langit, ditahan jua perasaan itu.


Mata Mikhail merenung ke dalam anak mata bundar kehijauan milik Athirah. Ada getaran hebat hingga ke dasar hatinya. Bagaikan tarikan magnet yang kuat, Mikhail terus merenung dan merenung. Perasaan sayang terhadap Athirah yang entah bila wujud membuatkan Mikhail bertekad melakukan perkara itu agar Athirah tidak disambar lelaki  lain.


Athirah mengangkat wajahnya dan mengesat air mata yang mengalir.


“Saya sangat mencintai dan menyayangi saudara Mikhail sejak kali pertama bertentang mata.” Begitu lancar Athirah melontarkan bait-bait kata itu. Athirah sendiri tidak menyangka dia mampu meluahkan kata-kata tersebut dengan mudah. Tanpa disedari oleh Mikhail mahupun rakan-rakan kolej yang lain, sesungguhnya luahan itu dilafazkan dengan sepenuh hati. Seolah-olah itulah suara hatinya saat itu...


Bagai melodi indah saat Athirah mengungkapkan kata cinta dan sayang. Mikhail benar-benar terpanar mendengar luahan itu. Tubuhnya serasa terapung di awang-awangan. Tanpa Mikhail sedar, tangannya menggenggam erat jemari Athirah lalu mengucupnya dengan penuh kelembutan sambil mengucapkan kata keramat...


I love you too...


Bagaikan aliran elektrik yang merenjat ke dalam tubuh, Athirah terus merentap tangannya. Dia benar-benar terkejut dengan tindakan drastik Mikhail. Sejujurnya hati Athirah turut bergetar hebat dengan sentuhan Mikhail itu. Panahan mata Mikhail yang menikam anak matanya menjadikan hati Athirah tidak keruan. Sesuatu yang indah lagi mengasyikkan bermain di laman hatinya. Cintakah itu?


Athirah segera menangkis perasaan yang baru kunjung tiba. Dia tahu ucapan Mikhail tadi sekadar mainan di bibir sahaja. Athirah sedar... jika dia terjebak dengan mainan perasaan ketika ini, dia sudah melakukan dosa besar. Cinta sucinya hanya layak untuk lelaki yang sudah bergelar suaminya sahaja. Ya ALLAH... aku amat mencintai suamiku biarpun aku dan dia saling tidak kenal...


Mikhail berdehem beberapa kali cuba menghilangkan debaran di dada dan mengembalikan fokusnya ke paksi asal. Jantungnya bagaikan ingin melantun keluar. Dia sendiri tidak menyangka boleh jadi sebegitu berani. Pun begitu, luahan cintanya tadi lahir dari hati yang tulus dan suci.


“Anggaplah tadi acara selingan dan kita sedang melakonkan watak kekasih yang sedang hangat dilamun cinta. Manalah tahu lepas ni awak dapat tawaran berlakon filem. Sekurang-kurangnya awak dah belajar menjiwai watak,” dalih Mikhail menutup keterlanjuran tingkah lakunya.


“Sebelum minggu orientasi ni berakhir, saya nak awak dapatkan biodata lengkap tentang saya dan juga tandatangan saya,” terang Mikhail.


“Ambil kertas dan pen ni, tulis biodata dan nombor telefon awak sekarang!!!” Arah Mikhail tegas. Senyuman langsung tidak terpamer di bibirnya.


Fuh... lega! Nasib baik Athirah tak perasan yang aku dah tangkap lentok sama dia. Mujur juga semua orang sibuk dengan aktiviti masing-masing. Jika tidak niaya aku,” ujar Mikhail perlahan. Matanya melilau memandang sekeliling.


Eh... eh... dia ni! Nak minta biodata dan nombor telefon orang pun nak marah-marah. Dahlah main paksa rela buat semua benda, rungut Athirah. Dia nak buat apa dengan biodata dan nombor telefon aku? Argh... lantak dialah nak buat apa pun! Athirah mengambil kertas dan pen dengan kasar. Laju sahaja tangannya mencoret apa yang Mikhail pinta tadi. Setelah menyerahkan kertas tersebut, dia terus berlalu dengan perasaan geram yang teramat sangat.


Mikhail hanya tersenyum melihat Athirah berlalu pergi dengan wajah masam mencuka. Hatinya berlagu riang. Segala rahsia Athirah sudah berada di tangannya walaupun tidak sepenuhnya.


Tanpa Mikhail dan Athirah sedar, di suatu sudut ada mata yang memandang dengan perasaan benci yang membara melihat adegan romantis mereka. Siapakah dia?                                                                                                                                                        

9 comments:

  1. Mikhail ni gila lah~!! kalau aku jgn harap nk baca menda mengarut tuh....

    gila gila gila...........
    dah la ugut yg bukan2. takda nya dia brani nk buat~!! menyampahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh............

    ReplyDelete
  2. Amboi... Mikhail!!!! Dalam garang2 dlm hati ada taman gak ke????

    Nak novel!!! Nak novel!!!

    Suka sgt2 citernya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ayu.. biasalah kan kena garang2 kalau tak malu pulak bila Athirah buat tak layan nnt.

      Delete
  3. sungguh tdk ptt itu Mikhail.. but sweettt.. huhu.. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Eliza Ab... Dlm pd hati batu bila jumpa Athirah terus jd cair. hehehe....

      Delete
  4. saya tengah berusaha nak menghabiskan cerita nie...saya dah dapatkan novelnye...hehehe

    ReplyDelete
  5. terima kasih kerana sudi mendapat cinta itu milikku. harap dpt terima kekurangan cim seadanya.

    ReplyDelete
  6. nak cari novel ni.. comel sngt.. hehehe. tapi kt kdai popular mcm tak jumpa je.. kt mne nk cari yee??

    ReplyDelete