Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Tuesday 21 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 6




                                              
HUJAN masih lagi turun renyai-renyai. Malam tadi, hujan benar-benar menggila.  Bumi kampus yang kebelakangan ini kegersangan, mula dibasahi. Bunyi alarm dari telefon bimbit mengejutkan lena Athirah. Dalam keadaan mamai, Athirah mengecilkan matanya untuk melihat waktu ketika itu. Manalah tahu dia tersalah setting masa malam tadi. Sudah pukul empat setengah pagi rupanya.


Athirah menggeliat dan melakukan sedikit senaman ringan bagi melonggarkan sendi-sendinya yang dirasakan sedikit kejang. Maklumlah, sudah beberapa hari tidak cukup rehat dan tidur. Sekiranya terlambat bangun tidur, alamatnya kena bebellah dengan sesetengah kakak senior yang ek itu. Minggu orientasi inilah mereka nak tunjuk taring. Apa lagi jika bukan membuli!


Athirah mengejutkan teman sebiliknya bangun. Fazlina tidur agak lewat malam tadi. Sibuk berFB dengan rakan-rakannya semasa matriks. Athirah sangat bersyukur dapat duduk sebilik dengan Fazlina. Mereka bukan sahaja sefahaman tetapi juga sekelas. Kadang kala terfikir juga Athirah hendak menjodohkan rakan-rakan karibnya iaitu Fazlina, Salmi, Aina dan Aisyah dengan abang-abangnya yang hensem itu. Jika boleh Athirah enggan berpisah dengan mereka semua. Tapi itulah... abangnya hanya ada tiga orang, sedangkan kawan-kawannya ada empat orang, jadi siapakah antara mereka yang sanggup dimadukan? Kalaulah kawan-kawannya tahu agenda bodohnya, nahas dia dibelasah mereka.


“Hai... layan berangan nampak? Jomlah pergi mandi, nanti kakak-kakak yang macam singa betina tu bising. Aku dah tak sanggup nak tadah telinga ni. Suara mereka dahlah macam guruh di langit, tension aku!” bebel Fazlina. “Dan kau tentu tak nak kena denda lagi  dengan abang gorila kau yang kacak tu,” giat Fazlina sambil tersengih.


Mendengar nama Mikhail, hati Athirah jadi terbakar. Athirah menjadi geram dan marah bila Mikhail sering memanggilnya minah gedik dan perasan cantik. Mulut Mikhail yang macam lori sampah itu, benar-benar menguji kesabaran Athirah. Dan... ada sahaja kata-kata Mikhail yang membuatkan Athirah ingin memberikan sepakan dan tendangan maut untuk lelaki itu. Biar padan muka mamat perasan bagus tu, desis Athirah.


Sudahlah semasa pemilihan acara regu campuran badminton semalam dia kena berpasangan dengan Mikhail. Macam manalah hatinya nak tenang? Kenapalah mesti melibatkan pelajar senior? Tak boleh ke... buat perlawanan untuk pelajar junior sahaja? Dahlah aku dengan dia tak ngam!


Nasib baiklah kawan Mikhail yang bernama Borhan tu baik dan menyejukkan hati. Walaupun kekacakan antara Mikhail dan Borhan amat ketara perbezaannya, namun jika hati hitam mengalahkan bontot kuali buat apa? Athirah juga gemar melihat senyuman Borhan. Walau tidak semenawan dan ‘semengancam’ Mikhail, namun senyuman Borhan mampu menurunkan lahar gunung berapi yang berada dalam hatinya setiap kali bertembung dengan Mikhail.


Oii... Mek Athirah! Sudah-sudahlah tu layan blues di Subuh hari. Jom kita mandi.  Kena sound pulak kalau lambat.”


Teguran kawannya itu mematikan ingatan Athirah terhadap peristiwa semalam.


MEREKA berlima berkumpul seperti biasa sebelum memulakan apa-apa aktiviti. Mereka juga sering berkongsi kisah suka dan duka sepanjang berada di sini. Ada masanya bertukar-tukar pendapat. Mereka semakin serasi bersama dan saling menghormati antara satu sama  lain. Itulah kunci keakraban antara mereka sejak menjejakkan kaki ke sini.


Hari ini juga adalah hari terakhir Athirah perlu lengkapkan biodata dan dapatkan tandatangan Mikhail. Dia sengaja melambat-lambatkan masa untuk menemui Mikhail. Apabila terpandang wajah Mikhail, hatinya menjadi sebal. Itu belum lagi bertemu empat mata. Agak-agaknya kalau bertemu, mahu berperang macam Palestin dan Israel. Rasa rasanya, dialah Palestin. Tak pun seperti Saddam Hussien dengan Goerge Bush yang sering  bersengketa suatu ketika dulu. Mikhail? Tahu-tahu sendirilah ya!


Mereka berlima keluar dari asrama menuju ke kampus. Mereka berjalan dengan berhati-hati kerana ada sebahagian jalan digenangi air akibat hujan lebat malam tadi. Dalam perjalanan menuju ke kampus, Nissan Skyline GTR memecut agak laju hingga mereka bermandikan air kotor.


Athirah mengetap bibirnya menahan marah. Mereka berlima terpaksa berpatah balik ke asrama untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. Malang sungguh nasib! Lambatlah nampak gayanya mereka sampai hari ini. Apalah bentuk hukuman yang menanti mereka agaknya? Masing-masing mencongak denda yang bakal mereka terima nanti.


“Siapalah manusia yang tiada kesedaran sivik tu ya? Tak tahu ke had laju sekitar kampus ni tak sama macam kat lebuh raya? Tetap juga nak bawa kereta macam pelesit. Kalau gian sangat nak bawa kereta laju-laju, masuk aje F1 di Litar Sepang!” rungut Athirah. “Aku... kalau jumpa orang yang bawa kereta tu, memang aku hempuk dia cukup-cukup.” Athirah menyambung bebelannya sepanjang jalan menuju ke bilik.


Athirah sebenarnya gentar hendak berhadapan dengan Mikhail. Entah apalah bentuk hamburan yang bakal dia terima seketika nanti? Dan yang membuatkan dia benar-benar gusar, entah apakah permainan yang bakal diaturkan oleh lelaki itu untuk mengenakan dirinya kali ini? Mikhail bagaikan sengaja mencari pasal dengannya. Athirah yakin, Mikhail tentu tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk menyakiti hatinya.


“Sabar Athirah, mungkin orang tu tak sengaja agaknya. Manalah tahu dia tengah sakit perut dan tidak tahan nak membuang. Itu yang terpaksa bawa laju.” Fazlina cuba meredakan kemarahan Athirah.


“Kau ni Faz... lembut hati sangat. Sekiranya kau bermurah hati hendak maafkan orang tu, aku tak kisah. Tapi aku tetap akan cari hingga ke lubang cacing,” ujar Athirah kegeraman. Dia masih lagi tidak berpuas hati. Dia tetap akan cari tahu siapakah gerangan yang empunya kereta tersebut? Rasanya inilah kali pertama dia melihat kereta tersebut di sekitar kampus.



MIKHAIL terpaksa memecut laju keretanya kerana tidak mahu lewat ke kampus. Malam tadi dia bermalam di rumah keluarganya. Umi dan abinya menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke dua puluh enam.


Disebabkan Ducati kesayangannya meragam, Mikhail terpaksa memandu hari ini. Dan tanpa sengaja, dia telah menyebabkan gadis pujaan dan rakan-rakannya kebasahan. Sumpah! Dia bukannya sengaja membelah air. Ketika itu, dia sibuk menjawab panggilan sahabat baiknya. Borhan meminta dia menjemputnya di asrama. Ada perkara yang ingin dibincangkan memandangkan malam tadi dia tidak turut serta dalam perbincangan yang  diadakan.


Athirah memerhatikan kereta yang menyebabkan dia kebasahan menuju ke tempat letak kereta. Athirah memusatkan pandangannya. Dia ingin melihat siapakah pemilik kereta  tersebut.


“Oh, itu orangnya! Jaga kau...!!!” Dendam Athirah semakin bertambah bila terlihat  gerangan yang empunya kereta tersebut.


“Sudah-sudahlah tu. Tak baik berdendam dan marah-marah. Itukan sifat syaitan.” Fazlina memujuk Athirah.


“Faz cakap senanglah, sebab mamat tu tak pernah sakitkan hati Faz. Tengok aku ni, bukan sahaja sakit hati malah habis gatal satu badan. Macam beruk kena belacan pun ada. Tergaru sana, tergaru sini. Entah benda apa yang bertakung dalam air itu pun, kita semua tak tahu.” Athirah memprotes tidak puas hati.


“Sabarlah Athirah! Sabar itukan sifat mulia dan terpuji.” Salmi menasihati Athirah.


Salmi yang ala-ala kakak sulung jika beri tazkirah mahu bernanah telinga mendengarnya. Salmi banyak kali menegurnya supaya berlembut dengan Mikhail.


“Kau nak suruh aku bersabar macam mana lagi Sal?” soal Athirah geram. “Selama ni aku dah habis sabar tahu dengan apa yang dia dah buat. Aku dengan manusia yang bernama Mikhail, tak bolehlah nak mempamerkan aksi kesopanan dan kesusilaan. Apatah lagi menunjukkan sifat kewanitaan dan keanggunan aku ni. Perangai dia tu... Masya-ALLAH! Sebijik macam kera dalam hutan, tahu tak?  Suka mengganggu ketenteraman awam,” luah Athirah dengan rasa marah yang semakin memuncak.


Salmi hanya mampu menggelengkan kepala dengan kedegilan Athirah. Setahunya,  Athirah bukanlah jenis yang keras kepala. Tetapi bila berdepan dengan Mikhail, terus dia  jadi begitu. Rakannya yang lain hanya mendiamkan diri. Mereka tidak mahu terlibat dalam  pertikaman lidah antara Salmi dan Athirah. Ketika mereka melewati kumpulan pelajar yang  lain, nama glamour kumpulan mereka dipanggil.


“Gadis Cun Giler mari sini kejap.”


Borhan atau panggilan mesra Abang Hans oleh pelajar junior memanggil nama glamor kumpulan mereka. Athirah dan rakan-rakannya menghampiri Borhan.


“Kenapa datang lewat?” tanya Borhan lembut. “Bukan ke sebentar lagi ada taklimat untuk kamu semua?” Borhan mengerling jam tangannya.


Athirah dan rakan-rakannya merasa lega kerana bukan Mikhail yang bertanyakan  kelewatan mereka. Jika Mikhail... mereka tidak tahulah apa yang bakal terjadi!


“Maaf Abang Hans! Tadi memang kami dah keluar awal dan sepatutnya lima belas minit yang lalu kami dah berada di sini. Tapi... ada sekor gorila sesat yang melanggar air, habis basah baju kami semua. Itu yang lambat sikit. Kami terpaksa berpatah balik ke asrama untuk membersihkan diri dan menukar pakaian.” Athirah sengaja meninggikan suaranya.


Rakan-rakan Athirah yang lain hanya mengangguk, tanda membenarkan apa yang diperkatakan  olehnya.


Borhan mengangguk. Dia boleh menerima alasan Athirah. Memang Mikhail ada bercerita dengannya tentang perkara itu. Tetapi yang membuatkan Borhan hendak pecah  perut ketawa apabila Athirah dengan selambanya memanggil Mikhail 'gorila'.  Namun ditahan jua tawanya demi menjaga air muka sahabat baiknya.


Mikhail yang mendengar sudah merasa hangat. Apa? Aku yang hensem lagi menawan ni disamakannya dengan 'gorila'! Memang nak kena cium ‘mata hijau’ ni! Sabarlah duhai hati...!!! Mikhail mengurut dadanya. Nasib baiklah aku dah mula terjatuh sayang dekat kau ‘mata hijau’! Jika tidak... mahu aku ramas-ramas mulut yang kuat mengomel tu.


Sepanjang program berlangsung, Athirah menjadi tidak selesa bila mata Mikhail terus melekat ke wajahnya. Nak kena cungkil agaknya mata tu? Macam tak pernah tengok orang, getus Athirah. Macamlah muka tu hensem sangat! Sekiranya hensem pun tak gunalah jika hati hitam mengalahkan arang, Athirah mengomel sambil memusing-musing botol mineral yang berada di tangannya.



SELESAI perjumpaan fakulti, Athirah meneruskan misinya untuk mendapatkan biodata dan  tandatangan Mikhail. Athirah bertemu dengan Borhan terlebih dahulu untuk meminta latar  belakang Mikhail. Dia hanya akan berjumpa dengan Mikhail apabila hendak mendapatkan  tandatangan sahaja. Melihat Borhan keseorangan, Athirah memberanikan diri berjumpa  dengan lelaki itu.


“Assalamualaikum Abang Hans. Athirah mengganggu Abang Hans ke?” tanya  Athirah sopan.


Borhan tersenyum dan menjawab salam Athirah dalam hati.


“Tak. Kenapa?”


“Athirah nak minta tolong Abang Hans sikit boleh?” Melihat anggukan Borhan, Athirah memulakan agendanya. “Boleh Athirah tanya beberapa soalan tentang saudara Mikhail?” soal Athirah bersama senyuman manis. Hendak minta pertolongan orang, mestilah tunjuk wajah yang manis dan menarik, bisik hatinya.


Borhan tersenyum lagi sambil memandang Athirah. Dia amati wajah yang berada di hadapannya ini. Athirah bukan sahaja cantik tetapi juga lemah lembut. Alunan suaranya boleh membuai perasaan insan yang bernama lelaki. Kenapa dengan Mikhail karektornya bertukar seperti kucing melindungi anak?


“Kenapa tak tanya dengan tuan punya badan sendiri?” Borhan sengaja bertanya. Hasratnya ingin melihat sejauh mana dinginnya hati Athirah terhadap Mikhail.


“Hah...? Emm... emm...” Athirah menggaru-garu keningnya. Tidak tahu apakah jawapan yang paling sesuai untuk pertanyaan Borhan. “Sebenarnya saya tak berminatlah nak bertanya dekat dia. Dia tu egois sangat! Lepas tu suka marah orang tanpa selidik terlebih dahulu.” Athirah mengadu kepada Borhan dengan nada separa berbisik.                                                                    


Borhan sudah tersenyum memandang Mikhail yang berada di belakang Athirah. Melihat Mikhail mengetap bibir dan membulatkan biji matanya, Borhan tahu Mikhail sudah mendengar apa yang telah Athirah luahkan sebentar tadi.


Mikhail memberi isyarat agar Borhan meneruskan perbualannya. Dia hendak mendengar apa yang ingin Athirah adukan lagi. Hatinya dipagut cemburu sebenarnya bila melihat Borhan dan Athirah rancak berbual dan tersenyum manis. Sebab itulah dia merapati mereka.


“Kenapa Athirah tak suka dengan Abang Khai? Dia tu baik... hensem...! Ramai rakan Athirah yang ingin berkenalan dan buat abang angkat. Athirah tak jatuh hati ke dengan Abang Khai?” soal Borhan sambil mengorek rahsia.


Mikhail sudah tersenyum senang mendengar Borhan memujinya.


Athirah sudah tertawa mendengar kata-kata Borhan.


“Abang Hans ni, buat lawak antarabangsalah. Orang macam tu abang kata baik? Saya ingat abang ni dah rabun agaknya. Kalau abang nak tahu, perangai dia serupa dan sama macam King Of The Jungle. Lepas tu, dia suka cari kesalahan orang dan marah tak tentu pasal,” luah Athirah penuh perasaan.


“Kalau suara dia tu sedap dan merdu macam suara Maher Zain atau Anuar Zain  takpelah juga sekiranya nak terjerit-jerit. Ini macam suara ungka dalam hutan dan katak panggil hujan, buat sakit telinga aje mendengarnya,” tambah Athirah lagi separuh berbisik. Dia tidak mahu Mikhail dan rakan-rakannya yang lain mendengarnya.


Borhan sudah ketawa berdekah-dekah. Muka Mikhail sudah merah menahan marah.  Dia masih mendiamkan diri kerana ingin melihat sejauh mana Athirah mengutuknya.


“Abang Hans kata dia tu hensem? Hisy... abang ni, kelakarlah! Saya rasa Abang Hans ni kena pakai cermin mata. Muka dia tu dahlah macam rumah tak siap, perasan kacak pulak tu. Diberi satu vigintillion dan dialah lelaki terakhir yang bujang dalam dunia ni, saya tetap tak akan pilih dia jadi suami saya. Buat menghabiskan beras saja. Tapi tak tahulah pulak jika dia guna ilmu hitam untuk pikat saya,” ujar Athirah tanpa rasa bersalah.


“Jika orang lain minat kat dia, siapalah saya hendak menghalangnya. Tapi untuk diri saya... sorry! Nampak muka dia pun saya tak sudi hendak memandangnya.” Athirah berkata bongkak.


Borhan ketawa kelucuan.


Kepala Mikhail sudah berasap.


Borhan mengalih topik perbualan untuk mengelakkan suasana yang sudah hangat menjadi tegang.


“Macam mana belajar? Okey?” Borhan bertanya soalan yang agak santai.


“Alhamdulillah... setakat ni tak ada apa-apa masalah. Cuma rindukan emak dan ayah di kampung sahaja.” Memang benar, Athirah sangat rindukan emak dan ayahnya. Setiap malam dia pasti menangis bila teringatkan emak dan ayahnya. Nasib baik abang-abangnya tinggal di KL, boleh juga dia melepaskan kerinduan.


“Athirah masih single atau sudah berpunya?” soal Borhan.


Dah masuk bab personal lah pulak! Ini yang aku malas nak jawab ni...!!! Andai aku ceritakan hal yang sebenar, dia percaya tak, apa yang bakal aku cakapkan nanti? Desis hati Athirah.


“Entahlah nak cakap macam mana! Nak kata sudah berpunya macam belum. Nak kata belum berpunya, macam dah kena ikat.” Athirah bermain kata-kata dengan Borhan.


Terkebil-kebil Borhan mendengar penjelasan Athirah yang dirasakan sukar untuk  difahami dan berbelit-belit. Naik pening kepala Borhan memikirkannya.


Athirah terasa ingin tertawa melihat gelagat Borhan.


Mikhail pula sudah berkerut dahi dan menggaru-garu kepalanya.


“Eh, mana satu yang betul ni? Cubalah Athirah jangan main-mainkan abang.” Borhan tidak puas hati apabila Athirah dirasakan cuba mempermainkannya.


“Kalau belum berpunya kenapa? Jika sudah berpunya pun kenapa?”


“Sekiranya masih single...  bolehlah abang berkawan rapat dengan Athirah.” Borhan  memberi jawapan selamba dan telus.


Mikhail yang berada di belakang Athirah terpaksa menahan perasaan.


Borhan tahu Mikhail cemburu dan ada hati terhadap Athirah. Borhan sengaja ingin membakar hati dan perasaan Mikhail. Manalah tahu jika jeratnya mengena, bolehlah dia bergewe dengan awek cun dari Pantai Timur ini. Melihat jegilan Mikhail, Borhan tersenyum lebar.


“Setakat hendak berkawan, Athirah tak kisah. Jika ada pasang niat lain, Athirah  minta maaf sebab misi Athirah belum tercapai dan ‘masih terikat’. Andai abang sanggup tunggu tiga puluh atau empat puluh tahun lagi bolehlah,” gurau Athirah.


Mikhail sudah tersenyum mengejek dan mengangkat kedua-dua ibu jarinya.


Perangai macam budak darjah empat. Tak matang langsung, bisik hati Borhan.


“Jikalau nak tunggu tiga puluh atau empat puluh tahun lagi, silap-silap abang pun dah reput dimamah bumi,” ujar Borhan. Dia juga sudah tertawa kelucuan.


“Abang Hans... macam mana dengan biodata yang saya minta tadi?” soal Athirah. Dia juga sudah mengeluarkan nada manjanya.


“Tu... tuannya dah ada kat belakang Athirah,” ujar Borhan dan berlalu pergi meninggalkan Mikhail dan Athirah.


Athirah memusingkan badannya. Alangkah terkejutnya Athirah bila mukanya betul-betul berhadapan dengan muka Mikhail. Hidung mancungnya sudah pun menyentuh hidung Mikhail. Bulat mata Athirah memandang Mikhail, cepat-cepat dia menjarakkan diri dan menundukkan wajahnya. Dia sangkakan Borhan sekadar bergurau. Alamak... dia dengar ke apa yang aku cakap kat Borhan tadi? Habislah aku kali ini! Athirah... you’re totally death!



BILA suasana menjadi sepi, Athirah mengangkat wajahnya. Bila mata bertentang mata, perasaan aneh menyelinap dalam hati masing-masing. Mereka saling merenung dan meneroka wajah di hadapan mereka. Hati Athirah berdebar-debar, manakala jantung Mikhail berdegup kencang. Bagaikan tarikan magnet kutub utara bertemu kutub selatan, mereka terus menatap tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.


Dia benar-benar kacak dan tampan. Mata hazelnya sungguh memikat. Athirah terbuai-buai dengan ciptaan ALLAH yang berada di depan matanya kala ini. Hisy... apa yang kau melalut ni Athirah? Ingat... dia tu musuh kau!!! Lepas tu ingat sikit status diri kau. Berdosa tahu menduakan suami! Athirah bermonolog dengan dirinya. Alah, bukan ke Si Adam sudah berpesan, aku bebas buat apa yang aku suka? Hisy... apa yang aku melalut tak tentu pasal ni? Athirah beristighfar berkali-kali bila tersedar dia sudah jauh menyimpang. Ya ALLAH... lindungilah aku daripada bisikan syaitan yang melalaikan, doa Athirah.


Kau sungguh jelita sayangku. Matamu..., bibirmu..., benar-benar menguji keimananku. Mikhail menelan air liurnya berulang kali. Kalaulah Athirah isteri aku... Mikhail yang pada mulanya ingin menghamburkan kemarahannya tidak jadi berbuat demikian. Terleka dia seketika dengan keindahan yang berada di hadapannya saat ini.


Deheman Borhan menyedarkan lamunan Mikhail. Borhan sudah tersenyum sambil menjungkitkan kedua-dua keningnya minta Mikhail beri penjelasan selepas ini. Setelah mengambil buku notanya yang tertinggal, Borhan meninggalkan merpati dua sejoli itu berdiskusi.


“Sudah puas teroka wajah saya? Ada jerawat batu atau bintik-bintik hitam?” Pertanyaan Mikhail bernada usikan. Matanya merenung tepat wajah ayu Athirah. “Jangan-jangan awak sudah tergoda dengan saya tak? Mulut awak aje kata saya tak hensem, tapi hati  awak tak sudah-sudah memuji kekacakan saya, kan?” Mikhail menghulurkan senyuman  menggoda dan menawan. Harap-harap kau cairlah kat aku, Athirah sayang oii!!! Sejak  bertemu Athirah, Mikhail sudah pandai bersayang-sayang dan mengeluarkan ayat-ayat cinta. 


“Ma.. ma.. maaf Bang Khai, saya tak sengaja langgar abang tadi,” ujar Athirah tergagap-gagap. Mukanya sudah merona merah menahan malu. Macam manalah mamat gorila ni boleh tahu aku puji dia? Gumam Athirah. Dia juga sudah ketakutan sebenarnya. Dia bimbang jika Mikhail menengking dan mengherdiknya seperti selalu.


Melihat muka Athirah kemerahan, Mikhail semakin galak menyakat. “Apa? Awak panggil saya bangkai?” Mikhail meninggikan suaranya. Dia sengaja berbuat demikian semata-mata ingin menutup malu kerana terlalu asyik meneroka wajah Athirah. Dia juga  bimbang jika Athirah dapat membaca apa yang tersirat di hatinya.                                                                                                                                                              


“Eh... eh... bu... bukan macam tu! Saya tak panggil abang bangkai. Saya panggil Abang Khai.” Kalut Athirah memperbetulkan sebutannya. Hisy... sejak bila aku jadi gagap ni? Mamat ni pun satu! Harap muka aje hensem tapi telinga pekak badak! Entah berapa tahun tak korek agaknya? Kutuk Athirah dalam hatinya.


Athirah berlalu pergi. Namun teringatkan misinya yang belum selesai, dia berpatah balik. Dia sempat berpesan kepada rakan-rakannya supaya menunggu dia di luar dewan. Borhan juga sudah hilang entah ke mana. Tinggallah dia berdua dengan Mikhail aka mamat gorila.


“Assalamualaikum... Abang Khai. Maaf mengganggu sekali lagi. Boleh saya dapatkan  biodata dan tandatangan abang?” Athirah menghulurkan senyuman sehabis manis dan tutur kata sesopan mungkin. Dalam hati, TUHAN saja yang tahu betapa menyampahnya dia hendak menghadap muka Mikhail. Athirah sebenarnya pelik, kenapa dia seorang sahaja yang perlu mendapatkan biodata Mikhail.


Aduh, manisnya senyumanmu! Apakah azimat yang kau pakai sayang hingga hati abang tidak keruan jadinya?


“Ehem... ehem...” Mikhail berdehem beberapa kali membetulkan kerongkongnya yang tersekat dan saluran pernafasannya yang tersumbat.


“Awak ni memang suka buat kerja last minute, kan? Awak tahu tak saya tengah sibuk sekarang. Kenapa sebelum ini, awak tak datang jumpa saya?” tanya Mikhail. “Itulah, asyik bergalak sana sini, tergedik sana sini dan menggatal sana sini, bila dah hujung-hujung masa barulah sibuk nak minta tandatangan dan biodata saya,” sindir Mikhail.


Athirah menjadi bengang dengan tuduhan Mikhail.


“Ah... sudahlah kalau tak nak bagi tandatangan awak! Jangan nak menghina tak tentu pasal. Saya pun tak ingin nak dapatkan tandatangan awak tu,” herdik Athirah. “Macamlah dapat duit satu juta sekiranya dapat tandatangan awak?” omel Athirah lagi. Dia menjadi marah bila Mikhail tidak habis-habis menghina dan mencari kesalahannya.


Ketika Athirah hendak melangkah pergi, entah macam mana kakinya tersilap langkah dan hampir terjatuh. Nasib baik Mikhail sempat memaut pinggangnya. Jika tidak tentu benjol dahinya mencium lantai. Semasa Mikhail ingin menegakkan diri Athirah, terjadi lagi insiden yang tidak diingini. Kali ini Athirah siap tertiarap atas badan Mikhail.


“Awak sengaja buat-buat jatuh atas saya, kan?” soal Mikhail kasar. “Saya rasa awak ni sengaja nak goda saya. Jangan-jangan awak nak rogol saya tak?” tuduh Mikhail. “Entah-entah awak ni perogol bersiri dan ingin jadikan saya mangsa yang seterusnya?” Mikhail sengaja membakar perasaan Athirah. Pada hal dalam hati bukan main gembira dan bahagia lagi bila Athirah jatuh ke dalam dakapannya. Dan tangannya juga masih memeluk erat pinggang Athirah.


Athirah tersentak mendengar kata-kata Mikhail. Cepat-cepat dia bangun dan meloloskan diri dari pelukan Mikhail. Dia kata aku perogol bersiri? Ini sudah lebih! Hati aku dah panas tahap gaban dah ni! Athirah mengomel dalam hati sambil mengipas-ngipas mukanya dengan tangan. Matanya meliar memandang sekeliling mencari botol mineral yang terpelanting entah ke mana. Apabila terlihat botol mineral tersebut, pantas tangannya mencapai lalu minum seteguk dua untuk menghilangkan panas hatinya itu. Saat terpandang Mikhail ingin beredar, segera dia menahan.


“Hah... awak nak ke mana tu? Saya belum habis berurusan dengan awak lagi.” Nada suara Athirah sama seperti tadi, masih meninggi. Jika bukan kerana biodata dan tandatangan Mikhail, sudah lama dia meninggalkan dewan tersebut. Mujurlah ketika insiden terjatuh atas Mikhail, Dewan Kuliah 1 sudah kosong, yang tinggal hanya mereka berdua.




Mikhail menghentikan langkahnya dan kembali menghampiri Athirah.


Oii... mamat perasan bagus! Kau ingat aku ni kebulur sangat ke nak rogol kau? Kau ni dah hilang akal agaknya? Tenaga kau dengan aku siapa yang lebih kuat, tolol plus bahalol?” Athirah memandang Mikhail. Bagaikan hendak ditelan hidup-hidup sahaja Si Mikhail tu. Ha... kan dah keluar bahasa yang tak sepatutnya daripada mulut aku! Hu... hu... hu.., sia-sia aje amalan aku hari ni. Ini semua gara-gara mamat sewel nilah, Athirah mengomel dalam hatinya.


“Ooo... jika awak bukan perogol bersiri, maknanya awak nak menggedik dengan sayalah, bukan begitu Cik Athirah? Tak pun awak nak perangkap saya. Lepas tu, awak nak suruh saya kahwin dengan awak. Maklumlah saya ini kan jejaka terhangat di kampus.” Mikhail memanaskan lagi suasana yang sememangnya sedang hangat terbakar.


Kesejukan penghawa dingin sudah tidak terasa lagi. Yang ada ketika ini hanya lahar gunung berapi yang sedang aktif dan akan meletus bila-bila masa sahaja.


“Hei, kau dengar sini baik-baik!!! Kalau setakat muka macam kau ni, berlambak aku boleh jumpa dekat Chow Kit tahu? Aku bukannya perempuan gedik sepertimana yang engkau fikirkan. Aku tak ingin dan tak terliur langsung hendak berkahwin dengan kau... FAHAM!” usai berkata-kata, Athirah membaling botol mineral yang berada di tangannya ke arah Mikhail dan berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.


“Adoi...!” jerit Mikhail. Dahinya digosok. “Sayang... sayang..., nasib baiklah kau baling dengan botol mineral. Buatnya kau baling dengan botol kaca... mahu berjahit dahi abang ni sayang oii!!!” Dalam sakit-sakit, sempat juga dia menyakat Athirah.


Botol mineral yang jatuh di sisinya dikutip, dan baki air yang diminum Athirah, diteguknya.


Emm... sedap juga rasa air mineral ni! Manis... macam tuannya!” bisik Mikhail.


ATHIRAH mencari kelibat rakan-rakannya. Panas hatinya sudah tidak tertanggung lagi. Mikhail dilihatnya semakin kecil sahaja.


Eeii... melampau betullah mamat ni! Apa dia fikir dia tu bagus sangat ke... sampai semua orang tergila-gilakan dia? Bercakap ikut sedap mulut dia aje. Apa? Dia ingat aku ni perempuan murahan? Tolong sikit ya! Kalau muka hensem tapi perangai mengalahkan segala bapak jin, aku pun tak hairan. Biar muka tak hensem tapi hati baik,” omel Athirah kegeraman.


“Kenapa dengan aku aje dia layan macam tu? Dengan budak-budak junior lain boleh pulak dia cakap baik-baik. Jangan-jangan dia ni lahir bulan gerhana tak? Itu yang tak boleh jumpa dengan orang cantik jelita macam aku ni?” bebel Athirah sepanjang perjalanan menuju ke tempat rakan-rakannya berkumpul.


“Kenapa Athirah buat macam tu pada Abang Khai? Kesian dia! Lagipun tak baik. Nasib baik tak benjol atau pecah kepala orang tua tu?  Kalau tidak, kes niaya kau.” Fazlina menegur sebaik sahaja Athirah berdiri di hadapannya.


Fazlina sememangnya tidak puas hati dengan perangai Athirah yang tidak boleh bersabar apabila berdepan dengan Mikhail. Dan yang membuatkan Fazlina dan rakan-rakannya yang lain menjadi pelik, kenapa hanya dengan Mikhail saja Athirah buat seteru.


Bulat mata Athirah memandang Fazlina. Dia tidak menyangka Fazlina nampak dia membaling botol ke arah Mikhail. Harap-haraplah rakannya itu tidak melihat dan mendengar pertengkaran dia dengan Mikhail.


“Aku rasa lebih baik kau minta maaf dengan dia.”


“Kenapa mesti aku yang kena minta maaf dekat dia?” tanya Athirah tidak berpuas hati dan sedikit baran.


Fazlina menggeleng kepala dengan kedegilan Athirah.


“Kenapa kau marah sangat dengan dia?” Fazlina balas dengan soalan juga.


“Mulut dia tu yang laser dan busuk macam lori sampah, kau tahu tak?” gerutu  Athirah. Sakit hatinya semakin menjadi-jadi, namun entah mengapa jauh di sudut hatinya ada sesuatu yang sukar untuk dia sendiri tafsirkan.

2 comments:

  1. boleh tahan jugak mulut athirah ni.. mmg padan lah diorg dua org ni^^

    ReplyDelete
  2. Mikhail... hang tak sayang mulut naaaa!!!
    Awat tuduh Athirah lagu tu???
    Cian Athirah!!!
    Tak mau lah kat Mikhail mulut jahat!!!

    ReplyDelete