TEASER 4
“Assalamulaikum Pak Lang. Pak Lang sihat?”
tanya Salmiha Haini lembut pabila nama Pak Langnya tertera di skrin telefon
bimbit.
“Aku sihat. Aku cuma
nak bagi tahu kau, aku dah terima lamaran Dato’ Bahar untuk anak lelakinya
Irfan,” ujar Pak Lang Yusofnya tegas. Salmiha Haini yang ketika itu sedang
menggoreng ikan, terasa hendak pitam mendengarnya. Segera api dapur gas
ditutupnya.
“Tapi kenapa Pak Lang
tak tanya saya dulu? Saya yang nak dikahwinkan, jadi saya ada hak untuk tahu,”
bentak Salmiha Haini tanpa sedar.
“Aku dah telefon dan bagi tahu kau beberapa
hari yang lepas, kau dah lupa?” Suara Pak Lang Yusofnya mula meninggi.
“Tapi saya tak beri
apa-apa keputusan lagi.” Salmiha Haini masih membantah.
“Itu aku tak mahu
tahu. Apa yang aku tahu... lagi lima minggu kau mesti balik, sebab majlis
tunang dan nikah akan diadakan serentak. Minggu depan juga kau kena balik sebab
nak uruskan prosedur nikah kahwin.” Mendengar perkhabaran itu Salmiha Haini
sudah terduduk. Menangis.
“Ingat... kau mesti
balik dan jangan cuba-cuba hendak memalukan aku. Jika kau lari atau buat hal,
aku akan pastikan engkau menyesal seumur hidup,” ugut Pak Lang Yusofnya.
Setelah itu panggilan diputuskan. Mengimbau kembali kata-kata Pak Langnya, air
mata Salmiha Haini merembes laju hingga menghalang pemanduannya. Selepas
memarkir keretanya, dia bergegas ke balai berlepas. Dia harus mencari Pak
Langnya dengan segera. Mana Pak Lang ni? Gumam Salmiha Haini. Puas dia mencari
namun bayang Pak Lang Yusofnya tidak kelihatan. Teringatkan Rafeah, dia segera
menghubungi sepupunya itu. Namun panggilannya hanya masuk ke dalam peti
simpanan suara.
Helo... Bik, Rafeah
ada?” tanya Salmiha Haini ketika menghubungi kediaman Pak Lang Yusofnya. Rafeah
merupakan anak tunggal Pak Lang Yusof dan arwah Mak Langnya. “Dia ikut tuan
sekali,” terang Bik Murni. Salmiha Haini rasakan hendak hantuk kepalanya ke
dinding. Dia benar-benar geram dan berang sekarang ini. Mujur Pak Langnya tidak
ada di depan mata. Jika tidak tentu patah riuk tubuh lelaki itu dikerjakannya.
Sesuka hati orang tua itu aje hendak menjadi matchmaker. Jam sudah menunjukkan
ke angka lapan malam. Batang hidung Pak Lang Yusof dan Rafeah langsung tidak
kelihatan. Adakah Pak Langnya sudah pergi? Dan dia terlepas peluang untuk
mempertahankan haknya? Air matanya semakin lebat merembes. Dia sudah tidak
hiraukan lagi banyak mata yang memandang. Apa yang dia tahu, dia harus lepaskan
semua yang terbeban dalam jiwanya. Sungguh... dia benar-benar tidak mengerti
kenapa Pak Lang Yusofnya begitu membenci dirinya. Apa silapnya dan apakah
dosanya, dia sendiri tidak tahu. Walhal dijaga tutur kata agar tidak menggores
hati sesiapa dan sentiasa skema. Lidahnya acap kali dididik supaya tidak melantunkan
bicara yang bisa menyengatkan halwa telinga sesiapa yang mendengarnya. Bahkan
dikawal diri daripada melakukan sesuatu di luar batasan agar tidak mendatangkan
aib kepada keluarganya. Bimbang dicanang dan dijaja dek orang akan tingkah laku
buruknya. Pastinya nama arwah mama dan papanya terpalit jua, sedangkan mereka
berdua sudah tiada lagi untuk mengiringi rentak perjalanan hidupnya di dunia
ini. Salmiha Haini melangkah longlai. Air matanya masih lagi mengalir laju.
Tanpa rasa malu dan segan, air mata dan hingus yang mengalir dikesat
menggunakan hujung t-shirtnya. Jiwanya benar-benar kosong. Dia kebuntuan.
Haruskah dia ikut kemahuan Pak Langnya dan biarkan hidupnya dalam penjara
derita? Buatnya lelaki yang bakal dia nikahi itu kaki botol dan kaki perempuan,
alangkah malang hidupnya. Andainya lelaki itu kaki judi dan kaki pukul,
tidakkah makin bertimpa-timpa perit hidupnya. Perlukah dia melarikan diri
sejauh yang mungkin atau bersembunyi? Tapi dia takut. Ancaman Pak Lang Yusofnya
tidak boleh dipandang remeh. Bapa saudaranya itu mampu membuatkan hidupnya jadi
lebih huru-hara nanti.
No comments:
Post a Comment