Bab
18
“HOI... kau kat mana ni? Dah penat otak
aku fikir tentang kau tahu tak? Jari aku pun dah nak patah asyik tekan nombor
kau aje sejak beberapa hari ni!” Serang Sofea. Geram sungguh hatinya, sudah
acap kali dia menghubungi sahabatnya itu tetapi tetap juga gagal menemukan
jejak. Seolah-olah Salmiha Haini sedang duduk dalam gua ataupun hutan yang
langsung tiada sistem perhubungan. Dia benar-benar risaukan temannya itu.
Setiap
kali dia menghubungi temannya itu hanya suara operator yang menjawab...
“Harap Maaf! Nombor yang anda
panggil tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebenar lagi. Terima kasih.”
Asyik-asyik duk ulang ayat itu aje. Rasa macam nak baling aje telefon bimbitnya
ke dinding. Nasib baik akalnya masih waras. Kalau tak habis terbarai telefon bimbitnya
yang berharga hampir 2k itu. Rugi...!!! Rugi...!!!
“Waalaikumussalam,”
sindir Salmiha Haini secara halus. “Kalau ya pun nak terjah masuk rumah orang,
bagi-bagilah salam dulu Mak Cik Sofea oiii...!”
“Assalamualaikum...
Kau menghilang ke mana selama lima hari ni? Risau aku tahu tak? Aku bimbang
kalau-kalau bapa saudara kau yang otak sinting tu, buat sesuatu yang tak elok
kat kau!” Terang Sofea penuh kebimbangan. Setiap kali Salmiha Haini gagal
dihubungi, setiap kali itulah air matanya menitis. Dia takut sekiranya Pak Lang
Salmiha Haini kurung atau dera gadis itu. Lelaki tua itu bukannya boleh
dipercayai sangat. Nak-nak kalau dah tumbuh tanduk di hujung kepala. Apa-apa
pun boleh jadi.
“Aku
okeylah! Masih hidup dan bernafas!” Salmiha Haini mententeramkan rakan baiknya.
“Kalau kau tak percaya, kau pergi check
kat semua hospital dan balai polis dalam Malaysia ni. Mesti nama aku tak
tersenarai dalam rekod mangsa yang menerima rawatan ataupun yang telah mati.
Apatah lagi yang disabit melakukan jenayah.” Salmiha Haini bergurau.
“Kau
niii... aku tengah serius, kau buat main-main pulak! Eee... geramnya
aku! Mujur kau tak ada kat depan bijik
mata aku! Kalau tak... memang aku patah-patahkan leher kau!” Marah Sofea. “Tak
pun... aku dush... dush.. kat biji mata kau biar lebam
selama setahun,” bebel Sofea kegeraman.
Hehehe...
Salmiha Haini ketawa dalam hati. Dia dapat bayangkan bagaimana bentuk rupa
paras teman baiknya ketika ini. Marah benar nampaknya Si Sofea ini. Bukan dia
sengaja tidak mahu menghubungi sahabatnya itu tetapi dia tidak mahu Sofea
bimbang dan risau tentangnya.
“Amboi...
kau ingat mata aku ni tak bayar zakat fitrah yang kau nak tumbuk-tumbuk? Dan
kau ingat leher aku ni adik-beradik kacang panjang, sesuka hati kau aje nak
patah-patahkan?” Komen Salmiha Haini.
“Kau!”
Sofea sudah tak dapat menahan perasaan marahnya. Geram sungguh dia dengan
celoteh Salmiha Haini yang mengalahkan burung murai itu. Langsung tidak
berbekas di hati sahabatnya itu akan kerisauan dirinya.
“Ala...
Fea, janganlah marah aku. Aku gurau ajelah. Dah lama aku tak dengar kau
berkicau macam ni. Rindu pulak aku,”
gurau Salmiha Haini sambil mereda suhu kemarahan teman rapatnya itu. “Terima
kasihlah sebab ambil berat tentang aku dan sayangkan aku. Tanpa kau, siapalah
aku,” luah Salmiha Haini dengan nada sebak. Kolam matanya juga mula bergenang.
Kedua-dua
sahabat itu sudah memulakan drama air mata. Suara mereka juga sudah tenggelam
timbul.
“Kau
sahabat aku dan kau juga dah aku anggap seperti saudara kandung aku sendiri.
Aku sayangkan kau, Miha. Kalau kau rasa sakit, aku juga turut merasainya. Aku
risau sangat, aku takut bapa saudara kau kurung kau sebab tak nak kau batalkan
perkahwinan yang telah dia rancangkan tu,” jelas Sofea sebak. Apa yang bermain
di fikirannya selama seminggu ini, diluahkan kepada Salmiha Haini.
“Terima
kasih Fea kerana sayangkan aku. Aku pun sayangkan kau, Fea! Kaulah saudara aku
dunia akhirat,” ujar Salmiha Haini bersama cucuran air mata. Terharu dia mendengar
kata-kata Sofea. Ah... Sofea memang baik dengannya selama ini!
“Kau
kat mana ni?” Tanya Sofea sekali lagi. Dia ingin pastikan yang sahabatnya itu
benar-benar selamat dan sihat walafiat. “Bila nak balik sini?”
Salmiha
Haini segera menghapuskan air mata yang sedang mengalir. Hidupnya kini
benar-benar bahagia. Shahrul Hairi adalah anugerah terindah buat dirinya.
Lelaki itu selalu menceriakan hari-harinya. Hinggakan dia terlupa kesedihan
yang dia alami sebelum ini.
“Aku
kat KLIA. Nak pergi honeymoon,” ujar
Salmiha Haini sambil tergelak kecil.
“Yalah
tu! Macam aku percaya kata-kata kau!”
“Tak
percaya sudah!”
“Hesy...
cakaplah betul-betul! Tak akan seminggu lebih tak jumpa, kau dah kahwin? Tak
percayalah aku! Atau kau terima juga cadangan bapa saudara kau yang
sengal-kolot-merapu tu? Kau dah fikir masak-masak ke sebelum kau serah diri kat
‘tali gantung’ tu?” Marah Sofea. “Apa...? Hensem
sangat ke dia, sampai kau boleh terpikat? Atau dia terlebih baik hingga buat
kau tertarik?”
“Mana
ada aku kahwin dengan calon pilihan Pak Lang aku! Kau ni... tak tahu hujung pangkal
dah melenting tak tentu fasal! Dah tu tuduh aku yang bukan-bukan pulak! Ini yang buat aku hangin ni!” Salmiha Haini pura-pura
mengamuk.
“Dah... kau asyik cakap bab kahwin je! Aku ingatkan kau dah kahwin dengan
calon Pak Lang kau tu! Tapi aku memang tak percaya pun cakap-cakap kau tadi.
Sebab nak kata kau dah ada pakwe, kau ni memang spesies hampehlah kan! Ada orang nak, tapi kau menyombong dan jual mahal!”
Sindir Sofea.
“Kau...
kalau bercakap, macamlah aku ni tak laku barang satu sen!” Tempelak Salmiha
Haini.
“Aku
tak cakap kau tak laku. Tapi aku kata kau tu yang ‘menjual terlebih mahal’.”
Sofea membetulkan tanggapan Salmiha Haini.
Terdiam
seketika Salmiha Haini.
“Kau
percaya tak? Ajal-maut-jodoh-pertemuan di tangan ALLAH?” Soal Salmiha Haini.
“Kalau kau yakin dengan qada dan qadar ALLAH, tentu kau percaya dan tidak akan
sesekali mempertikaikan apa yang telah ALLAH catatkan di sepanjang perjalanan
hidup kita di dunia ini,” jelas Salmiha Haini satu-persatu. “Memang aku dah
kahwin tapi dengan orang lain. Dia jodoh yang ALLAH kirimkan untuk aku. Dia
hadir dalam hidup aku tanpa aku tahu akan kehadirannya. Dia muncul di depan aku
tanpa aku tahu akan kemunculannya. Dia anugerah ALLAH yang teristimewa buat
aku. Aku rasa... dialah jodoh yang terbaik buat aku. Dan aku harap... akulah
satu-satunya pemilik tulang rusuknya itu!”
Lumpuh
seketika mulut Sofea untuk berdebat dengan sahabatnya itu.
“Be... betul ke kau dah kahwin?”
“Betullah! Selama ni, ada tak aku
bergurau dengan kau hal-hal yang penting lagi serius macam ni?”
“Kalau
benar apa yang kau katakan, aku tumpang gembira. Aku doakan semoga rumah tangga
yang kau bina, kekal bahagia hingga ke akhir hayat.”
“Terima
kasih Fea!”
“Emmm... bila kau kahwin? Tak bagi tahu
aku pun. Ceritalah kat aku macam mana kau jumpa dia?”
“Nanti
bila aku balik JB, akan aku ceritakan dari awal hingga akhir bagaimana aku
boleh berkahwin dengan suami aku ni.”
“Janji?”
“Ya!
Aku janji!”
TUGAS RASMINYA
sudah sedia menanti. Tanggungjawabnya begitu besar bagi memastikan penumpang
dan anak kapalnya berada dalam keadaan selamat dan baik. Dia tidak mahu
menanggung apa-apa risiko sewaktu menjalankan tugasnya. Apatah lagi isteri yang
sangat dia sayangi dan cintai turut berada dalam kapal terbang tersebut.
“Wei...
apa fasal kau angkut orang gaji kau sekali?” Soal Max tidak berpuas hati.
Hatinya dipagut rasa cemburu yang bukan sedikit. Dia bimbang jika sahabat
baiknya itu merampas Salmiha Haini dari hidupnya.
Shahrul
Hairi memandang pelik wajah Max. Kenapa Max begitu sibuk menjaga tepi
seluarnya? Sedangkan dia tidak pernah ambil tahu pun apa yang kawannya itu
hendak buat dan lakukan. Bukan dia tidak mahu meninggalkan isterinya sendirian
diri di rumah. Tapi dia tidak yakin dengan Max dan Pak Lang Salmiha Haini.
Buatnya angin sewel Max datang, dan tiba-tiba ambil cuti kecemasan tak ke haru?
Apa yang membuatkan dia sangat-sangat risau, dia takut Max duduk berkampung di
rumahnya sepanjang ketiadaannya. Salmiha Haini... dia mungkin boleh percayakan
isterinya itu. Tapi Max... tidak sekali-kali. Apatah lagi lelaki itu bebas
keluar masuk di rumahnya. Ah! Silapnya juga kerana masih belum menceritakan
siapa Salmiha Haini dalam hidupnya.
“Aku
saja je bawa dia jalan-jalan tengok
negara orang. Kesian pulak aku nak
tinggalkan dia sendirian di rumah tanpa buat apa-apa aktiviti yang berfaedah,”
dalih Shahrul Hairi. Dia berharap sangat Max menerima kata-katanya yang sedikit
tidak masuk akal itu. Belum pernah lagi dibuat orang, majikan membawa orang
gajinya ke hulu hilir. Tapi Salmiha Haini bukan orang gajinya. Gadis itu si
jantung hatinya.
Max
memandang wajah Shahrul Hairi untuk mencari kebenaran. Riak tenang sahabatnya
itu membuatkan dia sukar hendak menebak apa yang bersarang dalam hati rakannya
itu.
“Bagus
juga kau bawa dia. Boleh aku bawa dia jalan-jalan nanti. Kau pun bukannya rajin
sangat nak bawa dia pergi mana-mana. Asyik nak tidur aje!” Kutuk Max. Memang
itulah sikap Shahrul Hairi, lelaki itu lebih suka memerap di dalam bilik
daripada keluar bersosial.
Amboi-amboi...
sesuka hati dia aje nak bawa bini aku pergi merambu! Langkah mayat aku dululah
kawan! Gerutu Shahrul Hairi. Nasib baiklah dia dah tempah hotel lain. Buatnya
duduk satu tempat dengan Max, tak ke makan hati dia nanti.
“Helo...
kalau aku dah bawa dia ke Korea, tentulah aku akan bawa dia keluar jalan-jalan
nanti.”
“Eh...
bukan ke selama ni kau selalu tidur aje?”
“Itu
selama ini... sekarang ni aku dah tukar minat dan haluan,” balas Shahrul Hairi
sedikit jengkel. Keadaan dalam kokpit ketika ini terlalu sesak dia rasakan.
Ringan aje tangannya hendak menyedekahkan sebiji penumbuk buat Max sebagai
kenang-kenangan.
“Alah...
kau ni! Bagilah can kat aku berkenalan dengan dia. Kau tidurlah puas-puas macam
biasa.” Max memujuk rayu.
Aku
sekeh juga Si Max ni karang! Tak paham
bahasa sungguh!
“Kau
tanyalah sendiri dengan dia nanti!” Beritahu Shahrul Hairi bengang.
“Macam
tulah kawan!” Ujar Max sambil tersengih. Bahu Shahrul Hairi ditepuk. Gembira
sungguh hatinya kerana berpeluang kenal rapat dengan Salmiha Haini.
Huh...
kawan konon! Perempuan yang kau nak usha
tu bini aku tahu! Tinggal kat rumah salah, bawa keluar jalan-jalan pun salah.
Inilah susahnya kalau dapat isteri cantik! Getus Shahrul Hairi.
“Eh...
Rie! Awek yang kau syok kat JB tu, apa cerita?”
“Dah...
kahwin!” Balas Shahrul Hairi tanpa ragu-ragu.
“La...
ya ke? Habis tu... meranalah jiwa dan raga kau sekarang ni?”
Aku
tak meranalah... sebab dia kahwin dengan aku! Cuma yang aku takut kalau-kalau
kau yang terjun lombong bila dapat tahu Salmiha Haini dan awek tu adalah orang
yang sama, bisik hati Shahrul Hairi.
“Jodoh
dia dah sampai, nak buat macam mana. Doakan ajelah kebahagiaan mereka dunia
akhirat.”
“Emmm... betul cakap kau tu!” Sokong Max.
“Aku pun tak tahu sama ada Miha dah ada kekasih ataupun belum? Kau duduk
serumah dengan dia, tak akan kau tak tahu serba sedikit tentang dia?”
“Kau
tanyalah dia sendiri. Nanti kalau aku cakap, kau tak percaya pulak!”
“Maksud
kau?”
“Yalah!
Kalau aku cakap dia dah kahwin, tentu kau kata aku tipu, kan? Andai aku
beritahu yang dia tak ada pakwe, tentu kau tak percaya. Dan kau akan cakap,
alah... tak akanlah perempuan cantik macam dia tu tak ada kekasih. Jadi... ada
baiknya kau tanya tuan punya badan sendiri. Barulah puas hati!”
“Aku
setuju dengan pendapat kau. Nanti aku nak tanya dia. Kalau dia kepunyaan orang,
tak akan aku nak ganggu-gugat juga, kan? Ada nanti lebam biji mata! Buatnya
lelaki tu jaguh silat, mahu patah riuk badan aku dikerjakannya nanti!”
“Baguslah
kalau kau dapat terima segala kemungkinan tentang dia.” Hati Shahrul Hairi lega
mendengar pengakuan Max. Sekurang-kurangnya bila tahu Salmiha Haini milik
orang, Max akan menjauhkan diri.
“Tapi
aku mengharapkan yang dia masih single.”
Betapa tingginya harapan Max.
Shahrul
Hairi pura-pura tidak mendengar. Dia memerhati radar yang terdapat di
hadapannya.
“Eh...
Rie, kau ada nampak Darlina? Dia cuti ke? Biasanya dia kalau tak menempel kat
kau, tak sah!” Max bertanya apabila bayang Darlina tidak muncul di hadapan mata
mereka.
“Cutilah
kut! Tadi masa kat Mid Valley, aku terserempak minah tu dengan pakwe baru dia,”
ulas Shahrul Hairi.
“Asyik
bertukar pasangan aje perempuan tu?” Komen Max.
“Aik... kau kutuk dia? Kau tu pun sama
aje macam dia. Pantang nampak dahi licin sikit. Semua kau nak sapu!” Tempelak
Shahrul Hairi.
“Tapi
aku tak porak-perandakan rumah tangga orang!” Max mempertahankan dirinya.
“Kau
memang tak pernah memporak-perandakan rumah tangga orang. Tapi kau pernah
menghuru-harakan hubungan sepasang kekasih! Dan jangan cakap kat aku yang kau
tak pernah jadi punca pasangan kekasih rengang dan putus ikatan cinta!” Tekan
Shahrul Hairi.
Max
sekadar tersengih mendengar sindiran Shahrul Hairi. Tapi dia rasakan itu bukan
salah dirinya. Perempuan tu jenis yang tak setia dan menghargai pasangannya.
“Aku
ingatlahkan... kalau aku dapat pikat Miha, aku nak ubah sikap aku. Mungkin Miha
adalah jodoh yang ALLAH kirimkan untuk aku.”
Shahrul
Hairi sudah tidak terkata apa lagi mendengarnya. Daripada hatinya bertambah
sakit, lebih baik dia mendiamkan diri sahaja. Harapannya cuma satu, semoga hati
Salmiha Haini tidak mudah dicuri oleh Max. Hidupnya pasti merana andai Salmiha
Haini berlalu pergi. Mudah-mudahan hati honey
hanya milik abang seorang!
Best sgt2. Tak sbr nak beli saca
ReplyDeleteTerima kasih.
DeleteSACA dh berada di pasaran skrg
Best
ReplyDelete~Nin~
Terima kasih Nin
DeleteBestnya citer nih
ReplyDeleteTerima kasih
DeleteTerima kasih baby mio
ReplyDelete