Bab 11
ANGIN MALAM yang membelai wajah dan tubuhnya,
mendamaikan hati Salmiha Haini yang sedang lara. Sudah tiga hari kawasan atas
bukit ini menjadi destinasinya. Punyalah banyak tempat menarik di sekitar
bandar ini, tempat tersorok dan tersembunyi ini jugalah yang menjadi pilihan
hatinya. Salmiha Haini rasakan inilah tempat yang mampu melenyapkan segala
masalah yang berserabut di mindanya. Apatah lagi kehijauan alam semula jadi
yang menyejukkan mata dan hembusan bayu yang seakan membelai dirinya, emmm... damai dan lapang jiwanya kala
bersendirian walaupun pemandangan hanya ditemani kelam malam.
“Apa yang harus aku buat? Perlu ke
aku ikut cadangan Sofea, lari!” Bicara Salmiha Haini sendirian sambil menguis
tanah dengan hujung seliparnya. Dia terlalu sedih dengan perbuatan Pak Lang
Yusofnya. Apa dosanya terhadap lelaki itu, dia tidak tahu? Dia bencikan
keangkuhan dan kesombongan Pak Lang Yusofnya. Tahulah dia pernah menumpang
hidup dengan lelaki itu. Tapi itu bukan bermakna Pak Lang Yusof boleh memaksa
dia menuruti kata-kata lelaki itu sewenang-wenangnya. Lagi pula, dia bukannya
makan free! Wang insurans papa dan
mamanya digunakan bagi menampung hidup.
“Buatnya dia mengamuk macam mana?
Mahu karang Salmiha Haini sekadar tinggal nama aje nanti. Bukannya lelaki tu
tak pernah naik angin. Pernah! Cuma kaki dan tangan aje yang belum sampai ke
tubuh badannya.” Sejak ibu saudaranya meninggal dunia beberapa bulan yang lalu,
perangai Pak Lang Yusof semakin menjadi-jadi. Ada saja perlakuannya yang tidak
kena di mata lelaki tua itu. Dia pun naik hairan kenapa? Akibat bosan dengan
sikap dan perangai bapa saudaranya itu, dia mengambil keputusan berhijrah ke
Johor Bahru. Hendak menumpang kasih dengan saudara-mara yang lain memang tidak
kesampaian, adik-beradik mama rata-ratanya telah meninggal dunia semasa kecil
dan papa pula hanya sebatang kara.
Salmiha
Haini raup wajahnya. Nafas yang dihela terasa berat. Dia ingatkan dia tidak
lagi perlu bertemu dengan Pak Lang Yusofnya tetapi tidak. Dia terpaksa
menentang pandang dengan lelaki itu kerana ada perhitungan yang perlu
diselesaikan. Malangnya walaupun sudah berhari-hari dia berkampung di KL, Pak
Lang Yusofnya tetap juga tak balik-balik. Sengaja dia tidak mahu tinggal di
rumah Pak Lang Yusof, rumah itu dirasakan bagai neraka buat dirinya.
“Kusutnya!
Apa yang perlu aku buat ni?” Buntu Salmiha Haini memikirkan nasib diri.
“Agak-agak kalau aku pergi bertapa kat gua ok tak? Tentu Pak Lang tak dapat
kesan aku. Tapi di mana?! Gua Niah? Gua Cha? Berapa lama nak bersembunyi? Duit
‘sesen kurap’ pun takde, nak bertapa
macam mana? Sekurang-kurangnya kena jugak
standby stok makanan barang setahun
dua, baru mantop. Ada karang mati
kelaparan. Ah, buntunya!” Salmiha Haini meraup wajahnya. Ya ALLAH... bantulah
hambaMu ini.
Bebola
mata Salmiha Haini meliar memandang kawasan sekitar. Terdapat beberapa pasangan
di situ. Seronoknya jika dia bisa punya pacar seperti mereka. Tentu saja
kekasih hatinya akan mententeramkan dirinya. Pasti saja dirinya akan dilamar
dan seterusnya dilindungi. Wahai... pemilik tulang rusukku! Di manakah kau
berada? Datanglah kepadaku dan selamatkanlah aku! Seru Salmiha Haini bersama
angin malam.
“Itu
la... masa ada orang minat, kau jual mahal. Kan dah susah sekarang!” Keluh
Salmiha Haini. Penat berdiri dia melabuhkan punggung di atas bonet Myvi, pemberian
arwah neneknya bersempena hari jadinya yang ke-20. Permukaan bonet itu disentuh
lembut dengan jemari. Hatinya diruntun sebak secara tiba-tiba saat terkenangkan
arwah neneknya. Nenek... kalau nenek masih hidup, tentu nenek akan halang
segala tindak-tanduk Pak Lang, kan?
Gelak
ketawa mereka-mereka yang berada berhampiran dengannya membuatkan Salmiha Haini
mengeluh. Alangkah indahnya jika dia juga mampu bergelak ketawa seperti itu.
Sudah tiga hari dia tiada mood untuk ketawa. Bibirnya juga seakan lumpuh untuk
mengukirkan senyuman. Dia tahu senyuman itu satu sedekah! Tapi entah kenapa dia
terlalu kedekut hendak menyedekahkan senyuman manis dan mengancamnya itu.
Telefon bimbitnya juga turut dimatikan. Dia tidak mahu sebarang gangguan
walaupun dari teman baiknya. Galau hatinya sudah tidak tertanggung lagi saat
mengenangkan nasib diri.
BAYANGAN
gadis di KLIA tempoh hari seakan-akan sukar dilenyapkan. Malahan sering
menghantui setiap gerak langkahnya. Tangisan hiba dan kesayuan gadis itu
benar-benar meruntun jiwa lelakinya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa gadis
itu berjaya mencuri ketenangan yang dimilikinya selama ini.
Hingga
ke detik ini, seraut wajah yang diseliputi mendung itu sering melatari ruang
lena dan jaganya. Masih diingat..., mata dan kepalanya bagai dipaku agar terus
memerhati gerak-geri gadis tersebut sehinggalah si dia sirna dari pandangan.
Shahrul
Hairi mengeluh sendirian memikirkan bermacam-macam masalah yang menghuni
otaknya.
“Aduh...
pening-pening! Mahu mati muda aku macam ni!” Shahrul Hairi memicit kepalanya
dengan tangan kanan. Fikirannya benar-benar berserabut. “Aku ni sibuk
memikirkan masalah gadis tu, masalah aku sendiri pun masih belum temui jalan
penyelesaiannya.” Permintaan ayahnya supaya mengahwini anak Tan Sri Suhaimi,
amat menyesak fikirannya. Dia hanya ada dua pilihan. Kahwini anak kenalan
ayahnya atau menerima sepupunya, Aspalela sebagai isteri.
“Kahwin
dengan Aspalela?! Pasti akan buat aku sakit jiwa dan sakit jantung. Kahwin
dengan anak kawan ayah?! Hai... entahlah! Mati terus gamaknya.” Stereng kereta
dicengkam lebih kemas. Bimbang hilang kawalan.
“Ayah
dan ibu pun satu hal. Macamlah aku ni tak laku sangat sampai kena dicarikan
jodoh. Aku belum terdesak lagilah!” Shahrul Hairi merungut. Sehari dua ni jenuh
dia menepis panggilan dari ayah dan ibunya yang tak henti-henti bertanya dan
mendesak.
“Mereka
tak tahu kat dalam kapal terbang tu berapa ramai pramugari yang ingin mengusha aku. Itu belum lagi
perempuan-perempuan di luar sana. Cuma aku je
yang buat don’t know. Lagipun umur aku masih muda apa, belum pun tiga puluh. Buat
apa sibuk-sibuk nak kahwin?” Shahrul Hairi melontar apa yang terbuku di hati.
Sanggup
ibu dan ayahnya berhabis duit menelefonnya di Korea Selatan tempoh hari
semata-mata nak suruh kahwin. Bukannya dia tak mahu kahwin. Itukan sunnah
nabi... tapi hatinya masih belum terbuka. Nak buat macam mana? Tidak tergamak
rasanya dia jadi seperti segelintir lelaki hari ini yang gemar menabur benih
cinta di sana-sini. Bila benih cinta itu mula bertunas dan bercambah, dibiarkan
sepi atau dicampakkan ke tepi begitu sahaja. Itu bukan caranya. Cintanya cinta
suci. Dia selalu berdoa agar cintanya kekal abadi di dunia mahupun di akhirat.
Siapalah gadis di luar sana yang beruntung dapat memiliki cintanya?
Destinasi
yang ingin ditujui Shahrul Hairi tiba jua akhirnya. Dia menuju ke port kegemaran. Kelihatannya ada
penghuni lain di situ. Tempat yang gadis itu duduk adalah tempat kegemarannya.
Malahan namanya sudah diukir atas batu itu. Naik berpeluh ketiaknya untuk
menyiapkan nama tersebut. Dan perempuan itu... sesuka hati dia aje melepak di
situ!
Dia
mengamati wajah yang sedang merenung ke dada langit. Seperti gadis yang
ditemuinya di KLIA tempoh hari, bisik hati Shahrul Hairi. Wajah itu masih lagi
kelihatan sendu walaupun sudah beberapa peristiwa itu berlalu. Kasihan! Aku pun
kasihan juga. Jadi kami berdua seharusnya perlu dikasihani!
Dia
tidak tahu apakah rahsia di balik setiap pertemuan yang berlaku. Tetapi hati
lelakinya meronta hebat setiap kali gadis itu berlalu pergi. Ada sesuatu
tentang gadis itu yang merantai jiwa dan membelenggu hatinya. Nama dan wajah
itu seakan melekat kukuh di sudut paling istimewa di hatinya.
Dengan
langkah maco, Shahrul Hairi menghampiri gadis berwajah sedih itu. Namun
langkahnya semakin sumbang tika berdekatan dengan gadis itu.
Kau
boleh duduk diam tak jantung? Yang kau beria bergendang dan berjoget apa hal?
Shahrul Hairi memarahi jantungnya. Dia menarik nafas panjang-panjang dan cuba
beriak tenang. Jangan gelabah! Jangan panik! Buat muka poyo... sepoyo-poyonya! Cool! Kolar jaket kulitnya dibetulkan. Langkahnya mula disusun
dengan kemas dan rapi.
“Ehem...
ehem...” Shahrul Hairi berdehem untuk menarik perhatian gadis tersebut. Hampa
perasaannya bila gadis itu membisu dan sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Aiseyman... sombong giler perempuan ni!
“Cantik
sangat ke bintang tu, sampai saya tegur buat tak tahu je?” Shahrul Hairi memberanikan diri bertanya. Namun sekali lagi
dia kehampaan. Kata-katanya hanya disambut angin lalu. Mak aii... dia buat derk je?! Dia tak nampak aku ke apa ni?! Atau
hari ni aku tiba-tiba aje jadi halimunan?!
“Assalamualaikum...
ada orang di sebelah saya tak?” Shahrul Hairi merapatkan mulutnya di tepi
telinga Salmiha Haini.
Salmiha
Haini pantas menoleh. Terperanjat!
Mamat
ni apa hal? Gila?! Sejak bila duk menyemak kat sebelah aku ni? Gumam Salmiha
Haini geram. Sudahlah hatinya sedang rawan, ada pulak yang menyibuk. Resah hatinya memikirkan permintaan bapa
saudaranya. Pedih, sedih dan kecewa, semuanya berhimpun menjadi barah di
hatinya. Kenapa tak disuruh aje anak manjanya ‘Si Peah’ yang baru tamat SPM tu
berkahwin? Bukan ke lebih mudah? Pandai pulak
dia tak nak bagi anak dia kahwin awal-awal. Lagipun lelaki tu siapa yang
memandai hendak mengatur hidupnya? Hanya biras arwah papanya sahaja.
“Kenapa
awak nak menyibuk? Macamlah kita kenal antara satu sama lain. Lantak saya la,
nak tengok ke... Nak renung ke... Nak telan bintang tu sekalipun! Apa awak
peduli?” Sindir Salmiha Haini.
Ha...
dengar pun, getus Shahrul Hairi.
“Mak aii... sombongnya! Saya cuma kasihan
tengok awak. Dari KLIA tempoh hari hingga ke hari ni masih belum hilang sedihnya.
Kenapa? Pakwe cabut lari dengan perempuan lain?” Shahrul Hairi memandang
Salmiha Haini. Hatinya benar-benar ingin tahu. Kalau tepat andaiannya, hancur
musnah impian indahnya. Mana dia nak cari pengantin perempuan lagi? Pasti dia
terpaksa turuti kemahuan ayahnya.
Ini
tak boleh jadi ni, aku kena buat sesuatu. Setakat pakwe makwe, takde hallah kalau nak rembat.
Sekali-sekala buat perangai, tak salah kut! Hati Shahrul Hairi berbicara.
Lantas dia menghantar pesanan ringkas kepada kawan baiknya. Hanya temannya itu
yang mampu menyelesaikan masalah cintanya saat ini.
Bro, kau kena tolong
aku... L
Gara-gara
Salmiha Haini, habis terbang segala falsafah hidupnya... ‘Hak orang jangan
diganggu!’
Jangan bimbang, aku
akan tolong. Kau cakaplah elok-elok dekat dia supaya dia tak terperanjat. Dah
capai kata putus, terus datang ke rumah aku. Aku tunggu... ;)
Shahrul
Hairi urut dagunya tatkala membaca kiriman SMS Syarafuddin. Aduh, susahnya! Aku
nak buat apa? Nak cakap macam mana? Tak akan nak berterus-terang? Salmiha Haini...
I love you! Will you marry me? Ada
karang makan penampar. Shahrul Hairi pantas memegang pipinya.
Ok bro. Settle je aku
terus ke rumah kau.
Shahrul
Hairi membalas kembali SMS Syarafuddin sesaat kemudian.
Salmiha
Haini memandang pelik makhluk yang berada di sebelahnya. Mana dia tahu aku
pergi KLIA? Menyeramkan la dia ni...
“Saya
sedih ke?! Gundah gulana ke?! Hatta nak mati sekalipun, awak peduli apa? Hal
saya biar saya urus sendiri. Awak tak usah nak menyibuk.” Salmiha Haini
buat-buat berani. Dalam hati hanya Tuhan aje yang tahu. Kecut! Manalah tahu
lelaki di sisinya ini otak tak berapa nak centre.
Shahrul
Hairi mengetap bibir. Amboi... bukan main lagi cengilnya! Cubalah cakap
baik-baik macam kat Pasir Gudang hari tu, kan bagus... Ayat-ayat cinta yang
telah dirangkanya sebentar tadi juga hilang berterabur entah ke mana.
“Saya
bukannya nak menyibuk. Saya sekadar ingin membantu. Manalah tahu saya boleh
tolong ringankan beban awak,” ujar Shahrul Hairi penuh hemah. “Biasanya orang
datang melepak kat sini sebab nak lepaskan tension
atau jiwa sedang kacau.”
Dia
tahu la aku ada masalah... “Awak datang sini sebab nak tenangkan fikiran juga
ke?” Salmiha Haini memberanikan diri bertanya. Sindiran lelaki itu dipandang
sepi.
“Ya!”
Jawab Shahrul Hairi sepatah. Dia menoleh Salmiha Haini seketika sebelum
membuang pandang ke depan.
“Saya
tengah runsing sekarang ni. Hati saya sakit sangat-sangat,” luah Salmiha Haini.
“Tapi bukan disebabkan kekasih atau pakwe cabut lari. Tapi... masalah keluarga.
Bapa saudara saya paksa saya kahwin dengan anak kenalannya. Dengan alasan ingin
mengukuhkan lagi perniagaannya. Bila saya enggan menuruti kemahuannya, dia ugut
saya,” luah Salmiha Haini sambil merenung beribu bintang di dada langit bagi
meredakan sebak yang mula bertandang.
Shahrul
Hairi memandang wajah Salmiha Haini kembali. Dia amat berminat hendak tahu
kisah selanjutnya.
Salmiha
Haini melepaskan keluhan sebelum menyambung kembali ceritanya.
“Saya
tak nak! Dan saya tak suka orang paksa saya. Lagipun saya tak kenal siapa dia.
Pak Lang kata, lelaki tu anak yang baik. Tapi boleh percaya ke? Dia bukannya
duduk sebumbung dengan lelaki tu dan nampak apa yang lelaki tu buat sepanjang
masa. Setakat dengar dari mulut ibu bapa lelaki tu saja, itu belum memadai bagi
saya. Belum mampu membuatkan saya mempercayai kata-kata mereka. Buatnya
keluarga lelaki itu berbohong. Macam mana? Siapa yang akan tanggung di belakang
hari? Saya juga, kan!” Salmiha Haini menjeling sekilas lelaki yang berada di
sebelahnya. Lelaki itu nampaknya memberi tumpuan terhadap ceritanya.
“Dan
keluarga lelaki tu juga belum tentu tahu perangai sebenar anak mereka. Buatnya
anak mereka setakat alim-alim kucing, tak ke kes niaya saya nanti? Saya tak
mahu menyesal di kemudian hari. Daripada saya merana di belakang hari, lebih baik
saya bertegas dari sekarang.” Hurai Salmiha Haini panjang lebar. Dia sendiri
tidak tahu kenapa mulutnya begitu ringan hendak berkongsi masalahnya dengan
lelaki yang baru dikenalinya itu.
Shahrul
Hairi sudah mampu menarik nafas lega setelah mendengar bicara gadis itu.
Hatinya lapang, selapang padang bola sepak apabila bunga pujaannya bukan di
taman larangan atau milik orang. Ini bermakna, rancangannya mampu dilancarkan
dengan jayanya. Yes!!! Tapi... nanti
kejap! Tadi dia cakap... ‘bukan disebabkan kekasih atau pakwe lari, kan?
Tapi... masalah keluarga.’ Maknanya? Dia dah berpunya ke? Alamak, melepas la
aku! Ah, tak kisahlah ada pakwe ke tidak! Sebab aku dah nekad dengan rancangan
aku.
Shahrul
Hairi berdeham lalu membetulkan letak duduknya.
“Nasib
kita sebenarnya sama,” ujar Shahrul Hairi perlahan. Matanya turut merenung
bintang-bintang berkerlipan yang menghiasi kelam malam. “Keluarga saya juga
mahu saya mengahwini anak kenalan mereka. Puas saya menolak, tapi mereka tetap
enggan menerima alasan saya,” luah Shahrul Hairi. Ayahnya boleh ampun lagi tapi
ibunya tetap berkeras dengan kemahuannya.
Ingatkan
aku sorang aje kena paksa kahwin, rupanya orang sebelah aku pun sama. Hai...
senasib rupanya! Malang... malang..., gumam Salmiha Haini.
“By the way, I’m Ringgo and you?” Tanya Shahrul Hairi sambil
menghulurkan salam perkenalan. Dia belum berhajat memberitahu nama sebenarnya.
Dan dia juga pura-pura tidak mengenali Salmiha Haini. Dia yakin Salmiha Haini
tidak kenal dan mengingati dirinya.
“Saya
Salmiha Haini. Maaf... saya tak boleh sambut tangan awak, ajnabi. Haram
hukumnya,” jelas Salmiha Haini jujur.
Shahrul
Hairi rasa hendak tampar pipinya. Bukannya dia tidak pernah terkena dengan
Salmiha Haini sebelum ini. Dia kemudiannya menarik kembali tangannya dan
melemparkan senyuman ikhlas. Begitu terjaga akhlak dan sahsiah gadis ini,
getusnya.
“Awak
pun kena paksa kahwin juga?”
Shahrul
Hairi senyum dan angguk. Cakap lembut-lembut macam ni kan bagus. Sejuk hati
abang. Makin abang sayang, bisik hati Shahrul Hairi yang nakal lagi gatal.
“Ya!
Malahan saya diberi dua pilihan. Berkahwin dengan sepupu saya atau anak kenalan
mereka sekiranya gagal mencari pilihan sendiri dalam tempoh lebih kurang enam
bulan ini. Bukankah itu tidak adil namanya. Saya langsung tidak kenal siapa gadis
yang mereka pilih dan bagaimana hati budi serta perilakunya. Yang paling
penting agamanya. Saya ingin mencari isteri yang menutup aurat. Boleh setia
bersama saya hingga ke akhirnya. Dan paling penting, mampu menjadi isteri dan
ibu yang terbaik buat anak-anak saya. Saya kalau boleh... hanya ingin berkahwin
sekali saja seumur hidup,” jelas Shahrul Hairi sambil memandang Salmiha Haini.
Ada satu tarikan di balik wajah sendu itu. Berada di samping gadis itu, jiwanya
terasa tenang dan damai. Bahkan mampu membangkitkan perasaan yang begitu
mengasyikkan. Angau sungguh!
Terpukau
Salmiha Haini mendengar luahan lelaki bernama Ringgo itu. Pasti bahagia siapa
yang bakal menjadi suri hidup lelaki itu.
“Awak
dah ada kekasih?” Shahrul Hairi bertanya. Matanya turut merenung lembut gadis
di sebelahnya itu. Wajah itu tetap kelihatan cantik dan ayu biarpun masih
diseliputi mendung. Kelembutan juga terserlah di wajah itu walaupun sedikit
garang sebentar tadi. Dan tetap kelihatan anggun dan jelita walaupun tidak
menayangkan bentuk badannya.
Salmiha
Haini memandang wajah lelaki yang bernama Ringgo itu dengan sedikit hairan.
“Tak
ada! Kenapa? Awak berminat nak jadi calonnya ke?” Tanya Salmiha Haini sambil
mencerlangkan biji matanya tanda tidak menyukai pertanyaan Shahrul Hairi.
“Saya?
Nak jadi calon kekasih awak?” Shahrul Hairi bertanya sambil tertawa kelucuan.
“Minta maaf la! Penampilan awak tidak kena dengan cita rasa saya dan karektor
awak juga tidak sesuai dengan jiwa saya. Awak terlalu cengil. Saya sukakan
perempuan yang lemah-lembut, sopan-santun dan mampu mencairkan hati lelaki
saya. Awak langsung tidak tergolong dalam kelompok itu.” Shahrul Hairi berkata,
menutup rahsia di hati. Walhal dalam hati, bukan kepalang lagi melonjak
kegembiraan setelah mendengar kata-kata Salmiha Haini itu tadi.
Dia
harus dan perlu menjunjung egonya barang seminit dua. Tak akanlah terus hendak
mengaku yang dia meminati gadis itu. Mestilah kena berlakon dahulu. Dia tidak
mahu nampak terlalu gelojoh di mata Salmiha Haini. Dan juga bimbang sekiranya
Salmiha Haini dapat menebak perasaannya terhadap gadis itu. Malulah dia nanti.
“Macamlah
saya berminat nak jadi calon kekasih awak! Awak juga tak tersenarai dalam short listed lelaki idaman saya. Jadi
tak usah banyak cakap!” Bentak Salmiha Haini geram. Macam bagus aje lelaki di
sebelahnya ini. Dia ingin berlalu namun tangannya pantas dicapai Shahrul Hairi.
“Hei...
apa ni? Lepaskan tangan saya, bangang!” Pekik Salmiha Haini sambil merentap
tangannya namun tidak berjaya.
Alamak!
Merajuk la sudah buah hati aku ni, hati Shahrul Hairi berbisik nakal. Kalaulah
Salmiha Haini tahu yang aku gatal-gatal mengaku dia buah hati aku, ada
dihempuknya aku dengan batu. Shahrul Hairi melepaskan tangan Salmiha Haini
perlahan-lahan. Lembutnya tangan dia ni. Pandai buat kerja dapur ke tidak ni?
Ada karang asyik makan nasi bungkus.
Hehehe...
Salmiha
Haini mengusap tangannya yang sedikit perit.
“Saya
tak berniat hendak berkasar dengan awak dan saya minta maaf sebab tanpa sengaja
terpegang tangan awak,” luah Shahrul Hairi seraya merapatkan kedua belah
telapak tangannya tanda mohon maaf.
Salmiha
Haini mencebik mendengar kata-kata Shahrul Hairi. Alasan! Cekik karang!
“Sorry ya sebab buat awak marah dan
terasa tadi. Saya saja je nak test awak,” dalih Shahrul Hairi. Dia
sebenarnya tidak ingin Salmiha Haini meninggalkan dirinya. Itulah puncanya
kenapa dia halang gadis itu dari berlalu pergi.
“Apa
maksud awak nak test saya?” Salmiha
Haini bersuara tegas. Wajah Shahrul Hairi ditenung tajam.
“Saya
nak lihat sejauh mana kebenaran kata-kata awak tadi. Benarkah diri saya ni
langsung tidak tersenarai dalam pilihan calon kekasih awak,” terang Shahrul
Hairi. “Nampak sangat yang awak memang tegas dengan kata-kata awak. Biasanya
perempuan yang saya kenal, mulut kata lain tapi hati buat lain. Bila saya
pegang mereka, biasanya mereka akan jadi lemah dan terus cair,” jelas Shahrul
Hairi sambil merenung mata Salmiha Haini yang cantik dan bulat itu. Suka pula
dia lihat wajah masam mencuka Salmiha Haini. Alahai... makin dia marah, makin
comel la! Kalaulah dapat cium… Opps!
Itu bila dah rasmi jadi hak milik aku la kan… Hehehe...
“Itu
perempuan lain. Bukannya saya!” Perli Salmiha Haini. Dia ni mesti miang, sebab
tu selamba badak je pegang tangan
aku. Ini mesti dah terbiasa pegang-pegang pompuan
niii...
“Saya
tahu!” Tegas Shahrul Hairi. “Emmm... saya
ada idea...,” ujar Shahrul Hairi sambil merenung wajah Salmiha Haini dengan
sinar harapan. “Saya tolong awak dan awak tolong saya.” Dia menerangkan satu
persatu rancangannya kepada Salmiha Haini.
Bulat
mata Salmiha Haini merenung Shahrul Hairi setelah lelaki itu usai menerangkan
hasratnya.
“Kalau
awak nak jadi gila, jangan heret orang lain untuk sama-sama jadi miring seperti
awak,” marah Salmiha Haini. Panas hatinya mendengar idea bodoh Shahrul
Hairi.
“Saya
tak gila tapi ingin membantu,” terang Shahrul Hairi tulus.
“Itu
bukannya membantu tapi menyusahkan namanya!”
“Lebih
baik kita buat begini. Sekurang-kurangnya kita dah saling kenal walaupun baru
satu jam kita berkenalan,” luah Shahrul Hairi sambil melihat Tag Heuer di
pergelangan tangannya.
Ada
hati nak jadi menantu Pak Ishak, tapi perangai... mengalahkan Ali Setan!
Salmiha Haini terus mencemuh dalam hati.
“Saya
rasa ada baiknya awak terima sepupu awak. Sekurang-kurangnya awak dah kenal
siapa dia berbanding saya. Tak pun awak kahwin dengan kekasih awak, lagi
mudah.”
Shahrul
Hairi ketawa berdekah-dekah mendengar cadangan Salmiha Haini.
Salmiha
Haini memandang pelik wajah Shahrul Hairi yang seperti orang kerasukan.
Pabila
melihat Salmiha Haini memandang wajahnya tanpa berkelip. Shahrul Hairi segera
menghentikan tawanya. Cap di kepala
dibetulkan.
“Kenapa
awak pandang saya macam tu? Ada yang tak kena ke kat muka saya?” Shahrul Hairi
meraba wajahnya. Rasanya semua perfect
sebelum dia keluar rumah.
“Memang
banyak yang tak kena pun! Kenapa awak ketawa macam orang kena sawan? Tengok...
semua orang sedang pandang awak sekarang ni,” sindir Salmiha Haini geram.
Shahrul
Hairi memandang ‘jiran-jiran’ yang sedang berdating berhampiran mereka.
Tangannya diangkat tanda memohon maaf kerana mengganggu.
“Hesy...
mulut awak ni! Laser sungguh! Awak tak tahu dan tak kenal siapa sepupu saya.
Daripada saya kahwin dengan dia, lebih baik saya membujang hingga ke mati.”
Shahrul Hairi melepaskan rasa tidak puas hati yang selama ini bermukim di
hatinya. “Dan untuk pengetahuan awak... saya ni masih kosong, belum ada
kekasih.”
Salmiha
Haini menceber kurang percaya. Betul ke muka tampan macam ni belum berpunya?
Mustahil!
“Hah!
Bagus juga kalau awak nak membujang sampai ke tua. Tak perlulah saya ikut
rancangan awak yang tak masuk otak tu,” balas Salmiha Haini sebal.
“Eh...
awak tak suka ke dapat kahwin dengan lelaki kacak macam saya? Kalau orang lain
tentu gembira dan tepuk tangan bila saya melamar mereka.” Dengan bangganya
Shahrul Hairi mengeluarkan ayat-ayat jiwang karatnya.
Salmiha
Haini terasa hendak loya mendengar kata-kata Shahrul Hairi yang sedikit angkuh
itu. Aku kalau rasa gembira bukannnya nak tepuk tangan, tapi rasa nak hentak je kaki kat muka mamat sekupang ni biar
padan muka dia, getus Salmiha Haini. Apa? Dia ingat aku terliur dan kebulur
sangat dengan muka kacak dia tu? Sorry!
“Itu
orang lain bukan saya,” tempelak Salmiha Haini dengan tegas. Entah kenapa dia
langsung tidak boleh bertutur lembut dengan lelaki yang satu ini. Aneh bukan?
Shahrul
Hairi memandang Salmiha Haini dengan ekor matanya. Pantang salah cakap, mula
nak naik angin. Tapi takpe... abang
tetap sayang, getus Shahrul Hairi. Wahai Cik Salmiha Haini sayang... kenapalah
kau jual mahal sangat? Kalau beginilah caranya... pujuk-pujuk tak dapat, memang
kita akan nikah free... Confirm!
“Saya cari suami yang sederhana saja. Tidak
terlalu kacak dan tidak terlalu kaya. Cukuplah jika raut wajahnya sejuk mata
memandang. Dan hartanya pula cukup sekadar buat kami sekeluarga tidak hidup
melarat. Apa yang saya titik beratkan adalah keimanannya. Sebab tanpa iman dan
takwa, ibarat bahtera tanpa nakhodanya,” ulas Salmiha Haini panjang lebar.
Shahrul
Hairi memandang tepat gadis di sebelahnya. Tertarik dia mendengar kata-kata
Salmiha Haini. Selama hari ini, ramai gadis yang ingin mendekatinya berdasarkan
kekacakan dan kekayaannya semata-mata.
“Kiranya
saya menepati standard lelaki idaman
kalbu awaklah?” Duga Shahrul Hairi. “Muka saya pun taklah setampan mana dan
saya juga tidaklah kaya-raya. Andai iman yang menjadi kriteria utama pilihan
awak, insya-ALLAH saya akan cuba menjadi ketua keluarga yang awak impikan.
Mungkin ilmu agama saya tidaklah setebal mana. Tapi saya akan cuba menggali dan
mendalami ilmu ALLAH sebaik mungkin.” Shahrul Hairi berusaha meraih cinta
Salmiha Haini. Hatinya sangat-sangat berkenan dengan Salmiha Haini. Mendengar
kata-kata Salmiha Haini sebentar tadi, hatinya semakin yakin dengan tindakannya
mengajak Salmiha Haini berkahwin.
Ahh...
sudah dia ni! Tadi mengaku kacak. Sekarang dah tukar tak kacak pulak? Biul ke apa dia ni? Boleh caya ke miskin? Tak nampak macam orang
tak berharta pun! Salmiha menilai diri Shahrul Hairi. Matanya juga melirik
kereta milik Shahrul Hairi. Kalau nak menipu pun agak-agaklah, getus Salmiha
Haini.
“So macam mana? Setuju tak kalau kita
kahwin? Ala... kita cuba aje. Kalau
sesuai, kita terus kekal jadi suami isteri sampai mati. Jika tidak... awak
boleh tuntut cerai. Sepanjang awak bergelar isteri saya, saya akan pastikan
yang awak sedikit pun tidak merasa sebarang kekurangan.”
Hesy...
betul ke keputusan yang aku buat ni? Hati Shahrul Hairi berbolak-balik. Tapi
lamaran dah dibuat. Tak akan nak tarik balik? Daripada aku kahwin dengan
Aspalela, lebih baik aku kahwin dengan dia ni. Shahrul Hairi cuba menetapkan
pendiriannya. Lagipun aku dah mula sayang dan cintakan dia.
“Amboi...
senangnya awak bercakap! Ikut sesedap selera hati awak aje nak luahkan
pendapat. Langsung tak mengambil kira buruk baiknya,” bidas Salmiha Haini.
“Awak ingat senang hidup saya nanti setelah pegang title ‘J’? Awak tahu tak... orang di luar sana tentu ingat yang
saya ni perempuan murahan dan jalang sebab muda-muda lagi dah kena cerai.”
Marah Salmiha Haini. Hatinya menjadi sakit dengan usul Shahrul Hairi yang
dirasakan merapu.
“Awak
sebenarnya yang tak faham apa saya cakap. Bila masa saya kata nak ceraikan
awak?” Shahrul Hairi dah geleng kepala. Orang cakap lain, dia faham lain. Kan,
dah susah. Itu la... bila orang cakap bukannya nak dengar betul-betul.
“Eh,
awak ni! Tadi bukan ke awak yang cakap macam tu?” Salmiha Haini sudah merasa
hangat.
“Tulah
awak, tak korek telinga. Saya cakap lain tapi awak faham lain,” perli Shahrul
Hairi. “Saya kata... awak boleh tuntut cerai daripada saya jika tidak ada
penyesuaian. Lagipun bukan ke tadi saya ada beritahu, saya hanya hendak kahwin
sekali sahaja dalam seumur hidup.” Shahrul Hairi menutur kembali satu-persatu
kata-katanya.
Salmiha
Haini mengeluh untuk kesekian kalinya. Matanya memandang Shahrul Hairi dengan
perasaan geram dan tidak percaya. Setelah menimbang baik buruknya, akhirnya dia
bersetuju menerima cadangan Shahrul Hairi. Mungkin lelaki di hadapannya ini
adalah jodoh yang telah dititipkan ALLAH untuknya. Tapi... betulkah tindakan
yang diambilnya? Hatinya masih ragu-ragu.
“Baiklah...
kalau awak dah setuju, malam ini jugak
kita ke rumah kawan baik saya. Awak ada saudara-mara yang boleh mewalikan
awak?”
“Saya
anak tunggal dan yatim piatu. Saya juga dah tidak ada datuk mahupun bapa
saudara,” terang Salmiha Haini.
“Baguslah
macam tu, mudah sikit urusan kita.”
Salmiha
Haini faham apa yang dikatakan oleh lelaki dihadapannya ini. Tentu sukar
baginya untuk bernikah sekiranya tanpa persetujuan wali.
“Tapi
kenapa kita perlu ke rumah kawan awak pulak?”
“Sebab
ayah dia yang akan nikahkan kita nanti,” ujar Shahrul Hairi penuh yakin.
Berkerut
tebal dahi Salmiha Haini. Ini ‘nikah terbang’ atau nikah yang sah di sisi hukum
syarak?
“Awak jangan risau, pernikahan kita nanti sah
dari segi hukum syarak kerana ayah sahabat saya tu jurunikah yang bertauliah.”
Pantas Shahrul Hairi memberi penerangan bila melihat kerutan di dahi Salmiha
Haini.
Boleh
caya ke?!
“Rumah
ayah kawan awak tu kat mana?”
“Kat
sini-sini ni jugak. Awak jangan
takutlah, saya tak tipu awak punya.” Hesy... takut sangat orang guna jurunikah
palsu.
Salmiha
Haini melepaskan nafas kelegaan. Bimbang juga dia kalau kepala Shahrul Hairi
tak betul. Manalah tahu guna nikah sindiket.
“Tapi
kita kena uruskan prosedurnya dulu,” beritahu Shahrul Hairi. Dia menerangkan
satu persatu apa yang harus mereka lakukan dan perlu ada.
Salmiha
Haini mendengarnya dengan teliti, kemudian dia tersenyum dalam hati. Apa yang
Shahrul Hairi jelaskan kepadanya semuanya telah siap dia lakukan. Ujian HIV
sudah dia jalankan. Kursus perkahwinan juga sudah dia hadiri ketika menemani
Sofea suatu ketika dulu. Walaupun enggan menuruti kemahuan Pak Lang Yusofnya
tetapi dia tetap laksanakan juga seperti mana yang diarahkan. Dalam sampul
surat yang dia terima tempoh hari telah pun tersenarai apa yang perlu dia buat
dan bereskan.
“Semua
yang awak jelaskan tadi saya dah siapkan,”beritahu Salmiha Haini. Mujur juga
tangannya ringan hendak mengangkut bersama fail yang mengandungi segala dokumen
penting. Kalau tak, mahu kena balik Johor dulu.
“Baguslah
macam tu. Cepat sikit kita boleh nikah.” Shahrul Hairi pandang kereta Salmiha
Haini. “Myvi awak tu, kita hantar ke rumah saya dulu. Lagipun lepas nikah
nanti, awak memang kena tinggal dengan saya juga, kan?” Aura-aura kuasa
pemerintah sudah mula terbit sedikit demi sedikit. “Saya rasa, kita memang
patut tinggal sebumbung dan belajar mengenal hati budi antara satu sama lain.
Manalah tahu perasaan cinta boleh terbit antara kita berdua selepas ini,” usik
Shahrul Hairi. Padahal dia sebenarnya dah terlajak jatuh cinta.
Salmiha
Haini angguk kepala.
“Rumah
awak kat mana? Lepas hantar kereta, kita pergi rumah awak pulak untuk ambil pakaian. Tapi tak payah bawa semualah. Saya
belikan yang baru. Bawa yang perlu aje,” pinta Shahrul Hairi.
“Errr... sebenarnya saya tinggal kat
hotel sekarang ni. Lepas ada krisis dengan pak cik saya, saya berhijrah ke
Johor Bahru.”
“Oh!”
Shahrul Hairi berfikir seketika. Baru dia teringat akan perbualan singkatnya bersama
Salmiha Haini ketika sesi temu duga dulu. Cuma tang krisis tu aje yang dia tak tahu. “Kalau macam tu kereta awak
kita tinggal dekat hotel tu dulu. Lepas nikah baru kita ambil,” saran Shahrul
Hairi.
Salmiha
Haini angguk kepala lagi. Entah kenapa boleh pula dia bersetuju mengikut
cadangan lelaki yang belum sampai sehari dia kenali walaupun hatinya masih
berbelah-bahagi.
Best x sabar nak pegang buku.
ReplyDeleteTerima kasih baby mio.
Deletedah tak lama dh blh pegang saca
Kalau termasuk ini sudah 3 Buah buku Karya awak Yang saya ada lambat lagi ke nak release.
ReplyDeleteTerima kasih baby mio atas sokongan.
DeleteInsya Allah pertengahan mac ni agaknya.
Best la cter ni, cepat la smbung
ReplyDeleteterima kasih atas sokongan.
Deleteakan ada smbgannya jgn bimbang
Makin tak sabar nak tunggu terbit dipasaran.
ReplyDeleteCptlah berada kat pasaran tak sabar nak miliki
K.Ina
sabar tak lama dah blh peluk saca K. Ina
Deletelebar senyuman bc bab ni.
ReplyDeleteSemakin teruja nak tahu kisah selanjutnya.
Teruskan berkarya DD.
Karya DD memenuhi selera saya
Terima kasih Onah yg menyokong selama ini.
DeleteTak puas bc.
ReplyDeleteX sbr nak kesudahan cter nih
Kesudahan hanya blh tahu dlm versi cetak
DeleteTak puas bc.
ReplyDeleteX sbr nak kesudahan cter nih
Kesudahan cerita hanya ada dlm versi cetak. Di blog akan dipaparkan beberapa bab sahaja lg.
DeleteSmbg Kak DD
ReplyDeletebest...
akan ada smbgan Atilia, jgn bimbang
DeleteNin sukaaaaaaaa sgttttttttt2
ReplyDeleteBest nyerrrrrrrrrr
~Nin~
Terima kasih Nin krn sudi beri sokong pd karya akak yg tak seberapa ni
DeleteMrk dah jumpa...
ReplyDeletebest3x.
Senyum je bc bab ni...
senyum jgn tak senyum Athirah
DeleteIni bukan kahwin paksa kan...
ReplyDeleteTapi memaksa.. keh.. keh.. keh...
Suka sgt2 bila akak lari dr tema kawin paksa.
Cter pun best.
Terima kasih.
Deletebetul tu ini bkn kahwin paksa.
best3x
ReplyDeletehati dh tertarik. Tak blh nak tunggu lg.
ReplyDeletesabarlah menunggu ya Raihana
Delete