Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Wednesday 8 April 2015

Bab 2 TERBAIK BAGIMU




DARI mana dapat duit hingga boleh beli buku sebanyak tu?” tanya Darwin sambil menghampiri Wardina yang sedang meletakkan minuman di atas meja kopi. Pelik juga dia apabila budak sekolah boleh mengumpul novel setambun macam tu.
“Ada yang beli guna duit biasiswa dan ada juga pinjam duit Along,” jawab Wardina sambil menyusun gelas minuman. Sebenarnya sebahagian dari novel tersebut adalah milik arwah ibunya.
“Along?” tanya Darwin sedikit terperanjat. Matanya juga merenung Wardina dengan tajam. Apa pasallah singkat sangat kepala otak budak ni? Ada ke patut pinjam duit dengan ‘Along’ semata-mata nak beli novel.
“Ke... ke... kenapa? Salah ke pinjam dengan Along?” soal Wardina takut-takut. Ngeri dia melihat wajah Darwin ketika ini. Macam nak makan orang.
“Banyaklah salahnya. Awak tahukan ‘Along’ tu jenis lintah darat yang tak berperikemanusiaan. Awak tak takut ke nyawa awak melayang nanti?”
Kini giliran Wardina pula merenung Darwin dengan tajam. Dia ingat Along mana ni? Oooo.... Wardina ketawa geli hati.
“Orang cakap serius, dia boleh ketawa pulak,” sinis Darwin.
“Takpe... Along tu sayang sangat kat saya. Dia tak akan apa-apakan saya,” balas Wardina selamba.
Ada ke dalam dunia ni ‘Along’ macam tu? Mati hidup balik tak akan jumpa! Kecualilah...
“Awak ada hubungan sulit dengan dia ke?” Darwin menebak.
Wardina angguk kepala.
“Jika tidak macam mana dia nak sayang saya. Bahkan duit yang saya pinjam pun tak perlu dibayar. Malahan setiap bulan dia langgankan novel untuk saya.” Wardina mengusik.
“Apa?” Bagaikan tidak percaya Darwin mendengar kata-kata Wardina. Rupa sahaja nampak baik, tapi perangai... masya-Allah. Apa nak jadilah... dengan anak gadis zaman sekarang? Sanggup gadai body semata-mata hendak kejar kemewahan yang tidak seberapa itu.
Melihatkan Darwin seakan-akan blur dengan penjelasan Wardina, lantas Ayu membetulkan salah tanggapan pemuda tersebut. Faham benar Ayu dengan sikap Wardina yang suka mengusik orang.
“Along tu... panggilan untuk Abang Zul dialah Abang Darwin,” laung Ayu.
Darwin ketap bibirnya.
Ceh...!!! Mati-mati aku ingat dia pinjam dengan lintah darat tu. Kepala Wardina ditunjalnya kerana geram.
Ewah... ewah... dia ni! Dahlah hanya pendatang kat rumah aku. Suka-suka dia aje tolak kepala orang. Ingat tak bayar zakat ke? Penat tahu Along aku bayar zakat fitrah tiap-tiap tahun, gerutu Wardina. Wajah Darwin direnung geram.
Teman-teman Wardina masih leka mencari novel-novel yang mereka gemari. Malas nak campuri urusan Darwin dan Wardina.
“Marah ke?” Darwin bertanya apabila mata Wardina tidak lepas memandangnya. Wajah itu juga mula memerah. Menahan marah barangkali. “Atau dah terpikat dengan abang?” bisik Darwin. Sengaja ingin mengusik dan menambahkan lagi warna merah di pipi Wardina.
Wardina menahan geram di hati. Ada juga yang kena lesing kalau dia kurang sabar nanti.
Hahaha... sikit pun tak hairan! Bukannya kacak pun!” balas Wardina selamba. Dia menyertai rakan-rakannya memilih novel.
“Ada ke patut muka aku yang dah cukup handsome ni dikatanya tak kacak?!” Darwin tunjuk dirinya sendiri. “Memang ada masalah penglihatan betullah anak dara ni,” ujarnya geram. Dalam pada geram itu, dia tetap terus-terusan hendak mendekati Wardina. Entah virus apa yang menyerang hatinya pun dia tidak mengerti.
Tanpa malu Darwin duduk sekali berkumpul bersama Wardina dan rakan-rakannya. Lututnya juga sengaja dilagakan dengan lutut Wardina. Jelingan maut Wardina langsung tidak berbekas padanya. Malahan dengan bangga dia mempamerkan senyuman menawannya. Mug yang berisi Nescafe panas dan piring yang berisi kek pisang diletak di sisinya.
Buang tebiat ke apa dia ni? Dahlah kepala lutut tu besar. Buat sakit lulut aku aje terkena lutut dia yang macam bola besi kerasnya, bebel Wardina dalam hati.
Mata Darwin semakin galak merenung Wardina. Dadanya dipegang. Mengawal getaran yang hadir. Sejak tiba tengah hari tadi, dia sedaya upaya menahan dentuman kuat yang menghentak-hentak dinding dadanya. Mujur sahaja jantungnya dipagari dengan tulang rusuk. Jika tidak mahu terhumban keluar. Pasti parah jadinya. Tak pasal-pasal masuk hospital. Alamak... dah kena panahan cinta ke aku ni?!
“Abang tak ajak kawan abang minum sekali ke?” Sofina bertanya. Darwin dilihatnya seperti sedang mengelamun. Wardina pula kelihatan seperti berperang dengan perasaannya sahaja. Entah angin apalah yang sedang bertiup dalam badan temannya itu ketika ini?
Khayalan Darwin terhenti apabila ada suara yang menyapanya.
“Ha... apa dia?” tanya Darwin terpinga-pinga.
“Abang tak ajak kawan abang minum sekali?” Ulang Sofina kembali.
“Biarlah dia tidur. Buat ganggu ketenteraman awam aje nanti jika dia bangun.” Bagus juga Kamal Basha tidur lena-lena. Boleh dia bersembang dan main-main mata dengan Wardina dan kawan-kawannya tanpa sebarang gangguan.
“Kenapa? Kawan abang tu ahli kumpulan militan atau orang gila ke?” tanya Ila perlahan.
Belum sempat Darwin bersuara, seorang lagi kawan Wardina menyampuk.
“Hah? Biar betul abang? Dah tahu dia macam tu, kenapa bawa ke mari? Membahayakan nyawa kami ajelah. Jangan-jangan abang pun salah seorang daripada mereka tak?” serkap Sofina.
“Hesy... mulut tu! Abang cili karang baru tahu. Abang ni keturunan baik-baik. Dia tu aje yang tak berapa nak baik.”
“Amboi, mulut kau! Kalau dapat mengutuk aku bukan main lagi ya?” perli Kamal Basha dengan perasaan bengang.
Darwin hanya mempamerkan riak selamba. Mug yang berisi Nescafe panas diteguknya perlahan-lahan.
Mulut Ayu, Ila dan Sofina mula melopong. Kacaknya...
Tapi kurang tiga puluh peratus daripada Abang Darwin, sebab rambut kerinting. Tak minat! Gumam Sofina.
Alahai... Si Sofina ni! Tak habis-habis menjadi penganalisa.
“Ini semua siapa? Kawan Dina ya?” Kamal Basha bertanya. Bunyi kecoh di luar bilik membuatkan dia terjaga dari lenanya.
“Ya!” Jawab mereka bertiga hampir serentak sambil tersenyum cantik.
Amboi... amboi... mereka ni! Buat rumah aku macam mereka pulak yang jadi tuan rumah. Dan aku pula... bagai tetamu yang tidak dialu-alukan kedatangannya, tukas Wardina dalam hatinya.
“Awal kau bangun? Kenapa tak sambung tidur lagi?” perli Darwin. “Tidur tak ingat dunia, mengalahkan aku yang bawa kereta,” sela Darwin seraya menyumbat kek pisang ke dalam mulutnya.
“Macam mana nak tidur kalau mulut kau riuh sekampung macam ayam jantan hilang bini,” tempelak Kamal Basha. Suka-suka Darwin saja memalukan dirinya di depan adik-adik remaja ini.
Dia orang pakat bertekak pulak dah! Dia orang ingat rumah aku ni gelanggang perdebatan ke apa?
“Abang Kamal nak minum? Dina boleh buatkan.” Kasihan pula dia melihat Kamal Basha yang dari tadi duk memerhati Darwin yang sedang enak meneguk minumannya.
Kamal Basha mengangguk.
 “Abang nak minum air apa?” Lembut sahaja Wardina bertanya. Silap dengar macam nak mengurat pun ada.
“Abang nak air macam lanun ni, boleh?” Kamal Basha menunjukkan air yang diminum Darwin.
“Boleh. Kejap ya.”
Sesedap rasa dia aje panggil aku lanun, Darwin menggerutu.
“Huh, mengada sungguhlah kau ni! Minum ajelah air sirap tu. Kau ingat dia tu orang gaji kat rumah kau ke, nak arah berbagai?” Darwin bersuara kurang senang.
“Dia yang mengofferkan diri, bukan aku suruh.” Kamal Basha tersenyum sinis memandang Darwin. Tak akan cemburu bro? “Tapi bagus jugakan. Jika sesuai dengan selera aku, boleh pinang buat isteri.”
Ketawa Ila, Sofina dan Ayu mendengar Darwin dan Kamal Basha bertekak. Dah macam perangai mereka empat sekawan pula.
“Abang berdua ni... tak padan dengan tua bangka. Bertekak macam budak sekolah!”
“Umur aje tua. Tapi perasaan muda lagi,” balas Darwin sambil menyudahkan minumannya.
Sakit hatinya dengan aksi Kamal Basha yang meloyakan tekak itu. Pantang nampak batang hidung perempuan cantik sikit, mulalah nak mengayat. Entah macam manalah dia boleh rapat dengan Kamal Basha, dia pun tak tahu. Padahal mereka mana pernah berlaga angin. Ada sahaja yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak. Mujurlah mereka tidak bekerja di bawah satu bumbung atau satu department. Mahu hari-hari berterbangan fail seperti ‘UFO’, dikerjakan oleh mereka jika tidak sependapat.




Tuesday 31 March 2015

TERBAIK BAGIMU


Assalamualaikum para pembaca yang disayangi sekalian. Maaf kerana terlama menyepi dan membiarkan blog ini bersawang. Selamat membaca. Semoga terhibur dengan karya yg biasa2 ini. Maaf jika byk kekurangan didlmnya :)






ASSALAMUALAIKUM...”
Bagaikan mimpi Wardina mendengar suara orang memberi salam.
“Tak akanlah budak tiga orang tu dah datang? Baru pukul berapa ni?” Wardina melihat jam yang elok tergantung di dinding rumah. Awal lagi, getus Wardina. Dia baru sahaja ingin berehat selepas pulang dari sekolah tadi.
Wardina bangun dari pembaringannya. Tudung sekolah yang berada di atas sofa terus disarungkan ke kepala. Dia tidak mahu orang tertungu-tunggu.
“Waalaikumussalam,” laung Wardina dari dalam rumah.
Tercengang dia seketika melihat dua orang lelaki di halaman rumahnya. Wow... kacaknya! Lebih tampan dan hebat daripada pelakon Korea kesayangan aku tu. Siapa lagi kalau bukan ‘si senyuman mengancam’ dan ‘si jejaka handsome’ ( Lee Min Ho dan Dennis Oh ). Panggilan unik itu Sofina yang perkenalkan. Dia sekadar mengikut sahaja.
Tapi siapakah mereka berdua ini? Buat apa di sini? Apa mahunya?
“Encik berdua cari siapa?”
“Ini rumah Zulhakimi ke?” Salah seorang daripada mereka bertanya.
“Ya...,” balas Wardina ringkas. Hatinya digamit kebimbangan yang bukan sedikit. Janganlah hendaknya terjadi apa-apa ke atas abangnya.
 “Dia ada di rumah?” tanya Darwin ramah. Matanya tidak lari dari memandang wajah comel yang masih lengkap berpakaian seragam pengawas sekolah. Cuti-cuti pun pergi sekolah ke? Ada kelas tambahan kut?! Bakal isteri siapalah gamaknya?
Wardina menghela nafas lega.
“Abang Zul tak ada. Dia belum balik kerja lagi. Tapi encik berdua ni siapa?” Wardina bertanya. Bibit curiga mula bertandang di hatinya. Sudahlah dia keseorangan di rumah. Bimbang juga dia. Maklumlah sekarang ni tengah popular dengan cerita kes culik-rogol-bunuh-bakar. Dia tidak mahu menjadi salah seorang mangsanya.
“Saya Darwin, kawan Zulhakimi. Pukul berapa dia balik kerja?” Terlupa pula Darwin yang hari ini dia mengambil cuti. Sudahlah hendak datang tidak bagi tahu ‘orang tua’ itu terlebih dahulu.
“Biasanya pukul enam atau tujuh baru sampai rumah,” balas Wardina.
Mendengar perkataan kawan, hati Wardina sedikit lega. Wajah teman-teman abangnya ditatap. Nak jemput naik ke tidak? Tapi tak akanlah hendak biarkan mereka tercongok di tengah panas pulak?! Hati Wardina berbisik serba-salah. Hailah... Dia orang ni pun satu. Time abang aku tak ada di rumah, time inilah nak datang. Hesy... menyusahkan aku betullah, gerutu Wardina sedikit geram.
“Jemputlah naik,” pelawa Wardina dengan perasaan serba-salah. Dia bimbang dengan tanggapan negatif jiran tetangga.
“Abang berdua duduk kat beranda ni ajelah dulu,” pinta Darwin sopan. Segan pula dia hendak masuk ke dalam rumah apabila melihat Wardina hanya bersendirian.
Emmm... baiklah. Abang berdua duduklah dulu ya, saya nak masuk ke dalam sekejap.” Wardina membuka kipas angin di bahagian beranda untuk keselesaan kawan-kawan abangnya sebelum masuk ke bilik. Dia ingin menukar pakaian.
Tidak lama kemudian, Wardina keluar bersama dulang yang berisi air sirap bandung, sepinggan kerepek ubi dan kek red velvet.
“Jemputlah minum,” pelawa Wardina. Dia sedikit kekok menyusun gelas minuman apabila mata Darwin tidak berganjak memerhatikan dirinya. “Mana abang yang sorang lagi?” soal Wardina bagi mengurangkan ketidakselesaannya.
Darwin mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Melawat kawasan agaknya,” jawab Darwin selamba kemudiannya. Gadis yang berada di hadapannya ditilik semahunya.
Tadi pakai baju sekolah, comel. Pakai baju biasa, nampak cunlah pulak! Mesti dah ada boyfriend, bisik hati Darwin. Budak sekolah sekarang bukannya boleh percaya sangat. Pantang nampak anak dara cantik sikit, terus keluar ayat jiwang-jiwang. Tak padan dengan makan minum mak bapak yang tanggung, bebel Darwin dalam hatinya. Entah wabak apalah yang sedang menular dalam dirinya. Virus cemburu kut?!
Wardina mempamerkan riak blurnya. Melawat kawasan? Calon wakil rakyat ke? Getus Wardina. Wah... muda-muda lagi dah nak masuk bertanding pilihan raya! Hebat! Kagum Wardina dibuatnya.
“Nama siapa?” Darwin memulakan sesi perkenalan. Muka Wardina direnung tanpa rasa bersalah. Dah tahu nama abang, tak akan tak nak ambil tahu nama adiknya pula.
“Abang tanya nama saya ke?” Wardina tuding jari ke arah wajahnya.
“Taklah! Abang tanya nama orang yang duduk dekat rumah belakang,” balas Darwin selamba.
Wardina menarik muka empat belas. Panjang muncungnya. Penat kayuh basikal belum hilang lagi, dah ada pula yang buat lawak bodoh antarabangsa dengannya. Sudahlah Abang Zulhakiminya masih lambat lagi hendak pulang dari kerja. Kena pulak dia melayan kerenah sahabat abangnya yang tidak berapa nak betul ini. Hesy... kenapalah time abang aku kerja, korang datang? Kelmarin cuti hujung minggu kenapa tak nak datang? Keluh Wardina dalam hati.
Hampir terburai tawa Darwin melihat wajah kelat itu.
“Tentulah abang tanya nama awak. Awak aje yang ada kat sini, kan?” Wajah Wardina yang sedang menahan marah menarik minatnya. Makin marah makin lawalah pulak!
“Oh! Nama kawan Wardina.”
Owhh... kalau nama kawan, Wardina. Nama awak siapa?” Sengaja Darwin mengusik Wardina.
“Itu nama orang la...” Wardina sudah mengetap bibirnya menahan geram.
“Abang tahulah itu nama orang. Mana ada orang letak nama lembu atau kambing dengan nama Wardina.” Entah mengapa timbul satu keseronokan dalam diri Darwin dapat mengusik gadis manis bernama Wardina itu.
Wardina menuntas pandangan ke raut wajah Darwin. Kejap ke atas dan kejap ke bawah berulang kali. Kecik-besar... kecik-besar... saja dia melihat lelaki itu. Ingin sahaja dia menelan lelaki itu hidup-hidup. Geramnya bila terasa dipermain-mainkan.
“Nama saya Nur Wardina binti Zulfadli. Umur saya sembilan belas tahun dan baru satu jam yang lalu tamat peperiksaan STPM. Ayah saya bernama Zulfadli bin Abdul Aziz dan emak saya bernama Wahida binti Mahad. Mempunyai seorang abang yang kacak dan tampan bernama Muhammad Zulhakimi. Puas hati?” Senafas ayat-ayat itu meluncur dari bibir Wardina.
Mak aii... garang juga minah ni. Tapi aku suka. Darwin tersengih nakal.
“Nama abang yang kacak ni Darwin Oh. Kembar seiras dengan Dennis Oh. Kami ni lain mak dan juga ayah. Umur dua puluh tujuh tahun. Baru beberapa bulan yang lalu tamat belajar. Sekarang... bekerja sebagai kuli di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Anak tunggal. Nama ayah Suffian dan nama ibu pula Atifah.” Darwin mengajuk kembali kata-kata Wardina. “Emmm... kawan abang yang tak berapa nak kacak tu namanya Kamal Basha.”
Wardina mengherotkan bibirnya tanda menyampah. Tidak kuasa dia hendak melayan lelaki yang tidak berapa nak betul otaknya itu. Mata Wardina mencari kawan Darwin yang seorang lagi. Lelaki itu kelihatannya sangat baik. Tidak seperti yang berada di hadapannya ini. Banyak cakap dan banyak jugak cekadaknya!
Tawa Darwin meletus dengan aksi spontan Wardina. Kelakar juga minah ni. Kuat merajuk! Suka melawan! Banyak cakap! Menarik... Ini kalau jadi isteri aku ni, mahunya kena cium setiap masa jika asyik buat aksi menggoda macam tu, bisik hati Darwin nakal. Alamak... Termenggatal la pulak. Kalau dia dapat baca fikiran aku, mampus!
“Apa ketawa-ketawa?” soal Wardina garang. “Saya ada buat lawak ke?” tanya Wardina geram.
Darwin hanya menggeleng. Namun senyumannya masih belum sirna di bibir.
Enggan melayan kerenah kawan abangnya, Wardina berlalu ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari buat teman-teman abangnya itu. Entah apa tujuan mereka datang ke mari, Wardina tidak tahu. Apa yang dia tahu, salah seorang kawan abangnya itu,  amat menyusahkan dirinya.



ERR... adik. Tandas mana?”
Wardina menoleh untuk melihat siapakah gerangannya hamba Allah yang sopan lagi santun itu. Anak siapalah agaknya? Dah berpunya ke belum? Amboi... gatal!
“Tandas kat belakang sana.” Wardina tuding jarinya ke arah yang dimaksudkan.
“Terima kasih.”
“Sama-sama,” jawab Wardina malu-malu. Baiknya. Tak macam mamat yang sorang tu.
Wardina segera menyiapkan hidangan tengah hari buat tetamu yang tidak diundang itu. Setelah siap menghidangkan nasi dan lauk-pauk, Wardina memanggil Darwin dan Kamal Basha untuk menjamu selera.
“Jemputlah makan.” Wardina mempelawa Darwin dan Kamal Basha.
“Tak makan sekali ke?” Darwin bertanya. Dia yakin Wardina masih belum makan tengah hari lagi.
“Abang berdua makanlah dulu,” ujar Wardina sambil menuang sirap limau ke dalam gelas.
“Sedap. Pandai Wardina masak. Ini dah boleh kahwin dah ni,” usik Kamal Basha. “Abang pun sedang mencari teman hidup,” tambahnya lagi.
“Eh, bukan ke kau dah ada Shalini?” soal Darwin selamba. Belum apa-apa lagi dah buat hal. Dia ingat kampung ni macam KL? Boleh redah sesuka hati!
“Apa salahnya ramai kawan? Dah jumpa yang betul-betul sesuai, barulah aku merangka perancangan ke peringkat seterusnya,” jawab Kamal Basha sambil meneguk minumannya.
La... sama aje perangainya! Ingatkan baik. Rupanya tadi belum panas ‘enjin’ lagi. Biang juga rupa-rupanya, gerutu Wardina.
“Abang berdua makanlah dulu ya. Saya nak solat zohor dulu.” Malas Wardina hendak melayan kerenah dua ekor ulat bulu itu. Belum pun kenal lama, dah nak membirah dengannya.
Darwin memerhati Wardina yang sudah berlalu pergi. Matanya juga menjeling Kamal Basha yang sedari tadi asyik mencuri pandang adik Zulhakimi itu. Entah apa mimpi temannya itu hendak mengikut dia berjalan kali ini, dia pun tidak tahu. Biasanya Kamal Basha tidak sudi pergi ke kampung-kampung. Kurang maju dan mundur katanya.
Darwin sebenarnya mempunyai urusan peribadi dengan Zulhakimi. Lelaki itu telah menyelamatkan nyawanya tidak lama dulu. Jika Zulhakimi terlewat barang sesaat, pasti dia sudah mati atau patah riuk akibat terjatuh ke dalam gaung semasa mengikuti ekspedisi memanjat gunung anjuran kelab sukan dan rekreasi di tempat kerjanya.
“Tekun kau tengok awek tu bro? Berkenan ke?”
“Budak sekolah lagilah Kamal.”
“Budak sekolahlah senang nak usyar beb.” Kamal Basha bersuara.
“Kau dah gila? Aku berhutang nyawa dengan abang dia, kau tahu tak? Zulhakimi sanggup bersabung nyawa hendak menyelamatkan aku, mustahil aku akan buat perkara yang tidak elok terhadap keluarga dia,” bentak Darwin. Panas hatinya mendengar kata-kata Kamal Basha yang kurang cerdik itu. Apa lagi yang Kamal Bahsa inginkan? Bukankah dia sudah punya teman wanita yang solid-molid?
“Janganlah sentap sangat! Aku bergurau ajelah. Apa ada dengan perempuan kampung macam adik penyelamat nyawa kau tu?” sindir Kamal Basha sambil tersenyum sinis. Bengang dirinya bila ditinggikan suara sebegitu.
“Kau nak bercakap pun agak-agaklah. Orang dah layan kita dengan baik, sepatutnya kita balas dengan baik juga. Bukannya jadi kacang lupakan kulit,” perli Darwin.
“Bila masa aku jadi kacang? Aku manusia normal okey,” gurau Kamal Basha. Dia tidak berhajat hendak berdebat lebih panjang dengan temannya itu.
“Hesy... kau ni! Tak faham bahasa kiasan ke?”
“Faham! Saja nak bergurau mesra dengan kau,” luah Kamal Basha sambil tertawa. “Jomlah kita sambung makan. Sedap juga budak tu masak. Aku ni bukannya gemar sangat dengan masakan kampung. Tapi okeylah masakan dia jika tekak aku ni boleh terima,” komen Kamal Basha.
Darwin menceber menyampah. Meluat sungguh dia melihat perangai Kamal Basha. Baru kaya dengan harta bapak dah berlagak. Belum lagi diri sendiri yang bergelar jutawan atau hartawan. Mahu tak kenal dari mana asalnya diri itu.