Bab
19
SALMIHA HAINI segera berlari mendapatkan pakaiannya. Macam manalah dia boleh terlupa hendak membawa pakaiannya masuk ke dalam bilik mandi tadi. Risau juga dia jika Shahrul Hairi pulang lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Sebaik saja mereka masuk ke dalam bilik hotel dan mengemas bagasi mereka, suaminya terus mandi dan bersiap. Hendak keluar bertemu rakan yang bernama Han Deok katanya kerana ada urusan penting.
“Arghhh....” Salmiha Haini menjerit
sekuat hati. Bagai hendak tercabut anak tekaknya pun ada. Jantungnya berdegup
kencang dan hendak gugur rasanya pabila terpegang benda alah yang tersorok
dalam almari pakaian tersebut. Tanpa sedar dia sudah melompat ke atas katil.
Tubuhnya menggigil ketakutan. Tangisannya juga mula bergema di bilik itu.
Shahrul
Hairi yang baru pulang dari melunaskan bayaran barang yang dikirim oleh
sahabatnya sedikit kecut perut bila terdengar bunyi tangisan yang mendayu-dayu.
“Ada
hantu ke dalam bilik ni?” Ujarnya kepada diri sendiri. “Tapi mustahillah wujud
hantu di siang hari.” Dia berkata lagi. Shahrul Hairi menelinga mencari arah
bunyi itu datang. Saat otaknya mampu berfungsi dengan baik, dia segera mencari
isterinya. Bimbang juga dia jika berlaku musibah yang tidak diingini ke atas
isterinya itu. Dia merapati tubuh yang sedang berkelubung di bawah selimut
tebal itu.
“Hei...
kenapa ni?” Soal Shahrul Hairi sambil menarik selimut yang membaluti seluruh
tubuh isterinya. Dia dapat rasakan gigilan di tubuh kecil molek itu.
Terdengar
sahaja suara Shahrul Hairi, Salmiha Haini terus mendakap erat tubuh itu. Dia
benar-benar ketakutan.
Shahrul
Hairi yang pada mulanya kaku mula membalas dakapan itu bagi meredakan ketakutan
isterinya. Ubun-ubun isterinya dikucup.
“Syyy... kenapa ni? Cuba cerita dekat
abang kenapa boleh jadi macam ni?” Pinta Shahrul Hairi lembut. Air mata yang
mengalir, disapu lembut. Kepala isterinya diusap penuh kasih sayang. Gusar juga
dia jika berlaku sesuatu yang tidak elok semasa ketiadaannya tadi.
“Aaa...
abang... dalam bilik kita ni ada orang mati dibunuh,” bisik Salmiha Haini
dengan suara tersekat-sekat. “Hani terpegang rangka orang dalam almari pakaian
tu.” Lurus jari telunjuk Salmiha Haini menunjukkan arahnya. Suaranya jelas
ketakutan.
Shahrul
Hairi yang pada mulanya tercengang, mengeluh tanpa sedar kemudiannya.
Disebabkan barang yang dipesan oleh Khairul, isterinya diselubungi ketakutan
yang bukan kepalang. Hendak ketawa pun ada, melihat betapa penakutnya Salmiha
Haini.
“Syyy... jangan takut. Itu bukannya
rangka manusia yang mati dibunuh tapi arca rangka manusia. Kawan abang kirim
tempoh hari. Jadi abang suruh Mr. Han
Deok tolong simpan dalam almari tu. Kalau honey
nak tahu, Mr. Han Deok jugalah yang
tolong tempahkan bilik hotel ini untuk kita,” ujar Shahrul Hairi bagi
mengurangkan ketakutan isterinya. Tangannya membelai lembut tubuh itu. Bahu
yang sedia terdedah itu dikucup lembut.
Salmiha
Haini mengetap bibirnya. Disebabkan benda alah yang bodoh itu dia menangis
ketakutan. Wajahnya dirapatkan ke dada bagi menyembunyikan perasaan malu yang sedang
berleluasa.
Shahrul
Hairi mengangkat wajah Salmiha Haini. Kesan air mata yang masih kelihatan
diseka. Bibir Salmiha Haini yang berketap rapat, ditarik perlahan-lahan.
Bimbang bakal mencederakan bibir yang terbentuk cantik itu. Ulas bibir itu
dielusnya. Tatkala pandangan mata mereka bersabung, perasaan halus mengalir
dalam tubuh Shahrul Hairi. Dia semakin terpikat dan terpesona. Mata Salmiha
Haini yang bundar dan cantik itu dikucup sebelum beralih ke pipi. Kemudian
bibir yang basah lagi menggiurkan itu menjadi singgahan terakhirnya. Lama
bibirnya berdiam di situ.
“Honey...,” panggil Shahrul Hairi dengan
suara yang sensual.
“Hmmm...,” sahut Salmiha Haini perlahan.
Sentuhan demi sentuhan menghadirkan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan
dengan kata-kata.
Sahutan
lembut itu membuai jiwa Shahrul Hairi dan dia semakin tergoda.
“Abang
sayang dan cintakan honey. Dah lama
abang pendamkan perasaan ini. Abang risau sebenarnya andai abang hanya bertepuk
sebelah tangan selama ini.” Shahrul Hairi meluahkan rasa hatinya. Tenang rasa
jiwanya saat mengungkapkan kata-kata keramat itu.
Luahan
berani mati Shahrul Hairi membuatkan jantung Salmiha Haini semakin lari dari
temponya. Antara percaya dengan tidak sahaja ketika mendengar ucapan suaminya
itu. Namun... hatinya berlagu riang ketika ini. Sangkanya dia hanya bertepuk
sebelah tangan dan syok sendiri selama ini. Rupanya dia tersilap. Suaminya juga
turut merasa perasaan yang sama.
“Honey... adakah honey juga berperasaan seperti abang?” Tanya Shahrul Hairi lembut.
Jermarinya mengelus lembut pipi Salmiha Haini. Matanya sedikit pun tidak
berganjak dari menatap wajah ayu itu.
“Hah?”
Hanya itu yang mampu keluar dari mulut Salmiha Haini. Dia memandang wajah
Shahrul Hairi seketika sebelum menyembunyikan kembali wajahnya. Pakuan mata
Shahrul Hairi yang menikam anak matanya membuatkan dia tidak keruan. Apa yang
mampu dia lakukan hanya menunduk dan memandang selimut yang membaluti tubuhnya.
Tidak terdaya dia hendak menentang renungan yang menusuk kalbu itu.
Jemari
Shahrul Hairi mengangkat lembut wajah Salmiha Haini.
“Abang
mahu kita jadi suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya dan bukan sekadar
di atas kertas sahaja,” bicara Shahrul Hairi dengan romantis.
Salmiha
Haini hanya diam kaku mendengar luahan rasa Shahrul Hairi. Tiada apa yang perlu
diucapkan atau ditanyakan lagi kerana Shahrul Hairi sudah menjelaskan
segalanya. Sebaik sahaja Shahrul Hairi menjatuhkan tubuhnya ke atas tilam,
jantung Salmiha Haini bagaikan rebana yang dipalu hebat. Dia tahu apa yang
Shahrul Hairi mahukan darinya. Akhirnya dia pasrah dan membiarkan sahaja
Shahrul Hairi mengemudi arah hidupnya.
“HONEY...
bangun!” Shahrul Hairi mengucup lembut bahu isterinya. Tangannya juga menguis
rambut yang menutupi wajah Salmiha Haini. Wajah kekasih hati dunia akhiratnya
itu ditatap dengan penuh kasih sayang.
Bulat
mata Salmiha Haini menatap wajah Shahrul Hairi yang begitu hampir dengan
dirinya. Terasa malu pun ada. Kononnya dia sekadar ingin berbaring bagi
merehatkan badan, alih-alih dia turut mengikut rentak suaminya membuat tahi
mata.
“Honey pergi mandi dulu ya. Sekejap lagi
kita keluar makan,” tutur Shahrul Hairi lembut. Namun sebelah tangannya masih
belum dirungkaikan dari pinggang isterinya. Melihat Salmiha Haini menggeliat,
dia semakin mengeratkan pelukan. Dia benar-benar berasa gembira dan bahagia
ketika ini. Balasan cinta dan kasih sayang yang diterima, membuatkan dia
merasakan dialah lelaki yang paling beruntung di dunia.
“Macam
mana Hani nak bangun kalau abang dah peluk kemas camni?”
Kedengaran
manja sekali suara itu di halwa telinga Shahrul Hairi. Terasa sayang pula dia
hendak melepaskan isterinya pergi.
“Abang...,”
rengek Salmiha Haini sambil cuba melepaskan dirinya.
“Sekejaplah!
Abang belum puas peluk honey lagi.”
Hesy...
suami aku ni! Tadi dia juga yang kejutkan suruh bangun dan mandi. Kini lain
pula jadinya, bebel Salmiha Haini dalam hati.
“Sekejap
aje tau!” Salmiha Haini memberi amaran kepada suaminya. Dia pun suka
sebenarnya! Siapa yang tak happy
dapat bermanja dengan suami tercinta!
“Emmm....,” balas Shahrul Hairi.
Pelukannya semakin dieratkan.
Sekejap
yang dimaksudkan Shahrul Hairi telah berlanjutan hampir dua jam. Salmiha Haini
sudah tidak sanggup lagi berlingkar manja dengan suaminya. Mahu terbabas waktu
makan mereka sekiranya dia terus hanyut dengan permainan Shahrul Hairi. Tangannya
menepuk lembut lengan suaminya. Wajah Shahrul Hairi menjadi tatapannya. Melihat
senyuman nakal yang menghiasi bibir suaminya membuatkan dia terasa hendak
berlakon pengsan sahaja ketika ini.
“Sorry... kerana terpaksa kerja lebih
masa sekali lagi,” bisik Shahrul Hairi dengan nakalnya. “Terima kasih kerana
membahagiakan hidup abang.” Senyuman menawan tidak lekang di bibirnya.
“Abang!!!”
Lengan Shahrul Hairi dicubit geram. Mukanya sudah merah menahan malu. Mengada-ngada
sungguhlah laki aku ni! Suka cakap merapu, bisik hati Salmiha Haini. “Dah...
lepaskan Hani! Hani nak pergi mandi. Perut pun dah mula terasa lapar,” omel
Salmiha Haini pura-pura marah. Tangannya segera menolak lengan sasa Shahrul
Hairi.
Shahrul
Hairi bangun. Tubuh Salmiha Haini dicempungnya.
Terkejut
Salmiha Haini dengan tindakan Shahrul Hairi.
“Eh!
Abang nak buat apa ni?” Salmiha Haini sudah meronta untuk melepaskan diri.
“Tadi
kata nak mandi. Kita mandi sama-samanya ya.” Cempungannya dikemaskan lagi
bimbang isterinya terjatuh.
“Abang...
janganlah buat macam ni!” Pinta Salmiha Haini. Perasaan malu yang mengepung
diri usah diceritakan lagi. Gila apa nak mandi berdua!
“Jangan
buat macam apa?” Soal Shahrul Hairi. Keningnya dijungkitkan.
“Abang...
turunkanlah Hani.”
“Sebab
apa nak kena turunkan honey?” Shahrul
Hairi terus-terusan mengusik.
Salmiha
Haini garu kepala mencari idea.
“Errr... kalau abang nak mandi, abang
pergilah mandi dulu. Biar Hani mandi kemudian.” Wajahnya sudah membahang ketika
ini.
“Kenapa
abang perlu mandi dulu? Kenapa tak boleh mandi bersama?” Sengaja Shahrul Hairi
menyakat isterinya. Keadaan isterinya yang malu-malu membuatkan dia semakin
galak hendak mengusik.
“Errr... belum masanya lagi.”
“Emmm... bila masanya tu?”
Adoi...
banyaknya tanya! Bagi sebijik karang
baru tahu, gerutu Salmiha Haini geram.
“Errr... tunggu balik Malaysia.”
Shahrul
Hairi tersenyum menawan. Riak Salmiha Haini yang malu-malu sangat mencuit
hatinya.
“Okey...
abang akan tuntut janji honey bila
kita sampai di rumah nanti. Jangan buat-buat lupa pula ya,” pesan Shahrul Hairi
sambil mencium pipi mulus isterinya. “Sekarang abang lepaskan honey!” Ujar Shahrul Hairi. Tubuh
Salmiha Haini diturunkannya. “Cepat beredar dari sini segera, sebelum abang
tukar fikiran,” ugut Shahrul Hairi.
Niat
asalnya hendak membawa Salmiha Haini keluar bersiar-siar menikmati pemandangan
indah negara orang selepas merehatkan badan barang sejam dua. Tetapi tidak pula
dia menyangka hasratnya itu telah bertukar kepada sesuatu yang indah, hangat,
dan membarakan lagi perasaan cintanya terhadap Salmiha Haini.
Salmiha
Haini menjeling geram. Sakit hatinya mendengar usikan nakal suaminya. Segera
dia berlari menuju ke bilik mandi pabila terlihat Shahrul Hairi berura-ura
hendak menangkapnya semula.
Tawa
Shahrul Hairi memenuhi segenap ruang bilik hotel itu. Dia bangun dan mengemas
katil yang menjadi saksi cinta mereka bersemi. Getaran halus menyelinap dalam
jiwa Shahrul Hairi saat pandangan matanya menjamu sesuatu yang berharga
tinggalan Salmiha Haini. Shahrul Hairi benar-benar bersyukur kepada TUHAN
kerana menemukan dia dengan gadis yang masih suci lagi murni.
“Terima
kasih... honey!” Kini dia mengikat
janji ikrar dengan dirinya akan senantiasa setia dan menjaga cintanya hanya
untuk isteri kesayangannya itu sahaja. Cintanya kini adalah milik mutlak gadis
bernama Salmiha Haini dan tiada yang lain. Opps...
bukan gadis lagi, hatinya berbisik nakal. Telefon bimbitnya diambil, waktu yang
tertera di skrin tersebut diperhatikannya. La... dah masuk waktu makan tengah
hari rupanya. Patutlah lapar bukan main.
SHAHRUL HAIRI
tersengih di dalam bilik mandi mendengarkan suara gemersik isterinya. Boleh
bawa pergi karaoke ni! Mesti Max jeles
habis nanti! Dia bercadang hendak berterus terang dengan sahabatnya, malam ini.
Dia tidak mahu teman baiknya itu terus memburu dan mengharapkan Salmiha Haini.
Salmiha Haini adalah miliknya dan tidak boleh dikongsi dengan lelaki lain. Dia
sama sekali tidak akan benarkannya.
Teringat
kejadian yang berlaku sepanjang hari ini, Shahrul Hairi tersenyum senget. Hotel
Ramada Songdo menjadi saksi penyatuan dua hati… dua jiwa… Memang mereka
betul-betul berbulan madu di bumi Korea ini. Keluar pun hanya seketika, untuk
mengisi kantung perut. Selebihnya mereka hanya duduk berkurung di dalam bilik.
Syoknya
kalau dapat anak secepat yang mungkin. Anak made
in Korea, bisik hati kecil Shahrul Hairi. Dia sudah tidak sabar hendak
menjadi seorang ayah dan punya anak yang ramai. Harap-harap Salmiha Haini juga
sepertinya.
Salmiha
Haini membuang pandang ke luar tingkap sementara menunggu suaminya usai mandi.
Lagu Cahaya Cinta, nyanyian Datin Seri Siti Nurhaliza meniti di bibirnya.
“Sayangi
daku... Peluklah daku... Janji denganku... Semai cinta nan satu...” Matanya
juga begitu ralit menyaksikan keindahan bumi Korea Selatan. Simbahan cahaya
lampu yang menerangi suasana senja begitu mempesonakan. Sungguh cantik! Dan
langsung tidak ada bezanya dengan Kuala Lumpur. Rindu rasanya dengan tanah air
tercinta.
Huwaa...
rindunya nak makan nasi lemak dan roti canai! Baru duduk sehari kat negara
orang dan macam bertahun pulak
rasanya. Mujurlah mereka berada di sini hanya sehari dua. Buat berkurun
lamanya? Mahu rentung! Sanggup dia suruh Sofea hantar makanan kegemarannya
menggunakan pos.
Terasa
ada tangan yang melingkari pinggangnya. Tahulah dia sangat siapakah gerangan
orangnya! Salmiha Haini membawa lengan sasa suaminya ke dada. Terasa bahagia
menyelubungi dirinya saat ini.
“Abang...
nak tanya satu soalan boleh?” Salmiha Haini mendongak memandang suaminya.
Kenapalah suami aku ni terlebih tinggi? Naik lenguh leher duk asyik mendongak.
“Setakat
satu soalan aje, apa ada hal? Kenapa tak kumpul dulu semua soalan cepumas tu,
kemudian barulah bertanya?” Usik Shahrul Hairi sambil tersenyum.
“Abang
ni... kalau tak mengusik satu hari boleh demam agaknya?” Perli Salmiha Haini.
Tangannya juga menampar tangan suaminya.
Ketawa
Shahrul Hairi melihat rajuk isterinya. Makin cantik pulak di matanya isteri kesayangannya itu.
“Emmm... apa dia soalannya?” Tanya
Shahrul Hairi lembut. Dahi isterinya dikecup kasih.
“Hari
tu abang kata, dari KLIA lagi abang nampak wajah mendung Hani. Bila masa abang
nampak Hani?”
“Itu
rupanya persoalan yang bersarang dalam kepala isteri abang yang jelita ni?”
Usik Shahrul Hairi lagi sambil mencuit hidung Salmiha Haini.
Salmiha
Haini membulatkan matanya. Suka benar Shahrul Hairi menyakat dirinya. Tapi hati
di dalam tiada siapa yang tahu akan kembang kuncupnya bila dipuji sebegitu.
“Emmm... honey ingat tak lagi yang honey
pernah terlanggar seorang juruterbang kacak semasa di KLIA?” Tanya Shahrul
Hairi bersama sengihan. Maklumlah puji diri sendiri. Mahu tak tersengih.
“Abang
ke orang tu?” Salmiha Haini minta kepastian. Melihat anggukan Shahrul Hairi,
dia ketawa. Sungguh tak disangka! Padahal selepas kejadian itu, sempatlah juga
dia dan Sofea mengumpat suaminya itu.
“Ini
kenapa ketawa ni?” Tanya Shahrul Hairi sambil mencekak pinggang.
“Takde apa-apalah! Cuma tak sangka orang
yang Hani langgar sudah pun menjadi suami Hani.”
“Itulah
namanya jodoh. Sejak peristiwa tu, abang langsung tak boleh lupakan honey! Dan tak sangka pulak kita dipertemukan lagi pada malam
bersejarah tu,” luah Shahrul Hairi bersama senyuman kacaknya. Yalah tu... konon
tak boleh lupa sejak bertemu di KLIA. Padahal masa kat JB lagi memang tak boleh
nak lupakan gadis bernama Salmiha Haini ini, gumam Shahrul Hairi. Biarlah
segala rahsia yang berlaku tersimpan kukuh di hati dan akan jadi memori indah
untuk dikenang hingga ke mati.
Shahrul
Hairi mengeratkan lagi dakapannya. Rambut isterinya dibelai dan ubun-ubun
isterinya dikucup berulang kali. Dia mahu Salmiha Haini tahu betapa dalamnya
cinta dia buat isterinya itu.
Bunyi
telefon bimbitnya membuatkan Shahrul Hairi melepaskan dakapannya. Dia segera
mencapai telefon bimbitnya itu. Melihat nama Max, badannya serasa seram sejuk.
Terasa kasihan pun ada dengan kawan baiknya itu. Bagaimanalah nanti penerimaan
teman rapatnya itu.
“Emmm... ada apa Max?”
“Kau
kat mana? Dari semalam lagi aku tak nampak?”
“Mana
ada semalamnya! Pukul 6.30 pagi tadi kita sampai. Sekarang baru pukul 7.45
minit malam. Baru tiga belas jam kau tak nampak batang hidung aku.”
“Kenapa
kau tak menginap sekali dengan kami semua?”
“Aku
inginkan privacylah! Tak akan itu pun
tak boleh?”
“Sejak
bila kawan aku ni pandai cari ruang untuk bersendirian? Atau... kau ada agenda
yang tersembunyi?” Sindir Max.
“Kau
jangan nak memfitnah aku ya,” tegas Shahrul Hairi.
“Errr... sorrylah! Aku tak bermaksud nak buat kau marah dan terasa hati.”
“Tak
apalah! Aku mengerti.”
“Rie...
kau ada jumpa Miha tak?” Max bertanya. Tak senang duduk dirinya bila tahu
Shahrul Hairi dan Salmiha Haini menginap di hotel lain.
“Ada
dengan aku ni. Kejap lagi kami nak keluar makan malam. Kau nak join tak?” Pelawa Shahrul Hairi. Dia
juga ingin menjelaskan hubungannya dengan Salmiha Haini kepada Max.
“Boleh
juga! Aku pun dah rindu kat dia,” jawab Max gembira. “Kat mana kita nak jumpa?”
“Kau
tunggu aku dekat Hotel New Airport je,
nanti aku ambik kau.”
“Emmm... baiklah!”
Shahrul
Hairi memandu tenang kereta milik sahabatnya, Han Deok. Hampir setengah jam
memandu mereka tiba di Hotel New Airport di Incheon. Selepas mengambil Max,
mereka menuju ke Restoran India Halal yang terletak di Itaewon.
“Honey nak makan apa?” Tanya Shahrul
Hairi perlahan.
“Nak
nasi berianilah.”
“Kau
Max?” Shahrul Hairi bertanyakan Max pula.
“Aku
pun nak nasi beriani juga,” pinta Max.
Selepas
membuat pesanan, Shahrul Hairi duduk diam sambil memerhatikan tingkah laku
temannya. Melihat keceriaan Max, serba salah dia hendak menerangkan duduk
perkara yang sebenarnya.
“Seronok
dapat berjalan ke sini, Miha?”
“Seronok
apanya? Asyik terperap dalam bilik dengan abang je!” Salmiha Haini menjeling suaminya.
Shahrul
Hairi hanya tersengih mendengar celoteh isterinya. Macam mana nak keluar
berjalan jika mereka asyik bergolek atas katil seharian. Kalau keluar pun
sekadar mencari tempat untuk mengisi perut.
Max
memandang wajah Salmiha Haini dan Shahrul Hairi silih berganti. Hatinya digamit
rasa tidak enak.
“Ada
sesuatu yang cuba kau nak bagi tahu kat aku ke Rie?”
Shahrul
Hairi menggenggam kemas jemari Salmiha Haini yang berada di atas pahanya. Dia
cuba mencari kekuatan yang terdapat dalam diri isterinya.
Salmiha
Haini keresahan bila tersedar dia sudah terlepas cakap sebentar tadi.
Shahrul
Hairi berdehem sebelum memulakan bicara.
“Max...
aku sebenarnya nak minta maaf dengan kau. Aku tiada niat langsung hendak
menyakiti hati kau,” terang Shahrul Hairi sambil merenung sahabat baiknya itu.
Muka Max dilihatnya sudah berubah. Mungkin sedang menahan marah, barangkali.
“Salmiha
Haini adalah isteri aku!”
Ayat
yang baru keluar dari mulut Shahrul Hairi bagaikan belati menikam perit hingga
ke jantungnya. Max benar-benar tidak percaya. Tak mungkin! Mustahil! Gumam Max.
Adakah Shahrul Hairi sengaja berkata begitu? Max yakin yang temannya itu
berniat hendak merampas Salmiha Haini dari hidupnya.
“Kau
bohong, kan? Kau sengaja cakap macam tu sebab nak ambil Miha daripada aku,”
ujar Max sedikit emosi.
“Buat
apa aku nak berbohong? Tak ada faedah yang aku dapat,” jelas Shahrul Hairi
tegas.
Shahrul
Hairi mengeluarkan surat pengesahan pernikahannya.
“Ini
buktinya!”
Max
merenung kertas putih yang berada di atas meja. Jelas kelihatan nama pasangan
itu di atasnya.
“Kenapa
kau tak berterus terang sebelum ni? Kenapa kau biarkan perasaan sayang aku
terhadap Miha tumbuh mekar?” Soal Max sedikit kesal. Sakit hatinya bila terasa
dipermainkan oleh sahabat sendiri.
“Maafkan
aku. Tiada niat di hati aku untuk berbuat demikian. Dan aku tidak menyangka
begitu cepat kau menaruh hati terhadap isteri aku. Aku ingatkan kau sekadar
main-main seperti sebelum ni,” luah Shahrul Hairi dengan sedikit penyesalan.
Salmiha
Haini hanya diam mendengar. Dia tidak mahu ikut campur perbualan antara Shahrul
Hairi dan Max.
Max
menghela nafas panjang. Dia cuba tersenyum walaupun hambar. Mungkin tiada
rezeki buatnya untuk memiliki gadis bernama Salmiha Haini ini. Mungkin jodohnya
sudah tertulis dengan gadis lain. Max cuba berfikiran positif.
Melihat
Max kembali tenang dan suaminya sudah mampu menarik nafas lega, Salmiha Haini
meminta diri ke tandas. Dia mahu dua bersahabat itu melepaskan apa yang terbuku
di hati masing-masing.
Shahrul
Hairi menghantar pergi isterinya dengan pandangan matanya sahaja.
“Tahniah!”
Kata Max sepatah. “Kiranya baru lagilah kau orang menikah?”
“Aah...
masih baru lagi,” ujar Shahrul Hairi sambil membetulkan letak duduknya.
“Sebenarnya masa kau datang rumah aku tempoh hari, aku dan dia sudah pun
menikah.” Shahrul Hairi menerangkan hal yang sebenar dan merungkai kekusutan
Max.
“Kau
nak balas dendam kat perempuan yang kau minat tu ke?”
“Balas
dendam? Apa maksud kau? Aku kurang jelas.”
“Maksud
aku, kau lepaskan kekecewaan kau dengan mengahwini Miha. Yalah, awek kau tu kan
dah kahwin dengan orang lain.”
“Taklah!
Dialah gadis yang aku cinta tu,” jelas Shahrul Hairi bersama senyuman bahagia.
Terlopong
mulut Max mendengarnya.
“Kau
biar betul?”
“Betullah!
Tak akan aku nak bohong pulak.”
Shahrul
Hairi menceritakan detik pertemuannya dengan Salmiha Haini bermula dari KLIA
hinggalah ke detik pernikahannya. Sedikit pun tidak kurang dan tertinggal.
“Kiranya
ALLAH dengar impian dan harapan kau, Rie. Aku doakan semoga kau bahagia hingga
ke Syurga,” doa Max tulus ikhlas. “Maafkan aku ya, sebab menaruh hati dekat
isteri kau. Kau pun satu! Suka sangat berahsia.”
Shahrul
Hairi hanya ketawa mendengar kata-kata Max. Lega hatinya bila Max dapat
menerima kenyataan tentang hubungannya dengan Salmiha Haini.
“Cuma
satu sahaja yang aku pinta dari kau, Max. Aku harap perkara ini menjadi rahsia
antara kita berdua dulu. Aku tak mahu Darlina ganggu isteri aku. Kau pun tahu
kan bagaimana teruknya perangai dia. Aku tak mahu dia buat perangai gilanya
seperti selalu. Aku janji... bila aku nak berhenti nanti, aku akan buat sedikit
majlis dan umumkan status aku pada kawan-kawan kita.
“Untuk
sahabat baik aku ni, aku akan lakukan apa sahaja. Dan aku akan bantu kau untuk
lindungi rumah tangga kau dari gangguan dia,” ujar Max seraya memeluk erat
tubuh Shahrul Hairi. Itulah janji seorang sahabat untuk sahabat baiknya. Dia
dan Shahrul Hairi ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakitnya.
Begitulah akrabnya persahabatan mereka. Lagi pula dia kenal benar dengan sikap
Darlina. Perempuan itu sanggup lakukan apa saja, asalkan hatinya puas dan
hidupnya senang.
Best... best...
ReplyDelete~Nin~
terima kasih Nin
DeleteBestnya
ReplyDeleteTerima kasih emyliana adlin
DeleteHAPPY SANGAT-2.
ReplyDeleteSemoga happy selalu baby mio
DeleteNak lagi...
ReplyDeleteNak lagi?
ReplyDeleteDapatkan dlm versi cetak ya