Bab
15
SHAHRUL HAIRI menarik
nafas lega bila Max mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Huru-hara
jadinya jika Max bermalam di rumahnya. Sudahlah dia tak pandai menyembunyikan
perasaan cemburu. Mahu pecah tembelangnya nanti. Dia belum bersedia hendak
membongkar statusnya buat masa ini. Lebih dia bimbangkan jika berita
pernikahannya sampai ke telinga ibunya. Pasti ibunya akan mengamuk dan
mengganggu gugat keharmonian rumah tangganya. Keadaan bertambah parah jika
Aspalela turut sama bergabung dengan ibunya. Dia tidak mahu istana cinta yang
baru dibinanya hancur lebur begitu sahaja.
Shahrul
Hairi berbaring santai di atas katil. Dia menyelak satu-persatu helaian majalah
kereta. Tiada apa yang menarik minatnya. Bunyi pintu terkuak, dia mengangkat
kepala. Senyuman nakal mula menghiasi bibirnya. Tak sabar rasanya dia hendak
melancarkan denda terhadap isterinya itu.
Melihat
Shahrul Hairi hanya memakai boxer,
Salmiha Haini tidak jadi hendak melangkah masuk ke bilik. Namun belum sempat
dia menutup daun pintu, suara Shahrul Hairi sudah kedengaran.
“You huu... nak ke mana tu? Mari sini
picit badan abang.” Itulah denda yang Shahrul Hairi fikirkan sejak tadi. Hah...
rasakan! Ada hati sangat nak melawan cakap suami.
“Kena
urut ke?” Salmiha Haini bertanya seperti orang bodoh. Kepalanya digaru tanpa
sebab.
“Yalah...
urut! Atau honey nak kita buat benda
lain? Abang on aje,” luah Shahrul
Hairi bersama sengihan nakal. Kalau Salmiha Haini hendak bermanja dan bermesra
dengannya, itu lagilah dia alu-alukan. Dengan rela hati lagi!
Hampir
tercekik Salmiha Haini dengar ayat suaminya. Gatal!
“Hesy...
mana ada! Kalau tak urut tak boleh ke? Ngantuklah!” Dalih Salmiha Haini. Dia
berusaha hendak melepaskan diri. Tak sanggup rasanya hendak menyentuh kulit
Shahrul Hairi walaupun hubungan mereka terang-terangan sudah halal.
“Ngantuk...
tak... ngantuk! Urut abang sekarang!” Arah Shahrul Hairi tegas. “Tak akan urut
abang jadi ngantuk? Tadi duduk sebelah Abang Max, segar-bugar je bijik
mata tu!” Sindir Shahrul Hairi.
Ini
macam kes nak balas dendam je sebab
aku duduk sebelah Max tadi. Alahai... nak urut ke? Aku mana biasa pegang badan
orang lelaki.
“Tak
boleh ke kalau urut tak payah tanggal baju?”
“Mana
ada orang berurut pakai baju! Tak pernah tengok orang berurut ke?” Perli
Shahrul Hairi.
Mana
mungkin tak pernah! Dia kan selalu urut nenek. Memang nenek hanya berkemban
masa berurut. Tapi itu okeylah lagi sebab nenek tu perempuan. Tapi yang ni
lelaki! Wahai... Puan Salmiha Haini ooii...!
Yang minta diurut tu, suami kau. Orang yang patut kau taat dan patuh setiap
arahannya. Salmiha Haini monolog dengan dirinya. Dengan kaki yang berat, dia
menghampiri Shahrul Hairi. Terketar-ketar jemarinya ketika hendak mendarat di
atas belakang badan suaminya.
Shahrul
Hairi tersengih melihat kegelabahan isterinya. Mujurlah Salmiha Haini tidak
terlihat sengihannya. Ini baru denda yang pertama honey. Buat hal lagi, akan ada denda kedua yang lebih dahsyat lagi,
getus Shahrul Hairi.
“Urutlah
kuat sikit! Ini macam tak makan sepuluh hari! Tak bertenaga langsung!” Rungut
Shahrul Hairi. Sengaja dia ingin mendera perasaan isterinya. Lain kali jangan
buat abang marah ya, honey sayang!
Salmiha
Haini mendengus geram. Sesuka hati Shahrul Hairi je nak mengutuknya.
“Kalau
nak urut sedap, pergilah cari tukang urut yang mahir. Saya manalah reti bab
urut-mengurut ni,” rungut Salmiha Haini sambil jemarinya lincah mengurut
belakang badan Shahrul Hairi.
Shahrul
Hairi membiarkan sahaja rungutan Salmiha Haini berlalu pergi. Dia enggan
memanjangkan perdebatan antara mereka. Sentuhan jemari runcing itu menghantar
kelegaan pada tubuh badannya.
Bunyi
telefon bimbit membuatkan Salmiha Haini tersentak. Lantas jemarinya secara
langsung berhenti mengurut. Dia kenal akan bunyi nada dering tersebut. Wajahnya
pucat serta-merta.
Melihat
Salmiha Haini seperti teragak-agak hendak menjawabnya, Shahrul Hairi bingkas
bangun. Melihat nama yang tertera, Shahrul Hairi menjeling isterinya. Tahulah
dia kenapa wajah itu bertukar pucat tidak berdarah. Perkataan ‘Pak Lang’ yang
tertera di skrin telefon bimbit itu bagaikan ‘sumpahan tujuh keturunan’ buat
isterinya.
“Honey cakap ya! Abang dah buat loudspeaker,” bisik Shahrul Hairi. Tubuh
Salmiha Haini ditarik, kemudian didudukkan atas ribanya. Tangannya merangkul
erat pinggang isterinya, menghantar kekuatan buat Salmiha Haini.
“Assalamualaikum
Pak Lang.” Salmiha Haini bersuara takut-takut.
“Ada
apa kau cari aku sampai ke rumah? Kau dah tak sabar nak cepatkan tarikhnya?”
Suara itu bertanya dengan kasar sekali.
“Bu... bukan macam tu Pak Lang.”
Terketar-ketar suara Salmiha Haini menyangkal dakwaan bapa saudaranya.
“Habis
tu kau nak suruh aku batalkan majlis tu? Begitu?” Tengking Pak Lang Yusofnya.
“Kau jangan cuba cabar kesabaran aku.”
Kesiannya
isteriku, desis Shahrul Hairi. Belakang Salmiha Haini diusap lembut. Dia mahu
Salmiha Haini tahu bahawa dia sentiasa ada di sisi untuk melindungi.
Salmiha
Haini pandang wajah suaminya. Air matanya bergenang. Dia mula merasa takut.
Bimbang Pak Langnya lakukan sesuatu yang boleh memudaratkan dirinya.
Shahrul
Hairi pantas menyeka air matanya isterinya. Tidak diizinkan air mata Salmiha
Haini menitis kerana lelaki tidak berguna itu. Bibirnya melekap kemas di pipi
Salmiha Haini. Mententeramkan!
“Sa...
saya sebenarnya dah kahwin Pak Lang,” ujar Salmiha Haini walaupun gementar.
Kehadiran Shahrul Hairi memberi sedikit semangat buatnya untuk bersuara.
Kedengaran
tawa sinis Pak Lang Yusof.
“Lelaki
bodoh mana yang sanggup terima perempuan murahan dan hina macam kau? Aku cuma
nak tolong kau bodoh!” Pak Lang Yusof menghina. “Aku tahu kau berbohong dengan
aku,” tekan Pak Lang Yusof lagi.
Terkejut
Salmiha Haini mendengarnya. Dia perempuan hina dan murahan? Siapakah manusia
yang sanggup menyebarkan kata-kata dusta dan menjatuhkan maruahnya ke tahap
paling hina itu?
Shahrul
Hairi turut terkejut mendengarnya. Matanya merenung tajam wajah Salmiha Haini.
Adakah perempuan yang dia nikahi ini sudah menjadi ‘makanan’ lelaki lain?
“Pak
Lang!” Jerit Salmiha Haini. “Saya tak sehina seperti mana yang Pak Lang
fikirkan. Selagi Islam agama saya dan selagi saya mengucap dua kalimah syahadah,
saya tak akan sekali-kali melakukan perbuatan terkutuk tu. Pak Lang tak boleh
sewenang-wenangnya menghukum saya kalau Pak Lang tak tahu dan kenal siapa saya
yang sebenarnya,” suara Salmiha Haini mulai meninggi. Dia benar-benar bengang
dengan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya. Air matanya juga menitis semakin
laju mendengar fitnah Pak Lang Yusof itu.
Shahrul
Hairi mengeratkan pelukannya. Bahu isterinya diusap penuh kasih. Dia percayakan
isterinya. Telefon bimbit yang masih melekap elok di telinga isterinya diambil.
“Assalamualaikum.
Saya Shahrul Hairi, suami Salmiha Haini.” Shahrul Hairi memperkenalkan dirinya.
Pabila tidak kedengaran suara Pak Lang Salmiha Haini, Shahrul Hairi meneruskan
kata-katanya. “Sekiranya ada apa-apa perkara yang melibatkan isteri saya, pak cik
harus merujuk kepada saya terlebih dahulu. Salmiha Haini sekarang ini, di bawah
tanggungjawab saya.” Tenang sahaja Shahrul Hairi memberikan penjelasan.
“Kau
orang ingat aku akan percaya dengan pakatan korang
semua?” Senda Pak Lang Yusof. “Jangan anggap aku akan percaya dengan lakonan korang.”
“Kami
tidak berlakon. Pak cik tentukan saja di mana kita boleh bertemu. Saya akan
bawa bukti bersama,” tegas Shahrul Hairi.
“Baik!
Esok aku mahu jumpa kau berdua dekat pejabat aku pukul sepuluh pagi.”
Belum
sempat Shahrul Hairi memberikan persetujuannya, Pak Lang Yusof sudah pun
memutuskan talian. Shahrul Hairi memandang telefon bimbit yang sudah sunyi sepi
itu sebelum meletakkannya ke sisi. Angkuh gila orang tua ni! Kutuk Shahrul
Hairi dalam hati.
“Honey jangan bimbang. Abang sentiasa ada
di belakang honey,” ujar Shahrul
Hairi sambil mengucup dahi Salmiha Haini penuh kasih. Pelukannya juga
dieratkan.
“Terima
kasih abang. Terima kasih kerana sudi bantu Hani.” Salmiha Haini membalas
pelukan Shahrul Hairi. Dia berasa sungguh selamat sekali. Terima kasih ALLAH
kerana kirimkan aku seorang suami yang baik. Mungkinkah dia pemilik tulang
rusuk itu?
“Tak
ada hal lah honey. Sudah jadi
tanggungjawab abang melindungi isteri abang ni.” Hidung Salmiha Haini dicuit
lembut. “Jomlah kita tidur, abang nak cas
tenaga. Manalah tahu esok Pak Lang
honey bukak gelanggang gusti.”
Shahrul Hairi bergurau bagi menceriakan isterinya.
Ketawa
Salmiha Haini mendengar kata-kata suaminya.
Seperti
semalam, lengan Shahrul Hairi menjadi alas tidurnya. Itu adalah permintaan
Shahrul Hairi sendiri. Shahrul Hairi juga inginkan kucupan sayang sewaktu
bangun dari tidur dan sebelum tidur. Bagi Salmiha Haini, itu tidak mendatangkan
masalah buat dirinya bahkan dia suka dimanjakan seperti itu.
“Honey tak takut ke kalau dia mengaum
macam singa esok?” Shahrul Hairi bertanya dengan nada serius. Dia ingin lihat
reaksi gadis kesayangannya itu. Selebihnya dia ingin mengusik dan bermanja
dengan isterinya.
“Abang...
jangan nak takut-takutkan Hani, ya! Lagipun apa gunanya ada suami yang berbadan
sasa macam abang? Atau suami Hani ni sebenarnya yang penakut?” Usik Salmiha
Haini. Rasanya dia sudah makin serasi dengan Shahrul Hairi.
“Eh!
Mana ada abang penakut. Pandai aje honey
mengata abang.” Shahrul Hairi menarik geram hidung Salmiha Haini.
“Abang
sakitlah!” Salmiha Haini menepis tangan suaminya. “Jomlah kita tidur. Esok
lambat pulak jumpa Pak Lang.”
“Nanti
mengamuk pulak singa lapar tu,”
tambah Shahrul Hairi.
Akhirnya
bergema tawa mereka. Salmiha Haini berdoa agar semuanya baik-baik belaka esok
hari. Sebelum ini bukan main berani lagi dia hendak bersemuka. Baru kena jerkah
sikit, dah habis kecut segala isi perut. Mujur ada abang kacak.
SEPULUH PAGI
Salmiha Haini dan Shahrul Hairi sudah berada di pejabat Pak Lang Yusof. Di
tangan Shahrul Hairi terdapat gambar perkahwinan dan surat perakuan nikah
mereka. Salmiha Haini dan Shahrul Hairi menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Namun huluran tangan mereka hanya dipandang sepi.
Shahrul
Hairi memandang geram wajah Pak Lang isterinya. Macamlah mereka datang nak
minta sedekah. Sombong yang amat. Ikutkan hati mudanya mahu aje dia membasuh
otak lelaki tua itu. Tapi demi menjaga hati dan perasaan isteri kesayangannya,
disabarkan jua hatinya.
Salmiha
Haini menghela nafas. Segan sungguh dirinya dengan perlakuan biadab bapa
saudaranya itu. Entah apa persepsi Shahrul Hairi terhadap bapa saudaranya itu.
“Mana
buktinya? Aku nak tengok.” Pak Lang Yusof memandang dengan wajah garang.
Shahrul
Hairi mengeluarkan album yang mengandungi gambar perkahwinan mereka dari beg
sandangnya. Surat perakuan nikah mereka juga dihulurnya.
“Saya
hanya boleh bagi surat perakuan nikah sementara kami dulu, sijil nikah belum
dikeluarkan lagi,” terang Shahrul Hairi sambil merenung wajah Pak Lang Salmiha
Haini. Dia sedikit pun tidak berasa gentar. Buatlah muka garang ke, muka bengis
ke... dia sikit pun tak takut. Ada yang lebih berkuasa lagi dalam dunia ini.
Salmiha
Haini hanya mendiamkan diri. Dia sendiri telah melantik Shahrul Hairi sebagai
jurucakapnya. Selebihnya dia sudah terlalu letih melayani kerenah Pak Lang
Yusof.
Rahang
Pak Lang Yusof bergerak-gerak menahan marah. Dia memandang wajah-wajah di
hadapannya dengan pandangan yang dingin. Pantang baginya jika ada yang berani
melawan kehendaknya.
Salmiha
Haini menggenggam erat jemari suaminya. Dia jadi takut melihat raut wajah bapa
saudaranya itu. Lelaki itu kelihatan bengis sekali.
Shahrul
Hairi membalas genggaman isterinya. Jemari itu diusap lembut sebelum dibawa ke
bibir tanda memujuk.
“Kau
berdua dah hancurkan impian aku. Kau berdua dah musnahkan hasrat aku untuk meluaskan empayar perniagaan aku. Kau berdua
dah ranapkan cita-cita aku.” Melengking suara Pak Lang Yusof di kamar kerjanya.
Matanya juga sakit melihat aksi mesra pasangan suami isteri itu. Tindakan
Salmiha Haini yang membelakangkan dirinya benar-benar buatnya naik angin.
Salmiha
Haini menelan air liur berulang kali. Ngeri dia memikirkan apa yang akan
berlaku sekiranya dia hadir seorang diri menemui Pak Lang Yusof. Pasti dirinya
sudah di tangan-tangankan.
Shahrul
Hairi tertawa sinis. Meluat dia melihat telatah bapa saudara isterinya itu.
“Jadi
pak cik nak jual anak saudara pak cik semata-mata ingin penuhkan impian pak
cik, begitu?” Shahrul Hairi sedikit berang. “Pak cik bagi tahu saja berapa
jumlahnya dan saya akan bayar. Tapi ingat! Jangan sesekali pak cik berani
sentuh isteri saya lagi.”
Pak
Lang Yusof ketawa. Jengkel! Penampilan Shahrul Hairi dipandang atas bawah.
Gelak Pak Lang Yusof sangat-sangat menyeramkan
Salmiha Haini. Meremang bulu romanya. Hilai tawa Pak Lang Yusof tak ubah
seperti orang gila.
“Apa? Kau mampu ke penuhi impian
aku, anak muda?” Tanya Pak Lang Yusof dengan lagaknya.
Melotot Salmiha Haini memandang bapa
saudaranya yang sombong itu. Mahu saja Salmiha Haini bagi penampar Jepun ke
muka orang tua tak sedar diri itu.
“Demi
isteri saya yang tercinta. Saya sanggup lakukan apa saja,” jelas Shahrul Hairi
tenang. Senyuman juga tidak lekang di bibirnya.
Salmiha
Haini pandang wajah Shahrul Hairi pula. Dia bagaikan tidak percaya dengan
kata-kata yang baru terluncur dari mulut lelaki itu. Bukan sebab suaminya
sanggup lakukan apa saja untuk dirinya. Tetapi perkataan ‘demi isteri
tercinta!’ Apakah pendengarannya sudah rosak atau telinganya sedang tersumbat?
Salmiha Haini mengorek telinganya dengan jari. Menyesal pulak dia tak mintak putik kapas atau pengorek telinga besi pagi
tadi dekat Shahrul Hairi. Maklumlah dah seminggu tak korek telinga. Mesti penuh
dengan emas dan intan berlian di dalamnya. Itu yang terdengar ayat merapu-rapu.
“Honey buat apa tu?” Bisik Shahrul Hairi.
Kelakar pulak dia melihat aksi
isterinya. Agaknya Salmiha Haini tidak mempercayai ayat cintanya itu.
“Haaaa...?” Alamak... kantoilah pulak! Dia perasan ke aku tengah korek lombong emas tadi? “Tak buat
apa-apa! Telinga ni tiba-tiba terasa gatal,” bohong Salmiha Haini.
Sekali-sekala bohong sunat takpe kut!
Jangan berkali-kali sudahlah! Tapi... ada ke istilah bohong sunat ni? Hmmm... hentam ajelah.
Shahrul Hairi tertawa kecil
mendengar alasan isterinya. Nak cover
malulah tu.
Cerlungan
mata Pak Lang Yusof membuatkan Salmiha Haini diam kaku. Lagak gadis Melayu
terakhir kembali beraksi dalam dirinya. Duduknya sopan dan tingkah lakunya juga
tertib.
“Kalau
aku minta satu juta, kau sanggup penuhi?” Tanya Pak Lang Yusof lagi. Dia
tahu... lelaki yang mengaku sebagai suami anak saudaranya, tidak mampu
menyediakan wang sebanyak itu.
Shahrul
Hairi terus membuka beg sandangnya. Dia mengeluarkan buku cek miliknya dan
ingin mencatatkan nilai yang dikehendaki Pak Lang isterinya. Namun perbuatannya
terhenti pabila ada tangan kecil lagi comel menghalangnya.
“Abang
nak buat apa?” Bisik Salmiha Haini.
Shahrul
Hairi renung wajah isterinya. Kurang mengerti dengan tindakan Salmiha Haini
yang menghalangnya.
“Pak
Lang... bagi kami masa lima minit. Kami nak berbincang!” Pinta Salmiha Haini.
Lantas tangan Shahrul Hairi ditarik. Salmiha Haini mencari tempat yang agak
tersorok untuk berbincang dengan suaminya.
“Dia
tu dah gila! Yang abang ikut jadi gila macam dia buat apa? Tak perlu abang buat
semua ni untuk Hani,” jelas Salmiha Haini.
“Abang
hanya nak lepaskan honey dari
cengkaman dia. Abang nak bebaskan honey
dari terus menjadi mangsa kerakusan duniawinya.”
Salmiha
Haini menarik nafas panjang mendengar ucapan suaminya.
“Abang...
abang tak perlu nak keluarkan wang sebanyak itu semata-mata nak bebaskan Hani
dari cengkaman Pak Lang. Apa yang abang buat semua ni tak berbaloi dan hanya
merugikan abang. Abang simpanlah duit abang tu. Biar Hani fikirkan caranya
nanti. Tak pun demi memuaskan kehendak Pak Lang...” Salmiha Haini berhenti
bersuara dan merenung mata Shahrul Hairi dengan pandangan sayu. Mampukah dia
melontarkan kata-kata itu.
Jantung
Shahrul Hairi mula berdegup kencang. Dia bagaikan tahu ayat yang bakal keluar
dari mulut comel isterinya itu. Lantas kepalanya digelengkan. Mulut isterinya
ditekup lembut.
“Abang
tak mahu dengar apa-apa,” tegas Shahrul Hairi. Dia menarik tangan Salmiha Haini
dan mengajaknya beredar.
Salmiha
Haini keras membatu. Dia sudah kembali dengan perangainya yang tidak mendengar
cakap.
“Perbuatan
abang hanya menguntungkan sebelah pihak aje. Abang dan Hani akan rugi tahu tak?
Pak Lang Yusof tak akan puas dan tak pernah puas!” Jelas Salmiha Haini dengan
mata berkaca.
“Syarikat
ni sebenarnya milik arwah papa Hani. Tapi disebabkan nak hidup bebas dari
cengkamannya, Hani sanggup lepaskan semuanya kepada dia. Lagi pula katanya, dia
yang penat mengusahakan syarikat ini setelah papa meninggal.”
Bagaikan
tidak percaya Shahrul Hairi mendengarnya. Kiranya Salmiha Haini bukan
calang-calang orang juga. Syarikat Alam Maju memang terkenal dalam bidang
hartanah. Lantas tubuh langsing Salmiha Haini ditarik ke dalam pelukannya. Dia
akan lakukan apa saja, asalkan buah hatinya kembali hidup ceria.
“Abang...”
Air mata Salmiha Haini sudah menitis. Perasaan cinta dan sayang terhadap
Shahrul Hairi yang entah bila hadir, membuatkan Salmiha Haini dilanda sebak.
Shahrul
Hairi memandang wajah kesayangannya. Air mata yang mengalir diseka lembut.
“Biarlah
Hani dan Pak Lang saja yang rugi.” Salmiha Haini berkias. “Abang tak usah
keluarkan satu sen pun duit abang. Hani tahu abang banyak duit, tapi abang
gunalah duit tu untuk diri abang sendiri. Dan Hani rasa cukup sampai di sini saja
pertolongan abang!”
Terhenti
perlakuan Shahrul Hairi. Matanya merenung tajam anak mata Salmiha Haini.
“Aaa...
apa maksud honey?” Tanya Shahrul
Hairi bimbang. Janganlah apa yang berlegar di kepalanya bakal Salmiha Haini
ucapkan.
“Abang
boleh lepaskan Hani dan pergi jauh dari hidup Hani,” usai menuturkan
kata-katanya, Salmiha Haini berlalu pergi. Dia akan membuat perhitungan dengan
bapa saudaranya itu. Kini semangat juangnya melonjak tinggi. Dia akan berjuang
habis-habisan untuk membebaskan dirinya. Biar apa pun yang bakal berlaku, dia
akan kental harungi walaupun sendirian. Dia tidak mahu menyusahkan hidup
Shahrul Hairi dengan menjebak lelaki itu dalam permasalahannya. Namun genggaman
kejap Shahrul Hairi membuatkan langkahnya terhenti.
Shahrul
Hairi menarik rapat tubuh Salmiha Haini ke dalam pelukannya. Bibir Salmiha
Haini dikucup. Geram! Suka hati dia aje nak pinta perpisahan.
Tercungap-cungap
Salmiha Haini saat bibirnya dilepaskan. Anak mata Shahrul Hairi direnung tepat.
Terkejut dengan tindakan berani suaminya. Namun tiada rasa marah di hatinya.
“Abang
berkahwin bukan untuk bercerai-berai dan abang juga berkahwin bukan kerana
suka-suka. Tapi abang ikhlas memperisterikan honey kerana ALLAH. Abang ingin jadi imam buat honey dan anak-anak kita selagi
nyawa abang belum terhenti. Jadi... jangan sekali-kali honey pinta sesuatu yang tak mampu untuk abang lakukan. Duit boleh
dicari. Tapi isteri... agak susah untuk abang milikinya. Honey tahu bukan prinsip abang? Abang hanya berkahwin sekali sahaja
dalam hidup abang!” Shahrul Hairi menyeka kembali air mata yang sedang
mengalir. Dahi isterinya dikucup penuh kasih sebelum beralih ke ubun-ubun. Lama
bibirnya mendarat di situ.
Bahagia
Salmiha Haini mendengar pengakuan Shahrul Hairi. Lelaki bagaimana lagi yang
ingin dicarinya? Mampukah dia menemui lelaki sebaik suaminya ini di luar sana?
Dia berjanji akan terus kekal setia di samping Shahrul Hairi hingga ke akhir
hayat. Dia juga tidak peduli siapa Shahrul Hairi sebelum ini dan milik siapa
lelaki itu. Setelah Shahrul Hairi sah menjadi suaminya, lelaki itu hanya
miliknya dan akan dipertahankan sampai bila-bila selagi dia tidak dilemparkan
ke tepi. Lagi pula Shahrul Hairi telah memberitahunya yang dirinya masih kosong
dan belum punya siapa-siapa dalam hidup. Dia hanya perlu pegang kata-kata
suaminya itu. Dia yakin Shahrul Hairi tidak akan membohonginya.
“Dah
jangan menangis! Abang akan lakukan apa saja untuk isteri abang ni. Lepas settle semuanya ni, kita pergi shopping. Malam nanti abang nak bawa honey pergi Korea. Honeymoon!” Usik Shahrul Hairi. Melihat mata bulat Salmiha Haini,
dia ketawa. Pipi isterinya dikucup beberapa kali. Lega rasa hatinya bila tiada
lagi lukisan sendu di wajah itu.
Wajah
Shahrul Hairi ditolak lembut.
“Abang
jangan nak menggatal kat sini boleh tak? Malu kalau ada pekerja Pak Lang yang
nampak,” tegur Salmiha Haini.
Shahrul
Hairi sekadar tersengih mendengar teguran isterinya. Nak malu buat apanya? Dah
halal. Lainlah kalau mereka belum punya ikatan yang sah. Lagipun tadi, lebih
dari pipi dia dapat.
“Abang
kata apa tadi? Malam ni kita nak pergi Korea? Betul ke?” Melihat anggukan
Shahrul Hairi, Salmiha Haini jadi gelisah.
“Kenapa
muka pucat semacam aje ni? Jangan risaulah! Abang tak akan minta hak abang
selagi honey belum bersedia. Abang
saja je nak bawa isteri abang ni
makan angin. Lagipun malam nanti abang akan fly
ke Korea. Apa salahnya abang bawa isteri abang yang cantik ni sekali,” usik
Shahrul Hairi. Hidung isterinya dicuit. Setelah beberapa hari bercuti
semata-mata untuk urusan nikahnya, malam ini dia kembali bertugas. Dia akan
membawa Salmiha Haini terbang bersamanya malam ini.
Salmiha
Haini tersipu malu mendengar kata-kata Shahrul Hairi. Nampak sangat ke...
kerisauan di wajahnya?
Shahrul
Hairi menatap penuh kasih wajah isterinya. Mujurlah masih ada tempat kosong
buat isterinya. Jika tidak... memang kena tinggal jugalah isterinya malam ini.
Shahrul Hairi akan pastikan ke mana saja dia pergi, isterinya akan berada di
sampingnya.
“Kita
pergi tak lama... kan? Sebab minggu depan Hani dah mula kerja.”
Shahrul
Hairi menepuk dahinya. Langsung dia tidak teringatkan perihal kerja isterinya.
“Abang
ingatkan isteri abang ni fully housewife,”
giat Shahrul Hairi. “Beritahu abang kat mana honey bekerja. Abang nak mintak mereka bagi cuti yang panjang buat
isteri abang ni.”
Bulat
mata Salmiha Haini mendengarnya.
“Hesy...
abang ni! Abang ingat... syarikat tu abang yang punya ke? Lagipun Hani baru aje
dapat kerja kat situ. Nanti tak fasal-fasal kena buang.” Salmiha Haini mula
merajuk. Hilang seketika kisah Pak Langnya.
Mereka
berdua ni sebenarnya tak tahu yang orang tua kat dalam bilik tu dah macam
cacing kepanasan menunggu mereka.
Shahrul
Hairi garu kepala melihat rajuk isterinya. Dia perlu lakukan sesuatu. Tapi apa
dia? Dulu masa dia tetapkan tarikh untuk isterinya bekerja, dia tak tahu pun
yang Salmiha Haini bakal menjadi suri hidupnya ‘sekilat’ ini. Perancangannya
masa mereka bekerja sebumbung nanti barulah dia hendak mengayat isterinya itu.
Tak sangka pula ALLAH sudah tetapkan jodohnya dan Salmiha Haini lebih awal. Apa
pun dia bersyukur sangat-sangat kerana ALLAH makbulkan doa dan impiannya.
“Okey...
okey! Minggu depan, abang akan hantar honey
balik JB,” pujuk Shahrul Hairi. Hai... kuat merajuk sungguh sayang abang ni!
Mujurlah bila merajuk tak mintak yang pelik-pelik. Buatnya minta belanja satu
gedung membeli-belah mahu botak kepala. Tauke emas dan minyak pun boleh jatuh
miskin kalau hari-hari kena pau.
Salmiha
Haini tersenyum lebar mendengar kata-kata suaminya.
Melihat
senyuman manis yang menghiasi bibir Salmiha Haini, hati Shahrul Hairi pula
berasa sayu kerana bakal berpisah dengan isterinya. Walaupun mereka belum boleh
dianggap seperti belangkas, namun dia tidak betah andai isterinya tiada di
sisi. Lantas dia teringatkan sesuatu. Lalu senyuman kecil menghiasi bibirnya.
“Honey tunggu abang sekejap! Abang nak
pergi restroom.”
Salmiha
Haini sekadar angguk kepala.
Setelah
menyerahkan cek bernilai satu juta, mereka meninggalkan Alam Maju. Sempat juga
Shahrul Hairi meminta Pak Lang Yusof menyediakan surat hitam putih sebagai
bukti yang Pak Lang Yusof tidak akan mengganggu lagi isterinya. Dia mahu
isterinya hidup bebas dan gembira seperti orang lain.
DD tak sabar nak apa yang Encih Sharul Hairi nak buat.
ReplyDeleteBuku nak ada di pasaran ke?
Kmas
Sabar yg Kmas. Sedikit masa lg.
DeleteRasanya p2u dah buka oder tu.
Best2
ReplyDeleteTerima kasih
DeleteKak DD bestnya.
ReplyDeleteTak sabar nak peluk abam Sahrul Hairi n Salmiha Haini.
Terima kasih Raihana.
DeleteTak lama lg blh peluk ya.
terima kasih baby mio...
ReplyDeleteBlh pm akak kat fb tak?
How romantic.
ReplyDeleteI rely luv it.
Terima kasih Puteri Atilia
DeleteBestttt...
ReplyDeleteMenarik kak DD
~Nin~
Terima kasih Nin
Deletebest sgt xsbr nk pluk cium baby terbru akak.hehhehhe
ReplyDeleteTerima kasih atas sokongan.
DeleteX lama lg dh blh peluk :)