MIKHAIL
memandang Athirah seperti biasa. Seolah-olah peristiwa membaling botol pagi
tadi tidak pernah berlaku. Dia terlalu teruja hendak beregu dengan Athirah. Tidak disangka-sangka
kebijaksanaannya memerangkap Athirah membolehkan dia bergandingan dengan gadis
itu dalam pertandingan badminton ini.
Mikhail
sudah berpesan kepada urus setia pertandingan, jika giliran Athirah membuat
cabutan, balang tersebut harus ditukarkan dengan balang yang telah disediakan
olehnya. Teringat lagi Mikhail bagaimana berkerutnya dahi Athirah apabila
namanya terpilih sebagai pasangan Athirah. Macam mana namanya tidak naik?
Balang yang dipilih Athirah hanya dipenuhi namanya sahaja. Bijakkan otak jejaka
yang bernama Mikhail ni!
Athirah
memandang Mikhail dengan perasaan gementar. Dia bimbang seandainya Mikhail
melepaskan peluru kemarahan di khalayak ramai. Tidak sanggup rasanya menjadi
bahan sindiran dan herdikan Mikhail lagi. Melihat riak selamba Mikhail, hati
Athirah sedikit lega.
Mikhail
mewakili Athirah membuat cabutan undi untuk memilih pasukan lawan. Mikhail dan
Athirah akan menentang gandingan Aziz dan Salmi. Manakala Borhan dan Aisyah
pula akan menentang Shah dan Fazlina. Hax dan Aina akan menentang Nora dan
Aflahuddin.
Terpegun
Mikhail melihat ketangkasan Athirah di gelanggang. Apabila mereka bertembung
sesama sendiri ketika mengambil servis
daripada pihak lawan, berkali-kali Athirah menunduk dan memohon maaf. Tergelak
Mikhail melihat gelagat Athirah. Sudah seperti gadis Jepun aksinya. Kemenangan
akhirnya berpihak kepada dia dan Athirah. Esok merupakan acara kemuncak untuk
menentukan siapakah yang bakal bergelar juara.
Selain
badminton, ada juga acara bola tampar, bola jaring, sepak raga, bola sepak dan
tenis yang dipertandingkan. Terpulang kepada mereka hendak memilih acara apa
yang ingin mereka sertai. Gandingan antara pelajar senior dan junior bagi
kolej kediaman mereka adalah bertujuan untuk mengimarahkan lagi hubungan sesama
mereka.
Sebaik
sahaja pertandingan berakhir... Fazlina, Salmi, Aina dan Aisyah menyuruh
Athirah pergi menemui Mikhail. Mereka mahu Athirah memohon maaf daripada lelaki
itu. Malas hendak bertekak dengan kawan-kawannya, Athirah menguatkan semangat
untuk berhadapan dengan Mikhail. Bukan salah dirinya jika kepala Mikhail benjol
atau pecah sekalipun. Mulut lelaki itu terlalu celopar dan kerap kali menyakiti
hatinya. Sepatutnya Mikhail yang datang meminta maaf daripadanya.
“Assalamualaikum...
Abang Khai.” Athirah memberanikan diri.
“Hah,
awak! Nak apa lagi?” sergah Mikhail.
Kalau
aku kata nak mengurat dia, agak-agak pengsan tak mamat biul ni? Dalam pada
marahkan Mikhail, sempat juga dia membuat lawak. Bibirnya tanpa sedar mengukir
senyuman. Mendengar deheman Mikhail, Athirah kembali berpijak di bumi nyata.
“Kenapa
senyum-senyum? Awak mengutuk saya ke?” perli Mikhail. “Apa tujuan awak nak
jumpa saya ni? Cepat cakap! Saya masih banyak lagi kerja yang hendak dibuat.”
Mikhail meninggikan suaranya. Berbeza sungguh kelakuan Mikhail. Tidak seperti
di gelanggang badminton tadi.
Berlagak
sungguh mamat ni! Dia ingat aku suka sangat nak tengok muka dia. Jika tidak
kerana terpaksa dan dipaksa, tak inginnya aku hendak menjatuhkan martabat aku
ni. Bukannya aku yang bersalah pun, Athirah menggumam.
Athirah
berusaha memaniskan wajahnya. Suaranya juga cuba dialunkan selembut yang
mungkin.
“Mana
ada saya mengutuk! Saya datang nak serahkan borang ni dan minta maaf pasal kejadian
pagi tadi. Maaf ya sebab baling botol dekat Abang Khai. Saya juga nak minta
maaf sebab pijak kaki Abang Khai hari tu.” Takut-takut Athirah memohon maaf. Sebenarnya
dia bimbang jika Mikhail buat sesuatu yang tidak elok terhadapnya untuk
membalas dendam.
“Amboi,
senang-senang ya awak minta maaf selepas awak cederakan saya!” sinis Mikhail. “Tengok...
masih lagi berbekas merah dahi saya ni. Nasib baik tak benjol atau luka. Jika
tidak saya saman awak sepuluh juta,” ujar Mikhail sambil menunjukkan dahinya. “Emm... saya rasa macam nak saman
awaklah. Jika tidak... tentu awak akan buat lagi perkara yang sama. Entah-entah,
awak baling pisau pula pada saya,” gertak Mikhail.
Wajah
Athirah sudah pucat lesi. Habis kecut urat perutnya melihat ketegasan Mikhail.
Memang habislah dia kali ini!
Mikhail
sudah tidak tertahan menahan gelak melihat muka Athirah berubah pucat tidak
berdarah. Namun dia menyabarkan diri dan hatinya. Ha... tahu pun sayang takut! Sayang...
sayang juga Cik Athirah oii...!!!
Jika asyik melawan mana boleh tahan. Abang pun kena jaga air muka abang. Janganlah
kau cabar ego lelaki abang ni sayang oii!!!
Wah...
wah... Mikhail! Sejak tangkap lentok dengan Athirah sudah pandai bersayang...
berabang... ya! Mikhail tertawa sendiri memikirkan apa yang sedang bermain di
otaknya ketika ini.
Encik
Mikhail... tak ingat isteri awak ke?
Athirah
merasa pelik melihat Mikhail tertawa seorang diri. Tadi melenting bagai nak rak. Ni... dah macam orang tak siuman pula ketawa
sorang-sorang. Hisy... pelik sungguh mamat
ni! Tak akanlah kena baling botol mineral terus jadi tak betul otaknya?
“Macam
inilah, sekiranya awak nak saya maafkan awak, saya nak awak berlakon jadi kekasih
saya. Boleh?” Mikhail merenung Athirah. Dia ingin melihat reaksi gadis itu.
Apabila tiada tanda-tanda Athirah ingin bersuara, dia meneruskan kata-katanya.
“Jangan bagi tahu sesiapa tentang rancangan saya ni.” Mikhail memberi amaran.
“Ingat!
Hanya saya sahaja yang berhak menghentikan lakonan ini. Selagi saya belum beri
kata putus, selagi itulah awak kena berpacaran dengan saya dan berada di
samping saya. Awak juga tidak dibenarkan membantah setiap apa yang saya cakap
sepanjang kita menjadi pasangan kekasih. Jika tidak... saya akan saman awak lebih
daripada jumlah yang saya katakan tadi.” Mikhail sudah mempamerkan muka
seriusnya. Dia yakin Athirah akan bersetuju dengan rancangannya.
Memang
betullah skru mamat ni dah tertanggal. Macam mana ni? Nak setuju ke tidak? Buatnya
dia saman aku puluh-puluh juta macam mana? Soal Athirah kepada dirinya.
Kenapalah dia tak tuntut sepuluh ringgit atau seratus ringgit? Mampu lagilah
aku nak bayar! Ini... dah main puluh-puluh juta! Kat mana aku nak cekau duit sebanyak tu? Nak gadai tanah
kat kampung pun belum tentu cukup nak bayar saman mamat mental ni! Agaknya dia
ni adik-beradik ceti haram! Tak pun suku sakat Along! Confirm aku kena
tempah batu nisan dan keranda lepas ni!!! Athirah sudah pening kepala memikirkan permintaan
Mikhail.
“Boleh
bagi saya tempoh tak? Satu hari atau seminggu mungkin? Kalau setahun lagi
bagus! Saya nak balik dan fikir dulu.”
“Nope!!!” Mikhail sudah menggerak-gerakkan
jari telunjuknya. “Saya nak jawapannya sekarang. Seperkara lagi, saya nak awak
sentiasa bersedia bila saya perlukan awak.”
Adoi
aii...!!! Nak buat macam mana ni?
Buatnya dia suruh aku layan sampai ke tempat tidur macam mana? Matilah aku kali
ini! Bisik hati Athirah. “Jadi kekasih sahaja, kan? Tak layan hingga ke tempat
tidur, kan?” Athirah memberanikan diri bertanya.
“Kenapa?
Awak nak tidur dengan saya ke?” Mikhail bertanya kembali sambil menjungkit sebelah
keningnya.
Hisy...
mamat ni! Aku tanya dia, ada ke patut dia tanya aku balik, omel Athirah dalam hatinya.
“Jika setakat jadi kekasih saya akan pertimbangkan. Tapi kalau kena layan sampai
ke tempat tidur... maaf, saya tidak bersetuju. Sekiranya awak nak saman saya...
samanlah. Saya tak akan sama sekali menggadaikan maruah saya. Saya lebih rela
muflis di dunia daripada muflis di akhirat,” ujar Athirah tegas.
“Saya
buka suruh awak pertimbangkan tapi saya nak awak bersetuju. Faham? Tentang tidur
dengan saya tu, tunggu kita diijabkabulkan dulu.” Mikhail sudah tersengih nakal.
Huh,
gatal sungguh mamat ni! Belajar pun tak habis lagi, ada hati nak kahwin. Kalau aku...
pandai pulak dia nasihat jangan nak
menggatal dan jangan habiskan duit mak bapak. Tapi dia juga yang ajak aku menggatal.
Agaknya... macam inilah cara ketam mengajar anaknya. Dia suruh anak dia jalan
tegak tapi dia sendiri pun jalan tak betul. Athirah mengomel dalam hatinya. “Baiklah
saya bersetuju dengan cadangan awak,” kata Athirah.
“Lepas
ni, tiada perkataan saya, awak atau Abang Khai. Saya nak awak panggil saya ‘abang’
dan bahasakan diri awak ‘sayang’ supaya
orang percaya yang kita ini pasangan kekasih. Ini nombor telefon saya. Tepat
pukul sepuluh setengah malam ini, saya nak awak telefon. Nanti saya tolong top up kalau tak cukup duit. Jikalau
awak tak call... siap awak, saya
kerjakan!” Mikhail mengugut Athirah.
Athirah
memandang Mikhail dengan wajah masam mencuka. Sakit hatinya bila dipaksa buat
perkara yang dia tidak suka. Ikutkan hatinya... mahu sahaja dicencang lumat
tubuh Mikhail, biar padan muka lelaki itu.
MIKHAIL
berlalu dengan wajah ceria. Athirah ditinggalnya sendirian. Dia menghampiri
rakan-rakannya yang sedang beristirahat setelah berhempas pulas mengalahkan
pihak lawan.
“Ceria
sungguh kau, Khai! Tak macam pagi tadi, monyok,” tegur Shah. “Kalau pagi tadi...
tak boleh salah sikit mesti melenting. Sekarang ni aku tengok dah macam dapat
duit satu juta,” usik Shah lagi. “Ada berita menarik atau kau dah kenakan budak
junior tu lagi?” Shah bertanya. Dia
merasa pelik melihat wajah ceria Mikhail yang bagaikan sang suria menyinar di pagi
hari.
“Aku
rasa dia dah kenakan budak tu! Masa aku selisih dengan Athirah tadi, muka budak
tu kelat semacam je,” ujar Hax sambil
melabuhkan punggungnya di sebelah Mikhail.
“Tak
baik kau buat dia macam tu, Khai. Kesian dia! Nasib baiklah aku dah kahwin.
Kalau tak... nak juga aku jadi hero selamatkan dia daripada perangai keji kau
ni. Nanti aku sibuk-sibuk selamatkan Si Athirah, isteri kesayangan aku pulak yang merajuk. Tak pasal-pasal malam
nanti aku tidur tanpa bantal peluk yang gebu dan wangi,” komen Zeck sambil
tersengih.
“Amboi,
kau orang! Tak boleh tengok aku happy
sikit! Ada saja nak mengutuk! Mana ada aku buat apa-apa dekat dia. Aku cuma tegur
sikit aje tentang dia baling botol mineral kat dahi aku ni. Tak akan itu pun
salah dan keji?” Mikhail membela dirinya.
“Aziz...
ini borang soal selidik ‘mata hijau’ tu. Kau tolong serahkan kat awek kau Nora,”
ujar Mikhail sambil menghulurkan borang yang berada di tangannya.
“Ini
satu perkembangan yang sihat. Sejak bila Abang Mikhail kita yang tampan lagi macho ni buat kerja-kerja amal?” soal
Aziz dengan nada gurauan. “Bukan ke... kerja kau selalunya mengarah orang? Hari
ni sudah boleh jadi orang suruhan pulak?
Wah, sungguh menakjubkan! Bagus... bagus... bagus...!!!” kata Aziz sambil menepuk
bahu Mikhail.
“Kau
orang selalu bersangka buruk dengan aku. Macamlah aku ni jahat sangat!” Mikhail
menempelak. “Eh... mana Hans? Tak nampak pun batang hidung dia?” Mikhail bertanya.
“Tadi
aku terserempak dia tengah bercakap dengan Si Athirah kat tepi papan kenyataan. Nampak macam tengah memujuk aje,”
jelas Hax. Dia mengesat peluh yang mengalir di pipinya.
“Aikk... Si Hans pun nak mengorat Athirah? Aku ingatkan Si Salman
budak law tu aje yang syok kat
Athirah. Rupanya Si Hans pun tergoda juga. Kau tak nak mencuba nasib Khai? Manalah
tahu dia tersangkut kat kau. Aku dah tak boleh dah. Merajuk buah hati aku, letih
pulak aku nak memujuk,” ujar Shah
sambil tergelak.
Mikhail
hanya tersengih mendengar kata-kata rakannya. Hai... sayang! Merajuk dengan
abang ke? Mikhail bertanya dalam hatinya.
ish mikhail ni.. abng lah..sayang lah....saya cair tu baca....
ReplyDeletetak jd marah Mikhail. Romantiknya dieeerrr!!!
ReplyDeletesweet nyerrr!!!
Alahai Mikhail... jd pakwe cek mau???