ATHIRAH
membetulkan otot dan sendi-sendinya yang terasa lenguh. Hampir satu jam membonceng
motosikal menyebabkan terasa sengal seluruh anggota badannya. Walaupun
sakit-sakit satu badan, namun pemandangan hijau di kiri kanan jalan menuju ke
puncak Genting menarik perhatiannya. Sungguh cantik ciptaan TUHAN. Suasana sejuk
dan nyaman itu, menyebabkan tubuh Athirah sedikit kedinginan. Mujurlah Mikhail
memberinya jaket dan sarung tangan. Jika tidak tentu dia menggigil kesejukan.
“Adik-adik
yang cantik rupawan, berehat di sini dulu ya. Abang-abang yang kacak lagi menawan
ni ada hal yang ingin diuruskan seketika.” Mikhail bersuara. Lalu mereka meninggalkan
gadis-gadis pujaan mereka di lobi hotel First World.
Duduk
kat asrama lagi best. Takdelah nak menanggung azab sakit satu
badan macam ni, rungut Athirah. Dia mengurut-urut pinggangnya yang sengal. Kak
Hana, Kak Ani dan Fazlina juga sepertinya, meregangkan urat-urat yang
tersimpul. Mungkin mereka juga sakit satu badan sepertinya.
Sepanjang perjalanan, dia memeluk erat tubuh
Mikhail. Nasib baik itu suaminya. Kalau tidak... berkoyan-koyan dosa yang
terpaksa dia tanggung. Lantaklah Mikhail hendak fikirkan apa tentang dirinya.
Janji... badannya tidak tercampak ke atas jalan raya. Rasanya mesti Mikhail
tersengih gatal sepanjang perjalanan, maklumlah kena peluk. Seandainya dia tahu
Mikhail menunggang motosikal macam mat rempit, sumpah... dia tak naik motor
dengan Mikhail. Lepas ni, dia kena nasihati Mikhail supaya menunggang motor
dengan berhemat. Jika tidak, dia lebih rela pulang menaiki pengangkutan awam.
Kenapalah
orang lelaki gemar menunggang motor dengan laju? Apa yang bestnya? Membahayakan nyawa adalah, getus Athirah. Dia sedikit
gerun ketika berselisih dengan kenderaan besar di sepanjang jalan raya tadi.
Ditakdirkan motor yang ditungganginya bersama Mikhail tergelincir atas jalan
raya, tentu hancur tubuh badannya digilis lori atau kereta. Oh... tak sanggup nak
bayangkan betapa azabnya mati dalam keadaan penuh tragis sebegitu! Setiap kali
Mikhail memotong kenderaan yang berada di hadapannya, setiap kali itulah
Athirah akan memeluk erat pinggang suaminya.
Teringat
kisah-kisah mat rempit yang sengaja menggadaikan nyawa untuk melakukan pelbagai
aksi pelik semata-mata ingin menunjukkan kehebatan dan kejaguhan masing-masing
di jalan raya, membuatkan Athirah terfikir betapa bodohnya mereka. Kalau mereka
sahaja yang cedera atau mati katak tidak mengapa. Tetapi mereka turut
menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Tidakkah
mereka sedar, mereka sebenarnya telah menarik keluarga mereka ke kancah derita
sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan atau
kecacatan kekal. Mereka juga akan membebankan keluarga mereka. Bayangkanlah
dengan hanya terlantar di atas katil dan mengharapkan belas ihsan orang lain untuk
menguruskan diri mereka, tidakkah itu menyusahkan namanya? Itu belum lagi
dengan kos rawatan dan perubatan. TUHAN kurniakan akal untuk berfikir ke jalan yang
baik tetapi mereka gunakan akal yang ada untuk menikmati kegembiraan sementara
dan akhirnya memusnahkan diri sendiri.
“Hai...
jauhnya mengelamun! Sampai abang ada kat sebelah pun tak sedar. Sayang fikirkan
tentang apa?” Mikhail bertanya setelah melihat betapa khusyuknya Athirah
termenung hinggakan kehadirannya di sisi gadis itu langsung tidak disedari.
“Tak
ada fikir apa-apalah,” jawab Athirah sambil mengurut pinggangnya.
“Sayang
penat? Sakit sangat ke pinggang tu? Mari abang tolong urutkan.” Mikhail tersenyum
menggoda manakala tangannya cuba memegang pinggang Athirah. Teringat dia
sepanjang perjalanan menuju ke Genting. Seronok rasanya apabila Athirah memeluknya
erat. Ingin sahaja dia menukar destinasi percutian mereka ke tempat yang lebih
jauh agar pelukan Athirah kekal hangat di tubuhnya.
“Huh,
jangan nak menggatal! Nanti ada yang kena tidur dalam wad malam ni!” ugut Athirah.
Bila masa pulak suami terchenta aku ni sampai? Desis hatinya.
“Kalau
sayang temankan sekali, abang sanggup!” Mikhail menggiat Athirah. Pipi Athirah
dicuit.
“Abang
jangan nak mengada-ada kat sini boleh tak?” tegur Athirah. “Tengok! Semua orang
lihat perangai abang yang tak senonoh tu!” marah Athirah.
Mikhail
hanya tersengih mendengar rungutan Athirah.
“Eh...
mana yang lain?” Athirah bertanya.
“Itulah
mengelamun jauh sangat! Sampai mereka dah beredar pun sayang tak sedar,”
beritahu Mikhail.
“Mereka
ke mana?”
“Pergi
shopping.”
“Habis
tu, bila kita nak main?”
“Lepas
Zohor baru kita mulakan aktiviti,” balas Mikhail.
Athirah
mengeluh. Pukul berapalah baru boleh balik kalau macam ni?
“Sayang
penat tak? Kalau penat, kita tidur di sini. Lepas sarapan esok, baru kita balik,”
cadang Mikhail. Mikhail ingin melaksanakan misinya yang sudah lama terpendam.
Dia mahu Athirah menjadi miliknya.
“Tak
bolehlah abang. Sayang datang ke sini sehelai sepinggang. Lagipun Fazlina macam
mana?” Athirah memberi alasan. Memang dia ingin berlama dengan Mikhail. Tapi
rakannya, Fazlina bagaimana? Dia tentu tidak jadi masalah sebab dia sudah tahu
Mikhail itu suaminya. Tapi Fazlina dan Borhan baru sahaja saling kenal. Tentu
Fazlina tidak selesa berlama di sini.
“Tentang
Fazlina, sayang tak perlu bimbang, tahulah Borhan menanganinya.” Mikhail
meredakan kerunsingan Athirah. “Tentang pakaian, sayang janganlah risau. Abang
akan support dari luar hingga
bahagian dalam.” Mikhail seperti biasa sudah tersengih gatal. Dia merasa
seronok dapat menyakat Athirah. Muka Athirah yang kemerah-merahan bila malu dan
marah membuatkan Mikhail tidak puas memandang. Athirah begitu cantik sekali
dalam keadaan sebegitu.
“Eeii... kenapalah abang gatal sangat
hari ni?” Athirah mencubit pinggang Mikhail.
“Aduh,
sakitlah sayang! Sekiranya ada merah-merah atau lebam-lebam di badan abang, sayang
kena kahwin dengan abang.” Mikhail menyelak bajunya.
“Hisy... abang ni! Tak malu sungguh selak baju kat tempat
awam! Nanti semua orang fikir abang tak siuman,” bisik Athirah geram. Memang
merah pun badan Mikhail kena cubit dengannya. Naik malu pula Athirah memandang
tubuh Mikhail yang sedikit terdedah itu.
“Tengok
ada merah-merah! Ingat... sayang kena kahwin dengan abang. Lepas ni abang tak nak
lihat sayang rapat dengan mana-mana lelaki, terutamanya Si Salman,” tegas
Mikhail. Mikhail sudah mengeluarkan aura kuasa vetonya.
Kalaulah
Mikhail sedar, Athirah itu adalah wanita yang dia nikahi dulu. Apakah yang
dilakukannya terhadap Athirah?
“Abang
jangan nak merepek dan melalut! Tidak pernah dibuat orang, kena cubit terus
jadi hak milik kekal. Abang dah buang tabiat ke apa?” Athirah pura-pura
memarahi Mikhail. Seronok juga main tarik-tarik tali dengan suaminya.
“Tak
ada melalut, merepek atau buang tabiat!” tegas Mikhail. “Apa yang abang kata, itulah
yang abang akan buat. Ingat tu!!!”
Terasa
seram sejuk pulak. Garang dan gatal
juga laki aku ni. Agaknya pening kepala Mikhail masih belum hilang lagi selepas
kena baling dengan botol mineral. Abang minta maaf... sebab banyak buat dosa
dengan abang sebelum ni. Tapi... mana nak tahu dia tu suami aku, bisik Athirah
dalam hatinya.
TERASA
tangannya dipegang, Athirah mendongak dan merenung wajah Mikhail. Dia ingin
menarik tangannya kembali, namun genggaman erat Mikhail terlalu sukar untuk dirungkaikan.
Bergetar
hebat seluruh urat nadinya bila pandangan mereka bersatu. Perasaan indah
bermain-main di laman hatinya. Perasaan ingin dicintai dan mencintai, memuncak
di ketika ini. Ingin saja didakap dan dikucup suaminya itu. Ingin sahaja dia
memberitahu Mikhail bahawa dia adalah isteri Mikhail. Tapi dia tidak mahu
terburu-buru. Dia ingin merasai manisnya saat bercinta seperti pasangan lain. Andai
Mikhail tahu mereka suami isteri, tak pasal-pasal Mikhail tuntut haknya dan
mengangkutnya masuk ke bilik. Hu... hu... hu... tak sanggup hendak menggambarkan babak seterusnya. Ngeri!!!
Bagaimana
pula jika Mikhail membencinya? Tidak sanggup rasanya hendak melepaskan suaminya
itu pergi. Athirah bimbang jika Mikhail tahu siapa dirinya, dia akan
diceraikan. Mikhail sendiri pernah mengaku, dia tidak menyukai isterinya itu.
Athirah berjanji dengan dirinya, dia sama sekali tidak akan mengkhabarkan siapa
dirinya pada Mikhail. Biarlah dia memupuk cintanya dengan cara tersendiri, asalkan
Mikhail kekal di sampingnya.
Mikhail
dapat rasakan ada cinta untuknya dalam diri Athirah. Mata bundar kehijauan itu,
menceritakan segala-galanya. Mikhail juga dapat rasakan yang dia telah menang dalam
merebut hati Athirah daripada lelaki yang Athirah katakan buah hatinya itu.
Mikhail memegang tangan Athirah lalu mengucup lembut.
“Abang
harap kasih sayang dan cinta kita akan berkekalan hingga ke akhirnya. Bila kita
kahwin kelak, abang mahu kemesraan dan senda gurau dalam hubungan kita tidak akan
pudar warnanya. Abang akan lindungi sayang dengan seluruh nyawa dan jiwa raga
abang. Kita akan mempunyai anak yang cantik dan comel macam sayang dan kacak
menawan seperti abang,” tutur Mikhail. Dan dia berharap sangat kata-katanya
meresap jauh hingga ke dasar hati nurani Athirah.
Mulut
Athirah sudah separuh terlopong dan matanya membulat merenung Mikhail. Apakah
Mikhail sedar ketika menuturkannya atau sekadar melakonkan wataknya sebagai
kekasih? Athirah benar-benar tidak tahu dan menjadi takut. Sekiranya benar
ungkapan Mikhail itu, dialah manusia yang paling gembira. Tetapi jika hanya
sekadar lakonan, akan hancurlah hatinya.
“Abang
sudah-sudahlah tu berlakon. Abang bukannya nak jadi pelakon pun. Jadi tak payahlah
nak hafal skrip jiwang-jiwang karat di sini.” Athirah cuba meredakan
kegelisahan yang melanda dirinya dan ingin menguji sama ada kata-kata Mikhail
adalah benar atau sebaliknya.
“Bila
masa abang hafal skrip? Abang cakap yang benar. Apa yang abang rasa di sini,
abang lafazkan pada sayang.” Mikhail menunjuk dadanya. “Abang nak tanya
sayang... perlu ada syarat-syarat tertentu ke untuk kita jatuh cinta dan
mencintai seseorang?” Mata Mikhail terus-terusan merenung Athirah. Dia suka
melihat muka Athirah yang berubah warna kerana menahan malu.
Muka
Athirah mula merona merah. Mulutnya juga sudah terkunci dengan pertanyaaan
Mikhail. Hanya gelengan yang mampu diberi. Memang tiada syarat tertentu untuk
seseorang jatuh cinta, bisik hati Athirah. Mendengar pengakuan kudus Mikhail,
hati Athirah merasa lega dan berbunga riang. Kasihnya terhadap Mikhail semakin
berkembang mekar dan mewangi.
“Jom
kita pergi minum dulu.” Mikhail mengalih topik. Dia tidak mahu merosakkan
rancangannya. “Sayang nak pergi KFC atau Starbucks?”
“Kita
pergi KFC boleh?” Athirah menyatakan pendapatnya.
Mereka
cari tempat duduk yang agak jauh dari pandangan orang ramai. Mikhail
mengeluarkan kotak baldu berwarna kelabu dari kocek seluar lalu diletakkan di hadapan
Athirah. Cincin tersebut dibelinya di Tiffany selepas dia benar-benar yakin
tentang perasaannya terhadap Athirah. Selain Mikhail, Borhan, Hax dan Shah juga
membeli couple ring sepertinya. Mereka bercadang melamar secara rasmi buah hati
masing-masing sebagai pasangan hidup mereka malam ini. Mikhail terpaksa
mempercepatkan rancangannya. Dia tidak sanggup menahan perasaan.
“Abang
benar-benar jatuh cinta sejak kali pertama abang terpandang wajah sayang.” Mikhail
memulakan mukadimahnya. “Abang belum pernah jatuh cinta dengan mana-mana perempuan.
Sayanglah cinta pertama abang. Abang harap... biarlah cinta ini, cinta pertama dan
terakhir abang. Cincin ini sebagai tanda pengikat cinta di hati kita. Sudikah sayang
menerima cinta abang? Menjadi pendamping abang hingga ke akhir hayat?” Mikhail
melamar Athirah. Mikhail nekad, dia akan melepaskan isterinya jika perempuan
itu tidak sanggup bermadu. Lagipun apa guna dia menyimpan isterinya jika dia
tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya.
Kolam
mata Athirah sudah penuh. Dia benar-benar terharu dengan keikhlasan cinta dan
kasih sayang Mikhail. Tiada perkataan yang mampu keluar dari kotak suaranya. Hanya
anggukan mewakili persetujuannya. Adam Mikhail... aku benar-benar sudah jatuh
cinta padamu, ucap Athirah dalam hatinya. Terima kasih Ya ALLAH kerana
makbulkan doaku selama ini dan menemukan cinta suciku ini.
“Alhamdulillah...”
Mikhail
benar-benar bersyukur ke hadrat Ilahi. Akhirnya... Athirah menjadi miliknya. Mikhail
menyarung cincin tersebut ke jari manis Athirah. Selamat jalan Salman! Selamat
tinggal lelaki misteri! Athirah kini hanya milikku!
“Cincin
ini umpama pertunangan tidak rasmi kita. Andainya sayang nak anggap abang
tunangan sayang pun abang tak kisah. Malahan abang amat berbesar hati. Cincin
ini adalah pasangan cincin yang sayang pakai tu,” ujar Mikhail sambil
menunjukkan cincin yang tersarung di jari manisnya. “Tengok... serupakan! Abang
harap, sayang tidak akan sekali-kali menanggalkannya. Macam mana muat tak
cincin tu di jari manis sayang?”
Athirah
mengangguk.
Mikhail
tersenyum senang.
“Macam
mana abang tahu saiz jari sayang?”
“Kata
orang tua-tua, jikalau jari kelingking abang sama saiz dengan jari manis sayang,
maka sayanglah yang akan menemani abang sepanjang hayat abang. Sejauh mana kesahihan
fakta tersebut abang tidak tahu. Tapi yang nyata, kita serasi bersama. Abang harap,
kita akan kekal bersama hingga ke Firdausi,” luah Mikhail bersama harapan yang
menggunung tinggi.
“Rombongan
meminang akan menyusul kemudian bila sayang benar-benar sudah bersedia,” jelas Mikhail
bersama senyuman. Tidak tergambar kegembiraan yang Mikhail rasakan saat ini.
Wanita yang benar-benar dia cintai sudah menjadi miliknya kini.
Kita
tidak perlu bertunang abang... kerana kita adalah suami isteri yang sah, bisik
hati kecil Athirah.
“Terima
kasih abang, atas kasih sayang dan cinta abang ini. Insya-ALLAH... sayang akan baja
cinta kita setiap masa. Tapi ingat... sayang tak nak bermadu! Kalau abang
curang... siap abang! Sayang akan hantar abang-abang sayang untuk belasah
abang.” Athirah mengugut Mikhail.
“Insya-ALLAH...
abang akan setia. Hanya sayang sahaja setakat ini yang mampu menggetarkan jiwa
lelaki abang.” Ya ALLAH... lindungilah cinta kami dan kekalkanlah hubungan kami
ini. Jauhkanlah hubungan kami ini daripada bisikan dan godaan syaitan. Itulah doa
dan impian Mikhail setiap hari.
Andai
Athirah enggan bermadu, maknanya dia tiada pilihan lain. Isterinya itu terpaksa
dilepaskan. Bagaimana dia ingin sampaikan hasratnya ini pada umi dan abinya? Argh... buat apa nak fikirkan perkara
yang tidak mendatangkan faedah itu? Mikhail tidak mahu merosakkan suasana
gembira yang sedang dia nikmati ketika ini.
“Kita
tidur sini ya... malam ni? Kawan-kawan sayang pun dah setuju. Abang ingin mengenali
sayang dengan lebih dekat lagi. Abang nak tahu apa yang sayang suka dan sayang
benci. Abang juga ingin tahu tentang keluarga sayang. Tidak lama lagi mereka akan
jadi sebahagian daripada hidup abang,” ujar Mikhail sambil merenung mata
Athirah.
“Abang
juga nak sayang tahu semuanya tentang abang. Abang harap tiada rahsia antara kita.
Kalau ada yang tidak puas hati, jangan simpan dalam hati. Sekiranya abang ada buat
salah, sayang tegur ya.” Betapa luhurnya permintaan Mikhail semata-mata ingin
membuktikan ketulusan cintanya terhadap Athirah. Cuma satu sahaja yang akan
kekal sebagai rahsianya iaitu kisah perkahwinannya. Athirah tidak boleh tahu
tentang itu!
“Seandainya
semua dah setuju, sayang tak boleh nak kata apa lagi. Tapi pakaian sayang macam
mana?” Athirah sudah merengek manja. Begitulah keadaan Athirah setiap kali berada di samping orang yang dia sayang.
Abang-abangnya pun kalah bila adiknya yang seorang ini mula merengek.
Ketawa
Mikhail dengan telatah manja Athirah. Dia suka dengan sikap Athirah. Dalam kelembutan ada ketegasannya. Dalam
kegarangan ada kemanjaannya.
“Jom
kita shopping barang keperluan
sayang. Abang pun nak cari barang keperluan abang.”
Mereka
memasuki semua gedung pakaian yang terdapat dalam bangunan First World. Setiap
pakaian yang mereka pilih, warnanya mesti sama. Letih juga Athirah mengikut
Mikhail membeli-belah. Mikhail sangat cerewet dalam memilih jenama pakaian.
Sehelai pakaiannya bernilai ratusan ringgit. Sehelai t-shirt Mikhail bersamaan
dengan tiga hingga lima helai harga t-shirt yang biasa Athirah beli.
PUKUL
dua petang, mereka berkumpul di lobi hotel First World. Mikhail dan
rakan-rakannya menuju ke kaunter untuk menempah bilik penginapan buat mereka malam
ini.
“Athirah...
cantiknya cincin!” tegur Mahani teruja.
Mata Fazlina dan Rohana mula tertumpu ke jari
manis Athirah.
“Mikhail
melamar Athirah tadi?” Mahani terus bertanya.
Athirah
angguk kepala dan tersenyum manis.
“Betulkan
Kak Hana kata! Athirah beruntung dapat Mikhail. Tengok Kak Hana dan Kak Ani,
walaupun dah lama bercinta tapi belum lagi terima cincin lamaran daripada Abang
Hax dan Abang Shah kamu tu,” ujar Rohana bernada sendu.
“Akak
jangan risau, nanti Athirah sound
mereka,” gurau Athirah.
“Tahniah
Athirah, semoga kekal bahagia hingga akhir hayat,” ujar Fazlina sambil memeluk Athirah
erat. Itulah doa Fazlina buat sahabatnya yang tersayang itu.
“Ehem...
ehem... ada drama air mata ke kat sini?” Borhan menegur.
“Aah... mereka sedih sebab abang-abang
kesayangan mereka tak belikan cincin.” Athirah melawak. “Tadi kat sebelah kita
orang, ada mamat mana entah sarungkan cincin kat girlfriend dia, itu yang mereka semua ni jeles,” jelas Athirah bersahaja. “Tapi Athirah terkecuali ya...,”
ujar Athirah dengan sengihan.
“Dan
dia orang kata... abang-abang kesayangan mereka ni nak kata sengkek rasanya tidak,
sebab semuanya datang dari keluarga yang kaya-raya. Tapi... entah kenapa entah,
kedekut sangat!” usik Athirah lagi. Matanya melirik manja ke arah Rohana dan
Mahani.
Mikhail
sudah tersenyum dengan perangai nakal kekasih hatinya. Athirah benar-benar menceriakan
hari-harinya. Gelak tawanya bagaikan melodi indah. Amarahnya bagaikan syair
membelai jiwa. Senyuman manisnya bagaikan penawar racun berbisa.
“Athirah
jaga kamu! Saja ya... nak kenakan kami semua. Shah jangan percaya cakap Si Athirah
ni. Dia saja je nak bergurau,” ujar Mahani sambil mendapatkan Athirah.
Athirah
sudah menyorok di belakang Mikhail. Bimbang juga dia kalau Mahani naik angin.
“Memang
betul pun... abang-abang you all ni kedekut!
Kan... sayang kan...?” ujar Mikhail menyebelahi kekasih hatinya.
“Amboi...
Khai! Bukan main ya!!! Apa yang buah hati kau cakap, semuanya betul,” sindir Shah.
“Macam
mana tak setuju! Si Khai ni dah nak jadi macam Zeck. Sudah nak kahwin tak lama
lagi,” giat Rohana.
“Eh...
bukan ke dulu kau yang beria-ia bangkang bila Si Zeck cakap dia nak kahwin dengan
Azah? Ha... ha... ha... sekarang apa
sudah jadi kawan? Sudah termakan sumpahan sendiri ke?” perli Hax sambil
tertawa.
“Aku
tak kisah kalau sayang aku ni setuju. Cuti semester ni pun aku sanggup jabat tangan
tok kadi. Jika seruan dah sampai, buat apa tunggu-tunggu lagi? Jalan ajelah! Bukankah
itu lebih afdal?” jawab Mikhail sambil melirik ke arah Athirah.
Ya
ALLAH dia ni... tak malu sungguh! Desis hati Athirah. Muka Athirah sudah merah menahan
malu.
“Kena
batang hidung sendiri pandai... sudah sampai seruan! Kalau dulu, dialah orang pertama
yang mencebik bila kita jatuh cinta,” sakat Shah.
Mikhail
sudah tersengih mendengar komen-komen rakannya.
“Kau
orang tak teringin ke nak ikut macam Zeck? Seronok juga kan ada bantal peluk
gebu setiap malam?” giat Mikhail. “Aku sebenarnya dah muak asyik menghadap muka
Borhan hari-hari. Kau tak bosan ke Hax... Shah... asyik menghadap muka yang
sama hari-hari?” tanya Mikhail sambil tersenyum dan mengenyit matanya kepada
Athirah. Dia juga menjeling Borhan, sahabat karibnya itu. Suka dia dapat
mengenakan sahabatnya itu. Mana mungkin dia bosan dengan Borhan. Sahabatnya itu
sentiasa ada di saat dia kesusahan.
Athirah
tersenyum malu. Suka sungguh Mikhail membuat wajahnya berubah warna hari ini.
“Malaun kau... Khai! Dah ada Athirah...
barulah meluat tengok muka aku hari-hari. Kalau tidak... muka inilah yang kau
duk hadap pagi petang, siang malam.” Borhan pura-pura merajuk.
“Apalah
kau ni Hans, itu pun nak sentap ke? Sorry...
okey! Aku bergurau aje. Janganlah merajuk... kau tu dah tua bangka. Bukannya kiut pun kau buat muka macam tu. Malulah
sikit dengan awek kau tu! Tak padan dengan lelaki tetapi merajuk mengalahkan
Fazlina,” kutuk Mikhail.
Muka
Fazlina merah bila disakat Mikhail.
Mereka
yang lain sudah ketawa melihat dua sahabat itu berbalah.
“Tengok!
Baru tadi minta maaf. Tak sampai lima saat dah buat dosa balik,” ujar Borhan
sambil tangannya menumbuk bahu Mikhail.
“Engkau
berdua ni bila nak habis bersilat kat sini? Nah ambil kunci bilik. Kita simpan barang
dulu. Lepas tu... kita enjoy!” ujar
Hax ceria.
JAM menunjukkan
ke angka sembilan malam. Kota Keriangan Genting masih lagi riuh-rendah dan hingar-bingar
dengan suara pengunjung. Usai solat Isyak, barulah Athirah dan yang lain-lain
turun untuk menikmati makan malam. Athirah merasa sangat seronok. Sepanjang hari,
Mikhail tidak pernah berenggang dengannya dan melayannya bagaikan puteri. Pelbagai
permainan mereka cuba antaranya cyclone, space shot dan tea cup. Sebenarnya masih banyak lagi permainan yang ingin Athirah
cuba, tapi masa tidak mengizinkan. Jika boleh dia tidak mahu berjauhan dengan suaminya
itu.
Selepas
makan malam, Athirah melihat rakannya Fazlina berlalu bersama Borhan. Mereka kelihatan
sangat serasi. Ibarat pinang dibelah dua. Borhan seorang yang baik dan berkarisma.
Boleh dikategorikan hensem, sesuai dengan
Fazlina yang juga cantik. Kedua-duanya anak ahli perniagaan. Fazlina anak tauke textile manakala Borhan, anak pengusaha
perabot jati yang terkenal di ibu kota. Rohana juga sudah pergi bersama Hax. Begitu
juga dengan Mahani, sudah pergi bersama Shah. Mereka bagaikan ada agenda
tersembunyi. Tinggallah Athirah bersama abang kesayangannya di meja makan.
“Abang...
kenapa mereka tinggal kita berdua di sini?” soal Athirah. “Abang ni... makanlah
cepat sikit! Ini makan macam siput,” rungut Athirah.
“Abang
tak sangka bakal isteri abang ni kuat membebel.” Mikhail mengusik Athirah. “Macam
mana sayang tahu abang makan lambat macam siput? Sayang pernah tengok ke cara siput
makan?” Mikhail menggiat Athirah lagi. Mikhail sebenarnya tidak mahu mengganggu
privasi rakan-rakannya. Biarlah
mereka dengan pasangan masing-masing. Dia juga inginkan ruang bersama Athirah.
“Cuba
abang tengok cara siput bergerak... perlahan, kan? Tentulah makan pun lambat.”
Athirah sudah tertawa dengan kata-katanya.
Pabila
tawanya reda, dia meneruskan kata-katanya. “Siapa yang nak kahwin dengan abang?
Muka dahlah tak hensem. Mana bukti yang
sayang ni bakal isteri abang?” Athirah mengusik Mikhail.
“Tu...
cincin kat jari sayang! Itu merupakan simbolik hubungan kita. Bila ada orang nak
mengorat sayang, tunjukkan saja cincin
tu. Jadi orang akan faham yang sayang dah berpunya,” terang Mikhail. “Ada ke muka
abang yang kacak menawan ni, sayang kata tak hensem. Sedih tau!” Mikhail memuncungkan mulutnya. Merajuk!!!
Athirah
sudah ketawa dengan gelagat Mikhail. Macam kanak-kanak sahaja telatahnya. Muka
Mikhail juga kelihatan kiut ketika
merajuk.
“Macam
nilah, kalau orang tanya ini cincin apa, sayang cakap ini cincin pernikahan kita.
Macam mana... abang setuju tak?” Athirah ingin menguji suaminya. Teringatkah
Mikhail bahawa dia pernah bernikah sebelum ini? Melihat riak selamba Mikhail,
Athirah mengeluh. Memang Mikhail sudah melupakan isteri yang dia nikahi dua
tahun lalu.
“Emm... tidak terfikir pulak abang! Bagus juga cadangan sayang
tu. Dulu abang suruh sayang berlakon jadi kekasih abang, sekarang kita
benar-benar sudah jadi pasangan kekasih. Manalah tahu jika kita berlakon sebagai
pasangan suami isteri, tiba-tiba lepas ni kita jadi suami isteri yang
betul-betul pulak,” ujar Mikhail
ceria.
Hai...
sayang! Kalaulah kau ni perempuan yang aku nikah dua tahun lepas, bukan ke bagus.
Tak payahlah aku tidur sorang-sorang setiap malam. Malam ni juga aku booking honeymoon suite. Bestnya jadi macam
Zeck, boleh berkepit dengan bini dua puluh empat jam. Hu... hu... hu... jelesnya aku! Takde ke...
orang nak tolong tangkap basah kami malam ni? Desis hati Mikhail. Nakal!
Kita
tak perlu berlakon abang. Sememangnya kita suami isteri. Cuma abang aje yang tak
tahu. Kata-kata itu hanya terluah dalam hatinya sahaja. Athirah dengan sengaja memeluk
erat pinggang Mikhail dan melentok manja di bahu lelaki itu. Jemarinya menyulam
jemari suaminya. Tautan yang kemas itu, digenggam erat agar tidak terungkai
sampai bila-bila...
Mikhail
menelan air liurnya berkali-kali. Tidak tahan digoda sebegitu. Aksi manja dan menggoda
Athirah menyebabkan Mikhail tidak senang duduk di tempatnya. Kenapalah kau belum
jadi isteri aku lagi? Kalau tidak... dah lama aku dukung bawa masuk bilik.
Tangannya juga sudah memeluk erat Athirah yang berada di sisinya. Seluruh kasih
sayangnya sudah dicurahkan buat Athirah. Dia berjanji... selagi Athirah belum
menjadi isterinya yang sah, dia tidak akan sekali-kali mengambil kesempatan ke
atas gadis kesayangannya itu.
LEGA
hati Dr. Zulaikha apabila Mikhail mula rapat dengan isterinya. Dr. Zulaikha tidak
berani memberitahu hal yang sebenar kepada Mikhail kerana bimbang jika Mikhail terlalu
excited, dia akan melakukan hal yang
bukan-bukan hingga menakutkan menantunya.
Nanti... tak pasal-pasal menantunya melarikan diri. Lagipun mereka baru sahaja
berbaik dan kenal. Dr. Zulaikha takut jika berlaku perang mulut, Mikhail dengan
mudah menjatuhkan talak memandangkan hubungan mereka yang masih hijau. Biarlah
mereka memupuk kasih sayang secara perlahan-lahan kerana itu lebih indah dan
bermakna. Tugasnya dan suami hanya memantau perkembangan anak dan menantunya dari
jauh supaya tiada masalah yang melanda.
“Emm... apa perkembangan terbaru anak dan
menantu kita?” Suaminya, Tuan Malik bertanya.
“Alhamdulillah.
ALLAH dah makbulkan doa-doa kita abang. Ika harap hubungan mereka terus berlangsung
dengan baik. Abang nak tahu ke mana anak teruna awak bawa isterinya pergi? Nun...
naik puncak Genting. Ika tahu masa dia nak pinjam jaket dan sarung tangan. Bila
Ika tanya untuk siapa jaket dan sarung tangan tu, anak abang hanya tersengih macam
kerang busuk. Katanya kawan dia nak pinjam. Dia ingat senang nak gula-gulakan
Ika. Macam kita tak tahu apa yang dia buat di belakang kita,” ulas Dr. Zulaikha
panjang lebar.
Semenjak
Mikhail merajuk kerana dipaksa berkahwin, Dr. Zulaikha dan Tuan Malik mengupah
penyiasat persendirian untuk memantau pergerakkan anaknya. Dr. Zulaikha bimbang
jika Mikhail melakukan perkara-perkara yang bodoh kerana memprotes keputusan yang
telah dia dan suaminya ambil.
“Abang
ada jumpa Kathy dan Wan? Hari tu, masa Khaty telefon Ika, dia kata nak beli rumah
dekat Bangsar. Berapa banyak rumahlah yang mereka nak beli? Sudahlah tinggal berdua
sahaja,” terang Dr. Zulaikha.
“Takde pulak
Wan beritahu tentang nak beli rumah. Cuma beberapa bulan lalu dia ada datang
jumpa abang. Itu pun sebab nak keluarkan surat perlantikan CEO yang baru bagi Zamrud
Holdings. Agaknya dia nak duduk dekat dengan anaknya tak? Yalah, sejak anaknya lahir
hingga sekarang, mereka terpaksa berpisah. Tentulah mereka rindukan anaknya
itu. Walaupun tidak dapat duduk sebumbung, dapat perhatikan dari jauh pun sudah
memadai. Biarlah mereka nak buat apa, janji hidup mereka bahagia,” luah Tuan
Malik sambil menghela nafas panjang.
Tuan
Malik mengeluh memikirkan nasib sahabat baiknya itu. Hampir dua puluh tahun
temannya itu hidup bagaikan pelarian. Selepas peristiwa kemalangan ngeri yang
menimpa mereka, pasangan suami isteri itu terpaksa hidup dalam penyamaran. Dan
kebanyakan masa mereka dihabiskan di luar negara.
Kejadian
dua puluh tahun lalu terlayar hebat dalam ingatannya...
Dia
sekeluarga baru pulang bercuti dari Water World, Melaka bersama Wan dan Khaty. Khaty
ketika itu sarat mengandung anak pertama. Mereka memandu tenang dari Melaka
menuju ke Kuala Lumpur. Entah bagaimana, datang sebuah kereta yang memandu agak
laju lalu merempuh bahagian belakang kereta Wan. Kereta Wan terbabas lalu
melanggar pembahagi jalan. Mujurlah keretanya ketika itu sedang bergerak
perlahan.
Kereta
yang dipandu Wan remuk. Wan dan isterinya Khaty dikejarkan ke hospital tempat isterinya
bertugas. Nasib mereka tersangat baik kerana jarak tempat berlakunya kemalangan
sudah tidak jauh dari hospital dan kebetulan ambulans sedang melalui kawasan tersebut.
Mujur
juga dia dan isterinya membuat keputusan yang bijak. Sebaik sahaja Khaty dan Wan stabil, mereka terus dipindahkan ke hospital
lain sebelum diterbangkan ke Amerika Syarikat untuk rawatan lanjut. Telahannya
tepat. Musuh sahabatnya itu, datang ke wad ICU yang menempatkan Wan sebelum ini
dan cuba membunuhnya. Kasihan lelaki yang duduk di wad yang sebelum ini menempatkan
Wan. Lelaki itu mati akibat disuntik dengan suntikan beracun. Mayat seorang
wanita yang tidak dituntut oleh warisnya, menggantikan tempat Khaty dan bayi tidak
sah taraf yang dijumpai mati dalam tandas mengambil tempat anak Wan. Keadaan ini
memudahkan kerja mereka memalsukan kematian Wan sekeluarga.
Hahaha... kelakarlah Athirah. Ada ke patut ckp suami dia mkn mcm siput.
ReplyDeleteMikhail... L luv sama u lah.
Best... best... best....
Nak laggggiiiiii....
Best...99xxxxxxxxxxxx
Puteri.. hang duk m'hdp lappy pg2 buta. Hang dah solat ke blm? huhuhu.. Tp TQlah sbb, sms kat saya bg tahu.
DeleteHello my friend!!! Kat sini sblm kul 6 dah msk waktu.
DeleteTp bestkan Ayu. Kak Dayana mmg superb. Bhs dia terbaikkkkk!!!!
hehehe... kelakar betul adik2 akak ni.
DeleteBtl apa kata Ayu tu... Jgn lupa buat yg wajib dulu.
Kembanglah ayu bila akak puji dia...
DeletePuteri Atilia... hehehe no komen!!!!
DeleteMakin menarik dan tertarik. Kak Yana mmg terbaikkkk!!!! Chaiyok!!! Chaiyok!!!!
ReplyDeletePuteri... sweet ajekan Mikhail dan Athirah ni...
Nak pakwe mcm Mikhail.....
Hahaha... memang bestlah couple ni. Jiwang habis. Agak2lah ada lg tak lelaki mcm Mikhail ni???? Suka dgn watak Mikhail ni.
ReplyDeleteHuhuhu... nasib baik Mikhail tak tau sape Athirah. Jika tidak mahu kena dukung masuk bilik...
Syabas Dayana Darwisy. Suka dgn citer awak.
bestnye diaorg nasib baik husband n wife kalu x sia2 je dapat dosa...
ReplyDeletebila lg mikhail nk tau yg athirah 2 wife dia...
biarla dugaan yg ringan2 kak yer...
bg diorg hapy2 dlu
Hai ryana! Terima kasih krn sudi baca citer yg tak seberapa ni.
DeleteMikhail akan tahu athirah isteri dia bila dia dpt surat tuntutan cerai drpd Athirah nnt.
Kak... mrk cerai ke? dup... dap... dup.. dap...!!!
DeleteNak tahu apa yg berlaku dgn rumah tangga mrk kena tunggu...
DeleteKak Dayana syg...
ReplyDeleteBila novel ni nak terbit?
Jgn lupa bg tahu adik2 akak ni ya... saya, ayu, raihana sentiasa sokong akak.
Atilia dear...
DeleteInsya Allah. Doa2kanlah ya. Sekiranya terbit akan akak war2kan di blog ni jgn bimbang. Akak pun tak pasti sama ada manuskrip diterima ke tidak.
best2..bile nk tau diorg ni husband n wife?
ReplyDeletesalam... itu_aku +_^zue...,
DeleteMikhail hanya tahu Athirah isteri dia bila Mikhail dpt surat tuntutan drpd Athirah nnt. Sbb lepas ni akan ada part salah faham n gaduh2.
wau ...best cerita ni..buat org suspen...gatal juga mikhail ni..
ReplyDeleteSeronoklah novel ni kak dayana.harap harap bolehlah jadi penulis novel macam kak dayana.
ReplyDelete