SEJAK
kebelakangan ini Mikhail menjadi seorang yang agak pelik! Sekejap tersenyum dan selepas itu tersengih, dan
kemudiannya ketawa. Jika ada rakannya yang mengatakan dia sudah biul, sewel, kurang
siuman atau tertanggal skru, dia tidak
kisah! Janji hatinya senang.
Hai, sudah terkena panahan cinta ke Mikhail oii...? Mahu rakan-rakannya tergelak dan tergolek sekiranya tahu lelaki yang selama ini dingin dan beku, sudah disirami embunan cinta. Entah-entah, ada yang buat aksi kuak lentang dan kuak kupu-kupu. Mikhail merenung gambar Athirah di dalam telefon bimbitnya. Gambar itu diambilnya ketika Athirah sedang duduk santai di dataran. Athirah... seru Mikhail. Pertama kali dalam hidupnya merasai nikmat cinta dan kenal apa itu cinta. Begitu indah dan berwarna-warni rupanya. Biarlah dia berbahagia dengan perasaan yang hadir ketika ini sendirian. Lambat-laun Athirah pasti akan sedar kewujudannya. Sungguh! Dia benar-benar sudah jatuh sayang dan jatuh cinta terhadap gadis bernama Athirah! Mikhail berkeyakinan tinggi dapat memiliki cinta Athirah sedikit masa lagi. Mikhail mencapai buku keemasan kesayangannya. Setiap untaian kata dan curahan hatinya tersimpan kemas dan kukuh dalam buku keemasan itu. Mikhail mengambil pen Parker lalu mencoret luahan rasanya. |
Alangkah
indah jika si dia juga miliki naluri yang sama. Menyintai dan dicintai, menyayangi
dan disayangi, mengasihi dan dikasihi. Alahai... kesiannya aku! Bak pungguk rindukan
bulan yang terletak megah di atas sana.
Benarkah
ini tanda-tandanya cinta? Hati berdebar bila bertentang mata? Perasaan cemburu
menikam kalbu bila jejaka lain bergandingan dengannya? Amarah mencengkam jiwa, saat
diri tidak diendahkan? Sakit hati mendengar gelak manjanya bersama lelaki lain?
Andai benar ini cinta, dia memang sudah parah!!!
Mikhail
menyingkap kembali apa yang telah terjadi terhadap dirinya. Walaupun sudah dua
tahun berkahwin, perasaan cinta langsung tidak hadir buat gadis yang bergelar
isterinya. Adakah disebabkan dia tidak cuba mengenali isterinya maka cinta itu
tidak hadir? Atau cintanya memang tidak ada untuk gadis itu?
Rasa
cinta juga tidak ada untuk gadis bernama Masyitah. Masyitah juga cantik
walaupun tidak sehebat Athirah. Masyitah sudah terlalu lama mendambakan
cintanya. Ketika di tahun dua, Masyitah memperhebatkan lagi taktik untuk memburu
cintanya namun tetap juga gagal mencairkan hati lelakinya. Kadang kala dia
sendiri naik gila memikirkan bagaimana caranya hendak menghindarkan diri
daripada terus diburu Masyitah.
Teringatkan
kehadiran jejaka yang menemani Athirah kelmarin, dada Mikhail menjadi sesak dan
tidurnya tidak lena. Terbayang di ruang matanya aksi dan gelagat mereka. Hati Mikhail
membahang menyaksikan babak mesra antara Athirah dan jejaka itu. Masih
terbayang-bayang di ingatannya saat kucupan Athirah menjamah tangan jejaka itu dan
aksi balas jejaka itu di dahi Athirah. Pelukan erat di bahu Athirah oleh jejaka
itu membuatkan jiwa Mikhail meronta hebat. Pimpinan tangan mereka dan
jari-jemari yang bertaut erat membuatkan hati Mikhail merintih pedih. Suasana
romantis mereka, membuak-buakkan lagi perasaan cemburu Mikhail hingga ke ubun-ubun
kepalanya. Jika tidak disabarkan hati lelakinya, mahu jejaka itu mendapat
penumbuk sulungnya. Tapi apa haknya untuk berbuat demikian?
Mikhail
juga dicengkam perasaan bengang yang teramat sangat! Ada sahaja yang cuba mendapatkan
nombor telefon dan menarik perhatian Athirah. Ada yang berura-ura ingin
menjadikan adik angkat. Tidak kurang juga yang melamar untuk dijadikan kekasih.
Walaupun Athirah tidak melayan dan menolak dengan baik, Mikhail tetap bimbang jika
bunga impiannya dipetik orang. Silap hari bulan dia terpaksa gigit jari.
Mengikut
akal jahatnya, mahu sahaja dia memberitahu semua orang bahawa Athirah itu adalah
isterinya walau hakikatnya tidak sebegitu. Kalaulah Athirah itu benar-benar isterinya
alangkah indah. Akan dijaga dan dibelai setiap masa agar cinta Athirah hanya
untuknya.
Hai,
Mikhail! Janganlah kau bermimpi di siang hari!
MIKHAIL
masih ingat lagi ketika berada di semester empat...
“Hujung
minggu ni, kamu jangan ke mana-mana. Esok lepas kelas, umi mahu kamu pergi ke
butik Aunty Melissa ambil baju Melayu
yang umi tempah,” arah uminya, Dr. Zulaikha.
Hujung
minggu itu... Mikhail sekeluarga, nenek dan ibu bapa saudaranya, baik di
sebelah umi mahupun abinya turut serta pergi ke Perak. Setiap kereta penuh
dengan barang hantaran. Mikhail memandu sendiri keretanya bersama dua orang sepupunya,
Farah dan Farouq. Farah masih di tingkatan enam manakala Farouq di tingkatan
lima.
Tertanya-tanya
juga Mikhail, siapa yang hendak bertunang atau berkahwin? Sebab yang pergi semuanya
telah berkahwin. Yang bujang pun hanya dia dan sepupu-pupunya sahaja. Itu pun masih
kecil dan bersekolah. Tak akan mereka pula yang hendak bertunang atau
berkahwin?
Jangan-jangan
abi atau bapa saudaranya ingin menambah cawangan? Tapi masing-masing bawa
pasangan. Tidak logik pula jika isteri mereka tidak membangkang sekiranya ada
yang berhasrat kahwin lagi. Tak akan majlis untuk dirinya? Dia sendiri pun
belum ada calon.
Setibanya
di tempat penginapan, uminya menyuruh dia berehat. Selepas solat Zohor, dia
perlu bersiap dan memakai baju Melayu yang diambil dari butik Aunty Melissa. Menurut uminya, majlis
tersebut akan berlangsung pukul tiga petang. Dia yang tidak tahu hujung pangkal
hanya menuruti permintaan uminya itu.
Setibanya
di Masjid Jamek Kamunting, Perak, dia diberitahu oleh abinya bahawa dia akan dinikahkan
sebentar lagi. Terasa gelap dunia Mikhail. Abinya mengugut akan menghentikan
wang sakunya dan menarik balik semua kemudahan yang diberi sekiranya ingkar.
Mikhail sungguh merasa tertekan dan bingung. Percaturan hidupnya sudah
ditentukan. Dalam keadaan terpaksa, dia menjabat juga tangan jurunikah. Selesai
sahaja akad nikah tersebut, dia terus pulang ke Kuala Lumpur. Apa yang berlaku
selepas itu tidak dihiraukannya lagi.
Semester
berikutnya, Mikhail memohon untuk tinggal di asrama. Nasib baik dia seorang yang
aktif di kampus. Jika tidak tentu sukar untuknya mendapatkan tempat. Mulanya dia
ingin menyewa bersama rakan-rakannya yang lain, namun teman baiknya Borhan
mengajak dia tinggal di asrama memandangkan keselamatan lebih terjamin dan boleh
belajar dengan tenang. Jika tinggal menyewa, tentu sahaja mereka mudah terikut
dengan persekitaran yang tidak sihat.
Akibat
merajuk dengan umi dan abinya, Mikhail tidak pulang ke rumah selama satu semester.
Nasib baik abinya tidak memotong elaun bulanannya, jika tidak tentu dia mati kekeringan.
Kadang kala timbul juga rasa kasihan terhadap perempuan yang dia nikahi itu.
Tentu isterinya juga dipaksa berkahwin. Tetapi egonya melarang keras untuk dia
bermurah hati memaafkan tindakan mereka semua dan berbaik dengan isterinya.
owh...mcm ni dia kawen. tapi mmg...apsal mak bapak dia buat mcm tu eh? sian kat diorg tak tahu ape2 tibe2 kena kawen, makcik pakcik kalau ye pun bgtau la awal2.. ish3...
ReplyDeleteMikhail jgn jd sewel sudahlah. Mikhail kawen dgn saper???? Athirah kawin dgn sape???? konfius sudah!!!
ReplyDeletemesti Mikhail kawin dgn Athirah.. alahai, blh ya mcm tu.. kesian Athirah.. huhu..
ReplyDelete