Bab 17
SHAHRUL HAIRI
yang sedang memandu sekali-sekala mencuri pandang wajah isterinya. Melihat
wajah jernih itu dia tahu isterinya sedang gembira ketika ini. Pasti isterinya
berasa lega kerana kesnya bersama Pak Langnya sudah selesai. Atau... isterinya
terlalu gembira kerana dapat bertemu dengan teman lama atau mungkin kekasih
lama. Dia memandang Salmiha Haini sekali lagi sebelum bersuara.
“Nama
dia memang Les ke?” Shahrul Hairi memecah kebisuan antara mereka.
Salmiha
Haini memandang ke sisi seketika sebelum meluruskan pandangannya ke hadapan.
“Aah! Memang itulah nama dia! Kenapa?
Abang ingat Si Les tu sama dengan kawan abang Si Max tu ke? Suka tukar-tukar
nama sesedap rasa!” Tanya Salmiha Haini bersama tawa yang memanjang.
“Amboi...
sukanya dia kalau dapat kenakan abang ya!” Usik Shahrul Hairi. “Honey memang rapat dengan dia ke?”
Shahrul Hairi mengorek rahsia.
“Takdelah rapat sangat! Tapi Hani tahulah
yang dia pernah menaruh hati dekat Hani dulu. Disebabkan ada coursemate Hani yang minat kat dia, jadi
Hani tak layanlah dia sangat.” Selamba badak aje Salmiha Haini bercerita.
Langsung dia tidak menoleh untuk melihat wajah suaminya sama ada sedang
tersenyum hingga ke telinga atau sudah kelat seperti buah berembang muda.
Patutlah
lelaki tu tengok bini aku semacam je.
Rupanya ada hati kat bini aku. Aura cemburu sudah memenuhi ruang dadanya.
“Mana
kad yang dia bagi tadi? Abang nak tengok.”
“Abang
nak buat apa? Abang masih tak percaya ke yang nama dia Les?” Dalam pada itu,
tangannya menghulurkan kad bisnes milik Les tanpa syak wasangka.
Shahrul
Hairi memandang seketika kad nama tersebut ketika berhenti di lampu isyarat.
Les Muhaimin bin Badrul Amin. Pengurus besar. Hebat jugak lelaki ni. Patutlah Si Darlina kejar. Muka pun boleh tahan
kacaknya. Eh... ini bukan ke syarikat Uncle
Amin? Shahrul Hairi berkata dalam hatinya bila terlihat nama Syarikat Sri Bina.
Agaknya Les ni anak Uncle Amin kut? Kenapa Salmiha Haini tak sauk aje lelaki ni dulu?
Kacak dan kaya pulak tu!
“Abang
jalanlah! Orang dah bunyikan hon tu! Abang fikirkan tentang apa?” Tanya Salmiha
Haini bila suaminya begitu ralit dalam dunianya.
“Tak
ada apa-apalah,” jawab Shahrul Hairi sambil meneruskan pemanduannya. Kad bisnes
milik Les dihulur kembali kepada isterinya.
Salmiha
Haini segera menyambutnya. Bimbang ganggu pemanduan suaminya.
“Honey tahu tak siapa Les tu? Dia anak
orang kaya tau?” Shahrul Hairi memasang umpan. Dia ingin lihat sejauh mana
sikap dan perangai Salmiha Haini.
“Oh...
ya ke? Tak tahu pun! Tapi apa faedahnya jika dia anak orang kaya sekali pun?
Bukannya harta dia tu dapat kat Hani,” jawab Salmiha Haini bersahaja. Langsung
tiada perasaan teruja atau terkilan bila mendengar tentang kekayaan Les.
Dia
ni spesies tak heran dengan stok
lelaki kaya-raya ke? Kalau orang lain... mahu berkejaran ke sana ke mari hendak
memikat lelaki kaya. Tak kiralah sama ada lelaki itu suami orang ataupun bukan,
tua mahupun muda. Asalkan impian mereka terlaksana, sudah!
“Honey tak rasa rugi ke, tak dapat couple dia?”
Salmiha
Haini pantas menoleh suaminya yang sedang memandu.
“Nak
rugi buat apanya? Abang ingat... hidup dengan harta kemewahan ni hati boleh
tenteram dan aman? Lagi takut adalah! Setiap hari hati mesti risau. Sebab apa
perlu risau...” Salmiha Haini menjeling suaminya. “Sebab takut suami kena pikat
dan dirampas oleh perempuan lain. Hani kalau boleh tak nak suami yang kaya-raya
ni. Takut makan hati berulam jantung! Kahwin dengan abang ni pun rasanya macam
nak kena tempah liang lahad awal-awal je.
Tak pun wad kat IJN. Manalah tahu suatu masa nanti abang jadi ulat bulu, mahu
merana badan,” sindir Salmiha Haini.
“Ewah...!!!
Ewah..!!! Soalan abang punyalah
pendek. Jawapan honey bukan
main panjang berjela. Tak payahlah nak risau! Bukannya ada orang nak kat abang
pun. Jadi tak perlulah sampai nak tempah liang lahad atau wad kat IJN.
Entah-entah doktor pun tak hingin nak
tengok muka honey,” usik Shahrul
Hairi.
Salmiha
Haini menceber. Kurang percaya dengan mulut manis suaminya. Belum nak menggatal
lagi, bolehlah nafikan. Cuba dalam hati dah terdetik nak beralih arah, mahu tak
cukup memori dalam otak tu nak simpan data-data cara hendak memikat perempuan
atau menipu isteri.
“Boleh
dipercayai ke... dengan kata-kata abang tu? Macam tak berapa nak jujur aje
kenyataan abang tu? Orang lelaki ni... kalau kacak dan banyak duit, ragam dia
lain macam sikit!” Sinis Salmiha Haini.
“Itu
orang lain, bukan abang.” Shahrul Hairi membidas kata-kata isterinya.
“Yalah
tu!” Salmiha Haini bersuara.
“Honey boleh pegang dengan kata-kata
abang. Selagi abang masih waras, insya-ALLAH hanya honey seorang kekal bertakhta di hati abang hingga ke akhir hayat.”
“Itu
kalau abang masih waras. Kalau tak macam mana?”
“Honey ni... suka fikir yang bukan-bukan!
Kita sama-samalah berdoa supaya ALLAH lindungi rumah tangga kita hingga ke
akhir hayat,” ujar Shahrul Hairi seraya mencucuk pinggang Salmiha Haini.
“Abang...”
Terjerit Salmiha Haini akibat kegelian. Mujurlah dia bukan kaki latah, mahu accident mereka nanti. Bahu suaminya
ditampar perlahan. Dia akan cuba mempercayai setiap luahan suaminya. Dan dia
berdoa semoga apa yang diperkatakan oleh suaminya itu adalah benar dan bukan
sekadar mainan di bibir.
Shahrul
Hairi tertawa bahagia. Begitu juga dengan Salmiha Haini. Harapan mereka biarlah
rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke akhirnya.
SHAHRUL HAIRI
menuju ke balkoni. Lantas telefon bimbitnya menekan perkataan ‘ayah’. Dia perlu
bercerita dengan ayahnya. Ayahnya perlu tahu setiap perjalanan yang dilalui
dalam hidupnya. Dia tidak mahu ayahnya mengetahui tentang dirinya melalui mulut
orang lain. Dia juga bimbang jika ada yang menokok tambah dengan pelbagai
rencah semata-mata hendak menyedapkan jalan cerita.
“Assalamualaikum
ayah. Ayah apa khabar? Sihat?” Lega hatinya dapat mendengar suara ayah
kesayangannya itu. Selepas gagal menghubungi ayahnya tempoh hari, telefon
bimbitnya jarang diaktifkan. Bimbang jika ibunya menghubungi.
“Waalaikumussalam...
Alhamdulillah, ayah sihat. Rie pula macam mana nak?”
“Rie
pun sihat ayah.”
“Ada
apa Rie telefon ayah dulu? Maaflah ayah tak sempat nak telefon balik, terlalu
sibuk sepanjang berada di China,” jelas Tan Sri Sharman sedikit serba-salah.
Selebihnya dia bimbang jika anak lelakinya mempunyai masalah peribadi.
Shahrul
Hairi menarik nafas panjang-panjang sebelum meneruskan bicaranya. Dia
sebenarnya bimbang jika kata-katanya nanti bakal menggores luka hati ayahnya.
Tapi dia tidak sanggup menyimpan rahsia ini lebih lama. Kasih dan sayang
ayahnya tiada tandingan dan tidak ada galang gantinya. Oleh itu adalah tidak
wajar sekiranya dia terus berdiam diri. Lagi pula ayahnya harus tahu akan
status dirinya kini.
“Ayah...
Rie ada perkara nak bagi tahu ayah. Rie harap ayah dapat bersabar dan
bertenang.” Shahrul Hairi menyusun kata-kata.
“Perkara
apa Rie? Kamu jangan nak takut-takutkan ayah.” Tan Sri Sharman bersuara gusar.
“Bukannya
nak takut-takutkan ayah! Cuma Rie tak pasti sama ada perkhabaran ini
menggembirakan hati ayah ataupun tidak. Tapi bagi Rie... perkara ini amat
bermakna dalam hidup Rie,” terang Shahrul Hairi dengan kiasan.
“Bunyi
macam orang nak kahwin je?” Serkap
ayahnya.
“Bukan
nak kahwin ayah. Tapi...” Shahrul Hairi berhenti seketika. Nafasnya ditarik
panjang-panjang. Risaunya dia akan penerimaan ayahnya.
“Tapi
apa Rie?” Tan Sri Sharman segera memintas. Dia sudah tidak sabar hendak
mendengar penjelasan anak tunggal kesayangannya itu.
“Errr... errr... Rie nak bagi tahu ayah yang Rie dah pun menikah.”
“Bila
Rie? Kenapa tak bagi tahu ayah yang kamu nak menikah? Sampai hati Rie
belakangkan ayah.” Tan Sri Sharman bersuara kesal.
“Maafkan
Rie ayah. Maafkan Rie. Rie tak bermaksud nak membelakangkan ayah. Rie dah cuba
hubungi ayah nak beritahu perkara yang sebenar dan ingin mengajak ayah menemani
Rie pada hari pernikahan tu. Tapi ayah dah terbang ke China. Telefon bimbit
ayah pula gagal dihubungi. Maafkan Rie sebab buat keputusan tanpa rujuk kepada
ayah terlebih dahulu.”
Tan
Sri Sharman diam seketika. Bukan salah anaknya. Shahrul Hairi dah cuba untuk
hubunginya tapi tidak berjaya. Pasti ada sebab kenapa ALLAH tidak mahu dia
berada dalam majlis pernikahan anaknya itu. Tan Sri Sharman benar-benar yakin
dan pasti.
“Kamu
kena tangkap khalwat ke Rie? Atau perempuan tu dah hamil? Sebab tu kamu
tergesa-gesa menikah.” Luluh hatinya jika tekaannya benar.
“Astaghfirullahaladzim,
ayah. Rie taklah seteruk tu. Rie masih tahu batas-batasnya.” Walaupun kecil
hati dengan kata-kata ayahnya, Shahrul Hairi tidak marah atau simpan dalam
hati. Ibu bapa mana yang tak syak wasangka jika anak mereka tiba-tiba aje sudah
bergelar suami mahupun isteri tanpa pengetahuan mereka.
Alhamdulillah,
bisik hati Tan Sri Sharman.
“Maafkan
ayah Rie kerana buruk sangka.”
“Ayah
tak salah apa-apa. Ayah memang punya alasan yang kukuh untuk mengesyaki Rie.
Lagipun memang Rie yang salah sebab membelakangkan ayah. Ayah maafkan Rie ya.”
“Ayah
maafkan Rie. Ayah tahu Rie tak berniat hendak membelakangkan ayah. Emmm... cantik sangat ke kasih hati kamu
tu? Maksud ayah, cantik sangat ke isteri kamu tu sampai tak menyempat-nyempat
nak buat majlis mengikut ada resam orang Melayu dan tunggu ayah balik?” Usik
Tan Sri Sharman.
Shahrul
Hairi garu kepala dan tersengih di talian mendengar usikan ayahnya.
“Rie
takut melepas kalau lambat bertindak. Errr...
ayah tak marah ke Rie kahwin ni?”
“Kamu
nak ayah marahkan kamu ke?” Tan Sri Sharman bertanya kembali.
Shahrul
Hairi tergelak kecil mendengar ulasan ayahnya.
“Ingatkan
ayah nak mengamuk tadi! Habis tu calon menantu pilihan ayah dan ibu macam
mana?” Shahrul Hairi bertanya penuh kebimbangan. Yang dia paling risaukan
adalah penerimaan ibunya. Ibunya itu terlalu sukar hendak dibawa berunding dan
menerima pendapat orang lain bulat-bulat. Kalau hitam katanya maka hitamlah
jawapannya.
“Ayah
saja je gertak kamu. Risau juga ayah
bila sampai sekarang kamu masih solo. Tak sangka pula ayah, kamu dah ada
kekasih. Kalau ayah tahu, takdenya
ayah ikut rancangan ibu kamu. Kenapa tak cakap kat ayah yang kamu dah ada
kekasih sebelum ni? Kalau tak, boleh ayah pergi pinangkan. Takdelah kamu kahwin macam anak terbuang
seperti ni,” perli Tan Sri Sharman.
“Bukan
tak nak bagi tahu ayah. Cuma waktu tu Rie tak yakin lagi dengan hati Rie.”
Yalah tu tak yakin lagi. Padahal dia dah syok kat Salmiha Haini separuh mati.
Cuma Salmiha Haini aje yang tak tahu rahsia hatinya.
“Tak
apa, ayah mengerti keadaan Rie ketika tu.”
“Hmmm... ayah tak marah ke Rie menikah
ni?”
“Habis
tu... ayah nak buat macam mana lagi? Lagipun benda dah jadi!”
Shahrul
Hairi menghela nafasnya.
“Ayah
restu tak perkahwinan Rie ni?”
“Kenapa
pulak ayah tak restu? Ayah memang
berharap sangat kamu kahwin dalam masa yang terdekat ni walaupun bukan cara
begini yang ayah pinta. Tapi tak mengapalah, janji kamu dah pun kahwin,” jelas
Tan Sri Sharman. “Dari tadi ayah tanya, cantik ke tak menantu ayah tu?”
Shahrul
Hairi bersyukur sangat-sangat kerana mempunyai ayah seperti Tan Sri Sharman.
Ayahnya terlalu baik dan memahami.
“Mestilah
cantik! Nanti Rie hantar gambar dia kat ayah. Ayah tengok ya! Jangan ayah
terberkenan sudahlah,” giat Shahrul Hairi.
“Hesy...
kamu ni! Ke situ pulak. Ada aje
alasan nak usik ayah. Ayah dah tua! Sekarang ni, ayah cuma fikir nak buat amal
ibadat je sebelum malaikat maut
datang menjemput.”
“Terima
kasih ayah kerana merestui Rie. Rie sayang ayah sangat-sangat.” Shahrul Hairi
bersuara sedikit sebak.
“Ayah
pun sayang kamu juga. Kamulah satu-satunya anak yang ayah ada.” Tan Sri Sharman
sudah sebak. “Errr... Rie tak nak buat majlis kat sini ke? Kalau
nak ayah boleh aturkan.”
“Rie
belum terfikir lagi ayah. Lagipun Rie bimbang sangat dengan penerimaan ibu. Rie
takut ibu akan buat sesuatu yang boleh meruntuhkan rumah tangga kami. Ayah pun
tahukan sikap ibu macam mana. Rie pasti ibu akan bangkang habis-habisan.”
Shahrul Hairi menjeling isterinya yang sedang berkemas. Bimbang jika lantunan
suaranya dapat didengari oleh isterinya itu. Dia tidak mahu isterinya kecil
hati dan rasa terpinggir.
“Betul
juga cakap Rie. Buat masa ni kita diamkan dulu. Ayah pun risau juga dengan
kerenah gila ibu kamu tu. Akalnya memang tak boleh kita nak duga dan jangka.”
Shahrul
Hairi tersenyum hambar mengenangkan sikap ibunya. Cukuplah dia mendapat restu
ayahnya buat masa ini. Yang lain dia tidak peduli dan perlukan lagi.
“Kita berhenti setakat ni dulu ya ayah! Rie
dah nak pergi kerja ni. Insya-ALLAH, Rie akan bawa isteri Rie berjumpa dengan
ayah nanti. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam.
Sampaikan salam ayah buat isteri kamu,” pesan Tan Sri Sharman sebelum
mengakhiri perbualan mereka.
“Insya-ALLAH
ayah.”
Shahrul
Hairi merenung telefon bimbitnya setelah perbualan dengan ayahnya tamat.
Terukir senyuman di bibirnya. Shahrul Hairi berasa amat puas dan gembira
setelah mendapat restu daripada ayahnya. Dia berdoa semoga rumah tangganya
kekal aman dan bahagia hingga ke akhirnya.
SALMIHA HAINI
menghampiri suaminya. Bukan main ceria lagi wajah suaminya ketika ini. Entah
apalah yang dibualkan oleh suaminya hingga memancarkan seri di wajahnya.
Suaminya
memang kacak dan tampan apatah lagi setelah menyarung uniform rasminya itu. Tak
puas dia memandang. Salmiha Haini yakin, ramai gadis di luar sana yang menaruh
hati terhadap suaminya itu. Kiranya dia lah wanita yang paling bertuah kerana
berjaya menjadi isteri buat lelaki yang bernama Shahrul Hairi itu.
“Abang
tahulah abang ni kacak. Tapi tak payahlah renung abang sampai macam tu sekali,”
usik Shahrul Hairi sambil tersenyum.
Wajah
Salmiha Haini merona merah. Malu bila tertangkap merenung anak teruna orang.
Eh! Bukan anak teruna orang tapi suami sendiri.
“Mana
ada tengok wajah abangnya.” Salmiha Haini berdalih.
“Hmmm... yalah tu. Dah tengok abang macam
nak telan, masih ada hati lagi hendak meningkah,” ujar Shahrul Hairi sambil
tertawa. Sikap Salmiha Haini yang malu-malu menarik perhatiannya. Makin Salmiha
Haini malu, makin giat dia mengusik. Kadang kala sampai merajuk isterinya itu
dibuatnya. “Ayah kirim salam kat honey,”
beritahu Shahrul Hairi sambil membetulkan uniformnya. Wajah Salmiha Haini
dipandang.
“Waalaikumussalam,”
balas Salmiha Haini. “Ayah abang dah tahu tentang kita? Dia tak marah ke?”
“Alhamdulillah.
Ayah boleh terima honey sebagai
menantunya.”
Salmiha
Haini tersenyum bahagia. Dia sangat-sangat bersyukur kerana ALLAH permudahkan
perjalanan hidupnya bersama Shahrul Hairi.
“Abang
pergilah minum dulu. Hani dah siapkan minuman abang,” pesan Salmiha Haini sebelum
berlalu ke bilik mandi. Dia juga harus bersiap sekarang, nanti terlewat pula
mereka sampai ke airport. Ah! Lupa
pula dia hendak bertanyakan tentang ibu mentuanya terutama sekali
penerimaannya. Namun sesaat kemudian dia tersenyum. Kalau ayah mentuanya boleh
terima, pasti ibu mentuanya juga begitu, fikir Salmiha Haini.
Shahrul
Hairi duduk di birai katil. Dia ingin menanti isterinya. Tidak betah rasanya
jika minum sendirian tanpa berteman.
“Eh...
abang tak turun lagi?” Tanya Salmiha Haini sebaik sahaja dia terpandang wajah
Shahrul Hairi. Mujur juga dia tergerak hati hendak membawa pakaiannya bersama.
Jika tidak mahu ada tayangan percuma petang ini.
Shahrul
Hairi menggeleng. Wajah isterinya yang sedang bersiap dipandang. Dia sebenarnya
terkilan dengan sikap Salmiha Haini. Walaupun mereka suami isteri tetapi
Salmiha Haini tetap menyalin pakaiannya di dalam kamar mandi. Entah apa yang
disegankan oleh isterinya itu pun dia tidak tahu.
“Laa...
kenapa tak turun lagi? Mesti air coklat abang dah sejuk,” keluh Salmiha Haini.
“Takpelah dah kalau sejuk pun. Bukannya
basi,” balas Shahrul Hairi sambil memerhati isterinya yang sedang merapikan
diri.
Salmiha
Haini sudah menggeleng kepala mendengar alasan suaminya. Dia segera mengemaskan
dirinya. Dia tidak mahu Shahrul Hairi tertunggu-tunggu akan dirinya.
“Jom
kita turun. Hani dah siap ni.” Ajak Salmiha Haini dengan senyuman manis.
Shahrul
Hairi angguk kepala. Bagasi yang memuatkan pakaian mereka ditarik. Senyuman
isterinya juga turut dibalas. Lapang rasa dadanya setiap kali melihat senyuman
mekar dari bibir Salmiha Haini. Tengah marah pun boleh sejuk.
“Abang...
best tak Korea?”
“Abang
tak nak cakap. Nanti honey akan tahu
sendiri,” balas Shahrul hairi sambil mengenyit matanya.
Salmiha
Haini menceber.
Tergelak
Shahrul Hairi melihat perlakuan isterinya.
“Kalau
abang bagi tahu sekarang, takdelah
kejutan buat honey bila dah sampai
sana nanti,” beritahu Shahrul Hairi.
Betul
juga cakap suaminya. Kalau suaminya dah beri penerangan secara terperinci
tentang bumi Korea, tiadalah lagi keterujaan yang menanti dirinya.
“Tapi
abang yakin honey pasti sukakan
tempat tu.”
Salmiha
Haini angguk kepala. Biarlah dia tengok dengan mata kepalanya sendiri. Seronok
juga kahwin dengan pilot ni. Boleh
jalan-jalan lihat negara orang.
Best... best...
ReplyDeleteTerima kasih puteri atilia
Deletebest 3x....
ReplyDeleteTerima kasih baby mio
DeleteSemakin teruja untuk memiliki buku ini.
ReplyDeleteKmas
Terima kasih Kmas krn dpt terima saca seadanya.
Deletebest sgt......so sweet...nk lg
ReplyDeleteTerima kasih emyliana adlin
DeleteHati dah panasaran dgn saca.
ReplyDeleteJgn panasaran ya :)
DeleteSuka sgt2
ReplyDeleteterima kasih krn sukakan SACA
ReplyDelete