Bab
14
USAI
solat Maghrib berjemaah, Salmiha Haini bergegas ke dapur menghidangkan makan
malam. Itu pun atas permintaan Shahrul Hairi. Ikutkan hatinya yang malas
memasak, ingin saja dia mengajak lelaki itu makan di luar. Penat anggota
badannya sepanjang hari ini masih lagi belum hilang. Macam manalah agaknya
kalau dia yang terpaksa bersusah payah menguruskan majlis tersebut bersama ahli
keluarga? Tentu saja kepenatannya berlipat kali ganda.
Baru
hendak menyenduk nasi ke dalam pinggan, Salmiha Haini sedikit tersentak bila
terdengar bunyi loceng yang bertalu-talu. Lantas mangkuk yang berisi nasi
diletakkan kembali di atas meja. Tangannya dicuci. Memang begitu sikapnya. Dia
tidak betah jika tidak mencuci tangan selepas melakukan apa-apa kerja.
“Siapalah
yang datang malam-malam buta ni?” Rungutnya tanpa sedar. “Atau kawan-kawan
suaminya dah balik?” Tangannya yang sedikit basah dilap dengan tuala bersih.
Tudungnya yang berada di atas sofa segera dicapai sebelum membuka pintu.
Kepalanya terjengah-jengah mencari Shahrul Hairi.
“Encik
nak cari siapa?” Salmiha Haini bertanya ramah.
Max
memandang wajah Salmiha Haini tanpa berkelip.
Fuhlamak!
Puteri kayangan mana yang datang berkunjung ke rumah sahabatnya ini? Cantik
bukan main lagi. Jangan-jangan Si Rie ni dah pandai simpan perempuan tak? Tapi
bila masa pulak kawan karibnya yang
beku dan kaku itu boleh jadi pencinta wanita? Hesy... tak masuk akallah! Terasa
agak mustahil pula andai teman rapatnya itu berperangai keji. Shahrul Hairi kan
ala-ala alim gitu!
Sepupu
dia agaknya? Tapi... dia kan tak ngam dengan sepupunya yang seorang itu.
Mungkin orang gaji dia kut? Amboi... sikit punya cun orang gaji yang dia pilih.
Kalau dapat orang gaji seperti ini, aku pun kepingin! Max memandang Salmiha
Haini dari atas hingga ke bawah berulang kali.
Apa
fasal orang ni pandang aku macam nak telan? Hati Salmiha Haini dihambat
kebimbangan. Risau pulak dia melihat
tingkah laku lelaki di hadapannya ini yang sedikit pelik. Salmiha Haini
berdehem berulang kali. Naik perit tekaknya. Namun orang di hadapannya masih
kaku terdiam.
“Encik...
encik... nak cari siapa?” Salmiha Haini memetik jarinya berulang kali di
hadapan Max.
Max tersedar dari angaunya yang panjang.
“Saya
nak jumpa Shahrul Hairi. Dia ada?” Senyuman menawan dihadiahkan buat gadis
rupawan itu.
Shahrul
Hairi? Salmiha Haini menggaru kepalanya. Agaknya nama sebenar Ringgo, Shahrul
Hairi kut? Tak pun nama kawan serumah Ringgo. Aduh, nak buat macam mana ni? Aku
bukannya kenal pun dengan penghuni-penghuni dalam rumah ni.
“Emmm... Shahrul Hairi takde, Ringgo adalah.”
Berkerut-kerut
dahi Max mendengar kata-kata Salmiha Haini. Bila masa pulak mangkuk ayun ni tukar nama? Gumam Max. Aku salah rumah ke?
Lantas dia cuba mencernakan kembali perbuatannya selepas memarkir kenderaan.
Rasanya betul dah dia tekan angka dua puluh di butang lif sebentar tadi. Dan
nombor rumah ini juga tidak bertukar sejak rakannya itu berpindah ke mari.
Malahan cat pintu dan dinding rumah sahabatnya juga masih tidak berubah
walaupun sudah seminggu dia tidak berkunjung ke mari.
Shahrul
Hairi segera menuju ke ruang tamu setelah mendengar kekecohan yang berlaku di
muka pintu rumah.
Melihat
suaminya sudah tiba, Salmiha Haini segera beredar ke dapur menyelesaikan
tugasnya yang terbengkalai seketika tadi.
“Hei...
Max! Kenapa nak datang tak bagi tahu?” Tanya Shahrul Hairi. Dia benar-benar
terkejut dengan kedatangan sahabatnya itu secara mendadak. Alahai! Macamlah Si
Max ni pernah bagi tahu kalau dia nak datang, getus Shahrul Hairi.
“
Kau ni apa hal? Selama ini aku datang, tak pernah beritahu pun. Okey je!” Sindir Max. “Atau kau cuba
sembunyikan sesuatu daripada aku? Mungkin sesuatu yang rahsia!” Serkap Max.
Shahrul
Hairi cuba tersenyum. Namun dapat dirasakan senyumannya tidak menjadi. Pandai pulak rakannya itu menebak!
“Mana
ada rahsianya.” Shahrul Hairi bersuara serius, menutup gelabahan di hati.
“Eh... marilah masuk! Tak akan kau nak berdiri di luar je,” pelawa Shahrul Hairi.
“Ingatkan
kau nak biar je aku berdiri kat luar
ni sampai esok. Manalah tahu takut
aku ganggu ketenteraman kau,” perli Max.
“Tak
akanlah aku nak buat macam tu,” jelas Shahrul Hairi sambil menumbuk lembut bahu
sahabatnya.
“Eh!
Bila masa pulak nama kau bertukar
Ringgo?” Sindir Max.
Shahrul
Hairi tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru.
“Errr... kau dah makan belum? Kalau belum
mari join aku sekali,” pelawa
Shahrul Hairi. Pertanyaan Max dibiarkan
sepi tidak berjawab. Bukannya penting pun.
Max
tersenyum lebar mendengar ajakan kawannya itu. Perutnya memang kelaparan ketika
ini. Tujuan dia datang ke rumah Shahrul Hairi pun sebab hendak mengajak
temannya itu keluar makan bersama. Dia juga sudah terlupa dengan pertanyaan
yang dicetusnya sebentar tadi.
“Emmm... boleh jugak. Teringin juga aku nak rasa masakan orang gaji kau. Kalau dia
masak sedap, boleh aku pinang buat isteri,” usik Max.
Muka
Shahrul Hairi bertukar kelat. Mujurlah tidak bertukar hijau. Jika itu berlaku,
mahu Max terpaksa tidur di wad ICU malam ni. Dan bila masa pulak isterinya bertukar status kepada orang gaji? Memang nak kena
Salmiha Haini ni! Ada ke patut mengaku jadi orang gaji! Mengaku ajelah bini
aku. Apa? Aku ni buruk sangat ke, sampai segan nak mengaku suami dia?
Ketika
mereka tiba di meja makan, Salmiha Haini sudah pun siap menghidangkan makan malam. Tanpa tertangguh dan dipelawa,
Max terus duduk dan air yang dituang oleh Salmiha Haini begitu rakus
diteguknya. Matanya juga tidak lekang mencuri pandang wajah Salmiha Haini yang
sedang menjirus tangan Shahrul Hairi.
“Encik
basuh tangan,” arah Salmiha Haini lembut sambil tangannya bersedia hendak
menjirus air ke tangan Max.
Tanpa
berlengah Max menghulur tangannya.
Setelah
selesai tugasnya, Salmiha Haini segera ke dapur pabila mata Shahrul Hairi
memberi isyarat supaya dia beredar dengan kadar segera.
Apabila
Salmiha Haini meletakkan kembali bekas mencuci tangan di atas meja, tangan Max
pantas mencapainya dan menuang air tersebut ke dalam gelasnya.
Bulat
mata Shahrul Hairi memandangnya. Max dilihatnya seperti sedang berkhayal dan
terawang-awang dalam dunianya. Melihat Max menyuakan gelas tersebut ke
mulutnya, Shahrul Hairi lantas menegur.
“Ooii... Max! Air yang kau minum tu air
untuk basuh tanganlah.”
Segera
Max menyembur air tersebut.
“Apalah
kau ni Max? Kalau ya pun tengah berangan, tak akanlah tak boleh nak bezakan
antara bekas air basuh tangan dengan bekas air minuman?” Sindir Shahrul Hairi
sambil mengelap wajahnya. Tak fasal-fasal muka kacaknya kebasahan.
Shahrul
Hairi bengang dengan gelagat teman baiknya itu. Seleranya terus terbantut
walaupun hidangan di hadapannya benar-benar menyelerakan. Masak lemak cili padi
ketam bersama pucuk labu, sambal mangga dan daging masak lada hitam adalah
makanan kegemarannya. Sengaja dia meminta Salmiha Haini menyediakan menu
tersebut untuk hidangan makan malam. Tetapi telatah Max, benar-benar menyenakkan
hatinya. Dirinya bimbang andai Max menaruh perasaan terhadap isterinya.
“Abang,
Hani naik atas dulu ya,” pinta Salmiha Haini sopan sambil memandang wajah
suaminya seketika sebelum memandang Max. Senyuman di bibir terbentuk saat
matanya bertembung dengan mata sahabat suaminya itu. Max dilihatnya begitu
asyik meneroka wajahnya. Salmiha Haini sebenarnya tidak suka direnung dan
ditatap sebegitu. Memandangkan lelaki itu rakan suaminya, dia terpaksa
menunjukkan raut wajah yang manis. Tak akanlah dia hendak tunjuk raut wajah
masam mencuka atau seperti pesakit mental. Mahu pengsan teman suaminya itu.
Langkahnya juga diatur laju.
“Abang
ikut jugalah,” kata Max spontan. Max bangun dari tempat duduknya dan mengekori
langkah Salmiha Haini yang sudah berjalan sedikit di hadapan.
Shahrul
Hairi terpegun seketika mendengar ayat Max. Apa? Dia nak ikut bini aku? Woi...
Kawan! Itu my beloved wife laa... Sejak bila pulak selera mamat ni berubah? Biasanya taste Max hanya perempuan yang seksi dan menggoda. Tak akan
isterinya yang menutup aurat dan tanpa secalit alat solek pun Max boleh
terpesona? Ini tak boleh jadi ni! Rusuh hati Shahrul Hairi. Segera dia menarik
kolar baju sahabatnya yang sudah memanjat anak tangga yang pertama.
“Eh!
Engkau nak pergi mana?” Bisik Shahrul Hairi. Jantungnya bagaikan hendak
terputus dari tangkainya dengan sikap sahabatnya itu.
“Haahlah...
aku nak pergi mana ni?” Max seperti orang dungu. Dia juga bingung dengan
tindakannya itu. Ketika Salmiha Haini minta diri untuk beredar, dia seolah-olah
terdengar Salmiha Haini mengajaknya sekali.
“Kau
jangan nak buat hal.” Shahrul Hairi memberi amaran. Risau juga dia melihat
wajah temannya yang seperti tersampuk itu. Segera dia mengajak Max menyambung
kembali makan malam mereka yang terganggu seketika tadi.
Tanpa
membantah, Max menuruti langkah Shahrul Hairi.
“Cantiknya
dia Rie... tergoda aku. Rasa macam nak ajak
je orang gaji kau tu kahwin esok.” Max bersuara teruja. “Kau jumpa dia kat
mana?”
Shahrul
Hairi benar-benar gusar mendengar luahan Max. Geram sungguh dia dengan ayat
berani mati rakan sekerjanya itu. Dia baru hendak merasai nikmat bercinta tanpa
gangguan orang lain, dah ada yang cuba potong jalan. Pulak tu siap tangkap syok dengan isterinya. Ingatkan cari
perempuan muslimah, takde sahabatnya
yang tertarik. Rupanya tidak! ‘Mangkuk tingkat’ yang selama ini hanya
berkenankan wanita seksi dan bergaya, sudah jatuh terjelepok hatinya sejak
terpandang raut wajah isterinya. Memang nak makan penumbuk dia ni! Getus
Shahrul Hairi. Tangannya tanpa sedar sudah mengempal penumbuk di bawah meja.
“Weh...
kau ni kenapa Rie? Jangan cakap kau juga turut menyimpan perasaan terhadap
orang gaji kau tu? Awek kau yang kat JB tu kau nak campak ke mana?” Wajah
Shahrul Hairi yang tegang ditatap penuh minat. Naik takut pun ada dia melihatnya.
“Hesy...
kau ni! Suka sangat merepek. Mana ada aku syok kat sape-sapelah.”
Salmiha
Haini yang baru hendak melangkah ke dapur tidak jadi berbuat demikian. Pilu
hatinya mendengar kata-kata Shahrul Hairi. Benarkah lelaki itu tiada sekelumit
pun perasaan terhadapnya? Tapi kenapa semasa di butik pengantin tadi, lain
benar tingkah lakunya? Dia dapat merasakan yang dirinya sangat-sangat dicintai
dan disayangi lelaki itu. Cara suaminya melindungi dirinya daripada mata-mata
nakal lelaki yang mengunjungi butik itu, jelas menunjukkan yang suaminya
benar-benar kasihkan dirinya. Oh... Salmiha Haini! Adakah kau sahaja
berperasaan seperti itu tetapi dia sebaliknya?
Dan
benarkah suaminya sudah punya kekasih? Jika benar, kenapa Shahrul Hairi masih
mengajaknya berkahwin? Dan mengapa lelaki itu tidak berkahwin dengan kekasih
hatinya? Tapi nanti kejap! Bukan ke dia kata, dia takde sesiapa dalam hidupnya? Hesy... mana satu nak percaya ni?
Yang
kau emo sangat ni kenapa Salmiha
Haini? Marahnya kepada diri sendiri. Bukan ke lelaki tu dah kata, dia tolong
kau dan kau tolong dia! Jadi kalau ada perasaan minat ataupun tertarik
terhadapnya, lebih baik kau bunuh perasaan tu cepat-cepat! Nasihatnya kepada
diri sendiri. Tanpa tertangguh, dia kembali ke kamar tidur yang dikongsi
bersama Shahrul Hairi. Tujuannya ke dapur semula tadi adalah hendak bertanya
sama ada suaminya itu memerlukan apa-apa lagi ataupun tidak.
“Malam
ni aku nak tidur sinilah. Malas rasanya nak drive,”
ujar Max bersama senyuman.
Shahrul
Hairi sudah panas punggung.
“Errr... kau makanlah dulu ya. Aku nak
solat Isyak jap!” Shahrul Hairi
bersuara. Nasi dipinggannya juga hanya luak sedikit sahaja. Kehadiran Max pada
hari ini sedikit sebanyak telah membunuh mood
dan seleranya.
SHAHRUL HAIRI
menghampiri Salmiha Haini yang sedang menyidai telekungnya. Pasti baru selesai
solat, fikirnya. Isterinya langsung tidak menoleh atau memandangnya.
Kehadirannya di situ seolah-olah tidak wujud.
Lekuk tubuh isterinya dipandang
penuh minat. Seksi!
“Lepas
ni abang tak nak tengok honey pakai baju macam ni.” Shahrul
Hairi mengeluarkan arahan. Wajah Salmiha Haini yang terkulat-kulat memandangnya
direnung tajam.
Salmiha
Haini meneliti pakaian yang tersarung di tubuhnya. Apa masalah dengan baju aku?
Tak akan t-shirt dan seluar track tak boleh pakai dalam rumah ni? Aneh sungguh!
Lelaki yang baru sehari bergelar suaminya dipandang dengan perasaan bercampur
baur.
“Apa
yang tak kena dengan baju ni?” Tanya Salmiha Haini dengan berani.
“Honey tak nampak ke, t-shirt yang honey pakai tu jarang, singkat dan
ketat?”
Jarang,
singkat dan ketat ke? Okey je aku
tengok. Kalau ya sekalipun apa masalahnya? Aku kan pakai tudung, manalah ada
terserlah lekuk tubuh badan aku ni. Atau dia yang takut tergoda? Hati Salmiha
Haini berbisik nakal. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.
Terpukau
Shahrul Hairi melihat senyuman Salmiha Haini. Cantiknya dia! Perasaannya
seperti di butik pengantin tadi, sudah menjelma kembali. Matanya tidak berkelip
melihat wajah isterinya. Langkahnya diatur menghampiri Salmiha Haini. Ingin
rasanya dia membelai raut wajah yang jelita itu. Saat tangannya melekap di pipi
Salmiha Haini, terdengar suara menegurnya.
“Hah...
nak buat apa tu? Jangan nak menggatal! Perangai sebijik macam kucing. Pantang nampak ikan, habis hendak
diterkamnya,” sindir Salmiha Haini. Marahnya juga akibat daripada perasaan
geram terhadap Shahrul Hairi. Cakap tak syok kat dia! Tapi bila duduk berduaan,
ada saja kelakuan nakal yang hendak dilakukan oleh lelaki itu.
Shahrul
Hairi garu pangkal lehernya. Alamak... macam mana boleh lepas laku ni?
“Okeylah,
abang setuju sekiranya diri abang ni diibaratkan kucing. Pantang nampak benda
yang menyelerakan, semuanya hendak disapu dan dimakan. Tapi abang ni jenis
kucing yang tak makan ikan. Abang hanya makan ayam je. Lagipun apa yang bestnya
ikan tu? Isi kurang! Banyak tulang! Nanti lekat kat tekak. Makan ayam lagi
sedap. Nak-nak ayam dara. Banyak isi! Gebu! Ha... kalau dapat ayam golek... marbelous!” Sengaja Shahrul Hairi
menyakatkan isterinya.
Kecur
liur Salmiha Haini mendengar perkataan ayam golek. Ayam golek mahupun ayam
percik merupakan makanan kegemarannya. Andai dia dapat menjamu selera dengan
makanan tersebut, Shahrul Hairi jeling-jeling manja pun dia bolayan!!!
“Dan
seperkara lagi yang perlu awak tahu wahai isteriku... abang ni bukannya peserta
Imam Muda yang boleh mengawal godaan dan hasutan hawa nafsu, abang hanya
manusia biasa. Lain kali kalau tak nak kena terkam dengan ‘kucing’ ni,
berhati-hatilah! Sebab lepas ni abang tak pasti sama ada honey boleh terlepas ataupun tidak!” Ujar Shahrul Hairi bersama
kenyitan.
Huh...
gatal sungguh! Gerutu Salmiha Haini.
“Nanti
turun bawah, kemas meja makan. Tapi sebelum tu, tukar baju dulu. Kawan abang
tidur sini malam ni,” arah Shahrul Hairi sedikit tegas. Setelah itu dia ke
bilik air untuk berwuduk.
Salmiha
Haini merengus geram. Namun pakaian yang tersarung di tubuhnya digantikan juga
dengan yang lain.
“SIAPA NAMA?”
Max memulakan sesi salam perkenalan sebaik saja Salmiha Haini menyertainya di
ruang tamu. Tadi bukan main lama lagi dia menunggu Shahrul Hairi di meja makan,
hingga siap dia makan malam sendirian. Lehernya juga hampir terpulas sebab
terlalu kerap memandang ke tingkat atas. Risau dia dibuatnya bila Shahrul Hairi
dan Salmiha Haini tidak menampakkan batang hidung mereka. Entah apa yang mereka
buat di tingkat atas pun dia tidak tahu.
“Saya
Salmiha Haini, panggil Miha sahaja.”
“Dah
lama kerja dengan Hairi?”
Berkerut-kerut
dahi Salmiha Haini. Kerja? Kerja apa?
“Emmm... maksud encik?”
“Kerja
sebagai orang gaji di rumah ni.”
Terkedu
Salmiha Haini mendengarnya. Sampai hati Shahrul Hairi menyetarafkan dia dengan
orang gaji. Kini tahulah dia, siapa dirinya di mata Shahrul Hairi.
“Takdelah lama sangat, baru je,” jawab Salmiha Haini tidak
bersemangat.
“Tapi
betul ke Miha ni orang gaji dia?”
“Emmm... tuan rumah cakap apa?”
“Hairi
tak cakap apa-apa pun. Dia diamkan aje,” terang Max. Tak akan Si Miha ni mistress Hairi pulak? Memang pelik sangatlah kalau sahabatnya itu ada simpan
perempuan. Alangkan Darlina menyelinap masuk ke dalam bilik hotelnya pun dia
dah mengamuk sakan. Inikan pula saja-saja nak simpan perempuan di rumahnya.
Memang tak masuk akallah!
Hesy...
orang tua ni! Mati-matilah aku ingat yang suami aku perkenalkan kat dia yang
aku ni orang gaji. Rupanya mamat ini yang pandai-pandai bawa mulut! Memang nak
kena cabai mulut dia ni! Bahagia rasanya bila tahu Shahrul Hairi tidak
menganggapnya seperti orang gaji. Hesy... mana boleh syok kat dia, nanti awek
dia marah. Argh... peduli apa aku
dengan awek dia! Sekarang... pangkat siapa paling besar? Aku atau awek dia? Dah
dapat kat aku tahulah macam mana nak ikat dia nanti.
“Betullah
tu orang gaji!”
Gembira
bukan kepalang hati Max mendengarnya. Nasib baik Salmiha Haini tak cakap yang
dirinya perempuan simpanan ataupun isteri Shahrul Hairi. Tentu dia pengsan di
situ juga andai perkara itu terjadi.
“Siapa
orang gaji?” Tanya suara di belakang mereka.
Salmiha
Haini menoleh. Gusar dia melihat wajah merah Shahrul Hairi. Tak akan marah kot? Salah besar ke kalau cakap dia
orang gaji? Tak akanlah!
“Abang
nak air?” Laju sahaja Salmiha Haini bertanya. Tidak betah dia berlama di situ
apatah lagi melihat mata yang mencerun tajam memandangnya.
“Boleh
juga. Abang nak air Nescafe. Buat sedap-sedap! Kalau tak sedap, abang denda,”
tegas Shahrul Hairi. Sakit sungguh hatinya bila Salmiha Haini mengaku sebagai
orang gaji. Jawapan Salmiha Haini itu bagai memberi peluang kepada Max untuk
merenyam dengan isterinya.
Tak
tertelan air liur Salmiha Haini dibuatnya. Denda? Denda apa? Bagaimana bentuk
dendanya? Semua itu berlegar di kepalanya.
“Kena
denda apa bang, kalau air tak sedap?”
“Adalah!”
Ujar Shahrul Hairi sepatah bersama senyuman mautnya.
Makkk...
seramnya tengok dia senyum macam tu! Getus Salmiha Haini.
“Encik
nak minum?” Salmiha Haini bertanya kepada Max.
“Tak
payahlah berencik-encik. Panggil Abang Max pun dah cukup. Kalau nak romantis
lagi panggil abang, macam Abang Hairi ni.” Max menghadiahkan kenyitan kepada
Salmiha Haini. “Emmm... buatkan abang
Nescafe juga ya.”
Terperanjat
tidak terkira Salmiha Haini dengan kenyitan itu. Lelaki dalam rumah ni dah
terkena sakit mata ke? Tadi suaminya kenyit mata. Yang itu boleh dimaafkan
lagilah sebab lelaki itu suaminya. Tapi yang ini? Yang tak tersenarai langsung
dalam diari hidupnya pun kenyit mata juga. Memang nak kena cucuk dengan garpu
mata tu agaknya, biar jadi Kassim Selamat! Tanpa menunggu lama, Salmiha Haini
terus beredar.
Perasaan
Shahrul Hairi ketika ini, usah la ditanya lagi. Dia benar-benar hangin dengan tingkah Max. Sikap buaya
tembaga Max langsung tidak disorok-sorok. Malahan dengan beraninya Si Max
mempamerkan aksi gatal di depan bijik
matanya. Hati suami mana yang tidak membahang!
“Eh...
Rie! Kat mana kat jumpa orang gaji kau tu? Dari tadi aku tanya, kau tak jawab
pun.” Max bertanya sekali lagi.
“Mana
ada aku jumpa kat mana-mana. Dia yang cakap dirinya orang gaji, aku tak anggap
pun!” Jelas Shahrul Hairi sedikit bengang dengan sikap banyak mulut kawannya
itu.
“Kalau
kau tak nak dia jadi orang gaji kat rumah kau, kau passing ajelah kat aku. Senang aku nanti. Balik kerja, dah ada
orang tolong buatkan air dan sediakan makanan,” ujar Max dengan senyuman.
Ahh...
sudah dah dia ni! Tak akan nak angkut bini aku bawa balik? Ini tak boleh
dibiarkan ni!
“Bila
masanya aku kata tak nak dia duduk dekat sini? Kau ni memandai ajelah,” rungut
Shahrul Hairi. “Lagipun... tak akan kau sorang je yang nak bila balik rumah ada orang sediakan makan minum, aku
pun nak gak!” Sindir Shahrul Hairi.
“Apa kata... kau rembat je mana-mana
kekasih gelap kau tu buat isteri. Habis cerita!”
“Mereka
tu buat apa? Setakat stok untuk suka-suka bolehlah! Nak dijadikan isteri? Mahu
karam rumah tangga aku,” ujar Max bersama gelakkan. “Silap-silap, aku yang baru
balik kerja kena masak untuk mereka. Daripada aku kahwin dengan dia orang,
lebih baik aku membujang. Hati tak sakit, duit pun tak habis,” tutur Max dengan
penuh perasaan. “Tapi kalau dengan Miha ni, aku rasa aku pula yang tak
sabar-sabar nak sampai ke rumah dengan cepat,” luah Max dengan perasaan bahagia
yang tidak terungkap dengan kata-kata.
Ada
juga yang nak kena debik! Balik-balik
bini aku juga yang disebut-sebutnya. Sebutlah nama perempuan lain pulak! Macamlah sebelum ni tak pernah
rapat dengan mana-mana perempuan!
Tidak
lama kemudian Salmiha Haini muncul bersama dulang di tangan. Di dalamnya
terdapat dua muk Nescafe dan sepinggan jejemput udang.
“Wah...
hebatnya Miha! Sempat sediakan cucur udang lagi. Ini kalau jadi isteri abang, beruntunglah
abang. Dahlah cantik, cekap pulak tu
buat kerja di dapur. Masakan pun sedap. Kena aje dengan selera abang.”
Shahrul Hairi yang baru meneguk
airnya terus tersedak. Bersembur keluar air Nescafe dari mulut.
Segera
Salmiha Haini mencapai tisu di atas meja kopi dan membantu mengelap mulut
suaminya. Kata-kata Max tidak diendahkan. Bahkan dianggap sebagai gurauan.
“Terima
kasih honey,” bisik Shahrul Hairi.
Tisu di tangan Salmiha Haini diambilnya.
Max
sudah memandang pelik pasangan itu. Tapi dia cuba bersangka baik. Mungkin
begitulah adatnya jika menjadi orang gaji. Sentiasa menjaga kebajikan
majikannya. Hai... seronoknya kalau Salmiha Haini layan dirinya begitu.
“Tak
sedap ke air yang Hani buat tu?” Salmiha Haini bertanya gusar. Risau dia
memikirkan denda yang bakal dikenakan.
Shahrul
Hairi menggeleng kepala.
Erk!
Apa maksud gelengan tu? Hati Salmiha Haini jadi tidak keruan. Cuak... Habislah!
Pasti teruk dia kena denda nanti.
“Tadi
kata nak lipat baju, kan? Pergilah!” Arah Shahrul Hairi. Matanya menikam tajam
mata Salmiha Haini.
Terpinga-pinga
Salmiha Haini dibuatnya. Bila masa pulak
aku kata nak lipat baju? Baju dalam mesin basuh pun belum dicuci lagi. Hilang
akal ke apa suami aku ni? Saat terpandang mata bulat suaminya, barulah dia
mengerti yang suaminya tidak mahu dia berlama di situ. Tapi dia ni jenis yang
degil juga! Dan pantang kalau orang main paksa-paksa! Tiba-tiba akal jahatnya
datang.
“Baju
tu nanti-nantilah Hani lipat,” jawab Salmiha Haini selamba. Langsung muka
suaminya tidak dipandang.
“Abang
Max... boleh tak kalau saya nak duduk kat sebelah abang?” Meleret manja kedengaran
suaranya. “Tak nampaklah nak tengok TV kalau duduk kat sini.” Matanya melirik
nakal ke arah suaminya. Melihat Shahrul Hairi mengetap bibir dan muka pun sudah
bertukar colour, Salmiha Haini ingin
ketawa. Namun dia tahankan jua. Abang kacak marah? Bisik Salmiha Haini dalam
hatinya.
“Eh...
duduklah! Siapa kata tak boleh?” Jawab Max sambil menyuap cucur udang ke dalam
mulut. Sedap sungguh air Nescafe dan cucur udang buatan Salmiha Haini.
Salmiha
Haini menghenyak punggungnya di sebelah Max. Masih dijaga jaraknya. Lagipun
sofa yang didudukinya luas dan lebar. Matanya mencuri pandang wajah Shahrul
Hairi.
“Rie,
kau tak makan ke? Sedap ni Miha buat! Rugi kalau kau tak rasa. Makanlah!”
Pelawa Max.
Eh...
eh... dia ni! Siapa yang tuan rumah sekarang? Aku ke dia? Buat macam rumah
sendiri pulak, rungut Shahrul Hairi
dalam hatinya. Honey pun satu!
Buat-buat tak faham pulak bila aku
suruh naik. Sajalah tu nak buat aku jeles!
Tak apa! Dalam bilik nanti siaplah kena denda! Sedikit senyuman terlarik di
bibirnya bila memikirkan denda yang bakal dikenakan ke atas Salmiha Haini.
Jejemput yang disedia oleh Salmiha Haini disumbat ke dalam mulutnya. Lirikan
berbentuk amaran juga dihadiahkan untuk Salmiha Haini.
Best2x.
ReplyDeleteNakal betul Salmiha.
Awas Sharul...
Ada yg berkenan dgn wife awak tu
Terima kasih.
DeleteSalmiha mmg nakal
mmg sharul Hairi kena berhati2. Salmiha Haini ramai peminat.
best sgt...........kelakar pun ada gak....wah miha dh pandai usik shahrul.....
ReplyDeleteterima kasih emyliana adlin.
Deletemiha bkn aje pandai mengusik tp buat Shahrul Hairi tak pandang yg lain
BEST 3X,
ReplyDeleteterima kasih baby mio
DeleteHuhuhu...
ReplyDeleteKak DD ni saje nak kita jd x sbr nak tunggu saca terbit
sabar Atilia. tak lama lg dah.
Deletebest2
ReplyDeleteterima kasih
DeleteShahrul Hairi yg awesome.
ReplyDelete(Y)
hehehe...
Deletekita nntkan bersama bagaimana shahrul hairi nnt.