Bab 13
SHAHRUL HAIRI
memandu tenang keretanya. Usai majlis kenduri doa selamat yang diadakan di
rumah keluarga Syarafuddin, Shahrul Hairi memohon diri untuk beredar. Tidak
betah rasanya menyusahkan keluarga Syarafuddin terlalu lama walaupun mereka
sekeluarga tidak kisah. Dia juga amat berterima kasih dengan Syarafuddin
sekeluarga kerana telah banyak membantu menguruskan majlis pernikahannya.
Sesekali
Shahrul Hairi menjeling ke arah gadis yang telah sah menjadi isterinya beberapa
jam yang lalu. Terasa begitu pantas perkara itu berlaku. Namun dia bersyukur
yang teramat sangat kerana gadis idamannya itu telah pun menjadi suri hidupnya.
Dia akan berusaha menambat hati Salmiha Haini dengan cinta dan kasih sayangnya
yang tidak berbelah-bahagi.
Shahrul
Hairi memandang Salmiha Haini melalui ekor matanya sekali lagi. Air liurnya
ditelan berulang kali. Terasa takut pula dia hendak menyuarakan hasrat hatinya.
Kelmarin masa ajak kahwin bukan main lagi berani. Sekarang ni dah jadi penakut pulak? Hesy... tak gentleman langsung!
“Errr... kalau abang panggil Salmiha, honey boleh?” Shahrul Hairi memberanikan
diri bertanya.
Errr...
abang? Tadi bukan ‘awak’ dan ‘saya’ aje ke? Terasa meremang pula bulu roma
Salmiha Haini mendengarnya.
“Kenapa
nak panggil Hani pulak? Panggil Miha jelah. Lagipun semua orang panggil saya
Miha,” jelas Salmiha Haini tanpa memandang wajah Shahrul Hairi. Terasa malu
pula dia hendak memandang wajah lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu.
“Tapi
abang tak mahu jadi seperti semua orang. Abang nak lain daripada mereka,” luah
Shahrul Hairi dengan harapan yang menggunung tinggi agar Salmiha Haini
bersetuju dengan cadangannya.
Salmiha
Haini segera menoleh ke arah Shahrul Hairi yang sedang memandu. Keretanya masih
lagi berada di hotel. Esok baru mereka bercadang hendak mengambilnya.
“Ikut
awaklah nak panggil apa,” ujar Salmiha Haini. Malas dia hendak bertekak setakat
nak ubah panggilan namanya sahaja.
“Boleh
tak kalau panggil saya ‘abang’? Lagipun umur abang jauh lebih tua dari honey,” pinta Shahrul Hairi lembut.
“Emmm...,” balas Salmiha Haini sepatah.
Dia sebenarnya diselubungi perasaan malu dan tidak selesa yang teramat sangat.
Terasa lain benar rentak jiwa ketika ini. Padahal bukannya dia tidak biasa
berbual atau duduk berdua-duaan di dalam kereta dengan lelaki. Contoh yang
paling dekat, dia sering berbual dan keluar makan bersama Imran Ajmal. Tapi tak
adalah pulak jantungnya gedebak...
gedebuk... macam ni. Aneh!
Salmiha
Haini juga tengah pening kepala sebenarnya memikirkan peristiwa yang baru
melanda hidupnya. Semudah itu dia bergelar isteri. Hatinya tiba-tiba disapa
sebak bila memikirkan cara pernikahannya berlangsung. Tiada majlis merisik dan
bertunang, terus dia menjadi isteri orang. Tapi dalam pada masa yang sama, dia
memanjat syukur ke Hadrat-ALLAH kerana dapat menghindarkan diri daripada
rancangan bodoh bapa saudaranya.
“Terima
kasih, honey.” Walaupun jawapan yang
diberikan oleh Salmiha Haini terlalu ringkas, namun itu sudah memadai buat
Shahrul Hairi. Ingin rasanya dia menggenggam dan mengucup jemari isterinya itu,
tetapi dipendamkan sahaja hasratnya terlebih dahulu. Bersabarlah! Masih banyak
masa lagi. Dan Salmiha Haini sudah pun menjadi miliknya. Esok dia ingin membuat
kejutan untuk isterinya.
“Awak
tinggal di sini ke?” Tanya Salmiha Haini pabila kereta Shahrul Hairi membelok
ke kawasan kondominium mewah. Ucapan terima kasih Shahrul Hairi dibiarkan sepi
tidak berjawab.
“Aah,” jawab Shahrul Hairi sepatah. Kecil
hatinya bila Salmiha Haini tidak memanggil dirinya abang. Takpe... dia akan bersabar. Lagipun mereka
baru saja menjadi suami isteri. Pasti Salmiha Haini belum dapat membiasakan
dirinya lagi. Shahrul Hairi memujuk hatinya.
“Hari
tu kata tak kaya,” perli Salmiha Haini sambil memerhati kawasan sekitar. Memang
gah tempat tinggal suaminya.
“Mana
ada kayanya setakat duduk kat sini.” Shahrul Hairi merendah diri. “Honey nak tahu, rumah ni abang duduk
dengan kawan-kawan abang. Andai abang sorang diri memang tak berkemampuanlah
nak tinggal di sini. Cuma mereka jarang berada di rumah, selalu outstation,” dalih Shahrul Hairi.
Bimbang juga dia kalau Salmiha Haini mengamuk apabila tahu dirinya dibohongi.
Kondo
ini pasti mencecah ribuan ringgit kadar sewanya sebulan, bisik hati Salmiha
Haini.
“Berapa
orang tinggal dalam rumah tu?” Salmiha Haini berharap adalah satu bilik kosong
untuknya.
“Kenapa?”
Shahrul Hairi bertanya pelik.
“Ada
tak bilik kosong untuk saya?”
“Takde! Semuanya dah ada orang.” Laju sahaja
Shahrul Hairi menjawabnya. Bila masa dia boleh berbaik dengan Salmiha Haini
sekiranya mereka tidur berasingan. Sebenarnya semua bilik di dalam rumahnya itu
memang tiada berpenghuni. Cuma sekali-sekala aje kawan-kawannya menumpang
tidur.
Salmiha
Haini mengeluh.
“Habis
tu saya nak tidur kat mana?”
“Kat
mana lagi? Bilik abanglah! Apa masalahnya? Kita kan dah jadi suami isteri.”
“Masalahnya
saya belum bersedia lagi.”
“Bersedia?
Bersedia yang macam mana tu? Abang kurang faham.”
Eee...
dia ni! Tak faham atau buat-buat tak faham? Gerutu Salmiha Haini. Namun
pertanyaan Shahrul Hairi dijawab jua.
“Errr... errr... nak jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri.
Terutamanya...” Ayat Salmiha Haini terhenti di situ.
Shahrul
Hairi pantas memahami apa yang cuba disampaikan oleh isterinya.
“Honey jangan bimbang. Abang tak akan
tuntut hak abang yang satu tu buat masa ni. Honey
ambillah sebanyak mana masa yang honey
mahu. Kalau honey dah bersedia nak
pikul tanggungjawab sebagai seorang isteri yang sebenarnya, beritahu abang.”
Salmiha
Haini terharu dengan sikap timbang rasa lelaki yang telah menjadi suaminya itu.
“Terima
kasih kerana memahami,” luah Salmiha Haini. Satu perasaan halus menyelinap
dalam dirinya saat mengungkapkan perkataan suami sebentar tadi. Terasa bahagia
dan seakan dilindungi.
“Sama-sama kasih,” jawab Shahrul
Hairi bersama sengihan. “Mari abang tunjukkan syurga kita.” Shahrul Hairi
menekan butang lif ke tingkat dua puluh.
Terpanar Salmiha Haini mendengar
kata-kata suaminya. Dia benar-benar berasa gembira mendengar perkataan syurga
kita. Kalaulah Shahrul Hairi itu lelaki yang dia cintai, pasti tubuh lelaki itu
didakapnya erat.
“Honey
duduk sini kejap. Abang nak ke dapur,” ujar Shahrul Hairi sebaik saja dia
meletakkan beg pakaian Salmiha Haini di tepi tangga.
Salmiha Haini angguk kepala. Peluang
yang ada tidak dilepaskan begitu sahaja. Dia meneliti keadaan rumah yang bakal
dihuninya selama beberapa hari sebelum dia pulang ke Johor Bahru. Dia akan
berbincang dengan suaminya tentang perkara itu. Peluang pekerjaan yang
diperolehinya, tak akan disia-siakan begitu sahaja.
Rumah
milik Shahrul Hairi memang sangat cantik dan menarik. Memang sesuai dengan
perkataan syurga yang diucapkan oleh suaminya seketika tadi. Susun atur
perabotnya kelihatan kemas dan menarik. Peralatan audio video dan perabotnya
juga sesuai dengan peringkat usia lelaki itu. Melihat gambar suaminya yang tergantung
elok dengan pakaian seragamnya, membuatkan hati Salmiha Haini bertambah
terpaut. Sungguh kacak! Bisik hatinya. Dia memang mengidamkan suami yang
bekerja sebagai juruterbang selama ini. Kiranya ALLAH mendengar doa dan
impiannya.
“Mari
minum,” pelawa Shahrul Hairi. Dia menyediakan dua mug coklat panas buat mereka. “Maaflah kalau hasil air tangan abang
tak sesedap air tangan honey,” ujar
Shahrul Hairi bersama senyuman. Tangannya juga menghulurkan mug berisi coklat panas kepada Salmiha
Haini
“Emmm...
sedaplah!” Puji Salmiha Haini ikhlas setelah merasa sedikit air hasil air
tangan suaminya. Pandai juga suami aku buat air, bisik hati kecilnya. Setiap
kali menyebut perkataan suami, hatinya terasa begitu indah sekali. Dia berjanji
akan cuba menjadi isteri yang baik buat lelaki yang sudah pun bergelar suaminya
itu.
SHAHRUL HAIRI
tersedar apabila terasa ada tangan memeluknya. Sejak kes dipeluk Darlina tempoh
hari, dia sentiasa mudah tersedar bila terasa ada sesuatu di tubuhnya. Melihat
wajah Salmiha Haini yang berada begitu hampir dengan dirinya, Shahrul Hairi
tersenyum bahagia. Isteriku sayang, bisik hati Shahrul Hairi
Tidak
disangka-sangka impiannya ingin mencipta bahagia bersama Salmiha Haini
dimakbulkan Tuhan. Sejak terjatuh cinta dengan Salmiha Haini, dia mengupah
orang untuk memerhatikan gerak-geri gadis itu. Tidak betah rasanya jika dia
tidak tahu perkembangan Salmiha Haini dalam sehari. Dia juga ingin memastikan
yang Salmiha Haini bukan milik siapa-siapa. Dia bimbang sekiranya jatuh cinta
dengan tunangan atau isteri orang. Mujurlah Syarafuddin sudi menjadi
mata-matanya sepanjang dia bertugas ke Korea.
Shahrul
Hairi mengucup dahi isterinya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Rambut
Salmiha Haini yang beralun lembut, dielus. Melihat Salmiha Haini langsung tidak
berkuit, dia memberanikan diri mencium bibir merah delima itu. Tersenyum
Shahrul Hairi apabila impiannya tercapai. Memang jenis tidur mati isterinya
itu.
“Honey kini amanah ALLAH buat abang.
Abang akan jaga honey sebaik mungkin.
Mudah-mudahan ALLAH memberkati mahligai yang kita bina ini,” ucap Shahrul Hairi
perlahan sambil merenung penuh asyik wajah isterinya. Dan sekali lagi bibir
yang terbentuk cantik itu menjadi singgahan bibirnya.
Esok
dia akan membawa isterinya ke butik pengantin Raja Sehari. Dia ingin merakamkan
gambar perkahwinan mereka sebanyak yang mungkin. Semuanya sudah diatur oleh
Syarafuddin untuknya.
Shahrul
Hairi segera memejamkan matanya bila Salmiha Haini mula bergerak. Saat kaki
Salmiha Haini mendarat atas tubuhnya, dia tersengih. Ganas jugak bini aku ni tidur, gumamnya. Demi keselesaan isteri tercinta,
Shahrul Hairi mengangkat kepala isterinya dan diletakkan atas lengannya.
Akhirnya dia turut terlena bersama mimpi indah.
Hembusan hangat yang
menampar pipi membuatkan Salmiha Haini
terjaga. Wajah Shahrul Hairi begitu rapat sekali dengan wajahnya. Mujurlah
akalnya dapat mencerna apa yang berlaku kepadanya sepanjang hari ini. Jika
tidak... tentu suaminya sudah tergolek atas lantai diterajangnya.
Salmiha
Haini mencuri pandang wajah terlebih kacak suaminya. Terasa sudah jatuh cinta
pun ada. Cuba cerita... siapa yang tak jatuh cinta dan bangga dapat suami yang
kacak seperti suaminya. Lupa pula dia nak bertanya nama penuh suaminya. Sewaktu
akad nikah dijalankan, fikirannya entah terbang ke benua mana hingga tidak
mendengar butir bicara yang keluar dari mulut Hj. Sirajuddin, bapa Syarafuddin.
Melalui
cahaya samar lampu tidur, dia meneliti raut wajah suaminya. Kulit putih bersih.
Sama seperti kulitnya. Bibir merah dan kelihatan sangat seksi. Hidung pun
mancung dan sangat sempurna bentuknya. Ini kalau cerita dekat Sofea, tentu jeles habis perempuan tu! Bisik hati
Salmiha Haini nakal.
Tangannya
yang sedang memeluk tubuh Shahrul Hairi sengaja tidak dirungkaikan. Terasa
begitu selamat berada dalam dakapan suaminya itu. Bahkan dia semakin
mengeratkan lagi pelukannya. Bila lagi nak berperangai nakal? Lagipun itu
suaminya, bukannya orang lain. Masa nilah nak bermanja. Bila si dia dah
tersedar, dah tak boleh dah... Nanti malu pulak!
TERPISAT-PISAT Shahrul Hairi saat terdengar
bunyi deringan jam. Dia mengecilkan matanya untuk melihat waktu diketika itu.
Dah pukul enam lebih rupanya. Dia mengucup dahi isterinya. Hingga ke pagi
mereka tidur berpelukan rupanya. Patutlah susah sangat nak bangun solat Subuh.
“Honey bangun!” Kejut Shahrul Hairi
lembut.
“Emmm... nak apa?” Manja sekali
kedengaran suara Salmiha Haini. Matanya masih lagi terpejam.
Shahrul
Hairi menatap wajah isterinya. Amboi... bukan main susah lagi nak buka mata
isteri aku ni! Nasib baiklah waktu Subuh dah nak habis. Jika tidak... pasti ada
yang jadi mangsanya pagi ini.
“Boleh
solat tak ni?” Tanya Shahrul Hairi lembut.
Mendengar
sahaja perkataan solat, terus besar biji mata Salmiha Haini. Tangannya yang
masih erat memeluk tubuh Shahrul Hairi segera ditarik. Malunya! Tebal dan
hangat rasanya muka dia ketika ini. Ingatkan dia yang terjaga dulu.
Rupa-rupanya... abang kacak yang bangun terlebih awal. Mana nak sorok muka ni?
Getus Salmiha Haini.
“Bo...
bo... boleh!” Jawab Salmiha Haini tergagap-gagap. Hesy... sejak bilalah aku
jadi budak baru belajar cakap ni? Gerutu Salmiha Haini memarahi dirinya.
“Kalau
boleh, pergi bersihkan diri dulu. Nanti kita solat berjemaah.”
Permintaan
Shahrul Hairi membuatkan hati Salmiha Haini kembang setaman. Andai inilah
lelaki yang menjadi suaminya, memang dia setuju seratus peratus. Lelaki seperti
inilah yang dia dambakan sebagai ketua dalam hidupnya. Akan disuburkan ketaatan
dan kesetiaannya hanya untuk suaminya. Akan disemaikan cinta dan kasih
sayangnya hanya untuk dimiliki oleh suaminya sahaja.
“Saya
pergi mandi dulu ya,” pinta Salmiha Haini lembut. Dia berlalu bersama senyuman
manis.
Terpegun
Shahrul Hairi melihat senyuman yang memukau itu. Ini tak boleh jadi ni! Ada
nanti terbabas solat Subuh. Shahrul Hairi bingkas bangun dan membersihkan
dirinya di bilik mandi yang terdapat di sebelah biliknya.
“WAK...! OH WAK...! Takde makanan ke? Saya laparlah!” Salmiha
Haini bertanya. Tangannya lincah membuka kabinet dan peti sejuk. Tak perlu nak
malu-malu. Suaminya sudah berpesan, nak apa-apa cari sendiri. Sebab rumah ni,
rumahnya juga. Dan dia yang sememangnya jenis tak berapa nak malu, terus
menyelongkar mencari kudapan bagi mengalas perutnya.
Melihat
Shahrul Hairi membatukan dirinya. Dia memanggil lagi.
“Wak!
Wak dengar tak saya panggil ni?”
Shahrul
Hairi memandang dengan perasaan tidak puas hati.
“Siapa
wak? Ada Wak Karjo ke, dalam rumah ni?” Tanya Shahrul Hairi bersama jelingan.
Alamak...
dia marah ke? Habis tu... aku nak panggil apa? Salmiha Haini garu dagunya.
Oh... panggil abang! Sebab dia pun bahasakan dirinya abang bila bercakap dengan
aku, gumam Salmiha Haini. Sebenarnya dia terlupa akan permintaan Shahrul Hairi
malam tadi. Dia berdehem beberapa kali membetulkan kerongkong dan lidahnya yang
terasa hendak tergeliat.
“Abang...
dalam rumah ni, takde roti atau Maggi
ke? Hani laparlah. Dari semalam belum makan lagi,” adu Salmiha Haini. Terasa
ingin bermanjalah pulak. Gatal nyer...!!!
Shahrul
Hairi menyembunyikan senyumannya. Berhasil juga rancangannya. Jika tidak... tentu
sahaja Salmiha Haini akan terus memanggilnya ‘wak’.
“Honey pergi bersiap. Nanti kita keluar.”
“Hani
harap abang dapat bawa Hani makan kat tempat yang best-best! Hani dah rindu sangat nak makan roti canai.”
La...
ingatkan ajak makan kat tempat yang best-best
nak makan makanan barat. Rupanya nak makan roti canai je. Kalau setakat roti canai, kat kedai mamak pun berlambak! Entah
apa-apalah isteri aku ni! Gumam Shahrul Hairi.
“Emmm... baiklah! Dah cepat sikit
bersiap.” Gesa Shahrul Hairi lagi.
Salmiha
Haini terus bangun dan bersiap. Perutnya memang sudah lama minta diisi.
SELEPAS BERSARAPAN, Shahrul
Hairi membawanya ke Tiffany & Co di KLCC. Menemani suaminya membeli cincin
perkahwinan mereka, bukanlah satu idea yang menarik. Lelaki itu tersangatlah
cerewetnya! Bagi Salmiha Haini, cincin yang berharga RM1,900 itu sudah cukup
cantik dan menarik. Tetapi bila melihat cebikan di mulut lelaki itu, dia tahu
suaminya tidak berkenan dengan pilihannya. Lantaran bosan memberi idea tetapi
tetap tidak menepati cita rasa suaminya, akhirnya Salmiha Haini mengambil sikap
mendiamkan diri.
“Dah
siap ke pilih?” Salmiha Haini bertanya bila Shahrul Hairi mengajaknya beredar.
“Dah!
Jom kita bergerak sekarang. Cincin ni abang akan sarungkan kat jari honey masa kat butik pengantin karang,”
bisik Shahrul Hairi bersama senyuman. Cincin tersebut disimpan dalam poket
seluarnya. Cincin yang tersarung di jari manis isterinya ketika ini adalah
cincin tangkap muat yang dibelinya di bandar berhampirang kampung Syarafuddin.
Cincin itu langsung tidak menarik dipandangan matanya sebab itulah dia memilih
cincin yang baharu untuk isterinya malahan punya pasangan.
“Butik
pengantin? Nak buat apa pergi butik pengantin?”
“Adalah,”
balas Shahrul Hairi dengan senyuman kacaknya. Matanya turut menikam anak mata
Salmiha Haini dengan pandangan yang redup dan penuh kasih sayang.
Janganlah
senyum-senyum dan renung menggoda macam tu! Nanti terjatuh cinta bagaimana?
Sekarang ni pun dah macam nak masuk alam jatuh hati je, gumam Salmiha Haini.
Salmiha Haini benar-benar takut jika terjatuh cinta dengan suaminya. Dia takut
sekiranya dia hanya bertepuk sebelah tangan. Bagaimana dia hendak mengubati
hatinya yang lara, andai suaminya itu mencampakkan dia ke tepi suatu hari
nanti? Bukan dia tak ingat janji-janjinya pagi tadi iaitu ingin menyemai
cintanya buat suaminya. Tapi dia terlebih takut untuk menghadapi kekecewaan dan
kegagalan. Dia bimbang andai kasih sayang yang dicurahkannya dibalas dengan
racun berbisa.
Semasa
mereka tiba di butik pengantin Raja Sehari, seorang perempuan yang cantik
rupawan menyambut ketibaan mereka. Timbul juga rasa cemburu di hatinya. Siapa
yang tak cemburu bila mata perempuan itu tidak berganjak dari memandang
suaminya dan bagai hendak diterkam aje suaminya itu. Mujurlah Shahrul Hairi tidak
membiarkan dirinya terkontang-kanting. Kalau tak... angkat kaki balik JB la
jawabnya. Perihal Pak Langnya, akan dimasukkan ke dalam tong sampah. Tidak pun,
dia suruh sahaja ‘abang kacaknya’ yang uruskan.
“Mana
Jamal?” Suara Shahrul Hairi kedengaran bertanya.
“Jamal keluar sekejap! Tapi dia dah
suruh I siapkan you berdua,” jelas Shila bersama suara yang cuba dilembutkan
sehabis mungkin.
Lega
hati Salmiha Haini. Lega sebab apa? Sebab ‘si dia’ yang cantik jelita tu mesti
bukan cita rasa suaminya.
Naik
penat Salmiha Haini menggayakan busana di butik itu. Dari pakaian tradisional
hinggalah ke moden. Namun amat berbaloi. Ada juga kenangan yang hendak dia
abadikan dan tunjukkan kepada cucu cicitnya kelak. Berangan lagi! Entah sempat
ada anak entahkan tidak? Manalah tahu awal-awal lagi dah kena tendang.
Maklumlah... bercinta dan berkasih pun tidak!
Saat
suaminya menyarungkan cincin dan mengucup dahi dan pipinya, Salmiha Haini
berasa sangat terharu. Terasa mengalir kasih sayang Shahrul Hairi dalam
dirinya. Walaupun majlis yang konon-kononnya majlis membatalkan air sembahyang
hanya dilakukan di studio, tetapi cukup menyentuh hati nurani Salmiha Haini.
Kerlipan cahaya dari lensa kamera membuatkan majlis tersebut bagaikan majlis
gilang-gemilang buat dirinya. Majlis persandingan mereka juga tidak kurang
hebatnya. Walaupun hanya di dalam studio tetapi tetap gah bagi diri Salmiha
Haini.
Terima
kasih abang kerana berusaha menjadikan majlis ini seperti majlis perkahwinan
sebenar, bisik hati Salmiha Haini syahdu. Tanpa sedar air mata gembiranya
mengalir.
“Kenapa
sedih ni?” Shahrul Hairi menyeka lembut air mata isterinya.
Salmiha
Haini menggeleng.
“Bukan
sedihlah! Tapi gembira. Rasa macam majlis perkahwinan betul-betul pulak!” Kalaulah rumah tangga yang
mereka bina ini atas dasar cinta sama cinta pasti rumah tangga mereka kekal
bahagia hingga ke hujung nyawa.
“Apa
pulak tak betulnya? Ingat ini majlis
olok-olok ke? Kita kan dah nikah! Cuma majlisnya kita buat dalam studio aje.
Tapi okey jugalah, kan? Ada juga nanti gambar perkahwinan kita untuk tatapan
anak dan cucu kita kelak,” jelas Shahrul Hairi sambil mencuit hidung isterinya.
Sewaktu
isterinya siap ditatarias dan mengenakan busana putih gading untuk acara
menyarungkan cincin, dia sangat-sangat terpegun melihat kecantikan isterinya.
Ketika sesi bersanding pula, dia sudah terlopong melihat kejelitaan isterinya
dalam busana tradisional Melayu. Walaupun bertudung, isterinya tetap tampil
anggun dan menarik. Saat isterinya memakai gaun untuk acara memotong kek, dia
sudah berdiri kaku. Dia benar-benar tidak percaya itu adalah isterinya. Salmiha
Haini tersangat cantik dan jelita ketika itu. Solekan tipis di wajahnya,
menjadikan dia seperti anak patung dalam gaun pengantin itu.
Sebelum
bersolek pun dah cantik, apabila dikenakan alat solek di wajahnya apatah lagi.
Mujur juga Salmiha Haini jenis yang tidak minat bersolek dan bergaya. Jika kaki
mekap dan bergaya macam Darlina dan
Aspalela, mahu merana jiwa raganya. Tentu ramai lelaki di luar sana akan cuba
menghimpit isterinya. Ini tak boleh jadi ni! Dia harus mengawasi Salmiha Haini.
Jika tidak... ada yang gigit ibu jari! Dia harus menjauhkan Salmiha Haini
daripada rakan-rakannya. Andai ada yang terpikat, susah pulak. Sudahlah mereka belum tahu dia dah berkahwin.
Cincin
perkahwinan yang tersarung di jari manisnya direnung. Cincin itu sebagai
lambang hatinya sudah milik orang. Bukan main malu lagi isterinya ketika hendak
menyarung cincin tersebut di jarinya. Tangan Salmiha Haini juga sejuk dan
menggeletar. Nampak brutal tapi pemalu rupanya.
best... best... best...
ReplyDeletelagi...
terima kasih.
Deleteakan ada smbgannya jgn bimbang.
sweetnya shahrul ngan miha......nak lg.....nak lg
ReplyDeletesweet ya emyliana adlin?
DeleteNantikan sj smbgannya.
Lagi2...
ReplyDeletemakin tak sabar nak bc smpi habis...
blh2. akan ada bab seterusnya.
DeleteTak puas baca best3x
ReplyDelete~Nin~
Terima kasih Nin.
Deletejatuh cinta dgn SACA.
ReplyDeleteTak sbr nak peluk.
Terbaik kak DD bab ni
Jatuh cinta lagi.. lagi... lagi.. ku jatuh cinta...
Terima kasih Athirah.
DeleteDah tak lama lg dah blh peluk SACA.
Seronok bc kisah pasangan yg baru berkahwin.
ReplyDeleteKelakar dua2 ni.
Teruskan hasil karya sebegini DD tak tensen nak bc.
Terima kasih Onah.
DeleteInsya Allah saya akan cuba penuhi hasrat Onah itu
sgt best
ReplyDeleteHati dh x thn nak tunggu saca terbit.
ReplyDeleteSabar ya raihana, tak lama lg dah blh baca saca
Deleteterima kasih baby mio
ReplyDelete