DI
TERATAK RAUDHAH, Tengku Faridah tidak duduk diam. Hatinya
tidak tenang selagi tidak melihat wajah anak bongsunya. Sudah berhari-hari
Darwisy tidak pulang ke rumah. Tidak pernah anak lelakinya berkelakuan
sebegini. Jika hendak ke mana-mana anaknya itu pasti akan memberitahunya. Bingung dia memikirkan perubahan anaknya yang secara mendadak itu. Nak kata outstation, baru sahaja balik. Nak kata kena culik, takde pula
orang telefon minta duit tebusan. Manalah anak bertuah ni pergi? Selisihkanlah
Ya ALLAH anak aku itu daripada malapetaka dan musibah yang tidak diingini, doa
Tengku Faridah.
“Danish takde ke adik kamu bagi tahu ke mana dia pergi? Manalah tahu
masa tu bonda tiada di rumah,” tanya Tengku Faridah sambil memandang tepat mata
anak lelaki sulungnya itu.
Danish memandang Tengku Dzulkarnain
memohon bantuan.
“Bonda tanya kamu. Yang kamu tengok
muka ayah kamu tu kenapa? Marah Tengku Faridah.
“Manalah Danish tahu bonda. Seminggu
ni kan Danish sibuk kat pelabuhan dengan manager
Danish. Manalah Danish ada masa nak jumpa Darwisy. Lagipun dia dah besar
panjang, bukannya budak kecik nak kena jaga dua puluh empat jam,” dalih Danish.
Dia sebenarnya tahu ke mana adiknya itu menghilang. Begitu juga dengan ayahnya.
“Hah... abang! Tahu tak ke mana
anak bongsu awak tu ghaib?”
Terbatuk-batuk Tengku Dzulkarnain
bila dia pula disoal siasat.
“Entah-entah kena sorok dengan
puteri bunian, tak?” Tambah Tengku Faridah.
Pecah tawa di ruang tamu rumah agam
itu.
“Honey ni! Kalau ya pun nak buat kenyataan, janganlah babitkan
puteri bunian. Marah mereka nanti. Lagipun takde maknanya mereka hendak buat menantu dengan perangai anak awak
yang nakal macam hantu tu,” terang Tengku Dzulkarnain dengan ketawa yang masih bersisa.
Amboi, laki aku ni! Kita punyalah
risau, dia boleh ketawa kelucuan, bebel Tengku Faridah dalam hatinya.
Tengku Dzulkarnain memandang wajah
risau isterinya.
“Adalah tu urusannya! Tak payahlah
awak nak kongkong dia. Dia dah besar panjang dan dah layak untuk pikul tanggungjawab
sebagai suami dan bapa.” Tengku Dzulkarnain berkias.
“Lain macam aje bunyi ayat abang!
Anak kita dah kahwin lari dekat Siam ke? Manalah tahu awak bersekongkol dengan
dia sebab tak setuju dengan calon menantu pilihan saya,” serkap Tengku Faridah.
Tengku Dzulkarnain tersedak. Pandai
sungguh isterinya ‘menembak’. Dia menarik nafas sebelum bersuara. Dalam pada
itu dia mencari ayat sesuai agar rahsia yang tersimpan kemas tidak bocor
sebelum waktunya.
“Awak ni honey! Tak baik tahu tuduh abang macam tu. Kalau dia nak kahwin
atau dah kahwin, kita bukannya boleh halang. Dia tu anak lelaki, tak perlukan
saya sebagai wali.” Tengku Dzulkarnain memujuk isterinya. Dia memeluk erat bahu
isteri kesayangannya itu. Walaupun mereka kahwin atas pilihan keluarga namun
dia bersyukur kerana Tengku Faridah memenuhi ciri-ciri wanita idamannya.
Isterinya itu bukan sahaja cantik tapi pandai memasak dan bijak menguruskan rumah
tangga.
“Tapi kenapa dia tak beritahu saya
ke mana dia pergi?” Tengku Faridah masih belum berpuas hati.
“Mungkin ada kerja yang perlu
dibereskan dan tidak mahu sebarang gangguan. Honey tak telefon hotel tempat dia biasa menginap? Darwisy kan
selalu ke situ jika ingin bersendirian.”
“Dah...! Mereka kata tak ada.”
Danish memandang wajah ayahnya
dengan senyuman yang mereka sahaja yang tahu rahsianya.
Nadira memandang pelik wajah suaminya.
“Abang ada rahsiakan sesuatu
daripada pengetahuan bonda ke? Ira lihat pelik semacam aje senyuman abang
tadi,” bisik Nadira.
Danish menoleh ke arah isterinya.
“Tak adalah! Sahaja je senyum dekat ayah,” dalih Danish. "Kenapa? Tak boleh ke?” Danish bertanya.
“Bukan tak boleh. Tapi senyuman
abang tu, lain macam sangat. Bagai menyembunyikan sesuatu.”
“Hisy... mana ada! Abang sebenarnya kagum dengan ayah dan bonda.
Walaupun dah hampir tiga puluh tahu mereka berkahwin tetapi mereka tetap
bahagia dan romantik, macam orang baru berkahwin sahaja lagak mereka,” ujar
Danish. Dia tidak mahu rahsia mereka tiga beranak terbongkar. Mahu mengamuk
Darwisy jika rahsianya pecah. Dan bondanya pula tentu marah kerana Darwisy
telah membelakangkan dirinya.
“Abang nak pergi tandas sekejap,”
bisik Danish ke telinga Nadira.
“Hah... nak lari ke mana tu? Macam
takut kena soal dengan bonda aje,” tegur Tengku Faridah.
“Nak pergi tandaslah bonda. Dah tak
tahan ni,” dalih Danish sambil mengerutkan mukanya. Dia berlari pantas menuju
ke kamar tidurnya. Segera dia mengunci bilik tidur tersebut. Nombor Darwisy
segera ditekan.
“Assalamualaikum... bro! Wah... dah jumpa bini, terus lupa
nak telefon bonda!” Perli Danish.
Darwisy di hujung talian sudah
ketawa lepas.
“Waalaikumussalam. Bukan tak nak
telefon. Bimbang bonda soal siasat. Mampuslah Darwisy jika terperangkap.”
“Tapi Darwisy kena juga telefon bonda
sekarang. Tak larat abang dengan ayah nak tepis soalan maut bonda yang datang
bertalu-talu. Lagi pun kesian bonda. Buatnya jatuh sakit, lagi teruk. Kamu kan
anak manja dia. Tapi tak boleh lawan abanglah. Abang anak kesayangan bonda.”
Tergelak Danish dengan kata-katanya.
“Abang ingat bonda sayang abang
sorang ke?” Rajuk Darwisy. Dia sengaja nak buat abangnya merasa bersalah. Dia
sedikit pun tidak berasa kecil hati dengan kata-kata abangnya. Dia tahu
abangnya itu sekadar bergurau. Bondanya tidak pernah membezakan kasih sayangnya.
“Eleh... gurau sikit pun merajuk!
Mengalahkan orang perempuan,” sindir Danish.
“Mana ada merajuk! Cuma nak
bermanja dengan abang aje,” ujar Darwisy sambil ketawa. “Insya-ALLAH... petang
esok Darwisy balik. Sebelah pagi Darwisy nak bawa Damia cari barang dapur dulu.
Kesian nanti anak-anak dan isteri Darwisy kelaparan.”
“Tak kisahlah nak balik bila. Tapi
jangan lupa telefon bonda. Sekejap pun jadilah. Kesian abang tengok dengan
bonda tu,” pinta Danish.
“Yalah... yalah! Jap lagi Darwisy call bonda.”
“Macam itulah adik abang.” Usai
memberi salam, Danish turun kembali ke ruang tamu.
Terdengar bunyi telefon rumah,
Danish melarik senyuman sambil menuruni anak tangga. Tersengih dia melihat
kekalutan bondanya mengangkat ganggang telefon. Tengku Dzulkarnain memandang
wajahnya bersama senyuman dan kenyitan. Mujurlah Nadira tidak perasan akan
perbuatan dia dan ayahnya. Isterinya itu sibuk memberi tumpuan terhadap
perbualan bondanya.
“Jom Ira kita ke dapur. Abang dahagalah.”
Nadira memandang pelik wajah
suaminya. Tak akan lepas 'membuang' terus dahaga, getusnya. Namun dia mengikut
juga langkahan suaminya.
DAMIA
menghampiri Darwisy yang sedang berbual di telefon. Melihat Damia
menghampirinya, Darwisy tersenyum. Sebelah tangannya merangkul erat pinggang isterinya.
“Ya... esok Darwisy janji Darwisy
akan balik. Dahlah jangan merajuk, nanti tak larat Darwisy nak pujuk. Esok
jangan ke mana-mana pulak. Tunggu
hingga Darwisy balik,” ujar Darwisy sambil ketawa.
“I miss you two, three, four,” luah Darwisy. “Assalamualaikum.”
“Bonda,” jelas Darwisy sepatah
sambil mengucup dahi isterinya.
Naik meluat pulak Damia mendengar aksi pujuk-memujuk itu. Boleh percaya ke...
kata-kata dia? Tak akanlah pujuk bonda dia macam tu sekali! Siap miss you lagi...!!! Kalau dia letak nama bonda untuk isteri kedua
dia, aku bukannya tahu. Orang kahwin banyak ni, memang arif bab-bab reka cerita
dan temberang. Jika bukan kaki auta, macam mana mereka boleh menjerat wanita
lain! Gerutu Damia
“Emmm...” jawab Damia.
“Aiks... bunyi macam berjauh hati dan marah aje!”
“Hisy... buang karen
ajelah nak marah-marahkan awak! Lagipun buat rugi lemak dalam badan saya ni je terbakar berkilo-kilo sekiranya makan hati atau marahkan awak,” sindir Damia.
Ketawa Darwisy mendengar sindiran
Damia. Walaupun dia tahu Damia tengah meradang, namun terselit juga lelucon dalam
ayat-ayatnya. Ada ke orang marah-marah boleh bakar lemak dalam badan? Kalau
begitu untunglah. Tak payah susah-susah nak beli ubat kurus atau berdiet. Marah
atau makan hati sahaja, terus terbakar lemak dalam badan.
“Untung juga sayang marah. Tak
habis duit abang. Hari ni sahaja sayang dah buat silap sebanyak lima kali.
Disebabkan peristiwa itu berlaku di rumah, ini bermakna wang saku sayang, abang
tolak lima ratus ringgit,” ujar Darwisy sambil tersengih.
Damia menjeling geram. Menyampah
pula dia dengan perangai Darwisy yang suka mengugut.
Darwisy menghampiri Damia. Lantas tubuh itu dicempungnya.
Terjerit-jerit Damia bila Darwisy mengacah hendak mencampaknya ke dalam kolam renang. Segera dia menutup mulutnya, bimbang mengganggu lena anak-anaknya. Leher Darwisy dipeluk erat.
Darwisy menghampiri Damia. Lantas tubuh itu dicempungnya.
Terjerit-jerit Damia bila Darwisy mengacah hendak mencampaknya ke dalam kolam renang. Segera dia menutup mulutnya, bimbang mengganggu lena anak-anaknya. Leher Darwisy dipeluk erat.
Darwisy merenung wajah isterinya
yang bercahaya bagaikan bulan purnama.
“Abang terlalu cintakan sayang.
Hanya maut yang akan memisahkan kita berdua.”
Lalu dia mengucup lembut pipi Damia.
Damia tertunduk malu bila bola
matanya gagal membalas renungan Darwisy. Tidak termampu dia menentang biasan
cahaya cinta yang terpancar di mata suaminya itu. Dia terkesima dan keliru.
Apakah cinta Darwisy hanya miliknya seorang atau sudah terbahagi dua? Masihkah
ada lagi ruang kosong di hati Darwisy untuk insan lain selain dirinya?
Adakah cinta Darwisy juga menjadi milik perempuan bernama Nurul itu?
“Abang sayang dan cintakan Nurul?”
Damia memberanikan diri bertanya.
Nurul? Nurul mana yang Damia maksudkan?
Adakah? Darwisy memandang pelik wajah Damia. Dia cemburukan kakak ipar aku ke?
Bila masa mereka berjumpa? Tak akanlah aku nak sayang dan cintakan kakak ipar
aku tu. Gila!
“Emmm... abang sayang kan dia, tapi abang tak cintakan dia! Sayang
abang pada dia juga tidak sekuat sayang abang pada sayang. Kalau sayang seratus
peratus, dia mungkin kosong perpuluhan kosong satu peratus sahaja,” luah
Darwisy sambil merenung anak mata Damia dengan harapan luahannya itu akan meresap jauh hingga ke dasar hati isterinya.
Benarkah apa yang Darwisy katakan?
Atau sekadar ingin menyedapkan hatinya sahaja? Mungkin di hadapannya lain dan
di belakangnya lain pula cerita Darwisy.
“Bila masa sayang kenal dia?” Tanya
Darwisy gusar. Dia bimbang jika Damia menceritakan siapa dia kepada Nadira
sebelum waktunya. Aku kena beritahu Danish tentang perkara ini dengan segera,
bisik hatinya.
Damia merenung Darwisy. Dia lihat ada keresahan di wajah lelaki itu bila mendapat tahu yang dirinya sudah tahu tentang perempuan bernama
Nurul itu. Sampai bila lelaki ini hendak berselindung tentang statusnya sebagai
isteri pertama? Tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara itu dan bimbang
berakhir dengan sengketa, Damia mengajak Darwisy menuju ke kamar beradu mereka.
Soalan Darwisy juga dibiarkan sepi tidak berjawab.
“Abang jom kita masuk. Sayang
mengantuklah,” ujar Damia dengan senyuman nipis. Nampak sangat dia terpaksa.
Isteri mana yang mampu bertahan jika berkongsi kasih-sayang-cinta dengan wanita
lain!
Tanpa membantah Darwisy menuruti
sahaja kemahuan isterinya. Dia juga enggan memanjangkan cerita tentang
perempuan yang bernama Nurul itu.
SEAWAL
PAGI
telefon bimbit Damia menjerit-jerit minta diangkat. Damia masih lagi tidur
dengan pulasnya. Darwisy bangun menjawab panggilan tersebut.
“Helo...!” Darwisy bersuara sambil
menguap. Dia masih lagi mengantuk.
“Boleh saya bercakap dengan Damia?”
Tanya suara di sebelah sana.
“Sekejap ya.”
Darwisy menolak lembut bahu
isterinya.
“Sayang bangun, ada panggilan
telefon.”
“Siapa bang?” Damia bersuara malas.
“Entah!” Jawab Darwisy sambil menjongket
bahunya. Setelah menyerahkan telefon bimbit kepada Damia, dia melihat jam yang
tergantung di dinding. Dah pukul enam pagi rupanya. Lantas dia bangun
membersihkan diri untuk bersolat Subuh.
“Helo... siapa ni?” Tanya Damia.
Dia masih lagi belum hilang mengantuk.
“Hoi... mak cik! Pukul berapa kau
nak bangun? Mentang-mentanglah ada bantal peluk kacak, susah sungguh kau nak
bangun, ya?” Perli Jeslina.
Bulat mata Damia mendengar suara
Jeslina di hujung talian.
“Adoi... kau ke ni Jes? Apa hal kau
call aku pagi-pagi buta ni? Kacau aku
nak tidur ajelah kau ni!”
“Pagi-pagi buta wak lu!” Sindir Jeslina. “Cuba kau bukak bijik mata kau bagi besar dan tengok jam. Sekarang dah pukul enam pagilah! Dah... pergi mandi, pastu sembahyang,” arah Jeslina laksana
warden asrama. “Opps... sebelum aku
terlupa mak pesan suruh datang sini. Dia nak jumpa dengan cucu-cucu dia. Rindu
katanya. Dia juga dah buat nasi kerabu untuk kau. Jangan kau tak datang pula,” ujar
Jeslina senafas. Terus dia memutuskan talian sebelum Damia memberi kata putus.
Tersengih Damia mendengar kata-kata
sahabat baiknya itu. Memang dia berhajat ingin ke rumah emak angkatnya itu,
tapi bukan hari ini. Memandang emak angkatnya sudah berpesan, terpaksalah juga dia
ke sana. Teringat dia bagaimana terperanjatnya Jeslina dan ahli keluarganya
bila melihat dia dan si kembar.
“Sampai hati kau kahwin tak bagi
tahu aku,” rajuk Jeslina.
“Aku bukannya tak nak bagi tahu
kau. Tapi peristiwa itu berlaku secara tiba-tiba. Dan aku sendiri pun tak pernah
terfikir akan perkara itu. Maafkan aku Jes,” ucap Damia sambil menitiskan air
mata.
Puas dia memujuk teman baiknya itu.
Mujurlah Jeslina mengerti dan dapat menerima penjelasannya. Damia
menceritakan bagaimana dia boleh berkahwin dan kenapa dia merajuk hingga tidak
mahu pulang ke Malaysia.
Bergegas Damia menuju ke bilik
mandi setelah Darwisy selesai menggunakannya. Usai solat jemaah, Damia dan
Darwisy menuju ke kamar anak-anaknya. Mereka masih lagi enak dibuai
mimpi.
“Abang... lepas anak-anak bangun,
kita pergi rumah Jeslina boleh? Mak angkat sayang nak jumpa Reez dan Isyalah.”
“Boleh! Kat mana rumah mereka?”
Tanya Darwisy sambil memeluk bahu isterinya.
“Dekat Selayang.”
“Insya-ALLAH,” ujar Darwisy sambil
tersenyum. Lantas pipi isterinya dikucup.
CUACA
cerah
hari ini bagaikan merestui perjalanan mereka menuju ke Selayang. Riuh suara
anak-anaknya di tempat duduk belakang. Nomi tinggal di rumah memandangkan gadis
itu enggan mengikutnya.
Darwisy menghentikan keretanya di
bahu jalan untuk menjawab panggilan telefon.
“Assalamualaikum bonda.”
“Waalaikumussalam. Pukul berapa nak
balik?”
“Tak tahu lagi pukul berapa. Darwisy
nak pergi Selayang kejap.”
“Bonda nak kamu balik sekarang!”
“Tak bolehlah bonda, Darwisy dah
janji dengan orang.” Darwisy mengeluh.
“Bonda tak kira, kamu mesti balik
sekarang! Jangan nak berdalih lagi. Siapa yang lebih penting? Bonda atau orang
tu?” Tengku Faridah sudah mengeluarkan nada tegasnya.
“Yalah... yalah...! Sekejap lagi
Darwisy balik.” Darwisy memberi persetujuan.
Darwisy memandang isterinya.
Tangannya mencapai jemari Damia dan diusap kasih. Dia tahu Damia mesti sudah
mendengar perbualannya dengan bonda.
“Sayang... kalau abang hantar
sayang sahaja ke rumah Jeslina tak mengapakan? Abang tak boleh nak singgahlah,
bonda suruh balik segera. Petang nanti abang ambil sayang.” Darwisy memandang Damia mohon
pengertian.
“Takpe... abang tak payah risaukan sayang. Tahulah macam mana sayang
nak balik nanti. Abang dapat hantar ni pun dah kira baik,” ujar Damia. Dia
mengukir senyuman hambar menutup kekecewaan di hati. Mesti madunya yang suruh
telefon, fikir Damia.
“Terima kasih sayang kerana
memahami. Tapi abang akan pulang ke rumah kita malam ini.” Darwisy meneruskan
semula pemanduan.
Setelah berbual seketika dengan Pak
Cik Abdullah dan Mak Cik Juriah, Darwisy mohon beredar.
“Mari masuk Mia,” pelawa Mak Cik
Juriah. Farisya sudah berada dalam dukungannya manakala Fareez bersama Pak Cik Abdullah.
“Mujurlah ada anak Mia, boleh juga
merasa ada cucu. Nak harapkan Jes ni, entah bilalah agak?” Usik Pak Cik
Abdullah sambil memandang anak sulungnya.
"Bukan tak nak kahwin abah, tapi jodoh belum tiba lagi,” usik Jeslina pula.
"Bukan tak nak kahwin abah, tapi jodoh belum tiba lagi,” usik Jeslina pula.
Mereka sudah ketawa.
“Sorry... Mia! Aku nak keluar kejap lagi. Ada hal sikit kat tempat
kerja. Kau tak kisah, kan? Aku pun baru aje dapat call tadi,” luah Jeslina dengan perasaan bersalah.
“Hisy... kau ni! Janganlah risau tentang aku. Macamlah aku tidak
biasa kat rumah kau ni,” jelas Damia. Dia tidak mahu sahabatnya itu serba salah
meninggalkan dia di rumahnya sendirian.
Selepas menikmati sarapan pagi
bersama, Jeslina bergegas ke tempat kerjanya. Ada dokumen yang memerlukan
tindakannya segera. Itulah kekurangannya kerja makan gaji. Hujung minggu pun
perlu ke tempat kerja sekiranya sudah mendapat arahan daripada bos.
Damia bermain dengan anak-anaknya.
Mak Cik Juriah dan Pak Cik Abdullah juga tidak ketinggalan. Begitu juga dengan
Mazlan dan Ridwan.
Telefon bimbit Damia berbunyi. Tersenyum dia melihat nama pemanggilnya.
Telefon bimbit Damia berbunyi. Tersenyum dia melihat nama pemanggilnya.
“Assalamualaikum Req. Ada apa?”
Sapa Damia.
“Jom... keluar! Aku nak jumpa
anak-anak akulah. Rindu kat mereka.”
“Emmm... boleh juga. Tapi kau kena ambil aku kat rumah Jes. Boleh?”
Tanya Damia.
“Boleh! Sekejap lagi aku sampai.”
Selepas memutuskan talian, Damia
menemui Mak Cik Juriah dan Pak Cik Abdullah.
“Mak... abah... tadi Req telefon,
dia ajak Mia dan anak-anak keluar. Dia dah rindu sangat-sangat dengan budak-budak
ni. Mungkin Mia akan terus balik ke rumah lepas tu,” ujar Damia dalam keadaan serba-salah.
Dia dapat melihat wajah sayu Mak Cik Juriah dan Pak Cik Abdullah.
“Abah dengan mak janganlah buat
muka sedih! Insya-ALLAH... minggu depan, Mia datang lagi.”
“Ingat... minggu depan datang
lagi.” Mak Cik Juriah menagih janji daripada Damia. Melihat anggukan Damia, dia
berasa lega. Tidak puas rasanya dia bermain dengan cucu-cucu angkatnya itu.
Hahaha... menarik dan best.
ReplyDeleteTapi... bila kemelut salah sangka ini akan berakhir?
Nak mereka hepi2 jer...
Terima kasih Onah krn terus bersama SPH.
DeleteBilakah akan berakhir ya? Kita nantikan bersama, hehehe..
Habislah... pasti timbul masalah kalau tiba2 darwisy bertembung Damia dan Reqza...
ReplyDeleteKak DD jauhkan hubungan mrk dr segala masalah...
takut....
Salam Raihana...
DeleteNak tahu apa akan berlaku, kita tunggu di bab akan dtg.
Jgn takut2 ya...
Lama tunggu baru ada n3 baru.
ReplyDeleteTapi best...
kesian bonda Darwisy, anak duk syok dgn bini, maknya risau bukan main...
Adakah konflik akan bermula? Tentu Darwisy mengamuk dan tuduh Damia curang bila tahu wife dia keluar dgn lelaki lain...
Terima kasih krn masih setia mengikuti SPH walaupun seminggu sekali ke udara.
DeleteNak tahu apa akan berlaku, nntkan minggu depan ya...
Berbaloi juga penantian selama seminggu ni.
ReplyDeleteMakin lama makin best...
Tak membosankan...
Kiranya cukup asam garam...
Terima kasih dgn kesetiaan sokongan anda terhadap SPH.
DeleteTerima kasih juga krn sukakan SPH
Nak lgikkkkk...
ReplyDeleteBest sgt2...
Tak cukup kak....
Semoga tak ada perang antara mrk....
Terima kasih krn menyokong SPH.
DeleteNak lg...
Minggu depan pula ya..
Tunggu minggu depan kalau nak tahu apa yg akan terjadi.
Kak DD mmg bestlah SPH ni...
ReplyDeleteCuma agak takut sikit... nak tahu apa akan jd kemudiannya. Perang besar kah mrk nnt?
Salam Puteri...
DeletePerang? Mungkinlah agaknya... hehehe....
Jeng... jeng.. jeng...
ReplyDeleteSemakin best...
Terima kasih.
DeleteTeruskan bersama SPH.
Kelakarlah famili darwisy ni... hapening abes..
ReplyDeleteMendebarkan....
Entah apa yg akan terjadi dgn hubungan Damia dan Darwisy nnt.
Nak tahu apa yg terjadi, nntkan di minggu hadapan...
DeleteKak DD jangan buat konflik yg teruk2 ya...
ReplyDeleteKalau boleh nak mereka bahagia dan terus bahagia.
Tahniah kak... mmg best cerita akak ni..
Salam Ayu...
DeleteTerima kasih krn terus bersama akak dari CIM lagi. Sgt2 menghargainya.
Kebahagiaan pasti akan jd milik mrk w/pun byk rintangan dan dugaan yg melanda.
Tahniah! Tahniah! Cerita ni mmg best.
ReplyDeleteSambung lg leh?
Tak sanggup nak tunggu minggu hadapan.
Nak tahu apa yg terjadi...
Terima kasih krn meminat SPH yang tidak seberapa ini.
DeleteTunggu minggu depan pula ya.
Bestlah jln cerita ni. Sedap aje nak terus bc dan bc.
ReplyDeleteHarap2 kasih sayang Darwisy buat Damia, bakal menutup kesilapan yg Damia lakukan.
Nak mrk kekal bahagia n tak suka ada cerai berai.
Terima kasih krn meminati SPH yang serba kekurangan ini.
DeleteKalau nak tahu apa yg bakal terjadi, nnt kan bab 15 ya...
Senyuma je bila masuk bab kisah keluarga Darwisy. Mmg sporting habis abang dan ayah Darwisy ni, ibarat biar pecah diperut jgn pecah dimulut.
ReplyDeleteNak smbgannya lg blh tak?
Nak tahu sgt2 apa yg bakal terjadi selepas Damia bertemu dgn Req.
Pasti Damia akan bertembung dgn suaminya...
Tak mau mrk gaduh pastu bercerai. Saya tak suka kisah mcm ni.
Nak tahu apa yg terjadi selanjutnya...
Deletetunggu...
Salam...
ReplyDeleteSaya org baru di sini...
Tumpang lalu...
Cerita yg diketengahkan menarik...
Knp Darwisy masih taj mahu berterus terang dgn bonda dia?
Kasihan bonda dia...
Semoga kekusutan yg berlaku dpt diselesaikan secpt mgkn...
Salam...
DeleteTerima kasih krn sudi meluangkan masa bersama SPH.
Nti mesti tjumpa ngn darwisy.. Mau angin p.cik tu! ;p skang ni kiranya damia tau x yg t.dzulqarnain tu bapak mertua dia
ReplyDeleterasanya dia dah tau la acu, sebab dia kerja dengan bapak mertua dia...
DeleteDamia dah tahu ke?
DeleteMungkinlah kot...
Nanti tahu Darwisy berangin atau tidak...
Kita tgk nnt...
Tak minggu depan... mgkn di bab akan dtg..
susah la sayang nih, kalau ada laki tapi buat mcm x da jer...
ReplyDeletesiap nak kuar jumpa laki lain lagi tu dengan anak2 sekali...
nanti jumpa lak dengan madu dia dekat luar, dah jadi cerita lain...
terus mak mentua x berkenan sebab menantu gelap dia ada ramai koleksi jantan...
jadilah drama ibu mertuaku lepas nih, cuma kali nih...
kisah tragik combi lak ganti kasim selamat...
~w.t~
Damia menghargai persahabatan dia dan Reqza.
DeleteTanpa Reqza... tentu dia terumbang ambing semasa di UK.
Nak tahu ada pertembungan atau tidak antara : Damia-Reqza-Madunya-Ibu mentua-Darwisy... tunggu...
Nampak mcm nak ada pertembungan jer nih...
DeleteHarus terus Rezqa suh sayang minta cerai...
Sebab dia dah dimadukan dalam terang...
Pastu makin sakit la darwish nak kenalkan sayang dengan bonda tu...
Citer nih akan ada special ending untuk blog...
Atau akan dihentikan separuh jalan untuk dihantar ke penerbit...
~w.t~
Kita nntkan bersama di bab 15 ya...
DeleteSekiranya ada permintaan dr sykt penerbitan, SPH ini akan diberhentikan di bab tertentu spt CIM. Sekiranya tidak... akan berakhir di blog shj.
Memang bestlah Si Pencuri Hati ni.
ReplyDeleteTahniah writer.
Terima kasih. Teruskan bersama SPH.
DeletePlzzzzzz... smbg cpt2.
ReplyDeleteTak sabar nak tahu apa yg terjadi...
Makin mendebarkan...
Takutnya Darwisy jatuhkan talak bila mrk bertemu nnt.
Bersabar ya...
DeleteKita nntkan shj apa yg berlaku selanjutnya.
Nak lagi...
ReplyDeleteBestlah cerita nih.
Smbg cpt2 ya.
Inysa ALLAH akan ada sambungan sedikit masa lg.
DeleteTunggu...
xde ke letak widget email notification ? senang sikit klu dah update nt.. :)) .. good job !!!!
ReplyDeleteTakde...
DeleteTerima kasih krn sudi meluangkan masa bersama SPH.
bila nk smbng.. bru abis bc dri bab 1 smpai bab 14..hehe.. best!..:)
ReplyDeleteSambung lepas raya ya...
ReplyDeleteBz sikit.
Terima kasih krn sudi bersama SPH.
hehehe..ok2..
Delete