Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 7 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 19

Bab  19



















SALMIHA HAINI segera berlari mendapatkan pakaiannya. Macam manalah dia boleh terlupa hendak membawa pakaiannya masuk ke dalam bilik mandi tadi. Risau juga dia jika Shahrul Hairi pulang lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Sebaik saja mereka masuk ke dalam bilik hotel dan mengemas bagasi mereka, suaminya terus mandi dan bersiap. Hendak keluar bertemu rakan yang bernama Han Deok katanya kerana ada urusan penting.
Arghhh....” Salmiha Haini menjerit sekuat hati. Bagai hendak tercabut anak tekaknya pun ada. Jantungnya berdegup kencang dan hendak gugur rasanya pabila terpegang benda alah yang tersorok dalam almari pakaian tersebut. Tanpa sedar dia sudah melompat ke atas katil. Tubuhnya menggigil ketakutan. Tangisannya juga mula bergema di bilik itu.
Shahrul Hairi yang baru pulang dari melunaskan bayaran barang yang dikirim oleh sahabatnya sedikit kecut perut bila terdengar bunyi tangisan yang mendayu-dayu.
“Ada hantu ke dalam bilik ni?” Ujarnya kepada diri sendiri. “Tapi mustahillah wujud hantu di siang hari.” Dia berkata lagi. Shahrul Hairi menelinga mencari arah bunyi itu datang. Saat otaknya mampu berfungsi dengan baik, dia segera mencari isterinya. Bimbang juga dia jika berlaku musibah yang tidak diingini ke atas isterinya itu. Dia merapati tubuh yang sedang berkelubung di bawah selimut tebal itu.
“Hei... kenapa ni?” Soal Shahrul Hairi sambil menarik selimut yang membaluti seluruh tubuh isterinya. Dia dapat rasakan gigilan di tubuh kecil molek itu.
Terdengar sahaja suara Shahrul Hairi, Salmiha Haini terus mendakap erat tubuh itu. Dia benar-benar ketakutan.
Shahrul Hairi yang pada mulanya kaku mula membalas dakapan itu bagi meredakan ketakutan isterinya. Ubun-ubun isterinya dikucup.
Syyy... kenapa ni? Cuba cerita dekat abang kenapa boleh jadi macam ni?” Pinta Shahrul Hairi lembut. Air mata yang mengalir, disapu lembut. Kepala isterinya diusap penuh kasih sayang. Gusar juga dia jika berlaku sesuatu yang tidak elok semasa ketiadaannya tadi.
“Aaa... abang... dalam bilik kita ni ada orang mati dibunuh,” bisik Salmiha Haini dengan suara tersekat-sekat. “Hani terpegang rangka orang dalam almari pakaian tu.” Lurus jari telunjuk Salmiha Haini menunjukkan arahnya. Suaranya jelas ketakutan.
Shahrul Hairi yang pada mulanya tercengang, mengeluh tanpa sedar kemudiannya. Disebabkan barang yang dipesan oleh Khairul, isterinya diselubungi ketakutan yang bukan kepalang. Hendak ketawa pun ada, melihat betapa penakutnya Salmiha Haini.
Syyy... jangan takut. Itu bukannya rangka manusia yang mati dibunuh tapi arca rangka manusia. Kawan abang kirim tempoh hari. Jadi abang suruh Mr. Han Deok tolong simpan dalam almari tu. Kalau honey nak tahu, Mr. Han Deok jugalah yang tolong tempahkan bilik hotel ini untuk kita,” ujar Shahrul Hairi bagi mengurangkan ketakutan isterinya. Tangannya membelai lembut tubuh itu. Bahu yang sedia terdedah itu dikucup lembut.
Salmiha Haini mengetap bibirnya. Disebabkan benda alah yang bodoh itu dia menangis ketakutan. Wajahnya dirapatkan ke dada bagi menyembunyikan perasaan malu yang sedang berleluasa.
Shahrul Hairi mengangkat wajah Salmiha Haini. Kesan air mata yang masih kelihatan diseka. Bibir Salmiha Haini yang berketap rapat, ditarik perlahan-lahan. Bimbang bakal mencederakan bibir yang terbentuk cantik itu. Ulas bibir itu dielusnya. Tatkala pandangan mata mereka bersabung, perasaan halus mengalir dalam tubuh Shahrul Hairi. Dia semakin terpikat dan terpesona. Mata Salmiha Haini yang bundar dan cantik itu dikucup sebelum beralih ke pipi. Kemudian bibir yang basah lagi menggiurkan itu menjadi singgahan terakhirnya. Lama bibirnya berdiam di situ.
Honey...,” panggil Shahrul Hairi dengan suara yang sensual.
Hmmm...,” sahut Salmiha Haini perlahan. Sentuhan demi sentuhan menghadirkan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Sahutan lembut itu membuai jiwa Shahrul Hairi dan dia semakin tergoda.
“Abang sayang dan cintakan honey. Dah lama abang pendamkan perasaan ini. Abang risau sebenarnya andai abang hanya bertepuk sebelah tangan selama ini.” Shahrul Hairi meluahkan rasa hatinya. Tenang rasa jiwanya saat mengungkapkan kata-kata keramat itu.
Luahan berani mati Shahrul Hairi membuatkan jantung Salmiha Haini semakin lari dari temponya. Antara percaya dengan tidak sahaja ketika mendengar ucapan suaminya itu. Namun... hatinya berlagu riang ketika ini. Sangkanya dia hanya bertepuk sebelah tangan dan syok sendiri selama ini. Rupanya dia tersilap. Suaminya juga turut merasa perasaan yang sama.
Honey... adakah honey juga berperasaan seperti abang?” Tanya Shahrul Hairi lembut. Jermarinya mengelus lembut pipi Salmiha Haini. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari menatap wajah ayu itu. 
“Hah?” Hanya itu yang mampu keluar dari mulut Salmiha Haini. Dia memandang wajah Shahrul Hairi seketika sebelum menyembunyikan kembali wajahnya. Pakuan mata Shahrul Hairi yang menikam anak matanya membuatkan dia tidak keruan. Apa yang mampu dia lakukan hanya menunduk dan memandang selimut yang membaluti tubuhnya. Tidak terdaya dia hendak menentang renungan yang menusuk kalbu itu.
Jemari Shahrul Hairi mengangkat lembut wajah Salmiha Haini.
“Abang mahu kita jadi suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya dan bukan sekadar di atas kertas sahaja,” bicara Shahrul Hairi dengan romantis.
Salmiha Haini hanya diam kaku mendengar luahan rasa Shahrul Hairi. Tiada apa yang perlu diucapkan atau ditanyakan lagi kerana Shahrul Hairi sudah menjelaskan segalanya. Sebaik sahaja Shahrul Hairi menjatuhkan tubuhnya ke atas tilam, jantung Salmiha Haini bagaikan rebana yang dipalu hebat. Dia tahu apa yang Shahrul Hairi mahukan darinya. Akhirnya dia pasrah dan membiarkan sahaja Shahrul Hairi mengemudi arah hidupnya.


HONEY... bangun!” Shahrul Hairi mengucup lembut bahu isterinya. Tangannya juga menguis rambut yang menutupi wajah Salmiha Haini. Wajah kekasih hati dunia akhiratnya itu ditatap dengan penuh kasih sayang.
Bulat mata Salmiha Haini menatap wajah Shahrul Hairi yang begitu hampir dengan dirinya. Terasa malu pun ada. Kononnya dia sekadar ingin berbaring bagi merehatkan badan, alih-alih dia turut mengikut rentak suaminya membuat tahi mata.
Honey pergi mandi dulu ya. Sekejap lagi kita keluar makan,” tutur Shahrul Hairi lembut. Namun sebelah tangannya masih belum dirungkaikan dari pinggang isterinya. Melihat Salmiha Haini menggeliat, dia semakin mengeratkan pelukan. Dia benar-benar berasa gembira dan bahagia ketika ini. Balasan cinta dan kasih sayang yang diterima, membuatkan dia merasakan dialah lelaki yang paling beruntung di dunia.
“Macam mana Hani nak bangun kalau abang dah peluk kemas camni?”
Kedengaran manja sekali suara itu di halwa telinga Shahrul Hairi. Terasa sayang pula dia hendak melepaskan isterinya pergi.
“Abang...,” rengek Salmiha Haini sambil cuba melepaskan dirinya.
“Sekejaplah! Abang belum puas peluk honey lagi.”
Hesy... suami aku ni! Tadi dia juga yang kejutkan suruh bangun dan mandi. Kini lain pula jadinya, bebel Salmiha Haini dalam hati.
“Sekejap aje tau!” Salmiha Haini memberi amaran kepada suaminya. Dia pun suka sebenarnya! Siapa yang tak happy dapat bermanja dengan suami tercinta!
Emmm....,” balas Shahrul Hairi. Pelukannya semakin dieratkan.
Sekejap yang dimaksudkan Shahrul Hairi telah berlanjutan hampir dua jam. Salmiha Haini sudah tidak sanggup lagi berlingkar manja dengan suaminya. Mahu terbabas waktu makan mereka sekiranya dia terus hanyut dengan permainan Shahrul Hairi. Tangannya menepuk lembut lengan suaminya. Wajah Shahrul Hairi menjadi tatapannya. Melihat senyuman nakal yang menghiasi bibir suaminya membuatkan dia terasa hendak berlakon pengsan sahaja ketika ini.
Sorry... kerana terpaksa kerja lebih masa sekali lagi,” bisik Shahrul Hairi dengan nakalnya. “Terima kasih kerana membahagiakan hidup abang.” Senyuman menawan tidak lekang di bibirnya.
“Abang!!!” Lengan Shahrul Hairi dicubit geram. Mukanya sudah merah menahan malu.  Mengada-ngada sungguhlah laki aku ni! Suka cakap merapu, bisik hati Salmiha Haini. “Dah... lepaskan Hani! Hani nak pergi mandi. Perut pun dah mula terasa lapar,” omel Salmiha Haini pura-pura marah. Tangannya segera menolak lengan sasa Shahrul Hairi.
Shahrul Hairi bangun. Tubuh Salmiha Haini dicempungnya.
Terkejut Salmiha Haini dengan tindakan Shahrul Hairi.
“Eh! Abang nak buat apa ni?” Salmiha Haini sudah meronta untuk melepaskan diri.
“Tadi kata nak mandi. Kita mandi sama-samanya ya.” Cempungannya dikemaskan lagi bimbang isterinya terjatuh.
“Abang... janganlah buat macam ni!” Pinta Salmiha Haini. Perasaan malu yang mengepung diri usah diceritakan lagi. Gila apa nak mandi berdua!
“Jangan buat macam apa?” Soal Shahrul Hairi. Keningnya dijungkitkan.
“Abang... turunkanlah Hani.”
“Sebab apa nak kena turunkan honey?” Shahrul Hairi terus-terusan mengusik.
Salmiha Haini garu kepala mencari idea.
Errr... kalau abang nak mandi, abang pergilah mandi dulu. Biar Hani mandi kemudian.” Wajahnya sudah membahang ketika ini.
“Kenapa abang perlu mandi dulu? Kenapa tak boleh mandi bersama?” Sengaja Shahrul Hairi menyakat isterinya. Keadaan isterinya yang malu-malu membuatkan dia semakin galak hendak mengusik.
Errr... belum masanya lagi.”
Emmm... bila masanya tu?”
Adoi... banyaknya tanya! Bagi sebijik karang baru tahu, gerutu Salmiha Haini geram.
Errr... tunggu balik Malaysia.”
Shahrul Hairi tersenyum menawan. Riak Salmiha Haini yang malu-malu sangat mencuit hatinya.
“Okey... abang akan tuntut janji honey bila kita sampai di rumah nanti. Jangan buat-buat lupa pula ya,” pesan Shahrul Hairi sambil mencium pipi mulus isterinya. “Sekarang abang lepaskan honey!” Ujar Shahrul Hairi. Tubuh Salmiha Haini diturunkannya. “Cepat beredar dari sini segera, sebelum abang tukar fikiran,” ugut Shahrul Hairi.
Niat asalnya hendak membawa Salmiha Haini keluar bersiar-siar menikmati pemandangan indah negara orang selepas merehatkan badan barang sejam dua. Tetapi tidak pula dia menyangka hasratnya itu telah bertukar kepada sesuatu yang indah, hangat, dan membarakan lagi perasaan cintanya terhadap Salmiha Haini.
Salmiha Haini menjeling geram. Sakit hatinya mendengar usikan nakal suaminya. Segera dia berlari menuju ke bilik mandi pabila terlihat Shahrul Hairi berura-ura hendak menangkapnya semula.
Tawa Shahrul Hairi memenuhi segenap ruang bilik hotel itu. Dia bangun dan mengemas katil yang menjadi saksi cinta mereka bersemi. Getaran halus menyelinap dalam jiwa Shahrul Hairi saat pandangan matanya menjamu sesuatu yang berharga tinggalan Salmiha Haini. Shahrul Hairi benar-benar bersyukur kepada TUHAN kerana menemukan dia dengan gadis yang masih suci lagi murni.
“Terima kasih... honey!” Kini dia mengikat janji ikrar dengan dirinya akan senantiasa setia dan menjaga cintanya hanya untuk isteri kesayangannya itu sahaja. Cintanya kini adalah milik mutlak gadis bernama Salmiha Haini dan tiada yang lain. Opps... bukan gadis lagi, hatinya berbisik nakal. Telefon bimbitnya diambil, waktu yang tertera di skrin tersebut diperhatikannya. La... dah masuk waktu makan tengah hari rupanya. Patutlah lapar bukan main.


SHAHRUL HAIRI tersengih di dalam bilik mandi mendengarkan suara gemersik isterinya. Boleh bawa pergi karaoke ni! Mesti Max jeles habis nanti! Dia bercadang hendak berterus terang dengan sahabatnya, malam ini. Dia tidak mahu teman baiknya itu terus memburu dan mengharapkan Salmiha Haini. Salmiha Haini adalah miliknya dan tidak boleh dikongsi dengan lelaki lain. Dia sama sekali tidak akan benarkannya.
Teringat kejadian yang berlaku sepanjang hari ini, Shahrul Hairi tersenyum senget. Hotel Ramada Songdo menjadi saksi penyatuan dua hati… dua jiwa… Memang mereka betul-betul berbulan madu di bumi Korea ini. Keluar pun hanya seketika, untuk mengisi kantung perut. Selebihnya mereka hanya duduk berkurung di dalam bilik.
Syoknya kalau dapat anak secepat yang mungkin. Anak made in Korea, bisik hati kecil Shahrul Hairi. Dia sudah tidak sabar hendak menjadi seorang ayah dan punya anak yang ramai. Harap-harap Salmiha Haini juga sepertinya.
Salmiha Haini membuang pandang ke luar tingkap sementara menunggu suaminya usai mandi. Lagu Cahaya Cinta, nyanyian Datin Seri Siti Nurhaliza meniti di bibirnya.
“Sayangi daku... Peluklah daku... Janji denganku... Semai cinta nan satu...” Matanya juga begitu ralit menyaksikan keindahan bumi Korea Selatan. Simbahan cahaya lampu yang menerangi suasana senja begitu mempesonakan. Sungguh cantik! Dan langsung tidak ada bezanya dengan Kuala Lumpur. Rindu rasanya dengan tanah air tercinta.
Huwaa... rindunya nak makan nasi lemak dan roti canai! Baru duduk sehari kat negara orang dan macam bertahun pulak rasanya. Mujurlah mereka berada di sini hanya sehari dua. Buat berkurun lamanya? Mahu rentung! Sanggup dia suruh Sofea hantar makanan kegemarannya menggunakan pos.
Terasa ada tangan yang melingkari pinggangnya. Tahulah dia sangat siapakah gerangan orangnya! Salmiha Haini membawa lengan sasa suaminya ke dada. Terasa bahagia menyelubungi dirinya saat ini.
“Abang... nak tanya satu soalan boleh?” Salmiha Haini mendongak memandang suaminya. Kenapalah suami aku ni terlebih tinggi? Naik lenguh leher duk asyik mendongak.
“Setakat satu soalan aje, apa ada hal? Kenapa tak kumpul dulu semua soalan cepumas tu, kemudian barulah bertanya?” Usik Shahrul Hairi sambil tersenyum.
“Abang ni... kalau tak mengusik satu hari boleh demam agaknya?” Perli Salmiha Haini. Tangannya juga menampar tangan suaminya.
Ketawa Shahrul Hairi melihat rajuk isterinya. Makin cantik pulak di matanya isteri kesayangannya itu.
Emmm... apa dia soalannya?” Tanya Shahrul Hairi lembut. Dahi isterinya dikecup kasih.
“Hari tu abang kata, dari KLIA lagi abang nampak wajah mendung Hani. Bila masa abang nampak Hani?”
“Itu rupanya persoalan yang bersarang dalam kepala isteri abang yang jelita ni?” Usik Shahrul Hairi lagi sambil mencuit hidung Salmiha Haini.
Salmiha Haini membulatkan matanya. Suka benar Shahrul Hairi menyakat dirinya. Tapi hati di dalam tiada siapa yang tahu akan kembang kuncupnya bila dipuji sebegitu.
Emmm... honey ingat tak lagi yang honey pernah terlanggar seorang juruterbang kacak semasa di KLIA?” Tanya Shahrul Hairi bersama sengihan. Maklumlah puji diri sendiri. Mahu tak tersengih.
“Abang ke orang tu?” Salmiha Haini minta kepastian. Melihat anggukan Shahrul Hairi, dia ketawa. Sungguh tak disangka! Padahal selepas kejadian itu, sempatlah juga dia dan Sofea mengumpat suaminya itu.
“Ini kenapa ketawa ni?” Tanya Shahrul Hairi sambil mencekak pinggang. 
“Takde apa-apalah! Cuma tak sangka orang yang Hani langgar sudah pun menjadi suami Hani.”
“Itulah namanya jodoh. Sejak peristiwa tu, abang langsung tak boleh lupakan honey! Dan tak sangka pulak kita dipertemukan lagi pada malam bersejarah tu,” luah Shahrul Hairi bersama senyuman kacaknya. Yalah tu... konon tak boleh lupa sejak bertemu di KLIA. Padahal masa kat JB lagi memang tak boleh nak lupakan gadis bernama Salmiha Haini ini, gumam Shahrul Hairi. Biarlah segala rahsia yang berlaku tersimpan kukuh di hati dan akan jadi memori indah untuk dikenang hingga ke mati.
Shahrul Hairi mengeratkan lagi dakapannya. Rambut isterinya dibelai dan ubun-ubun isterinya dikucup berulang kali. Dia mahu Salmiha Haini tahu betapa dalamnya cinta dia buat isterinya itu.
Bunyi telefon bimbitnya membuatkan Shahrul Hairi melepaskan dakapannya. Dia segera mencapai telefon bimbitnya itu. Melihat nama Max, badannya serasa seram sejuk. Terasa kasihan pun ada dengan kawan baiknya itu. Bagaimanalah nanti penerimaan teman rapatnya itu.
Emmm... ada apa Max?”
“Kau kat mana? Dari semalam lagi aku tak nampak?”
“Mana ada semalamnya! Pukul 6.30 pagi tadi kita sampai. Sekarang baru pukul 7.45 minit malam. Baru tiga belas jam kau tak nampak batang hidung aku.”
“Kenapa kau tak menginap sekali dengan kami semua?”
“Aku inginkan privacylah! Tak akan itu pun tak boleh?”
“Sejak bila kawan aku ni pandai cari ruang untuk bersendirian? Atau... kau ada agenda yang tersembunyi?” Sindir Max.
“Kau jangan nak memfitnah aku ya,” tegas Shahrul Hairi.
Errr... sorrylah! Aku tak bermaksud nak buat kau marah dan terasa hati.”
“Tak apalah! Aku mengerti.”
“Rie... kau ada jumpa Miha tak?” Max bertanya. Tak senang duduk dirinya bila tahu Shahrul Hairi dan Salmiha Haini menginap di hotel lain.
“Ada dengan aku ni. Kejap lagi kami nak keluar makan malam. Kau nak join tak?” Pelawa Shahrul Hairi. Dia juga ingin menjelaskan hubungannya dengan Salmiha Haini kepada Max.
“Boleh juga! Aku pun dah rindu kat dia,” jawab Max gembira. “Kat mana kita nak jumpa?”
“Kau tunggu aku dekat Hotel New Airport je, nanti aku ambik kau.”
Emmm... baiklah!”
Shahrul Hairi memandu tenang kereta milik sahabatnya, Han Deok. Hampir setengah jam memandu mereka tiba di Hotel New Airport di Incheon. Selepas mengambil Max, mereka menuju ke Restoran India Halal yang terletak di Itaewon.
Honey nak makan apa?” Tanya Shahrul Hairi perlahan.
“Nak nasi berianilah.”
“Kau Max?” Shahrul Hairi bertanyakan Max pula.
“Aku pun nak nasi beriani juga,” pinta Max.
Selepas membuat pesanan, Shahrul Hairi duduk diam sambil memerhatikan tingkah laku temannya. Melihat keceriaan Max, serba salah dia hendak menerangkan duduk perkara yang sebenarnya.
“Seronok dapat berjalan ke sini, Miha?”
“Seronok apanya? Asyik terperap dalam bilik dengan abang je!” Salmiha Haini menjeling suaminya.
Shahrul Hairi hanya tersengih mendengar celoteh isterinya. Macam mana nak keluar berjalan jika mereka asyik bergolek atas katil seharian. Kalau keluar pun sekadar mencari tempat untuk mengisi perut.
Max memandang wajah Salmiha Haini dan Shahrul Hairi silih berganti. Hatinya digamit rasa tidak enak.
“Ada sesuatu yang cuba kau nak bagi tahu kat aku ke Rie?”
Shahrul Hairi menggenggam kemas jemari Salmiha Haini yang berada di atas pahanya. Dia cuba mencari kekuatan yang terdapat dalam diri isterinya.
Salmiha Haini keresahan bila tersedar dia sudah terlepas cakap sebentar tadi.
Shahrul Hairi berdehem sebelum memulakan bicara.
“Max... aku sebenarnya nak minta maaf dengan kau. Aku tiada niat langsung hendak menyakiti hati kau,” terang Shahrul Hairi sambil merenung sahabat baiknya itu. Muka Max dilihatnya sudah berubah. Mungkin sedang menahan marah, barangkali.
“Salmiha Haini adalah isteri aku!”
Ayat yang baru keluar dari mulut Shahrul Hairi bagaikan belati menikam perit hingga ke jantungnya. Max benar-benar tidak percaya. Tak mungkin! Mustahil! Gumam Max. Adakah Shahrul Hairi sengaja berkata begitu? Max yakin yang temannya itu berniat hendak merampas Salmiha Haini dari hidupnya.
            “Kau bohong, kan? Kau sengaja cakap macam tu sebab nak ambil Miha daripada aku,” ujar Max sedikit emosi.
“Buat apa aku nak berbohong? Tak ada faedah yang aku dapat,” jelas Shahrul Hairi tegas.
Shahrul Hairi mengeluarkan surat pengesahan pernikahannya.
“Ini buktinya!”
Max merenung kertas putih yang berada di atas meja. Jelas kelihatan nama pasangan itu di atasnya.
“Kenapa kau tak berterus terang sebelum ni? Kenapa kau biarkan perasaan sayang aku terhadap Miha tumbuh mekar?” Soal Max sedikit kesal. Sakit hatinya bila terasa dipermainkan oleh sahabat sendiri.
“Maafkan aku. Tiada niat di hati aku untuk berbuat demikian. Dan aku tidak menyangka begitu cepat kau menaruh hati terhadap isteri aku. Aku ingatkan kau sekadar main-main seperti sebelum ni,” luah Shahrul Hairi dengan sedikit penyesalan.
Salmiha Haini hanya diam mendengar. Dia tidak mahu ikut campur perbualan antara Shahrul Hairi dan Max.
Max menghela nafas panjang. Dia cuba tersenyum walaupun hambar. Mungkin tiada rezeki buatnya untuk memiliki gadis bernama Salmiha Haini ini. Mungkin jodohnya sudah tertulis dengan gadis lain. Max cuba berfikiran positif.
Melihat Max kembali tenang dan suaminya sudah mampu menarik nafas lega, Salmiha Haini meminta diri ke tandas. Dia mahu dua bersahabat itu melepaskan apa yang terbuku di hati masing-masing.
Shahrul Hairi menghantar pergi isterinya dengan pandangan matanya sahaja.
“Tahniah!” Kata Max sepatah. “Kiranya baru lagilah kau orang menikah?”
            “Aah... masih baru lagi,” ujar Shahrul Hairi sambil membetulkan letak duduknya. “Sebenarnya masa kau datang rumah aku tempoh hari, aku dan dia sudah pun menikah.” Shahrul Hairi menerangkan hal yang sebenar dan merungkai kekusutan Max.
“Kau nak balas dendam kat perempuan yang kau minat tu ke?”
“Balas dendam? Apa maksud kau? Aku kurang jelas.”
“Maksud aku, kau lepaskan kekecewaan kau dengan mengahwini Miha. Yalah, awek kau tu kan dah kahwin dengan orang lain.”
“Taklah! Dialah gadis yang aku cinta tu,” jelas Shahrul Hairi bersama senyuman bahagia.
Terlopong mulut Max mendengarnya.
“Kau biar betul?”
“Betullah! Tak akan aku nak bohong pulak.”
Shahrul Hairi menceritakan detik pertemuannya dengan Salmiha Haini bermula dari KLIA hinggalah ke detik pernikahannya. Sedikit pun tidak kurang dan tertinggal.
“Kiranya ALLAH dengar impian dan harapan kau, Rie. Aku doakan semoga kau bahagia hingga ke Syurga,” doa Max tulus ikhlas. “Maafkan aku ya, sebab menaruh hati dekat isteri kau. Kau pun satu! Suka sangat berahsia.”
Shahrul Hairi hanya ketawa mendengar kata-kata Max. Lega hatinya bila Max dapat menerima kenyataan tentang hubungannya dengan Salmiha Haini.
“Cuma satu sahaja yang aku pinta dari kau, Max. Aku harap perkara ini menjadi rahsia antara kita berdua dulu. Aku tak mahu Darlina ganggu isteri aku. Kau pun tahu kan bagaimana teruknya perangai dia. Aku tak mahu dia buat perangai gilanya seperti selalu. Aku janji... bila aku nak berhenti nanti, aku akan buat sedikit majlis dan umumkan status aku pada kawan-kawan kita.
“Untuk sahabat baik aku ni, aku akan lakukan apa sahaja. Dan aku akan bantu kau untuk lindungi rumah tangga kau dari gangguan dia,” ujar Max seraya memeluk erat tubuh Shahrul Hairi. Itulah janji seorang sahabat untuk sahabat baiknya. Dia dan Shahrul Hairi ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakitnya. Begitulah akrabnya persahabatan mereka. Lagi pula dia kenal benar dengan sikap Darlina. Perempuan itu sanggup lakukan apa saja, asalkan hatinya puas dan hidupnya senang.



8 comments: