Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Wednesday 5 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 17

Bab 17


SHAHRUL HAIRI yang sedang memandu sekali-sekala mencuri pandang wajah isterinya. Melihat wajah jernih itu dia tahu isterinya sedang gembira ketika ini. Pasti isterinya berasa lega kerana kesnya bersama Pak Langnya sudah selesai. Atau... isterinya terlalu gembira kerana dapat bertemu dengan teman lama atau mungkin kekasih lama. Dia memandang Salmiha Haini sekali lagi sebelum bersuara.
“Nama dia memang Les ke?” Shahrul Hairi memecah kebisuan antara mereka.
Salmiha Haini memandang ke sisi seketika sebelum meluruskan pandangannya ke hadapan.
Aah! Memang itulah nama dia! Kenapa? Abang ingat Si Les tu sama dengan kawan abang Si Max tu ke? Suka tukar-tukar nama sesedap rasa!” Tanya Salmiha Haini bersama tawa yang memanjang.
“Amboi... sukanya dia kalau dapat kenakan abang ya!” Usik Shahrul Hairi. “Honey memang rapat dengan dia ke?” Shahrul Hairi mengorek rahsia.
“Takdelah rapat sangat! Tapi Hani tahulah yang dia pernah menaruh hati dekat Hani dulu. Disebabkan ada coursemate Hani yang minat kat dia, jadi Hani tak layanlah dia sangat.” Selamba badak aje Salmiha Haini bercerita. Langsung dia tidak menoleh untuk melihat wajah suaminya sama ada sedang tersenyum hingga ke telinga atau sudah kelat seperti buah berembang muda.
Patutlah lelaki tu tengok bini aku semacam je. Rupanya ada hati kat bini aku. Aura cemburu sudah memenuhi ruang dadanya.
“Mana kad yang dia bagi tadi? Abang nak tengok.”
“Abang nak buat apa? Abang masih tak percaya ke yang nama dia Les?” Dalam pada itu, tangannya menghulurkan kad bisnes milik Les tanpa syak wasangka.
Shahrul Hairi memandang seketika kad nama tersebut ketika berhenti di lampu isyarat. Les Muhaimin bin Badrul Amin. Pengurus besar. Hebat jugak lelaki ni. Patutlah Si Darlina kejar. Muka pun boleh tahan kacaknya. Eh... ini bukan ke syarikat Uncle Amin? Shahrul Hairi berkata dalam hatinya bila terlihat nama Syarikat Sri Bina. Agaknya Les ni  anak Uncle Amin kut? Kenapa Salmiha Haini tak sauk aje lelaki ni dulu? Kacak dan kaya pulak tu!
“Abang jalanlah! Orang dah bunyikan hon tu! Abang fikirkan tentang apa?” Tanya Salmiha Haini bila suaminya begitu ralit dalam dunianya.
“Tak ada apa-apalah,” jawab Shahrul Hairi sambil meneruskan pemanduannya. Kad bisnes milik Les dihulur kembali kepada isterinya.
Salmiha Haini segera menyambutnya. Bimbang ganggu pemanduan suaminya.
Honey tahu tak siapa Les tu? Dia anak orang kaya tau?” Shahrul Hairi memasang umpan. Dia ingin lihat sejauh mana sikap dan perangai Salmiha Haini.
“Oh... ya ke? Tak tahu pun! Tapi apa faedahnya jika dia anak orang kaya sekali pun? Bukannya harta dia tu dapat kat Hani,” jawab Salmiha Haini bersahaja. Langsung tiada perasaan teruja atau terkilan bila mendengar tentang kekayaan Les.
Dia ni spesies tak heran dengan stok lelaki kaya-raya ke? Kalau orang lain... mahu berkejaran ke sana ke mari hendak memikat lelaki kaya. Tak kiralah sama ada lelaki itu suami orang ataupun bukan, tua mahupun muda. Asalkan impian mereka terlaksana, sudah!
Honey tak rasa rugi ke, tak dapat couple dia?”
Salmiha Haini pantas menoleh suaminya yang sedang memandu.
“Nak rugi buat apanya? Abang ingat... hidup dengan harta kemewahan ni hati boleh tenteram dan aman? Lagi takut adalah! Setiap hari hati mesti risau. Sebab apa perlu risau...” Salmiha Haini menjeling suaminya. “Sebab takut suami kena pikat dan dirampas oleh perempuan lain. Hani kalau boleh tak nak suami yang kaya-raya ni. Takut makan hati berulam jantung! Kahwin dengan abang ni pun rasanya macam nak kena tempah liang lahad awal-awal je. Tak pun wad kat IJN. Manalah tahu suatu masa nanti abang jadi ulat bulu, mahu merana badan,” sindir Salmiha Haini.
“Ewah...!!! Ewah..!!! Soalan  abang  punyalah  pendek. Jawapan honey bukan main panjang berjela. Tak payahlah nak risau! Bukannya ada orang nak kat abang pun. Jadi tak perlulah sampai nak tempah liang lahad atau wad kat IJN. Entah-entah doktor pun tak hingin nak tengok muka honey,” usik Shahrul Hairi.
Salmiha Haini menceber. Kurang percaya dengan mulut manis suaminya. Belum nak menggatal lagi, bolehlah nafikan. Cuba dalam hati dah terdetik nak beralih arah, mahu tak cukup memori dalam otak tu nak simpan data-data cara hendak memikat perempuan atau menipu isteri.
“Boleh dipercayai ke... dengan kata-kata abang tu? Macam tak berapa nak jujur aje kenyataan abang tu? Orang lelaki ni... kalau kacak dan banyak duit, ragam dia lain macam sikit!” Sinis Salmiha Haini.
“Itu orang lain, bukan abang.” Shahrul Hairi membidas kata-kata isterinya.
“Yalah tu!” Salmiha Haini bersuara.
Honey boleh pegang dengan kata-kata abang. Selagi abang masih waras, insya-ALLAH hanya honey seorang kekal bertakhta di hati abang hingga ke akhir hayat.”
“Itu kalau abang masih waras. Kalau tak macam mana?”
Honey ni... suka fikir yang bukan-bukan! Kita sama-samalah berdoa supaya ALLAH lindungi rumah tangga kita hingga ke akhir hayat,” ujar Shahrul Hairi seraya mencucuk pinggang Salmiha Haini.
“Abang...” Terjerit Salmiha Haini akibat kegelian. Mujurlah dia bukan kaki latah, mahu accident mereka nanti. Bahu suaminya ditampar perlahan. Dia akan cuba mempercayai setiap luahan suaminya. Dan dia berdoa semoga apa yang diperkatakan oleh suaminya itu adalah benar dan bukan sekadar mainan di bibir.
Shahrul Hairi tertawa bahagia. Begitu juga dengan Salmiha Haini. Harapan mereka biarlah rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke akhirnya.



SHAHRUL HAIRI menuju ke balkoni. Lantas telefon bimbitnya menekan perkataan ‘ayah’. Dia perlu bercerita dengan ayahnya. Ayahnya perlu tahu setiap perjalanan yang dilalui dalam hidupnya. Dia tidak mahu ayahnya mengetahui tentang dirinya melalui mulut orang lain. Dia juga bimbang jika ada yang menokok tambah dengan pelbagai rencah semata-mata hendak menyedapkan jalan cerita.
“Assalamualaikum ayah. Ayah apa khabar? Sihat?” Lega hatinya dapat mendengar suara ayah kesayangannya itu. Selepas gagal menghubungi ayahnya tempoh hari, telefon bimbitnya jarang diaktifkan. Bimbang jika ibunya menghubungi.
“Waalaikumussalam... Alhamdulillah, ayah sihat. Rie pula macam mana nak?”
“Rie pun sihat ayah.”
“Ada apa Rie telefon ayah dulu? Maaflah ayah tak sempat nak telefon balik, terlalu sibuk sepanjang berada di China,” jelas Tan Sri Sharman sedikit serba-salah. Selebihnya dia bimbang jika anak lelakinya mempunyai masalah peribadi.
Shahrul Hairi menarik nafas panjang-panjang sebelum meneruskan bicaranya. Dia sebenarnya bimbang jika kata-katanya nanti bakal menggores luka hati ayahnya. Tapi dia tidak sanggup menyimpan rahsia ini lebih lama. Kasih dan sayang ayahnya tiada tandingan dan tidak ada galang gantinya. Oleh itu adalah tidak wajar sekiranya dia terus berdiam diri. Lagi pula ayahnya harus tahu akan status dirinya kini.
“Ayah... Rie ada perkara nak bagi tahu ayah. Rie harap ayah dapat bersabar dan bertenang.” Shahrul Hairi menyusun kata-kata.
“Perkara apa Rie? Kamu jangan nak takut-takutkan ayah.” Tan Sri Sharman bersuara gusar.
“Bukannya nak takut-takutkan ayah! Cuma Rie tak pasti sama ada perkhabaran ini menggembirakan hati ayah ataupun tidak. Tapi bagi Rie... perkara ini amat bermakna dalam hidup Rie,” terang Shahrul Hairi dengan kiasan.
“Bunyi macam orang nak kahwin je?” Serkap ayahnya.
“Bukan nak kahwin ayah. Tapi...” Shahrul Hairi berhenti seketika. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Risaunya dia akan penerimaan ayahnya.
“Tapi apa Rie?” Tan Sri Sharman segera memintas. Dia sudah tidak sabar hendak mendengar penjelasan anak tunggal kesayangannya itu.
Errr... errr... Rie nak bagi tahu ayah yang Rie dah pun menikah.”
“Bila Rie? Kenapa tak bagi tahu ayah yang kamu nak menikah? Sampai hati Rie belakangkan ayah.” Tan Sri Sharman bersuara kesal.
“Maafkan Rie ayah. Maafkan Rie. Rie tak bermaksud nak membelakangkan ayah. Rie dah cuba hubungi ayah nak beritahu perkara yang sebenar dan ingin mengajak ayah menemani Rie pada hari pernikahan tu. Tapi ayah dah terbang ke China. Telefon bimbit ayah pula gagal dihubungi. Maafkan Rie sebab buat keputusan tanpa rujuk kepada ayah terlebih dahulu.”
Tan Sri Sharman diam seketika. Bukan salah anaknya. Shahrul Hairi dah cuba untuk hubunginya tapi tidak berjaya. Pasti ada sebab kenapa ALLAH tidak mahu dia berada dalam majlis pernikahan anaknya itu. Tan Sri Sharman benar-benar yakin dan pasti.
“Kamu kena tangkap khalwat ke Rie? Atau perempuan tu dah hamil? Sebab tu kamu tergesa-gesa menikah.” Luluh hatinya jika tekaannya benar.
“Astaghfirullahaladzim, ayah. Rie taklah seteruk tu. Rie masih tahu batas-batasnya.” Walaupun kecil hati dengan kata-kata ayahnya, Shahrul Hairi tidak marah atau simpan dalam hati. Ibu bapa mana yang tak syak wasangka jika anak mereka tiba-tiba aje sudah bergelar suami mahupun isteri tanpa pengetahuan mereka.
Alhamdulillah, bisik hati Tan Sri Sharman.
“Maafkan ayah Rie kerana buruk sangka.”
“Ayah tak salah apa-apa. Ayah memang punya alasan yang kukuh untuk mengesyaki Rie. Lagipun memang Rie yang salah sebab membelakangkan ayah. Ayah maafkan Rie ya.”
“Ayah maafkan Rie. Ayah tahu Rie tak berniat hendak membelakangkan ayah. Emmm... cantik sangat ke kasih hati kamu tu? Maksud ayah, cantik sangat ke isteri kamu tu sampai tak menyempat-nyempat nak buat majlis mengikut ada resam orang Melayu dan tunggu ayah balik?” Usik Tan Sri Sharman.
Shahrul Hairi garu kepala dan tersengih di talian mendengar usikan ayahnya.
“Rie takut melepas kalau lambat bertindak. Errr... ayah tak marah ke Rie kahwin ni?”
“Kamu nak ayah marahkan kamu ke?” Tan Sri Sharman bertanya kembali.
Shahrul Hairi tergelak kecil mendengar ulasan ayahnya.
“Ingatkan ayah nak mengamuk tadi! Habis tu calon menantu pilihan ayah dan ibu macam mana?” Shahrul Hairi bertanya penuh kebimbangan. Yang dia paling risaukan adalah penerimaan ibunya. Ibunya itu terlalu sukar hendak dibawa berunding dan menerima pendapat orang lain bulat-bulat. Kalau hitam katanya maka hitamlah jawapannya.
“Ayah saja je gertak kamu. Risau juga ayah bila sampai sekarang kamu masih solo. Tak sangka pula ayah, kamu dah ada kekasih. Kalau ayah tahu, takdenya ayah ikut rancangan ibu kamu. Kenapa tak cakap kat ayah yang kamu dah ada kekasih sebelum ni? Kalau tak, boleh ayah pergi pinangkan. Takdelah kamu kahwin macam anak terbuang seperti ni,” perli Tan Sri Sharman.
“Bukan tak nak bagi tahu ayah. Cuma waktu tu Rie tak yakin lagi dengan hati Rie.” Yalah tu tak yakin lagi. Padahal dia dah syok kat Salmiha Haini separuh mati. Cuma Salmiha Haini aje yang tak tahu rahsia hatinya.
“Tak apa, ayah mengerti keadaan Rie ketika tu.”
Hmmm... ayah tak marah ke Rie menikah ni?”
“Habis tu... ayah nak buat macam mana lagi? Lagipun benda dah jadi!”
Shahrul Hairi menghela nafasnya.
“Ayah restu tak perkahwinan Rie ni?”
“Kenapa pulak ayah tak restu? Ayah memang berharap sangat kamu kahwin dalam masa yang terdekat ni walaupun bukan cara begini yang ayah pinta. Tapi tak mengapalah, janji kamu dah pun kahwin,” jelas Tan Sri Sharman. “Dari tadi ayah tanya, cantik ke tak menantu ayah tu?”
Shahrul Hairi bersyukur sangat-sangat kerana mempunyai ayah seperti Tan Sri Sharman. Ayahnya terlalu baik dan memahami.
“Mestilah cantik! Nanti Rie hantar gambar dia kat ayah. Ayah tengok ya! Jangan ayah terberkenan sudahlah,” giat Shahrul Hairi.
“Hesy... kamu ni! Ke situ pulak. Ada aje alasan nak usik ayah. Ayah dah tua! Sekarang ni, ayah cuma fikir nak buat amal ibadat je sebelum malaikat maut datang menjemput.”
“Terima kasih ayah kerana merestui Rie. Rie sayang ayah sangat-sangat.” Shahrul Hairi bersuara sedikit sebak.
“Ayah pun sayang kamu juga. Kamulah satu-satunya anak yang ayah ada.” Tan Sri Sharman sudah sebak. “Errr...  Rie tak nak buat majlis kat sini ke? Kalau nak ayah boleh aturkan.”
“Rie belum terfikir lagi ayah. Lagipun Rie bimbang sangat dengan penerimaan ibu. Rie takut ibu akan buat sesuatu yang boleh meruntuhkan rumah tangga kami. Ayah pun tahukan sikap ibu macam mana. Rie pasti ibu akan bangkang habis-habisan.” Shahrul Hairi menjeling isterinya yang sedang berkemas. Bimbang jika lantunan suaranya dapat didengari oleh isterinya itu. Dia tidak mahu isterinya kecil hati dan rasa terpinggir.
“Betul juga cakap Rie. Buat masa ni kita diamkan dulu. Ayah pun risau juga dengan kerenah gila ibu kamu tu. Akalnya memang tak boleh kita nak duga dan jangka.”
Shahrul Hairi tersenyum hambar mengenangkan sikap ibunya. Cukuplah dia mendapat restu ayahnya buat masa ini. Yang lain dia tidak peduli dan perlukan lagi.
 “Kita berhenti setakat ni dulu ya ayah! Rie dah nak pergi kerja ni. Insya-ALLAH, Rie akan bawa isteri Rie berjumpa dengan ayah nanti. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam. Sampaikan salam ayah buat isteri kamu,” pesan Tan Sri Sharman sebelum mengakhiri perbualan mereka.
“Insya-ALLAH ayah.”
Shahrul Hairi merenung telefon bimbitnya setelah perbualan dengan ayahnya tamat. Terukir senyuman di bibirnya. Shahrul Hairi berasa amat puas dan gembira setelah mendapat restu daripada ayahnya. Dia berdoa semoga rumah tangganya kekal aman dan bahagia hingga ke akhirnya.
SALMIHA HAINI menghampiri suaminya. Bukan main ceria lagi wajah suaminya ketika ini. Entah apalah yang dibualkan oleh suaminya hingga memancarkan seri di wajahnya.
Suaminya memang kacak dan tampan apatah lagi setelah menyarung uniform rasminya itu. Tak puas dia memandang. Salmiha Haini yakin, ramai gadis di luar sana yang menaruh hati terhadap suaminya itu. Kiranya dia lah wanita yang paling bertuah kerana berjaya menjadi isteri buat lelaki yang bernama Shahrul Hairi itu.
“Abang tahulah abang ni kacak. Tapi tak payahlah renung abang sampai macam tu sekali,” usik Shahrul Hairi sambil tersenyum.
Wajah Salmiha Haini merona merah. Malu bila tertangkap merenung anak teruna orang. Eh! Bukan anak teruna orang tapi suami sendiri.
“Mana ada tengok wajah abangnya.” Salmiha Haini berdalih.
Hmmm... yalah tu. Dah tengok abang macam nak telan, masih ada hati lagi hendak meningkah,” ujar Shahrul Hairi sambil tertawa. Sikap Salmiha Haini yang malu-malu menarik perhatiannya. Makin Salmiha Haini malu, makin giat dia mengusik. Kadang kala sampai merajuk isterinya itu dibuatnya. “Ayah kirim salam kat honey,” beritahu Shahrul Hairi sambil membetulkan uniformnya. Wajah Salmiha Haini dipandang.
“Waalaikumussalam,” balas Salmiha Haini. “Ayah abang dah tahu tentang kita? Dia tak marah ke?”
“Alhamdulillah. Ayah boleh terima honey sebagai menantunya.”
Salmiha Haini tersenyum bahagia. Dia sangat-sangat bersyukur kerana ALLAH permudahkan perjalanan hidupnya bersama Shahrul Hairi.
“Abang pergilah minum dulu. Hani dah siapkan minuman abang,” pesan Salmiha Haini sebelum berlalu ke bilik mandi. Dia juga harus bersiap sekarang, nanti terlewat pula mereka sampai ke airport. Ah! Lupa pula dia hendak bertanyakan tentang ibu mentuanya terutama sekali penerimaannya. Namun sesaat kemudian dia tersenyum. Kalau ayah mentuanya boleh terima, pasti ibu mentuanya juga begitu, fikir Salmiha Haini.
Shahrul Hairi duduk di birai katil. Dia ingin menanti isterinya. Tidak betah rasanya jika minum sendirian tanpa berteman.
“Eh... abang tak turun lagi?” Tanya Salmiha Haini sebaik sahaja dia terpandang wajah Shahrul Hairi. Mujur juga dia tergerak hati hendak membawa pakaiannya bersama. Jika tidak mahu ada tayangan percuma petang ini.
Shahrul Hairi menggeleng. Wajah isterinya yang sedang bersiap dipandang. Dia sebenarnya terkilan dengan sikap Salmiha Haini. Walaupun mereka suami isteri tetapi Salmiha Haini tetap menyalin pakaiannya di dalam kamar mandi. Entah apa yang disegankan oleh isterinya itu pun dia tidak tahu.
“Laa... kenapa tak turun lagi? Mesti air coklat abang dah sejuk,” keluh Salmiha Haini.
“Takpelah dah kalau sejuk pun. Bukannya basi,” balas Shahrul Hairi sambil memerhati isterinya yang sedang merapikan diri.
Salmiha Haini sudah menggeleng kepala mendengar alasan suaminya. Dia segera mengemaskan dirinya. Dia tidak mahu Shahrul Hairi tertunggu-tunggu akan dirinya.
“Jom kita turun. Hani dah siap ni.” Ajak Salmiha Haini dengan senyuman manis.
Shahrul Hairi angguk kepala. Bagasi yang memuatkan pakaian mereka ditarik. Senyuman isterinya juga turut dibalas. Lapang rasa dadanya setiap kali melihat senyuman mekar dari bibir Salmiha Haini. Tengah marah pun boleh sejuk.
“Abang... best tak Korea?”
“Abang tak nak cakap. Nanti honey akan tahu sendiri,” balas Shahrul hairi sambil mengenyit matanya.
Salmiha Haini menceber.
Tergelak Shahrul Hairi melihat perlakuan isterinya.
“Kalau abang bagi tahu sekarang, takdelah kejutan buat honey bila dah sampai sana nanti,” beritahu Shahrul Hairi.
Betul juga cakap suaminya. Kalau suaminya dah beri penerangan secara terperinci tentang bumi Korea, tiadalah lagi keterujaan yang menanti dirinya.
“Tapi abang yakin honey pasti sukakan tempat tu.”
Salmiha Haini angguk kepala. Biarlah dia tengok dengan mata kepalanya sendiri. Seronok juga kahwin dengan pilot ni. Boleh jalan-jalan lihat negara orang.

12 comments: