Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Monday 3 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 14

Bab  14


USAI solat Maghrib berjemaah, Salmiha Haini bergegas ke dapur menghidangkan makan malam. Itu pun atas permintaan Shahrul Hairi. Ikutkan hatinya yang malas memasak, ingin saja dia mengajak lelaki itu makan di luar. Penat anggota badannya sepanjang hari ini masih lagi belum hilang. Macam manalah agaknya kalau dia yang terpaksa bersusah payah menguruskan majlis tersebut bersama ahli keluarga? Tentu saja kepenatannya berlipat kali ganda.
Baru hendak menyenduk nasi ke dalam pinggan, Salmiha Haini sedikit tersentak bila terdengar bunyi loceng yang bertalu-talu. Lantas mangkuk yang berisi nasi diletakkan kembali di atas meja. Tangannya dicuci. Memang begitu sikapnya. Dia tidak betah jika tidak mencuci tangan selepas melakukan apa-apa kerja.
“Siapalah yang datang malam-malam buta ni?” Rungutnya tanpa sedar. “Atau kawan-kawan suaminya dah balik?” Tangannya yang sedikit basah dilap dengan tuala bersih. Tudungnya yang berada di atas sofa segera dicapai sebelum membuka pintu. Kepalanya terjengah-jengah mencari Shahrul Hairi.
“Encik nak cari siapa?” Salmiha Haini bertanya ramah.
Max memandang wajah Salmiha Haini tanpa berkelip.
Fuhlamak! Puteri kayangan mana yang datang berkunjung ke rumah sahabatnya ini? Cantik bukan main lagi. Jangan-jangan Si Rie ni dah pandai simpan perempuan tak? Tapi bila masa pulak kawan karibnya yang beku dan kaku itu boleh jadi pencinta wanita? Hesy... tak masuk akallah! Terasa agak mustahil pula andai teman rapatnya itu berperangai keji. Shahrul Hairi kan ala-ala alim gitu!
Sepupu dia agaknya? Tapi... dia kan tak ngam dengan sepupunya yang seorang itu. Mungkin orang gaji dia kut? Amboi... sikit punya cun orang gaji yang dia pilih. Kalau dapat orang gaji seperti ini, aku pun kepingin! Max memandang Salmiha Haini dari atas hingga ke bawah berulang kali.
Apa fasal orang ni pandang aku macam nak telan? Hati Salmiha Haini dihambat kebimbangan. Risau pulak dia melihat tingkah laku lelaki di hadapannya ini yang sedikit pelik. Salmiha Haini berdehem berulang kali. Naik perit tekaknya. Namun orang di hadapannya masih kaku terdiam.
“Encik... encik... nak cari siapa?” Salmiha Haini memetik jarinya berulang kali di hadapan Max.
Max  tersedar dari angaunya yang panjang.
“Saya nak jumpa Shahrul Hairi. Dia ada?” Senyuman menawan dihadiahkan buat gadis rupawan itu.
Shahrul Hairi? Salmiha Haini menggaru kepalanya. Agaknya nama sebenar Ringgo, Shahrul Hairi kut? Tak pun nama kawan serumah Ringgo. Aduh, nak buat macam mana ni? Aku bukannya kenal pun dengan penghuni-penghuni dalam rumah ni.
Emmm... Shahrul Hairi takde, Ringgo adalah.”
Berkerut-kerut dahi Max mendengar kata-kata Salmiha Haini. Bila masa pulak mangkuk ayun ni tukar nama? Gumam Max. Aku salah rumah ke? Lantas dia cuba mencernakan kembali perbuatannya selepas memarkir kenderaan. Rasanya betul dah dia tekan angka dua puluh di butang lif sebentar tadi. Dan nombor rumah ini juga tidak bertukar sejak rakannya itu berpindah ke mari. Malahan cat pintu dan dinding rumah sahabatnya juga masih tidak berubah walaupun sudah seminggu dia tidak berkunjung ke mari.
Shahrul Hairi segera menuju ke ruang tamu setelah mendengar kekecohan yang berlaku di muka pintu rumah.
Melihat suaminya sudah tiba, Salmiha Haini segera beredar ke dapur menyelesaikan tugasnya yang terbengkalai seketika tadi.
“Hei... Max! Kenapa nak datang tak bagi tahu?” Tanya Shahrul Hairi. Dia benar-benar terkejut dengan kedatangan sahabatnya itu secara mendadak. Alahai! Macamlah Si Max ni pernah bagi tahu kalau dia nak datang, getus Shahrul Hairi.
“ Kau ni apa hal? Selama ini aku datang, tak pernah beritahu pun. Okey je!” Sindir Max. “Atau kau cuba sembunyikan sesuatu daripada aku? Mungkin sesuatu yang rahsia!” Serkap Max.
Shahrul Hairi cuba tersenyum. Namun dapat dirasakan senyumannya tidak menjadi. Pandai pulak rakannya itu menebak!
“Mana ada rahsianya.” Shahrul Hairi bersuara serius, menutup gelabahan di hati. “Eh... marilah masuk! Tak akan kau nak berdiri di luar je,” pelawa Shahrul Hairi.
“Ingatkan kau nak biar je aku berdiri kat luar ni sampai esok. Manalah tahu takut aku ganggu ketenteraman kau,” perli Max.
“Tak akanlah aku nak buat macam tu,” jelas Shahrul Hairi sambil menumbuk lembut bahu sahabatnya.
“Eh! Bila masa pulak nama kau bertukar Ringgo?” Sindir Max.
Shahrul Hairi tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru.
Errr... kau dah makan belum? Kalau belum mari join aku sekali,” pelawa Shahrul  Hairi. Pertanyaan Max dibiarkan sepi tidak berjawab. Bukannya penting pun.
Max tersenyum lebar mendengar ajakan kawannya itu. Perutnya memang kelaparan ketika ini. Tujuan dia datang ke rumah Shahrul Hairi pun sebab hendak mengajak temannya itu keluar makan bersama. Dia juga sudah terlupa dengan pertanyaan yang dicetusnya sebentar tadi.
Emmm... boleh jugak. Teringin juga aku nak rasa masakan orang gaji kau. Kalau dia masak sedap, boleh aku pinang buat isteri,” usik Max.
Muka Shahrul Hairi bertukar kelat. Mujurlah tidak bertukar hijau. Jika itu berlaku, mahu Max terpaksa tidur di wad ICU malam ni. Dan bila masa pulak isterinya bertukar status kepada orang gaji? Memang nak kena Salmiha Haini ni! Ada ke patut mengaku jadi orang gaji! Mengaku ajelah bini aku. Apa? Aku ni buruk sangat ke, sampai segan nak mengaku suami dia?
Ketika mereka tiba di meja makan, Salmiha Haini sudah pun siap menghidangkan  makan malam. Tanpa tertangguh dan dipelawa, Max terus duduk dan air yang dituang oleh Salmiha Haini begitu rakus diteguknya. Matanya juga tidak lekang mencuri pandang wajah Salmiha Haini yang sedang menjirus tangan Shahrul Hairi.
“Encik basuh tangan,” arah Salmiha Haini lembut sambil tangannya bersedia hendak menjirus air ke tangan Max.
Tanpa berlengah Max menghulur tangannya.
Setelah selesai tugasnya, Salmiha Haini segera ke dapur pabila mata Shahrul Hairi memberi isyarat supaya dia beredar dengan kadar segera.
Apabila Salmiha Haini meletakkan kembali bekas mencuci tangan di atas meja, tangan Max pantas mencapainya dan menuang air tersebut ke dalam gelasnya.
Bulat mata Shahrul Hairi memandangnya. Max dilihatnya seperti sedang berkhayal dan terawang-awang dalam dunianya. Melihat Max menyuakan gelas tersebut ke mulutnya, Shahrul Hairi lantas menegur.
Ooii... Max! Air yang kau minum tu air untuk basuh tanganlah.”
Segera Max menyembur air tersebut.
“Apalah kau ni Max? Kalau ya pun tengah berangan, tak akanlah tak boleh nak bezakan antara bekas air basuh tangan dengan bekas air minuman?” Sindir Shahrul Hairi sambil mengelap wajahnya. Tak fasal-fasal muka kacaknya kebasahan.
Shahrul Hairi bengang dengan gelagat teman baiknya itu. Seleranya terus terbantut walaupun hidangan di hadapannya benar-benar menyelerakan. Masak lemak cili padi ketam bersama pucuk labu, sambal mangga dan daging masak lada hitam adalah makanan kegemarannya. Sengaja dia meminta Salmiha Haini menyediakan menu tersebut untuk hidangan makan malam. Tetapi telatah Max, benar-benar menyenakkan hatinya. Dirinya bimbang andai Max menaruh perasaan terhadap isterinya.
“Abang, Hani naik atas dulu ya,” pinta Salmiha Haini sopan sambil memandang wajah suaminya seketika sebelum memandang Max. Senyuman di bibir terbentuk saat matanya bertembung dengan mata sahabat suaminya itu. Max dilihatnya begitu asyik meneroka wajahnya. Salmiha Haini sebenarnya tidak suka direnung dan ditatap sebegitu. Memandangkan lelaki itu rakan suaminya, dia terpaksa menunjukkan raut wajah yang manis. Tak akanlah dia hendak tunjuk raut wajah masam mencuka atau seperti pesakit mental. Mahu pengsan teman suaminya itu. Langkahnya juga diatur laju.
“Abang ikut jugalah,” kata Max spontan. Max bangun dari tempat duduknya dan mengekori langkah Salmiha Haini yang sudah berjalan sedikit di hadapan.
Shahrul Hairi terpegun seketika mendengar ayat Max. Apa? Dia nak ikut bini aku? Woi... Kawan! Itu my beloved wife laa... Sejak bila pulak selera mamat ni berubah? Biasanya taste Max hanya perempuan yang seksi dan menggoda. Tak akan isterinya yang menutup aurat dan tanpa secalit alat solek pun Max boleh terpesona? Ini tak boleh jadi ni! Rusuh hati Shahrul Hairi. Segera dia menarik kolar baju sahabatnya yang sudah memanjat anak tangga yang pertama.
“Eh! Engkau nak pergi mana?” Bisik Shahrul Hairi. Jantungnya bagaikan hendak terputus dari tangkainya dengan sikap sahabatnya itu.
“Haahlah... aku nak pergi mana ni?” Max seperti orang dungu. Dia juga bingung dengan tindakannya itu. Ketika Salmiha Haini minta diri untuk beredar, dia seolah-olah terdengar Salmiha Haini mengajaknya sekali.
“Kau jangan nak buat hal.” Shahrul Hairi memberi amaran. Risau juga dia melihat wajah temannya yang seperti tersampuk itu. Segera dia mengajak Max menyambung kembali makan malam mereka yang terganggu seketika tadi.
Tanpa membantah, Max menuruti langkah Shahrul Hairi.
“Cantiknya dia Rie... tergoda aku. Rasa macam nak ajak je orang gaji kau tu kahwin esok.” Max bersuara teruja. “Kau jumpa dia kat mana?”
Shahrul Hairi benar-benar gusar mendengar luahan Max. Geram sungguh dia dengan ayat berani mati rakan sekerjanya itu. Dia baru hendak merasai nikmat bercinta tanpa gangguan orang lain, dah ada yang cuba potong jalan. Pulak tu siap tangkap syok dengan isterinya. Ingatkan cari perempuan muslimah, takde sahabatnya yang tertarik. Rupanya tidak! ‘Mangkuk tingkat’ yang selama ini hanya berkenankan wanita seksi dan bergaya, sudah jatuh terjelepok hatinya sejak terpandang raut wajah isterinya. Memang nak makan penumbuk dia ni! Getus Shahrul Hairi. Tangannya tanpa sedar sudah mengempal penumbuk di bawah meja.
“Weh... kau ni kenapa Rie? Jangan cakap kau juga turut menyimpan perasaan terhadap orang gaji kau tu? Awek kau yang kat JB tu kau nak campak ke mana?” Wajah Shahrul Hairi yang tegang ditatap penuh minat. Naik takut pun ada dia melihatnya.
“Hesy... kau ni! Suka sangat merepek. Mana ada aku syok kat sape-sapelah.
Salmiha Haini yang baru hendak melangkah ke dapur tidak jadi berbuat demikian. Pilu hatinya mendengar kata-kata Shahrul Hairi. Benarkah lelaki itu tiada sekelumit pun perasaan terhadapnya? Tapi kenapa semasa di butik pengantin tadi, lain benar tingkah lakunya? Dia dapat merasakan yang dirinya sangat-sangat dicintai dan disayangi lelaki itu. Cara suaminya melindungi dirinya daripada mata-mata nakal lelaki yang mengunjungi butik itu, jelas menunjukkan yang suaminya benar-benar kasihkan dirinya. Oh... Salmiha Haini! Adakah kau sahaja berperasaan seperti itu tetapi dia sebaliknya?
Dan benarkah suaminya sudah punya kekasih? Jika benar, kenapa Shahrul Hairi masih mengajaknya berkahwin? Dan mengapa lelaki itu tidak berkahwin dengan kekasih hatinya? Tapi nanti kejap! Bukan ke dia kata, dia takde sesiapa dalam hidupnya? Hesy... mana satu nak percaya ni?
Yang kau emo sangat ni kenapa Salmiha Haini? Marahnya kepada diri sendiri. Bukan ke lelaki tu dah kata, dia tolong kau dan kau tolong dia! Jadi kalau ada perasaan minat ataupun tertarik terhadapnya, lebih baik kau bunuh perasaan tu cepat-cepat! Nasihatnya kepada diri sendiri. Tanpa tertangguh, dia kembali ke kamar tidur yang dikongsi bersama Shahrul Hairi. Tujuannya ke dapur semula tadi adalah hendak bertanya sama ada suaminya itu memerlukan apa-apa lagi ataupun tidak.
“Malam ni aku nak tidur sinilah. Malas rasanya nak drive,” ujar Max bersama senyuman.
Shahrul Hairi sudah panas punggung.
Errr... kau makanlah dulu ya. Aku nak solat Isyak jap!” Shahrul Hairi bersuara. Nasi dipinggannya juga hanya luak sedikit sahaja. Kehadiran Max pada hari ini sedikit sebanyak telah membunuh mood dan seleranya.


SHAHRUL HAIRI menghampiri Salmiha Haini yang sedang menyidai telekungnya. Pasti baru selesai solat, fikirnya. Isterinya langsung tidak menoleh atau memandangnya. Kehadirannya di situ seolah-olah tidak wujud.
            Lekuk tubuh isterinya dipandang penuh minat. Seksi!
“Lepas ni abang tak nak tengok honey pakai baju macam ni.” Shahrul Hairi mengeluarkan arahan. Wajah Salmiha Haini yang terkulat-kulat memandangnya direnung tajam.
Salmiha Haini meneliti pakaian yang tersarung di tubuhnya. Apa masalah dengan baju aku? Tak akan t-shirt dan seluar track tak boleh pakai dalam rumah ni? Aneh sungguh! Lelaki yang baru sehari bergelar suaminya dipandang dengan perasaan bercampur baur.
“Apa yang tak kena dengan baju ni?” Tanya Salmiha Haini dengan berani.
Honey tak nampak ke, t-shirt yang honey pakai tu jarang, singkat dan ketat?”
Jarang, singkat dan ketat ke? Okey je aku tengok. Kalau ya sekalipun apa masalahnya? Aku kan pakai tudung, manalah ada terserlah lekuk tubuh badan aku ni. Atau dia yang takut tergoda? Hati Salmiha Haini berbisik nakal. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.
Terpukau Shahrul Hairi melihat senyuman Salmiha Haini. Cantiknya dia! Perasaannya seperti di butik pengantin tadi, sudah menjelma kembali. Matanya tidak berkelip melihat wajah isterinya. Langkahnya diatur menghampiri Salmiha Haini. Ingin rasanya dia membelai raut wajah yang jelita itu. Saat tangannya melekap di pipi Salmiha Haini, terdengar suara menegurnya.
“Hah... nak buat apa tu? Jangan nak menggatal! Perangai sebijik macam kucing. Pantang nampak ikan, habis hendak diterkamnya,” sindir Salmiha Haini. Marahnya juga akibat daripada perasaan geram terhadap Shahrul Hairi. Cakap tak syok kat dia! Tapi bila duduk berduaan, ada saja kelakuan nakal yang hendak dilakukan oleh lelaki itu.
Shahrul Hairi garu pangkal lehernya. Alamak... macam mana boleh lepas laku ni?
“Okeylah, abang setuju sekiranya diri abang ni diibaratkan kucing. Pantang nampak benda yang menyelerakan, semuanya hendak disapu dan dimakan. Tapi abang ni jenis kucing yang tak makan ikan. Abang hanya makan ayam je. Lagipun apa yang bestnya ikan tu? Isi kurang! Banyak tulang! Nanti lekat kat tekak. Makan ayam lagi sedap. Nak-nak ayam dara. Banyak isi! Gebu! Ha... kalau dapat ayam golek... marbelous!” Sengaja Shahrul Hairi menyakatkan isterinya.
Kecur liur Salmiha Haini mendengar perkataan ayam golek. Ayam golek mahupun ayam percik merupakan makanan kegemarannya. Andai dia dapat menjamu selera dengan makanan tersebut, Shahrul Hairi jeling-jeling manja pun dia bolayan!!!
“Dan seperkara lagi yang perlu awak tahu wahai isteriku... abang ni bukannya peserta Imam Muda yang boleh mengawal godaan dan hasutan hawa nafsu, abang hanya manusia biasa. Lain kali kalau tak nak kena terkam dengan ‘kucing’ ni, berhati-hatilah! Sebab lepas ni abang tak pasti sama ada honey boleh terlepas ataupun tidak!” Ujar Shahrul Hairi bersama kenyitan.
Huh... gatal sungguh! Gerutu Salmiha Haini.
“Nanti turun bawah, kemas meja makan. Tapi sebelum tu, tukar baju dulu. Kawan abang tidur sini malam ni,” arah Shahrul Hairi sedikit tegas. Setelah itu dia ke bilik air untuk berwuduk.
Salmiha Haini merengus geram. Namun pakaian yang tersarung di tubuhnya digantikan juga dengan yang lain.


“SIAPA NAMA?” Max memulakan sesi salam perkenalan sebaik saja Salmiha Haini menyertainya di ruang tamu. Tadi bukan main lama lagi dia menunggu Shahrul Hairi di meja makan, hingga siap dia makan malam sendirian. Lehernya juga hampir terpulas sebab terlalu kerap memandang ke tingkat atas. Risau dia dibuatnya bila Shahrul Hairi dan Salmiha Haini tidak menampakkan batang hidung mereka. Entah apa yang mereka buat di tingkat atas pun dia tidak tahu.
“Saya Salmiha Haini, panggil Miha sahaja.”
“Dah lama kerja dengan Hairi?”
Berkerut-kerut dahi Salmiha Haini. Kerja? Kerja apa?
Emmm... maksud encik?”
“Kerja sebagai orang gaji di rumah ni.”
Terkedu Salmiha Haini mendengarnya. Sampai hati Shahrul Hairi menyetarafkan dia dengan orang gaji. Kini tahulah dia, siapa dirinya di mata Shahrul Hairi.
“Takdelah lama sangat, baru je,” jawab Salmiha Haini tidak bersemangat.
“Tapi betul ke Miha ni orang gaji dia?”
Emmm... tuan rumah cakap apa?”
“Hairi tak cakap apa-apa pun. Dia diamkan aje,” terang Max. Tak akan Si Miha ni mistress Hairi pulak? Memang pelik sangatlah kalau sahabatnya itu ada simpan perempuan. Alangkan Darlina menyelinap masuk ke dalam bilik hotelnya pun dia dah mengamuk sakan. Inikan pula saja-saja nak simpan perempuan di rumahnya. Memang tak masuk akallah!
Hesy... orang tua ni! Mati-matilah aku ingat yang suami aku perkenalkan kat dia yang aku ni orang gaji. Rupanya mamat ini yang pandai-pandai bawa mulut! Memang nak kena cabai mulut dia ni! Bahagia rasanya bila tahu Shahrul Hairi tidak menganggapnya seperti orang gaji. Hesy... mana boleh syok kat dia, nanti awek dia marah. Argh... peduli apa aku dengan awek dia! Sekarang... pangkat siapa paling besar? Aku atau awek dia? Dah dapat kat aku tahulah macam mana nak ikat dia nanti.
“Betullah tu orang gaji!”
Gembira bukan kepalang hati Max mendengarnya. Nasib baik Salmiha Haini tak cakap yang dirinya perempuan simpanan ataupun isteri Shahrul Hairi. Tentu dia pengsan di situ juga andai perkara itu terjadi.
“Siapa orang gaji?” Tanya suara di belakang mereka.
Salmiha Haini menoleh. Gusar dia melihat wajah merah Shahrul Hairi. Tak akan marah kot? Salah besar ke kalau cakap dia orang gaji? Tak akanlah!
“Abang nak air?” Laju sahaja Salmiha Haini bertanya. Tidak betah dia berlama di situ apatah lagi melihat mata yang mencerun tajam memandangnya.
“Boleh juga. Abang nak air Nescafe. Buat sedap-sedap! Kalau tak sedap, abang denda,” tegas Shahrul Hairi. Sakit sungguh hatinya bila Salmiha Haini mengaku sebagai orang gaji. Jawapan Salmiha Haini itu bagai memberi peluang kepada Max untuk merenyam dengan isterinya.
Tak tertelan air liur Salmiha Haini dibuatnya. Denda? Denda apa? Bagaimana bentuk dendanya? Semua itu berlegar di kepalanya.
“Kena denda apa bang, kalau air tak sedap?”
“Adalah!” Ujar Shahrul Hairi sepatah bersama senyuman mautnya.
Makkk... seramnya tengok dia senyum macam tu! Getus Salmiha Haini.
“Encik nak minum?” Salmiha Haini bertanya kepada Max.
“Tak payahlah berencik-encik. Panggil Abang Max pun dah cukup. Kalau nak romantis lagi panggil abang, macam Abang Hairi ni.” Max menghadiahkan kenyitan kepada Salmiha Haini. “Emmm... buatkan abang Nescafe juga ya.”
Terperanjat tidak terkira Salmiha Haini dengan kenyitan itu. Lelaki dalam rumah ni dah terkena sakit mata ke? Tadi suaminya kenyit mata. Yang itu boleh dimaafkan lagilah sebab lelaki itu suaminya. Tapi yang ini? Yang tak tersenarai langsung dalam diari hidupnya pun kenyit mata juga. Memang nak kena cucuk dengan garpu mata tu agaknya, biar jadi Kassim Selamat! Tanpa menunggu lama, Salmiha Haini terus beredar.
Perasaan Shahrul Hairi ketika ini, usah la ditanya lagi. Dia benar-benar hangin dengan tingkah Max. Sikap buaya tembaga Max langsung tidak disorok-sorok. Malahan dengan beraninya Si Max mempamerkan aksi gatal di depan bijik matanya. Hati suami mana yang tidak membahang!
“Eh... Rie! Kat mana kat jumpa orang gaji kau tu? Dari tadi aku tanya, kau tak jawab pun.” Max bertanya sekali lagi.
“Mana ada aku jumpa kat mana-mana. Dia yang cakap dirinya orang gaji, aku tak anggap pun!” Jelas Shahrul Hairi sedikit bengang dengan sikap banyak mulut kawannya itu.
“Kalau kau tak nak dia jadi orang gaji kat rumah kau, kau passing ajelah kat aku. Senang aku nanti. Balik kerja, dah ada orang tolong buatkan air dan sediakan makanan,” ujar Max dengan senyuman.
Ahh... sudah dah dia ni! Tak akan nak angkut bini aku bawa balik? Ini tak boleh dibiarkan ni!
“Bila masanya aku kata tak nak dia duduk dekat sini? Kau ni memandai ajelah,” rungut Shahrul Hairi. “Lagipun... tak akan kau sorang je yang nak bila balik rumah ada orang sediakan makan minum, aku pun nak gak!” Sindir Shahrul Hairi. “Apa kata... kau rembat je mana-mana kekasih gelap kau tu buat isteri. Habis cerita!”
“Mereka tu buat apa? Setakat stok untuk suka-suka bolehlah! Nak dijadikan isteri? Mahu karam rumah tangga aku,” ujar Max bersama gelakkan. “Silap-silap, aku yang baru balik kerja kena masak untuk mereka. Daripada aku kahwin dengan dia orang, lebih baik aku membujang. Hati tak sakit, duit pun tak habis,” tutur Max dengan penuh perasaan. “Tapi kalau dengan Miha ni, aku rasa aku pula yang tak sabar-sabar nak sampai ke rumah dengan cepat,” luah Max dengan perasaan bahagia yang tidak terungkap dengan kata-kata.
Ada juga yang nak kena debik! Balik-balik bini aku juga yang disebut-sebutnya. Sebutlah nama perempuan lain pulak! Macamlah sebelum ni tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan!
Tidak lama kemudian Salmiha Haini muncul bersama dulang di tangan. Di dalamnya terdapat dua muk Nescafe dan sepinggan jejemput udang.
“Wah... hebatnya Miha! Sempat sediakan cucur udang lagi. Ini kalau jadi isteri abang, beruntunglah abang. Dahlah cantik, cekap pulak tu buat kerja di dapur. Masakan pun sedap. Kena aje dengan selera abang.”
            Shahrul Hairi yang baru meneguk airnya terus tersedak. Bersembur keluar air Nescafe dari mulut.
Segera Salmiha Haini mencapai tisu di atas meja kopi dan membantu mengelap mulut suaminya. Kata-kata Max tidak diendahkan. Bahkan dianggap sebagai gurauan.
“Terima kasih honey,” bisik Shahrul Hairi. Tisu di tangan Salmiha Haini diambilnya.
Max sudah memandang pelik pasangan itu. Tapi dia cuba bersangka baik. Mungkin begitulah adatnya jika menjadi orang gaji. Sentiasa menjaga kebajikan majikannya. Hai... seronoknya kalau Salmiha Haini layan dirinya begitu.
“Tak sedap ke air yang Hani buat tu?” Salmiha Haini bertanya gusar. Risau dia memikirkan denda yang bakal dikenakan.
Shahrul Hairi menggeleng kepala.
Erk! Apa maksud gelengan tu? Hati Salmiha Haini jadi tidak keruan. Cuak... Habislah! Pasti teruk dia kena denda nanti.
“Tadi kata nak lipat baju, kan? Pergilah!” Arah Shahrul Hairi. Matanya menikam tajam mata Salmiha Haini.
Terpinga-pinga Salmiha Haini dibuatnya. Bila masa pulak aku kata nak lipat baju? Baju dalam mesin basuh pun belum dicuci lagi. Hilang akal ke apa suami aku ni? Saat terpandang mata bulat suaminya, barulah dia mengerti yang suaminya tidak mahu dia berlama di situ. Tapi dia ni jenis yang degil juga! Dan pantang kalau orang main paksa-paksa! Tiba-tiba akal jahatnya datang.
“Baju tu nanti-nantilah Hani lipat,” jawab Salmiha Haini selamba. Langsung muka suaminya tidak dipandang.
“Abang Max... boleh tak kalau saya nak duduk kat sebelah abang?” Meleret manja kedengaran suaranya. “Tak nampaklah nak tengok TV kalau duduk kat sini.” Matanya melirik nakal ke arah suaminya. Melihat Shahrul Hairi mengetap bibir dan muka pun sudah bertukar colour, Salmiha Haini ingin ketawa. Namun dia tahankan jua. Abang kacak marah? Bisik Salmiha Haini dalam hatinya.
“Eh... duduklah! Siapa kata tak boleh?” Jawab Max sambil menyuap cucur udang ke dalam mulut. Sedap sungguh air Nescafe dan cucur udang buatan Salmiha Haini.
Salmiha Haini menghenyak punggungnya di sebelah Max. Masih dijaga jaraknya. Lagipun sofa yang didudukinya luas dan lebar. Matanya mencuri pandang wajah Shahrul Hairi.
“Rie, kau tak makan ke? Sedap ni Miha buat! Rugi kalau kau tak rasa. Makanlah!” Pelawa Max.
Eh... eh... dia ni! Siapa yang tuan rumah sekarang? Aku ke dia? Buat macam rumah sendiri pulak, rungut Shahrul Hairi dalam hatinya. Honey pun satu! Buat-buat tak faham pulak bila aku suruh naik. Sajalah tu nak buat aku jeles! Tak apa! Dalam bilik nanti siaplah kena denda! Sedikit senyuman terlarik di bibirnya bila memikirkan denda yang bakal dikenakan ke atas Salmiha Haini. Jejemput yang disedia oleh Salmiha Haini disumbat ke dalam mulutnya. Lirikan berbentuk amaran juga dihadiahkan untuk Salmiha Haini.

12 comments:

  1. Best2x.
    Nakal betul Salmiha.
    Awas Sharul...
    Ada yg berkenan dgn wife awak tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.
      Salmiha mmg nakal
      mmg sharul Hairi kena berhati2. Salmiha Haini ramai peminat.

      Delete
  2. best sgt...........kelakar pun ada gak....wah miha dh pandai usik shahrul.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih emyliana adlin.
      miha bkn aje pandai mengusik tp buat Shahrul Hairi tak pandang yg lain

      Delete
  3. Huhuhu...
    Kak DD ni saje nak kita jd x sbr nak tunggu saca terbit

    ReplyDelete
  4. Shahrul Hairi yg awesome.
    (Y)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe...
      kita nntkan bersama bagaimana shahrul hairi nnt.

      Delete