Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Monday 3 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 13

Bab  13



SHAHRUL HAIRI memandu tenang keretanya. Usai majlis kenduri doa selamat yang diadakan di rumah keluarga Syarafuddin, Shahrul Hairi memohon diri untuk beredar. Tidak betah rasanya menyusahkan keluarga Syarafuddin terlalu lama walaupun mereka sekeluarga tidak kisah. Dia juga amat berterima kasih dengan Syarafuddin sekeluarga kerana telah banyak membantu menguruskan majlis pernikahannya.
Sesekali Shahrul Hairi menjeling ke arah gadis yang telah sah menjadi isterinya beberapa jam yang lalu. Terasa begitu pantas perkara itu berlaku. Namun dia bersyukur yang teramat sangat kerana gadis idamannya itu telah pun menjadi suri hidupnya. Dia akan berusaha menambat hati Salmiha Haini dengan cinta dan kasih sayangnya yang tidak berbelah-bahagi.
Shahrul Hairi memandang Salmiha Haini melalui ekor matanya sekali lagi. Air liurnya ditelan berulang kali. Terasa takut pula dia hendak menyuarakan hasrat hatinya. Kelmarin masa ajak kahwin bukan main lagi berani. Sekarang ni dah jadi penakut pulak? Hesy... tak gentleman langsung!
Errr... kalau abang panggil Salmiha, honey boleh?” Shahrul Hairi memberanikan diri bertanya.
Errr... abang? Tadi bukan ‘awak’ dan ‘saya’ aje ke? Terasa meremang pula bulu roma Salmiha Haini mendengarnya.
“Kenapa nak panggil Hani pulak? Panggil Miha jelah. Lagipun semua orang panggil saya Miha,” jelas Salmiha Haini tanpa memandang wajah Shahrul Hairi. Terasa malu pula dia hendak memandang wajah lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu.
“Tapi abang tak mahu jadi seperti semua orang. Abang nak lain daripada mereka,” luah Shahrul Hairi dengan harapan yang menggunung tinggi agar Salmiha Haini bersetuju dengan cadangannya.
Salmiha Haini segera menoleh ke arah Shahrul Hairi yang sedang memandu. Keretanya masih lagi berada di hotel. Esok baru mereka bercadang hendak mengambilnya.
“Ikut awaklah nak panggil apa,” ujar Salmiha Haini. Malas dia hendak bertekak setakat nak ubah panggilan namanya sahaja.
“Boleh tak kalau panggil saya ‘abang’? Lagipun umur abang jauh lebih tua dari honey,” pinta Shahrul Hairi lembut.
Emmm...,” balas Salmiha Haini sepatah. Dia sebenarnya diselubungi perasaan malu dan tidak selesa yang teramat sangat. Terasa lain benar rentak jiwa ketika ini. Padahal bukannya dia tidak biasa berbual atau duduk berdua-duaan di dalam kereta dengan lelaki. Contoh yang paling dekat, dia sering berbual dan keluar makan bersama Imran Ajmal. Tapi tak adalah pulak jantungnya gedebak... gedebuk... macam ni. Aneh!
Salmiha Haini juga tengah pening kepala sebenarnya memikirkan peristiwa yang baru melanda hidupnya. Semudah itu dia bergelar isteri. Hatinya tiba-tiba disapa sebak bila memikirkan cara pernikahannya berlangsung. Tiada majlis merisik dan bertunang, terus dia menjadi isteri orang. Tapi dalam pada masa yang sama, dia memanjat syukur ke Hadrat-ALLAH kerana dapat menghindarkan diri daripada rancangan bodoh bapa saudaranya.
“Terima kasih, honey.” Walaupun jawapan yang diberikan oleh Salmiha Haini terlalu ringkas, namun itu sudah memadai buat Shahrul Hairi. Ingin rasanya dia menggenggam dan mengucup jemari isterinya itu, tetapi dipendamkan sahaja hasratnya terlebih dahulu. Bersabarlah! Masih banyak masa lagi. Dan Salmiha Haini sudah pun menjadi miliknya. Esok dia ingin membuat kejutan untuk isterinya.
“Awak tinggal di sini ke?” Tanya Salmiha Haini pabila kereta Shahrul Hairi membelok ke kawasan kondominium mewah. Ucapan terima kasih Shahrul Hairi dibiarkan sepi tidak berjawab.
Aah,” jawab Shahrul Hairi sepatah. Kecil hatinya bila Salmiha Haini tidak memanggil dirinya abang. Takpe... dia akan bersabar. Lagipun mereka baru saja menjadi suami isteri. Pasti Salmiha Haini belum dapat membiasakan dirinya lagi. Shahrul Hairi memujuk hatinya.
“Hari tu kata tak kaya,” perli Salmiha Haini sambil memerhati kawasan sekitar. Memang gah tempat tinggal suaminya.
“Mana ada kayanya setakat duduk kat sini.” Shahrul Hairi merendah diri. “Honey nak tahu, rumah ni abang duduk dengan kawan-kawan abang. Andai abang sorang diri memang tak berkemampuanlah nak tinggal di sini. Cuma mereka jarang berada di rumah, selalu outstation,” dalih Shahrul Hairi. Bimbang juga dia kalau Salmiha Haini mengamuk apabila tahu dirinya dibohongi.
Kondo ini pasti mencecah ribuan ringgit kadar sewanya sebulan, bisik hati Salmiha Haini.
“Berapa orang tinggal dalam rumah tu?” Salmiha Haini berharap adalah satu bilik kosong untuknya.
“Kenapa?” Shahrul Hairi bertanya pelik.
“Ada tak bilik kosong untuk saya?”
“Takde! Semuanya dah ada orang.” Laju sahaja Shahrul Hairi menjawabnya. Bila masa dia boleh berbaik dengan Salmiha Haini sekiranya mereka tidur berasingan. Sebenarnya semua bilik di dalam rumahnya itu memang tiada berpenghuni. Cuma sekali-sekala aje kawan-kawannya menumpang tidur.
Salmiha Haini mengeluh.
“Habis tu saya nak tidur kat mana?”
“Kat mana lagi? Bilik abanglah! Apa masalahnya? Kita kan dah jadi suami isteri.”
“Masalahnya saya belum bersedia lagi.”
“Bersedia? Bersedia yang macam mana tu? Abang kurang faham.”
Eee... dia ni! Tak faham atau buat-buat tak faham? Gerutu Salmiha Haini. Namun pertanyaan Shahrul Hairi dijawab jua.
Errr... errr... nak jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Terutamanya...” Ayat Salmiha Haini terhenti di situ.
Shahrul Hairi pantas memahami apa yang cuba disampaikan oleh isterinya.
Honey jangan bimbang. Abang tak akan tuntut hak abang yang satu tu buat masa ni. Honey ambillah sebanyak mana masa yang honey mahu. Kalau honey dah bersedia nak pikul tanggungjawab sebagai seorang isteri yang sebenarnya, beritahu abang.”
Salmiha Haini terharu dengan sikap timbang rasa lelaki yang telah menjadi suaminya itu.
“Terima kasih kerana memahami,” luah Salmiha Haini. Satu perasaan halus menyelinap dalam dirinya saat mengungkapkan perkataan suami sebentar tadi. Terasa bahagia dan seakan dilindungi.
            “Sama-sama kasih,” jawab Shahrul Hairi bersama sengihan. “Mari abang tunjukkan syurga kita.” Shahrul Hairi menekan butang lif ke tingkat dua puluh.
            Terpanar Salmiha Haini mendengar kata-kata suaminya. Dia benar-benar berasa gembira mendengar perkataan syurga kita. Kalaulah Shahrul Hairi itu lelaki yang dia cintai, pasti tubuh lelaki itu didakapnya erat.
            “Honey duduk sini kejap. Abang nak ke dapur,” ujar Shahrul Hairi sebaik saja dia meletakkan beg pakaian Salmiha Haini di tepi tangga.
            Salmiha Haini angguk kepala. Peluang yang ada tidak dilepaskan begitu sahaja. Dia meneliti keadaan rumah yang bakal dihuninya selama beberapa hari sebelum dia pulang ke Johor Bahru. Dia akan berbincang dengan suaminya tentang perkara itu. Peluang pekerjaan yang diperolehinya, tak akan disia-siakan begitu sahaja.
Rumah milik Shahrul Hairi memang sangat cantik dan menarik. Memang sesuai dengan perkataan syurga yang diucapkan oleh suaminya seketika tadi. Susun atur perabotnya kelihatan kemas dan menarik. Peralatan audio video dan perabotnya juga sesuai dengan peringkat usia lelaki itu. Melihat gambar suaminya yang tergantung elok dengan pakaian seragamnya, membuatkan hati Salmiha Haini bertambah terpaut. Sungguh kacak! Bisik hatinya. Dia memang mengidamkan suami yang bekerja sebagai juruterbang selama ini. Kiranya ALLAH mendengar doa dan impiannya.
“Mari minum,” pelawa Shahrul Hairi. Dia menyediakan dua mug coklat panas buat mereka. “Maaflah kalau hasil air tangan abang tak sesedap air tangan honey,” ujar Shahrul Hairi bersama senyuman. Tangannya juga menghulurkan mug berisi coklat panas kepada Salmiha Haini
            “Emmm... sedaplah!” Puji Salmiha Haini ikhlas setelah merasa sedikit air hasil air tangan suaminya. Pandai juga suami aku buat air, bisik hati kecilnya. Setiap kali menyebut perkataan suami, hatinya terasa begitu indah sekali. Dia berjanji akan cuba menjadi isteri yang baik buat lelaki yang sudah pun bergelar suaminya itu.


SHAHRUL HAIRI tersedar apabila terasa ada tangan memeluknya. Sejak kes dipeluk Darlina tempoh hari, dia sentiasa mudah tersedar bila terasa ada sesuatu di tubuhnya. Melihat wajah Salmiha Haini yang berada begitu hampir dengan dirinya, Shahrul Hairi tersenyum bahagia. Isteriku sayang, bisik hati Shahrul Hairi
Tidak disangka-sangka impiannya ingin mencipta bahagia bersama Salmiha Haini dimakbulkan Tuhan. Sejak terjatuh cinta dengan Salmiha Haini, dia mengupah orang untuk memerhatikan gerak-geri gadis itu. Tidak betah rasanya jika dia tidak tahu perkembangan Salmiha Haini dalam sehari. Dia juga ingin memastikan yang Salmiha Haini bukan milik siapa-siapa. Dia bimbang sekiranya jatuh cinta dengan tunangan atau isteri orang. Mujurlah Syarafuddin sudi menjadi mata-matanya sepanjang dia bertugas ke Korea.
Shahrul Hairi mengucup dahi isterinya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Rambut Salmiha Haini yang beralun lembut, dielus. Melihat Salmiha Haini langsung tidak berkuit, dia memberanikan diri mencium bibir merah delima itu. Tersenyum Shahrul Hairi apabila impiannya tercapai. Memang jenis tidur mati isterinya itu.
Honey kini amanah ALLAH buat abang. Abang akan jaga honey sebaik mungkin. Mudah-mudahan ALLAH memberkati mahligai yang kita bina ini,” ucap Shahrul Hairi perlahan sambil merenung penuh asyik wajah isterinya. Dan sekali lagi bibir yang terbentuk cantik itu menjadi singgahan bibirnya.
Esok dia akan membawa isterinya ke butik pengantin Raja Sehari. Dia ingin merakamkan gambar perkahwinan mereka sebanyak yang mungkin. Semuanya sudah diatur oleh Syarafuddin untuknya.
Shahrul Hairi segera memejamkan matanya bila Salmiha Haini mula bergerak. Saat kaki Salmiha Haini mendarat atas tubuhnya, dia tersengih. Ganas jugak bini aku ni tidur, gumamnya. Demi keselesaan isteri tercinta, Shahrul Hairi mengangkat kepala isterinya dan diletakkan atas lengannya. Akhirnya dia turut terlena bersama mimpi indah.
            Hembusan hangat yang menampar pipi membuatkan Salmiha Haini terjaga. Wajah Shahrul Hairi begitu rapat sekali dengan wajahnya. Mujurlah akalnya dapat mencerna apa yang berlaku kepadanya sepanjang hari ini. Jika tidak... tentu suaminya sudah tergolek atas lantai diterajangnya.
Salmiha Haini mencuri pandang wajah terlebih kacak suaminya. Terasa sudah jatuh cinta pun ada. Cuba cerita... siapa yang tak jatuh cinta dan bangga dapat suami yang kacak seperti suaminya. Lupa pula dia nak bertanya nama penuh suaminya. Sewaktu akad nikah dijalankan, fikirannya entah terbang ke benua mana hingga tidak mendengar butir bicara yang keluar dari mulut Hj. Sirajuddin, bapa Syarafuddin.
Melalui cahaya samar lampu tidur, dia meneliti raut wajah suaminya. Kulit putih bersih. Sama seperti kulitnya. Bibir merah dan kelihatan sangat seksi. Hidung pun mancung dan sangat sempurna bentuknya. Ini kalau cerita dekat Sofea, tentu jeles habis perempuan tu! Bisik hati Salmiha Haini nakal.
Tangannya yang sedang memeluk tubuh Shahrul Hairi sengaja tidak dirungkaikan. Terasa begitu selamat berada dalam dakapan suaminya itu. Bahkan dia semakin mengeratkan lagi pelukannya. Bila lagi nak berperangai nakal? Lagipun itu suaminya, bukannya orang lain. Masa nilah nak bermanja. Bila si dia dah tersedar, dah tak boleh dah... Nanti malu pulak!


TERPISAT-PISAT Shahrul Hairi saat terdengar bunyi deringan jam. Dia mengecilkan matanya untuk melihat waktu diketika itu. Dah pukul enam lebih rupanya. Dia mengucup dahi isterinya. Hingga ke pagi mereka tidur berpelukan rupanya. Patutlah susah sangat nak bangun solat Subuh.
Honey bangun!” Kejut Shahrul Hairi lembut.
Emmm... nak apa?” Manja sekali kedengaran suara Salmiha Haini. Matanya masih lagi terpejam.
Shahrul Hairi menatap wajah isterinya. Amboi... bukan main susah lagi nak buka mata isteri aku ni! Nasib baiklah waktu Subuh dah nak habis. Jika tidak... pasti ada yang jadi mangsanya pagi ini.
“Boleh solat tak ni?” Tanya Shahrul Hairi lembut.
Mendengar sahaja perkataan solat, terus besar biji mata Salmiha Haini. Tangannya yang masih erat memeluk tubuh Shahrul Hairi segera ditarik. Malunya! Tebal dan hangat rasanya muka dia ketika ini. Ingatkan dia yang terjaga dulu. Rupa-rupanya... abang kacak yang bangun terlebih awal. Mana nak sorok muka ni? Getus Salmiha Haini.
“Bo... bo... boleh!” Jawab Salmiha Haini tergagap-gagap. Hesy... sejak bilalah aku jadi budak baru belajar cakap ni? Gerutu Salmiha Haini memarahi dirinya.
“Kalau boleh, pergi bersihkan diri dulu. Nanti kita solat berjemaah.”
Permintaan Shahrul Hairi membuatkan hati Salmiha Haini kembang setaman. Andai inilah lelaki yang menjadi suaminya, memang dia setuju seratus peratus. Lelaki seperti inilah yang dia dambakan sebagai ketua dalam hidupnya. Akan disuburkan ketaatan dan kesetiaannya hanya untuk suaminya. Akan disemaikan cinta dan kasih sayangnya hanya untuk dimiliki oleh suaminya sahaja.
“Saya pergi mandi dulu ya,” pinta Salmiha Haini lembut. Dia berlalu bersama senyuman manis.
Terpegun Shahrul Hairi melihat senyuman yang memukau itu. Ini tak boleh jadi ni! Ada nanti terbabas solat Subuh. Shahrul Hairi bingkas bangun dan membersihkan dirinya di bilik mandi yang terdapat di sebelah biliknya.


WAK...! OH WAK...! Takde makanan ke? Saya laparlah!” Salmiha Haini bertanya. Tangannya lincah membuka kabinet dan peti sejuk. Tak perlu nak malu-malu. Suaminya sudah berpesan, nak apa-apa cari sendiri. Sebab rumah ni, rumahnya juga. Dan dia yang sememangnya jenis tak berapa nak malu, terus menyelongkar mencari kudapan bagi mengalas perutnya.
Melihat Shahrul Hairi membatukan dirinya. Dia memanggil lagi.
“Wak! Wak dengar tak saya panggil ni?”
Shahrul Hairi memandang dengan perasaan tidak puas hati.
“Siapa wak? Ada Wak Karjo ke, dalam rumah ni?” Tanya Shahrul Hairi bersama jelingan.
Alamak... dia marah ke? Habis tu... aku nak panggil apa? Salmiha Haini garu dagunya. Oh... panggil abang! Sebab dia pun bahasakan dirinya abang bila bercakap dengan aku, gumam Salmiha Haini. Sebenarnya dia terlupa akan permintaan Shahrul Hairi malam tadi. Dia berdehem beberapa kali membetulkan kerongkong dan lidahnya yang terasa hendak tergeliat.
“Abang... dalam rumah ni, takde roti atau Maggi ke? Hani laparlah. Dari semalam belum makan lagi,” adu Salmiha Haini. Terasa ingin bermanjalah pulak. Gatal nyer...!!!
Shahrul Hairi menyembunyikan senyumannya. Berhasil juga rancangannya. Jika tidak... tentu sahaja Salmiha Haini akan terus memanggilnya ‘wak’.
Honey pergi bersiap. Nanti kita keluar.”
“Hani harap abang dapat bawa Hani makan kat tempat yang best-best! Hani dah rindu sangat nak makan roti canai.”
La... ingatkan ajak makan kat tempat yang best-best nak makan makanan barat. Rupanya nak makan roti canai je. Kalau setakat roti canai, kat kedai mamak pun berlambak! Entah apa-apalah isteri aku ni! Gumam Shahrul Hairi.
Emmm... baiklah! Dah cepat sikit bersiap.” Gesa Shahrul Hairi lagi.
Salmiha Haini terus bangun dan bersiap. Perutnya memang sudah lama minta diisi.


SELEPAS BERSARAPAN, Shahrul Hairi membawanya ke Tiffany & Co di KLCC. Menemani suaminya membeli cincin perkahwinan mereka, bukanlah satu idea yang menarik. Lelaki itu tersangatlah cerewetnya! Bagi Salmiha Haini, cincin yang berharga RM1,900 itu sudah cukup cantik dan menarik. Tetapi bila melihat cebikan di mulut lelaki itu, dia tahu suaminya tidak berkenan dengan pilihannya. Lantaran bosan memberi idea tetapi tetap tidak menepati cita rasa suaminya, akhirnya Salmiha Haini mengambil sikap mendiamkan diri.
“Dah siap ke pilih?” Salmiha Haini bertanya bila Shahrul Hairi mengajaknya beredar.
“Dah! Jom kita bergerak sekarang. Cincin ni abang akan sarungkan kat jari honey masa kat butik pengantin karang,” bisik Shahrul Hairi bersama senyuman. Cincin tersebut disimpan dalam poket seluarnya. Cincin yang tersarung di jari manis isterinya ketika ini adalah cincin tangkap muat yang dibelinya di bandar berhampirang kampung Syarafuddin. Cincin itu langsung tidak menarik dipandangan matanya sebab itulah dia memilih cincin yang baharu untuk isterinya malahan punya pasangan.
“Butik pengantin? Nak buat apa pergi butik pengantin?”
“Adalah,” balas Shahrul Hairi dengan senyuman kacaknya. Matanya turut menikam anak mata Salmiha Haini dengan pandangan yang redup dan penuh kasih sayang.
Janganlah senyum-senyum dan renung menggoda macam tu! Nanti terjatuh cinta bagaimana? Sekarang ni pun dah macam nak masuk alam jatuh hati je, gumam Salmiha  Haini. Salmiha Haini benar-benar takut jika terjatuh cinta dengan suaminya. Dia takut sekiranya dia hanya bertepuk sebelah tangan. Bagaimana dia hendak mengubati hatinya yang lara, andai suaminya itu mencampakkan dia ke tepi suatu hari nanti? Bukan dia tak ingat janji-janjinya pagi tadi iaitu ingin menyemai cintanya buat suaminya. Tapi dia terlebih takut untuk menghadapi kekecewaan dan kegagalan. Dia bimbang andai kasih sayang yang dicurahkannya dibalas dengan racun berbisa.
Semasa mereka tiba di butik pengantin Raja Sehari, seorang perempuan yang cantik rupawan menyambut ketibaan mereka. Timbul juga rasa cemburu di hatinya. Siapa yang tak cemburu bila mata perempuan itu tidak berganjak dari memandang suaminya dan bagai hendak diterkam aje suaminya itu. Mujurlah Shahrul Hairi tidak membiarkan dirinya terkontang-kanting. Kalau tak... angkat kaki balik JB la jawabnya. Perihal Pak Langnya, akan dimasukkan ke dalam tong sampah. Tidak pun, dia suruh sahaja ‘abang kacaknya’ yang uruskan.
“Mana Jamal?” Suara Shahrul Hairi kedengaran bertanya.
            “Jamal keluar sekejap! Tapi dia dah suruh I siapkan you berdua,” jelas Shila bersama suara yang cuba dilembutkan sehabis mungkin.
Lega hati Salmiha Haini. Lega sebab apa? Sebab ‘si dia’ yang cantik jelita tu mesti bukan cita rasa suaminya.
Naik penat Salmiha Haini menggayakan busana di butik itu. Dari pakaian tradisional hinggalah ke moden. Namun amat berbaloi. Ada juga kenangan yang hendak dia abadikan dan tunjukkan kepada cucu cicitnya kelak. Berangan lagi! Entah sempat ada anak entahkan tidak? Manalah tahu awal-awal lagi dah kena tendang. Maklumlah... bercinta dan berkasih pun tidak!
Saat suaminya menyarungkan cincin dan mengucup dahi dan pipinya, Salmiha Haini berasa sangat terharu. Terasa mengalir kasih sayang Shahrul Hairi dalam dirinya. Walaupun majlis yang konon-kononnya majlis membatalkan air sembahyang hanya dilakukan di studio, tetapi cukup menyentuh hati nurani Salmiha Haini. Kerlipan cahaya dari lensa kamera membuatkan majlis tersebut bagaikan majlis gilang-gemilang buat dirinya. Majlis persandingan mereka juga tidak kurang hebatnya. Walaupun hanya di dalam studio tetapi tetap gah bagi diri Salmiha Haini.
Terima kasih abang kerana berusaha menjadikan majlis ini seperti majlis perkahwinan sebenar, bisik hati Salmiha Haini syahdu. Tanpa sedar air mata gembiranya mengalir.
“Kenapa sedih ni?” Shahrul Hairi menyeka lembut air mata isterinya.
Salmiha Haini menggeleng.
“Bukan sedihlah! Tapi gembira. Rasa macam majlis perkahwinan betul-betul pulak!” Kalaulah rumah tangga yang mereka bina ini atas dasar cinta sama cinta pasti rumah tangga mereka kekal bahagia hingga ke hujung nyawa.
“Apa pulak tak betulnya? Ingat ini majlis olok-olok ke? Kita kan dah nikah! Cuma majlisnya kita buat dalam studio aje. Tapi okey jugalah, kan? Ada juga nanti gambar perkahwinan kita untuk tatapan anak dan cucu kita kelak,” jelas Shahrul Hairi sambil mencuit hidung isterinya.
Sewaktu isterinya siap ditatarias dan mengenakan busana putih gading untuk acara menyarungkan cincin, dia sangat-sangat terpegun melihat kecantikan isterinya. Ketika sesi bersanding pula, dia sudah terlopong melihat kejelitaan isterinya dalam busana tradisional Melayu. Walaupun bertudung, isterinya tetap tampil anggun dan menarik. Saat isterinya memakai gaun untuk acara memotong kek, dia sudah berdiri kaku. Dia benar-benar tidak percaya itu adalah isterinya. Salmiha Haini tersangat cantik dan jelita ketika itu. Solekan tipis di wajahnya, menjadikan dia seperti anak patung dalam gaun pengantin itu.
Sebelum bersolek pun dah cantik, apabila dikenakan alat solek di wajahnya apatah lagi. Mujur juga Salmiha Haini jenis yang tidak minat bersolek dan bergaya. Jika kaki mekap dan bergaya macam Darlina dan Aspalela, mahu merana jiwa raganya. Tentu ramai lelaki di luar sana akan cuba menghimpit isterinya. Ini tak boleh jadi ni! Dia harus mengawasi Salmiha Haini. Jika tidak... ada yang gigit ibu jari! Dia harus menjauhkan Salmiha Haini daripada rakan-rakannya. Andai ada yang terpikat, susah pulak. Sudahlah mereka belum tahu dia dah berkahwin.
Cincin perkahwinan yang tersarung di jari manisnya direnung. Cincin itu sebagai lambang hatinya sudah milik orang. Bukan main malu lagi isterinya ketika hendak menyarung cincin tersebut di jarinya. Tangan Salmiha Haini juga sejuk dan menggeletar. Nampak brutal tapi pemalu rupanya.

           

16 comments:

  1. best... best... best...
    lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.
      akan ada smbgannya jgn bimbang.

      Delete
  2. sweetnya shahrul ngan miha......nak lg.....nak lg

    ReplyDelete
    Replies
    1. sweet ya emyliana adlin?
      Nantikan sj smbgannya.

      Delete
  3. Lagi2...
    makin tak sabar nak bc smpi habis...

    ReplyDelete
  4. Tak puas baca best3x


    ~Nin~

    ReplyDelete
  5. jatuh cinta dgn SACA.
    Tak sbr nak peluk.
    Terbaik kak DD bab ni
    Jatuh cinta lagi.. lagi... lagi.. ku jatuh cinta...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Athirah.
      Dah tak lama lg dah blh peluk SACA.

      Delete
  6. Seronok bc kisah pasangan yg baru berkahwin.
    Kelakar dua2 ni.
    Teruskan hasil karya sebegini DD tak tensen nak bc.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Onah.
      Insya Allah saya akan cuba penuhi hasrat Onah itu

      Delete
  7. Hati dh x thn nak tunggu saca terbit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sabar ya raihana, tak lama lg dah blh baca saca

      Delete