Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Sunday 2 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 12

Bab  12



MAMA!!! PAPA!!! Bantu Miha! Benarkah jalan yang Miha pilih ni? Rintih Salmiha Haini dalam hati. Hatinya masih lagi berbolak-balik hendak menerima cadangan lelaki yang bernama Ringgo itu. Tapi mampukah dia menolak kini? Dia sudah pun berada di kampung kawan baik bakal suaminya itu. Dia ditinggalkan di situ, sementara bakal suaminya pulang ke kampungnya untuk menguruskan dokumen pernikahannya pula. Lelaki itu berjanji akan segera kembali sebaik sahaja urusannya selesai.
            “Jauh termenung. Fikirkan apa?” Syarafuddin menegur. Gadis yang berjaya mencuri hati teman baiknya itu direnung. Pandai Shahrul Hairi memilih teman hidupnya.
Beberapa hari yang lalu rakannya itu ada menghubunginya minta pendapat. Dia yang berasa kasihan mendengar cerita Shahrul Hairi sedia menghulurkan bantuan. Apa salahnya dia membantu rakannya itu membina masjid. Besar pahalanya. Mungkin gadis pilihan Shahrul Hairi ini lebih baik berbanding pilihan ibu dan ayahnya itu. Lagi pula dia kenal benar dengan sikap dan tingkah laku ibu Shahrul Hairi, sombong benar orangnya. Apatah lagi kalau bukan setaraf dengannya. Berbeza dengan Tan Sri Sharman yang baik hati dan rendah diri.
Salmiha Haini mengangkat wajahnya.
            “Tak fikir apa-apa. Cuma gementar nak menjadi isteri orang,” dalih Salmiha Haini. Dia kalau boleh nak cabut lari aje sekarang ni. Tapi bila pergerakannya bagai diperhatikan, dimatikan saja niatnya itu. Bimbang hal lain pula yang terjadi.
            Syarafuddin tersenyum mendengar penjelasan gadis yang memakai baju kurung berwarna kuning itu. Mujurlah Salmiha Haini bermastautin di negeri ini, mudah sikit urusan nikah kahwinnya.
            “Tak perlu bimbang dan runsing. Kawan saya tu pasti jaga awak dengan baik,” ucap Syarafuddin jujur. Dia kenal siapa Shahrul Hairi, teman baiknya semasa belajar di sekolah menengah. Walaupun sudah mengikut haluan masing-masing, mereka tetap berhubung hingga kini.
            Salmiha Haini tersenyum cuma mendengar penjelasan Syarafuddin. Entah benar, entah auta aje kata-kata lelaki itu. Mana ada orang hendak kutuk kawan baik sendiri. Tapi... tak akanlah dia nak menipu aku pulak. Bukannya ada faeadah pun. Lagi pula ahli keluarganya dari keturunan yang baik-baik. Mungkin betullah kut apa yang dia katakan.
            “Dah lama kenal dengan...”
            “Maksud Miha kenal dengan Rie?” Kata-kata Salmiha Haini segera dicantasnya.
            Salmiha Haini mengangguk. Oh, nama timangan Ringgo... Rie!
            “Dah lama. Sejak sekolah menengah lagi. Dulu kami satu sekolah,” balas Syarafuddin.
            Patutlah baik sangat. Dah lama benar berkawan. Aku yang kenal Sofea masa universiti pun boleh kamceng hingga sekarang. Inikan pula dah berkawan sejak zaman sekolah menengah lagi, getus Salmiha Haini.
            “Marilah kita masuk ke dalam. Sekejap lagi dah Maghrib,” pelawa Syarafuddin. Dia tahu Salmiha Haini tidak selesa berada di rumahnya apatah lagi tanpa kehadiran Shahrul Hairi di sisi. Setelah menolong emaknya menyediakan minum petang dan mencuci pinggan, gadis itu terus meminta izin untuk mengambil angin di luar rumah.
            Salmiha Haini akur dengan ajakan Syarafuddin. Lagi pula memang tidak elok berlegar di luar rumah ketika waktu senja-senja begini. Pantang larang arwah neneknya, dia ingat hingga kini. Kata neneknya, waktu senja begini banyak syaitan yang berkeliaran dan mudah tersampuk dengan benda-benda halus.
Usai solat Isyak, Salmiha Haini menghampiri Mak Cik Kimah yang sedang sibuk melipat pakaian di ruang tamu. Ringan tangannya membantu wanita itu melipat kain baju yang kelihatan membukit di atas lantai.
Tersenyum Mak Cik Kimah melihat kerajinan bakal isteri Shahrul Hairi. Berkenan hati tuanya melihat wajah lembut dan ayu itu. Sesuai dengan Shahrul Hairi yang baik dan menghormati orang tua.
“Biarlah mak cik buat sendiri Miha. Dah banyak Miha bantu mak cik hari ni, tentu penat.” Kasihan dia melihat gadis itu, tak reti duduk diam. Pantang dia buat kerja, pasti gadis itu datang membantu dan menghabiskan tugas-tugasnya.
“Tak penat pun mak cik. Lagipun bukannya berat sangat lipat kain baju ni,” ujar Salmiha Haini sambil melipat kain batik yang berada di tangannya.
Beruntungnya Shahrul Hairi dapat bakal isteri rajin macam ni.
“Esok pagi kita ke rumah Kak Shimah ya.” Mak Cik Kimah bersuara.
“Ke rumah Kak Shimah? Nak buat apa mak cik?”
“Oh, Rie ada pesan kat Din suruh mak cik temankan Miha cari baju nikah yang sesuai. Si Shimah tu dia ada butik pengantin tapi taklah segah yang macam kat bandar-bandar besar tu.”
Salmiha Haini tersenyum mendengar penjelasan Mak Cik Kimah. Memandai je lelaki itu memesan berbagai. Macamlah nak buat majlis nikah besar-besaran. Sekadar nikah di masjid dan bertemankan keluarga Syarafuddin dan beberapa orang jiran tetangganya sahaja. Tak perlulah nak cari baju nikah. Pakai baju yang ada sudah mencukupi.
“Tak menyusahkan mak cik ke? Saya rasa pakai baju kurung yang ada-ada tu pun dah mencukupi.” Salmiha Haini menolak dengan baik. Tidak betah rasanya menyusahkan orang lain. Mak Cik Kimah sekeluarga sudi menolong menguruskan majlis pernikahannya dengan Shahrul Hairi pun sudah memadai.
“Hesy... mana ada menyusahkan pun. Seronok lagi adalah. Rasa macam nak uruskan majlis nikah anak sendiri pulak,” beritahu Mak Cik Kimah teruja. “Lagi pun Rie dah bagi duit dekat Din suruh uruskan semuanya.” Tambah Mak Cik Kimah lagi. Esok dia bercadang hendak menjemput jiran tetangganya membantu apa yang patut. Dia ingin mengadakan kenduri doa selamat di rumahnya sempena majlis pernikahan Shahrul Hairi dan Salmiha Haini nanti.
           

SELEPAS mengambil cuti beberapa hari, Shahrul Hairi bergegas pulang ke Johor Bahru. Dia ingin menguruskan dokumen nikah kahwinnya secepat mungkin. Hatinya sudah tidak sabar hendak menjadi suami kepada Salmiha Haini. Mujurlah semua urusannya dapat disiapkan hari ini juga. Itu pun dia bernasib baik kerana rata-rata tempat yang dia pergi, orang kenal akan ayahnya. Dia juga sempat berpesan supaya tidak menghebahkan perkara ini sebelum waktunya. Tunggu hingga ayahnya membuka mulut. Alasannya, bimbang tak jadi. Dia sebenarnya bimbang jika ibunya dapat menghidu pernikahannya ini dan menghancurkan semuanya nanti.
Shahrul Hairi menekan nombor ayahnya. Dia ingin memberitahu berita gembira ini kepada ayahnya. Dia mahu Tan Sri Sharman menemaninya ketika dia merakamkan detik indah bergelar suami kepada perempuan yang berjaya memiliki sekeping hatinya.
“Mana ayah ni?” Rungut Shahrul Hairi apabila telefon bimbit ayahnya gagal dihubungi. Nombor ayahnya ditekan sekali lagi tetapi tetap gagal dihubungi. Lantas nombor telefon pejabat ayahnya ditekan.
Setelah menunggu beberapa ketika, talian itu diangkat.
“Helo.”
“Tan Sri Sharman ada?” Belum sempat setiausaha ayahnya bersuara panjang lebar Shahrul Hairi segera memintasnya.
“Tan Sri tak ada. Dia bertolak ke China semalam,” beritahu Murni.
Shahrul Hairi mengetuk dahinya. Bagaimana dia boleh terlupa yang ayahnya akan ke China selama beberapa hari bersama delegasi dari Malaysia untuk melihat peluang pelaburan di sana.
“Kalau macam tu tak apalah. Terima kasih.” Shahrul Hairi segera memutuskan talian. Malas dia hendak bercakap lama-lama dengan setiausaha ayahnya itu.
Baru tangannya hendak menekan nombor telefon kawan baiknya Syarafuddin, telefon bimbitnya mengeluarkan nada dering yang sangat-sangat dia kenali dan ingin dia hindari buat sementara waktu ini. Siapa lagi kalau bukan ibunya.
Shahrul Hairi mengeluh. Hendak diangkat bimbang hatinya jadi tak sabar mendengar bebelan demi bebelan ibunya. Hendak dibiarkan begitu sahaja, bimbang dicop sebagai anak yang tidak menghormati orang tua. Tapi dia memang tiada hati hendak menjawabnya. Hatinya jadi lega apabila deringan itu berhenti dengan sendirinya.
Baru dia hendak bersenang lenang, telefon itu berbunyi sekali lagi. Dengan hati yang malas, Shahrul Hairi mengangkatnya juga.
“Assalamualaikum ibu.” Shahrul Hairi bersuara tanpa rasa.
“Rie kat mana ni? Tak balik Johor ke? Bukan ke Rie sedang cuti sekarang?”
Tahu aje ibu jadual kerja aku. Mujur ibu tak tahu aku ambil cuti tahun.
“Rie tak baliklah ibu. Rie dah cakap dengan ayah yang Rie akan balik masa nak sambut raya nanti. Lagipun Rie kan dah nak berhenti kerja, bagilah Rie lepak dengan kawan-kawan sementara Rie masih ada bersama mereka.” Shahrul Hairi beralasan. Tetapi dia memang ada memberitahu ayahnya yang dia hanya akan pulang pada hari raya nanti. Lagi pula dia malas hendak mendengar pujuk rayu dan paksaan ibunya setiap kali terpandang wajahnya.
“Buat apa Rie nak duduk kat sana masa cuti-cuti ni? Baliklah sini, boleh kenal rapat dengan Aspalela.”
Kan betul apa yang dia kata. Balik-balik nama Aspalela juga yang meniti di bibir ibunya. Naik jelak dia mendengar nama nan satu itu hari-hari.
“Tak bolehlah ibu. Rie dah janji dengan kawan-kawan nak habiskan masa tiga bulan ni bersama mereka.”
Puan Sri Zainon mengeluh di talian. Anak itu makin besar makin degil. Walaupun Shahrul Hairi tidak pernah meninggi suara dengannya tetapi melawannya dalam diam. Itu yang membuatkan hatinya jadi sakit dan geram.
“Okeylah ibu, Rie nak gerak sekarang. Ada hal yang perlu Rie selesaikan.” Setelah itu dia segera menutup telefon bimbitnya. Tidak mahu sebarang gangguan. Dia terus memecut laju keretanya menuju ke Kuala Lumpur. Terlupa sudah hasratnya hendak membeli cincin buat Salmiha Haini dan memilih baju Melayu buat dirinya.
Shahrul Hairi pulang ke rumahnya seketika untuk mengambil beberapa helai pakaian sebelum bertolak ke rumah Syarafuddin. Kepenatan tubuh badannya ditolak ke tepi. Hatinya lebih tidak sabar hendak menatap wajah gadis yang bakal menjadi suri hidupnya. Lagi pula dia perlu menyerahkan borang nikah kahwinnya secepat mungkin agar proses pernikahannya bersama Salmiha Haini dapat dilakukan dengan kadar segera.
Shahrul Hairi tiba dipekarangan rumah Syarafuddin hampir jam dua belas tengah malam. Terasa malu pun ada pergi ke rumah orang tengah malam-malam buta. Namun tuntutan hatinya tidak mampu dipandang sepi. Hatinya meronta-ronta hebat untuk datang ke mari menemui cinta hatinya yang ditinggalkan hampir seharian.
            Sebaik sahaja enjin keretanya dimatikan, pintu rumah sahabatnya terbuka. Begitu juga lampu di bahagian beranda. Terjengul Syarafuddin di muka pintu. Shahrul Hairi segera melangkah keluar bersama beg kecil di tangan. Kasihan kawannya itu, pasti tidak tidur kerana menunggunya. Sudah dipesan kepada Syarafuddin supaya menunggu kedatangannya malam ini.
            “Maaf ganggu waktu tidur kau.” Shahrul Hairi bersuara sambil menjabat tangan sahabatnya.
            “Tak ganggu pun. Memang aku biasa tidur lewat. Lagilah kalau aku sedang bercuti macam ni, mata aku mana nak tidur awal,” ujar Syarafuddin sambil tertawa kecil. Tangan kawannya disambut erat.
            “Dah tidur ke semua orang?”
            “Mak dan ayah aku dah. Tapi buah hati kau tu belum lagi. Puas aku suruh tidur, tapi tak mahu jugak. Tak mengantuk lagi katanya.”
            “Iya?” Shahrul Hairi bersuara teruja. Tunggu dia agaknya, suara hati Shahrul Hairi berbisik nakal. Shahrul Hairi menjengah kepalanya ke dalam rumah. Terlihat akannya wajah yang dirindui sepanjang hari ini sedang enak menonton televisyen. Amboi... bakal isteri abang ni, bukan main ralit lagi tengok tv. Tak akanlah tak dengar suara bakal suami honey ni, honey oiii...? Honey? Sedap jugak panggil dia honey lepas kahwin nanti, hati Shahrul Hairi tertawa gatal.
            “Eh, jomlah masuk! Tak akan nak cegat berdiri tengah pintu kut. Kau pun dah penatkan, tentu nak berehat.” Syarafuddin menepuk lembut bahu Shahrul Hairi. “Malam ni kau kongsi bilik dengan aku ya... Lepas nikah baru kongsi bilik dengan dia tu,” usik Syarafuddin sambil memuncungkan mulutnya ke arah Salmiha Haini.
            Shahrul Hairi tertawa. Lontaran suaranya yang agak lantang buatkan Salmiha Haini menoleh. Mujurlah bilik tidur mak dan ayah Syarafuddin agak jauh dari ruang tamu, kalau tidak pasti tidur mereka juga turut terganggu dengan suaranya yang sedikit nyaring.
            Tersengih Syarafuddin dengan tingkah sahabatnya itu.
 “Kau duduklah dulu, aku nak simpan beg kau ni kejap.” Beg pakaian yang berada di tangan Shahrul Hairi diambilnya dan dibawa ke bilik. Setelah itu dia berlalu ke dapur.
            “Tengok cerita apa tu? Bukan main khusyuk lagi,” tegur Shahrul Hairi sambil mengambil tempat duduk di sisi Salmiha Haini.
            “Entah! Tak tahu tajuk apa,” balas Salmiha Haini. “Dah siap ke semua urusan?” Salmiha Haini bertanya. Pelik juga dia bila Shahrul Hairi tiba-tiba muncul. Sangkanya petang esok baru lelaki itu sampai.
            “Dah siap dah. Kalau tak, takdenya saya ada kat sini malam ni. Esok pagi bolehlah kita hantar dokumen tu,” beritahu Shahrul Hairi dengan nada ceria. Hilang terus penatnya bila mendengar suara Salmiha Haini. Magik betul!
            “Awak... betul ke apa yang kita nak buat ni?”
            Shahrul Hairi pantas menoleh.
            “Maksudnya?”
            “Saya rasa macam tak yakin la. Yalah, kita kenal tak sampai sehari dah buat keputusan nak kahwin. Saya takut kita tak serasi je nanti. Dan saya tak berani nak tanggung risiko.
            “Kita cubalah dulu.”
            Salmiha Haini pandang tepat anak mata Shahrul Hairi.
“Awak ingat nikah kahwin ni bahan eksperimen ke nak cuba-cuba? Atau awak ingat nikah kahwin ni macam belajar masak-masak, boleh dicuba-cuba? Tak jadi atau tak sedap, humban masuk tong sampah. Awak tahu tak, nikah kahwin ni percaturan dalam hidup. Tak kena gaya, boleh lingkup rumah tangga kita. Saya tak berani nak pertaruhkan masa depan saya.” Salmiha Haini sedikit emosi namun nada suaranya masih terkawal.
            Shahrul Hairi mengeluh perlahan. Percayalah pada saya, Salmiha Haini.
“Hesy... jauhnya melalut! Maksud saya, kita cuba kenal hati budi. Cuba belajar fahami pasangan masing-masing. Pastu kita cuba serasikan diri kita sebagai suami isteri. Lagipun orang kata, tak kenal maka tak cinta. Tak cuba mana kita nak tahu sama ada serasi ke tak.” Shahrul Hairi cuba membuang perasaan tidak enak dalam fikiran Salmiha Haini. Semua sudah diatur, tak akan nak dibatalkan pulak? Dia memang tak sanggup dan dia memang dah nekad nak sehidup semati dengan Salmiha Haini.
 “Awak kena yakin dengan saya, Salmiha Haini. Awak kena ingat, bila saya lafaz: Aku terima nikahnya Salmiha Haini binti Ishak dengan mas kahwin 80 ringgit tunai..., maknanya saya dah berjanji pada ALLAH untuk jaga awak sebaik mungkin. Tak akanlah saya nak memperlekehkan janji saya dengan ALLAH? Alamatnya ke nerakalah saya. Hesy... tak nak saya!” Shahrul Hairi terus-terusan cuba meyakini bakal isterinya.
Salmiha Haini melepaskan keluhan kecil. Payahnya nak buat lelaki bernama Shahrul Hairi ini mengalah.
“Saya tak pandai masak, awak kahwinlah dengan orang lain.”
Shahrul Hairi tergelak kecil. Pulak dah...
Ceh, dia gelakkan aku!
“Saya bukannya nak cari tukang masak. Saya cuma nak cari isteri yang boleh jaga makan minum saya je.” Oh... cuba tipu kita ya? Bukan ke awak ada tulis dalam resume yang hobi awak memasak? Kita tahulah awak pandai masak dan suka cuba resipi baru. Kita kan dah berbual tentang ni masa temu duga hari tu? Tak sedap pun takpe sayang, kita telan je.
Jaga makan minum tu bukan kena masak ke? Atau makna jaga makan minum tu, beli lauk pauk dan nasi kat kedai, kemudian hidang je atas meja?
 “Saya malas dan tak rajin kemas rumah.”
Isy... isy... ada aje helahnya. Rajin dengan malas, tak sama ke honey?
“Saya bukannya nak cari amah, saya nak cari suri rumah. Lagipun selama ni saya upah orang untuk kemas rumah saya.”
Hesy... ada aje akalnya nak mencaras kata-kata aku! Salmiha Haini menjeling geram.
“Jangan menyesal sudah!”
“Insya-ALLAH tak.”
Salmiha Haini berlalu ke kamar tidur yang tersedia untuknya, malas nak bertekak lagi. Lagipun dia tahu, dia bakal kalah punya. Harapannya cuma satu, Shahrul Hairi akan tunaikan segala janji-janjinya.
Hehehe... tahu pun surrender. Ingatkan nak ajak bertekak lagi. Mahu tak tidur malam ni jika asyik perang mulut je. Jangan bimbang sayang, rumah tangga kita, kita corakkan bersama seperti mana yang Islam telah gariskan.

HARI yang dinanti-nantikan oleh Shahrul Hairi dan Salmiha Haini tiba jua. Debaran melanda jiwa pasangan muda itu. Shahrul Hairi berdebar hendak menjabat tangan bapa Syarafuddin selaku jurunikahnya pada hari ini dan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Manakala Salmiha Haini berdebar dengan jalan yang dipilihnya ini.
Lengan baju Shahrul Hairi, Salmiha Haini tarik. Dia sedang bergelut dengan perasaannya ketika ini.
“Awak...” Panggil Salmiha Haini. “Betul ke tindakan yang kita ambil ni?”
“Maksud awak?” Soal Shahrul Hairi sambil menjongket sebelah keningnya.
“Keputusan kita nak nikah ni, tepat ke?”
“Bukan ke awak dah setuju nak kahwin dengan saya? Dan kita dah bincang pun tentang hal ni.” Hati Shahrul Hairi mula mengalunkan rentak kebimbangan. Gusar sekiranya Salmiha Haini menarik balik kesediaannya untuk menjadi isterinya.
“Itu saya tahu. Tapi saya bimbang sekiranya ada masalah lain pula yang timbul di kemudian hari.” Salmiha Haini melepaskan keluhannya. Sejak bersetuju hendak bernikah, sudah acap kali dia mengeluh dan mengeluh.
“Apa yang hendak dibimbangkan dan dirisaukan lagi, emmm?” Shahrul Hairi bersuara lembut. Hati Salmiha Haini harus ditawannya. Salmiha Haini harus menjadi isterinya. Memang itu targetnya.
Salmiha Haini tentang mata Shahrul Hairi.
“Saya bimbang penerimaan keluarga awak. Buatnya mereka tak suka saya macam mana?” Salmiha Haini meluahkan kegusarannya. Bukan mudah kahwin tangkap muat macam ni. Walaupun dia ingin melarikan diri daripada Pak Lang Yusof, tapi itu tidak bermakna dia hendak meletakkan nyawanya di hujung senapang.
“Berapa kali perlu saya nyatakan pada awak?” Shahrul Hairi sambil merenung tajam Salmiha Haini. “Awak peganglah kata-kata saya ni. Awak tak akan menyesal seumur hidup awak kalau jadi isteri saya. Dan saya akan pastikan awak kekal bahagia di sini saya hingga ke akhir hayat.”
Salmiha Haini garu keningnya. Hendak percaya dengan tidak, saling bertingkah ketika ini. Matanya juga sempat menjeling keluarga Syarafuddin yang sedang memandang ke arah mereka.
Melihat tiada keyakinan dalam diri Salmiha Haini terhadap kata-katanya, Shahrul Hairi lantas bersuara.
“Atau awak nak dengar ayat-ayat cinta dari saya dulu baru awak nak percaya? Baiklah kalau itu yang awak mahukan.” Shahrul Hairi memandang wajah Salmiha Haini dengan renungan yang lembut dan redup. “Salmiha Haini... saya sayang awak, cinta awak! Sudi tak awak jadi bidadari dalam hidup saya hingga ke akhir hayat?”
Pesakit mental ke apa mamat ni? Kenal baru sehari dua... tiba-tiba aje luahkan perasaannya. Seram sejuk pula Salmiha Haini rasakan. Tapi muka nampak macam normal. Ketulusan juga jelas terpancar di wajah lelaki itu. Berserah kepada Yang Maha Berkuasa ajelah, tekad Salmiha Haini.
“Baiklah saya setuju.”
“Lega hati saya bila awak setuju menerima saya sebagai suami.”
“Tapi ingat, andai tiada keserasian antara kita, saya boleh tuntut cerai bila-bila masa, kan?” Salmiha Haini mengingatkan Shahrul Hairi.
“Ya! Saya tahu tentang itu,” balas Shahrul Hairi sedikit geram. Dah jadi bini aku, tahulah macam mana aku nak buat. Jangan mimpi nak pergi jauh.
“Sekiranya awak mungkir janji, siap awak nanti.” Salmiha Haini mengugut.
“Awak nak buat apa?” Soal Shahrul Hairi dengan senyuman sinis.
“Adalah!”
Emmm... apa-apa jelah. Jom kita pergi kat mereka. Dah lama sangat mereka tunggu kita kat pekarangan masjid tu,” jelas Shahrul Hairi. Majlis pernikahan mereka dijangkakan akan berlangsung pada pukul sepuluh setengah pagi.
Salmiha Haini pandang wajah Shahrul Hairi. Pabila Shahrul Hairi mengangguk dan tersenyum, dia turut berbuat demikian. Andai demikian suratan yang tertulis buatnya, siapalah dia yang hendak melawan ketentuan ALLAH. Mungkin besar hikmah yang terselindung dibaliknya.


18 comments:

  1. Teruja nak tahu apa yg bakal jd lps mrk kawen

    ReplyDelete
  2. Teruja nak tahu perjlnan mrk sbg suami isteri

    ReplyDelete
    Replies
    1. blh bc di bab yg seterusnya utk tahu apa yg terjadi

      Delete
  3. Replies
    1. terima kasih baby mio krn sentiasa memberi sokongan

      Delete
  4. Nak lgi... Best.

    ~Nin~

    ReplyDelete
  5. Salmiha jgn sangsi ikut aje ckp Sharul Hairi tu.
    Terbaik kak DD

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Athirah.
      Nak tahu ada kesangsian ke tidak kena baca hingga tamat

      Delete
  6. Dulu suka dgn Mikhail, lps tu Darwisy. Skrg ni giliran Shahrul Hairi pula yg jd gero idaman hati.
    sgt2 menarik. Best idea DD dlm bab ni.
    Gelihati tgk mrk bertekak pasal nak kahwin. Pandai Shahrul Hairi mainkan peranan dia.
    Terbaik DD

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Onah kerana sukakan hero2 saya yg x seberapa tu.

      Delete
  7. menarik citer akak nih

    ReplyDelete