Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Saturday 1 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 11

Bab 11


ANGIN MALAM yang membelai wajah dan tubuhnya, mendamaikan hati Salmiha Haini yang sedang lara. Sudah tiga hari kawasan atas bukit ini menjadi destinasinya. Punyalah banyak tempat menarik di sekitar bandar ini, tempat tersorok dan tersembunyi ini jugalah yang menjadi pilihan hatinya. Salmiha Haini rasakan inilah tempat yang mampu melenyapkan segala masalah yang berserabut di mindanya. Apatah lagi kehijauan alam semula jadi yang menyejukkan mata dan hembusan bayu yang seakan membelai dirinya, emmm... damai dan lapang jiwanya kala bersendirian walaupun pemandangan hanya ditemani kelam malam.
            “Apa yang harus aku buat? Perlu ke aku ikut cadangan Sofea, lari!” Bicara Salmiha Haini sendirian sambil menguis tanah dengan hujung seliparnya. Dia terlalu sedih dengan perbuatan Pak Lang Yusofnya. Apa dosanya terhadap lelaki itu, dia tidak tahu? Dia bencikan keangkuhan dan kesombongan Pak Lang Yusofnya. Tahulah dia pernah menumpang hidup dengan lelaki itu. Tapi itu bukan bermakna Pak Lang Yusof boleh memaksa dia menuruti kata-kata lelaki itu sewenang-wenangnya. Lagi pula, dia bukannya makan free! Wang insurans papa dan mamanya digunakan bagi menampung hidup.
            “Buatnya dia mengamuk macam mana? Mahu karang Salmiha Haini sekadar tinggal nama aje nanti. Bukannya lelaki tu tak pernah naik angin. Pernah! Cuma kaki dan tangan aje yang belum sampai ke tubuh badannya.” Sejak ibu saudaranya meninggal dunia beberapa bulan yang lalu, perangai Pak Lang Yusof semakin menjadi-jadi. Ada saja perlakuannya yang tidak kena di mata lelaki tua itu. Dia pun naik hairan kenapa? Akibat bosan dengan sikap dan perangai bapa saudaranya itu, dia mengambil keputusan berhijrah ke Johor Bahru. Hendak menumpang kasih dengan saudara-mara yang lain memang tidak kesampaian, adik-beradik mama rata-ratanya telah meninggal dunia semasa kecil dan papa pula hanya sebatang kara.
Salmiha Haini raup wajahnya. Nafas yang dihela terasa berat. Dia ingatkan dia tidak lagi perlu bertemu dengan Pak Lang Yusofnya tetapi tidak. Dia terpaksa menentang pandang dengan lelaki itu kerana ada perhitungan yang perlu diselesaikan. Malangnya walaupun sudah berhari-hari dia berkampung di KL, Pak Lang Yusofnya tetap juga tak balik-balik. Sengaja dia tidak mahu tinggal di rumah Pak Lang Yusof, rumah itu dirasakan bagai neraka buat dirinya.
“Kusutnya! Apa yang perlu aku buat ni?” Buntu Salmiha Haini memikirkan nasib diri. “Agak-agak kalau aku pergi bertapa kat gua ok tak? Tentu Pak Lang tak dapat kesan aku. Tapi di mana?! Gua Niah? Gua Cha? Berapa lama nak bersembunyi? Duit ‘sesen kurap’ pun takde, nak bertapa macam mana? Sekurang-kurangnya kena jugak standby stok makanan barang setahun dua, baru mantop. Ada karang mati kelaparan. Ah, buntunya!” Salmiha Haini meraup wajahnya. Ya ALLAH... bantulah hambaMu ini.
Bebola mata Salmiha Haini meliar memandang kawasan sekitar. Terdapat beberapa pasangan di situ. Seronoknya jika dia bisa punya pacar seperti mereka. Tentu saja kekasih hatinya akan mententeramkan dirinya. Pasti saja dirinya akan dilamar dan seterusnya dilindungi. Wahai... pemilik tulang rusukku! Di manakah kau berada? Datanglah kepadaku dan selamatkanlah aku! Seru Salmiha Haini bersama angin malam.
“Itu la... masa ada orang minat, kau jual mahal. Kan dah susah sekarang!” Keluh Salmiha Haini. Penat berdiri dia melabuhkan punggung di atas bonet Myvi, pemberian arwah neneknya bersempena hari jadinya yang ke-20. Permukaan bonet itu disentuh lembut dengan jemari. Hatinya diruntun sebak secara tiba-tiba saat terkenangkan arwah neneknya. Nenek... kalau nenek masih hidup, tentu nenek akan halang segala tindak-tanduk Pak Lang, kan?
Gelak ketawa mereka-mereka yang berada berhampiran dengannya membuatkan Salmiha Haini mengeluh. Alangkah indahnya jika dia juga mampu bergelak ketawa seperti itu. Sudah tiga hari dia tiada mood untuk ketawa. Bibirnya juga seakan lumpuh untuk mengukirkan senyuman. Dia tahu senyuman itu satu sedekah! Tapi entah kenapa dia terlalu kedekut hendak menyedekahkan senyuman manis dan mengancamnya itu. Telefon bimbitnya juga turut dimatikan. Dia tidak mahu sebarang gangguan walaupun dari teman baiknya. Galau hatinya sudah tidak tertanggung lagi saat mengenangkan nasib diri.


BAYANGAN gadis di KLIA tempoh hari seakan-akan sukar dilenyapkan. Malahan sering menghantui setiap gerak langkahnya. Tangisan hiba dan kesayuan gadis itu benar-benar meruntun jiwa lelakinya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa gadis itu berjaya mencuri ketenangan yang dimilikinya selama ini.
Hingga ke detik ini, seraut wajah yang diseliputi mendung itu sering melatari ruang lena dan jaganya. Masih diingat..., mata dan kepalanya bagai dipaku agar terus memerhati gerak-geri gadis tersebut sehinggalah si dia sirna dari pandangan.
Shahrul Hairi mengeluh sendirian memikirkan bermacam-macam masalah yang menghuni otaknya.
“Aduh... pening-pening! Mahu mati muda aku macam ni!” Shahrul Hairi memicit kepalanya dengan tangan kanan. Fikirannya benar-benar berserabut. “Aku ni sibuk memikirkan masalah gadis tu, masalah aku sendiri pun masih belum temui jalan penyelesaiannya.” Permintaan ayahnya supaya mengahwini anak Tan Sri Suhaimi, amat menyesak fikirannya. Dia hanya ada dua pilihan. Kahwini anak kenalan ayahnya atau menerima sepupunya, Aspalela sebagai isteri.
“Kahwin dengan Aspalela?! Pasti akan buat aku sakit jiwa dan sakit jantung. Kahwin dengan anak kawan ayah?! Hai... entahlah! Mati terus gamaknya.” Stereng kereta dicengkam lebih kemas. Bimbang hilang kawalan.
“Ayah dan ibu pun satu hal. Macamlah aku ni tak laku sangat sampai kena dicarikan jodoh. Aku belum terdesak lagilah!” Shahrul Hairi merungut. Sehari dua ni jenuh dia menepis panggilan dari ayah dan ibunya yang tak henti-henti bertanya dan mendesak.
“Mereka tak tahu kat dalam kapal terbang tu berapa ramai pramugari yang ingin mengusha aku. Itu belum lagi perempuan-perempuan di luar sana. Cuma aku je yang buat dont know. Lagipun umur aku masih muda apa, belum pun tiga puluh. Buat apa sibuk-sibuk nak kahwin?” Shahrul Hairi melontar apa yang terbuku di hati.
Sanggup ibu dan ayahnya berhabis duit menelefonnya di Korea Selatan tempoh hari semata-mata nak suruh kahwin. Bukannya dia tak mahu kahwin. Itukan sunnah nabi... tapi hatinya masih belum terbuka. Nak buat macam mana? Tidak tergamak rasanya dia jadi seperti segelintir lelaki hari ini yang gemar menabur benih cinta di sana-sini. Bila benih cinta itu mula bertunas dan bercambah, dibiarkan sepi atau dicampakkan ke tepi begitu sahaja. Itu bukan caranya. Cintanya cinta suci. Dia selalu berdoa agar cintanya kekal abadi di dunia mahupun di akhirat. Siapalah gadis di luar sana yang beruntung dapat memiliki cintanya?
Destinasi yang ingin ditujui Shahrul Hairi tiba jua akhirnya. Dia menuju ke port kegemaran. Kelihatannya ada penghuni lain di situ. Tempat yang gadis itu duduk adalah tempat kegemarannya. Malahan namanya sudah diukir atas batu itu. Naik berpeluh ketiaknya untuk menyiapkan nama tersebut. Dan perempuan itu... sesuka hati dia aje melepak di situ!
Dia mengamati wajah yang sedang merenung ke dada langit. Seperti gadis yang ditemuinya di KLIA tempoh hari, bisik hati Shahrul Hairi. Wajah itu masih lagi kelihatan sendu walaupun sudah beberapa peristiwa itu berlalu. Kasihan! Aku pun kasihan juga. Jadi kami berdua seharusnya perlu dikasihani!
Dia tidak tahu apakah rahsia di balik setiap pertemuan yang berlaku. Tetapi hati lelakinya meronta hebat setiap kali gadis itu berlalu pergi. Ada sesuatu tentang gadis itu yang merantai jiwa dan membelenggu hatinya. Nama dan wajah itu seakan melekat kukuh di sudut paling istimewa di hatinya.
Dengan langkah maco, Shahrul Hairi menghampiri gadis berwajah sedih itu. Namun langkahnya semakin sumbang tika berdekatan dengan gadis itu.
Kau boleh duduk diam tak jantung? Yang kau beria bergendang dan berjoget apa hal? Shahrul Hairi memarahi jantungnya. Dia menarik nafas panjang-panjang dan cuba beriak tenang. Jangan gelabah! Jangan panik! Buat muka poyo... sepoyo-poyonya! Cool! Kolar jaket kulitnya dibetulkan. Langkahnya mula disusun dengan kemas dan rapi.
“Ehem... ehem...” Shahrul Hairi berdehem untuk menarik perhatian gadis tersebut. Hampa perasaannya bila gadis itu membisu dan sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Aiseyman... sombong giler perempuan ni!
“Cantik sangat ke bintang tu, sampai saya tegur buat tak tahu je?” Shahrul Hairi memberanikan diri bertanya. Namun sekali lagi dia kehampaan. Kata-katanya hanya disambut angin lalu. Mak aii... dia buat derk je?! Dia tak nampak aku ke apa ni?! Atau hari ni aku tiba-tiba aje jadi halimunan?!
“Assalamualaikum... ada orang di sebelah saya tak?” Shahrul Hairi merapatkan mulutnya di tepi telinga Salmiha Haini.
Salmiha Haini pantas menoleh. Terperanjat!
Mamat ni apa hal? Gila?! Sejak bila duk menyemak kat sebelah aku ni? Gumam Salmiha Haini geram. Sudahlah hatinya sedang rawan, ada pulak yang menyibuk. Resah hatinya memikirkan permintaan bapa saudaranya. Pedih, sedih dan kecewa, semuanya berhimpun menjadi barah di hatinya. Kenapa tak disuruh aje anak manjanya ‘Si Peah’ yang baru tamat SPM tu berkahwin? Bukan ke lebih mudah? Pandai pulak dia tak nak bagi anak dia kahwin awal-awal. Lagipun lelaki tu siapa yang memandai hendak mengatur hidupnya? Hanya biras arwah papanya sahaja.
“Kenapa awak nak menyibuk? Macamlah kita kenal antara satu sama lain. Lantak saya la, nak tengok ke... Nak renung ke... Nak telan bintang tu sekalipun! Apa awak peduli?” Sindir Salmiha Haini.
Ha... dengar pun, getus Shahrul Hairi.
Mak aii... sombongnya! Saya cuma kasihan tengok awak. Dari KLIA tempoh hari hingga ke hari ni masih belum hilang sedihnya. Kenapa? Pakwe cabut lari dengan perempuan lain?” Shahrul Hairi memandang Salmiha Haini. Hatinya benar-benar ingin tahu. Kalau tepat andaiannya, hancur musnah impian indahnya. Mana dia nak cari pengantin perempuan lagi? Pasti dia terpaksa turuti kemahuan ayahnya.
Ini tak boleh jadi ni, aku kena buat sesuatu. Setakat pakwe makwe, takde hallah kalau nak rembat. Sekali-sekala buat perangai, tak salah kut! Hati Shahrul Hairi berbicara. Lantas dia menghantar pesanan ringkas kepada kawan baiknya. Hanya temannya itu yang mampu menyelesaikan masalah cintanya saat ini.
Bro, kau kena tolong aku... L
Gara-gara Salmiha Haini, habis terbang segala falsafah hidupnya... ‘Hak orang jangan diganggu!’
Jangan bimbang, aku akan tolong. Kau cakaplah elok-elok dekat dia supaya dia tak terperanjat. Dah capai kata putus, terus datang ke rumah aku. Aku tunggu... ;)
Shahrul Hairi urut dagunya tatkala membaca kiriman SMS Syarafuddin. Aduh, susahnya! Aku nak buat apa? Nak cakap macam mana? Tak akan nak berterus-terang? Salmiha Haini... I love you! Will you marry me? Ada karang makan penampar. Shahrul Hairi pantas memegang pipinya.
Ok bro. Settle je aku terus ke rumah kau.
Shahrul Hairi membalas kembali SMS Syarafuddin sesaat kemudian.
Salmiha Haini memandang pelik makhluk yang berada di sebelahnya. Mana dia tahu aku pergi KLIA? Menyeramkan la dia ni...
“Saya sedih ke?! Gundah gulana ke?! Hatta nak mati sekalipun, awak peduli apa? Hal saya biar saya urus sendiri. Awak tak usah nak menyibuk.” Salmiha Haini buat-buat berani. Dalam hati hanya Tuhan aje yang tahu. Kecut! Manalah tahu lelaki di sisinya ini otak tak berapa nak centre.
Shahrul Hairi mengetap bibir. Amboi... bukan main lagi cengilnya! Cubalah cakap baik-baik macam kat Pasir Gudang hari tu, kan bagus... Ayat-ayat cinta yang telah dirangkanya sebentar tadi juga hilang berterabur entah ke mana.
“Saya bukannya nak menyibuk. Saya sekadar ingin membantu. Manalah tahu saya boleh tolong ringankan beban awak,” ujar Shahrul Hairi penuh hemah. “Biasanya orang datang melepak kat sini sebab nak lepaskan tension atau jiwa sedang kacau.”
Dia tahu la aku ada masalah... “Awak datang sini sebab nak tenangkan fikiran juga ke?” Salmiha Haini memberanikan diri bertanya. Sindiran lelaki itu dipandang sepi.
“Ya!” Jawab Shahrul Hairi sepatah. Dia menoleh Salmiha Haini seketika sebelum membuang pandang ke depan.
“Saya tengah runsing sekarang ni. Hati saya sakit sangat-sangat,” luah Salmiha Haini. “Tapi bukan disebabkan kekasih atau pakwe cabut lari. Tapi... masalah keluarga. Bapa saudara saya paksa saya kahwin dengan anak kenalannya. Dengan alasan ingin mengukuhkan lagi perniagaannya. Bila saya enggan menuruti kemahuannya, dia ugut saya,” luah Salmiha Haini sambil merenung beribu bintang di dada langit bagi meredakan sebak yang mula bertandang.
Shahrul Hairi memandang wajah Salmiha Haini kembali. Dia amat berminat hendak tahu kisah selanjutnya.
Salmiha Haini melepaskan keluhan sebelum menyambung kembali ceritanya.
“Saya tak nak! Dan saya tak suka orang paksa saya. Lagipun saya tak kenal siapa dia. Pak Lang kata, lelaki tu anak yang baik. Tapi boleh percaya ke? Dia bukannya duduk sebumbung dengan lelaki tu dan nampak apa yang lelaki tu buat sepanjang masa. Setakat dengar dari mulut ibu bapa lelaki tu saja, itu belum memadai bagi saya. Belum mampu membuatkan saya mempercayai kata-kata mereka. Buatnya keluarga lelaki itu berbohong. Macam mana? Siapa yang akan tanggung di belakang hari? Saya juga, kan!” Salmiha Haini menjeling sekilas lelaki yang berada di sebelahnya. Lelaki itu nampaknya memberi tumpuan terhadap ceritanya.
“Dan keluarga lelaki tu juga belum tentu tahu perangai sebenar anak mereka. Buatnya anak mereka setakat alim-alim kucing, tak ke kes niaya saya nanti? Saya tak mahu menyesal di kemudian hari. Daripada saya merana di belakang hari, lebih baik saya bertegas dari sekarang.” Hurai Salmiha Haini panjang lebar. Dia sendiri tidak tahu kenapa mulutnya begitu ringan hendak berkongsi masalahnya dengan lelaki yang baru dikenalinya itu.
Shahrul Hairi sudah mampu menarik nafas lega setelah mendengar bicara gadis itu. Hatinya lapang, selapang padang bola sepak apabila bunga pujaannya bukan di taman larangan atau milik orang. Ini bermakna, rancangannya mampu dilancarkan dengan jayanya. Yes!!! Tapi... nanti kejap! Tadi dia cakap... ‘bukan disebabkan kekasih atau pakwe lari, kan? Tapi... masalah keluarga.’ Maknanya? Dia dah berpunya ke? Alamak, melepas la aku! Ah, tak kisahlah ada pakwe ke tidak! Sebab aku dah nekad dengan rancangan aku.
Shahrul Hairi berdeham lalu membetulkan letak duduknya.
“Nasib kita sebenarnya sama,” ujar Shahrul Hairi perlahan. Matanya turut merenung bintang-bintang berkerlipan yang menghiasi kelam malam. “Keluarga saya juga mahu saya mengahwini anak kenalan mereka. Puas saya menolak, tapi mereka tetap enggan menerima alasan saya,” luah Shahrul Hairi. Ayahnya boleh ampun lagi tapi ibunya tetap berkeras dengan kemahuannya.
Ingatkan aku sorang aje kena paksa kahwin, rupanya orang sebelah aku pun sama. Hai... senasib rupanya! Malang... malang..., gumam Salmiha Haini.
By the way, I’m Ringgo and you?” Tanya Shahrul Hairi sambil menghulurkan salam perkenalan. Dia belum berhajat memberitahu nama sebenarnya. Dan dia juga pura-pura tidak mengenali Salmiha Haini. Dia yakin Salmiha Haini tidak kenal dan mengingati dirinya.
“Saya Salmiha Haini. Maaf... saya tak boleh sambut tangan awak, ajnabi. Haram hukumnya,” jelas Salmiha Haini jujur.
Shahrul Hairi rasa hendak tampar pipinya. Bukannya dia tidak pernah terkena dengan Salmiha Haini sebelum ini. Dia kemudiannya menarik kembali tangannya dan melemparkan senyuman ikhlas. Begitu terjaga akhlak dan sahsiah gadis ini, getusnya.
“Awak pun kena paksa kahwin juga?”
Shahrul Hairi senyum dan angguk. Cakap lembut-lembut macam ni kan bagus. Sejuk hati abang. Makin abang sayang, bisik hati Shahrul Hairi yang nakal lagi gatal.
“Ya! Malahan saya diberi dua pilihan. Berkahwin dengan sepupu saya atau anak kenalan mereka sekiranya gagal mencari pilihan sendiri dalam tempoh lebih kurang enam bulan ini. Bukankah itu tidak adil namanya. Saya langsung tidak kenal siapa gadis yang mereka pilih dan bagaimana hati budi serta perilakunya. Yang paling penting agamanya. Saya ingin mencari isteri yang menutup aurat. Boleh setia bersama saya hingga ke akhirnya. Dan paling penting, mampu menjadi isteri dan ibu yang terbaik buat anak-anak saya. Saya kalau boleh... hanya ingin berkahwin sekali saja seumur hidup,” jelas Shahrul Hairi sambil memandang Salmiha Haini. Ada satu tarikan di balik wajah sendu itu. Berada di samping gadis itu, jiwanya terasa tenang dan damai. Bahkan mampu membangkitkan perasaan yang begitu mengasyikkan. Angau sungguh!
Terpukau Salmiha Haini mendengar luahan lelaki bernama Ringgo itu. Pasti bahagia siapa yang bakal menjadi suri hidup lelaki itu.
“Awak dah ada kekasih?” Shahrul Hairi bertanya. Matanya turut merenung lembut gadis di sebelahnya itu. Wajah itu tetap kelihatan cantik dan ayu biarpun masih diseliputi mendung. Kelembutan juga terserlah di wajah itu walaupun sedikit garang sebentar tadi. Dan tetap kelihatan anggun dan jelita walaupun tidak menayangkan bentuk badannya.
Salmiha Haini memandang wajah lelaki yang bernama Ringgo itu dengan sedikit hairan.
“Tak ada! Kenapa? Awak berminat nak jadi calonnya ke?” Tanya Salmiha Haini sambil mencerlangkan biji matanya tanda tidak menyukai pertanyaan Shahrul Hairi.
“Saya? Nak jadi calon kekasih awak?” Shahrul Hairi bertanya sambil tertawa kelucuan. “Minta maaf la! Penampilan awak tidak kena dengan cita rasa saya dan karektor awak juga tidak sesuai dengan jiwa saya. Awak terlalu cengil. Saya sukakan perempuan yang lemah-lembut, sopan-santun dan mampu mencairkan hati lelaki saya. Awak langsung tidak tergolong dalam kelompok itu.” Shahrul Hairi berkata, menutup rahsia di hati. Walhal dalam hati, bukan kepalang lagi melonjak kegembiraan setelah mendengar kata-kata Salmiha Haini itu tadi.
Dia harus dan perlu menjunjung egonya barang seminit dua. Tak akanlah terus hendak mengaku yang dia meminati gadis itu. Mestilah kena berlakon dahulu. Dia tidak mahu nampak terlalu gelojoh di mata Salmiha Haini. Dan juga bimbang sekiranya Salmiha Haini dapat menebak perasaannya terhadap gadis itu. Malulah dia nanti.
“Macamlah saya berminat nak jadi calon kekasih awak! Awak juga tak tersenarai dalam short listed lelaki idaman saya. Jadi tak usah banyak cakap!” Bentak Salmiha Haini geram. Macam bagus aje lelaki di sebelahnya ini. Dia ingin berlalu namun tangannya pantas dicapai Shahrul Hairi.
“Hei... apa ni? Lepaskan tangan saya, bangang!” Pekik Salmiha Haini sambil merentap tangannya namun tidak berjaya.
Alamak! Merajuk la sudah buah hati aku ni, hati Shahrul Hairi berbisik nakal. Kalaulah Salmiha Haini tahu yang aku gatal-gatal mengaku dia buah hati aku, ada dihempuknya aku dengan batu. Shahrul Hairi melepaskan tangan Salmiha Haini perlahan-lahan. Lembutnya tangan dia ni. Pandai buat kerja dapur ke tidak ni? Ada karang asyik makan nasi bungkus. Hehehe...
Salmiha Haini mengusap tangannya yang sedikit perit.
“Saya tak berniat hendak berkasar dengan awak dan saya minta maaf sebab tanpa sengaja terpegang tangan awak,” luah Shahrul Hairi seraya merapatkan kedua belah telapak tangannya tanda mohon maaf.
Salmiha Haini mencebik mendengar kata-kata Shahrul Hairi. Alasan! Cekik karang!
Sorry ya sebab buat awak marah dan terasa tadi. Saya saja je nak test awak,” dalih Shahrul Hairi. Dia sebenarnya tidak ingin Salmiha Haini meninggalkan dirinya. Itulah puncanya kenapa dia halang gadis itu dari berlalu pergi.
“Apa maksud awak nak test saya?” Salmiha Haini bersuara tegas. Wajah Shahrul Hairi ditenung tajam.
“Saya nak lihat sejauh mana kebenaran kata-kata awak tadi. Benarkah diri saya ni langsung tidak tersenarai dalam pilihan calon kekasih awak,” terang Shahrul Hairi. “Nampak sangat yang awak memang tegas dengan kata-kata awak. Biasanya perempuan yang saya kenal, mulut kata lain tapi hati buat lain. Bila saya pegang mereka, biasanya mereka akan jadi lemah dan terus cair,” jelas Shahrul Hairi sambil merenung mata Salmiha Haini yang cantik dan bulat itu. Suka pula dia lihat wajah masam mencuka Salmiha Haini. Alahai... makin dia marah, makin comel la! Kalaulah dapat cium… Opps! Itu bila dah rasmi jadi hak milik aku la kan… Hehehe...
“Itu perempuan lain. Bukannya saya!” Perli Salmiha Haini. Dia ni mesti miang, sebab tu selamba badak je pegang tangan aku. Ini mesti dah terbiasa pegang-pegang pompuan niii...
“Saya tahu!” Tegas Shahrul Hairi. “Emmm... saya ada idea...,” ujar Shahrul Hairi sambil merenung wajah Salmiha Haini dengan sinar harapan. “Saya tolong awak dan awak tolong saya.” Dia menerangkan satu persatu rancangannya kepada Salmiha Haini.
Bulat mata Salmiha Haini merenung Shahrul Hairi setelah lelaki itu usai menerangkan hasratnya.
“Kalau awak nak jadi gila, jangan heret orang lain untuk sama-sama jadi miring seperti awak,” marah Salmiha Haini. Panas hatinya mendengar idea bodoh Shahrul Hairi. 
“Saya tak gila tapi ingin membantu,” terang Shahrul Hairi tulus.
“Itu bukannya membantu tapi menyusahkan namanya!”
“Lebih baik kita buat begini. Sekurang-kurangnya kita dah saling kenal walaupun baru satu jam kita berkenalan,” luah Shahrul Hairi sambil melihat Tag Heuer di pergelangan tangannya.
Ada hati nak jadi menantu Pak Ishak, tapi perangai... mengalahkan Ali Setan! Salmiha Haini terus mencemuh dalam hati.
“Saya rasa ada baiknya awak terima sepupu awak. Sekurang-kurangnya awak dah kenal siapa dia berbanding saya. Tak pun awak kahwin dengan kekasih awak, lagi mudah.”
Shahrul Hairi ketawa berdekah-dekah mendengar cadangan Salmiha Haini.
Salmiha Haini memandang pelik wajah Shahrul Hairi yang seperti orang kerasukan.
Pabila melihat Salmiha Haini memandang wajahnya tanpa berkelip. Shahrul Hairi segera menghentikan tawanya. Cap di kepala dibetulkan.
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Ada yang tak kena ke kat muka saya?” Shahrul Hairi meraba wajahnya. Rasanya semua perfect sebelum dia keluar rumah.
“Memang banyak yang tak kena pun! Kenapa awak ketawa macam orang kena sawan? Tengok... semua orang sedang pandang awak sekarang ni,” sindir Salmiha Haini geram.
Shahrul Hairi memandang ‘jiran-jiran’ yang sedang berdating berhampiran mereka. Tangannya diangkat tanda memohon maaf kerana mengganggu.
“Hesy... mulut awak ni! Laser sungguh! Awak tak tahu dan tak kenal siapa sepupu saya. Daripada saya kahwin dengan dia, lebih baik saya membujang hingga ke mati.” Shahrul Hairi melepaskan rasa tidak puas hati yang selama ini bermukim di hatinya. “Dan untuk pengetahuan awak... saya ni masih kosong, belum ada kekasih.”
Salmiha Haini menceber kurang percaya. Betul ke muka tampan macam ni belum berpunya? Mustahil!
“Hah! Bagus juga kalau awak nak membujang sampai ke tua. Tak perlulah saya ikut rancangan awak yang tak masuk otak tu,” balas Salmiha Haini sebal.
“Eh... awak tak suka ke dapat kahwin dengan lelaki kacak macam saya? Kalau orang lain tentu gembira dan tepuk tangan bila saya melamar mereka.” Dengan bangganya Shahrul Hairi mengeluarkan ayat-ayat jiwang karatnya.
Salmiha Haini terasa hendak loya mendengar kata-kata Shahrul Hairi yang sedikit angkuh itu. Aku kalau rasa gembira bukannnya nak tepuk tangan, tapi rasa nak hentak je kaki kat muka mamat sekupang ni biar padan muka dia, getus Salmiha Haini. Apa? Dia ingat aku terliur dan kebulur sangat dengan muka kacak dia tu? Sorry!
“Itu orang lain bukan saya,” tempelak Salmiha Haini dengan tegas. Entah kenapa dia langsung tidak boleh bertutur lembut dengan lelaki yang satu ini. Aneh bukan?
Shahrul Hairi memandang Salmiha Haini dengan ekor matanya. Pantang salah cakap, mula nak naik angin. Tapi takpe... abang tetap sayang, getus Shahrul Hairi. Wahai Cik Salmiha Haini sayang... kenapalah kau jual mahal sangat? Kalau beginilah caranya... pujuk-pujuk tak dapat, memang kita akan nikah free... Confirm!
 “Saya cari suami yang sederhana saja. Tidak terlalu kacak dan tidak terlalu kaya. Cukuplah jika raut wajahnya sejuk mata memandang. Dan hartanya pula cukup sekadar buat kami sekeluarga tidak hidup melarat. Apa yang saya titik beratkan adalah keimanannya. Sebab tanpa iman dan takwa, ibarat bahtera tanpa nakhodanya,” ulas Salmiha Haini panjang lebar.
Shahrul Hairi memandang tepat gadis di sebelahnya. Tertarik dia mendengar kata-kata Salmiha Haini. Selama hari ini, ramai gadis yang ingin mendekatinya berdasarkan kekacakan dan kekayaannya semata-mata.
“Kiranya saya menepati standard lelaki idaman kalbu awaklah?” Duga Shahrul Hairi. “Muka saya pun taklah setampan mana dan saya juga tidaklah kaya-raya. Andai iman yang menjadi kriteria utama pilihan awak, insya-ALLAH saya akan cuba menjadi ketua keluarga yang awak impikan. Mungkin ilmu agama saya tidaklah setebal mana. Tapi saya akan cuba menggali dan mendalami ilmu ALLAH sebaik mungkin.” Shahrul Hairi berusaha meraih cinta Salmiha Haini. Hatinya sangat-sangat berkenan dengan Salmiha Haini. Mendengar kata-kata Salmiha Haini sebentar tadi, hatinya semakin yakin dengan tindakannya mengajak Salmiha Haini berkahwin.
Ahh... sudah dia ni! Tadi mengaku kacak. Sekarang dah tukar tak kacak pulak? Biul ke apa dia ni? Boleh caya ke miskin? Tak nampak macam orang tak berharta pun! Salmiha menilai diri Shahrul Hairi. Matanya juga melirik kereta milik Shahrul Hairi. Kalau nak menipu pun agak-agaklah, getus Salmiha Haini.
So macam mana? Setuju tak kalau kita kahwin? Ala... kita cuba aje. Kalau sesuai, kita terus kekal jadi suami isteri sampai mati. Jika tidak... awak boleh tuntut cerai. Sepanjang awak bergelar isteri saya, saya akan pastikan yang awak sedikit pun tidak merasa sebarang kekurangan.”
Hesy... betul ke keputusan yang aku buat ni? Hati Shahrul Hairi berbolak-balik. Tapi lamaran dah dibuat. Tak akan nak tarik balik? Daripada aku kahwin dengan Aspalela, lebih baik aku kahwin dengan dia ni. Shahrul Hairi cuba menetapkan pendiriannya. Lagipun aku dah mula sayang dan cintakan dia.
“Amboi... senangnya awak bercakap! Ikut sesedap selera hati awak aje nak luahkan pendapat. Langsung tak mengambil kira buruk baiknya,” bidas Salmiha Haini. “Awak ingat senang hidup saya nanti setelah pegang title ‘J’? Awak tahu tak... orang di luar sana tentu ingat yang saya ni perempuan murahan dan jalang sebab muda-muda lagi dah kena cerai.” Marah Salmiha Haini. Hatinya menjadi sakit dengan usul Shahrul Hairi yang dirasakan merapu.
“Awak sebenarnya yang tak faham apa saya cakap. Bila masa saya kata nak ceraikan awak?” Shahrul Hairi dah geleng kepala. Orang cakap lain, dia faham lain. Kan, dah susah. Itu la... bila orang cakap bukannya nak dengar betul-betul.
“Eh, awak ni! Tadi bukan ke awak yang cakap macam tu?” Salmiha Haini sudah merasa hangat.
“Tulah awak, tak korek telinga. Saya cakap lain tapi awak faham lain,” perli Shahrul Hairi. “Saya kata... awak boleh tuntut cerai daripada saya jika tidak ada penyesuaian. Lagipun bukan ke tadi saya ada beritahu, saya hanya hendak kahwin sekali sahaja dalam seumur hidup.” Shahrul Hairi menutur kembali satu-persatu kata-katanya.
Salmiha Haini mengeluh untuk kesekian kalinya. Matanya memandang Shahrul Hairi dengan perasaan geram dan tidak percaya. Setelah menimbang baik buruknya, akhirnya dia bersetuju menerima cadangan Shahrul Hairi. Mungkin lelaki di hadapannya ini adalah jodoh yang telah dititipkan ALLAH untuknya. Tapi... betulkah tindakan yang diambilnya? Hatinya masih ragu-ragu.
“Baiklah... kalau awak dah setuju, malam ini jugak kita ke rumah kawan baik saya. Awak ada saudara-mara yang boleh mewalikan awak?”
“Saya anak tunggal dan yatim piatu. Saya juga dah tidak ada datuk mahupun bapa saudara,” terang Salmiha Haini.
“Baguslah macam tu, mudah sikit urusan kita.”
Salmiha Haini faham apa yang dikatakan oleh lelaki dihadapannya ini. Tentu sukar baginya untuk bernikah sekiranya tanpa persetujuan wali.
“Tapi kenapa kita perlu ke rumah kawan awak pulak?”
“Sebab ayah dia yang akan nikahkan kita nanti,” ujar Shahrul Hairi penuh yakin.
Berkerut tebal dahi Salmiha Haini. Ini ‘nikah terbang’ atau nikah yang sah di sisi hukum syarak?
 “Awak jangan risau, pernikahan kita nanti sah dari segi hukum syarak kerana ayah sahabat saya tu jurunikah yang bertauliah.” Pantas Shahrul Hairi memberi penerangan bila melihat kerutan di dahi Salmiha Haini.
Boleh caya ke?!
“Rumah ayah kawan awak tu kat mana?”
“Kat sini-sini ni jugak. Awak jangan takutlah, saya tak tipu awak punya.” Hesy... takut sangat orang guna jurunikah palsu.
Salmiha Haini melepaskan nafas kelegaan. Bimbang juga dia kalau kepala Shahrul Hairi tak betul. Manalah tahu guna nikah sindiket.
“Tapi kita kena uruskan prosedurnya dulu,” beritahu Shahrul Hairi. Dia menerangkan satu persatu apa yang harus mereka lakukan dan perlu ada.
Salmiha Haini mendengarnya dengan teliti, kemudian dia tersenyum dalam hati. Apa yang Shahrul Hairi jelaskan kepadanya semuanya telah siap dia lakukan. Ujian HIV sudah dia jalankan. Kursus perkahwinan juga sudah dia hadiri ketika menemani Sofea suatu ketika dulu. Walaupun enggan menuruti kemahuan Pak Lang Yusofnya tetapi dia tetap laksanakan juga seperti mana yang diarahkan. Dalam sampul surat yang dia terima tempoh hari telah pun tersenarai apa yang perlu dia buat dan bereskan.
“Semua yang awak jelaskan tadi saya dah siapkan,”beritahu Salmiha Haini. Mujur juga tangannya ringan hendak mengangkut bersama fail yang mengandungi segala dokumen penting. Kalau tak, mahu kena balik Johor dulu.
“Baguslah macam tu. Cepat sikit kita boleh nikah.” Shahrul Hairi pandang kereta Salmiha Haini. “Myvi awak tu, kita hantar ke rumah saya dulu. Lagipun lepas nikah nanti, awak memang kena tinggal dengan saya juga, kan?” Aura-aura kuasa pemerintah sudah mula terbit sedikit demi sedikit. “Saya rasa, kita memang patut tinggal sebumbung dan belajar mengenal hati budi antara satu sama lain. Manalah tahu perasaan cinta boleh terbit antara kita berdua selepas ini,” usik Shahrul Hairi. Padahal dia sebenarnya dah terlajak jatuh cinta.
Salmiha Haini angguk kepala.
“Rumah awak kat mana? Lepas hantar kereta, kita pergi rumah awak pulak untuk ambil pakaian. Tapi tak payah bawa semualah. Saya belikan yang baru. Bawa yang perlu aje,” pinta Shahrul Hairi.
Errr... sebenarnya saya tinggal kat hotel sekarang ni. Lepas ada krisis dengan pak cik saya, saya berhijrah ke Johor Bahru.”
“Oh!” Shahrul Hairi berfikir seketika. Baru dia teringat akan perbualan singkatnya bersama Salmiha Haini ketika sesi temu duga dulu. Cuma tang krisis tu aje yang dia tak tahu. “Kalau macam tu kereta awak kita tinggal dekat hotel tu dulu. Lepas nikah baru kita ambil,” saran Shahrul Hairi.
Salmiha Haini angguk kepala lagi. Entah kenapa boleh pula dia bersetuju mengikut cadangan lelaki yang belum sampai sehari dia kenali walaupun hatinya masih berbelah-bahagi.

25 comments:

  1. Best x sabar nak pegang buku.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih baby mio.
      dah tak lama dh blh pegang saca

      Delete
  2. Kalau termasuk ini sudah 3 Buah buku Karya awak Yang saya ada lambat lagi ke nak release.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih baby mio atas sokongan.
      Insya Allah pertengahan mac ni agaknya.

      Delete
  3. Best la cter ni, cepat la smbung

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas sokongan.
      akan ada smbgannya jgn bimbang

      Delete
  4. Makin tak sabar nak tunggu terbit dipasaran.
    Cptlah berada kat pasaran tak sabar nak miliki


    K.Ina

    ReplyDelete
  5. lebar senyuman bc bab ni.
    Semakin teruja nak tahu kisah selanjutnya.
    Teruskan berkarya DD.
    Karya DD memenuhi selera saya

    ReplyDelete
  6. Tak puas bc.
    X sbr nak kesudahan cter nih

    ReplyDelete
  7. Tak puas bc.
    X sbr nak kesudahan cter nih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kesudahan cerita hanya ada dlm versi cetak. Di blog akan dipaparkan beberapa bab sahaja lg.

      Delete
  8. Nin sukaaaaaaaa sgttttttttt2
    Best nyerrrrrrrrrr

    ~Nin~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Nin krn sudi beri sokong pd karya akak yg tak seberapa ni

      Delete
  9. Mrk dah jumpa...
    best3x.
    Senyum je bc bab ni...

    ReplyDelete
  10. Ini bukan kahwin paksa kan...
    Tapi memaksa.. keh.. keh.. keh...
    Suka sgt2 bila akak lari dr tema kawin paksa.
    Cter pun best.

    ReplyDelete
  11. hati dh tertarik. Tak blh nak tunggu lg.

    ReplyDelete