Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 28 February 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 8

Bab  8


SALMIHA HAINI bangun awal pagi ini. Dia ingin mencuba resipi terbarunya. Begitulah keadaan dirinya jika tidak ke mana-mana atau membantu Sofea di Nur Kasih. Lagipun dia memang suka mencuba resipi yang baharu dan terkini. Sedap tak sedap itu belakang kira. Asalkan hajatnya hendak mencuba resipi tersebut tertunai. Selalunya apa yang dimasaknya masih boleh ditelan walaupun tidak sesedap masakan chef terkenal. Boleh masuk rancangan MasterChef Malaysia musim 3 ni.
“Hoi… cik kak! Kau buat apa tu?” Tegur Sofea sambil membuka peti sejuk. Kotak Sunkist dikeluarkan. Jus epal dituang ke dalam gelas dan diteguk perlahan-lahan. Hidungnya juga bergerak-gerak mencium bau masakan Salmiha Haini.
 “Tengah main pondok-pondok,” balas Salmiha Haini selamba. Tergelak kecil dia melihat roman tidak puas hati Sofea.
“Kau ni… seriuslah sikit! Suka sangat kenakan aku.” Sofea merungut. Nada rajuk mula kedengaran.
“Nak cuba buat nasi dagang. Tekak aku ni tiba-tiba aje terasa hendak makan,” ujar Salmiha Haini sambil mengacau perlahan gulai ikan tongkol yang sedang mereneh. “Dulu masa belajar, kau ingat tak kita selalu makan nasi dagang ni?” Sambung Salmiha Haini seraya menoleh sekilas.
Sofea pantas mengangguk kepalanya.
“Mana boleh lupa. Makanan kegemaran aku tu,” ujar Sofea teruja. Bagaikan tidak sabar dia hendak merasa air tangan Salmiha Haini yang pertama kali itu. Harap-haraplah boleh tahan rasanya walaupun tidak sesedap tukang masak dari Terengganu atau Kelantan. “Dari mana kau belajar?”
“Aku google aje cari resipinya.”
Oiit... boleh dipercayai ke resipi-resipi dalam internet tu? Manalah tahu ada bahan-bahan yang tidak cukup dan lengkap. Biasanya resipi yang mereka bagi bukannya boleh pakai sangat. Ada sahaja yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan,” kompelin Sofea.
“Kita tawakal ajelah. Tapi kalau kau nak resipi yang betul-betul pure dari Pantai Timur, tunggu aku kahwin dengan orang sana,” seloroh Salmiha Haini.
“Okey juga tu! Kau pun bukannya ada pakwe lagi. Apa kata kau iklan dalam surat khabar atau kat FB, kata kau nak cari calon suami dari sana. Manalah tahu ada yang tersangkut. Kau pun tak kurang cantiknya. Mesti ramai yang berkenan nak buat calon isteri.” Sofea membalas kembali usikan temannya.
“Tak ada maknanya!” Salmiha Haini menjeling kawan rapatnya itu.
“Lambat lagi ke?” Sofea bertanya tidak sabar. Tekaknya sudah teringin benar hendak menikmati nasi dagang tersebut.
“Tunggu kuah ni aje. Nasinya aku dah siap kukus.”
“Wah… dah hampir siap! Pukul berapa kau bangun?”
“Aku bangun pukul tiga pagi, kenapa?”
“Awalnya bangun! Kenapa tak kejut aku? Boleh aku tolong.”
“Tak apalah. Bukan susah sangat kerjanya. Lagipun aku kasihan kat kau. Aku ni tak kerja, tapi kau… seharian dekat nurseri jaga budak-budak. Tentu kau dah lepak.”
“Untungnya aku kerana punya teman baik seperti kau,” ujar Sofea.
Salmiha Haini membalas dengan senyuman. Setelah gulainya siap dimasak, api dapur ditutup dan dia memulakan kerja-kerja menghidang. Sebentar lagi temannya itu hendak ke tempat kerja.
“Eh… kau dah mandi ke belum?” Tegur Salmiha Haini sambil melihat jam. Temannya itu masih lagi duduk santai di meja makan dengan baju tidur masih tersarung di tubuh.
Sofea menarik sengih. Dia bangun dan menghampiri Salmiha Haini.
 “Cuba kau tengok jam tu dah pukul berapa?” Salmiha Haini memuncungkan mulutnya ke arah jam yang elok tergantung di dinding dapur. Di rumah Sofea ini boleh dikatakan setiap ceruk pasti akan tergantung jam dinding. Tetapi dia tidak pastilah sama ada temannya itu mematuhi masa ataupun tidak.
“Relakslah,” balas Sofea sambil memeluk mesra bahu Salmiha Haini.
“Amboi… mentang-mentanglah awak tu bos! Sesuka hati dia aje nak masuk kerja lambat!” Tempelak Salmiha Haini.
“Aku bukannya suka-suka nak masuk lambat. Tapi kalau aku pergi, budak yang hendak dijaga tak ada, buat apa?” Sofea mengusik temannya itu.
Salmiha Haini memandang wajah teman baiknya itu. Dahinya sedikit berkerut. Dia tidak faham apa yang cuba temannya itu sampaikan.
Sofea ketawa kelucuan. Kasihan pula dia melihat tampang muka Salmiha Haini yang terpinga-pinga itu.
“Hari ini, Johor cutilah.” Bahu temannya ditolak sedikit.
“Apa fasal kau tak cakap semalam? Tak perlulah aku tergesa-gesa bangun awal pagi nak sediakan sarapan untuk kau. Ini dah macam orang nak buka kedai makan aje lagaknya bangun sebelum Subuh,” rungut Salmiha Haini. Bahu temannya ditepuk geram.
“Habis tu kau tak tanya!” Sofea membalas balik.
Salmiha Haini menjeling geram. Ringan saja dia hendak membelasah sahabat baiknya itu. Namun disabarkan hatinya. Sudahlah orang bagi menumpang, tak akan hendak tunjuk besar kepala pula. Buatnya Sofea halau dia keluar, entah ke mana dia hendak tinggal menyewa.
“Eh, Miha! Kejap lagi kita keluar nak? Cuci-cuci mata.”
Emmm... bagus juga idea kau tu. Tapi kita nak ke mana?”
“Mana-mana ajelah, asalkan boleh lepaskan tension.”
“Aku ikut aje asalkan kau yang drive. Aku manalah mahir sangat jalan-jalan kat sini.”
“Itu bisa diatur deh! Nona manis hanya perlu duduk diam-diam di sebelah. Cik supir akan bawa ke mana sahaja nona manis mahu pergi.” Sofea tersengih sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya.
Salmiha Haini tergelak dengan tingkah Sofea. Temannya itu memang tidak kering idea hendak buat dia tergelak dan ketawa.
  

DUA BERSAHABAT itu memandang sesama sendiri apabila SLK55 AMG berhenti di hadapan pintu pagar rumah mereka. Sebaik sahaja si empunya kereta tersebut keluar, mulut Sofea mahupun Salmiha Haini terlopong. Amboi... nak tayang kereta baharu ke?!
            “Kereta baru nampak?” Sofea menegur sambil merapati Imran Ajmal. Tertarik dia dengan reka bentuk dan warna kereta tersebut. Nampak mewah dan sangat menarik di matanya. Apatah lagi dia memang fanatik dengan warna silver.
            Salmiha Haini sekadar memerhati. Langsung tidak teruja dengan kemewahan dan kekayaan yang dimiliki oleh Imran Ajmal. Lelaki itu menukar kereta laksana menukar baju. Ah... bukan kereta aje yang kerap bertukar, teman wanitanya pun apa kurangnya?!
Astaghfirullahaladzim... apa yang aku merapu ni? Ini kes cemburu ke apa ni? Cemburu?! Cemburu tentang apa? Makwe atau kekayaan yang dia miliki? Hesy... dua-dua perkara tu langsung tak ada dalam hati dan minda aku, getus Salmiha Haini. Dia membalas senyuman Imran Ajmal yang sedari tadi tersenyum bak gula tumpah sekapal. Manis sangat-sangat!
            “Ini bersiap cantik-cantik nak ke mana ni?” Imran Ajmal menyoal sebaik sahaja senyumannya berbalas. Terlupa dia tentang perkara yang dibangkitkan oleh Sofea.
            “Nak keluar,” balas Sofea. “Bila beli kereta ni?” Jemarinya menyentuh permukaan bumbung kereta.
            “Minggu lepas.” Imran Ajmal bersuara. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari merenung Salmiha Haini. Dia sendiri tidak mengerti akan hatinya. Entah mengapa sepanjang pagi tadi hatinya resah gelisah dan meronta-ronta agar dia berlari mendapatkan Salmiha Haini. Sedangkan baru kelmarin mereka bertemu mata. Nak kata dia jatuh cinta?! Tidak! Dia yakin akan hal itu. Tapi... entahlah! Sukar untuk dimengertikan...
Sofea angguk mengerti. Dia meneroka ke segenap pelosok kereta tersebut. Entah kenapa dia berminat benar dengan kereta yang satu ini berbanding koleksi kereta Imran Ajmal yang lain.
“Nak pergi mana ni?” Imran Ajmal bertanya kembali.
“Fea ajak pergi Tesco Seri Alam.” Salmiha Haini bersuara apabila Sofea dilihatnya seperti orang jakun membelek satu persatu kompenan yang terdapat pada kereta Imran Ajmal. Pelik sungguh! Porsche Imran Ajmal takde pulak Si Sofea belek beria-ia macam ni. Atau mungkin begini juga cara Sofea, cuma dia yang tidak tahu.
            “Marilah Im hantar.”
            “Hah?!” Terkejut Salmiha Haini beberapa saat. “Mana muat.” Itu adalah kenyataannya. Kereta Imran Ajmal hanya mampu memuatkan dua orang penumpang. Biasalah... lelaki bujang! Mana mahu kereta yang besar gedabak. Kalau boleh nak satu tempat duduk sahaja. Dan si kekasih duduk bertenggek di atas riba sepanjang perjalanan. Astaghfirullahaladzim... Salmiha Haini! Tak boleh ke kau bersangka baik?!
            “Muat! Fea, kita tinggallah.” Imran Ajmal pandang Sofea seketika. Sepupunya itu masih ralit meneliti keretanya. “Nak buat apa ke sana? Beli barang dapur?”
            “Eh, taklah! Nak cuci-cuci mata je.”
            “Cuci mata?! Apa yang bestnya kat Tesco tu? Jomlah, Im bawa ronda JB. Tak pun kita pergi Singapore.” Imran Ajmal memujuk. Laku dia ‘jual minyak’ hari ni, bolehlah berkepit dengan Salmiha Haini. Memang tujuan utama kedatangannya ke Pasir Gudang hendak mengajak Salmiha Haini keluar.
            Gila nak pergi Singapura! Dengan dia aje pulak tu. Kalau ada Sofea takpelah jugak. Lagipun baharu lagi mereka keluar bersama. Nak keluar lagi? Hilang akal agaknya Imran Ajmal ni?
            “Eh, takpelah! Lagipun dah janji dengan Fea nak cuci mata sama-sama hari ni.” Salmiha Haini menolak dengan baik. Bimbang dia tiba-tiba kena ganyang dengan kekasih-kekasih Imran Ajmal. Tak fasal-fasal lebam-lebam tubuh badannya.
            “Fea... Im nak ajak Miha keluar dengan Im hari ni boleh tak?” Gagal memujuk yang empunya diri, ada baiknya dia bertanyakan sepupunya pula. Manalah tahu Sofea mampu menjadi orang tengah. Dia sama sekali tidak akan lelah untuk mencuba dan memujuk.
Sofea berpaling apabila namanya diseru.
“Keluar? Ke mana? Habis tu Fea?” Sofea luah rasa tidak puas hatinya. Dia yakin yang dirinya bakal ditinggalkan.
“Fea duduk rumah la. Fea kan dah biasa dengan Bandaraya Johor Bahru,” luah Imran Ajmal kurang senang.
Mencuka Sofea mendengar kata-kata Imran Ajmal. Mana mungkin dia nak tinggal. Masa cuti inilah dia nak bersuka ria dan bergembira. Biasa tak biasa, itu belakang cerita. Tambahan pula... bila lagi dia nak melaram naik kereta baharu Imran Ajmal?!
“Mana boleh!”
Sofea...., gerutu Imran Ajmal dalam hatinya. Geram betul dia bila Sofea berkelakuan seperti anak kecil. Mereka kan dah kerap bersama. Bagi canlah kat dia pulak untuk kenal rapat dengan Salmiha Haini.
Salmiha Haini geleng kepala melihat gelagat dua orang bersepupu itu. Muka Imran Ajmal yang menahan geram dipandang penuh minat. Dalam keadaan marah pun masih kekal tampan di matanya. Erk?!
Imran Ajmal menghampiri Sofea.
“Bagilah Im keluar dengan Miha. Fea keluarlah dengan Muaz,” bisik Imran Ajmal memujuk. Dia tidak mahu perbualan antara dia dan Sofea didengari Salmiha Haini.
Sofea geleng kepala tanda enggan berkompromi.
Imran Ajmal garu kepala. Kalah dengan sikap keras kepala Sofea. Kasihanlah Si Muaz jika Sofea tetap berdegil macam ni bila mereka dah kahwin kelak.
“Im bagi pinjam kereta ni seminggu kalau Fea setuju benarkan Im keluar berdua dengan Miha.” Imran Ajmal membuat tawaran sambil menepuk bumbung keretanya. Dia tahu yang Sofea tertarik dengan keretanya ini.
“Seminggu je? Sebulan atau setahun naklah jugak.” Sofea main tarik tali. Dia sebenarnya sudah teruja dengan tawaran Imran Ajmal. Bolehlah dia melaram dengan kereta sepupunya itu. Sepatutnya Imran Ajmal bagi aje kereta ni kat dia. Lelaki itu kan masih ada lagi beberapa buah kereta mewah yang lain.
Pelik Salmiha Haini melihat keadaan Sofea dan Imran Ajmal. Berbisik-bisik kemudian memandang ke arahnya. Bagaikan ada yang tak kena.
Aduh, banyak pulak cekadak Si Sofea ni!
“Ok, bolehlah.” Akhirnya Imran Ajmal bersetuju.
“Setahun ya...” Sofea bersuara manja. Ingin memujuk la katakan.
“Seminggu je...” Mahu jahanam keretanya nanti. Sofea ni mana reti jaga kereta. Ada karang dia main langgar je.
“Setahun! Kalau tak...” Sofea menggertak.
“Yalah... Yalah...” Imran Ajmal terpaksa bersetuju. Punyalah susah nak bawa Salmiha Haini keluar. Banyak sangat halangannya. “Tapi jaga elok-elok,” pesan Imran Ajmal. “Hari ni Im nak guna dulu. Esok baru Fea pakai kereta ni.”
Sofea angguk kepala tanda faham. Bukan main lagi Imran Ajmal ni, kerana Salmiha Haini sanggup serahkan kereta baharunya. Dia sebenarnya sekadar hendak menguji kesungguhan Imran Ajmal. Ternyata lelaki itu benar-benar tekad dengan kemahuannya. Mungkin ada hikmahnya jika Salmiha Haini dan Imran Ajmal berkawan rapat. Manalah tahu Salmiha Haini boleh mengubah sikap sepupunya dan membawa Imran Ajmal kembali ke pangkal jalan. Dan dia bukanlah materialistik hingga sanggup menggadai maruah sahabat baik semata-mata kepentingan diri sendiri.
            Sofea menghampiri Salmiha Haini.
            “Sorrylah Miha. Hari ni kita tak jadi keluar. Kau keluar dengan Imran ya. Lagipun aku baru teringat yang aku nak jumpa ibu aku hari ni. Ada perkara yang kami nak bincangkan.”
            “Tapi...” Salmiha Haini ingin menolak.
            “Miha keluar dengan Im ya. Boleh bantu Im cari pakaian pejabat yang sesuai.” Imran Ajmal tidak berputus asa memujuk. Jika tidak, sia-sia sahaja kedatangannya.
Hesy... Sofea dan Imran Ajmal ni, mengada-adalah! Getus Salmiha Haini geram. Entah apalah yang disogokkan oleh Imran Ajmal hingga sanggup rakannya itu menukar rancangan mereka.


IMRAN AJMAL memandang sekilas Salmiha Haini di sisinya. Puas memujuk dan merayu, barulah Salmiha Haini sudi keluar dengannya. Itu pun mujur juga Sofea menerima panggilan dari Muaz. Lelaki itu mahu mengajak Sofea menemaninya melawat rakan kerja yang sakit. Jika tidak, sampai sudah Salmiha Haini enggan. Dia amat berterima kasih dengan Muaz.
“Kenapa diam aje ni?”
            “Hah?!...” Wajah Imran Ajmal, Salmiha Haini pandang beberapa saat sebelum memandang kembali ke harapan.
            “Kenapa diam aje sejak tadi? Tak sudi keluar dengan Im? Atau Im terlalu memaksa?” Imran Ajmal melirik seketika sebelum menumpukan kembali pemanduannya.
“Tiada isu yang hendak dibualkan.” Salmiha Haini berdalih. Dia tidak mahu Imran Ajmal terasa hati dengan sikapnya yang dingin walaupun sememangnya dia tidak sanggup hendak menemani lelaki itu keluar. “Errr... Im nak pergi mana sebenarnya ni?” Terasa lama benar dia berada di dalam kereta.
“JPO.”
“JPO?”
“Johor Premium Outlet.”
“Oh...”
“Miha ada nak pergi mana-mana?”
“Maksud Im?”
“Yalah... selepas temankan Im pilih baju, Miha ada teringin nak pergi ke tempat lain tak?” Imran Ajmal sebenarnya tidak pernah membeli barang keperluannya di situ. Dia sekadar mahu berlama dengan Salmiha Haini. Tapi tak akanlah dia hendak tawaf JPO sampai empat lima jam. Mahu lenguh kaki berjalan tanpa arah tujuan.
“Rasanya tak ada kut.” Salmiha Haini jika boleh mahu segera pulang selepas barang yang Imran Ajmal inginkan ditemui.
“Apa kata lepas kita beli baju, kita pergi makan dan tengok wayang? Atau Miha nak pergi Legoland?”
Salmiha Haini semakin gusar dengan idea-idea Imran Ajmal. Jika ada Sofea lainlah. Ini mereka berdua sahaja.
“Kalau kita terus balik, tak boleh ke?” Salmiha Haini sekadar mencuba nasib walaupun dia tahu Imran Ajmal tak mungkin menuruti kemahuannya.
“Awalnya nak balik? Fea bukannya ada kat rumah pun kalau Miha balik awal.”
Aduh, ada aje alasannya!
Emmm... bolehlah kalau setakat pergi makan. Tengok wayang dan Legoland tu, lain kali ajelah kita pergi. Kita pergi dengan Sofea dan Muaz, baru seronok.” Salmiha Haini memang mahu mengelak keluar berdua-duaan dengan Imran Ajmal.
            Imran Ajmal tersenyum senang. Dia pun bukannya hendak sangat tengok wayang. Bukan boleh pandang wajah Salmiha Haini dalam panggung. Suram! Pergi Legoland lagilah tak masuk akal. Tempat itu hanya sesuai untuk yang dah berkeluarga.
            “Baiklah! Lepas beli baju, kita pergi makan. Miha suka makanan laut, kan?” Info tentang Salmiha Haini banyak dia tahu dari ibunya. Dari mana ibunya tahu, dia kurang pasti. Kemungkinan besar dari Sofea. Atau mungkin, ibunya risik sendiri. Maklumlah ibunya kan dah terlalu berkenan dengan kawan baik Sofea ini. Cuma dia yang sering mengelak bila diajak berbicara tentang gadis di sebelahnya ini.
            Salmiha Haini angguk kepala. Memang dia gemar dengan makanan laut. Terutama sekali udang dan ketam.
“Im nak bawa Miha ke satu tempat yang special. Tapi jauhlah sikit dari sini.”
Jauh?! Jantung Salmiha Haini sudah dup dap... dup dap... Matilah dia kalau Imran Ajmal hantar balik lewat! Mahu jadi buah mulut jiran tetangga nanti.
“Kat mana tempatnya?” Pantas sahaja Salmiha Haini bertanya.
            “Amboi, cuaknya muka!” Tergelak Imran Ajmal melihat air muka Salmiha Haini yang sedikit berubah. Takut sangat orang angkut dia pergi jauh-jauh.
            Ceh, disindirnya aku!
“Kita pergi Kukup, ajelah. Tak akanlah Im nak bawa Miha pergi jauh-jauh. Mahu kena leter dengan Si Sofea bila Im hantar Miha balik jauh malam. Im janji... sebelum pukul sepuluh malam, Miha dah ada kat rumah.”
            Salmiha Haini menghela nafas lega. Walaupun dia tidak tahu di mana letaknya Kukup, tetapi dia pegang kata-kata Imran Ajmal. Ya... mana mungkin lelaki itu boleh membawanya pergi jauh-jauh sesuka hati, mahu seminggu Imran Ajmal mendengar Sofea mengomel.
            “Mana ada cuak.” Salmiha Haini menafikan. “Miha cuma takut kita balik lewat je. Esok kan Im nak kerja. Nanti tak cukup rehat pulak. Ada karang tertidur kat ofis.” Salmiha Haini tersengih dengan kata-katanya. Alasan kau tu tak boleh pakai la Salmiha Haini.... Dia kan dah terbiasa balik lewat malam.
            Imran Ajmal tergelak kecil. Ada sahaja idea gadis itu hendak membalas balik kata-katanya. Dia tahu Salmiha Haini tidak selesa dan tidak betah keluar dengannya apatah lagi hingga lewat malam. Dia juga tahu akan batas-batasnya ketika keluar bersama Salmiha Haini. Gadis itu bukan seperti Maria atau Hana atau gadis-gadis lain yang biasa diangkut keluar. Salmiha Haini gadis yang senantiasa menjaga maruah dan kehormatan diri. Dia tidak akan sekali-kali mencemarkan kepercayaan Salmiha Haini terhadapnya.



18 comments:

  1. Makin teruja nak tahu bab seterusnya. smbg lg ya

    ReplyDelete
  2. Hari2 ada n3 baru seronoknya.
    Baru hilang rindu.

    ReplyDelete
  3. Ada pengacau.
    Salmiha jgn layan playboy tu okeh.
    Best. best. best.
    Esok ada lg tak kak

    ~Nin~

    ReplyDelete
  4. Menarik sgt2.
    Tak sbr nak tunggu smbgan lg.

    ReplyDelete
  5. smbg lg Kak DD
    lmbt btl nak peluk SACA.

    ReplyDelete
  6. Imran Ajmal jatuh hati kat Salmiha Haini.
    Tp sorry yaaa. Salmiha Haini, Shahrul Hairi yg punya.
    Tak sabar nak tunggu mrk jumpa blk.
    Kak DD mcm biasakan citer yg sweet.

    ReplyDelete
  7. Watak Salmiha benar2 mencuri hati sy
    lmbt lg ke nak terbit

    ReplyDelete
  8. Pastikah akan ada perebutan antara dua hati?
    Antara Shahrul Hairi n Imran Ajmal siapa pilihan hati Salmiha Haini?
    Berdebar2 nak tahu babak selanjutnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak tahu kena baca dlm versi cetak. hehehe...

      Delete
  9. Idea yg menarik.
    Best.

    ReplyDelete