Bab
8
SALMIHA
HAINI bangun awal pagi ini. Dia
ingin mencuba resipi terbarunya. Begitulah keadaan dirinya jika tidak ke
mana-mana atau membantu Sofea di Nur Kasih. Lagipun dia memang suka mencuba
resipi yang baharu dan terkini. Sedap tak sedap itu belakang kira. Asalkan hajatnya
hendak mencuba resipi tersebut tertunai. Selalunya apa yang dimasaknya masih
boleh ditelan walaupun tidak sesedap masakan chef terkenal. Boleh masuk
rancangan MasterChef Malaysia musim 3 ni.
“Hoi…
cik kak! Kau buat apa tu?” Tegur Sofea sambil membuka peti sejuk. Kotak Sunkist
dikeluarkan. Jus epal dituang ke dalam gelas dan diteguk perlahan-lahan.
Hidungnya juga bergerak-gerak mencium bau masakan Salmiha Haini.
“Tengah main pondok-pondok,” balas Salmiha
Haini selamba. Tergelak kecil dia melihat roman tidak puas hati Sofea.
“Kau
ni… seriuslah sikit! Suka sangat kenakan aku.” Sofea merungut. Nada rajuk mula
kedengaran.
“Nak
cuba buat nasi dagang. Tekak aku ni tiba-tiba aje terasa hendak makan,” ujar
Salmiha Haini sambil mengacau perlahan gulai ikan tongkol yang sedang mereneh.
“Dulu masa belajar, kau ingat tak kita selalu makan nasi dagang ni?” Sambung
Salmiha Haini seraya menoleh sekilas.
Sofea
pantas mengangguk kepalanya.
“Mana
boleh lupa. Makanan kegemaran aku tu,” ujar Sofea teruja. Bagaikan tidak sabar
dia hendak merasa air tangan Salmiha Haini yang pertama kali itu.
Harap-haraplah boleh tahan rasanya walaupun tidak sesedap tukang masak dari
Terengganu atau Kelantan. “Dari mana kau belajar?”
“Aku
google aje cari resipinya.”
“Oiit... boleh dipercayai ke
resipi-resipi dalam internet tu? Manalah tahu ada bahan-bahan yang tidak cukup
dan lengkap. Biasanya resipi yang mereka bagi bukannya boleh pakai sangat. Ada
sahaja yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan,” kompelin Sofea.
“Kita
tawakal ajelah. Tapi kalau kau nak resipi yang betul-betul pure dari Pantai Timur, tunggu aku kahwin dengan orang sana,”
seloroh Salmiha Haini.
“Okey
juga tu! Kau pun bukannya ada pakwe lagi. Apa kata kau iklan dalam surat khabar
atau kat FB, kata kau nak cari calon suami dari sana. Manalah tahu ada yang
tersangkut. Kau pun tak kurang cantiknya. Mesti ramai yang berkenan nak buat
calon isteri.” Sofea membalas kembali usikan temannya.
“Tak
ada maknanya!” Salmiha Haini menjeling kawan rapatnya itu.
“Lambat
lagi ke?” Sofea bertanya tidak sabar. Tekaknya sudah teringin benar hendak
menikmati nasi dagang tersebut.
“Tunggu
kuah ni aje. Nasinya aku dah siap kukus.”
“Wah…
dah hampir siap! Pukul berapa kau bangun?”
“Aku
bangun pukul tiga pagi, kenapa?”
“Awalnya
bangun! Kenapa tak kejut aku? Boleh aku tolong.”
“Tak
apalah. Bukan susah sangat kerjanya. Lagipun aku kasihan kat kau. Aku ni tak
kerja, tapi kau… seharian dekat nurseri jaga
budak-budak. Tentu kau dah lepak.”
“Untungnya
aku kerana punya teman baik seperti kau,” ujar Sofea.
Salmiha
Haini membalas dengan senyuman. Setelah gulainya siap dimasak, api dapur
ditutup dan dia memulakan kerja-kerja menghidang. Sebentar lagi temannya itu
hendak ke tempat kerja.
“Eh…
kau dah mandi ke belum?” Tegur Salmiha Haini sambil melihat jam. Temannya itu
masih lagi duduk santai di meja makan dengan baju tidur masih tersarung di
tubuh.
Sofea
menarik sengih. Dia bangun dan menghampiri Salmiha Haini.
“Cuba kau tengok jam tu dah pukul berapa?”
Salmiha Haini memuncungkan mulutnya ke arah jam yang elok tergantung di dinding
dapur. Di rumah Sofea ini boleh dikatakan setiap ceruk pasti akan tergantung
jam dinding. Tetapi dia tidak pastilah sama ada temannya itu mematuhi masa
ataupun tidak.
“Relakslah,”
balas Sofea sambil memeluk mesra bahu Salmiha Haini.
“Amboi…
mentang-mentanglah awak tu bos! Sesuka hati dia aje nak masuk kerja lambat!”
Tempelak Salmiha Haini.
“Aku
bukannya suka-suka nak masuk lambat. Tapi kalau aku pergi, budak yang hendak
dijaga tak ada, buat apa?” Sofea mengusik temannya itu.
Salmiha
Haini memandang wajah teman baiknya itu. Dahinya sedikit berkerut. Dia tidak
faham apa yang cuba temannya itu sampaikan.
Sofea
ketawa kelucuan. Kasihan pula dia melihat tampang muka Salmiha Haini yang
terpinga-pinga itu.
“Hari
ini, Johor cutilah.” Bahu temannya ditolak sedikit.
“Apa
fasal kau tak cakap semalam? Tak perlulah aku tergesa-gesa bangun awal pagi nak
sediakan sarapan untuk kau. Ini dah macam orang nak buka kedai makan aje
lagaknya bangun sebelum Subuh,” rungut Salmiha Haini. Bahu temannya ditepuk
geram.
“Habis
tu kau tak tanya!” Sofea membalas balik.
Salmiha
Haini menjeling geram. Ringan saja dia hendak membelasah sahabat baiknya itu.
Namun disabarkan hatinya. Sudahlah orang bagi menumpang, tak akan hendak tunjuk
besar kepala pula. Buatnya Sofea halau dia keluar, entah ke mana dia hendak
tinggal menyewa.
“Eh,
Miha! Kejap lagi kita keluar nak? Cuci-cuci mata.”
“Emmm... bagus juga idea kau tu. Tapi
kita nak ke mana?”
“Mana-mana
ajelah, asalkan boleh lepaskan tension.”
“Aku
ikut aje asalkan kau yang drive. Aku
manalah mahir sangat jalan-jalan kat sini.”
“Itu
bisa diatur deh! Nona manis hanya
perlu duduk diam-diam di sebelah. Cik supir akan bawa ke mana sahaja nona manis
mahu pergi.” Sofea tersengih sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya.
Salmiha
Haini tergelak dengan tingkah Sofea. Temannya itu memang tidak kering idea
hendak buat dia tergelak dan ketawa.
DUA BERSAHABAT
itu memandang sesama sendiri apabila SLK55 AMG berhenti di hadapan pintu
pagar rumah mereka. Sebaik sahaja si empunya kereta tersebut keluar, mulut
Sofea mahupun Salmiha Haini terlopong. Amboi... nak tayang kereta baharu ke?!
“Kereta baru nampak?” Sofea menegur
sambil merapati Imran Ajmal. Tertarik dia dengan reka bentuk dan warna kereta
tersebut. Nampak mewah dan sangat menarik di matanya. Apatah lagi dia memang
fanatik dengan warna silver.
Salmiha Haini sekadar memerhati.
Langsung tidak teruja dengan kemewahan dan kekayaan yang dimiliki oleh Imran
Ajmal. Lelaki itu menukar kereta laksana menukar baju. Ah... bukan kereta aje
yang kerap bertukar, teman wanitanya pun apa kurangnya?!
Astaghfirullahaladzim... apa yang aku merapu ni? Ini
kes cemburu ke apa ni? Cemburu?! Cemburu tentang apa? Makwe atau kekayaan yang
dia miliki? Hesy... dua-dua perkara tu langsung tak ada dalam hati dan minda
aku, getus Salmiha Haini. Dia membalas senyuman Imran Ajmal yang sedari tadi
tersenyum bak gula tumpah sekapal. Manis sangat-sangat!
“Ini bersiap cantik-cantik nak ke
mana ni?” Imran Ajmal menyoal sebaik sahaja senyumannya berbalas. Terlupa dia
tentang perkara yang dibangkitkan oleh Sofea.
“Nak keluar,” balas Sofea. “Bila
beli kereta ni?” Jemarinya menyentuh permukaan bumbung kereta.
“Minggu lepas.” Imran Ajmal
bersuara. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari merenung Salmiha Haini. Dia sendiri tidak mengerti
akan hatinya. Entah mengapa sepanjang pagi tadi hatinya resah gelisah dan
meronta-ronta agar dia berlari mendapatkan Salmiha Haini. Sedangkan baru
kelmarin mereka bertemu mata. Nak kata dia jatuh cinta?! Tidak! Dia yakin akan
hal itu. Tapi... entahlah! Sukar untuk dimengertikan...
Sofea
angguk mengerti. Dia meneroka ke segenap pelosok kereta tersebut. Entah kenapa
dia berminat benar dengan kereta yang satu ini berbanding koleksi kereta Imran
Ajmal yang lain.
“Nak
pergi mana ni?” Imran Ajmal bertanya kembali.
“Fea
ajak pergi Tesco Seri Alam.” Salmiha Haini bersuara apabila Sofea dilihatnya
seperti orang jakun membelek satu persatu kompenan yang terdapat pada kereta
Imran Ajmal. Pelik sungguh! Porsche Imran Ajmal takde pulak Si Sofea belek
beria-ia macam ni. Atau mungkin begini juga cara Sofea, cuma dia yang tidak
tahu.
“Marilah Im hantar.”
“Hah?!” Terkejut Salmiha Haini
beberapa saat. “Mana muat.” Itu adalah kenyataannya. Kereta Imran Ajmal hanya
mampu memuatkan dua orang penumpang. Biasalah... lelaki bujang! Mana mahu
kereta yang besar gedabak. Kalau boleh nak satu tempat duduk sahaja. Dan si
kekasih duduk bertenggek di atas riba sepanjang perjalanan. Astaghfirullahaladzim...
Salmiha Haini! Tak boleh ke kau bersangka baik?!
“Muat!
Fea, kita tinggallah.” Imran Ajmal pandang Sofea seketika. Sepupunya itu masih
ralit meneliti keretanya. “Nak buat apa ke sana? Beli barang dapur?”
“Eh,
taklah! Nak cuci-cuci mata je.”
“Cuci
mata?! Apa yang bestnya kat Tesco tu? Jomlah, Im bawa ronda JB. Tak pun kita
pergi Singapore.” Imran Ajmal memujuk. Laku dia ‘jual minyak’ hari ni, bolehlah
berkepit dengan Salmiha Haini. Memang tujuan utama kedatangannya ke Pasir
Gudang hendak mengajak Salmiha Haini keluar.
Gila
nak pergi Singapura! Dengan dia aje pulak tu. Kalau ada Sofea takpelah jugak.
Lagipun baharu lagi mereka keluar bersama. Nak keluar lagi? Hilang akal agaknya
Imran Ajmal ni?
“Eh,
takpelah! Lagipun dah janji dengan Fea nak cuci mata sama-sama hari ni.”
Salmiha Haini menolak dengan baik. Bimbang dia tiba-tiba kena ganyang dengan
kekasih-kekasih Imran Ajmal. Tak fasal-fasal lebam-lebam tubuh badannya.
“Fea...
Im nak ajak Miha keluar dengan Im hari ni boleh tak?” Gagal memujuk yang
empunya diri, ada baiknya dia bertanyakan sepupunya pula. Manalah tahu Sofea
mampu menjadi orang tengah. Dia sama sekali tidak akan lelah untuk mencuba dan
memujuk.
Sofea berpaling apabila namanya diseru.
“Keluar? Ke mana? Habis tu Fea?” Sofea luah rasa
tidak puas hatinya. Dia yakin yang dirinya bakal ditinggalkan.
“Fea duduk rumah la. Fea kan dah biasa dengan
Bandaraya Johor Bahru,” luah Imran Ajmal kurang senang.
Mencuka Sofea mendengar kata-kata Imran Ajmal. Mana
mungkin dia nak tinggal. Masa cuti inilah dia nak bersuka ria dan bergembira.
Biasa tak biasa, itu belakang cerita. Tambahan pula... bila lagi dia nak
melaram naik kereta baharu Imran Ajmal?!
“Mana boleh!”
Sofea...., gerutu Imran Ajmal dalam hatinya. Geram
betul dia bila Sofea berkelakuan seperti anak kecil. Mereka kan dah kerap
bersama. Bagi canlah kat dia pulak untuk kenal rapat dengan Salmiha Haini.
Salmiha Haini geleng kepala melihat gelagat dua
orang bersepupu itu. Muka Imran Ajmal yang menahan geram dipandang penuh minat.
Dalam keadaan marah pun masih kekal tampan di matanya. Erk?!
Imran Ajmal menghampiri Sofea.
“Bagilah Im keluar dengan Miha. Fea keluarlah dengan
Muaz,” bisik Imran Ajmal memujuk. Dia tidak mahu perbualan antara dia dan Sofea
didengari Salmiha Haini.
Sofea geleng kepala tanda enggan berkompromi.
Imran Ajmal garu kepala. Kalah dengan sikap keras
kepala Sofea. Kasihanlah Si Muaz jika Sofea tetap berdegil macam ni bila mereka
dah kahwin kelak.
“Im bagi pinjam kereta ni seminggu kalau Fea setuju
benarkan Im keluar berdua dengan Miha.” Imran Ajmal membuat tawaran sambil
menepuk bumbung keretanya. Dia tahu yang Sofea tertarik dengan keretanya ini.
“Seminggu je? Sebulan atau setahun naklah jugak.”
Sofea main tarik tali. Dia sebenarnya sudah teruja dengan tawaran Imran Ajmal.
Bolehlah dia melaram dengan kereta sepupunya itu. Sepatutnya Imran Ajmal bagi
aje kereta ni kat dia. Lelaki itu kan masih ada lagi beberapa buah kereta mewah
yang lain.
Pelik Salmiha Haini melihat keadaan Sofea dan Imran
Ajmal. Berbisik-bisik kemudian memandang ke arahnya. Bagaikan ada yang tak
kena.
Aduh, banyak pulak cekadak Si Sofea ni!
“Ok, bolehlah.” Akhirnya Imran Ajmal bersetuju.
“Setahun ya...” Sofea bersuara manja. Ingin memujuk
la katakan.
“Seminggu je...” Mahu jahanam keretanya nanti. Sofea
ni mana reti jaga kereta. Ada karang dia main langgar je.
“Setahun! Kalau tak...” Sofea menggertak.
“Yalah... Yalah...” Imran Ajmal terpaksa bersetuju.
Punyalah susah nak bawa Salmiha Haini keluar. Banyak sangat halangannya. “Tapi
jaga elok-elok,” pesan Imran Ajmal. “Hari ni Im nak guna dulu. Esok baru Fea
pakai kereta ni.”
Sofea angguk kepala tanda faham. Bukan main lagi
Imran Ajmal ni, kerana Salmiha Haini sanggup serahkan kereta baharunya. Dia
sebenarnya sekadar hendak menguji kesungguhan Imran Ajmal. Ternyata lelaki itu
benar-benar tekad dengan kemahuannya. Mungkin ada hikmahnya jika Salmiha Haini
dan Imran Ajmal berkawan rapat. Manalah tahu Salmiha Haini boleh mengubah sikap
sepupunya dan membawa Imran Ajmal kembali ke pangkal jalan. Dan dia bukanlah
materialistik hingga sanggup menggadai maruah sahabat baik semata-mata
kepentingan diri sendiri.
Sofea
menghampiri Salmiha Haini.
“Sorrylah
Miha. Hari ni kita tak jadi keluar. Kau keluar dengan Imran ya. Lagipun aku
baru teringat yang aku nak jumpa ibu aku hari ni. Ada perkara yang kami nak
bincangkan.”
“Tapi...”
Salmiha Haini ingin menolak.
“Miha
keluar dengan Im ya. Boleh bantu Im cari pakaian pejabat yang sesuai.” Imran
Ajmal tidak berputus asa memujuk. Jika tidak, sia-sia sahaja kedatangannya.
Hesy... Sofea dan Imran Ajmal ni, mengada-adalah!
Getus Salmiha Haini geram. Entah apalah yang disogokkan oleh Imran Ajmal hingga
sanggup rakannya itu menukar rancangan mereka.
IMRAN AJMAL
memandang sekilas Salmiha Haini di sisinya. Puas memujuk dan merayu, barulah
Salmiha Haini sudi keluar dengannya. Itu pun mujur juga Sofea menerima
panggilan dari Muaz. Lelaki itu mahu mengajak Sofea menemaninya melawat rakan
kerja yang sakit. Jika tidak, sampai sudah Salmiha Haini enggan. Dia amat
berterima kasih dengan Muaz.
“Kenapa
diam aje ni?”
“Hah?!...” Wajah Imran Ajmal,
Salmiha Haini pandang beberapa saat sebelum memandang kembali ke harapan.
“Kenapa diam aje sejak tadi? Tak
sudi keluar dengan Im? Atau Im terlalu memaksa?” Imran Ajmal melirik seketika
sebelum menumpukan kembali pemanduannya.
“Tiada
isu yang hendak dibualkan.” Salmiha Haini berdalih. Dia tidak mahu Imran Ajmal
terasa hati dengan sikapnya yang dingin walaupun sememangnya dia tidak sanggup
hendak menemani lelaki itu keluar. “Errr...
Im nak pergi mana sebenarnya ni?” Terasa lama benar dia berada di dalam kereta.
“JPO.”
“JPO?”
“Johor
Premium Outlet.”
“Oh...”
“Miha
ada nak pergi mana-mana?”
“Maksud
Im?”
“Yalah...
selepas temankan Im pilih baju, Miha ada teringin nak pergi ke tempat lain
tak?” Imran Ajmal sebenarnya tidak pernah membeli barang keperluannya di situ.
Dia sekadar mahu berlama dengan Salmiha Haini. Tapi tak akanlah dia hendak
tawaf JPO sampai empat lima jam. Mahu lenguh kaki berjalan tanpa arah tujuan.
“Rasanya
tak ada kut.” Salmiha Haini jika boleh mahu segera pulang selepas barang yang
Imran Ajmal inginkan ditemui.
“Apa
kata lepas kita beli baju, kita pergi makan dan tengok wayang? Atau Miha nak
pergi Legoland?”
Salmiha
Haini semakin gusar dengan idea-idea Imran Ajmal. Jika ada Sofea lainlah. Ini
mereka berdua sahaja.
“Kalau
kita terus balik, tak boleh ke?” Salmiha Haini sekadar mencuba nasib walaupun
dia tahu Imran Ajmal tak mungkin menuruti kemahuannya.
“Awalnya
nak balik? Fea bukannya ada kat rumah pun kalau Miha balik awal.”
Aduh,
ada aje alasannya!
“Emmm... bolehlah kalau setakat pergi
makan. Tengok wayang dan Legoland tu, lain kali ajelah kita pergi. Kita pergi
dengan Sofea dan Muaz, baru seronok.” Salmiha Haini memang mahu mengelak keluar
berdua-duaan dengan Imran Ajmal.
Imran Ajmal tersenyum senang. Dia
pun bukannya hendak sangat tengok wayang. Bukan boleh pandang wajah Salmiha
Haini dalam panggung. Suram! Pergi Legoland lagilah tak masuk akal. Tempat itu
hanya sesuai untuk yang dah berkeluarga.
“Baiklah! Lepas beli baju, kita
pergi makan. Miha suka makanan laut, kan?” Info tentang Salmiha Haini banyak
dia tahu dari ibunya. Dari mana ibunya tahu, dia kurang pasti. Kemungkinan
besar dari Sofea. Atau mungkin, ibunya risik sendiri. Maklumlah ibunya kan dah
terlalu berkenan dengan kawan baik Sofea ini. Cuma dia yang sering mengelak
bila diajak berbicara tentang gadis di sebelahnya ini.
Salmiha Haini angguk kepala. Memang
dia gemar dengan makanan laut. Terutama sekali udang dan ketam.
“Im
nak bawa Miha ke satu tempat yang special.
Tapi jauhlah sikit dari sini.”
Jauh?!
Jantung Salmiha Haini sudah dup dap...
dup dap... Matilah dia kalau Imran
Ajmal hantar balik lewat! Mahu jadi buah mulut jiran tetangga nanti.
“Kat
mana tempatnya?” Pantas sahaja Salmiha Haini bertanya.
“Amboi, cuaknya muka!” Tergelak
Imran Ajmal melihat air muka Salmiha Haini yang sedikit berubah. Takut sangat
orang angkut dia pergi jauh-jauh.
Ceh,
disindirnya aku!
“Kita
pergi Kukup, ajelah. Tak akanlah Im nak bawa Miha pergi jauh-jauh. Mahu kena
leter dengan Si Sofea bila Im hantar Miha balik jauh malam. Im janji... sebelum
pukul sepuluh malam, Miha dah ada kat rumah.”
Salmiha Haini menghela nafas lega.
Walaupun dia tidak tahu di mana letaknya Kukup, tetapi dia pegang kata-kata
Imran Ajmal. Ya... mana mungkin lelaki itu boleh membawanya pergi jauh-jauh
sesuka hati, mahu seminggu Imran Ajmal mendengar Sofea mengomel.
“Mana ada cuak.” Salmiha Haini
menafikan. “Miha cuma takut kita balik lewat je. Esok kan Im nak kerja. Nanti tak cukup rehat pulak. Ada karang tertidur kat ofis.”
Salmiha Haini tersengih dengan kata-katanya. Alasan kau tu tak boleh pakai la
Salmiha Haini.... Dia kan dah terbiasa balik lewat malam.
Imran Ajmal tergelak kecil. Ada
sahaja idea gadis itu hendak membalas balik kata-katanya. Dia tahu Salmiha
Haini tidak selesa dan tidak betah keluar dengannya apatah lagi hingga lewat
malam. Dia juga tahu akan batas-batasnya ketika keluar bersama Salmiha Haini.
Gadis itu bukan seperti Maria atau Hana atau gadis-gadis lain yang biasa
diangkut keluar. Salmiha Haini gadis yang senantiasa menjaga maruah dan
kehormatan diri. Dia tidak akan sekali-kali mencemarkan kepercayaan Salmiha
Haini terhadapnya.
Makin teruja nak tahu bab seterusnya. smbg lg ya
ReplyDeleteInsya Allah akan ada smbgan
DeleteHari2 ada n3 baru seronoknya.
ReplyDeleteBaru hilang rindu.
dah hilang rindu skrg
DeleteAda pengacau.
ReplyDeleteSalmiha jgn layan playboy tu okeh.
Best. best. best.
Esok ada lg tak kak
~Nin~
Insya Allah akan ada n3 baru Nin
DeleteMenarik sgt2.
ReplyDeleteTak sbr nak tunggu smbgan lg.
Terima kasih atas sokongan.
DeleteSabar ya.
smbg lg Kak DD
ReplyDeletelmbt btl nak peluk SACA.
Dah tak lama Athirah dah blh peluk SACA
DeleteImran Ajmal jatuh hati kat Salmiha Haini.
ReplyDeleteTp sorry yaaa. Salmiha Haini, Shahrul Hairi yg punya.
Tak sabar nak tunggu mrk jumpa blk.
Kak DD mcm biasakan citer yg sweet.
Amboi nak yg sweet aje ya hehehe...
DeleteWatak Salmiha benar2 mencuri hati sy
ReplyDeletelmbt lg ke nak terbit
Insya Allah dah tak lama. Sabar ya
DeletePastikah akan ada perebutan antara dua hati?
ReplyDeleteAntara Shahrul Hairi n Imran Ajmal siapa pilihan hati Salmiha Haini?
Berdebar2 nak tahu babak selanjutnya.
Nak tahu kena baca dlm versi cetak. hehehe...
DeleteIdea yg menarik.
ReplyDeleteBest.
best3x
ReplyDelete