Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Thursday 27 February 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 6

Bab  6



SOFEA memandang wajah Salmiha Haini yang baru duduk di hadapannya. Melihat wajah ceria temannya, hatinya berlagu riang. Kasihan dia melihat sahabat baiknya itu. Tak sudah-sudah menerima tekanan. Pasti ada sesuatu yang menggembirakan hati temannya itu. Jika tidak masakan wajahnya bersinar terang bak bulan mengambang penuh. Bercahaya gitu!
“Macam mana temu duga hari ini? Okey ke KO?” Sofea bertanya sambil menyuap anak jagaannya makan.
“Okey! Dan tersangat okey,” luah Salmiha Haini penuh perasaan. Pipi Huda yang berada di atas pangkuan Sofea dicuit. Tersengih anak kecil itu.
“Maknanya dah dapat kerjalah ni?”
Yup! Awal bulan depan aku dah start kerja.”
Alhamdulillah, lafaz Sofea dalam hatinya. Patutlah Salmiha Haini begitu gembira sekarang ini.
“Maknanya tak lama lagilah.”
Salmiha Haini senyum dan angguk.
“Nampak gayanya begitulah,” ulas Salmiha Haini ceria. Tidak betah rasanya dia menyusahkan Sofea terlalu lama. Walaupun dia tahu temannya itu tidak berkira, tetapi dia tidak suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain.
Sofea menghentikan suapan ke dalam mulut Huda pabila semangkuk bubur untuknya telah habis. Bibir si kecil yang sedikit comot itu dilap dengan tuala lembap dan bersih. Setelah itu disua air putih.
“Berapa  orang  yang  temu  duga  kau?”
“Sorang  je!”
“Sorang je ke? Bukan ke biasanya ramai?”
Salmiha Haini angkat bahunya.
“Macam mana? Okey tak orang yang temu duga kau tadi?” Tanya Sofea tidak sabar. 
            “Okey je. Tapi aku peliklah. Kenapalah orang yang bakal aku rapat mesti seperti Les? Maksud aku, rakan satu tempat kerja.” Laju sahaja dia memberi penjelasan. Bimbang jika Sofea tersalah tafsir.
“Dulu Les berkaca mata tebal masa kat U. Dan tadi, penemu duga tu. Aku kan tak minat dengan orang pakai cermin mata ni. Dahlah nanti kami kerja satu bumbung. Mahu termuntah aku hari-hari lihat dia. Letih dibuatnya!” Komen Salmiha Haini.
Sofea ketawa mendengar celoteh Salmiha Haini. Huda diserahnya kepada Wani. Sekejap lagi pasti si kecil akan terlena. Maklumlah perut sudah kenyang.
“Jangan-jangan sudah tertulis di lohmahfuz jodoh kau dengan lelaki berkaca mata, tak?” Giat Sofea.
Eee... tak naklah aku! Minta selisih!”
Sofea menggeleng kepala.
“Miha! Orang tua-tua kata, yang kita tak nak tu... lah, yang jadi milik kita,” usik Sofea lagi. Dia sudah mengekek ketawa.
Salmiha Haini mencekak pinggang.
“Fea... kau janganlah takut-takutkan aku macam ni!” Rajuk Salmiha Haini. Geram pula dia melihat gelak tawa sahabatnya itu.
“Aha... tak tahu!” Sakat Sofea. Suka dia melihat wajah cemberut Salmiha Haini.
  “Kau ni...!” Salmiha Haini sudah naik angin. Bibirnya diketap. “Dahlah aku nak pergi berehat kejap. Malas layan kau.” Salmiha Haini menuju ke bilik solat untuk merehatkan dirinya. Malas dia hendak melayan kerenah nakal Sofea. Buat sakit jiwa dan raga aje.
Otak Salmiha Haini tiba-tiba memproses peristiwa yang berlaku sepanjang dia berada di bangunan Persada Indah Holdings. Bibirnya tanpa sedar mengukir senyuman. Macam-macam perkara pelik yang berlaku sepanjang hari ini.
SALMIHA HAINI menoleh bila terdengar tombol pintu dipulas. Dia baru sahaja usai menunaikan solat Zohor. Dengan pantas dia menyidai telekung yang digunakannya.
“Miha ada orang nak jumpa.”
“Siapa Wani?” Berkerut dahinya.
“Encik Imran Ajmal.”
Imran Ajmal? Apa yang lelaki tu nak? Rasanya mereka tidak pernah berjanji hendak berjumpa atau nak keluar hari ini.
“Dia nak apa Wani?”
“Entah?” Jawab Wani bersama jongketan di bahu.
Salmiha Haini menyarung tudung ke kepala. Dengan langkah malas dia menemui Imran Ajmal. Kedengaran suara Sofea dan Imran Ajmal sedang berbual. Lelaki itu kelihatan formal sekali. Mungkin dari pejabat.
“Assalamualaikum...,” sapa Salmiha Haini.
“Waalaikumussalam,” jawab Sofea dan juga Imran Ajmal.
Sofea menepuk lembut bahu Salmiha Haini dan tersenyum seperti perempuan sihir sebelum beredar meninggalkan temannya itu.
Memang nak kena luku Si Sofea ni, gumam Salmiha Haini geram. Sakit hati dan matanya melihat senyuman terlebih gula Sofea itu tadi. Apalah yang dibualkan oleh Si Sofea dan Imran Ajmal hingga mampu menerbitkan senyuman yang menyeramkan.
Imran Ajmal seperti biasa, murah dengan senyumannya.
Rimas Salmiha Haini melihat senyuman yang ala-ala buaya tembaga itu. Kakinya bagaikan ringan saja hendak memberi tendangan maut ke perut Si Imran Ajmal. Pelik aje perangai mereka berdua ni. Ada apa-apa yang dia tidak tahu ke?
“Jom kita pergi lunch,” ajak Si Imran Ajmal.
“Haa...?” Tidak percaya Salmiha Haini mendengarnya. “Sanggup datang ke sini semata-mata nak ajak lunch?” Tanya Salmiha Haini pinta kepastian. Jauh juga antara bandar JB dan Taman Dahlia. Buat tabiat ke apa? Mana perginya stok buah hatinya?
“Kenapa? Tak suka ke?”
“Bukan tak suka. Saya baru sahaja balik dari interview. Belum hilang penat lagi.” Salmiha Haini mencipta alasan.
Interview? Kat mana?” Imran Ajmal bertanya dengan nada terkejut.
“Persada Indah Holdings.”
Mendengar nama Persada Indah Holdings, Imran Ajmal mengeluh. Kurang senang! Anak pemilik syarikat tersebut adalah musuh tradisinya. Mereka sentiasa bersaing dalam semua aspek sejak dibangku sekolah. Cuma lelaki itu tidak sehebatnya dalam merebut hati wanita.
“Kenapa tak bagi tahu Im nak kerja. Kat ofis pun ada jawatan kosong.” Imran Ajmal menyuarakan rasa tidak puas hati.
“Habis tu kenapa Im tak bagi tahu awal-awal kat syarikat Im ada kerja kosong? Kalau tak, tak payah Miha susah payah cari kerja,” seloroh Salmiha Haini.
“Habis tu Miha tak tanya. Ingatkan datang sini, saja-saja bercuti.”
Salmiha Haini memandang riak tidak senang di wajah Imran Ajmal. Tapi kenapa? Malas dia mahu memikirkannya.
“Masih ada lagi ke jawatan tu?” Salmiha Haini sekadar bertanya. Lebih kepada berbaur usikan. Walau ada sekalipun, dia sekali-kali tidak akan menerimanya. TAKUT!!!
“Betul berminat? Kalau nak, sekarang ni juga kita pergi ofis,” ujar Imran Ajmal teruja. Wajah Salmiha Haini direnung penuh minat.
Salmiha Haini pantas menggeleng.
“Saja tanya. Lagipun dah tak boleh dah, sebab tadi dah sign offer letter.”
“Itulah! Buat apa-apa tak reti nak bertanya.” Kedengaran suara Imran Ajmal sedikit merungut. Mungkin terkilan kerana tidak dapat bekerja sebumbung dengan Salmiha Haini. 
Kita pulak yang disalahkannya! Macamlah syarikat bapa dia akan bankrupt kalau aku tak bekerja di situ! Omel Salmiha Haini. Perut Salmiha Haini tiba-tiba mengeluarkan bunyi. Alahai... perut! Time ni jugaklah kau nak berbunyi. Mujurlah Imran Ajmal tak ketawa. Mahu dia menyorok bawah katil.
“Marilah kita pergi makan. Im dah lapar ni,” Imran Ajmal beralasan. Padahal semasa mendengar bunyi keroncong dari perut Salmiha Haini, dia sudah hendak ketawa tapi ditahan jua. Tak fasal-fasal Salmiha Haini merajuk nanti. Dia juga yang susah. Lagi pula dia enggan memanjangkan bab temu duga itu lagi. Langsung tidak mendatangkan manfaat buatnya.
Salmiha Haini mengangguk tanda setuju. Kalau dia berkeras menolak pun, belum tentu akan menang. Jadi ada baiknya dia beralah.
“Sekejap. Saya ambil beg.”
Imran Ajmal mula bergerak meninggalkan Nur Kasih sebaik sahaja Salmiha Haini masuk ke dalam perut RX 350 miliknya.
“Miha nak makan kat mana? Sekitar sini atau JB?”
Salmiha Haini menoleh seketika sebelum memandang kembali ke hadapan.
“Sini-sini jelah. Nanti penat pulak Im nak patah balik.”
“Tak penatlah. Bukannya jauh sangat. Ikut Permas Jaya cepat aje sampai,” terang Imran Ajmal. Yalah... hati dah tertawan dengan si gadis jelita, suruh redah lautan api pun sanggup.
Tadi dia tanya kita, tapi tak ikut juga cadangan kita, omel Salmiha Haini.
“Kita makan kat Restoran Pinang nak? Nasi ayam penyet dia best!” Pelawa Imran Ajmal.
Baik tak payah tanya nak makan kat mana sebab akhirnya keputusan tetap juga di tangan dia, gerutu Salmiha Haini.
“Tak kisahlah kat mana-mana. Lagipun saya mana mahir tempat-tempat kat sini.”
Imran Ajmal hanya tersenyum mendengar kata-kata Salmiha Haini. Gadis itu benar-benar punya daya pesona tersendiri. Ibunya juga turut tertarik dengan sikap peramah Salmiha Haini. Malahan berhajat ingin melamar Salmiha Haini untuk dirinya jika dia setuju. Malangnya dia belum bersedia mengakhiri zaman bujangnya lagi.
Lagu Sofea Jane nyanyian Black di corong radio Suria FM menarik minat Salmiha Haini. Tersenyum lebar dia bila teringatkan Sofea...
“Eh... kau tahu tak apa tajuk lagu ni?”
“Sofea Jane. Kenapa?”
“Dekat-dekat dengan nama aku kan? Kalau Muaz yang nyanyi, lagi best!”
Ah... sudah mak cik ni! Tak akan ditimpa perasaan? Nasib baik nama dia Sofea Jamaluddin dan bukannya Sofea Jane. Kalau tidak... mesti perasan giler perempuan ni kerana sangkakan Si Black nyanyikan lagu tu untuk dia. Teruklah Si Muaz lepas ni, mesti dipaksanya pak cik tu nyanyikan lagu Sofea Jane setiap malam. Memang parah otak kawannya itu. Itu salah satu kenangan manis zaman belajar.
“Ada yang melucukan ke?” Tanya Imran Ajmal bila melihat dari tadi lagi Salmiha Haini asyik tersenyum. Menggoda sekali senyuman itu di matanya.
Aah...! Ingat lagu ni, ingatkan Fea. Dia suka sangat dengan lagu Sofea Jane.”
“Mesti kawan baik Miha tu perasan, kononnya lagu ini dituliskan khas untuk dia.”
“Eh... macam mana Im tahu?” Tertawa Salmiha Haini mendengarnya.
“Im kenal dia sejak kecil. Bolehlah tahu sikit-sikit tentang perangai dia.”
“Apa lagi perangai pelik Sofea?”
“Dia tu...?” Imran Ajmal ketawa sebelum meneruskan kata-katanya. “Dia suka bergaya dan suka bersolek. Waktu kecil dia berangan nak jadi peragawati tapi mustahillah kan... sebab dia tu kemetot.”
Akhirnya mereka ketawa. Kelakar juga orang yang bernama Imran Ajmal ni. Salmiha Haini rasakan dia boleh berkawan baik dengan Imran Ajmal. Lelaki itu tidak sombong dan bangga diri walaupun memiliki jawatan yang tinggi dan datang dari keluarga yang kaya raya. Cuma satu sahaja sikap lelaki itu yang kurang senang di hatinya, terlalu banyak koleksi teman wanita. Dia bimbang akan jadi mangsa cemburu buta jika terlalu kerap keluar bersama Imran Ajmal. Lebih baik dia beringat sebelum terkena. Bak kata orang, cegah sebelum dia cedera parah akibat diserang.


SALMIHA HAINI sendirian malam ini. Sofea pulang ke rumah keluarganya di Bandar Seri Alam. Sofea ada mengajaknya, tetapi dia enggan. Hari ini dia benar-benar keletihan. Bukan dekat rupanya tempat Imran Ajmal ajak dia makan. Naik panas punggungnya duduk dalam kereta. Dengan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas lagi. Memang dia akan fikir beratus kali selepas ini jika Imran Ajmal mengajaknya keluar makan lagi.
Salmiha Haini memeluk erat satu-satunya ‘permata’ berharga miliknya. Itu pun hak milik arwah Mak Lang pada mulanya. Merayu bagai nak rak, barulah arwah Mak Lang bersetuju menyerahkannya. Album yang mengandungi gambar arwah mama dan papanya ketika hari persandingan hinggalah sebulan sebelum mama dan papanya dijemput Ilahi, dijaganya dengan baik. Tidak pernah puas dia menatap dan mengucup potret dambaan hatinya dunia dan akhirat itu.
Sinar bahagia jelas terpancar di wajah papa dan mama sewaktu memangku dirinya ketika berusia satu hari. Kucupan sayang di dahi mama, cukup menggambarkan betapa gembiranya papa menyambut kelahirannya ke dunia. Kasih sayang papa dan mama tidak pernah kurang dan luak walaupun sedikit, sehinggalah mereka pergi dari alam fana ini.
Sambil mendengar lagu Sepasang Kurung Biru, album kesayangannya ditatap. Mungkin ada yang mengatakan dia gila sebab belum raya lagi, lagu itu sudah pun dia dengari. Tapi itulah lagu kegemarannya. Dia sanggup download lagu tersebut dalam telefon bimbit dan MP3.
Gambar mereka sekeluarga semasa hari raya dikucup lama. Itulah gambar terakhir mereka sebelum tragedi menyayat hati berlaku. Salmiha Haini, mama dan papanya akan berpakaian sedondon setiap kali menjelang raya. Hingga kini... baju terakhir yang mereka pakai semasa hari raya, berada dalam simpanannya. Mujur juga baju tersebut tertinggal di rumah neneknya. Jika tidak... tiada lagi kenangan untuknya.
Tidak lama lagi detik itu akan kembali. Mampukah dia melewatinya? Mampukah dia mengharunginya tanpa deraian air mata? Rasanya tidak! Air matanya terlalu murah. Bukan sahaja ketika hari raya, bahkan saban malam dia akan menangis bila berada dalam ‘pelukan’ kurung nan biru itu.
“Mama... papa...,” rintih Salmiha Haini.
Nostalgia lampau menggamit memorinya...
“Adik bangun sayang,” kejut mama dan papanya.
Salmiha Haini mencelikkan mata dan tersenyum. Hatinya berbunga riang bila wajah pertama yang berada di hadapan matanya adalah wajah mama dan papanya. Seperti biasa menjelang hari raya mereka akan bangun awal untuk mandi sunat Aidil Fitri.
Tahun lepas dia sekeluarga berpakaian serba ungu. Tahun ini dia belum tahu lagi kerana selepas mandi baru dia berkesempatan melihatnya. Itulah syarat mama dan papanya setiap tahun. Melihat baju yang baru keluar dari almari pakaian milik mama dan papa, dia melonjak keriangan. Baju itu sangat-sangat cantik.
“Adik suka?” Tanya papa. Adik adalah panggilan manja buat dirinya.
Mama tersenyum manis.
“Suka! Cantik sangat! Terima kasih papa. Terima kasih mama. Sayang mama dan papa,” ujar Salmiha Haini ceria. Lantas pipi mama dan papanya dikucup dengan penuh kasih sayang.
“Dah! Pakai baju ni cepat. Nanti nenek bising kalau lambat,” arah papa.
Nenek memang suka berleter tapi hatinya baik. Dia juga merupakan cucu kesayangan nenek.
“Baik papa.”
“Jaga baju ni elok-elok ya,” pinta papa sambil menggosok kepalanya.
“Jangan bagi comot tau. Lepas ni, adik susah dah nak dapat baju cantik macam ni,” pesan mama pula.
“Okey! Adik akan pakai baju ni dengan cermat,” ujar Salmiha Haini bersungguh-sungguh. “Tahun depan kita pakai baju warna hijau pulak ya.” Mama dan papanya hanya tersenyum sambil mengangguk. Dia terus memeluk tubuh papa dan mamanya tanda gembira bila impiannya bakal dipenuhi.
Sejak pulang dari kampung, Salmiha Haini dilayan bagaikan puteri oleh mama dan papanya. Mereka bagaikan berebut hendak menyuapnya makan atau melakukan apa sahaja untuknya. Tidur malam pun diajak bersama. Dia hanya menuruti dengan hati yang gembira.
Sewaktu dia memberitahu ingin mengikuti perkhemahan Persatuan Puteri Islam di sekolah, papa dan mama kelihatan sayu sekali. Berulang kali mereka memujuk agar dia membatalkan hasratnya. Desakan kawan-kawan, membuatkan dia mengabaikan permintaan orang tuanya.
Sebelum dia bertolak ke sekolah. Berkali-kali wajahnya dikucup. Dapat dilihat air mata yang menuruni pipi mama dan papanya ketika melepaskan dia pergi. Mama dan papanya sempat berpesan supaya menjaga diri dan tingkah laku. Jangan tinggal solat dan mengaji serta jangan lupa doakan mereka setiap kali lepas mengaji dan solat. Dia juga diingatkan agar menutup aurat dan belajar rajin-rajin supaya menjadi insan berguna dunia dan akhirat. Sangkanya itu hanyalah pesanan biasa sahaja memandangkan ini baru pertama kali mereka berjauhan. Rupanya tidak! Itulah ‘azimat’ terakhir dan itulah juga terakhir kali dia berada dalam dakapan mereka.
Lagu Sepasang Kurung Biru nyanyian Khairil Johari Johar yang masih berkumandang meruntun hatinya. Lagu itu memberi makna yang amat mendalam buat insan sepertinya. Lagu itu akan didengar tanpa jemu hingga ke hari tuanya. Dengan tangisan hiba, Salmiha Haini mendakap kurung biru itu dengan erat. Baju itu akan sentiasa dipeluk dan dicium sebagai simbolik dia mengucup tangan dan pipi, mama dan papanya sebelum tidur. Dia akan menyimpan, memeluk dan mencium baju itu hingga hembusan nafas terakhirnya.   

            “Saya suka jika semua pekerja saya melangkah ke hadapan seperti awak.”

Salmiha Haini seperti biasa menunjukkan riak wajah seperti otaknya sudah masuk air bergelen-gelen. Bila masa pulak... aku melangkah ke hadapan? Dia buta ke apa? Tak nampak aku masih duduk tercongok depan dia ni. Oohh... mungkin power cermin mata dia tak cukup tinggi! Itu yang masih rabun! Salmiha Haini mengutuk.
“Saya tak faham. Apa yang tuan cuba maksudkan?” Ceh wah...! Pandai sungguh dia bermain kata-kata. Padahal tadi, dah berbakul-bakul lelaki itu menerima kutukannya.
“Saya maksudkan tadi, saya suka jika semua pekerja saya mampu berfikiran jauh ke hadapan dan produktif seperti awak. Belum apa-apa lagi sudah ada matlamat dalam hidup. Yalah... belum sempat saya arahkan human resource buat offer letter, awak dah tanya bila boleh mula kerja.”
Terkedu Salmiha Haini seketika. Alahai... Salmiha Haini! Kenapalah kau gelojoh sangat bertanya. Kan... dah terkena! Lain kali senyap jelah selagi tuan rumah tak pelawa masuk. Sekarang kan... dah termalu sendiri! Marahnya kepada diri sendiri.
“Takdelah! Tadikan tuan dah ucapkan selamat datang ke syarikat tuan, tapi tuan tak nyatakan pula bila tarikhnya. Itu yang saya bertanya.” Bijak sungguh kau Salmiha Haini melepaskan diri! Bisik hatinya bangga!
“Sebentar!”
Salmiha Haini memerhati lelaki itu bercakap dengan seseorang di talian tapi tak tahu siapa. Apa yang dia dengar, lelaki itu mengarahkan orang itu datang ke pejabatnya dengan kadar segera.


18 comments:

  1. Bertmb2 x sbr nak tahu apa yang akan terjd.
    Best sgt2 Kak DD.
    Tahniah kak. SACA bakal terbit. Cantek cover.

    ReplyDelete
  2. wah bestnya. hari2 dh ada n3 baru.
    syabas kak krn bakal ada baby ke3 x lama lgi.
    Sy suka semua karya akak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. teruskan membca enovel ni ... dan jgn lupa dapatkan SACA nanti

      Delete
  3. Nak lagiiii... tak cukup.

    ReplyDelete
    Replies
    1. setiap hari ada entry baru lepas tu teraser ...insyaaalah

      Delete
  4. ehem yg mana satu hero nih
    Mcm suka je kat Imran Ajmal tu. Nama pun best.
    jatuh cinta dgn ceter nih
    bestttttttt

    ReplyDelete
  5. Kak DD masukkan teaser SACA.
    Tik tok tik tok menghitung hari.

    ReplyDelete
    Replies
    1. akak anak post sampai bab 20 ... dalam masa yang sama ada sikit2 treaser ....

      Delete
  6. Tak rugi mencuba hari ni.
    Ada lg smbgan SACA.
    Terima kasih DD.
    Dpt juga ubat rindu seblm SACA ada kat pasaran bln dpn.
    N3 hari ni pun menarik.

    ReplyDelete
  7. Terpesona dgn citer ni.
    Best Kak DD.

    ReplyDelete