Bab
9
FAIRLADY Z dipandu
laju menuju ke Kuala Lumpur. Dia perlukan rehat yang secukupnya. Esok malam,
dia akan terbang ke Korea. Itulah rutin hidupnya. Jika tidak fly atau sedang bercuti, dia akan ke
Johor Bahru membantu ayahnya mengembangkan perniagaan milik keluarganya. Tiada
siapa lagi yang hendak diharapkan selain dia. Mujurlah ayahnya sporting dan tidak terlalu mengongkong.
Dia diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja, asalkan tidak melingkupkan
bisnes ayahnya. Sekiranya dia tidak ada di pejabat, tugasnya akan diambil alih
oleh pengurusnya. Mereka sering berhubung melalui internet mahupun telefon jika
ada perkara yang perlu dirujuk dengannya terlebih dahulu.
Telefon
bimbitnya dicapai.
“Helo...
Max! Kau kat mana?”
“What’s up bro?”
“Aku
tanya kau, kau tanya aku balik.” Marah Shahrul Hairi.
“Yalah...
aku tanya kenapa?” Max sudah ketawa di hujung talian. “Kau kat mana sekarang?”
“Aku
on the way balik KL. Nanti kita jumpa
kat tempat biasa. Lagi setengah jam aku sampai.”
“Okey...
aku tunggu kau. Nak order macam biasa atau tunggu kau sampai dulu?”
“Kau
orderlah macam biasa. Nak tunggu aku
sampai, lambat pulak pesanan tiba.”
“Okey!”
Ujar Max sebelum memutuskan talian.
Stesen
radio IKIM FM menjadi pilihan Shahrul Hairi. Lagu Kasih Kekasih nyanyian
kumpulan In-team membuatkan dia tersenyum Lebar. Lantas bayangan seseorang
bermain-main di fikirannya. Janganlah angau sebelum waktunya, gadis tu langsung
tak pandang kau, Shahrul Hairi mengingatkan dirinya. Dia tidak tahu mengapa
gadis itu terus-terusan menyapa ingatannya.
Saloma
Bistro sudah menanti ketibaannya. Dari jauh lagi Shahrul Hairi dapat melihat
seorang gadis cantik menempel di sebelah rakannya Max. Pabila Max ternampak
dirinya, gadis itu terus berlalu pergi. Dia yakin pasti Max menyuruh gadis itu
beredar.
“Dah
lama sampai?” Sapa Shahrul Hairi bersama senyuman.
“Lama
tak lama jugalah. Adalah dalam sepuluh minit.”
“Siapa
tadi?”
“Alah...
pengunjung restoran ni,” ujar Max bagaikan tidak berminat hendak bercerita.
“Kau
ni bila nak berubah? Sampai bila kau nak usung anak dara orang?” Tegur Shahrul
Hairil. Bimbang dia sekiranya Max terjerat suatu hari nanti.
“Tunggulah
sampai puteri kayangan muncul,” ujar Max sambil gelak.
“Tingginya
anganan! Kau tak risau ke dengan perangai kau yang ala-ala mat romeo ni?
Buatnya ada yang ambil kesempatan macam mana? Tak fasal-fasal kau kena jadi pak
sanggup,” nasihat Shahrul Hairi.
“Alah...
setakat gelaran mat romeo yang aku sandang ni, apa ada hal sangat! Lagipun aku
belum pernah buncitkan perut anak dara orang lagi tau! Aku masih tahu had dan
batasan aku.” Max mempertahankan dirinya.
Shahrul
Hairi hanya mampu menggeleng kepala mendengar alasan Max.
“Apa
hal nak jumpa aku?” Max cuba mengalih topik perbualan mereka. “Ada cerita menarik yang kau nak kongsikan dengan aku ke?
Atau kau dah berkenan dengan calon yang parentss
kau pilihkan tu? Tak pun kau dah terpaut dengan sepupu kau? Macam mana? Ada can
tak aku makan nasi minyak tak lama lagi?” Tanya Max bertubi-tubi.
“Banyaknya
soalan. Aku nak jawab yang mana dulu pun tak tahu.”
“Kau
jawablah ikut turutan yang aku tanya tadi. Cepatlah cakap! Aku dah tak sabar
nak tahu ni. Aku tengok muka kau dah macam menang TOTO. Berseri-seri semacam!”
“Hesy...
mana ada menang TOTO! Haram tahu tak!” Tempelak Shahrul Hairi. “Keserian di
muka aku ni, tidak ada kena mengena dengan calon pilihan keluarga aku mahupun
sepupu aku. Mereka berdua tu, aku tak minat nak ambik tahu,” terang Shahrul Hairi bersungguh-sungguh. “Untuk
pengetahuan kau, apa yang aku rasa di sini lebih berharga dan bernilai dari
wang berjuta-juta.” Shahrul Hairi menunjukkan dadanya sambil tersenyum bahagia.
Bayangan si dia yang sedang tersenyum manis ketika interview tempoh hari terlayar di mindanya. Ah... sungguh panasaran
jadinya bila teringatkan wajah itu!
“Wah...
ini lebih menarik dari apa yang aku nak tahu tadi! Ceritalah cepat.” Max
benar-benar teruja hendak mengetahuinya.
“Kalau
aku kata aku rasa macam nak mati, kau percaya tak Max?” Soal Shahrul Hairi
sambil terbayangkan wajah ayu jelita itu. Aduh! Sakitnya rasa menanggung rindu.
Terasa hendak mati pun ada. Berkali-kali dinasihatkan hati dan dirinya supaya
tidak terlalu memikirkan si cantik manis itu, tetapi hati dan perasaannya
enggan berkompromi. Tetap juga berdegil! Bahkan sampai terbawa-bawa dalam mimpi
akan wajah dan senyuman manis itu.
Terkejut
bukan kepalang Max mendengarnya. Terasa seram pun ada. Tak akan rasa nak mati,
muka berseri-seri dan bercahaya. Ke... itu tanda-tandanya Si Rie ni orang yang
beriman?
“Aku
rasa macam dah tak sanggup nak hidup lagi jika terusan begini.” Shahrul Hairi
menambah.
Makin
seriau Max dibuatnya.
“Kau
ni dah gila atau buang tebiat nak
mampus?” Max bertanya geram. Tiba-tiba aje kawannya ungkit perihal mati dan tak
sanggup nak hidup lagi. Bimbang juga dia.
“Woi... aku tak gila dan belum nak mati
lagilah.” Shahrul Hairi menolak bahu rakannya. “Tapi aku dah jatuh cinta tahap
kronik kau tahu tak!”
Ketawa
terbahak-bahak Max mendengar kata-kata Shahrul Hairi.
“Well... well... well... siapakah
gadis yang akan jadi malang tu?” Giat Max.
“Apa
pulak malangnya? Beruntung apa! Kau
ingat mudah ke aku nak jatuh cinta? Dan terima mana-mana perempuan dalam hidup
aku?” Bentak Shahrul Hairi tidak puas hati. Dia sebenarnya yang bimbang. Dia
bimbang jika gadis itu menolak cinta sucinya. Atau mungkin sudah ada yang
punya. Sekiranya itu berlaku, tidak mustahil dia akan menjadi lebai malang dan
gila. Nauzubillah!
“Bila
nak melangsungnya?”
“Melangsung?
Melangsung apanya?” Tanya Shahrul Hairi keliru.
“Kahwinlah
pak cik!”
“Oh...
kahwin!” Seru Shahrul Hairi. “Macam mana nak kahwin, pengantin perempuan pun
belum ada lagi,” ujar Shahrul Hairi selamba.
“La...
tadi kau kata dah jatuh cinta. Tentulah dah ada calonnya.”
“Calonnya
memang ada. Tapi aku tak tahu sama ada dia suka dekat aku atau tidak?”
“Pulak...” Max ketawa berdekah-dekah.
Pengunjung di restoran itu memandang pelik ke arahnya.
“Oiii... sengal! Yang kau ketawa macam
orang gila ni kenapa? Tengok! Semua orang dah pandang kita. Kau ni, buat malu
betullah,” rungut Shahrul Hairi sambil menahan rasa hangat di wajah.
“Aku
ingatkan kau beria-ia kata dah jatuh cinta, memang kau dah ada calonnya. Dan you all
memang berjanji nak sehidup semati. Rupanya kau sorang sahaja yang gila bayang dan syok sendiri.”
Shahrul
Hairi menarik muka bengang.
Tawa
Max masih lagi belum berhenti. Sampai berair kolam matanya. Terasa lucu pun ada
dengan kata-kata Shahrul Hairi. Dilamun cinta tetapi kekasihnya masih belum
ada. Tak ke pelik namanya tu?
“Siot punya kawan! Suka-suka hati kau aje
mentertawakan aku!” Marah Shahrul Hairi.
“So siapa perempuan tu? Darlina?” Max
mengusik sambil tersengih.
Shahrul
Hairi menceber. Takde nama perempuan
lain ke yang cuba dikaitkan dengannya.
“Hesy...
kau ni, tak habis-habis dengan stewardess
murahan tu! Dengan dia buat apa?! Kalau dengan dia lebih baik aku membujang
sampai ke tua!”
Shahrul
Hairi teringatkan kelakuan tidak senonoh Darlina ketika mereka berada di Korea.
Perempuan tidak tahu malu itu menyelinap masuk ke dalam biliknya ketika dia
sedang tidur. Rakannnya Max seperti biasa sudah keluar mencari hiburan.
Sedang
enak dibuai mimpi, tiba-tiba terasa ada tangan menjalar di dalam selimutnya.
Tidurnya yang baru beberapa minit itu terganggu. Bau wangian milik seseorang
membuatkan tubuhnya kejang secara tiba-tiba. Dia kenal siapa pemiliknya.
Mukanya bertambah pucat bila wajah Darlina begitu hampir dengan wajahnya. Dan
perempuan kurang siuman itu cuba mengucup bibirnya.
Pabila
dia mampu bertenang dan berfikiran waras, terus badan Darlina ditolaknya.
Dengan pantas dia meraba tubuhnya untuk memastikan sama ada masih tersarung
lagi pakaian ataupun tidak. Mana tahu perempuan gila tu buat sesuatu yang tidak
senonoh. Tak fasal-fasal hilang keterunaannya. Sejak itu dia lebih berhati-hati
dengan perempuan bernama Darlina. Dia benar-benar serik!
“Habis
tu siapa? Masakan kau tak kenal dia langsung?”
“Kenal
rapat tu taklah. Tapi kami pernah terserempak dua kali. Namanya aku rahsiakan
dulu. Nanti kalau tak jadi, malu besar aku.”
“Orang
mana? KL?”
“JB...,”
ujar Shahrul Hairi sepatah bersama senyuman penuh makna. Salmiha Haini
pujaannya bukan asal Johor tetapi Perak. Alamat tetap Bangi, Selangor. Sekarang
tinggal di Pasir Gudang kerana mencari rezeki. Semua tentang Salmiha Haini ada
dalam poketnya.
“Cantik
tak?” Duga Max.
“Superbbb!!!”
“Wah...
kalau kau dah puji melambung macam ni, memang benar-benar cantiklah perempuan
tu.” Max makin tidak sabar hendak tahu siapakah gerangan gadis itu. Sekiranya
Shahrul Hairi sudah beri pujian tinggi melangit sebegitu, pasti gadis itu bukan
calang-calang orangnya.
“Semua
yang ada pada dia buatkan aku tertarik. Tak pernah lagi aku jumpa perempuan
yang tidak teruja bila melihat muka aku yang kacak ni,” seloroh Shahrul Hairi.
“Tapi dia... langsung tak ambil peduli siapa aku dan penampilan aku.”
“Benar?”
Tanya Max bagaikan tidak percaya. Memang tidak akan ada perempuan yang tidak
menoleh Shahrul Hairi jika lelaki itu keluar bersamanya. Malahan ada yang
sanggup menawarkan diri untuk menjadi kekasih lelaki itu tanpa segan silu.
“Betullah.
Tak akan aku nak bohong pulak.”
“Bila
aku boleh kenal dengan gadis yang berjaya menakluki hati kau yang pejal
mengalahkan batu tu?”
“Kau
ni Max! Tak menyabar langsung,” rungut Shahrul Hairi. Dia juga turut sama
seperti Max. Tidak sabar hendak menemui gadis itu. Dia akan segera menemui
gadis yang berjaya menawan hati lelakinya sebaik sahaja kakinya menjejaki bumi
Malaysia. “Sampai masanya kau akan aku kenalkan dengan dia.”
“Macam
tak lama lagi aje bunyinya. Jangan-jangan sebelum hujung tahun ni aku dah boleh
merasa makan nasi minyak kau,” usik Max.
“Insya-ALLAH!
Kau doa-doakanlah semoga jodoh aku dengan dia cepat sampai.” Terbayang-bayang
wajah Salmiha Haini di ruang matanya. Salmiha Haini... namamu seindah wajahmu.
Senyumanmu bak bunga mekar di pagi hari. Lirikan matamu bak busar menusuk tepat
hingga ke jantungku. Suaramu bagaikan syair indah membelai jiwa. Semua milikmu
begitu indah dan sempurna.