Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Tuesday, 19 June 2012

Si Pencuri Hati! Bab 10

Jom... kita baca bab 10.

Harap anda semua berpuashati dengan garapan idea yang tidak seberapa ini. Kalau tak sedap atau kurang menepati citarasa. Sila tutup mata ok....
Sayang anda semua. Terima kasih kerana masih sudi bersama SPH.

Kita jumpa lagi di minggu hadapan.

*******************************************************************************


MEMANDANGKAN dia akan mula bekerja esok, Damia bercadang membeli sedikit kelengkapan untuk anak-anaknya. Dia pergi ke Casuarina Megamall. Pusat membeli-belah itu tidak jauh dari hotel Casuarina tempat dia menginap. Hanya beberapa minit sahaja jika berjalan kaki. Sedang asyik meneliti pakaian buat si kembar, tanpa sengaja dia melanggar seseorang. Bulat matanya memandang pasangan itu.

“Ma... maaf saya tak sengaja,” ujar Damia tergagap-gagap.

“Takpe bukan salah puan pun,” jawab perempuan itu ramah.

Damia menghulurkan senyuman terpaksa buat pasangan suami isteri itu.

Dia tak kenal aku ke? Bisik hati Damia sambil mengerling ke arah suaminya. Mustahil dia tak buka beg aku untuk cari tahu siapa pemilik beg tersebut? Mungkin juga dia belum buka lagi beg itu. Sebab itulah dia tak perasan siapa aku, bisik hati Damia lagi.

“Ini anak-anak puan ke? Comelnya! Sepasang?”

Damia mengangguk kepalanya.

Aah... sepasang!” Damia tersenyum nipis.

Hendak segera beredar nampak sangat kurang ajar. Hendak terus berlama di situ memang bengaplah! Hailah... jalan manakah yang harus aku pilih? Dalam pada terkilan dengan tingkah laku Darwisy yang seolah-olah tidak mengenali dirinya, mata Damia sempat melirik ke arah suaminya yang leka bermain dengan si kembar. Huh... dasar jantan tak guna! Boleh dia buat tak tahu sahaja! Tahulah aku hendak mengajarnya jika kau datang memujuk rayu nanti. Panas sungguh hati Damia melihat perlakuan suaminya itu.

“Nama siapa?” Tanya lelaki itu mesra pada si kecil tanpa mengetahui dada ibu si cilik sudah hangat terbakar.

Damia benar-benar berasa geram. Tak payahlah nak menyibuk! Jaga sahaja isteri kesayangan awak tu! Gumam Damia. 

Bagi menjaga air muka tuan yang bertanya, Damia memberitahu juga nama anak-anaknya.

“Nama si abang Tengku Danial Fareez manakala si adik Tengku Dania Farisya.” Sengaja Damia menekankan perkataan Tengku itu dengan harapan Darwisy sedar akan kewujudannya anak-beranak.

“Eh... nama si kembar dah nak dekat sama dengan nama abang,” jelas perempuan itu ceria.

Si suami hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Tangannya merangkul erat pinggang isterinya. Muka Damia dipandang sepintas lalu. Senyuman mesra dihulurkan buat Damia.

“Maaflah saya terpaksa pergi dulu sebab masih banyak lagi barang si kembar yang belum dibeli.” Selepas bersalaman, Damia bergegas meninggalkan pasangan bahagia itu. Hatinya hangus terbakar. Sampai hati Darwisy buat dirinya sebegitu. Langsung tidak berusaha untuk menjaga hati dan perasaannya. Sanggup Darwisy mempamerkan aksi mesra di hadapannya.

Dalam keadaan tergesa-gesa Damia terlanggar tubuh seseorang dengan stoller anaknya.

“Maaf saya tak sengaja,” ujar Damia dengan perasaan bersalah. Itulah padahnya kalau berjalan mata letak kat belakang kepala. Yang kelam-kabut tu kenapa? Macamlah Si Darwisy tu nak kejar engkau? Tengok... dah terlanggar orang! Marah Damia kepada dirinya sendiri.

Lelaki yang sedang mengutip barang permainan untuk anak-anaknya pantas mendongak. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang terhidang di depan matanya. Patutlah hatinya tergerak hendak membeli-belah di sini. Rupa-rupanya bakal dipertemukan dengan insan yang telah sekian lama menghuni kamar hatinya. Dia turut merenung mesra si kembar itu.

Pucat muka Damia melihat wajah itu. Dia seperti orang kebingungan. Kepalanya menoleh ke belakang tetapi pasangan suami isteri itu sudah tiada. Dadanya bergetar hebat. Cepatnya dia meninggalkan isterinya dan menukar pakaian, bisik hati Damia. Tadi tak nampak pulak pasangan suami isteri itu membeli-belah. Pening kepala Damia memikirkannya. Debaran di dada semakin kencang bila lelaki itu menghampirinya. Alahai... jantung ni! Tadi takde pulak dia bergetar hebat sebegini. Ini dah macam irama heavy metal pulak!

“Tak nak salam abang?” Tanya lelaki itu ceria.

Bagaikan orang bodoh Damia menyambut tangan Darwisy. Eh! Tadi bukan ke aku kata aku hendak mengajar dia bila dia buat sesi pujuk rayu? Tapi kenapa sekarang aku dah jadi seperti lembu yang dicucuk hidung? Getus Damia sedikit bengang dengan dirinya sendiri.

Huh! Bila isteri yang lagi satu takde, pandai pulak suruh salam-salam dan berabang... abang! Tadi buat tak kisah aje! Gerutu Damia. Dia juga turut mencebik. Menyampah! Kenapa baru sekarang dia nak sapa aku? Agak-agaknya dia ni jenis takut bini tak? Manalah tahu perempuan yang dia kahwini itu menantu pilihan mak dia. Itu yang menikus! Bimbang bini baru dia report kat mak dia. Tapi kena dengan aku, dia tak takut pun?

Engkau tu siapa Damia? Hanya kaca sahaja di mata dia. Bukannya batu nilam atau zamrud! Jauh sekali intan terpilih! Bisik hati Damia. Aku tak mahu jadi bodoh seperti dua tahun lalu. Aku tidak akan terperdaya lagi dengan kata-kata manis dan tipu muslihatnya seperti yang dia coretkan dalam warkahnya dulu, tekad Damia. Tapi kenapalah aku tidak berdaya hendak tolak permintaannya?

“Jalan seorang diri aje ke? Mana awak tinggalkan isteri awak?” Soal Damia sinis.

Darwisy memandang Damia pelik. Dahinya juga berkerut seribu.

“Memang dari tadi abang jalan sorang-sorang. Baru sekarang abang berjumpa isteri abang. Itu pun secara tidak sengaja. Alhamdulillah! ALLAH gerakkan hati abang supaya datang ke mari,” jawab Darwisy jujur tanpa mengetahui ada maksud tersirat di sebalik kata-kata Damia.

Huh... dasar jantan miang! Jikalau bercakap... lembut gigi dari gusi, gumam Damia. Dia ingat senang nak mempermainkan aku lagi! Boleh jalan daaa.., omel Damia dalam hatinya. Amarah Damia terhenti pabila Tengku Danial Fareez mula merengek.

Hari ini dia terpaksa keluar sendirian memandangkan pengasuh anaknya kurang sihat. Hendak tinggalkan si kembar bersama pengasuhnya, tidak sampai hati pula. Sekiranya dia tinggalkan juga si kembar dengan pengasuhnya, nampak sangat dia majikan yang tidak prihatin dan menindas pekerja.

Darwisy pantas mendukung anak lelakinya.

“Kenapa dengan anak daddy ni?” Tanya Darwisy. Sejak tahu dia mempunyai anak, terus dia melatih lidahnya untuk mengucapkan perkataan daddy. Mencium bau yang kurang enak, Darwisy memeriksa lampin pakai buang anaknya. “Anak buat 'projek'lah sayang. Sayang pergi bersihkan Reez, abang jaga Isya.”

Bulat mata Damia memandang Darwisy. Dia benar-benar terpukau dan terkejut. Bagaimana Darwisy boleh membahasakan dirinya daddy? Memang itu panggilan yang diberikan Damia buat Darwisy untuk anak-anaknya. Dan bagaimana pula Darwisy boleh tahu nama timangan Fareez dan Farisya? Sedangkan baharu sahaja tadi lelaki itu bertanyakan nama anak-anaknya. Itu pun dia tidak memberitahu nama timangan si kembar. Dalam keadaan kepalanya yang sarat dengan pelbagai persoalan, dia mengambil jua anak lelakinya daripada Darwisy.

Sewaktu menunggu Damia membersihkan anaknya, Darwisy terserempak dengan Danish dan isterinya.

“Eh... abang buat apa di sini? Tak kerja ke?”

Danish turut terkejut bertemu dengan Darwisy di pusat membeli-belah itu. Dia datang ke sini sebab dah berjanji dengan isteri dia ke? Bisik hati Danish. Sengaja dia tidak menegur Damia tadi kerana bimbang isterinya menaruh syak wasangka dan risau jika rahsia yang disimpan bersama Darwisy dan ayahnya akan terbongkar.

“Hari ni abang cuti temankan Ira berjumpa doktor. Darwisy pun cuti juga ke?” Tanya Danish setelah melihat adiknya hanya berpakaian biasa.

Aah... cuti!” Terang Darwisy. Dia melarik senyuman buat kakak iparnya. “Darwisy cuti sebab nak uruskan tempat tinggal Damia dan anak-anak,” bisik Darwisy kepada Danish. Dia tidak mahu Nadira mendengarnya.

Tercengang Nadira melihat adik-beradik itu sedang berbisik. Seolah-olah ada rahsia antara mereka. Matanya tertancap pada stroller bayi di hadapannya. Di situ kelihatan seorang bayi sedang menghisap susu. Ini macam anak perempuan tu tadi. Apa hubungan Darwisy dengan perempuan itu?

“Abang... ini bukan ke anak perempuan cantik yang kita jumpa di butik pakaian kanak-kanak tadi?” Nadira bertanya kepada Danish.

Danish menoleh ke arah yang ditunjukkan isterinya. Baru dia sedar akan kewujudan bayi tersebut. Mungkin tadi dia tidak perasan sebab terlalu ramai orang yang berada di sekitar mereka. Matanya memandang Darwisy. Dia berharap Darwisy dapat memberi penjelasan yang logik lagi diterima akal kepada Nadira.

Darwisy faham akan isyarat mata abangnya.

“Darwisy kesian tengok Damia terkial-kial hendak uruskan anak-anaknya sendirian. Tadi si abang buang air besar, Damia tak tahu nak tinggalkan si adik pada siapa. Jadi Darwisy tawarkan diri untuk membantu. Salah ke?” Darwisy bertanya kak iparnya.

“Lagipun Damia bakal bekerja di TDF dan akan bekerja di bawah Darwisy. Jadi apa salahnya Darwisy berbuat baik dengan kakitangan Darwisy,” terang Darwisy panjang lebar. Mujurlah dia ada idea hendak menutup rahsia daripada terbongkar. Kalaulah kakak iparnya tahu hubungan dia dengan Damia, mahu kecoh satu rumah. Pasti bondanya mengamuk apabila tahy dia kahwin senyap-senyap.

Darwisy memberi isyarat kepada Danish supaya membawa isterinya beredar. Dia tak mahu timbul sebarang kekecohan selepas ini. Dia tidak mahu Nadira berbual mesra dengan Damia hingga rahsia perkahwinannya terbongkar sebelum waktu. Dia akan menceritakan hal sebenar kepada bondanya selepas dia mencapai kata sepakat dengan Damia.

“Jom kita balik Ira. Doktor kan dah pesan supaya Ira banyak berehat. Nanti ganggu kesihatan anak kita.”

Nadira mengangguk dan mengikut sahaja kata-kata Danish. Namun hatinya berat mengatakan seperti ada hubungan istimewa antara Darwisy dan perempuan yang bernama Damia itu. Ini kerana Darwisy belum pernah merapatkan diri dengan mana-mana perempuan sekiranya bukan atas dasar urusan kerja atau ahli keluarga.

Darwisy melepaskan nafas kelegaan bila melihat Danish dan isterinya beredar pergi.

“Awak berbual dengan siapa tadi?” Damia menyoal.

Hisy... sayang! Buat abang terkejut aje! Janganlah sergah abang daripada belakang macam ni. Nasib baik abang takde lemah jantung. Kalau tidak... mahu tumbang abang kat sini. Siapa susah? Sayang juga! Awal-awal dah dapat status balu,” omel Darwisy.

Damia mencebik mendengar kata-kata Darwisy.

“Tadi tu abang saya.”

Abang dia? Hisy... ruginya aku tak dapat tengok muka abang dia dan pasangannya tu.

“Huh... takde maknanya awak nak mati cepat! Apa pasal panggil saya sayang? Saya bukannya insan kesayangan awak pun!” Marah Damia. Jangan-jangan dengan perempuan tu pun dia panggil sayang juga, gumam Damia. Hatinya ditiba-tiba digamit rasa cemburu.

“Eh... salah ke abang panggil sayang? Bukan ke nama sayang... Sayang?” Darwisy bercanda.

Erk! Betul juga kata dia. Kan nama aku Sayang.

“Saya tahulah nama saya Sayang. Tapi hanya yang benar-benar rapat dan betul-betul menyayangi saya sahaja yang boleh menggunakan panggilan itu. Awak atau orang lain tak layak dan tak akan saya benarkan.” Damia bertegas.

“Yang nak marah sangat abang panggil sayang ni kenapa? Apa salah abang? Dan sayang tahu ke abang sayang sayang atau tidak?” Soal Darwisy. Mana mungkin dia tidak sayang akan isterinya. Bagai hendak nanar dirinya kerana gagal menemui Damia dua tahun lalu. Mujurlah imannya masih kuat. Jika tidak tentu dia sudah terperap di wad pesakit mental!

Damia mencebik mendengar omelan Darwisy. Dasar kasanova!

“Dahlah jangan kita nak berdrama kat sini. Malu orang tengok,” tegur Darwisy. Orang ramai sudah mula menjeling-jeling ke arah mereka.

Damia segera mendiamkan diri. Baru Damia sedar dia sekarang berada di pusat beli-belah.

“Saya balik dululah. Lagi pula kesian kat Nomi duduk sorang-sorang kat hotel tu.” Damia cuba berlembut. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Ala... tak akan dah nak balik? Jom kita bawa anak-anak pergi makan. Lagipun dah masuk makan tengah hari. Tentu anak-anak dah lapar. Nanti abang belikan bubur untuk mereka,” pelawa Darwisy. “Sebelum tu kita simpan barang-barang dalam kereta.” Darwisy tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini begitu sahaja. Dia ingin bersama isteri dan anak-anaknya sepanjang masa. Terlalu banyak masa yang terbuang selama ini. Dia mahu menebusnya kembali.

Malas bertegang urat, Damia menuruti kata-kata Darwisy. Selepas menyimpan barang di dalam kereta Darwisy, mereka menuju ke food court. Tadi Damia datang ke pusat beli-belah itu dengan hanya berjalan kaki sahaja memandangkan jarak antara hotel dan pusat membeli-belah tidaklah jauh mana. Hanya beberapa puluh meter sahaja. Selesai makan Darwisy membawa isteri dan anak-anaknya bermain di pusat permainan keluarga yang terdapat di situ. Damia tidak kuasa hendak menolak apabila Darwisy  beriya-iya memujuk.

“Mari abang hantar sayang dan anak-anak balik. Mereka pun dah kelihatan penat dan mengantuk.”

Sepanjang perjalanan yang memakan masa tidak sampai lima minit itu, Damia hanya mendiamkan diri. Kepalanya sarat memikirkan kenapa dia tidak mampu menolak kehadiran Darwisy bila lelaki itu berada di sampingnya. Sedangkan tika lelaki itu tiada di sisi, semangatnya begitu berkobar-kobar untuk menolak lelaki itu jauh-jauh dari hidupnya. Ah... jiwa kacau sungguh! Bisik hati Damia. Tanpa sedar dia mengeluh.

“Kenapa mengeluh ni? Sayang tak suka abang ada bersama dengan sayang dan anak-anak ke?” Soal Darwisy. Wajah jelita Damia dikerling sekilas. Tatap lama-lama karang, ada bantai belakang kereta orang!

Damia menggelengkan kepalanya. Otaknya sekarang ini begitu berserabut memikirkan masalah yang membelenggu dirinya. Apa yang harus aku buat? Lepaskan dia pergi atau milikinya kembali? Aku harus buat keputusan muktamat hari ini. Aku tak mahu menyesal di kemudian hari.



HARI AHAD yang dinanti tiba jua. Damia bersama anak-anaknya dan Nomi menuju ke KLIA menyambut kepulangan Reqza. Hampir satu jam menunggu, kelibat Reqza kelihatan. Reqza menghampiri mereka sambil tersenyum.

“Anak-anak papa.” Reqza segera mendapatkan Fareez dan Farisya. Pipi mereka dicium Reqza bertalu-talu.

Damia tersenyum melihat gelagat Reqza dan anak-anaknya. Rasa bahagia melingkari hidupnya. Punya anak dan sahabat yang begitu memahami.

“Mia sihat?” Tegur Reqza. “Macam mana kerja di TDF, okey?” Matanya tidak lepas menatap wajah Damia. Selain rindukan si kembar, dia juga merindui Damia. Alangkah beruntungnya dia jika si kembar dan Damia ini adalah tanggungjawabnya.

“Mia sihat. Tempat kerja belum tahu lagi,” ujar Damia. Senyuman manis tidak lekang di bibirnya. Damia tidak pernah memberitahu tentang keberadaan Darwisy di TDF kepada Reqza sepanjang mereka berhubung. “Req macam mana sihat?” Tanya Damia ramah.

“Sudah semestinya sihat walafiat,” ujar Reqza ceria. “Macam mana tempat kerja belum tahu lagi? Kata hari tu dah nak melapor diri?”

“Oh... mulanya memang mereka suruh lapor diri pada hari Rabu, tapi bos Mia suruh lapor diri esok,” balas Damia. “Req nanti nak kerja kat TDF atau company papa Req?”

“Req ingat nak berehat dulu seketika sebelum bantu papa di syarikat,” jawab Reqza tersenyum mesra.

“Kenapa Req tak nak sambung baki kontrak di TDF?”

“Susahlah Mia  kerja dengan syarikat orang ni. Kita tak bebas nak buat apa yang kita suka. Lagipun papa Req dah janji nak bayarkan penalti seperti yang termaktub dalam surat perjanjian jika Req melanggar syarat kontrak.”

Damia tidak boleh berkata apa jika itu hasrat Reqza. Mungkin Reqza sudah memikirkan baik buruknya terlebih dahulu. Syarikat papa Reqza, Padu Niaga memang terkenal dalam bidang perkapalan sama seperti ayah Darwisy. Cuma di TDF mereka mempunyai pelbagai cabang perniagaan. Bidang perkapalan dan perhotelan diuruskan oleh Danish, abang Darwisy manakala Darwisy menguruskan bidang pembinaan dan hartanah. Begitulah apa yang diceritakan oleh Darwisy kepadanya tempoh hari.

“Req nak terus balik atau nak makan terlebih dahulu? Atau mungkin ke tempat lain?”

“Kita makan dulu boleh? Req nak bersama dengan si kembar ni dulu. Tak puas rasanya berjumpa dengan mereka.”

“Ikut suka hati Req lah...,” ujar Damia sambil ketawa bila melihat gelagat Reqza yang langsung tidak mahu berenggang dengan kembarnya. Dia dan Nomi pula yang terpaksa menolak bagasi Reqza. Pelbagai hadiah buat si kembar, dibeli oleh sahabatnya itu. Reqza sememangnya dari dulu tidak pernah lokek jika bersangkut paut dengan Fareez dan Farisya.

Mereka singgah di Burger King sebelum pulang. Damia menghantar Reqza hingga  ke rumah keluarganya sebelum menuju ke hotel penginapannya. Sempatlah juga dia berkenalan dengan ibu bapa Reqza. Reqza merupakan anak tunggal sama sepertinya. Seronok rasanya dapat berkenalan dengan keluarga Reqza. Papa dan mamanya sangat peramah.















Wednesday, 13 June 2012

Si Pencuri Hati! Bab 9



SAYANG  DAMIA  mengejut  putera  dan  puterinya  bangun.  Hari  ini  mereka  akan  ke  Kuala  Lumpur.  Ada  urusan  penting  yang  perlu  diuruskan  di  sana.  Sahabatnya Reqza  dijangka  tiba  Ahad  petang.  Rindu  rasanya  buat  lelaki  yang  banyak  berjasa  kepadanya  sejak  dua  tahun  kebelakangan  ini.  Budi  baik  Reqza  tidak  mampu  dibalasnya.  Hanya  iringan  doa  sering  dititipkan  buat  pemuda  itu  agar  mendapat  kerahmatan  hidup  di  dunia  dan  akhirat.    

        “Fareez  bangun  sayang,  kita  mandi.”  Kejut  Damia  dengan  penuh  kasih  sayang.  Anak  kecil  itu  tanpa  banyak  kerenah  menghulurkan  tangannya  minta  di  dukung.  “Bagus...  anak  umi!  Tak  banyak  ragam,”  ujar  Damia  sambil  mencium  pipi  gebu  anak  lelakinya  itu. 

Farisya  tengah  disiapkan  oleh  pengasuh  anaknya  yang  baru  diambil  oleh  neneknya  beberapa  bulan  yang  lalu.  Maklumlah  si  kembar  sudah  pandai  berjalan  dan  semakin  aktif.  Nenek  dan  Mak  Jah  tidak  larat  hendak  melayan  kerenah  mereka  yang  semakin  lasak. 

          “Betul  Sayang  nak  bawa  mereka?”  tanya  Puan  Saadiah.  Sedih  pula  rasanya  dia  hendak  berpisah  dengan  cicitnya  itu.

          “Aah...  nek.  Sayang  tak  sunggup  nak  berpisah  dengan  mereka  lagi.”  Damia  merenung  wajah  neneknya.  Jelas  terpancar  kesedihan  di  wajah  tua  itu.  “Nenek  jangan  lah  risau.  Setiap  hujung  minggu  sekiranya  Sayang  tak  sibuk,  Sayang  akan  balik  ke  sini.  Jika  tidak  pun,  nenek  dan  Ucu  pergilah  ke  rumah  Sayang.  Nanti  bila  dah  confirm  tempat  tinggal  Sayang,   Sayang  akan  bagi  tahu  nenek,”  pujuk  Damia  sambil  memeluk  erat  bahu  neneknya.

          “Sayang  tak  mahu  tinggal  dengan  mama?”

          “Buat  masa  ni,  Sayang  belum  terfikir  lagi  nek.”

          “Baiklah  kalau  macam  tu.  Cuma  nenek  nak  pesan...  berhati-hati  sikit  dengan  pengasuh  anak  Sayang  tu.  Nenek  bukan  apa...  bimbang  kalau  dia  tidak  jujur  atau  buat  sesuatu  yang  tidak  elok  terhadap  anak-anak  kamu.”  Setelah  menyampaikan  apa  yang  terbuku  di  hati,  Puan  Saadiah  melangkah  keluar  dengan  perasaan  sebak.  Dia  tidak  mahu  Damia  tahu  apa  yang  sedang  bergelora  dalam  jiwanya.  Hati  si  tua  mana  yang  tidak  sedih  bila  terpaksa  berpisah  dengan  orang  yang  tersayang.  Cicitnya  itu  sudah  terlalu  rapat  dengannya.  Tentulah  dia  merasa  sangat  hiba  untuk  berpisah.

          Damia  mengangguk  tanda  mengerti.  Dia  segera  menyiapkan  Fareez.  Kasihan  pula  dia  melihat  anaknya  itu  yang  sudah  kesejukan.  Damia  tahu  apa  yang  bersarang  dalam  hati  neneknya.  Kerana  dia  juga  seorang   ibu  dan  pernah  merasai  saat  terpaksa  berpisah  dengan  anaknya  lima  bulan  yang  lalu. 

Kini  si  kembar  telah  siap  berpakaian.  Kedua-dua  anaknya  mewarisi  lesung  pipit  dia  dan  juga  suaminya.  Anak-anaknya  memiliki  rupa  paras  yang  elok.  Ada  yang  mengatakan  anak-anaknya  seperti  anak  tuk  Arab.  Berkulit  putih  bersih  dan  kemerah-merahan.  Tengku  Dania  Farisya  memiliki  rambut  ikal  sepertinya  manakala  Tengku  Danial  Fareez  berambut  lurus  seperti  Darwisy.  Mereka  bermata  bulat  dan  memiliki  warna  mata  yang  cantik  serta  berbulu  mata  lentik.  Menurut  Reqza...  anak-anaknya  memiliki  bibir  yang  seksi  dan  hidung  mancung  yang  comel.

          “Emm...  dah  siap  dan  cantik  pun  anak-anak  umi,”  ujar  Damia  sambil  mencuit  pipi  Fareez  dan  Farisya.  Selepas  itu  dia  menggomol  kedua-dua  anaknya.  Tertumpah  sepenuh  kasih  sayangnya  buat  si  kembar  itu. 

          Damia  menemui  nenek  dan  juga  seisi  rumah  yang  lain.  Mungkin  dia  lambat  lagi  akan  pulang  ke  Pasir  Gudang  memandangkan  dia  perlu  mencari  rumah  sewa  yang  bersesuaian  untuk  tumbesaran  anak-anaknya.  Dia  juga  tidak  tahu  bagaimana  cara  kerjanya  di  tempat  yang  baharu.
      
          “Nek,  Ucu,  Mak  Jah  dan  Pak  Salim,  Sayang  pergi  dulu  ya.”  Damia  menyalami  dan  memeluk  nenek,  Mak  Jah  dan  Ucunya.  Mereka  semua  kelihatan  sedih  hendak  berpisah.  Damia  tahu...  mereka  bukannya  sedih  hendak  berpisah  dengannya  tetapi  dengan  si  cilik.  Pada  mulanya  Khairil  ingin  menghantarnya.  Memandangkan  Khairil   mempunyai  urusan  penting  yang  tidak  dapat  dielakkan  maka  Khairil  terpaksa  membatalkan  hasratnya.  Damia  bertawakal  memandu  kereta  sendirian.  Maklumlah  kad  pengenalan  dan  lesen  memandu  tiada  dalam  simpanan.

 
DAMIA  memandu  tenang  kereta  milik  neneknya.  Kata  nenek...  kereta  itu  memang  dibeli  untuk  kemudahannya  ketika  balik  ke  Malaysia.  Nenek  terlalu  mengambil  berat  dan  menyayangi  dirinya.

          Anak-anaknya  sudah  menyambung  lena  semula.  Mungkin  kantuk  mereka  masih  belum  hilang  kerana  dikejut  terlalu  awal.  Pengasuh  anaknya  juga  sudah  tertidur.  Biarkanlah  mereka,  bisik  hati  Damia.  Dia  memasang  radio  dengan  nada  perlahan  bagi  mengiringi  perjalanannya  menuju  ke  Kuala  Lumpur.

          Sebelas  pagi,  Damia  dan  anak-anak  serta  Nomi  tiba  di  bangunan  TDF  yang  setinggi  dua  puluh  tingkat  itu.  Selepas  memarkirkan  keretanya,  Damia  mengeluarkan  twin  stroller.  Bayi-bayinya  yang  comel  itu  diam  sahaja  pabila  diletak  ke  dalam  stroller.  Damia  menolak  perlahan  stroller  anaknya  menuju  ke  meja  penyambut  tetamu.  Di  bahunya  tersandang  beg  milik  Darwisy.

          “Selamat  pagi.  Boleh  saya  berjumpa  dengan  Tengku  Darwisy  Firhad?”  tanya  Damia  tenang  sambil  menunjukkan  kad  bisnes  milik  Darwisy.

          “Oh...  pejabat  Tengku  Darwisy  di  tingkat  sepuluh.  Cik  boleh  naik  lif  yang  di  sebelah  kiri  tu,”  tunjuk  penyambut  tetamu  yang  bernama  Safina  ramah.

          “Terima  kasih," ucap Damia bersama senyuman. " Errr...  boleh  saya  tinggalkan  anak-anak  dan  pengasuh  saya  di  sofa  tu  seketika?”  soal  Damia  sopan  sambil  menunjukkan  tempat  yang  dimaksudkannya  di  ruang  legar  syarikat  TDF  di  tingkat  satu  itu.  Melihat  anggukan  penyambut  tetamu  itu,  Damia  tersenyum  mesra. 

          Selepas  mengarahkan  Nomi  membawa  anak-anaknya  ke  ruang  menunggu  yang  mewah  itu,  Damai  pantas  menuju  ke  lif.  Butang  lif  ke  tingkat  sepuluh  di  tekan  dengan  perasaan  berdebar.  Perutnya  juga  tiba-tiba  merasa  senak.  Perasaan  gementar  sungguh  menebal  di  ketika  ini.  Damia  berusaha  mengawal  perasaannya.  Apa  yang  ingin  dilakukannya  di  saat  ini  adalah  untuk  mengambil  beg  sandangnya  secepat  mungkin.

          Bunyi  detingan  menandakan  lif  yang  dinaikinya  sudah pun  tiba  di  tempat  yang  ingin  ditujui.  Damia  menemui  salah  seorang  pekerja  di  situ.

          “Selamat  pagi.  Saya  Damia...  boleh  saya  berjumpa  dengan  Tengku  Darwisy  Firhad?”

          “Mari  saya  bawakan  cik  bertemu  dengan  setiausahanya,”  balas  lelaki  yang  bernama  Ikhwan  sopan.

          Setiba  di  meja  Sarah,  Ikhwan  memperkenalkan  Damia.  “Sarah  ini  Cik  Damia.  Dia  ingin  bertemu  dengan  bos.”  Setelah  itu  Ikhwan  berlalu  meninggalkan  Sarah  dan  Damia.

          “Maaf  Cik  Damia.  Hari  ini  Tengku  Darwisy  takde  di  pejabat,”  terang  Sarah  sopan.

          Mendengar  Darwisy  tiada  di  pejabat,  Damia  menarik  nafas  kelegaan.  Namun  dia  bimbang  sama  ada  dia  mampu  mendapatkan  beg  sandangnya  pada  hari  ini  ataupun  tidak.

           “Begini  Cik  Sarah.  Semasa  di  KLIA,  beg  sandang  milik  saya  tertukar  dengan  beg  Tengku  Darwisy.”  Damia  menunjukkan  beg  yang  berada  di  tangannya  kepada  Sarah.  “Macam  mana  ya  saya  nak  dapatkan  balik  beg  saya  tu?”

          Sarah  memeriksa  beg  sandang  berwarna  coklat  itu.  Memang  benar  beg  itu  milik  Darwisy.  “Begini  Cik  Damia...  biar  saya  simpan  dulu  beg  milik  Tengku  Darwisy  dalam  biliknya.  Cik  Damia  tunggu  sebentar,  sekejap  lagi  saya  hubungi  Tengku  Darwisy.”  Sarah  menuju  ke  bilik  Darwisy.  Dia  terpandang  sebuah  beg  yang  sama  warna  dengan  beg  yang  berada  di  tangannya.  Mungkin  ini  beg  milik  Cik  Damia,  getus  Sarah.

          “Cik  Damia,  beg  ini  milik  cik  ke?”  tanya  Sarah  sambil  menghulur  beg  sandang  tersebut.

          Damia  memeriksa  isi  kandungan  dalam  beg  tersebut.  “Memang  ini  beg  saya,”  jelas  Damia  gembira.  Selepas  mengucapkan  salam  dan  ucapan  terima  kasih  Damia  beredar.

Sewaktu  Damia  keluar  dari  lif  kelihatan  seorang  lelaki  lewat  usia  lima  puluhan  sedang  bermain  dengan  anak-anaknya.  Si  kembar  juga  sudah  berkeliaran  di  ruang  legar  tersebut.  Tatkala  Fareez  terpandang  wajah  uminya,  dia  segera  berlari  mendapatkan  Damia.  Tersenyum  Damia  melihat  anaknya  itu.  Laju  dia  mengatur  langkahnya  menuju  ke  Farisya  sambil  mendukung  Fareez.

          “Isya  buat  apa  tu?”  tanya  Damia  kepada  puterinya.  Dia  juga  tersenyum  mesra  kepada  lelaki  itu  sambil  menunduk  sedikit  kepalanya.

           “Damia  kan?”  tanya  lelaki  itu  tersenyum.  “Saya  Dzulkarnain.”

          Berkerut  dahi  Damia.  Macam  mana  lelaki  itu  boleh  tahu  namanya?  “Macam  mana  tuan  boleh  tahu  nama  saya?”  tanya  Damia  sedikit  pelik.

          “Damia  bakal  bertugas  di  sini  tidak  lama  lagi.  Damia  tak  ingat?  Tadi  pergi  lapor  diri  ke?”  tenang  Tengku  Dzulkarnain  bertanya.

          Ya  ALLAH...  macam  manalah  aku  boleh  terlupa  yang  aku  bakal  bekerja  di  syarikat  ini?  “Saya  belum  lapor  diri  lagi.  Hari  Rabu  baru  lapor  diri,”  jelas  Damia  sambil  tersenyum.  “Saya  datang  hari  ini  sebab  nak  ambil  beg  yang  tertukar  dengan  Tengku  Darwisy  semasa  di  KLIA  tempoh  hari.”

          “Oh...  sempat  berjumpa  dengan  Darwisy?”

          Mendengar  nama  Darwisy...  nafas  Damia  menjadi  semput,  sesemput- semputnya. “Emm...  tak  jumpa  dengan  dia!  Menurut  setiausahanya,  dia  ada  urusan  di  luar.”  Damia  segera  mendudukkan  kembarnya  di  dalam  stroller.  Dia  ingin  segera  beredar.  Janganlah  Darwisy  muncul  di  hadapannya  kala  ini.  Mahu  pengsan  dia  dibuatnya!

          Tengku  Dzulkarnain  merasa  pelik.  Baru  sahaja  tadi  anaknya  bergegas  menuju  ke  pejabatnya  selepas  mendapat  tahu  Damia  berada  di  pejabatnya.  Mungkin  selisih  jalan  agaknya?

          Panggilan  telefon  daripada  Jeslina  menyelamatkan  Damia.  “Saya  minta  diri  dululah  tuan  sebab  kawan  saya  dah  tunggu,”  terang  Damia  penuh  kelegaan.

Belum  sempat  Tengku  Dzulkarnain  menghalang,  Damia  sudah pun  menolak  stoller  anaknya  selepas  memberi  salam.

 


DARWISY  bergegas  turun  ke  tingkat  satu  selepas  setiusahanya  memberitahu  bahawa  Damia  telah  pun  turun  ke  bawah.  Namun  dia  terlewat.

          “Dia  dah  pergi,”  beritahu  ayahnya  Tengku  Dzulkarnain.

          “Kenapa  ayah  tak  cuba  lengahkan  dia  dulu,”  keluh  Darwisy.

          “Ayah  dah  cuba.”  Tengku  Dzulkarnain  mempertahankan  dirinya.  “Kamu  jangan  risau,  hari  Rabu  dia  datang  lagi.  Dia  datang  hari  ini  sebab  nak  ambil  beg  dia.”

“Darwisy  nak  naik  dululah  ayah.  Ayah  tak  nak  masuk  pejabat  lagi?”  tanya  Darwisy.  Hatinya  panas  dengan  tindakan  setiausahanya.  Sepatutnya  Sarah  menghubunginya  terlebih  dahulu  dan  bukannya  membelakangi  dirinya.

          “Sarah  masuk  bilik  saya  sekarang,”  arah  Darwisy  sewaktu  melintasi  meja  setiausahanya.  Mukanya  juga  kelihatan  tegang.  Rasa  marah  dalam  hatinya  tidak  dapat  dibendung  lagi.  Fikir  Darwisy,  dia  dapat  bersama  Damia  dan  anak-anaknya  hari  ini.  Tapi  yang  berlaku  adalah  sebaliknya.  Tidak  puas  rasanya  dia  bersama  dengan  anak-anaknya  tadi  kerana  ingin  segera  mendapatkan  Damia.  Andai  dia  tahu...  dia  tunggu  sahaja  Damia  bersama  ayahnya.

          Sarah  sudah  keresahan.  Darwisy  belum  pernah  sebegini  marah.  Walaupun  Darwisy  tidak  mesra  rakyat  atau  mesra  alam  tetapi  dia  tidak  pernah  meninggi  suara  atau  marah  pekerjanya.  Dengan  perasaan  takut  dan  gementar  Sarah  menuju  ke  bilik  Darwisy.

          “Awak  tahu  apa  kesalahan  yang  dah  awak  lakukan?”  tanya  Darwisy  tegas.

          Sarah  hanya  menggelengkan  kepalanya.

          “Kalau  saya  kata  awak  bebal  dan  bodoh  mesti  awak  marahkan?” 

          Laju  sahaja  Sarah  menganggukkan  kepalanya.

          “Awak  ni  dah  jadi  burung  belatuk  ke...  main  angguk  dan  geleng?  Ke  mana  perginya  mulut  awak  yang  macam  bertih  jagung  tu?  Awak  jangan  cuba  nafikan  apa  yang  saya  cakap.  Macam  saya  tak  tahu  sikap  awak  yang  suka  bergosip  selama  ni,”  perli  Darwisy.  “Hah...  kenapa  hari  ni  awak  jadi  bisu?”  herdik  Darwisy.

          Fuhyoo...  hebat  juga  bos  aku!  Dalam  pada  tak  ambil  kisah  hal  pekerjanya  tapi  dia  tahu  apa  yang  kami  buat.  Memang  tempah  bala  kalau  dia  tahu  aku  selalu  mengumpat  dia.

          “Saya  tak  tahu  Tengku  apa  kesalahan  saya,”  jawab  Sarah  terketar-ketar.  Rasa  nak  terkencing  pun  ada.  Janganlah  terkucil  kat  sini.  Buat  malu  aje...,  bisik  hati  Sarah.  Sungguh...!!!  Belum  pernah  dia  tengok  muka  Darwisy  tegang  dan  marah  sebegini.  Terlepas  tender  berjuta-juta  ringgit  pun  Darwisy  masih  mampu  relaks.  Sarah  benar-benar  kebingungan.  Dia  tidak  tahu  apa  salah  dan  silapnya  hingga  Darwisy  mengamuk  sakan.

          Darwisy  mengeluh.  “Siapa  izinkan  awak  ambil  beg  coklat  yang  berada  dalam  bilik  saya?”

          “Tapi  Tengku  Darwisy,  Cik  Damia  yang  meminta  saya  ambil  beg  dia.  Kata  dia  dalam  beg  itu  terdapat  barang  peribadi  yang  sangat  penting,”  Sarah  membela  dirinya.

          “Kenapa  awak  tak  hubungi  saya  terlebih  dahulu  dan  tunggu  hingga  saya  datang  sebelum  beri  beg  tersebut  pada  dia?”  Lantang  suara  Darwisy  memarahi  Sarah.

          Lah...  dia  ni!  Nak  marah  dan  tengking  aku  kenapa?  Macam  orang  datang  bulan  aje...  sentap!!!  Lagipun  bukannya  aku  ambil  beg  dia  tapi  beg  Cik  Damia.  Kenapa  nak  marah  macam  orang  kalah  judi?  Oh...  lupa!!!  Orang  selalu  kaitkan  hari  Isnin  sebagai  Monday  blues!!! 

          “Tapi  Tengku...  kita  tak  ada  hak  nak  halang  Cik  Damia  ambil  beg  dia.”
          “Itu  saya  tahu!  Tapi  apa  salahnya  awak  hubungi  saya  dulu.  Susah  sangat  ke  awak  nak  dail  nombor  telefon  saya?”  soal  Darwisy  tidak  berpuas  hati  sambil  menghentak  meja.

          “Maafkan  saya  Tengku.  Mulanya  saya  memang  nak  hubungi  Tengku  tapi  bila  saya  ternampak  sahaja  beg  milik  Cik  Damia  terus  saya  batalkan  niat  saya.”

          Mendengar  sahaja  jawapan  Sarah  yang  tidak  berapa  cerdik  itu,  Darwisy  sudah  tidak  mampu  berkata  apa.  “Awak  boleh  keluar  sekarang.”

          Tanpa  menunggu  lama,  Sarah  segera  beredar.  Terus  di  menuju  ke  ‘ruangan  gosip  sensasinya’.  Belum  pun  sempat  Sarah  melabuhkan  punggungnya  terus  dia  diserbu  dengan  pelbagai  pertanyaan  oleh  Rosilah.

          “Apasal  kau  kena  marah  tadi?”

          “Entahlah  bos  tu.  Dah  berapa  tahun  aku  kerja  dengan  dia  baru  hari  ni  dia  keluar  angin  puting  beliungnya.”

          “Yalah...  tapi  apa  sebabnya?  Tak  akanlah  dia  nak  marah  kau  tanpa  hujung  pangkal?”  tanya  Rosilah  tidak  berpuas  hati.

          “Aku  pun  sebenarnya  tak  faham  kenapa  dia  marah  sangat  bila  aku  beri  beg  kepada  Cik  Damia.  Pada  hal  itu  bukannya  beg  bos  pun  tapi  beg  Cik  Damia.”

          “Jangan-jangan  mereka  ada  skandal  tak?”  serkap  Rosilah.

          “Manalah  aku  tahu!”       

          Rosilah  dan  Sarah  pantas  menoleh  bila  terdengar  bunyi  deheman  di  belakang  mereka.

          “Seronok  bergosip  pasal  saya?”  tanya  Darwisy  sambil  memandang  jam  tangannya.  “Sekarang  baru  pukul  dua  belas  setengah.  Awak  berdua  masih  ada  setengah  jam  lagi  sebelum  waktu  rehat,”  jelas  Dariwsy  sinis.  “Waktu  kerja  jangan  cuba  bergosip  atau  curi  tulang  nanti  gaji  yang  awak  berdua  terima  tidak  berkat.  Lagipun  boleh  mengundang  dosa  sebab  awak  curi  masa  bekerja  dengan  perbuatan  yang  tidak  berfaedah,”  sindir  Darwisy.

          Pucat  muka  Sarah  dan  Rosilah  bila  tertangkap  sedang  mengumpat.  Pantas  mereka  menuju  ke  meja  masing-masing  bila  Darwisy   masih  belum  beredar  meninggalkan  mereka.

          “Sarah...  pukul  dua  setengah  petang,  kumpul  semua  staff  kita  di  bilik  mesyuarat,”  arah  Darwisy  sebelum  beredar.  Sarah  hanya  mampu  menelan  air  liur.  Terasa  payau  rasanya.

          Darwisy  menuju  ke  bilik  ayahnya.  Bantuan  dan  pendapat  ayahnya  amat  diperlukan  ketika  ini.

          “Ayah  ada  idea  tak  macam  mana  saya  nak  rapat  dengan  Damia?  Ayah  rasa  kenapa  dia  tak  nak  jumpa  saya  dulu  sebelum  balik?”

          Hendak  ketawa  Tengku  Dzulkarnain  melihat  wajah  kelam  anaknya  tapi  ditahan  jua.  Bimbang  anaknya  terasa  hati.  Belum  pernah  wajah  anaknya  mendung  dan  resah  gelisah  kerana  seorang  perempuan.  “Ayah  pun  tak  tahu  Darwisy  apa  puncanya  dia  cuba  mengelakkan  diri  daripada  kamu.”  Tengku  Dzulkarnain  diam  seketika.

 “Emm...   ayah  ada  idea!”  Bercahaya  sekali  wajah  Tengku  Dzulkarnain  ketika  itu.  “Cuba  kamu  telefon  Damia.  Tapi  jangan  cakap  kamu  suami  dia.  Kamu  menyamar  sebagai  salah  seorang  pekerja  TDF.  Kamu  tanya  dia  sama  ada  dia  dah  ada  tempat  tinggal  ataupun  belum?  Sekiranya  dia  belum  mempunyai  rumah,  kamu  suruh  sahaja  dia  duduk  kat  rumah  yang  baru  siap  dibina  tu.  Lagipun  rumah  tu  tak  jauh  dari  pejabat  kita,  tentu  Damia  setuju.”

          “Maksud  ayah...  banglo  mewah  yang  terletak  di  Taman  Casuarina  tu?  Tapi  tak  terperanjat  ke  dia  ayah  bila  kita  suruh  dia  tinggal  kat  rumah  yang  mencecah  jutaan  ringgit  tu?  Tak  rugi  ke  syarikat  kita  nanti?”

          “Dia  tak  akan  terperanjat  jika  kena  caranya.  Isteri  kamu  takde  sakit  jantung  kan?  Kalau  dia  terperanjat  pun  belum  tentu  kamu  akan  bergelar  duda  dalam  masa  yang  terdekat.”  Tengku  Dzulkarnain  membuat  lawak. 

          Geram  pulak  Darwisy  mendengar  kata-kata  ayahnya.  Ada  ke  patut  ayahnya  mendoakan  dia  jadi  duda!  Dia  dengan  Damia  masih  lagi  belum  rapat  dan  mesra.  Tak  sanggup  rasanya  dia  hendak  menduda  dalam  usia  yang  masih  muda.  Dia  inginkan  kasih  sayang  dan  cinta  isterinya. 

“Kamu  kata  nak  pikat  dia  balik!  Inilah  sahaja  caranya.  Nanti  ayah  suruh  uncle  Mansor  uruskan  dokumennya.  Kamu  jangan  risau!  Tak  akan  jatuh  bankruptnya  syarikat  kita  jika  ayah  berikan  rumah  tu  kepada  kamu.  Anggap  sahajalah  itu  hadiah  perkahwinan  daripada  ayah.  Nanti  senang  ayah  nak  jumpa  cucu-cucu  ayah,”  terang  Tengku  Dzulkarnain  ceria.  Tangannya  menepuk-nepuk  mesra  bahu  Darwisy.

“Seperkara  lagi...  Ayah  dah  suruh  pekerja  kita  ubahsuai  bilik  yang  kat  sebelah  pejabat  kamu  tu.  Insya-ALLAH...  petang  nanti  mereka  mulakan  kerja.  Buat  sementara  waktu,  kamu  suruh  Damia  duduk  sebilik  dengan  kamu  dulu  sehingga  biliknya  siap  diubahsuai,”  ujar  Tengku  Dzulkarnain.

 “Tapi  ingat...  jangan  lebih-lebih!”  Tengku  Dzulkarnain  memberi  amaran  sambil  tersenyum  nakal.

          “Hisy...  ayah  ni,  ada  fikir  yang  bukan-bukan!”  Merah  muka  Darwisy  menahan   malu.

          “Tapi  ayah  rasa  ada  baiknya  kamu  ambil  cuti  beberapa  hari  hingga  bilik  pejabat  Damia  siap.  Kamu  bawa  dia  pergi  bercuti  atau  shopping  barang-barang  anak-anak  kamu.”

          Idea  yang  menarik,  bisik  hati  Darwisy.  “Terima  kasih  ayah  kerana  beri  pendapat  yang  bernas.  Darwisy  nak  hubungi  dia  sekarang.”  Dengan  pantas  dia  meninggalkan  ruang  pejabat  ayahnya.  Dia  tidak  mahu  terlewat  barang  sesaat  untuk  menggapai  cinta  Damia.

          Darwisy  menuju  ke  meja  Sarah.  “Perjumpaan  petang  ini  batal,”  usai  berkata-kata  Darwisy  pantas  menuju  ke  biliknya.  Namun  dia  berpatah  balik  bila  teringatkan  sesuatu.

          “Apa  kena  dengan  bos  hari  ni?  Macam  ada  masalah  jiwa  aje!  Kejap  nak  adakan  perjumpaan,  lepas  tu  nak  batal  balik.  Hisy...  tak  faham  betullah  aku!!!”

          “Hah...  jangan  nak  mengomel!  Cepat  buat  kerja!  Hari  ni  saya  tidak  mahu  ada  sebarang  gangguan  telefon.  Batalkan  juga  semua  mesyuarat.  Saya  akan  bercuti  selama  beberapa  hari  bermula  hari  ini.”

          Terkejut  bukan  kepalang  Sarah  bila  disergah  oleh  Darwisy.  Sangkanya  Darwisy  sudahpun  beredar  ke  biliknya. 

Darwisy  menuju  ke  biliknya.  Nombor  telefon  milik  Damia  segera  dihubungi.  Mujur  dia  teringat  hendak  mengambil  nombor  telefon  isterinya  itu.

          “Hello...  saya  dari  syarikat  TDF,  boleh  bercakap  dengan  Sayang  Damia  Dasuki  Aqtar.”  Darwisy  bersuara  formal.

          “Saya  bercakap.  Ada  apa-apa  yang  boleh  saya  bantu  encik.”

          “Pihak  syarikat  ingin  tahu  sama  ada  Cik  Sayang  sudah  memiliki  tempat  tinggal  ataupun  belum.  Jika  belum,  pihak  syarikat  ada  menyediakan  kemudahan  tempat  tinggal  buat  Cik  Sayang.”

          “Buat  masa  ini  belum  ada  lagi.  Tetapi  saya  sudah pun  meminta  teman  baik  saya  mencarikan  tempat  tinggal  untuk  saya,”  terang  Damia  jujur.  Panggilan  Sayang  yang  digunakan  oleh  lelaki  itu  membuatkan  Damia  kurang  selesa.  Hanya  ahli  keluarga  yang  rapat  dengannya  sahaja  yang  memanggilnya  Sayang.

          “Boleh  saya  panggil  sayang  sahaja?  Rasa  macam  kurang  mesra  pula  bila  ada  perkataan  cik  di  pangkal  nama.  Lagi  pula  tidak  lama  lagi  kita  bekerja  di  bawah  satu  bumbung,”  pinta  Darwisy.

          "Emm...  saya  tak  kisah  sebenarnya.  Tapi  rasanya  lebih  elok  jika  encik  panggil  saya  Mia  sahaja.  Boleh  saya  tahu  dengan  siapa  saya  sedang  bercakap?”

          “Oh...  lupa  pula  saya  hendak  memperkenalkan  diri!  Panggil  sahaja  saya  Ad.  Saya  panggil  sayang  sahajalah.  Lebih  mudah  nak  ingat.”

          Damia  sudah  tidak  mampu  berkata  apa.  “Suka  hati  enciklah.”

Darwisy  sudah  tersengih  di  talian.  “Beginilah!  Apa  kata  sayang  batalkan  sahaja  rumah  yang  dicari  oleh  teman  sayang  tu  dan  tinggal  di  rumah  yang  sediakan  oleh  pihak  syarikat.  Lagipun  jarak  antara  rumah  dan  pejabat  tak  jauh  hanya  sepuluh  minit  perjalanan  sahaja.”

          Damia  tertarik  dengan  pelawaan  itu.  Rumah  yang  dicari   oleh  Jeslina  agak  jauh  dari  tempat  kerjanya.  “Kalau  saya  setuju.  Bila  saya  boleh  masuk  dan  berapa  harga  sewa  yang  perlu  saya  bayar?”

          “Buat  sementara  waktu,  pihak  syarikat  akan  menempatkan  sayang  di  hotel  terlebih  dahulu  kerana  rumah  tersebut  dalam  proses  pengubahsuaian.  Apabila  semuanya  dah  siap,  baru  sayang  boleh  duduk  di  rumah  tu.  Tentang  bayaran  sewa  pula,  tiada  caj  yang  dikena.  Bagaimana  sayang  setuju?”

          Sangat  menarik  tawaran  yang  diberikan.  Hanya  manusia  yang  gila  dan  bodoh  sahaja  yang  akan  menolak  tuah  tersebut,  fikir  Damia.  Sekarang  duit  yang  sepatutnya  digunakan  untuk  membayar  pendahuluan  rumah  dan  deposit  air  api  boleh  digunakan  untuk  tujuan  lain.  “Baiklah  saya  setuju,”  ujar  Damia  ceria.

          “Baguslah  kalau  sayang  dah  setuju.  Senang  sikit  tugas  saya,”  ujar  Darwisy  ceria.  “Mulai  hari  ini  sayang  akan  tinggal  di  hotel  Casuarina  hingga  rumah  itu  siap  diubahsuai.  Semuanya  sudah  saya  uruskan.  Bilik  sayang  bernombor  2002.” 

Bilik  itu  merupakan  bilik  khas  untuk  Darwisy  manakala  bilik  Danish  pula  bernombor  2001.  Menurut  ayahnya,  bilik  mewah  itu  memang  disediakan  untuk  mereka  berbulan  madu  jika  sudah  berkahwin.  Darwisy  juga  sering  duduk  di  situ  jika  banyak  kerja  atau  ingin  bersendirian.  Hanya  dua  bilik  sahaja  di  tingkat  dua  puluh  itu.  Hotel  mewah  milik  keluarganya  sentiasa  penuh  dengan  pelancong.

Selepas  menamatkan  perbualan  dengan  Damia,  Darwisy  terus  menghubungi  hotel  Casuarina.  Dia  juga  menghubungi  rakan  baiknya  untuk  mengubahsuai  banglo  di  Taman  Casuarina.