HUJAN
masih lagi turun renyai-renyai. Malam tadi, hujan benar-benar menggila. Bumi kampus yang kebelakangan ini kegersangan,
mula dibasahi. Bunyi alarm dari
telefon bimbit mengejutkan lena Athirah. Dalam keadaan mamai, Athirah mengecilkan
matanya untuk melihat waktu ketika itu. Manalah tahu dia tersalah setting masa malam tadi. Sudah pukul
empat setengah pagi rupanya.
Athirah
menggeliat dan melakukan sedikit senaman ringan bagi melonggarkan
sendi-sendinya yang dirasakan sedikit kejang. Maklumlah, sudah beberapa hari
tidak cukup rehat dan tidur. Sekiranya terlambat bangun tidur, alamatnya kena
bebellah dengan sesetengah kakak senior
yang ek itu. Minggu orientasi inilah mereka nak tunjuk taring. Apa lagi jika
bukan membuli!
Athirah
mengejutkan teman sebiliknya bangun. Fazlina tidur agak lewat malam tadi. Sibuk
berFB dengan rakan-rakannya semasa matriks.
Athirah sangat bersyukur dapat duduk sebilik dengan Fazlina. Mereka bukan sahaja
sefahaman tetapi juga sekelas. Kadang kala terfikir juga Athirah hendak
menjodohkan rakan-rakan karibnya iaitu Fazlina, Salmi, Aina dan Aisyah dengan
abang-abangnya yang hensem itu. Jika
boleh Athirah enggan berpisah dengan mereka semua. Tapi itulah... abangnya hanya
ada tiga orang, sedangkan kawan-kawannya ada empat orang, jadi siapakah antara mereka
yang sanggup dimadukan? Kalaulah kawan-kawannya tahu agenda bodohnya, nahas dia
dibelasah mereka.
“Hai...
layan berangan nampak? Jomlah pergi mandi, nanti kakak-kakak yang macam singa
betina tu bising. Aku dah tak sanggup nak tadah telinga ni. Suara mereka dahlah
macam guruh di langit, tension aku!”
bebel Fazlina. “Dan kau tentu tak nak kena denda lagi dengan abang gorila kau yang kacak tu,” giat
Fazlina sambil tersengih.
Mendengar
nama Mikhail, hati Athirah jadi terbakar. Athirah menjadi geram dan marah bila
Mikhail sering memanggilnya minah gedik dan perasan cantik. Mulut Mikhail yang
macam lori sampah itu, benar-benar menguji kesabaran Athirah. Dan... ada sahaja
kata-kata Mikhail yang membuatkan Athirah ingin memberikan sepakan dan
tendangan maut untuk lelaki itu. Biar padan muka mamat perasan bagus tu, desis
Athirah.
Sudahlah
semasa pemilihan acara regu campuran badminton semalam dia kena berpasangan
dengan Mikhail. Macam manalah hatinya nak tenang? Kenapalah mesti melibatkan
pelajar senior? Tak boleh ke... buat
perlawanan untuk pelajar junior
sahaja? Dahlah aku dengan dia tak ngam!
Nasib
baiklah kawan Mikhail yang bernama Borhan tu baik dan menyejukkan hati.
Walaupun kekacakan antara Mikhail dan Borhan amat ketara perbezaannya, namun
jika hati hitam mengalahkan bontot
kuali buat apa? Athirah juga gemar melihat senyuman Borhan. Walau tidak
semenawan dan ‘semengancam’ Mikhail, namun senyuman Borhan mampu menurunkan lahar
gunung berapi yang berada dalam hatinya setiap kali bertembung dengan Mikhail.
“Oii... Mek Athirah! Sudah-sudahlah tu
layan blues di Subuh hari. Jom kita mandi. Kena sound
pulak kalau lambat.”
Teguran
kawannya itu mematikan ingatan Athirah terhadap peristiwa semalam.
MEREKA
berlima berkumpul seperti biasa sebelum memulakan apa-apa aktiviti. Mereka juga
sering berkongsi kisah suka dan duka sepanjang berada di sini. Ada masanya
bertukar-tukar pendapat. Mereka semakin serasi bersama dan saling menghormati
antara satu sama lain. Itulah kunci
keakraban antara mereka sejak menjejakkan kaki ke sini.
Hari ini juga adalah hari terakhir Athirah
perlu lengkapkan biodata dan dapatkan tandatangan Mikhail. Dia sengaja melambat-lambatkan
masa untuk menemui Mikhail. Apabila terpandang wajah Mikhail, hatinya menjadi
sebal. Itu belum lagi bertemu empat mata. Agak-agaknya kalau bertemu, mahu berperang
macam Palestin dan Israel. Rasa rasanya, dialah Palestin. Tak pun seperti
Saddam Hussien dengan Goerge Bush yang sering
bersengketa suatu ketika dulu. Mikhail? Tahu-tahu sendirilah ya!
Mereka
berlima keluar dari asrama menuju ke kampus. Mereka berjalan dengan
berhati-hati kerana ada sebahagian jalan digenangi air akibat hujan lebat malam
tadi. Dalam perjalanan menuju ke kampus, Nissan Skyline GTR memecut agak laju
hingga mereka bermandikan air kotor.
Athirah
mengetap bibirnya menahan marah. Mereka berlima terpaksa berpatah balik ke asrama
untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. Malang sungguh nasib! Lambatlah
nampak gayanya mereka sampai hari ini. Apalah bentuk hukuman yang menanti mereka
agaknya? Masing-masing mencongak denda yang bakal mereka terima nanti.
“Siapalah
manusia yang tiada kesedaran sivik tu ya? Tak tahu ke had laju sekitar kampus ni
tak sama macam kat lebuh raya? Tetap juga nak bawa kereta macam pelesit. Kalau
gian sangat nak bawa kereta laju-laju, masuk aje F1 di Litar Sepang!” rungut
Athirah. “Aku... kalau jumpa orang yang bawa kereta tu, memang aku hempuk dia
cukup-cukup.” Athirah menyambung bebelannya sepanjang jalan menuju ke bilik.
Athirah
sebenarnya gentar hendak berhadapan dengan Mikhail. Entah apalah bentuk
hamburan yang bakal dia terima seketika nanti? Dan yang membuatkan dia
benar-benar gusar, entah apakah permainan yang bakal diaturkan oleh lelaki itu
untuk mengenakan dirinya kali ini? Mikhail bagaikan sengaja mencari pasal
dengannya. Athirah yakin, Mikhail tentu tidak akan melepaskan peluang keemasan
ini untuk menyakiti hatinya.
“Sabar
Athirah, mungkin orang tu tak sengaja agaknya. Manalah tahu dia tengah sakit perut
dan tidak tahan nak membuang. Itu yang terpaksa bawa laju.” Fazlina cuba meredakan
kemarahan Athirah.
“Kau
ni Faz... lembut hati sangat. Sekiranya kau bermurah hati hendak maafkan orang
tu, aku tak kisah. Tapi aku tetap akan cari hingga ke lubang cacing,” ujar
Athirah kegeraman. Dia masih lagi tidak berpuas hati. Dia tetap akan cari tahu siapakah
gerangan yang empunya kereta tersebut? Rasanya inilah kali pertama dia melihat
kereta tersebut di sekitar kampus.
MIKHAIL
terpaksa memecut laju keretanya kerana tidak mahu lewat ke kampus. Malam tadi
dia bermalam di rumah keluarganya. Umi dan abinya menyambut ulang tahun perkahwinan
mereka yang ke dua puluh enam.
Disebabkan Ducati kesayangannya meragam, Mikhail terpaksa memandu hari ini. Dan
tanpa sengaja, dia telah menyebabkan gadis pujaan dan rakan-rakannya kebasahan.
Sumpah! Dia bukannya sengaja membelah air. Ketika itu, dia sibuk menjawab panggilan
sahabat baiknya. Borhan meminta dia menjemputnya di asrama. Ada perkara yang
ingin dibincangkan memandangkan malam tadi dia tidak turut serta dalam
perbincangan yang diadakan.
Athirah
memerhatikan kereta yang menyebabkan dia kebasahan menuju ke tempat letak kereta.
Athirah memusatkan pandangannya. Dia ingin melihat siapakah pemilik kereta tersebut.
“Oh,
itu orangnya! Jaga kau...!!!” Dendam Athirah semakin bertambah bila terlihat gerangan yang empunya kereta tersebut.
“Sudah-sudahlah
tu. Tak baik berdendam dan marah-marah. Itukan sifat syaitan.” Fazlina memujuk Athirah.
“Faz
cakap senanglah, sebab mamat tu tak pernah sakitkan hati Faz. Tengok aku ni, bukan
sahaja sakit hati malah habis gatal satu badan. Macam beruk kena belacan pun
ada. Tergaru sana, tergaru sini. Entah benda apa yang bertakung dalam air itu pun,
kita semua tak tahu.” Athirah memprotes tidak puas hati.
“Sabarlah
Athirah! Sabar itukan sifat mulia dan terpuji.” Salmi menasihati Athirah.
Salmi
yang ala-ala kakak sulung jika beri tazkirah mahu bernanah telinga mendengarnya. Salmi banyak kali menegurnya supaya
berlembut dengan Mikhail.
“Kau
nak suruh aku bersabar macam mana lagi Sal?” soal Athirah geram. “Selama ni aku
dah habis sabar tahu dengan apa yang dia dah buat. Aku dengan manusia yang bernama
Mikhail, tak bolehlah nak mempamerkan aksi kesopanan dan kesusilaan. Apatah
lagi menunjukkan sifat kewanitaan dan keanggunan aku ni. Perangai dia tu... Masya-ALLAH!
Sebijik macam kera dalam hutan, tahu
tak? Suka mengganggu ketenteraman awam,”
luah Athirah dengan rasa marah yang semakin memuncak.
Salmi
hanya mampu menggelengkan kepala dengan kedegilan Athirah. Setahunya, Athirah bukanlah jenis yang keras kepala.
Tetapi bila berdepan dengan Mikhail, terus dia
jadi begitu. Rakannya yang lain hanya mendiamkan diri. Mereka tidak mahu
terlibat dalam pertikaman lidah antara
Salmi dan Athirah. Ketika mereka melewati kumpulan pelajar yang lain, nama
glamour kumpulan mereka dipanggil.
“Gadis
Cun Giler mari sini kejap.”
Borhan
atau panggilan mesra Abang Hans oleh pelajar junior memanggil nama glamor kumpulan mereka. Athirah dan
rakan-rakannya menghampiri Borhan.
“Kenapa
datang lewat?” tanya Borhan lembut. “Bukan ke sebentar lagi ada taklimat untuk kamu
semua?” Borhan mengerling jam tangannya.
“Maaf
Abang Hans! Tadi memang kami dah keluar awal dan sepatutnya lima belas minit
yang lalu kami dah berada di sini. Tapi... ada sekor gorila sesat yang melanggar air, habis basah baju kami semua.
Itu yang lambat sikit. Kami terpaksa berpatah balik ke asrama untuk
membersihkan diri dan menukar pakaian.” Athirah sengaja meninggikan suaranya.
Rakan-rakan
Athirah yang lain hanya mengangguk, tanda membenarkan apa yang diperkatakan olehnya.
. Namun
ditahan jua tawanya demi menjaga air muka sahabat baiknya.
Mikhail
yang mendengar sudah merasa hangat. Apa? Aku yang hensem lagi menawan ni disamakannya dengan 'gorila'! Memang nak kena cium ‘mata hijau’ ni! Sabarlah duhai
hati...!!! Mikhail mengurut dadanya. Nasib baiklah aku dah mula terjatuh sayang
dekat kau ‘mata hijau’! Jika tidak... mahu aku ramas-ramas mulut yang kuat mengomel
tu.
Sepanjang
program berlangsung, Athirah menjadi tidak selesa bila mata Mikhail terus
melekat ke wajahnya. Nak kena cungkil agaknya mata tu? Macam tak pernah tengok orang,
getus Athirah. Macamlah muka tu hensem
sangat! Sekiranya hensem pun tak gunalah
jika hati hitam mengalahkan arang, Athirah mengomel sambil memusing-musing
botol mineral yang berada di tangannya.
SELESAI
perjumpaan fakulti, Athirah meneruskan misinya untuk mendapatkan biodata dan tandatangan Mikhail. Athirah bertemu dengan
Borhan terlebih dahulu untuk meminta latar belakang Mikhail. Dia hanya akan berjumpa
dengan Mikhail apabila hendak mendapatkan
tandatangan sahaja. Melihat Borhan keseorangan, Athirah memberanikan diri
berjumpa dengan lelaki itu.
“Assalamualaikum
Abang Hans. Athirah mengganggu Abang Hans ke?” tanya Athirah sopan.
Borhan
tersenyum dan menjawab salam Athirah dalam hati.
“Tak.
Kenapa?”
“Athirah
nak minta tolong Abang Hans sikit boleh?” Melihat anggukan Borhan, Athirah
memulakan agendanya. “Boleh Athirah tanya beberapa soalan tentang saudara Mikhail?”
soal Athirah bersama senyuman manis. Hendak minta pertolongan orang, mestilah
tunjuk wajah yang manis dan menarik, bisik hatinya.
Borhan
tersenyum lagi sambil memandang Athirah. Dia amati wajah yang berada di hadapannya
ini. Athirah bukan sahaja cantik tetapi juga lemah lembut. Alunan suaranya
boleh membuai perasaan insan yang bernama lelaki. Kenapa dengan Mikhail karektornya
bertukar seperti kucing melindungi anak?
“Kenapa
tak tanya dengan tuan punya badan sendiri?” Borhan sengaja bertanya. Hasratnya ingin
melihat sejauh mana dinginnya hati Athirah terhadap Mikhail.
“Hah...?
Emm... emm...” Athirah menggaru-garu keningnya. Tidak tahu apakah jawapan
yang paling sesuai untuk pertanyaan Borhan. “Sebenarnya saya tak berminatlah
nak bertanya dekat dia. Dia tu egois sangat! Lepas tu suka marah orang tanpa
selidik terlebih dahulu.” Athirah mengadu kepada Borhan dengan nada separa berbisik.
Borhan
sudah tersenyum memandang Mikhail yang berada di belakang Athirah. Melihat
Mikhail mengetap bibir dan membulatkan biji matanya, Borhan tahu Mikhail sudah mendengar
apa yang telah Athirah luahkan sebentar tadi.
Mikhail
memberi isyarat agar Borhan meneruskan perbualannya. Dia hendak mendengar apa
yang ingin Athirah adukan lagi. Hatinya dipagut cemburu sebenarnya bila melihat
Borhan dan Athirah rancak berbual dan tersenyum manis. Sebab itulah dia
merapati mereka.
“Kenapa
Athirah tak suka dengan Abang Khai? Dia tu baik... hensem...! Ramai rakan Athirah yang ingin berkenalan dan buat abang
angkat. Athirah tak jatuh hati ke dengan Abang Khai?” soal Borhan sambil
mengorek rahsia.
Mikhail
sudah tersenyum senang mendengar Borhan memujinya.
Athirah
sudah tertawa mendengar kata-kata Borhan.
“Abang
Hans ni, buat lawak antarabangsalah. Orang macam tu abang kata baik? Saya ingat
abang ni dah rabun agaknya. Kalau abang nak tahu, perangai dia serupa dan sama macam
King Of The Jungle. Lepas tu, dia suka
cari kesalahan orang dan marah tak tentu pasal,” luah Athirah penuh perasaan.
“Kalau
suara dia tu sedap dan merdu macam suara Maher Zain atau Anuar Zain takpelah
juga sekiranya nak terjerit-jerit. Ini macam suara ungka dalam hutan dan katak
panggil hujan, buat sakit telinga aje mendengarnya,” tambah Athirah lagi
separuh berbisik. Dia tidak mahu Mikhail dan rakan-rakannya yang lain mendengarnya.
Borhan
sudah ketawa berdekah-dekah. Muka Mikhail sudah merah menahan marah. Dia masih mendiamkan diri kerana ingin
melihat sejauh mana Athirah mengutuknya.
“Abang
Hans kata dia tu hensem? Hisy... abang ni, kelakarlah! Saya rasa
Abang Hans ni kena pakai cermin mata. Muka dia tu dahlah macam rumah tak siap,
perasan kacak pulak tu. Diberi satu vigintillion dan dialah lelaki terakhir yang bujang dalam dunia
ni, saya tetap tak akan pilih dia jadi suami saya. Buat menghabiskan beras
saja. Tapi tak tahulah pulak jika dia
guna ilmu hitam untuk pikat saya,” ujar Athirah tanpa rasa bersalah.
“Jika
orang lain minat kat dia, siapalah saya hendak menghalangnya. Tapi untuk diri
saya... sorry! Nampak muka dia pun
saya tak sudi hendak memandangnya.” Athirah berkata bongkak.
Borhan
ketawa kelucuan.
Kepala
Mikhail sudah berasap.
Borhan
mengalih topik perbualan untuk mengelakkan suasana yang sudah hangat menjadi tegang.
“Macam
mana belajar? Okey?” Borhan bertanya soalan yang agak santai.
“Alhamdulillah...
setakat ni tak ada apa-apa masalah. Cuma rindukan emak dan ayah di kampung
sahaja.” Memang benar, Athirah sangat rindukan emak dan ayahnya. Setiap malam
dia pasti menangis bila teringatkan emak dan ayahnya. Nasib baik abang-abangnya
tinggal di KL, boleh juga dia melepaskan kerinduan.
“Athirah
masih single atau sudah berpunya?”
soal Borhan.
Dah
masuk bab personal lah pulak! Ini yang aku malas nak jawab
ni...!!! Andai aku ceritakan hal yang sebenar, dia percaya tak, apa yang bakal
aku cakapkan nanti? Desis hati Athirah.
“Entahlah
nak cakap macam mana! Nak kata sudah berpunya macam belum. Nak kata belum
berpunya, macam dah kena ikat.” Athirah bermain kata-kata dengan Borhan.
Terkebil-kebil
Borhan mendengar penjelasan Athirah yang dirasakan sukar untuk difahami dan berbelit-belit. Naik pening
kepala Borhan memikirkannya.
Athirah
terasa ingin tertawa melihat gelagat Borhan.
Mikhail
pula sudah berkerut dahi dan menggaru-garu kepalanya.
“Eh,
mana satu yang betul ni? Cubalah Athirah jangan main-mainkan abang.” Borhan tidak
puas hati apabila Athirah dirasakan cuba mempermainkannya.
“Kalau
belum berpunya kenapa? Jika sudah berpunya pun kenapa?”
“Sekiranya
masih single... bolehlah abang berkawan rapat dengan
Athirah.” Borhan memberi jawapan selamba
dan telus.
Mikhail
yang berada di belakang Athirah terpaksa menahan perasaan.
Borhan
tahu Mikhail cemburu dan ada hati terhadap Athirah. Borhan sengaja ingin
membakar hati dan perasaan Mikhail. Manalah tahu jika jeratnya mengena, bolehlah
dia bergewe dengan awek cun dari Pantai
Timur ini. Melihat jegilan Mikhail, Borhan tersenyum lebar.
“Setakat
hendak berkawan, Athirah tak kisah. Jika ada pasang niat lain, Athirah minta maaf sebab misi Athirah belum tercapai
dan ‘masih terikat’. Andai abang sanggup tunggu tiga puluh atau empat puluh
tahun lagi bolehlah,” gurau Athirah.
Mikhail
sudah tersenyum mengejek dan mengangkat kedua-dua ibu jarinya.
Perangai
macam budak darjah empat. Tak matang langsung, bisik hati Borhan.
“Jikalau
nak tunggu tiga puluh atau empat puluh tahun lagi, silap-silap abang pun dah reput
dimamah bumi,” ujar Borhan. Dia juga sudah tertawa kelucuan.
“Abang
Hans... macam mana dengan biodata yang saya minta tadi?” soal Athirah. Dia juga
sudah mengeluarkan nada manjanya.
“Tu...
tuannya dah ada kat belakang Athirah,” ujar Borhan dan berlalu pergi
meninggalkan Mikhail dan Athirah.
Athirah memusingkan badannya. Alangkah
terkejutnya Athirah bila mukanya betul-betul berhadapan dengan muka Mikhail. Hidung
mancungnya sudah pun menyentuh hidung Mikhail. Bulat mata Athirah memandang Mikhail,
cepat-cepat dia menjarakkan diri dan menundukkan wajahnya. Dia sangkakan Borhan
sekadar bergurau. Alamak... dia dengar ke apa yang aku cakap kat Borhan tadi? Habislah
aku kali ini! Athirah... you’re totally death!
BILA
suasana menjadi sepi, Athirah mengangkat wajahnya. Bila mata bertentang mata,
perasaan aneh menyelinap dalam hati masing-masing. Mereka saling merenung dan meneroka
wajah di hadapan mereka. Hati Athirah berdebar-debar, manakala jantung Mikhail berdegup
kencang. Bagaikan tarikan magnet kutub utara bertemu kutub selatan, mereka
terus menatap tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Dia
benar-benar kacak dan tampan. Mata hazelnya
sungguh memikat. Athirah terbuai-buai dengan ciptaan ALLAH yang berada di depan
matanya kala ini. Hisy... apa yang
kau melalut ni Athirah? Ingat... dia tu musuh kau!!! Lepas tu ingat sikit
status diri kau. Berdosa tahu menduakan suami! Athirah bermonolog dengan
dirinya. Alah, bukan ke Si Adam sudah berpesan, aku bebas buat apa yang aku
suka? Hisy... apa yang aku melalut tak
tentu pasal ni? Athirah beristighfar berkali-kali bila tersedar dia sudah jauh
menyimpang. Ya ALLAH... lindungilah aku daripada bisikan syaitan yang
melalaikan, doa Athirah.
Kau
sungguh jelita sayangku. Matamu..., bibirmu..., benar-benar menguji keimananku.
Mikhail menelan air liurnya berulang kali. Kalaulah Athirah isteri aku...
Mikhail yang pada mulanya ingin menghamburkan kemarahannya tidak jadi berbuat
demikian. Terleka dia seketika dengan keindahan yang berada di hadapannya saat
ini.
Deheman
Borhan menyedarkan lamunan Mikhail. Borhan sudah tersenyum sambil menjungkitkan
kedua-dua keningnya minta Mikhail beri penjelasan selepas ini. Setelah mengambil
buku notanya yang tertinggal, Borhan meninggalkan merpati dua sejoli itu berdiskusi.
“Sudah
puas teroka wajah saya? Ada jerawat batu atau bintik-bintik hitam?” Pertanyaan
Mikhail bernada usikan. Matanya merenung tepat wajah ayu Athirah.
“Jangan-jangan awak sudah tergoda dengan saya tak? Mulut awak aje kata saya tak hensem, tapi hati awak tak sudah-sudah memuji kekacakan saya,
kan?” Mikhail menghulurkan senyuman menggoda
dan menawan. Harap-harap kau cairlah kat aku, Athirah sayang oii!!! Sejak bertemu Athirah, Mikhail sudah pandai
bersayang-sayang dan mengeluarkan ayat-ayat cinta.
“Ma.. ma.. maaf Bang Khai, saya tak sengaja langgar abang tadi,” ujar Athirah tergagap-gagap.
Mukanya sudah merona merah menahan malu. Macam manalah mamat gorila ni boleh
tahu aku puji dia? Gumam Athirah. Dia juga sudah ketakutan sebenarnya. Dia
bimbang jika Mikhail menengking dan mengherdiknya seperti selalu.
Melihat
muka Athirah kemerahan, Mikhail semakin galak menyakat. “Apa? Awak panggil saya
bangkai?” Mikhail meninggikan suaranya. Dia sengaja berbuat demikian
semata-mata ingin menutup malu kerana terlalu asyik meneroka wajah Athirah. Dia
juga bimbang jika Athirah dapat membaca apa
yang tersirat di hatinya.
“Eh...
eh... bu... bukan macam tu! Saya tak panggil abang bangkai. Saya panggil Abang
Khai.” Kalut Athirah memperbetulkan sebutannya. Hisy... sejak bila aku jadi gagap ni? Mamat ni pun satu! Harap muka
aje hensem tapi telinga pekak badak!
Entah berapa tahun tak korek agaknya? Kutuk Athirah dalam hatinya.
Athirah
berlalu pergi. Namun teringatkan misinya yang belum selesai, dia berpatah
balik. Dia sempat berpesan kepada rakan-rakannya supaya menunggu dia di luar
dewan. Borhan juga sudah hilang entah ke mana. Tinggallah dia berdua dengan Mikhail
aka mamat gorila.
“Assalamualaikum...
Abang Khai. Maaf mengganggu sekali lagi. Boleh saya dapatkan biodata dan tandatangan abang?” Athirah menghulurkan
senyuman sehabis manis dan tutur kata sesopan mungkin. Dalam hati, TUHAN saja
yang tahu betapa menyampahnya dia hendak menghadap muka Mikhail. Athirah
sebenarnya pelik, kenapa dia seorang sahaja yang perlu mendapatkan biodata
Mikhail.
Aduh,
manisnya senyumanmu! Apakah azimat yang kau pakai sayang hingga hati abang tidak
keruan jadinya?
“Ehem...
ehem...” Mikhail berdehem beberapa kali membetulkan kerongkongnya yang tersekat
dan saluran pernafasannya yang tersumbat.
“Awak
ni memang suka buat kerja last minute,
kan? Awak tahu tak saya tengah sibuk sekarang. Kenapa sebelum ini, awak tak
datang jumpa saya?” tanya Mikhail. “Itulah, asyik bergalak sana sini, tergedik
sana sini dan menggatal sana sini, bila dah hujung-hujung masa barulah sibuk nak
minta tandatangan dan biodata saya,” sindir Mikhail.
Athirah
menjadi bengang dengan tuduhan Mikhail.
“Ah...
sudahlah kalau tak nak bagi tandatangan awak! Jangan nak menghina tak tentu
pasal. Saya pun tak ingin nak dapatkan tandatangan awak tu,” herdik Athirah.
“Macamlah dapat duit satu juta sekiranya dapat tandatangan awak?” omel Athirah
lagi. Dia menjadi marah bila Mikhail tidak habis-habis menghina dan mencari
kesalahannya.
Ketika
Athirah hendak melangkah pergi, entah macam mana kakinya tersilap langkah dan
hampir terjatuh. Nasib baik Mikhail sempat memaut pinggangnya. Jika tidak tentu
benjol dahinya mencium lantai. Semasa Mikhail ingin menegakkan diri Athirah, terjadi
lagi insiden yang tidak diingini. Kali ini Athirah siap tertiarap atas badan
Mikhail.
“Awak
sengaja buat-buat jatuh atas saya, kan?” soal Mikhail kasar. “Saya rasa awak ni
sengaja nak goda saya. Jangan-jangan awak nak rogol saya tak?” tuduh Mikhail.
“Entah-entah awak ni perogol bersiri dan ingin jadikan saya mangsa yang seterusnya?”
Mikhail sengaja membakar perasaan Athirah. Pada hal dalam hati bukan main
gembira dan bahagia lagi bila Athirah jatuh ke dalam dakapannya. Dan tangannya juga
masih memeluk erat pinggang Athirah.
Athirah
tersentak mendengar kata-kata Mikhail. Cepat-cepat dia bangun dan meloloskan
diri dari pelukan Mikhail. Dia kata aku perogol bersiri? Ini sudah lebih! Hati
aku dah panas tahap gaban dah ni! Athirah
mengomel dalam hati sambil mengipas-ngipas mukanya dengan tangan. Matanya
meliar memandang sekeliling mencari botol mineral yang terpelanting entah ke mana.
Apabila terlihat botol mineral tersebut, pantas tangannya mencapai lalu minum
seteguk dua untuk menghilangkan panas hatinya itu. Saat terpandang Mikhail ingin
beredar, segera dia menahan.
“Hah...
awak nak ke mana tu? Saya belum habis berurusan dengan awak lagi.” Nada suara Athirah
sama seperti tadi, masih meninggi. Jika bukan kerana biodata dan tandatangan
Mikhail, sudah lama dia meninggalkan dewan tersebut. Mujurlah ketika insiden
terjatuh atas Mikhail, Dewan Kuliah 1 sudah kosong, yang tinggal hanya mereka
berdua.
Mikhail
menghentikan langkahnya dan kembali menghampiri Athirah.
“Oii... mamat perasan bagus! Kau ingat
aku ni kebulur sangat ke nak rogol kau? Kau ni dah hilang akal agaknya? Tenaga kau
dengan aku siapa yang lebih kuat, tolol plus
bahalol?” Athirah memandang Mikhail. Bagaikan hendak ditelan hidup-hidup
sahaja Si Mikhail tu. Ha... kan dah keluar bahasa yang tak sepatutnya daripada mulut
aku! Hu... hu... hu.., sia-sia aje
amalan aku hari ni. Ini semua gara-gara mamat sewel nilah, Athirah mengomel
dalam hatinya.
“Ooo...
jika awak bukan perogol bersiri, maknanya awak nak menggedik dengan sayalah, bukan
begitu Cik Athirah? Tak pun awak nak perangkap saya. Lepas tu, awak nak suruh
saya kahwin dengan awak. Maklumlah saya ini kan jejaka terhangat di kampus.”
Mikhail memanaskan lagi suasana yang sememangnya sedang hangat terbakar.
Kesejukan
penghawa dingin sudah tidak terasa lagi. Yang ada ketika ini hanya lahar gunung
berapi yang sedang aktif dan akan meletus bila-bila masa sahaja.
“Hei,
kau dengar sini baik-baik!!! Kalau setakat muka macam kau ni, berlambak aku boleh
jumpa dekat Chow Kit tahu? Aku bukannya perempuan gedik sepertimana yang engkau
fikirkan. Aku tak ingin dan tak terliur langsung hendak berkahwin dengan kau...
FAHAM!” usai berkata-kata, Athirah membaling botol mineral yang berada di tangannya
ke arah Mikhail dan berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.
“Adoi...!”
jerit Mikhail. Dahinya digosok. “Sayang... sayang..., nasib baiklah kau baling dengan
botol mineral. Buatnya kau baling dengan botol kaca... mahu berjahit dahi abang
ni sayang oii!!!” Dalam sakit-sakit,
sempat juga dia menyakat Athirah.
Botol
mineral yang jatuh di sisinya dikutip, dan baki air yang diminum Athirah, diteguknya.
“Emm... sedap juga rasa air mineral ni! Manis...
macam tuannya!” bisik Mikhail.
ATHIRAH mencari
kelibat rakan-rakannya. Panas hatinya sudah tidak tertanggung lagi. Mikhail
dilihatnya semakin kecil sahaja.
“Eeii... melampau betullah mamat ni! Apa dia
fikir dia tu bagus sangat ke... sampai semua orang tergila-gilakan dia? Bercakap
ikut sedap mulut dia aje. Apa? Dia ingat aku ni perempuan murahan? Tolong sikit
ya! Kalau muka hensem tapi perangai mengalahkan
segala bapak jin, aku pun tak hairan. Biar muka tak hensem tapi hati baik,” omel Athirah kegeraman.
“Kenapa
dengan aku aje dia layan macam tu? Dengan budak-budak junior lain boleh pulak dia
cakap baik-baik. Jangan-jangan dia ni lahir bulan gerhana tak? Itu yang tak
boleh jumpa dengan orang cantik jelita macam aku ni?” bebel Athirah sepanjang
perjalanan menuju ke tempat rakan-rakannya berkumpul.
“Kenapa
Athirah buat macam tu pada Abang Khai? Kesian dia! Lagipun tak baik. Nasib baik
tak benjol atau pecah kepala orang tua tu?
Kalau tidak, kes niaya kau.” Fazlina menegur sebaik sahaja Athirah
berdiri di hadapannya.
Fazlina
sememangnya tidak puas hati dengan perangai Athirah yang tidak boleh bersabar apabila
berdepan dengan Mikhail. Dan yang membuatkan Fazlina dan rakan-rakannya yang lain
menjadi pelik, kenapa hanya dengan Mikhail saja Athirah buat seteru.
Bulat
mata Athirah memandang Fazlina. Dia tidak menyangka Fazlina nampak dia
membaling botol ke arah Mikhail. Harap-haraplah rakannya itu tidak melihat dan
mendengar pertengkaran dia dengan Mikhail.
“Aku
rasa lebih baik kau minta maaf dengan dia.”
“Kenapa
mesti aku yang kena minta maaf dekat dia?” tanya Athirah tidak berpuas hati dan
sedikit baran.
Fazlina
menggeleng kepala dengan kedegilan Athirah.
“Kenapa
kau marah sangat dengan dia?” Fazlina balas dengan soalan juga.
“Mulut
dia tu yang laser dan busuk macam lori
sampah, kau tahu tak?” gerutu Athirah.
Sakit hatinya semakin menjadi-jadi, namun entah mengapa jauh di sudut hatinya
ada sesuatu yang sukar untuk dia sendiri tafsirkan.