Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Thursday, 15 March 2012

Cinta Itu Milikku Bab 13




MALAM itu, lena Athirah sekali lagi terganggu. Dia masih lagi diulit oleh mimpi seperti semalam. Tapi kali ini tiada lagi wajah yang mengerikan dan aksi-aksi yang menggerunkan.
Kelihatan seorang lelaki kacak, berpakaian serba putih memimpin tangannya. Lelaki itu membawanya ke kawasan tepi sungai yang dikelilingi bunga-bungaan yang sangat cantik dan mewangi. Tidak jauh dari situ, kelihatan seorang wanita yang sangat cantik juga berpakaian serba putih sedang berdampingan dengan seorang jejaka. Mereka kelihatan sedang menunggunya dan lelaki berpakaian serba putih itu. Setelah tiba ke destinasi yang ditujunya, lelaki yang berpakaian serba putih itu mengucup dahinya dan tersenyum manis. Tangannya diserahkan kepada wanita berpakaian serba putih yang sedang menunggunya. Wanita itu mendakap erat tubuhnya seraya berbisik...
“Dia akan jadi pelindung dan pendampingmu wahai anakku. Kamu harus taat dan menghormati dirinya. Sayangi dan cintai dirinya sepenuh jiwa ragamu. Jangan sesekali ingkar akan arahannya kerana syurgamu terletak di bawah kakinya.”
Setelah itu tangannya berada dalam genggaman jejaka tersebut. Wajah jejaka itu masih kabur, tapi senyuman menawan itu seperti pernah dilihatnya. Tapi siapa dan di mana? Wajah yang kabur itu semakin jelas pada penglihatannya.
“Abang...”
Athirah terus terjaga dari tidurnya. Dadanya berombak-ombak. Begitu kencang sekali. Seolah-olah dia baru sahaja menamatkan larian 100 meter pecut. Tekaknya terasa kering dan kesat, mukanya mula berpeluh.
“Tak mungkin dia suamiku! Apakah maksud yang cuba disampaikan melalui mimpi ini?  Adakah mimpi kali ini berkait rapat dengan mimpinya yang lalu?” tanya Athirah kepada dirinya sendiri.
Ah, ini semua hanya mainan tidur belaka! Tak mungkin Adam Mikhail adalah orang yang sama dengan Adam suaminya, desis hati Athirah. Tapi bagaimana jika mereka adalah orang yang sama? Ah... sudahlah! Sambung tidur lagi bagus.
Athirah membaringkan tubuhnya semula, bibirnya tidak lekang dengan senyuman.  Mentang-mentanglah mamat tu suruh aku mimpikan dia, terus aje aku masukkan dia dalam lena aku. Kuat sungguh aura dia! Nampak sangat aku kuat berangankan dia. Mustahillah Si Mikhail tu boleh jatuh cinta dengan aku! Tapi pesona cinta jelas terbias di mata hazelnya yang memikat itu. Renungan mata hazel itu sungguh memukau dan senyuman menawannya mampu menggetarkan naluri kewanitaannya. Ya ALLAH... lindungilah aku daripada godaan dan gangguan syaitan, doa Athirah.


MIKHAIL terjaga dari lenanya. Jam menunjukkan pukul empat pagi. Rasanya baru dua jam dia melelapkan mata. Selepas menghubungi Athirah, dia membuat sedikit rujukan untuk tugasannya.
Mikhail melihat umi dan abinya sedang bersantai bersama seorang gadis di bawah sepohon pokok. Ketika itu mereka berada di sebuah kawasan pergunungan yang sangat cantik dan berlatarkan pemandangan yang hijau serta bunga-bungaan berwarna-warni. Apabila terpandang wajahnya, uminya menggamit dan memanggil namanya. Gadis itu menundukkan wajahnya bila dia menghampiri.
“Adam...” Uminya bersuara. “Umi serahkan gadis ini kepada Adam untuk Adam lindungi dan dampingi sepanjang hidup Adam. Umi harap Adam dapat pikul tanggungjawab yang telah ALLAH amanahkan kepada Adam dengan sebaik mungkin. Sayangi dan cintai dia dengan sepenuh hati. Kasihi dirinya dan jangan sekali-kali sakiti hatinya.” Sesudah itu uminya menyerahkan tangan gadis itu ke dalam genggamannya.
Mikhail mengangkat wajah gadis itu. Dia benar-benar terpanar dan sungguh tidak mempercayai apa yang dilihatnya.
“Sayang...”
Tercetus sahaja panggilan tersebut di bibirnya, Mikhail terus tersedar dari lenanya. Mikhail tersenyum mengingati mimpinya sebentar tadi.
Aikk... sayang! Abang suruh sayang mimpikan abang. Tapi sayang pulak yang datang dalam mimpi abang.”
Memang sah, aku dah benar-benar angaukan Si Athirah nampak gayanya. Sungguh kuat ‘tarikan magnet hatimu’ sayang. Hinggakan dalam lena dan dalam jaga hanya wajahmu menemani hari-hari abang. Mikhail menyambung kembali lenanya. Kepalanya tidak henti memikirkan apakah petanda dan maksud yang tersirat di sebalik mimpinya ini hinggakan umi dan abinya turut serta memainkan peranan melakonkan watak dalam mimpinya itu.


ATHIRAH menggeliat kemalasan. Dia masih lagi meniti ‘hari wanita sedunianya’. Oleh itu, dia tidak perlu tergesa-gesa untuk mandi dan menunaikan solat Subuh.
Malasnya nak mandi. Kalau tak mandi, boleh tak? Bisik hati Athirah sambil mencium ketiaknya. Wangi lagi..., getus hatinya. Jika di kampung, emaknya selalu berceramah kerana keliatannya hendak mandi pagi. Terpaksalah emaknya menjerangkan air untuk menyuruhnya mandi. Tetapi sejak Abang Roslannya memasang water heater, tiada lagi alasan untuknya bermalasan mandi pagi. Athirah menyelongkar beg pakaiannya dan mencari pakaian yang sesuai untuk dipakai.
“Eh... Athirah pakai macam ni nak pergi Genting?” Rohana memandang Athirah yang memakai blouse kuning cair dan skirt labuh warna hitam.
Athirah menilik pakaian yang sudah tersarung di tubuhnya.
“Kenapa Kak Hana, tak boleh ke pakai macam ni?” Athirah bertanya pelik.
Aku nak pakai macam mana lagi? Tak akan nak pakai baju kurung atau kebaya nyonya. Itu dah macam nak pergi beraya dan ke rumah orang kahwin, desis hati Athirah. Athirah menggaru kepalanya yang sememangnya gatal ketika itu.
“Kita pergi Genting naik motor bukannya naik kereta. Lagipun tak muat naik kereta ramai-ramai,” ujar Rohana. “Abang Hax dan Abang Shah tidak gemar memandu. Kata mereka susah hendak mencilok dan tak sesuai dengan jiwa lelaki mereka,” terang Rohana lagi.
“Naik motor Kak Hana?”Athirah bertanya lagi inginkan kepastian.
Rohana angguk kepala.
Athirah mengeluh.
“Athirah rasa Athirah tak boleh pergilah Kak Hana kalau macam tu. Athirah belum pernah lagi naik motor dengan orang lain, selain ayah dan abang-abang Athirah,” kata Athirah sedikit gusar.
Walaupun sudah diberitahu kepada emaknya tentang keinginan pergi ke Genting bersama kawan-kawan, tetapi Athirah bimbang jika terserempak dengan salah seorang abangnya. Tentu letih dia hendak bersoal jawab dan menangkis serangan soalan yang datang bertubi-tubi. Mahu rentung kena tazkirah dengan abang-abangnya jika lihat dia membonceng motosikal dengan lelaki yang bukan mahramnya.
Bagaimana jika terserempak dengan mentua atau suami misteri kesayangannya itu? Tidak ke mati katak dia nanti? Buatnya wayar fius otak Mikhail putus atau skrunya tertanggal dan mengaku dia sebagai kekasih di hadapan mereka, tidak ke mendatangkan bala yang besar? Aduh, boleh mati aku tak lama lagi jika masalah ini tidak berakhir secepat mungkin!
“Athirah janganlah risau, kakak berdua kan ada. Kakak akan lindungi Athirah jika Mikhail nakal-nakal dengan Athirah nanti,” tambah Rohana lagi. Rohana tidak tahu apa yang bersarang dalam kepala otak Athirah sekarang ini.
Athirah melangkah longlai masuk ke dalam bilik yang ditumpanginya bersama Rohana dan Mahani untuk menukar skirt labuhnya kepada seluar jeans. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nada dering yang disetkan untuk rakan-rakannya.
“Assalamualaikum... Faz. Apa hal? Seronok pergi kampung Aisyah?” tanya Athirah kepada rakan sebiliknya itu.
“Waalaikumsalam. Tidak ada apa-apa. Aku ada kat bilik ni. Tak jadi ikut Aisyah balik kampung. Mereka dah pergi malam tadi, lepas kau keluar dengan Mikhail. Ayah Aisyah datang ambil,” jelas Fazlina senafas.
“Macam mana kau boleh tertinggal kereta api ni?” tanya Athirah. Pelik juga dia. Bukan ke Fazlina yang beria-ia mahu mengikut Aisyah apabila dia mengajak untuk study bersama-sama.
“Bukan aku tertinggal. Tapi aku yang tak nak pergi. Malam tadi perut aku tiba-tiba meragam. Aku malaslah nak menyusahkan Aisyah,” terang Fazlina. “Athirah... kalau aku join kau boleh? Aku boringlah duduk sorang-sorang dalam bilik ni. Lagipun bila kau takde, aku dah mati kutu,” luah Fazlina.
“Nanti aku tanyakan mereka, kau tunggu kejap ya.” Athirah bertanyakan kepada Mahani tentang permintaan Fazlina itu. “Faz, kau bersiap! Dalam sepuluh atau lima belas minit lagi, kami sampai. Kau kenalkan kereta Viva Kak Hana?”


ATHIRAH menghela nafas lega. Kehadiran Fazlina membolehkan dia menarik diri daripada mengikuti Mikhail pergi ke Genting. Setibanya mereka di rumah sewa Rohana dan Mahani, Mikhail sudah pun sampai dengan kawan-kawannya, Hax dan Shah. Mereka kelihatan sedang berborak dengan Mahani.
  “Assalamualaikum...” Athirah menyapa.
“Waalaikumsalam...” Mereka yang berada di situ menjawab salam Athirah.
Athirah menghampiri Mikhail. Dia menguis lengan lelaki itu supaya mengikutnya seketika.
“Amboi, cantiknya buah hati abang pagi ni!” Mikhail memuji seperti biasa. “Ada apa-apa yang sayang ingin cakapkan pada abang ke?” Mikhail bersuara ceria.
Bila teringatkan mimpinya malam tadi, senyuman di bibirnya tidak pernah lekang. Dari bangun tidur hinggalah ke saat ini, bibirnya begitu murah mengukirkan senyuman. Jangan ada yang terkena diabetes sudahlah bila terlihat senyuman manisnya itu. Umi dan abinya juga memandang dengan sedikit pelik melihat kelakuannya.
“Sayang rasa tak bolehlah ikut abang pergi Genting. Faz takde kawan nanti. Tak akan sayang nak tinggalkan dia sorang-sorang kat rumah Kak Hana dan Kak Ani.” Athirah berharap sangat alasannya dapat diterima Mikhail.
Namun belum sempat Mikhail menjawab, kedengaran enjin motosikal berkuasa tinggi berhenti di hadapan rumah sewa Rohana dan Mahani. Borhan tersenyum memandang ke arah mereka.
“Sayang jangan risau, tu penyelamat dah sampai.” Mikhail mengajak Athirah menyertai kawan-kawannya yang lain.
Athirah sedikit kaget dengan kedatangan Borhan. Kata mereka, Borhan tidak dapat turut serta kerana ada urusan keluarga. Tapi kenapa kini muncul dengan senyuman hingga ke telinga?
Fazlina terpinga-pinga melihat beberapa buah motosikal di rumah Rohana dan Mahani.
Hey... mak cik! Mereka semuanya ni nak ke mana?” bisik Fazlina.
“Mereka nak bawa kita pergi Genting,” ujar Athirah perlahan.
“Kenapa kau tak cakap dengan aku masa kat asrama tadi? Kalau aku tahu kau nak pergi Genting, lebih baik aku lepak dalam bilik saja,” bisik Fazlina sedikit geram.
“Aku manalah tahu Si Borhan ada sekali. Kata Mikhail, hanya Hax dan Shah sahaja yang pergi. Aku ingat dengan ajak kau datang ke sini, bolehlah aku elakkan diri dari ikut mereka. Manalah aku tahu tiba-tiba Si Borhan boleh tercongok depan ni,” bisik Athirah.
Athirah dan Fazlina sudah tersengih bila semua mata memandang mereka.
“Ha... sayang mengumpat abang ya?” serkap Mikhail. “Bukan ke dulu sayang pernah kata, tak baik berbisik jika ada orang lain di samping kita? Tengok sekarang siapa yang melanggar peraturan?” perli Mikhail sambil tersenyum.
Athirah sudah tersengih sambil menunjukkan barisan giginya yang putih bersih dan teratur itu.
Sorry tak sengaja.”
“Itulah, lain kali jangan suka perli orang.” Mikhail mencuit hidung mancung Athirah.
Mikhail tahu apa yang bersarang dalam kepala buah hati kesayangannya itu. Sebelum berangkat ke rumah sewa Rohana dan Mahani tadi, Mahani ada menelefon dan memberitahunya kemungkinan rancangan mereka untuk naik ke Genting terpaksa dibatalkan. Ini kerana Fazlina ingin datang ke rumah sewanya. Apabila terdengar nama Fazlina, Mikhail memberitahu Mahani bahawa rancangan mereka tetap berjalan sepertimana yang dirancangkan. Mikhail terus menghubungi Borhan dan menyatakan cadangannya. Borhan yang sebelum ini tidak mahu turut serta terus memberikan persetujuannya. Mikhail tahu kenapa Borhan enggan mengikutnya ke Genting sebelum ini. Semuanya kerana gadis bernama Fazlina.
“Okey... guys! Sekiranya dah siap, kita bergerak sekarang. Kita akan singgah di restoran Selasih untuk sarapan pagi.” Mikhail memberi arahan.
Athirah memerhatikan Mikhail. Mikhail bukan sahaja kacak tetapi juga berkarisma. Tidak hairanlah jika dia mampu menyandang jawatan presiden di kampus. Mikhail juga bijak bergaya. Tengoklah sekarang ini, betapa segaknya Mikhail berdenim biru dan berjaket kulit warna coklat. Sejak kebelakangan ini, warna pakaian mereka sering sedondon. Apakah ini satu kebetulan atau gerak hati mereka selalu seiring?
“Sayang pakai jaket dan sarung tangan ini ya. Abang tidak mahu sayang kesejukan nanti. Jaket ini mungkin sedikit longgar untuk sayang.” Mikhail menghulurkan jaket kulit dan sarung tangan berwarna coklat milik uminya kepada Athirah.
Malam tadi Mikhail memberanikan diri meminjam jaket dan sarung tangan daripada uminya. Uminya sedikit pelik dengan permintaannya itu.
“Anak umi nak buat apa dengan benda-benda ni?” tanya Dr. Zulaikha sambil menghulurkan jaket dan sarung tangan yang Mikhail pinta.
“Kawan Adam nak pinjam untuk makwe dia. Esok mereka nak pergi Genting,” ujar Mikhail sambil menghulurkan senyuman penuh rahsia.
Mikhail sebenarnya bimbang jika uminya tahu dia turut serta ke Genting. Apatah lagi jika uminya tahu dia menjalinkan hubungan dengan perempuan lain. Mahu masak, mendengar uminya membebel.
Melihat uminya tersenyum manis dan berpesan tidak perlu memulangkan kembali barang-barang tersebut, hati Mikhail menjadi lega. Mikhail tahu uminya mempunyai banyak koleksi jaket dan sarung tangan. Setakat menghadiahkan sepasang sarung tangan dan sehelai jaket tersebut tentu tidak mendatangkan masalah buat uminya. Fuh... nasib baik umi tak banyak soal! Kalau tidak... mati dia hendak menjawab segala soalan uminya.
Athirah merenung motosikal Mikhail. Bawalah EX5 atau EGO, senang sikit aku nak naik. Ini bawa motor besar gedabak! Macam mana aku nak naik ni? Aku nak pegang mana? Lainlah dengan Abang Tam. Boleh aku pegang bahu dia, desis hati Athirah.
Mikhail tertawa kecil melihat Athirah ragu-ragu hendak naik motosikalnya.
“Sayang pegang bahu abang. Jangan bimbang... beralas,” tutur Mikhail. Lantas senyuman kacaknya dihulurkan buat Athirah.


MIKHAIL memarkir Ducati kesayangannya. Topi keledar Athirah ditanggalkan dan tudung Athirah yang sedikit kelepet dibetulkannya. Sungguh romantik! Mikhail merenung wajah pujaan hatinya itu. Walaupun Athirah tampil simple tanpa sebarang alat solek dan lipstick  merah menyala, namun Athirah tetap anggun di matanya. Mungkin inilah yang dikatakan penangan cinta. Buruk di mata orang lain tetapi indah pada pandangan kita. Tetapi Athirah memang cantik, bukan sahaja pada wajah malahan apa sahaja yang ada pada diri gadis itu. Jika tidak, masakan ramai yang cemburu akan dirinya. Adakah pilihan umi dan abinya sejelita Athirah?
“Sayang suka makan nasi dagang, kan? Sebab itu abang bawa sayang datang ke mari. Restoran ni memang popular dengan masakan Pantai Timurnya tau. Jom kita masuk ke dalam,” ajak Mikhail bersama senyuman di bibir. Mikhail masih ingat lagi makanan kegemaran Athirah walaupun minggu orientasi sudah lama berlalu.
Kedengaran telefon bimbit Athirah berbunyi.
Athirah tersenyum lebar melihat nama pemanggil. Semalam dia ada menelefon emaknya memberitahu akan ke Genting bersama rakan-rakannya. Emaknya tidak menegah mahupun menggalakkan. Cuma emaknya berpesan supaya menjaga tingkah laku dan maruah diri serta maruah keluarga termasuk mentuanya.
Mikhail merenung tajam Athirah. Mungkin tidak berpuas hati melihat senyuman manis yang menghiasi bibir buah hatinya.
“Assalamualaikum... mak.”
Mikhail sudah tersenyum lebar bila mengetahui siapakah gerangan di hujung talian.
“Waalaikumsalam. Jadi Baby pergi Genting?”
“Jadi mak. Sekarang tengah berhenti sarapan. Lepas ni sambung balik perjalanan. Ada  apa mak telefon pagi-pagi ni?” Bimbang juga Athirah jika ada hal kecemasan di kampung.
“Emak nak bagi tahu, hujung bulan ni mak tak jadi datang KL. Mak akan ke sana pertengahan bulan depan. Mak nak sambut puasa di sana. Senang sikit mak datang sekali harung,” beritahu Mak Salamah. “Lagipun Abang Lan dan Abang Tam kamu tak dapat balik. Mereka simpan cuti untuk raya. Jadi biar mak dengan ayah sahaja yang datang,” tambah Mak Salamah lagi.
Emm... ikutlah apa yang terbaik di fikiran mak dan juga ayah! Baby ikut sahaja. Tapi janji...  jangan tak jadi datang pulak. Nanti Baby merajuk tak nak balik kampung lagi,” ugut Athirah dengan nada manja.
“Alah... mak tahu kenapa Baby tak nak balik! Baby dah tersangkut dengan orang sana, kan?” giat Mak Salamah.
Hisy... mana ada mak! Baby nanti nak kahwin dengan orang Terengganu juga. Jika boleh sebelah rumah. Apa kata... mak tolong pinangkan Izwan, anak Pak Cik Ibrahim untuk Baby ya?” Athirah sudah ketawa kelucuan mendengar ideanya.
“Sudahlah Baby! Jangan asyik nak kenakan mak saja,” marah Mak Salamah. “Cakap tu jangan main ikut sedap mulut saja. Ingat diri tu sikit! Sudah berpunya tapi masih lagi nak mengaku bujang,” bebel Mak Salamah. “Sampaikan salam mak pada suami kamu Si Adam tu. Bagi tahu dia, bawa motor tu elok-elok sikit,” ujar Mak Salamah. Mak Salamah tidak sedar yang dia sudah terlepas cakap tentang Mikhail kepada Athirah.
“Ala... mak janganlah merajuk! Baby gurau ajelah!” rengek Athirah manja. “Kesian ayah, jika mak asyik merajuk! Tak larat ayah nak pujuk,” usik Athirah bersama sengihan.
“Anak bertuah ni, ada sahaja idea nak kenakan kita!” bebel Mak Salamah. Anak perempuannya itu, kalau sudah bergurau sukar hendak berhenti.
“Okeylah mak, nanti kita borak lagi ya. Assalamualaikum.” Setelah Mak Salamah membalas salamnya, Athirah mematikan talian. Tak larat Athirah nak berlama di talian dengan emaknya. Ada sahaja tazkirah yang akan keluar dari mulut emaknya itu.
Athirah teringat pesanan emaknya. ‘Sampaikan salam pada’? Otaknya kembali memproses kata-kata emaknya. “Sampaikan salam mak pada suami kamu, Si Adam tu!!!”
Bulat mata Athirah memandang Mikhail. Mulutnya sudah terlopong namun segera ditutup dengan tangannya. Adakah di depan aku ini, Adam suamiku? Adam Mikhail yang selama ini ingin aku berlakon sebagai kekasihnya adalah suamiku? Dia bagaikan tidak percaya dengan berita yang baru dia dengari itu. Ya ALLAH... benarkah dia suamiku? Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH atas kurniaan-Mu ini, bisik Athirah dalam hati. Air mata kesyukuran yang menitis membasahi pipi, disekanya dengan jari.
Akan kupikat dia hingga tersungkur ke dalam pelukanku dengan perasaan cinta dan kasih sayang yang membara hanya untukku hingga ke akhir nafasnya, tekad Athirah. Mikhail mesti tak tahu lagi bahawa aku ni isteri dia. Sekarang masa untuk aku kenakan dia. Dulu sombong sangat, ‘Saya tak kenal dan tidak mencintai awak’, Athirah mengulangi kembali kata-kata Mikhail dalam hati. Sekarang kalau tak nampak batang hidung, mulalah macam cacing kepanasan. Itulah... orang tua-tua dah kata, tak kenal maka tak cinta. He... he... he... inilah masanya untuk aku membalas dendam! Bila lagi nak kenakan suami sendiri, kan...? Masa dia tak tahu siapa aku nilah, bisik hati Athirah sambil tersengih nakal.
Mikhail merenung Athirah dengan perasaan pelik dan tidak berpuas hati. Kenapa Athirah menitiskan air mata? Adakah emaknya memaksa dia berkahwin sepertimana umi dan abi memaksa dirinya? Tapi kenapa tersenyum pula? Adakah air mata itu, air mata gembira?
“Kenapa sayang menangis dan lepas tu tersenyum?” tanya Mikhail.
“Menangis? Mana ada. Mungkin mata masuk habuk agaknya. Tersenyum tadi tu sebab suka tengok wajah abang yang hensem dan memikat hati.” Athirah berdalih.
Mikhail tersenyum mendengar alasan Athirah. Namun dia masih tidak berpuas hati apabila Athirah menyuruh emaknya meminang seorang lelaki untuk dirinya. Habis tu dia, ke mana Athirah mahu campak?
“Kalau sayang nak kahwin dengan orang Terengganu, habis tu abang macam mana?” Mikhail bertanya.
“Alah... abang ni! Itu pun nak ambik serius. Sayang bergurau ajelah dengan mak.”
“Tapi manalah tahu sekiranya sayang memang dah planning nak kahwin satu kampung,” luah Mikhail tidak berpuas hati.
“Abang... jangan fikirkan sangat tentang perkara ini. Kita tak tahu dengan siapa jodoh kita sebenarnya. Manalah tahu jodoh sayang dengan abang,” ujar Athirah sambil tersenyum manis. Memang abang sudah tertulis untuk sayang, desis hati Athirah. Matanya dengan berani menikam anak mata Mikhail.
Mikhail sudah tersenyum kelat mendengar kata-kata Athirah. Ya... memang benar, jodohnya sudah ditentukan ALLAH. Mikhail teringat gadis yang dinikahi tanpa kerelaannya dua tahun lalu. Sehingga kini dia menggantung isterinya itu. Hanya wang nafkah sahaja dimasukkan setiap bulan sebagai tanda tanggungjawabnya seorang suami. Itu pun abi atau uminya yang uruskan.
“Tapikan abang...” Lama Athirah memandang muka Mikhail dengan senyuman semanis gula yang mekar di bibirnya. Dia ingin melihat reaksi Mikhail. Terasa ingin ketawa Athirah melihat muka Mikhail yang sedikit blur.
Jantung Mikhail sudah berdegup kencang. Dia tidak pasti sama ada senyuman manis yang Athirah hidangkan kepadanya membuatkan jantungnya bergetar hebat atau perkhabaran yang akan Athirah sampaikan.
“Sayang mana boleh kahwin ‘satu kampung’ dan abang juga tak boleh kahwin ‘satu kampung’, berdosa!!!” Athirah menggantung kata-katanya sambil menunakkan pandangannya ke muka Mikhail yang kelihatan sudah pening.
Berkerut-kerut dahi Mikhail mendengarnya.
“Sayang hanya boleh berkahwin dengan seorang sahaja dalam setiap perkahwinan kecuali sayang diceraikan atau suami sayang meninggal dunia. Abang pula hanya boleh berkahwin sampai empat sahaja. Itu kouta yang diluluskan oleh hukum syarak. Tetapi mestilah memenuhi syarat-syarat tertentu. Jadi... macam mana pula abang boleh kata, sayang planning ‘kahwin satu kampung’?” Athirah sudah tertawa dan ingin melarikan diri.
Mikhail memicit kepalanya yang sedikit pening dengan penerangan Athirah. Tidak lama kemudian, dia sudah tertawa besar bila memahami apa yang ingin Athirah sampaikan.
“Oh... nakalnya dia!” Lalu tangan Athirah ditarik dan pipi Athirah dicubit geram. “Pandai ya kenakan abang!”
Memang betul! Lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu. Tentu tidak menjadi kesalahan jika dia menduakan isterinya itu. Lagipun isterinya tahu, dia bebas melakukan apa sahaja yang dia suka. Dia tidak perlu meminta izin terlebih dahulu.
“Aduh, sakitlah abang!” Athirah menggosok pipinya. Muncungnya juga sudah panjang berdepa-depa tanda merajuk.
“Lain kali kalau kenakan abang, abang bukan sahaja cubit, malahan abang akan buat lebih daripada itu,” ugut Mikhail. “Abang suka sangat dengan muncung sayang tu! Rasa macam nak gigit sahaja!” Mikhail mengusik Athirah. Kasihan pula dia melihat pipi Athirah yang sudah kemerahan. Itu yang susahnya jika kulit terlalu putih. Kena cubitan walaupun tidak sekuat mana sudah kelihatan merah.
Athirah menutup mulutnya.
Eeii... gatalnya!” Athirah mencubit pinggang Mikhail.
Mereka berdua tertawa riang.
Athirah tidak perlu lagi runsing untuk menjaga batas-batas pergaulannya, kerana di sampingnya kini adalah suaminya. Athirah berazam akan menggoda Mikhail hingga suaminya itu tidak boleh berenggang lagi dengannya walaupun sesaat.
“Hoi! Kau orang berdua ni tak reti nak makan ke? Cepatlah sikit... nanti lambat pulak kita sampai,” laung Borhan buat merpati dua sejoli itu. Dia sangat-sangat berterima kasih dengan Mikhail. Tanpa Mikhail, tentu hari ini dia hanya terperap di rumah. Dan kalau Fazlina tidak turut serta, tentu dia hanya makan dan tidur sahaja sepanjang hujung minggu ini.
Hax dan Shah hanya tersenyum melihat gelagat rakan-rakannya.
Seronok Shah melihat perubahan yang berlaku ke atas diri Mikhail. Andai dulu... sebut sahaja tentang perempuan, Mikhail merupakan orang pertama yang meminta izin untuk beredar atau dulu-duluan cabut lari. Tapi kini... dia pula orang pertama yang tampil ke hadapan untuk minta tips dan cara-cara hendak memikat hati perempuan.
Sekiranya Mikhail yang dahulu, pantang melihat perempuan mengada-ada atau menggeletis, mulalah mulutnya cepat melaser. Tapi kini... sikap itu semakin berkurangan. Mujurlah Athirah bukan jenis perempuan yang suka menarik perhatian lelaki. Kalau tidak tentu Mikhail juga tidak menggemarinya.
















Monday, 12 March 2012

Cinta Itu Milikku bab 12


  

H
UBUNGAN Athirah dan Mikhail masih lagi berlangsung seperti biasa. Walaupun sibuk, Mikhail tetap mencari ruang untuk meluangkan masa bersamanya. Jika tidak dapat keluar bersama, Mikhail akan menelefon atau menghantar e-mel kepadanya. Sikap Mikhail yang prihatin, sering membuai-buai perasaan Athirah. Namun semua itu terpaksa Athirah kuburkan sebelum menjadi parah. Tembok dan benteng perlu dia robohkan terlebih sebelum mendekati Mikhail. Selagi akad belum terlerai, selagi itulah dia hanya mampu bermimpi untuk jalan seiringan dengan Mikhail.
Telefon bimbitnya berbunyi...
“Assalamualaikum... sayang! Ingat abang tak hari ni? Emm... rindu abang tak?” tanya Mikhail. Suara Mikhail juga kedengaran sedikit serak. Maklumlah baru bangun tidur. Selepas solat Subuh, Mikhail menyambung kembali tidurnya. Malam tadi dia tidur agak lewat kerana menyiapkan tugasannya.
“Waalaikumsalam. Emm... banyaknya soalan! Tak tahu mana satu yang nak jawab dulu! Abang kat mana tu?”Athirah mengalih topik perbualan. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan perasaannya. Antara dia dan Mikhail tiada hubungan istimewa melainkan sekadar lakonan semata-mata. Athirah kadangkala pelik dengan sikap Mikhail. Mengapa Mikhail begitu murah menuturkan kata cinta, sayang dan rindu jika dia tidak ikhlas untuk memaknakannya.
“Sekarang abang tengah berehat kat bilik. Sekejap lagi nak bersiap-siap pergi kelas. Sayang tengah buat apa tu? Takde kelas ke?”
“Baru lepas habis kelas Puan Siti Fatimah. Sekejap lagi nak pergi minum dengan kawan-kawan sementara menunggu kelas berikutnya,” balas Athirah.
“Malam ni, sayang free tak? Abang rindulah! Dah lama kita tak keluar bersama. Cakap dalam telefon tak best! Tak dapat nak tengok muka sayang yang cantik dan blushing bila malu.” Mikhail mengusik Athirah. Tapi dia sememangnya rindukan Athirah. Sejak kebelakangan ini dia terlalu sibuk. Hinggakan waktu untuk bersama Athirah terpaksa dia korbankan.
“Rasanya tak boleh kut. Lepas kelas, sayang nak pergi rumah Kak Hana dan Kak Ani. Nak minta mereka ajar beberapa subjek yang sayang kurang faham. Dan sayang mungkin tidur kat rumah mereka.”
Mikhail sudah tersenyum di talian. Akalnya juga sudah panjang berdepa-depa. Ini bermakna sepanjang hujung minggu, dia boleh berkepit sakan dengan Athirah.
“Macam nilah! Lepas makan malam, abang hantar sayang ke rumah sewa mereka, boleh?”
“Bolehlah macam tu. Kita keluar lepas Isyak. Ingat! Lepas makan, abang terus hantar ke rumah mereka. Jangan nak melencong ke tempat lain pula!” Athirah memberi amaran. Athirah tahu dia tidak boleh menolak setiap ajakan Mikhail.
“Abang setuju! Pukul sembilan abang ambil sayang. Okeylah, abang nak bersiap ni. Nanti terlewat pulak. Miss me okey,” ujar Mikhail sebelum mematikan talian.
Hisy... mamat ni! Memang pakar menggoda! Nasib baiklah aku dah siap pasang perisai. Kalau tidak mahu terjatuh cinta, omel Athirah dalam hatinya.
Oii... mak cik, cepat sikit! Jalan macam itik! Terkedek-kedek!!!” laung Aisyah.
“Yalah... yalah...!!! Aku jalan lajulah ni!” ujar Athirah sedikit jengkel.
Huh, ada ke patut Si Aisyah ni samakan aku dengan itik! Aku yang cun-melecun ni macam itik? Habaq mai tang mana macam itik tu? Gumam Athirah. Hebatnya kau Athirah! Boleh cakap loghat utara. Puji Athirah kepada dirinya sendiri.
“Amboi... dapat bercakap dengan cik abang bukan main lagi seronok ya? Terus bersemangat! Kalau tidak... dalam kelas asyik monyok je macam ayam berak kapur,” sakat Aisyah lagi.
“Mana kau tahu aku monyok sebab rindukan dia? Aku bukan rindu dialah, tapi rindu kat mak aku di kampung,” ujar Athirah sedikit sayu.
Aisyah terdiam.
“Kau orang tolong belikan aku horlick panas dan karipap boleh? Aku nak telefon mak aku kejap,” ujar Athirah kepada empat orang sahabatnya itu.
Fazlina, Aina, Aisyah dan Salmi mengangguk sebelum beredar.
Athirah mencari tempat duduk buat mereka berlima sementara sahabat-sahabatnya membeli makanan dan minuman.
“Assalamualaikum... mak. Mak dan ayah sihat?” tanya Athirah apabila suara Mak Salamah kedengaran di talian. 
“Waalaikumsalam...  mak dengan ayah sihat. Alhamdulillah.”
“Hujung bulan ni, boleh tak mak datang sini? Baby rindulah kat mak dan ayah.” Suara Athirah sudah bertukar sebak. Dia sememangnya manja dengan emaknya. Maklumlah dia anak tunggal perempuan.
“Hujung bulan ni ya? Tengoklah macam mana nanti. Mak tanyakan ayah dulu.” Mak Salamah tahu sangat dengan perangai manja anaknya. Langsung tak boleh nak berenggang. Jika boleh, nak duduk bawah ketiak dia dan suaminya sahaja.
Baby sihat? Macam mana belajar? Semuanya okey? Takde pasang niat nak berhenti belajar lagi?” tanya Mak Salamah bertalu-talu. Dia bimbangkan anak perempuannya itu. “Baby belajar kat sana tu elok-elok. Ingat sikit, Baby tu isteri orang. Jangan buat perangai tak tentu hala.” Mak Salamah mula memberi tazkirah buat anak bongsunya. Dia bimbang jika anaknya itu lupa akan status dirinya. “Baby tak pergi ziarah umi dan abi?”
Amboi... emakku sayang! Banyaknya soalan maut. Kenapalah tak simpan sikit soalan-soalan tu untuk tahun depan? Getus Athirah.
“Alhamdulillah... Baby sihat. Semuanya okey dan terkawal bos!” gurau Athirah.
Ketawa Mak Salamah di talian.
“Buat masa ni, belum ada masa lagilah hendak berjumpa mereka. Sibuk sangat.” Athirah beralasan. “Insya-ALLAH, sekiranya ada masa yang sesuai, Baby akan jenguk mereka,” ujar Athirah menyedapkan hati emaknya. Mati hidup balik rasanya, dia tidak akan sekali-kali menjejakkan kaki ke rumah mentuanya.
Athirah teringat lagi peristiwa di awal kemasukannya ke universiti. Gara-gara kena marah dan kena denda dengan Mikhail, dia menelefon emaknya di kampung supaya datang mengambilnya. Dia ingin berhenti belajar dan pulang ke kampung. Mujurlah emak dan ayah serta abang-abangnya banyak memberikan semangat dan dorongan. Kata mereka, itulah adat resam hidup bergelar pelajar. Kadangkala yang sedih dan menyakitkan hati itulah yang akan jadi peristiwa manis untuk dikenang.
Kini dia akui kebenaran kata-kata tersebut. Detik bertikam lidah dan berperang seperti Palestin dengan Israel menyebabkan hubungannya dengan Mikhail semakin rapat. Kadangkala dia rasakan, dialah kekasih hati Mikhail yang sebenar dan bukannya sekadar lakonan. Tapi bila teringatkan siapa dirinya,  Athirah terpaksa berpijak di bumi nyata. Hingga kini dia belum pernah berjumpa dengan suaminya. Kadangkala dia sendiri terlupa yang dirinya adalah isteri orang jika emaknya tidak mengingatkan statusnya.


TEPAT sembilan malam, Mikhail menelefonnya dan memberitahu dia sedang menunggu di bawah. Mikhail sememangnya jenis menepati janji dan masa.
Mikhail membawa Athirah ke restoran makanan laut yang terletak tidak jauh dari rumah sewa Rohana dan Mahani. Makanan laut di situ semuanya segar dan masakannya pun enak. Selepas makan, Mikhail menghantar Athirah ke rumah sewa Rohana dan Mahani.
“Sayang... esok abang bawa pergi jalan-jalan ke Genting, sayang nak tak?” tanya Mikhail penuh pengharapan. Dia ingin menghabiskan masa hujung minggunya bersama Athirah. Sudah lama mereka tidak keluar bersama.
Eeii... mamat ni! Bukan ke aku dah kata hari Sabtu ni, aku nak belajar dengan Kak Hana dan Kak Ani. Yang dia pandai-pandai buat program tu kenapa? Benci sungguhlah macam ni. Benci... benci... benci...!!! Bisik hati Athirah. Jika aku kata tak nak, mesti akan keluar ayat ugutan dari mulut dia. Mesti dia tak terima cadangan aku. Dia ni tanya aje soalan NAK ke TAK! Tapi kalau aku bagi jawapan TIDAK, dia tak akan terima punyalah! Athirah mengomel dalam hatinya.
“Nantilah sayang tanya mereka bila nak ajar.” Athirah beralah. “Err... abang! Sebenarnya sayang tak boleh nak berlama kat rumah mereka. Ikutkan perancangan, pagi Ahad sayang dah nak balik asrama. Nak gosok baju untuk ke kelas minggu hadapan.” Athirah berdalih.
“Tentang hal belajar tu, sayang tak perlu bimbang. Sayang bawa aje nota-nota tu ke sana, nanti boleh juga belajar. Baju-baju tu, tak akanlah tak boleh gosok kemudian?” Mikhail memujuk. “Susah-susah sangat, bagi aje kat abang, biar abang tolong gosokkan,” gurau Mikhail.
Hisy... dia ni! Selagi aku tak kata setuju, selagi itulah dia merayu. Macam-macam alasan dia bagi, selagi aku tak kata, ya!
“Tengoklah macam mana nanti. Tapi sayang tak janji sama ada boleh pergi atau tidak,” terang Athirah. “Selamat malam abang,” ujar Athirah sambil menutup pintu kereta.
“Selamat malam sayang. Mimpikan abang malam ni ya,” pinta Mikhail sebelum berlalu membelah malam. Mikhail akan berpakat dengan member-membernya malam ini untuk naik ke Genting esok. Mikhail yakin Rohana dan Mahani akan turut serta jika kekasih hati mereka ada sekali.
Athirah memerhatikan kereta Mikhail berlalu pergi sebelum masuk ke dalam rumah Mahani dan Rohana.
“Assalamualaikum... Kak Hana... Kak Ani. Akak berdua dah makan malam?” Athirah beramah mesra.
Rohana, Mahani, Nora dan Azah begitu baik dengan Athirah dan juga rakan-rakannya. Hanya seorang sahaja yang sering tidak berpuas hati dengannya iaitu Masyitah. Tapi Athirah dapat rasakan Masyitah sebenarnya cemburu kerana Mikhail rapat dengannya.
“Kami berdua sudah makan, Kak Hana yang masak. Athirah dah makan?” Mahani bertanya ramah.
“Sudah kak. Dengan Abang Khai tadi,” ujar Athirah malu-malu.
“Sekiranya Athirah inginkan apa-apa, ambil aje di dapur. Jangan malu-malu, buat macam rumah sendiri ya.” Rohana bersuara.
“Untung Athirah dapat berkawan dengan Abang Khai. Dia tu baik sangat. Mungkin masa minggu orientasi dia marah-marah sebab nak tarik perhatian Athirah agaknya. Sepanjang akak berdua di sini, belum lagi akak dengar perkara yang tidak baik tentang dia. Akak rasa, Athirah ni cinta pertama dia. Sejak bercinta dengan Athirah, dia begitu ceria dan semakin bersemangat untuk belajar. Kak Ani rasa, tahun ni mesti dia jadi pelajar cemerlang,” kata Mahani.
“Betul tu Athirah! Belum ada lagi mana-mana perempuan yang dapat menggoncang imannya. Bukan takde yang cuba mengorat dia. Tu hah kawan baik akak, Masyitah! Dah lama duk mengayat Si Mikhail. Tapi Mikhail buat tak layan aje. Makin dingin mengalahkan bongkah ais, adalah! Itu yang akak pelik. Kenapa dengan Athirah boleh runtuh pulak ego dia? Kalau Athirah nak tahu,  sesiapa yang tak kenal rapat dengan Mikhail, ada yang menganggap Abang Mikhail awak tu gay. Yalah siapa yang tak menaruh syak, sekiranya siang malam asyik berkepit dengan Si Borhan. Nasib baiklah semua cerita tu hilang begitu sahaja,” jelas Rohana panjang lebar. Kasihan juga dia pada Mikhail, rakan-rakannya yang lain sudah lama bercouple. Tapi Si Mikhail, baru sekarang hendak belajar mengenal apa itu cinta.
Telefon bimbit Athirah berbunyi.
“Maaf kak, Athirah nak jawab panggilan telefon,”  ujar Athirah sopan. Athirah berlalu meninggalkan Rohana dan Mahani di ruang tamu.
“Helo... sayang! Belum tidur lagi?” Kedengaran suara Mikhail. Begitu mempesona sekali nada suaranya.
Berdegup hebat jantung Athirah. Dia sendiri tidak faham dengan jiwa dan hatinya. Dia sering mengingatkan dirinya supaya tidak jatuh cinta dengan Mikhail. Tapi dalam pada masa yang sama, dia juga mendambakan Mikhail selalu ada bersamanya. Jadi... jalan mana yang harus dipilihnya?
“Belum lagi. Abang kat mana sekarang?”
“Abang kat rumah keluarga abang. Esok abang ambil sayang pukul lapan pagi. Kita pergi sarapan dulu. Lepas tu kita naik Genting. Sayang jangan tidur lewat ya, nanti tak bertenaga pula kat sana. Tentang Kak Hana dan Kak Ani tu, sayang jangan bimbang. Abang rasa buah hati mereka sudah pun memberitahu mereka berdua. Okeylah sayang, dah larut malam ni. Mimpikan abang malam ni ya. I always miss you, love!”
Terbuai-buai perasaan Athirah mendengar kata-kata romantis Mikhail. Sinar cinta Mikhail begitu terserlah di matanya, hanya Athirah sahaja yang tidak mampu menggapainya. Jauh di sudut hati Athirah, perasaan sayangnya terhadap Mikhail semakin hari semakin memutik.
Athirah tiba-tiba teringatkan sahabat karibnya. Rakannya yang lain bercadang ke rumah Aisyah hujung minggu ini. Athirah pada mulanya ingin mengikut Aisyah pulang ke rumahnya tetapi terpaksa membatalkan hasratnya kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Dia perlu membuat persediaan awal dan rapi. Sekiranya dia cemerlang dalam peperiksaan pertama ini, Abang-abangnya telah berjanji akan menaja percutiannya pada cuti semester nanti. Athirah tidak mahu melepaskan peluang yang datang bergolek. Nampak gayanya, rancangan hanya tinggal rancangan sahaja. Jikalau Mikhail tidak mendesak, tentu dia boleh menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran hujung minggu ini.



  










Tuesday, 6 March 2012

Cinta itu Milikku - Bab 11


BERGELAR pelajar memang memenatkan. Setiap masa, dia perlu berkejar ke sana ke mari untuk mencari bahan rujukan dan bertemu pensyarah. Namun... untuk menjadi manusia yang berguna dan berilmu, semua itu bukanlah batu penghalang buat Athirah.
Itu belum lagi pening kepalanya mencipta alasan untuk menolak setiap ajakan Salman dan beberapa pelajar lain. Pernah suatu hari dia keluar makan malam bersama Salman, apabila bertembung dengan Mikhail, terus lelaki itu mengamuk. Macamlah dia isteri Mikhail. Nasib baik tidak berlaku pergaduhan, jika tidak tentu malu besar jadinya. Mana Athirah hendak letak muka andainya perkara tersebut sampai ke pengetahuan emak dan ayahnya di kampung serta mentuanya. Jikalau abang-abangnya tahu, lagi teruk! Mati dia dikerjakan!
Tapi Salman ni jenis manusia yang tak pernah serik. Katanya... selagi dia belum rasmi menjadi isteri Mikhail, selagi itulah Salman akan merebutnya. Raut wajah Mikhail ketika itu usah ceritalah. Mengalahkan singa yang tak makan setahun. Sejak itu, Mikhail mengongkongnya. Ke mana dia pergi dan apa yang hendak dia lakukan, harus dilaporkan terlebih dahulu. Dia juga tidak bebas berkawan atau bergaul dengan lelaki lain di kampus.
Setelah tamat kelasnya, Athirah pergi ke perpustakaan mencari bahan untuk assignmentnya. Fazlina tidak dapat turut serta kerana ada perjumpaan kelab. Salmi, Aina dan Aisyah telah pulang ke asrama. Hampir tiga jam bergelumang dengan buku dan kertas, Athirah melangkah keluar dari perpustakaan.
Getaran telefon bimbit dipoket seluarnya membuatkan Athirah tersentak dan kegelian. Semasa di perpustakaan, dia telah menukar telefon bimbitnya pada silent mode.
“Helo! Assalamualaikum...” Athirah memulakan bicara.
“Waalaikumsalam. Baby sihat...?” Rostam bertanya.
Selepas menghantar Athirah mendaftar tempoh hari, baru hari ini dia berpeluang menghubungi adiknya itu. Tuntutan kerja membuatkan masanya untuk bersama adik kesayangannya itu semakin berkurangan.
“Abang Tam...,” jerit Athirah. Mata-mata yang memandangnya tidak lagi dihiraukan. Sudah lama dia tidak mendengar khabar berita dan berjumpa dengan abangnya yang seorang itu berbanding Abang Roslan dan Abang Rosmannya.
“Abang Tam... rindunya dekat abang! Rindu sangat-sangat! Abang Tam kat mana sekarang ni? Jikalau Abang Tam ada kat KL, datanglah jumpa Baby.” Athirah bersuara teruja. Dia benar-benar gembira dapat mendengar suara abangnya itu.
“Memang Abang Tam nak jumpa Baby. Baby kat mana sekarang? Abang Tam dah ada depan asrama Baby ni. Hari ni kita balik rumah ya! Esok pagi-pagi, Abang Tam hantar pergi kelas. Abang Tam ada beli hadiah istimewa untuk Baby tau!” Rostam memancing adiknya.
“Ala... Baby masih dekat library lagi ni! Apa kata Abang Tam ambil Baby kat sini,” pinta Athirah manja.
“Okey! Baby tunggu kat tempat yang mudah Abang Tam nampak! Sekejap lagi abang sampai.”
Mata Athirah melilau mencari kelibat Rostam. Athirah tidak sedar ada sepasang mata yang melihat dan sepasang telinga yang mendengar. Athirah melambai-lambaikan tangannya bila terlihat Kawasaki ZZR1400 milik Rostam. Seperti biasa, tangan dan kedua-dua belah pipi abangnya itu dikucup.
Perasaan jejaka yang memandang aksi Athirah dan Rostam panas membara. Hancur luluh hati lelakinya mendengar nada ceria Athirah. Tapi dia tidak boleh salahkan Athirah. Dia tidak pernah meluahkan perasaannya yang sebenar. Malahan mereka menjadi rapat pun kerana ugutannya.
Hati lelakinya membungkam melihat Athirah memeluk erat tubuh lelaki itu. Dia kenal lelaki itu. Lelaki yang sama semasa hari pendaftaran. Matanya setia memerhati Athirah hinggalah bayang Athirah hilang dari pandangan. Dia akan berusaha meraih cinta Athirah. Dia tidak boleh terlalu cemburu. Mungkin sahaja hubungan mereka sudah lama terjalin. Pastinya lelaki itu sungguh istimewa di hati Athirah hinggakan Athirah masih lagi setia dan tidak berpaling hingga kini.
Dia akan merampas Athirah dari genggaman lelaki itu secara perlahan-lahan. Dia akan buat Athirah merasakan kehadirannya dan menyintai dirinya sepenuh hati. Dia tidak boleh tersilap langkah dan terburu-buru. Andainya dia tersalah membuat percaturan, dia pasti akan kecundang dan Athirah akan pergi jauh dari hidupnya. Tidak mustahil juga dia akan kehilangan Athirah buat selama-lamanya. Dia nekad akan merebut Athirah dari tangan sesiapa pun. Athirah akan jadi miliknya dan kekal jadi miliknya sampai bila-bila.


ATHIRAH merenung abang-abang kesayangannya. Masing-masing seronok bercerita tentang zaman kecil mereka. Hubungan Athirah dengan mereka hanyalah adik-beradik susuan. Tetapi kasih sayang yang dihulurkan oleh mereka, seolah-olah dia daripada rahim dan benih yang sama. Tidak kurang sedikit pun kasih sayang yang diterimanya, malahan melimpah ruah. Sikap ambil berat abang-abangnya membuatkan Athirah tidak pernah merasa tersisih.
Roslan berusia dua puluh sembilan tahun. Merupakan Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Rosman berusia dua puluh tujuh tahun, bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di JAWI, Kuala Lumpur manakala Rostam berusia dua puluh lima tahun dan bekerja sebagai arkitek di salah sebuah syarikat terkenal di ibu negara. Mereka juga mempunyai seorang adik lelaki bernama Rashid tetapi telah meninggal dunia. Khabarnya, semasa Athirah dilahirkan, adik lelaki mereka baru berusia sembilan bulan dan mengalami masalah jantung berlubang. Semasa Athirah berusia tiga bulan, Rashid telah pergi meninggalkan mereka semua kerana berlaku komplikasi jantung dan gagal diselamatkan.
Ibu bapa Athirah meninggal dunia ketika dia masih bayi. Athirah merasa amat sedih kerana tiada satu pun kenangan ibu bapanya yang ditinggalkan, hatta sekeping gambar. Athirah teringin sangat hendak menatap wajah mereka. Menurut cerita Mak Salamah, ibunya meninggal dunia semasa melahirkannya kerana mengalami pendarahan yang teruk akibat kemalangan dan bapanya pula meninggal dunia kerana disuntik dengan suntikan beracun.
Selain Mak Salamah dan Pak Kassim, Athirah juga mempunyai mama dan papa angkat. Mama angkatnya bernama Khaty dan papa angkatnya pula bernama Wan. Mereka jarang berada di Malaysia. Kebanyakan masa mereka dihabiskan di luar negara. Mereka mempunyai banyak rangkaian perniagaan di dalam dan luar negara. Papa dan mama angkatnya sering menghubunginya melalui telefon dan mengirimkan pelbagai hadiah terutama ketika menyambut ulang tahun kelahirannya.
Athirah masih ingat lagi semasa berusia lima tahun. Mama dan papa angkatnya datang ke Teratak Emelda dan tinggal bersama mereka selama beberapa tahun. Ketika itu, papa dan mama angkatnya baru pulang dari Amerika Syarikat setelah mendapatkan rawatan di sana kerana terlibat dalam kemalangan ngeri. Tujuan mereka kembali ke Malaysia adalah untuk mendapatkan rawatan bomoh patah yang terkenal di Terengganu. Papa angkatnya lumpuh daripada bahagian pinggang hingga ke kaki.
Mereka sangat baik dan sayangkan Athirah. Mereka juga mahu Athirah menganggap mereka seperti mama dan papa sendiri kerana mereka tidak mempunyai anak manakala Athirah telah kehilangan kedua ibu bapa. Setiap malam Athirah akan tidur bersama papa dan mama angkatnya. Mereka juga banyak menghabiskan masa bersama. Mama angkatnya mengajar dia dan abang-abangnya bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bertutur bahasa tersebut setiap hari menyebabkan Athirah begitu fasih berbahasa Inggeris. Tetapi dia lebih mengagungkan penggunaan bahasa Ibunda. Mama dan papa angkatnya juga banyak membantu dia dan abang-abangnya dari segi kewangan.
Athirah tidak perlu membuat pinjaman PTPTN untuk belajar di universiti. Wang yang  diterima daripada ayah, abang-abang, papa angkat dan wang nafkah suaminya, mencecah ribuan ringgit sebulan. Hanya dia sahaja yang tidak mahu mempamerkan kemewahannya. Kata emaknya, jangan terlalu boros dalam menggunakan wang ringgit dan guna bila perlu sahaja. Sejak kecil lagi, dia dididik supaya bersederhana dan menabung. Oleh itu, hingga dia meningkat dewasa, dia gemar mengekalkan sifat sebegitu dalam dirinya.
Sedang sibuk melayan perasaan mengimbau memori lampau, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Mikhail di situ. Athirah berlalu meninggalkan abang-abangnya dan masuk ke bilik tidurnya.
“Assalamualaikum..., abang.” Athirah memulakan mukhadimahnya.
“Waalaikumsalam.  Sayang buat apa tu?” Mikhail bertanya. Dia ingin tahu ke mana Athirah pergi dan dengan siapa dia berjumpa.
“Tak buat apa-apa. Kenapa? Abang nak buat spot check ke?” soal Athirah. Athirah sekadar ingin bergurau dengan Mikhail.
“Kalau abang nak buat spot check, tak boleh ke?” soal Mikhail kembali.
“Boleh...” Meleret manja sahaja nada suara Athirah. “Okey... sayang bagi tahu abang!  Sekarang ni sayang berada di rumah adik-beradik sayang dan sedang berbaring di atas katil. Tengah berbual dengan seorang lelaki yang kacak lagi tampan bernama Mikhail. Puas hati abang sayang?” usik Athirah.
Tertawa Mikhail mendengar kata-kata Athirah.
“Habis tu, macam mana sayang nak pergi kelas esok?”
“Itu abang tak perlu risau. Buah hati sayang akan hantar ke kampus esok.”
Athirah rasakan, dia tidak perlu menjaga hati dan perasaan Mikhail. Mikhail bukan kekasih atau suaminya. Andai Mikhail tidak mahu berkawan lagi dengannya, itu sudah baik. Tidak perlu dia melayan kerenah Mikhail yang kadangkala menyesakkan dada dan menggetarkan naluri wanitanya. Athirah turut merasa bimbang dan rungsing. Jika tersalah langkah, dia juga yang jatuh tersungkur nanti. Dia bukan lagi gadis bujang yang boleh menabur benih kasih dan cinta terhadap insan yang dia sayangi sesuka hati. Kasih sayangnya yang mula bercambah tidak mampu ditanam di tempat yang terlarang itu.
Mendengar pengakuan Athirah, jantung Mikhail terasa hendak meletup. Hatinya bagaikan dihiris sembilu berbisa. Tidak salah lagi tekaannya. Lelaki itu memang ada hubungan istimewa dengan Athirah. Apakah yang harus dia lakukan? Perlukah dia mengaku tewas sebelum berjuang?
“Jikalau dia itu buah hati sayang, habis tu siapa pula abang di  hati sayang?” Mikhail perlu tahu kata hati Athirah.
“Abang... kekasih sayanglah. Bukan ke abang yang suruh sayang jadi kekasih abang?” Athirah berkata jujur. Pening Athirah memikirkan soalan Mikhail. Bukan ke Mikhail yang inginkan dia menjadi kekasih lelaki itu?
Mikhail yang tidak mahu mengeruhkan suasana, mengubah topik perbualan mereka.
“Sayang nak abang jemput esok?”
“Tak payahlah. Sayang tak nak menyusahkan abang.”
Athirah menoleh pabila terdengar bunyi ketukan pintu. Terlihat muka Rostam di muka pintu.
“Abang... kita berhenti di sini dulu ya. Buah hati sayang dah panggil, kami nak keluar makan.”
“Baiklah jika macam tu.” Terus Mikhail memutuskan talian.
Perasaan sedih, kecewa dan marah bergabung menjadi satu. Athirah menerimanya sebagai kekasih sebab dia yang suruh dan paksa. Bagaimana pula dengan lelaki itu? Adakah Athirah menerimanya dengan rela atau terpaksa seperti dengannya juga? Dia harus bersabar dan terus berusaha seandainya mahu Athirah kekal disampingnya. Dia juga harus membuangkan perasaan cemburu jika ingin mengekalkan hubungan yang sedia terjalin antara mereka.
Mikhail tidak mahu terlalu cepat mengaku kalah tanpa bertempur terlebih dahulu. Sekiranya dia memutuskan hubungannya dengan Athirah, ramai lelaki di kampus bertepuk tangan dan bergembira. Mereka pasti mengambil peluang yang terbuka luas untuk memikat Athirah dan seterusnya menjadikan Athirah sebagai teman mereka. Antara Athirah dan lelaki itu belum tentu akan kekal bersama. Selagi Athirah belum berkahwin, Mikhail rasakan peluangnya untuk memiliki Athirah amat cerah sekali.