“DARI mana dapat duit hingga boleh beli
buku sebanyak tu?” tanya Darwin sambil menghampiri Wardina yang sedang
meletakkan minuman di atas meja kopi. Pelik juga dia apabila budak sekolah
boleh mengumpul novel setambun macam tu.
“Ada
yang beli guna duit biasiswa dan ada juga pinjam duit Along,” jawab Wardina
sambil menyusun gelas minuman. Sebenarnya sebahagian dari novel tersebut adalah
milik arwah ibunya.
“Along?”
tanya Darwin sedikit terperanjat. Matanya juga merenung Wardina dengan tajam.
Apa pasallah singkat sangat kepala otak budak ni? Ada ke patut pinjam duit
dengan ‘Along’ semata-mata nak beli novel.
“Ke...
ke... kenapa? Salah ke pinjam dengan Along?” soal Wardina takut-takut. Ngeri
dia melihat wajah Darwin ketika ini. Macam nak makan orang.
“Banyaklah
salahnya. Awak tahukan ‘Along’ tu jenis lintah darat yang tak
berperikemanusiaan. Awak tak takut ke nyawa awak melayang nanti?”
Kini
giliran Wardina pula merenung Darwin dengan tajam. Dia ingat Along mana ni?
Oooo.... Wardina ketawa geli hati.
“Orang
cakap serius, dia boleh ketawa pulak,”
sinis Darwin.
“Takpe... Along tu sayang sangat kat saya.
Dia tak akan apa-apakan saya,” balas Wardina selamba.
Ada
ke dalam dunia ni ‘Along’ macam tu? Mati hidup balik tak akan jumpa!
Kecualilah...
“Awak
ada hubungan sulit dengan dia ke?” Darwin menebak.
Wardina
angguk kepala.
“Jika
tidak macam mana dia nak sayang saya. Bahkan duit yang saya pinjam pun tak
perlu dibayar. Malahan setiap bulan dia langgankan novel untuk saya.” Wardina
mengusik.
“Apa?”
Bagaikan tidak percaya Darwin mendengar kata-kata Wardina. Rupa sahaja nampak
baik, tapi perangai... masya-Allah. Apa nak jadilah... dengan anak gadis zaman
sekarang? Sanggup gadai body
semata-mata hendak kejar kemewahan yang tidak seberapa itu.
Melihatkan
Darwin seakan-akan blur dengan penjelasan Wardina, lantas Ayu
membetulkan salah tanggapan pemuda tersebut. Faham benar Ayu dengan sikap
Wardina yang suka mengusik orang.
“Along
tu... panggilan untuk Abang Zul dialah Abang Darwin,” laung Ayu.
Darwin
ketap bibirnya.
Ceh...!!!
Mati-mati aku ingat dia pinjam dengan lintah darat tu. Kepala Wardina
ditunjalnya kerana geram.
Ewah...
ewah... dia ni! Dahlah hanya pendatang kat rumah aku. Suka-suka dia aje tolak
kepala orang. Ingat tak bayar zakat ke? Penat tahu Along aku bayar zakat fitrah
tiap-tiap tahun, gerutu Wardina. Wajah Darwin direnung geram.
Teman-teman
Wardina masih leka mencari novel-novel yang mereka gemari. Malas nak campuri
urusan Darwin dan Wardina.
“Marah
ke?” Darwin bertanya apabila mata Wardina tidak lepas memandangnya. Wajah itu
juga mula memerah. Menahan marah barangkali. “Atau dah terpikat dengan abang?”
bisik Darwin. Sengaja ingin mengusik dan menambahkan lagi warna merah di pipi
Wardina.
Wardina
menahan geram di hati. Ada juga yang kena lesing kalau dia kurang sabar nanti.
“Hahaha... sikit pun tak hairan! Bukannya
kacak pun!” balas Wardina selamba. Dia menyertai rakan-rakannya memilih novel.
“Ada
ke patut muka aku yang dah cukup handsome
ni dikatanya tak kacak?!”
Darwin tunjuk dirinya sendiri. “Memang ada masalah penglihatan betullah anak
dara ni,” ujarnya geram. Dalam pada geram itu, dia tetap terus-terusan hendak
mendekati Wardina. Entah virus apa yang menyerang hatinya pun dia tidak
mengerti.
Tanpa
malu Darwin duduk sekali berkumpul bersama Wardina dan rakan-rakannya. Lututnya
juga sengaja dilagakan dengan lutut Wardina. Jelingan maut Wardina langsung
tidak berbekas padanya. Malahan dengan bangga dia mempamerkan senyuman
menawannya. Mug yang berisi Nescafe
panas dan piring yang berisi kek pisang diletak di sisinya.
Buang tebiat ke apa dia ni? Dahlah kepala
lutut tu besar. Buat sakit lulut aku aje terkena lutut dia yang macam bola besi
kerasnya, bebel Wardina dalam hati.
Mata
Darwin semakin galak merenung Wardina. Dadanya dipegang. Mengawal getaran yang
hadir. Sejak tiba tengah hari tadi, dia sedaya upaya menahan dentuman kuat yang
menghentak-hentak dinding dadanya. Mujur sahaja jantungnya dipagari dengan
tulang rusuk. Jika tidak mahu terhumban keluar. Pasti parah jadinya. Tak
pasal-pasal masuk hospital. Alamak... dah kena panahan cinta ke aku ni?!
“Abang
tak ajak kawan abang minum sekali ke?” Sofina bertanya. Darwin dilihatnya
seperti sedang mengelamun. Wardina pula kelihatan seperti berperang dengan
perasaannya sahaja. Entah angin apalah yang sedang bertiup dalam badan temannya
itu ketika ini?
Khayalan
Darwin terhenti apabila ada suara yang menyapanya.
“Ha...
apa dia?” tanya Darwin terpinga-pinga.
“Abang
tak ajak kawan abang minum sekali?” Ulang Sofina kembali.
“Biarlah
dia tidur. Buat ganggu ketenteraman awam aje nanti jika dia bangun.” Bagus juga
Kamal Basha tidur lena-lena. Boleh dia bersembang dan main-main mata dengan
Wardina dan kawan-kawannya tanpa sebarang gangguan.
“Kenapa?
Kawan abang tu ahli kumpulan militan atau orang gila ke?” tanya Ila perlahan.
Belum
sempat Darwin bersuara, seorang lagi kawan Wardina menyampuk.
“Hah?
Biar betul abang? Dah tahu dia macam tu, kenapa bawa ke mari? Membahayakan
nyawa kami ajelah. Jangan-jangan abang pun salah seorang daripada mereka tak?”
serkap Sofina.
“Hesy...
mulut tu! Abang cili karang baru tahu. Abang ni keturunan baik-baik. Dia tu aje
yang tak berapa nak baik.”
“Amboi,
mulut kau! Kalau dapat mengutuk aku bukan main lagi ya?” perli Kamal Basha
dengan perasaan bengang.
Darwin
hanya mempamerkan riak selamba. Mug
yang berisi Nescafe panas diteguknya perlahan-lahan.
Mulut
Ayu, Ila dan Sofina mula melopong. Kacaknya...
Tapi
kurang tiga puluh peratus daripada Abang Darwin, sebab rambut kerinting. Tak
minat! Gumam Sofina.
Alahai...
Si Sofina ni! Tak habis-habis menjadi penganalisa.
“Ini
semua siapa? Kawan Dina ya?” Kamal Basha bertanya. Bunyi kecoh di luar bilik
membuatkan dia terjaga dari lenanya.
“Ya!”
Jawab mereka bertiga hampir serentak sambil tersenyum cantik.
Amboi...
amboi... mereka ni! Buat rumah aku macam mereka pulak yang jadi tuan rumah. Dan aku pula... bagai tetamu yang tidak
dialu-alukan kedatangannya, tukas Wardina dalam hatinya.
“Awal
kau bangun? Kenapa tak sambung tidur lagi?” perli Darwin. “Tidur tak ingat
dunia, mengalahkan aku yang bawa kereta,” sela Darwin seraya menyumbat kek
pisang ke dalam mulutnya.
“Macam
mana nak tidur kalau mulut kau riuh sekampung macam ayam jantan hilang bini,”
tempelak Kamal Basha. Suka-suka Darwin saja memalukan dirinya di depan
adik-adik remaja ini.
Dia
orang pakat bertekak pulak dah! Dia
orang ingat rumah aku ni gelanggang perdebatan ke apa?
“Abang
Kamal nak minum? Dina boleh buatkan.” Kasihan pula dia melihat Kamal Basha yang
dari tadi duk memerhati Darwin yang sedang enak meneguk minumannya.
Kamal
Basha mengangguk.
“Abang nak minum air apa?” Lembut sahaja
Wardina bertanya. Silap dengar macam nak mengurat pun ada.
“Abang
nak air macam lanun ni, boleh?” Kamal Basha menunjukkan air yang diminum
Darwin.
“Boleh.
Kejap ya.”
Sesedap
rasa dia aje panggil aku lanun, Darwin menggerutu.
“Huh,
mengada sungguhlah kau ni! Minum ajelah air sirap tu. Kau ingat dia tu orang
gaji kat rumah kau ke, nak arah berbagai?” Darwin bersuara kurang senang.
“Dia
yang mengofferkan diri, bukan aku
suruh.” Kamal Basha tersenyum sinis memandang Darwin. Tak akan cemburu bro? “Tapi bagus jugakan. Jika sesuai
dengan selera aku, boleh pinang buat isteri.”
Ketawa
Ila, Sofina dan Ayu mendengar Darwin dan Kamal Basha bertekak. Dah macam
perangai mereka empat sekawan pula.
“Abang
berdua ni... tak padan dengan tua bangka. Bertekak macam budak sekolah!”
“Umur
aje tua. Tapi perasaan muda lagi,” balas Darwin sambil menyudahkan minumannya.
Sakit
hatinya dengan aksi Kamal Basha yang meloyakan tekak itu. Pantang nampak batang
hidung perempuan cantik sikit, mulalah nak mengayat. Entah macam manalah dia
boleh rapat dengan Kamal Basha, dia pun tak tahu. Padahal mereka mana pernah
berlaga angin. Ada sahaja yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak. Mujurlah
mereka tidak bekerja di bawah satu bumbung atau satu department. Mahu hari-hari berterbangan fail seperti ‘UFO’,
dikerjakan oleh mereka jika tidak sependapat.