Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 24 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 8


SEPERTI yang dijanjikan, Athirah menghubungi Mikhail walau hati membungkam. Athirah menenangkan perasaannya sebelum menekan nombor telefon Mikhail. Sengaja dia menyuruh Mikhail top up RM100 jika ingin dia menghubungi. Tak sangka pula Mikhail sanggup menuruti kata-katanya. Buat masa ini, apa yang perlu difikirkannya adalah untuk mengelakkan diri daripada disaman oleh Mikhail. Nak tak nak, terpaksa juga dia menjayakan rancangan Mikhail yang agak kebodohan itu. Jika tidak... dia juga yang susah nanti!
“Helo...” Kedengaran suara di hujung talian.
“Assalamualaikum..., abang ke tu?” Athirah terus memberi salam dan menggunakan panggilan sepertimana yang Mikhail inginkan. Jika ingkar, kena saman pulak. Fobia sungguh Athirah dengan perkataan saman!
Bila masa pulak Si Mikhail ni ada adik? Oh... jangan-jangan adik angkat dia tak? Kata hati Borhan.
“Boleh saya tahu siapa ni?” Borhan bertanya.
Hisy... mamat ni! Dia suruh aku telefon, lepas tu... dia boleh tanya aku siapa? Ada yang nak kena cepuk ni! Ramai sangat ke perempuan yang hubungi dia setiap malam? Marah Athirah dalam hatinya. Terbit juga perasaan cemburu dalam dirinya.
“Athirah di sini!” Athirah memperkenalkan dirinya.
Bila masa pulak Mikhail menjalinkan hubungan sulit dengan Athirah? Bukan ke... kalau berjumpa mereka berperang sahaja? Pandai sungguh mereka berlakon ya? Depan orang buat-buat gaduh, belakang orang bukan main romantik lagi. Rupa-rupanya, mereka ni ada skandal! He... he... he..., baik aku uji tahap percintaan mereka! Di atas kepala Borhan sudah tumbuh dua batang tanduk yang menyeramkan!
“Athirah tengah buat apa tu? Rindu abang tak?” soal Borhan manja.
Mamat ni bengong ke? Dah tentulah aku tengah bercakap dengan dia dekat telefon. Nak buat apa lagi? Rindu? Eeii... tak kuasa aku nak merindu mamat sengal lagi mereng ni! Athirah menunjukkan aksi geli-gelemannya. Nasib baik orang di sebelah sana tak nampak. Kalau tidak... mahu dinaikkan kadar saman apabila melihat aksi Athirah sebentar tadi.
“Ala... abang ni! Buat-buat tanya pulak? Sekiranya Athirah telefon, tentulah Athirah rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Jika boleh malam ni jugak nak jumpa abang. Nak tengok muka abang yang hensem tu.” Athirah mengalunkan nada manja dan menggoda.
Nah, ambik kau! Nak sangat menggatal dengan aku! Biar aku jadi ulat bulu sekejap. Biar meremang bulu roma kau. Alang-alang kau kata aku minah gedik, biar malam ini aku tonjolkan kegedikkan itu. Lepas ni... gerenti kau serik nak suruh aku telefon lagi, gumam Athirah.
Aduh, dah lemah longlai dah lutut aku ni dengar suara Athirah yang mendayu-dayu! Untungnya kau Khai... dapat pikat Athirah! Kalau aku yang dapat Si Athirah ni, mahu aku ajak kahwin terus. Tak tahan iman aku bila digoda dengan suara manja dan lemak berkrim macam ni, desis Borhan. Mana pulaklah Si Khai ni? Agaknya dia lupa kut nak bawa telefon bimbitnya sekali. Untung juga telefonnya tertinggal, boleh aku berborak dengan awek dia.
Borhan meneruskan penyamarannya.
“Athirah dah makan?”
“Dah lewat macam ni, tentulah dah makan. Abang dah makan?” tanya Athirah manja.
“Abang tak ada seleralah. Sekiranya Athirah tolong suapkan tentu berselera abang nak makan.” Borhan bersuara miang keladi.
Alamak, mamat ni! Dah keluar aura kegatalan dia. Ha... padan muka kau Athirah! Kononnya tadi nak test buat-buat gatal, mudah-mudahan orang di sana tarik diri. Rupa-rupanya orang di sebelah sana semakin menjadi-jadi merenyamnya. Layan... Athirah... layan! Nanti kalau dia merajuk susah pula kau.
Borhan menoleh apabila ada orang menepuk bahunya. Dia menghulurkan telefon bimbit tersebut kepada tuannya dan tersengih sambil menyusun sepuluh jari.
“Alahai... kesiannya buah hati Athirah ni! Emm... betul ke jika Athirah suapkan, abang berselera nak makan? Kalau macam tu datanglah sini, biar Athirah tolong suap. Ta... pi... dah malam sangatlah abang. Esok boleh?” Athirah memanjakan suaranya.
“Okeylah sayang, malam esok kita keluar makan. Sayang tidur dulu ya... dah lewat malam ni. Good night and sweet dream!” Tanpa menunggu balasan daripada Athirah, Mikhail terus menekan butang merah. Dia perlu menanyakan beberapa soalan pada Borhan.
Athirah sedikit pelik. Kenapa suara yang baru kedengaran sangat berbeza daripada yang tadi? Kenapa baru sekarang dia panggil aku sayang dan tidak sedari tadi? Lantak kaulah! Janji aku dah menurut perintah dan tak akan kena saman.
“Siapa izinkan kau jawab panggilan aku?” Mikhail menyoal Borhan.
“Aku manalah tahu buah hati kau yang nak telefon! Aku ingatkan tadi parents kau,” jawab Borhan sambil tersengih.
Emm... betul juga tu! Tapi selepas kau tahu bukan parents aku yang telefon, kenapa kau tak suruh dia call balik?” Tegas Mikhail.
Borhan hanya tersengih mendengar kata-kata Mikhail. Tidak terjangkau dek akalnya hendak menyuruh Athirah menghubungi Mikhail semula. Waktu itu hanya dia tahu, dia ingin mengetahui sejauh mana hubungan Mikhail dan Athirah.
“Apa yang kau bualkan dengan dia?” soal Mikhail lagi.
“Aku tanya dia sedang buat apa? Dah makan ke belum? Biasalah soalan skema. Tapikan Khai, suara dia... fulamak! Mengancam! Romantik dan menggoda... aku cakap kat engkau! Sampaikan aku terpikat dibuatnya. Nasib baiklah aku ni jenis yang kuat iman. Jika tidak... mahu meleleh air liur aku ni dibuatnya! Ini pun setitik dua hampir terkeluar,” seloroh Borhan.
“Kau jangan nak lebih-lebih dengan buah hati aku ya? Nanti aku debik karang.” Mikhail menunjukkan penumbuknya.
“Eh, Khai! Bila masa kau mengayat Si Athirah tu? Bukan ke kau orang selalu bertekak macam anjing dengan kucing bila bertemu?” soal Borhan tidak berpuas hati.  “Pandai betul korang sorok ya? Aku baru nak masuk jarum, sekali kau dah potong queue. Ini buat aku jeles ni!” Borhan pura-pura marah.
“Bila masa aku mengorat dia? Kau nampak ke aku mengayat dia, telefon atau kacau dia? Tak ada... kan?” Mikhail menafikan.
“Nampak gayanya, kawan Athirah yang bernama Fazlina tu pulak yang menjadi sasaran aku. Harap-harap tiada siapalah yang berkenan kat dia lagi. Jika tidak, melepas lagilah aku kali ini,” ujar Borhan dengan nada sedih yang sengaja dibuat-buat.
“Eh, Hans! Kau tak nak tidur lagi ke? Aku dah mengantuk ni. Esok acara kemuncak minggu orientasi, nanti terlewat pulak kita.” Mikhail melihat jam di tangannya sudah menunjukkan ke angka satu pagi. Harap-harap malam ni, datanglah si dia dalam mimpi aku. Begitu besar harapan Si Mikhail.


ATHIRAH gelisah di tempat tidurnya. Seluruh wajah dan badannya sudah dibasahi peluh dingin. Kelihatan lembaga serba hitam sedang menuju ke arahnya sambil mengacukan sepucuk pistol dan mengarahkannya menuju ke tali gantung. Ketika itu dia tengah sarat mengandung. Dia merayu-rayu minta dilepaskan. Namun lembaga itu tidak mengendahkan rayuannya. Lembaga yang hodoh itu terus mentertawakan dirinya sambil memperlihatkan rupa paras yang sangat mengerikan. Sedang dia meronta-ronta minta dibebaskan, muncul cahaya terang benderang menuju ke arahnya. Pabila cahaya itu menghampirinya, terdengar bisikan suara...
“Sabar sayang... abang akan selamatkan sayang dan lindungi sayang dengan seluruh kasih sayang dan nyawa abang.”
Athirah terus tersedar daripada mimpi ngerinya apabila terasa ada tangan yang menggoncang tubuh badannya.
“Kenapa Athirah?” tanya Fazlina cemas. Risau dia melihat keadaan Athirah yang meracau-racau dalam tidurnya.
“Aku tak apa-apa, cuma bermimpi sahaja. Dahlah kau pergi tidur.” Athirah menenangkan sahabatnya.
“Tapi keadaan kau tadi benar-benar membimbangkan aku. Kau mimpi apa?”
Athirah merenung wajah Fazlina. Kasihan pula dia melihat muka sahabatnya yang menagihkan penerangannya.
“Aku mimpi ada orang nak bunuh aku. Dahlah... kau tak payah risau, hanya mainan tidur sahaja,” pujuk Athirah. “Jomlah kita sambung tidur! Baru pukul dua setengah pagi,” ajak Athirah.
“Itulah... semangat sangat nak telefon cik abang gorila kau, sampai tidur pun tak ambil wuduk. Jangan-jangan doa pun terlupa nak baca. Macam manalah tak kena ganggu dengan syaitan,” bebel Fazlina.
“Cik Fazlina Firhad, kau tak payahlah nak buat kuliah Subuh dekat aku. Lagipun waktu Subuh belum masuk lagi. Pergi tidur... nanti terlambat bangun pula,” sindir Athirah.
Apakah maknanya mimpi ini? Adakah ini amaran daripada ALLAH kerana aku mencurangi suamiku? Siapakah lelaki itu? Adakah dia suamiku? Ya ALLAH... bantulah hamba-Mu ini. Andai dia benar-benar jodohku, Kau rapatkanlah kami. Kau pertemukanlah kami dalam lembayung kasih-Mu. Satukanlah hati kami Ya  ALLAH. Kau limpahkanlah hubungan kami ini dengan kasih sayang yang berpanjangan. Kau anugerahkanlah kami kebahagiaan yang berkekalan hingga ke syurga. Amin...
Athirah meraup kedua-dua belah tapak tangannya ke muka seusai berdoa. Abang... di manakah kau? Datanglah padaku. Tunjukkanlah wajahmu, agar bisa kukenal akan dirimu. Jangan kau bimbang, aku tidak akan berdendam denganmu. Malah akan aku pupuk cinta dan kasih sayangku ini hanya untukmu.
Teringat Athirah rentetan peristiwa yang berlaku dua tahun lalu sebelum keputusan SPM diumumkan...
Pemandangan Laut China Selatan yang hijau membiru terhampar indah di halaman matanya. Desiran ombak yang mengasyikkan, membuai-buai perasaannya untuk terus menikmati alunan irama tersebut. Bayu pagi yang berpuput lembut menampar-nampar pipi gebunya. Sungguh nyaman Athirah rasakan, hingga fikirannya menerawang entah ke benua mana. Kedengaran suara memanggil namanya mematikan terus lamunan Athirah.
“Athirah, ayah kamu panggil.” Mak Munah menyampaikan pesan.
“Ayah panggil? Ada apa Mak Munah?” tanya Athirah dalam nada kehairanan.                                                                                                                                                          
“Entahlah, tak pula ayah kamu beritahu. Cuma itu saja yang ayah kamu pesan.”
“Baiklah, Mak Munah.”
“Kamu pergi tahu, jangan tak pergi pulak. Nanti bising ayah kamu tu. Tak pasal-pasal dengan Mak Munah sekali yang terkena,” pesan Mak Munah lagi sebelum berlalu dari tempat Athirah berdiri.
“Yalah... Mak Munah,” laung Athirah apabila langkah Mak Munah semakin menjauh. Bibir Athirah tanpa sedar memasang senyuman sambil matanya menghantar pergi kelibat Mak Munah. Mak Munah adalah salah seorang pekerja ayahnya yang bertanggungjawab membersihkan ruang dalam Teratak Emelda.
Teratak Emelda adalah homestay yang ayahnya usahakan lebih sepuluh tahun lalu. Di samping itu, ayahnya juga melakukan kerja-kerja kampung dan sekali-sekala akan turun ke laut. Dusun buah-buahan yang diusahakan ayahnya juga banyak mendatangkan hasil buat mereka sekeluarga. Selain untuk dinikmati pengunjung Teratak Emelda, ayahnya juga memajak sebahagian dusun mereka.
Tanpa menunggu lama, Athirah turut berlalu dari tepian pantai. Dia mendapatkan ayahnya yang ketika itu sedang berbual dengan Abang Aris. Abang Aris adalah salah seorang  pekerja ayah yang biasanya menjadi pemandu pelancong bagi tetamu yang menginap di Teratak Emelda.
“Ayah... ayah panggil Baby?” Athirah bertanya.
Aah... macam ni! Petang nanti ada tetamu yang akan sampai. Nanti Baby layan mereka... ya.” Terus Pak Kassim memberitahu Athirah sebab musabab kenapa dia memanggil anakya itu.
“Haaa...? Baby? Kenapa Baby yang kena layan mereka? Abang Aris kan ada ni!” Athirah betul-betul terkejut dengan arahan yang baru sahaja ayahnya beritahu.
“Abang Aris kena ikut ayah hari ni. Ayah perlu ke tanah besar sebab ada pelanggan yang ingin berjumpa dengan ayah. Ayah kena cepat ni, nanti ketinggalan bot pulak.” Tanpa menghiraukan sama ada Athirah bersetuju ataupun tidak dengan arahannya itu, Pak Kassim terus mengatur langkah bersama Abang Aris.
“Aduh... macam mana aku nak handle mereka ni? Aku manalah pernah layan tetamu kat Teratak Emelda! Buatnya tersalah cakap masa bagi penerangan, bagaimana? Tak ke busuk nama teratak ni? Adoi, masalah... masalah!!!” Athirah mengomel sendirian.      
Baby... segala butiran tetamu, ayah dah letak atas meja dalam bilik ayah. Nanti kalau tetamu tu dah sampai, suruh mereka berehat dahulu sebab mereka tiada sebarang aktiviti petang ni. Dan jangan lupa bagi jadual aktiviti pada mereka. Oh, ya... lagi satu! Jangan duk mengomel sorang diri. Masa nilah nak belajar layan tetamu.” Kedengaran suara Pak Kassim melaung padanya. Rupanya mereka berdua masih belum jauh lagi.
“Yalah... ayah!” jawab Athirah malas. Langkahnya diatur menuju ke Teratak Emelda. Kerja sedang menantinya disana.


ATHIRAH menyapu daun-daun rambutan dan mangga yang berguguran di halaman Teratak Emelda. Matanya juga meliar memandang kawasan sekitarnya. Athirah pernah bertanya kenapa teratak ini diberi nama Emelda dan bukannya Athirah? Alasan emaknya mudah sahaja, nama Emelda lebih glamour.
Sedang Athirah terbongkok-bongkok menyapu, kedengaran suara orang memberi salam. Selepas menjawab salam pasangan suami isteri itu, dia menyambut kedatangan mereka dengan sopan dan ramah. Senyuman manis sentiasa menghiasi bibirnya. Athirah menjemput mereka naik dan berehat sepertimana yang diarahkan oleh ayahnya.
“Silakan naik tuan... puan! Tuan dan puan berehat dulu ya, saya nak sediakan minum petang,” ujar Athirah sopan.
“Panggil umi dan abi sahaja,” kata Dr. Zulaikha sambil tersenyum manis. Tangannya mengusap bahu Athirah dengan penuh kasih sayang.
Athirah memandang tetamu yang datang bertandang ke terataknya dengan pandangan yang pelik. Namun bagi menghormati permintaan tetamu tersebut, dia turutkan sahaja.
“Puan, eh.... eh... umi!” Tergeliat lidah Athirah hendak membahasakan diri Dr. Zulaikha dengan panggilan umi. “Umi dan abi, tengok-tengoklah dulu kelengkapan dan kemudahan yang disediakan. Andai ada yang tidak memuaskan hati, boleh bagi tahu saya,” ujar Athirah sebelum berlalu. Begitulah cara mereka memuaskan hati tetamu yang berkunjung ke Teratak Emelda.
Athirah membantu emaknya di dapur. Dia menyediakan karipap pusing, kek coklat kukus dan bubur jagung. Usai semuanya, dia menghidangkan juadah tersebut untuk tetamu yang berkunjung ke Teratak Emelda.
Dr. Zulaikha yang kebosanan terperap di dalam bilik, keluar mencari Athirah. Dia memerhati Athirah yang sedang menghidangkan juadah minum petang. Athirah kelihatannya tidak kekok melakukan kerja-kerja rumah. Tentu anaknya beruntung beristerikan Athirah nanti, fikir Dr. Zulaikha.
“Assalamualaikum..., Kak Sal, Athirah,” tegur Dr. Zulaikha.
“Waalaikumsalam...,” balas Mak Salamah seraya berpaling.
Mak  Salamah memeluk erat tubuh Dr. Zulaikha. Hampir lapan belas tahun dia tidak bertemu dengan bekas majikannya itu.
 “Ya ALLAH, Ika rupanya. Patutlah Abang Kassim ada bagi tahu tetamu istimewa dari Kuala Lumpur akan tiba petang ni. Rupa-rupanya Ika yang nak datang. Mana yang lain-lain?” Mak Salamah ramah bertanya.
“Abang Malik ada dalam bilik sedang berehat. Adam tak dapat ikut, ada kelas,” ujar Dr. Zulaikha. Anak lelakinya itu berada di tahun dua dan sedang sibuk dengan kuliahnya.
Dr. Zulaikha mengambil sepotong kek coklat kukus.
Emm... sedap! Siapa buat ni?” tanya Dr. Zulaikha. “Anak saya... Adam memang suka dengan kek coklat kukus ni. Kalau dia ada, tentu licin kek ni dia kerjakan,” tambah Dr. Zulaikha lagi.
“Kuih-muih ni Athirah yang buat semuanya. Sekiranya dia tak sibuk, dialah yang tolong. Bila lagi nak memahirkan diri? Sekarang nilah. Bila dah berumah tangga nanti senang nak uruskan makan pakai suami,” ujar Mak Salamah sambil menjeling anak daranya itu.
“Betul Kak Sal, saya bersetuju. Untung Adam dapat memperisterikan Athirah nanti.” Dr. Zulaikha sudah tersenyum manis sambil memandang Athirah.
Athirah terpegun mendengar kata-kata Dr. Zulaikha. Berkahwin dengan Adam? Siapa  Adam? Majistret? Doktor? Ahli muzik? Wah, dah macam dialog cerita P. Ramlee pulak! Melihat keakraban emaknya dan Dr. Zulaikha, Athirah tertanya-tanya siapakah Dr. Zulaikha itu. Dia tidak pernah tahu emaknya ada kenalan di Kuala Lumpur.
“Umi nak makan di ruang tamu atau di bawah pokok mangga?” Athirah bertanya di mana Dr. Zulaikha ingin menikmati minum petangnya.
“Bawah pokok mangga ya. Umi nak panggil abi dulu,” ujar Dr. Zulaikha. Dia berlalu memanggil suaminya. Dr. Zulaikha memilih di bawah pohon mangga kerana ingin menikmati suasana petang dan menghirup udara segar.
Mak Salamah sibuk di dapur menyediakan makan malam. Dia meminta Athirah melayan Dr. Zulaikha dan Tuan Malik. Athirah menunjukkan muka masam tanda tidak berpuas hati dengan permintaan emaknya itu. Jika boleh dia ingin bertemu dengan rakan baiknya Rafidah. Sudah lama rasanya mereka tidak bersua dan bertukar-tukar cerita. Terasa rindu pula.


SEMINGGU selepas keputusan SPM diumumkan. Emak dan ayahnya tergesa-gesa mengajaknya pulang ke Taiping, Perak.
Setibanya mereka di rumah opah, kelihatan beberapa orang penduduk kampung sedang sibuk memasang khemah dan menyusun kerusi. Di samping itu juga, ada yang menolong memotong ayam, memilih beras dan mengupas bawang serta melakukan kerja-kerja yang lain. Bagaikan ingin mengadakan kenduri kahwin sahaja, fikir Athirah.
Emm... mesti opah hendak buat kejutan untuknya. Maklumlah keputusan SPMnya cemerlang dan dia juga merupakan satu-satunya cucu perempuan yang opah ada, bisik hati Athirah. Dia sedikit girang.
Namun jawapan yang diterima lewat petang, amat mengecewakan dirinya. Rupa-rupanya bukan majlis kerana dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tetapi majlis pernikahannya. Kenapa perlu tergesa-gesa majlis ini diadakan? Umurnya masih muda, baru lapan belas tahun. Bagaimana dia ingin hidup dengan orang yang dia tidak pernah kenal? Apa yang dia tahu, bakal suaminya itu adalah anak kenalan emak dan ayahnya yang datang ke Teratak Emelda tempoh hari. Menurut emaknya, lelaki itu bernama Adam, berusia dua puluh satu tahun dan masih menuntut.
Majlis pernikahan Athirah diadakan di masjid. Walaupun sukar untuk dia menerima keputusan orang tuanya, namun sebagai anak, siapalah dia hendak mengingkarinya. Masih ada lagi rasa hormat terhadap mereka yang telah membesarkannya. Dia juga tak mahu dilabel sebagai anak derhaka dan tidak tahu mengenang budi.
Sebaik sahaja upacara akad nikah selesai, perjalanan majlis menjadi sedikit kelam-kabut dan gempar. Belum sempat upacara membatalkan air sembahyang dan menyarungkan cincin dilangsungkan, nenek suaminya tiba-tiba diserang sakit jantung dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Dia juga tidak berkesempatan bertemu empat mata dengan suaminya. 
Cincin pernikahan mereka pun hanya diserahkan kepada wakil pihak pengantin lelaki sahaja. Melalui wakil berkenaan, keluarga Athirah dimaklumkan bahawa nenek suaminya terpaksa mendapatkan rawatan segera di IJN, Kuala Lumpur. Terdengar juga desas-desus mengatakan, punca nenek pengantin lelaki terkena serangan jantung disebabkan cucunya melarikan diri sebaik sahaja upacara akad nikah selesai.
Panggilan telefon yang diterima pada malam pernikahannya juga amat mengejutkan Athirah. Namun segala-galanyanya disimpan di dalam hati kerana tidak mahu ibu bapa dan ahli keluarganya bersedih dan kecewa.
“Helo...!” ujar lelaki itu kasar.
Athirah sudah terpinga-pinga mendengar suara yang tidak kenalinya.
“Aku nak beritahu kau, aku tak kenal kau dan aku juga tak cintakan kau. Aku tahu... kau pun tak suka dengan pernikahan ini, kan? Jadi kau dan aku bebas melakukan apa yang sahaja yang kita suka. Kau jangan cuba nak mengongkong hidup aku. Faham!” jerkah suara di sebelah sana.
Athirah sedikit terkejut dengan jerkahan si pemanggil.
“Ada juga manusia yang tak bertamadun dalam dunia ni,” omel Athirah. “Telefon orang pun main terjah aje tanpa bagi salam. Dia ingat aku heran sangat nak kahwin dengan dia? Hisy... aku pun tak ingin tahu!” omel Athirah lagi sambil merenung telefon bimbitnya yang sudah pun diputuskan talian. Nombor telefon lelaki tersebut terus dipadam daripada senarai panggilan yang diterima.
Inikah lelaki yang mereka pilih untuk menjadi pembimbing dan pelindung hidupku? Inikah lelaki yang akan memimpin tanganku hingga ke Syurga Firdaus ALLAH SWT? Lelaki angkuh lagi bongkak inikah yang telah menikahiku siang tadi? Andai inilah lelakinya, porak-peranda! Mahu karam bahtera kehidupanku nanti jadinya. Mak... tolong Baby! Athirah menangisi dirinya sepanjang malam, mengenang badai yang melanda nasib hidupnya.
Sejak terputusnya talian telefon itu, maka terputuslah juga hubungannya dengan lelaki yang telah menjadi suaminya itu. Khabar berita daripada mentuanya dan wang nafkah yang diterima setiap bulan sahaja yang menjadi jambatan hubungan mereka. Apa yang dia tahu, lelaki itu masih lagi bernafas di muka bumi ini.
Dirinya juga diziarahi mentuanya sewaktu ingin melanjutkan pelajaran ke universiti. Menyedari hubungan mereka suami isteri bagaikan kutub utara dan kutub selatan kedudukannya, mentuanya merayu agar dia bersabar. Mentuanya juga meyakinkan dia bahawa jodohnya bersama suami pasti ada, cuma masanya belum tiba. Tapi sampai bila dia harus menunggu dan berharap? Perlukah dia bersabar dan terus menanti untuk disayangi juga dicintai oleh suaminya seperti pasangan suami isteri yang lain?
Athirah seperti biasa, mengambil wuduk lalu menyerahkan dirinya yang kerdil kepada TUHAN Yang Maha Esa. Hanya DIA yang mampu mendengar doa dan rintihan hatinya.


DI KOLEJ KEDIAMAN sebelah sana, seorang jejaka turut mengalami mimpi ngeri yang seakan-akan sama. Mikhail bermimpi seorang perempuan merayu-rayu meminta pertolongannya.
“Abang tolong sayang, lembaga itu ingin membunuh sayang. Abang tolong!” rintih suara itu.
Mikhail tercari-cari lembaga yang dimaksudkan oleh perempuan itu. Kelihatan lembaga yang amat mengerikan menoleh ke arahnya. Mendengar hilai tawa lembaga itu, Mikhail sendiri merasa seram sejuk dibuatnya. Dia menghulurkan tangan dan cuba menarik perempuan itu ke dalam dakapannya. Namun belum sempat dia berbuat demikian, lembaga itu telah melepaskan beberapa das tembakan hingga perempuan itu terkulai layu. Mikhail terus menerpa dan menyambut tubuh yang tidak bernyawa itu. Dipangkunya kepala perempuan itu sambil menangis tersedu-sedan.
“Sayang jangan tinggalkan abang. Abang terlalu cinta dan sayangkan dirimu.”
Mikhail tersedar dari lenanya bila terasa ada cairan panas mengalir di pipinya. Dia duduk berteleku seketika memikirkan maksud yang tersirat di sebalik mimpinya tadi. Dia beristighfar berkali-kali dan berdoa semoga mimpinya itu adalah mainan tidur semata-mata dan bukanlah suatu petanda buruk.
Siapakah perempuan itu? Adakah itu isteri yang telah aku abai dan nafikan haknya? Berdosakah aku Ya ALLAH... membenihkan perasaan cinta ini buat insan lain, selain isteriku? Kejamkah aku Ya ALLAH... menghukum isteriku yang tidak berdosa itu? Apa yang harus aku lakukan Ya ALLAH? Persoalan  demi persoalan  menerjah  mindanya.
Bantulah hamba-Mu ini Ya ALLAH. Ya ALLAH... andai dia benar-benar jodohku yang telah Engkau tetapkan di Loh Mahfus, eratkanlah ikatan dan hubungan yang suci ini. Ya  ALLAH... aku mohon agar kami dipertemukan dan limpahkanlah perasaan kasih dan sayangku ini hanya untuknya.
 Maafkan aku wahai isteri, aku gagal menjalankan amanah dan tanggujawabku selama ini, bisik Mikhail dengan nada penuh penyesalan.
Tapi Athirah bagaimana? Layakkah isterinya menerima curahan kasih sayang dan cintanya? Sanggupkah isterinya berkongsi kasih dengan perempuan yang dia benar-benar cinta? Aku tidak akan sekali-kali melepaskan Athirah pergi dari hidupku. Perlukah aku lepaskan sahaja isteriku itu daripada aku terus menyeksa dan menghukum dirinya yang tidak berdosa? Jika itu jalan yang terbaik, maka aku harus lakukannya. Ya ALLAH... bantulah aku dalam mencari jalan penyelesaian yang membelenggu hidupku ini.
Mikhail bangun lalu berwuduk dan menunaikan solat sunat taubat dan solat istikharah seperti malam-malam sebelumnya. Dia perlu memohon petunjuk daripada ALLAH agar dapat menetapkan hatinya, sama ada melepaskan isterinya dan memilih Athirah atau melepaskan Athirah dan memilih isterinya. Dia tidak mahu menjadi lelaki yang tamak. Tapi apa yang dia rasakan sekarang ini, perasaan cinta dan sayangnya semakin menggebu untuk Athirah. Athirah akan kekal menjadi kekasihnya dan kekal di sampingnya sehingga dia benar-benar yakin dan pasti ke mana hati perlu diserahkan. Sesudah melakukan solat sunat, dia menyambung kembali lenanya.
Gemersik azan Subuh yang berkumandang mengejutkan Mikhail dari lenanya yang tidak seberapa. Dia benar-benar mengantuk, namun ditahan jua kantuknya demi menunaikan seruan Ilahi.
Mikhail menghampiri Borhan. Mengejutkan Borhan juga sudah menjadi rutin hariannya.
Oii... pak cik! Bangunlah mandi! Lepas ni nak pergi masjid pulak.”
Mikhail berlalu untuk membersihkan diri selepas mengejutkan Borhan.
“Hans... cepatlah sikit! Nanti ramai orang, kita tak dapat duduk saf depan.Terhegeh-hegeh betullah kau ni!” Mikhail berleter. “Kalau tak kejutkan, bukan main lagi merungut ini dan ini. Dikejutkan pulak, susah nak bangun,” bebel Mikhail lagi.
“Yalah... yalah...! Aku cepatlah ni! Kau ni cubalah bawa bersabar sikit. Ini tak menyempat-nyempat. Kau ada temu janji dengan awek kau ke pagi-pagi buta ni?” giat Borhan.
“Awek kepala otak kau! Aku cuma nak duduk saf depan, itu saja. Bukan ke banyak pahala sekiranya kita berada di saf hadapan? Sembahyang pun lebih khusyuk,” terang Mikhail.
Selepas kuliah Subuh, masing-masing pulang ke bilik sementara menunggu masa untuk melakukan aktiviti selanjutnya. Mikhail menyambung kembali lenanya buat seketika.
“Hans... pukul tujuh setengah nanti kau kejutkan aku ya. Aku nak tidur kejap.”
Borhan hanya menganggukkan kepalanya. Dia meneliti buku program dan menyemak segala aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang hari ini.                               

3 comments:

  1. Wah... Borhan ambil kesempatan. Tp kelakarlah. AThirah pun satu. Dilayan budak Borhan tu buat apa???

    ReplyDelete
  2. best citer nih..da publish ea?rsa2 cm pnah jmpa at kdai..

    ##jeles btul dgn org yg ad bkat mnulis ni..

    ReplyDelete