Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Tuesday 28 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 10


SEPERTI yang dijanjikan, Athirah akan keluar makan malam bersama Mikhail, Borhan dan Fazlina. Athirah mengenakan jeans hitam dan blouse berwarna putih serta bertudung putih. Dia mencalit pelembab bibir dan menyapu bedak Nutri Metics di pipinya. Berpuas hati dengan penampilannya, Athirah turun ke bawah bersama Fazlina.
“Hati-hati tuan puteri berdua, jangan sampai ikut putera impian bermalam di hotel sudahlah,” usik Aina.
Salmi dan Aisyah hanya tersenyum penuh makna.
“Sudahlah kau orang!” marah Athirah. “Kami bukannya nak pergi mana-mana. Sekadar keluar makan sahaja,” bidas Athirah. Dia tidak suka dengan gurauan sahabat karibnya itu.
“Mula-mula memanglah pergi makan. Takut lepas tu melencong ke lain,” sakat Aisyah pula.
Fazlina hanya menggeleng dan tersenyum mendengar usikan nakal kawan-kawan baiknya. Malas dia hendak lawan bertekak. Buat sakit jiwa aje!
“Beranilah dia orang nak buat perkara tak senonoh! Ada nanti yang tak merasa dapat zuriat. Siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka juga!” seloroh Athirah sambil ketawa.
Salmi, Aisyah, Aina dan Fazlina juga turut ketawa kelucuan mendengar lawak selamba Athirah. Setelah tawa mereka reda, Athirah menyambung kembali kata-katanya.
“Kau orang jangan berkecil hati ya. Aku bukannya tak nak bawa kau orang. Tapi kau orang tahu ajelah kereta Mikhail tu macam mana. Tak muat nak sumbat kita semua. Nanti aku ajak abang aku datang sini, aku belanja kau orang makan. Janganlah sedih-sedih,” pujuk Athirah sambil merenung sahabatnya yang sudah menunjukkan muka satu sen.
“Kami turun dulu, nanti bising pulak Mikhail dengan Borhan,” ujar Athirah.
Athirah mendapatkan Mikhail yang sedang bersandar di pintu kereta.
“Assalamualaikum. Sudah lama menunggu?” Athirah menegur Mikhail yang sedang tersenyum menawan.
“Waalaikumsalam...”
Sejuk hati Mikhail mendengar suara buah hatinya itu. Walaupun Athirah belum diangkat secara rasmi sebagai kekasihnya, namun Mikhail bersyukur kerana Athirah tidak lagi bermasam muka dengannya. Antara mereka juga, sudah tiada lagi perang dingin atau bertikam lidah. Harap-harap selepas ini, tiada lagi tercetus tegang urat antara mereka. Mikhail juga tidak mahu tergesa-gesa memberitahu hasratnya pada Athirah. Dia bimbang jika Athirah kembali dingin. Biarlah dia pendamkan sahaja dahulu.
“Mana Abang Hans?” Athirah bertanya. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam kereta.
“Tu... kat seberang sana!” Panjang muncung Mikhail menunjuk kereta Borhan.
“Fazlina naik dengan Abang Hans boleh? Kesian pulak dia pandu seorang diri,” pinta Mikhail.
“Kenapa naik kereta berasingan? Bukan ke kita nak keluar makan sekali?” tanya Athirah. Athirah sebenarnya kurang selesa keluar bersama Mikhail. Dia khuatir jika terserempak dengan keluarga suaminya. Dia juga bimbang jika terjatuh sayang pada Mikhail, sedangkan ada tembok tinggi yang menghalang untuk dia membina impian.
“Asalnya memang begitu. Tetapi selepas makan, Borhan kena pergi rumah pak cik dia di Taman Maluri. Ada hal sikit.”
“Faz... kau tak kisahkan naik kereta dengan Abang Hans?” Athirah risau sekiranya Fazlina tidak selesa. Melihat anggukan temannya, Athirah tersenyum mengusik. “Tapi... jangan lebih-lebih pulak ya?” bisik Athirah sambil tersenyum nakal.
Fazlina mencubit lengan Athirah sebelum bergerak ke kereta Borhan. Geram sungguh rasa hatinya bila diusik sebegitu oleh Athirah. Malu pada Mikhail, satu hal!
“Aduh!” Athirah terjerit kecil.
“Kenapa sayang?” Mikhail sedikit kalut. Risau juga dia jika Athirah tiba-tiba jatuh sakit.
“Takde apa-apa! Cuma ada ketam terlepas sangkar! Tu yang asyik nak menyepit aje,” ujar Athirah sambil menggosok lengannya yang sedikit perit.
“Macam-macamlah sayang ni. Buat terperanjatkan abang aje!” luah Mikhail. “Dah masuk kereta. Penat tangan abang duk buka pintu dari tadi, tapi buah hati abang ni tak reti-reti nak masuk,” usik Mikhail.
Athirah menjeling Mikhail sepintas lalu. Kenapalah dia ni makin aku pandang makin hensem? Nasib baik bukan suami aku! Mahu jeles tahap meroyan jika ada yang pandang-pandang dan jeling-jeling kat dia, getus Athirah.
 Tampannya dia dengan t-shirt putih dan jeans hitam, omel Athirah dalam hatinya. Apa aku kata tadi? Baju putih? Jeans hitam? Athirah menilik baju yang tersarung di tubuhnya. Aikk... dia pun pakai baju putih juga? Dia ni mengintai aku pakai baju ke tadi? Bisik hati kecil Athirah sambil menggaru kepalanya.


SUASANA sepi yang mengiringi perjalanan mereka tadi, kini bertukar ceria. Celoteh DJ radio dan alunan muzik menyemarakkan lagi suasana yang agak sunyi seketika tadi. Sesekali Mikhail menjeling Athirah. Melihat Athirah keresahan, Mikhail tahu dia perlu menghidupkan suasana supaya Athirah tidak kekok berada di sampingnya.
“Cantik sayang malam ni, terpegun abang dibuatnya,” puji Mikhail sambil matanya melirik ke arah Athirah. Ringan sahaja tangannya hendak menggenggam jemari runcing itu. Baru sahaja tangannya hendak menyentuh tangan Athirah...

Boleh  pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang

Hisy... DJ ni! Takde lagu lain ke... nak putarkan masa ni? Macam tahu-tahu aje apa yang aku nak buat. Tak sporting langsung! Bisik hati Mikhail. Mukanya sudah kemerahan menahan malu. Harap-harap Athirah tidak perasan dengan tindakannya tadi. Tentu malu besar jadinya jika ketahuan. Pasti Athirah akan melabelkan dirinya sebagai lelaki yang tidak bermoral dan suka mengambil kesempatan ke atas perempuan. Dan Athirah pasti membenci dirinya.
Mikhail menarik nafasnya panjang-panjang dan bereaksi seperti biasa.
“Sayang nak makan kat mana malam ni? Abang sedia jadi pemandu peribadi sayang. Sayang cakap sahaja nak pergi mana, abang akan bawa. Suruh pandu ke rumah tok kadi sekarang ni pun, abang sanggup.” Mikhail mengusik. Matanya melirik Athirah.
Bercakap tentang tok kadi, teringat Mikhail peristiwa yang berlaku beberapa tahun dahulu. Argh... buat apa hendak dikenang peristiwa yang pernah membunuh semangat aku itu? Jangan harap aku akan menoleh ke belakang lagi. Apa yang ada di depan mata perlu aku rebut,  bisik hati Mikhail.
Laju sahaja tangan Athirah mencubit pinggang Mikhail. Mukanya sudah merona merah mendengar usikan nakal Mikhail. Dia juga semakin tidak selesa bila Mikhail asyik menjeling ke arahnya sambil tersengih seperti kerang busuk.
“Saya tak kisah makan kat mana-mana. Tapi jangan jauh sangat dari kolej. Nanti lewat pula kita balik,” ujar Athirah  malu-malu. Cantik sangat ke aku ni? Dari tadi duk jeling-jeling. Nak kena cucuk biji mata agaknya!
“Bukan saya, tapi sayang! Jangan buat kesilapan lagi, nanti abang denda,” ugut Mikhail.
Dari kaca mata Athirah, sesiapa yang menjadi pasangan Mikhail memang beruntung. Mikhail bukan sahaja kacak malah berada. Paling buat hati Athirah cair, lelaki itu sering memanggilnya sayang. Mikhail benar-benar romantik. Kalaulah suami misterinya itu seperti Mikhail, kan best! Tentu aman bahagia dan sentosa hidup. Syoknya jika Mikhail ni suami aku! Gumam Athirah.
Athirah... kau jangan nak berangan dan menggedik boleh tak? Dulu masa Mikhail kata kau gedik, kau tak mengaku! Marah Athirah pada dirinya sendiri. Ingat Athirah... sebelum kau kecewa dan menderita, kau perlu simpan dalam kepala otak kau, jangan sesekali jatuh cinta dengan Mikhail. Kau dengan dia hanya berlakon sebagai kekasihnya, tidak lebih dari itu. Yang paling penting dan perlu kau ingat, kau tu milik orang. Berdosa... Athirah... berdosa...! Nasihat Athirah pada diri sendiri.


MEREKA akhirnya tiba di sebuah restoran masakan Thai yang agak popular di kalangan pelajar kampus. Ketika mencari tempat kosong untuk melabuhkan punggung, telefon bimbit Mikhail berbunyi.
“Helo, Hans! Ada apa?” Pantas sahaja Mikhail menjawabnya.
Sorry Khai, aku tak dapat join kau malam ni. Aku kena cepat. Pak cik aku dah telefon suruh pergi rumah dia. Beritahu Athirah, kemungkinan besar aku hantar Fazlina balik esok. Dan bagi tahu dia jangan bimbang, aku akan hantar kawan baik dia balik dengan selamat.”
“Okey... nanti aku bagi tahu dia,” ujar Mikhail sebelum menamatkan perbualannya.
“Kenapa abang?” Athirah bertanya cemas. Bimbang juga dia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Borhan dan Fazlina tak dapat join kita malam ni. Borhan perlu cepat ke rumah pak ciknya. Fazlina juga tak balik malam ni, dia bermalam di rumah pak cik Borhan,” jelas Mikhail. “Sayang jangan bimbang! Borhan tak akan buat sesuatu yang tidak elok kat kawan baik sayang tu. Abang kenal rapat dengan Borhan.” Mikhail cuba menenangkan Athirah yang sedikit gusar dengan keselamatan Fazlina.
Athirah mengangguk kepalanya. Dia akan pegang kata-kata Mikhail. Jika Borhan buat hal... tahulah dia bagaimana hendak mengajarnya.
Seorang pelayan datang mengambil pesanan mereka.
“Bagi saya nasi goreng kerabu dan jus tembikai,” ujar Mikhail pada pelayan tersebut.
“Sayang nak makan apa?” tanya Mikhail lembut.
“Saya nak nasi goreng kerabu dan air suam,” kata Athirah bersama senyuman manis.
“Sayang tak marahkan, abang suruh ubah panggilan antara kita?” tanya Mikhail setelah pelayan tersebut berlalu pergi.
“Marah tu tidaklah! Tapi rasa macam tak selesa dan malu pula jika ada orang lain yang mendengarnya. Nanti apa pula tanggapan mereka. Abang kena ingat! Hubungan kita ini tak akan kekal lama dan tak akan ke mana-mana.” Athirah mengingatkan Mikhail status hubungan mereka.
Mikhail mengeluh. Tidak fahamkah Athirah bahasa tubuhnya? Tidak nampakkah Athirah, cahaya cinta yang jelas terpancar di matanya? Mikhail tidak mahu hubungan mereka sekadar lakonan sahaja. Mikhail ingin lebih dari itu. Tetapi Mikhail tidak tahu bagaimana caranya untuk menyampaikannya. Dia bimbang akan penerimaan Athirah. Jika boleh... dia ingin Athirah jatuh cinta padanya atas kerelaan Athirah sendiri dan bukannya kerana dia mengugut atau memaksa. Nampak gayanya dia perlu bersabar dan bekerja lebih keras untuk memenangi hati Athirah.
“Abang nak ingatkan sayang. Jangan sekali-kali ubah cara panggilan kita sampai bila-bila. Sekiranya abang dengar sayang tersalah cakap, abang denda,” ugut Mikhail seperti biasa. “Apa kata, kita gabungkan nama kita berdua. Emm....” Mikhail memikirkan gabungan nama yang sesuai untuk mereka. “Ha... apa kata kita gabungkan Khai dan Ira! Sayang guna nama Khaira, sekiranya tak nak guna panggilan sayang. Panggilan sayang tu biar abang aje yang guna.”
Wah... wah...!!! Suka-suka dia saja nak ugut orang dan panggil nama yang berbagai-bagai! Khaira... tambah huruf ‘t’ dah jadi khairat, pastu tambah kematian, jadilah khairat kematian. Dia ingat aku ni apa? Makwe dia ? Tunang atau isteri dia? Gerutu Athirah tidak berpuas hati dengan cara Mikhail. Tapi dia hanya berani memberontak dalam hatinya sahaja.
“Andai tak nak juga, abang nak buat apa?” Athirah memberanikan diri menyoal.                                                                                                                                                                             
Emm... berani ke sayang membantah cakap abang?” tanya Mikhail. Dia juga sudah mempamerkan aksi menggoda sambil menjungkit sebelah keningnya. “Jikalau sayang tersilap cakap, abang cium bibir sayang yang merah merekah tu. Abang pun dah lama teringin nak rasa bagaimana nikmatnya bibir sayang tu,” ugut Mikhail kembali.
Athirah sudah menelan air liur berulang kali sambil menekup mulutnya. Dia tidak menyangka Mikhail begitu berani. Hisy... miang sungguh mamat ni! Desis hati Athirah.
“Tapi abang nak suruh sayang guna nama Adiralah. Nama ni gabungan Ad dan Ira. Ad tu nama singkatan bagi Adam. Macam mana sayang setuju tak? Abang rasa Adira lebih nampak feminine berbanding Khaira,” tambah Mikhail lagi.
Berdegup hebat jantung Athirah tatkala mendengar nama Adam. Alah... bukannya nama Mikhail saja yang guna pangkal Adam. Athirah cuba menyedapkan hatinya. Ramai lagi rakyat Malaysia yang guna pangkal Adam. Itu adik Rafidah, nama dia... Adam juga. Tak akanlah budak tak cukup umur tu suami kau? Nama lelaki yang duduk di hadapan kau ni, Adam Mikhail. Suami kau, namanya Adam sahaja. Entah-entah suami kau yang bernama Adam tu kulitnya hitam legam dan gigi pun takde. Itu yang tak berani nak tonjolkan diri. Athirah cuba mengukuhkan teorinya sambil meredakan gelora yang melanda hati.
“Ba... baiklah saya  setuju. Eh...!!! Eh...!!! Cup...!!! Cup...!!! Cup...!!! Baiklah sayang setuju. Bolehkan kalau tak nak guna nama Adira? Panggilan ‘sayang’ dah sebati dengan diri sayang.”  Athirah mempamerkan senyuman manjanya.
Mikhail sudah tersengih gatal melihat kegugupan Athirah.
“Boleh saja. Abang pun lebih suka sayang bahasakan diri sayang ‘sayang’, nampak lebih mesra dan romantik.”
Tidak lama kemudian pesanan mereka tiba.
Athirah dengan rakus meneguk air suamnya untuk menghilangkan kegugupan dan ketidakselesaan. Mata Mikhail yang tidak sudah-sudah merenungnya membuatkan Athirah malu. Mukanya juga sudah membahang.
Cantik sungguh dia ni! Begitu sempurna ciptaan ALLAH yang berada di hadapan aku kala ini, desis hati Mikhail.
“Kenyang ke... dengan asyik merenung muka sayang sahaja?” Athirah mengusik Mikhail. Sebenarnya dia tak senang duduk bila mata Mikhail tak berkelip merenungnya.
Mikhail tersenyum mendengar usikan Athirah itu.
Baru mereka hendak menikmati makanan, ada suara manja menggoda menegur Mikhail.
“Hai... Khai! Makan sorang-sorang aje ke? Tak nak pelawa I sekali?” Masyitah bertanya manja lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Mikhail.
Dia sengaja menghimpit Mikhail untuk mempertontonkan aksi manjanya pada Athirah. Dia menjeling tajam ke arah Athirah sambil mencebikkan mulutnya. Dasar perempuan perampas! Aku akan miliki kembali apa yang sepatutnya menjadi hak aku, hati Masyitah berbisik angkuh. Sakit hatinya menyaksikan keakraban Mikhail dan Athirah sepanjang minggu orientasi.
Athirah memandang Masyitah melalui ekor matanya dengan perasaan jelek. Masya-ALLAH, daringnya pakaian perempuan ni! Si Masyitah ni, bukannya nak menikmati makan malam, tetapi hendak menghidangkan tubuh badannya sebagai santapan orang ramai. Inilah salah seorang manusia yang mencemarkan dan menjatuhkan martabat perempuan.
Pakaian Masyitah yang agak sendat dan ketat itu memperlihatkan bentuk tubuh badannya serta mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dipertontonkan kepada orang ramai. Jelingan orang sekeliling membuatkan Athirah tidak selesa. Dia pula yang merasa malu. Apakah dia terlalu jahil tentang arus kemodenan atau Masyitah yang terlalu jahil dengan hukum ALLAH?
Sorry... Ita!  Malam ni, I hanya ingin bersama kekasih I sahaja. I harap you tidak terasa hati. Mungkin lain kali kita boleh keluar makan ramai-ramai,” ujar Mikhail mengambil hati Masyitah. Dia tidak mahu sahabatnya itu berkecil hati.
Mikhail tahu Athirah tidak selesa dengan kehadiran Masyitah. Apatah lagi dengan cara pemakaian Masyitah yang kurang sopan dan menjolok mata. Dia yang lelaki pun tidak sanggup memandang, inikan pula Athirah yang sering menjaga auratnya.
“Sombongnya you! Sejak ada awek baru, terus lupakan I, ya? Bukan ke selama ini, I yang selalu temani you siang dan malam?” Masyitah sengaja membuat Athirah cemburu.
“Apa yang you cuba sampaikan ni, Ita? Bila masa I ada awek sebelum ni? Pernyataan you tadi, seolah-olah I ni pemburu perempuan pulak. Seperkara lagi, kita tak pernah keluar berdua-duaan okey. Biasanya kalau you dan I keluar, kawan-kawan kita yang lain juga turut serta.” Mikhail menjadi berang dengan pernyataan Masyitah. Seolah-olah dia sering bertukar pasangan dan mengambil kesempatan terhadap perempuan. Dia tidak mahu Athirah tersalah tafsir akan dirinya.
Athirah hanya memerhati dua sahabat itu bertikam lidah. Malas dia nak ambil pusing. Terasa malu pun ada bila banyak mata yang menjeling ke arah mereka.
“Okeylah I pergi dulu. Kawan I pun dah lama tunggu,” ujar Masyitah sedikit kecewa. Dia berlalu dengan perasaan dendam yang membara. Jika aku tidak dapat memiliki Mikhail, kau juga akan mengalami nasib yang sama. Itu janji aku Athirah, bisik hati Masyitah.
“Maaf, seandainya sayang tak selesa.” Mikhail memujuk Athirah yang sedikit canggung dengan kehadiran Masyitah sebentar tadi.Si Ita ni pun satu, time aku tengah dating nilah dia datang menyibuk. Macam tak boleh tunggu masa lain, bisik hati Mikhail.
Sambil menikmati makan malam, Mikhail memerhati tingkah laku dan keperibadian Athirah. Athirah begitu sempurna di matanya. Athirah juga tidak pernah menyembunyikan tingkah lakunya yang sebenar. Daripada pengamatan Mikhail, kebanyakan perempuan yang dia kenal begitu menjaga perlakuan dan tutur kata mereka terutama jika baru pertama kali berjumpa. Tapi Athirah tidak begitu. Tengok sahajalah macam mana keadaan mereka sebelum ini. Asyik bertekak dan bergaduh. Dia suka dengan sikap Athirah yang tidak hipokrit. Itulah sebabnya dia sayangkan Athirah sepenuh hatinya.


USAI makan, Mikhail menghantar Athirah pulang. Wajah Mikhail cukup ceria. Siapa yang tidak gembira dapat menghabiskan masa dengan orang yang tersayang.
“Esok kita keluar lagi boleh?” Mikhail memancing perasaan Athirah. “Please... jangan katakan tidak dengan ajakan abang ini.” Mikhail memujuk Athirah.
Hisy... mamat ni! Dia tanya soalan, dia juga yang tolong bagi jawapan seperti biasa untuk kita. Macam mana aku nak kata tidak boleh atau tak nak, jika dia sudah berkata JANGAN KATAKAN TIDAK. Atau dengan kata lain, dia sudah menggunakan kuasa VETOnya. Eeii... pening kepala aku melayan kerenah mamat ni! Nasib baiklah kau hensem dan pandai beli jiwa aku. Jika tak... mungkin ini kali pertama dan terakhir kita keluar bersama, gumam Athirah.
Emm... baiklah! Esok abang ambil lepas Maghrib. Tapi kita tak boleh keluar lama-lama, lusa hari pertama sayang ke kelas. Sayang nak buat sedikit persediaan.” Athirah akhirnya memberi persetujuan.
“Okey! Esok lepas Maghrib abang ambil sayang! See you tomorrow night. Sweet dreams love,” bicara Mikhail penuh romantik.

4 comments:

  1. amboiiiiiiii.... miang noh hang ni mikhail...
    bersayang2 plak dia....heheheh

    ReplyDelete
  2. Ingat Mikhail!!! Boleh pandang... jgn pegang2!!!!

    ReplyDelete
  3. Alahai... dah muncul pengacau. Mcm jahat jer Masyitah ni? Tak suka... tak suka... bila konflik sudah menjengah.

    ReplyDelete