***************************************************************************************
TERASA MALAS
BENAR Darwisy hendak
pergi ke majlis
ulangtahun syarikat Bumi
Maju milik keluarga
Natilia. Melihat isterinya
sudah bersiap, terpaksalah
juga dia menyarung
pakaian yang sudah
digosok oleh Damia
ke tubuhnya. Jika
tidak fikirkan Dato’
Hamdan itu rakan
bisnes ayahnya, Darwisy
lebih suka duduk
bersantai di rumah
bersama keluarganya.
“Sayang
bersiap lawa-lawa ni
mengapa? Simple sudahlah! Buatnya
ada yang tergoda,
susah abang dibuatnya.”
“Merepeklah
abang ni! Mana
ada lawanya,” bidas
Damia. “Baju ni
bukan ke abang
yang pilih!”
“Abang ke yang
pilih?” Berkerut dahi
Darwisy mengingatinya. Baju
itu sungguh cantik
dan menarik di
tubuh langsing isterinya.
Walaupun menutup aurat,
isterinya tetap tampil
anggun dan bergaya.
Janganlah hendaknya ada
mata-mata nakal yang
mengerling isterinya.
Darwisy
memandu keretanya menuju
ke hotel Mutiara.
Ketika mereka tiba
kelihatan kereta Danish
baru memasuki kawasan
tempat letak kereta.
Darwisy dan Damia
bergerak masuk terlebih
dahulu. Dia mahu
menunjuk muka lebih
awal. Sesudah itu
dia ingin segera
beredar. Akhir-akhir ini,
dia dan isteri
jarang dapat meluangkan
masa untuk si
cilik.
Darwisy dan isterinya
menghampiri Tengku Dzulkarnain
dan melabuh punggung
bersebelahan ayahnya. Kelihatan
bondanya sedang berbual
dengan Datin Nafisah
dan beberapa orang
isteri rakan bisnes
Dato’ Hamdan berhampiran
kolam renang.
“Pergilah
makan dulu. Sekejap
lagi majlis dah nak bermula,”
ujar Tengku Dzulkarnain
kepada anak dan
menantunya. Petang tadi,
dia sempat meluangkan
masa bermain dengan
cucu-cucunya. Seronok rasanya
dapat melayan mereka.
Cucu-cucunya sangat bijak
dan lucu. Ada
sahaja keletah mereka
yang mencuit hati.
Tengku
Faridah memerhati dari
jauh anak lelakinya.
Geram sungguh dia
melihat perlakuan anak
lelakinya itu. Tiada
langsung perasaan malu
memeluk pinggang isteri
orang di khayalak ramai.
Mujurlah tiada yang
tahu pembantu peribadi
anaknya itu sudah
berkahwin.
“Eh... bukan ke
itu anak Tengku, Darwisy,”
tegur Datin Azilawati.
“Itu kekasih dia
ke? Nampak secocok
sangat!” ujar Datin
Noriani.
Datin Nafisah memandang
pasangan itu dengan
perasaan kurang senang.
Macam mana dia
hendak menjodohkan Darwisy
dengan Natilia jika
Darwisy sudah punya
pilihan hati. Bukan
dia tidak tahu
bagaimana kerasnya hati
anak lelaki Tengku
Faridah yang satu
itu.
Darwisy dan Damia
menghampiri Danish dan
Nurul Nadira yang
baru tiba. Pasangan
bahagia itu sedang
asyik berbual sesama
mereka. Damia memerhatikan
kakak iparnya. Nurul
Nadira masih kelihatan
cantik walaupun berbadan
dua.
“Assalamualaikum...”
sapa Darwisy.
“Waalaikumussalam...”
balas Danish sambil
tersenyum begitu juga
dengan Nurul Nadira.
“Abang dan Kak
Ira dah makan?
Jika belum mari
kak, kita ambil
makanan nanti ramai
orang dah tak
selesa.”
“Emm... boleh juga
Mia!” jelas Nurul
Nadira. “Abang tak
nak makan lagi?”
Nurul Nadira bertanya
kepada suaminya pula.
“Marilah kita makan
sekali. Tak akan
kita nak makan
berasingan pula,” ajak
Darwisy. “Darwisy ingat
lepas makan nak
cabut. Boringlah! Lagi
pun ayah dan
bonda ada untuk
jadi wakil syarikat
kita.” Darwisy memberi
pendapatnya.
“Bagus juga cadangan
Darwisy tu. Abang ada juga terfikir hendak
lakukan hal yang
sama. Kesian kat
Ira ni! Dia
bukannya boleh berdiri
atau duduk lama-lama
nanti sakit belakang.”
Dua pasang suami
isteri itu menuju
ke meja hidangan.
Sedang asyik Damia
memilih makanan yang
ingin dinikmati, tiba-tiba
tubuhnya dilanggar seseorang.
Basah pakaiannya terkena
tumpahan air tersebut.
“Opps... maaf tak
sengaja!” ujar Natilia
dengan sengihan mengejek.
Damia segera mencari
tisu dalam tas
tangannya. Dia mengesat
sisa-sisa air dibajunya.
“Tak mengapa! Saya
faham Cik Natilia
tidak bermaksud hendak
berbuat sedemikian.” Damia
menutup rasa jengkel
di hati. Malu
dia dengan mata-mata
yang memandang. Damia
tahu Natilia sengaja
mencari masalah dengannya.
Dia faham maksud
jelingan dan renungan
tajam Natilia selama
ini. Tapi apa
salahnya? Rasanya dia
tidak pernah berbual
dan menyakiti hati
perempuan itu. Adakah
semua ini berkait
rapat dengan suaminya
Darwisy?
“Argh...”
Natilia menjerit.
“Maaf... maaf
saya tak sengaja,”
ujar Danish bila
dia tanpa sengaja
tertumpahkan air di
atas kepala Natilia.
Natilia memandang
Danish dengan perasaan
marah. Habis pakaian
mewahnya basah akibat
tumpahan air kiwi
itu. “Auw... sakitnya!”
jerit Natilia kesakitan
bila terasa perit
kulitnya terkena kuah
panas.
“Maaf... sengaja
langgar!” ujar Darwisy.
“Sakit ke?” soal
Darwisy bersama senyuman
sinis dan renungan
tajam. “Itu baru
sedikit! Jangan berani-berani
sentuh atau sakiti
perempuan yang aku
sayang,” bisik Darwisy
ke telinga Natilia
berbaur ugutan dan
amaran.
“Nasib baik
tak tertumpah kuah
kari yang tengah
menggelegak. Jikalau itu
berlaku... tentu you terpaksa
dikejarkan ke hospital,”
ujar Darwisy lagi
selamba sambil ketawa.
Dia nampak
bagaimana Natilia menghampiri
isterinya dan dengan
sengaja menumpahkan air
ke baju Damia.
Dia apa lagi!
Pantang sungguh bagi
dia bila melihat
perangai Natilia yang
gedik dan banyak
songeh itu.
“Eh... eh...
eh...!!!” Darwisy dan Danish tertolak
Natilia ke dalam
kolam renang. Lantai
yang licin akibat
tumpahan kuah kari
menyebabkan mereka gagal
mengimbangi badan.
“Sorry...!!!” Darwisy
tersenyum mengejek.
Danish pula
mengangkat ibu jarinya.
Dendamnya pada Natilia
tidak akan pernah
padam. Lantas mereka
menarik tangan isteri
masing-masing.
Langsung mereka
tidak hiraukan jeritan
Natilia meminta tolong.
Sengaja Darwisy dan Danish berbuat
demikian. Gadis seperti
Natilia perlu diberi
pengajaran. Jangan dia
seorang sahaja yang
sentiasa hendak berada
di atas. Sekali-sekala
Natilia juga perlu
menjadi seperti roda
yang sentiasa berpusing.
Danish ingat lagi
semasa di tingkatan
lima. Pabila tidak
berjaya menggoda Darwisy,
dia pula yang
menjadi mangsa gadis
itu. Setiap hari
Natilia akan datang
ke perpustakaan dengan
niat hendak mengganggunya. Dia
dipaksa oleh Natilia
supaya memberi surat
kepada Darwisy. Jika
dia enggan, gadis
itu mengugut akan
melakukan sesuatu untuk
menjatuhkan maruahnya.
Pernah suatu hari
kerana enggan melayani
kerenah Natilia, gadis
itu mengisi kondom dan kotak rokok ke dalam beg
sekolahnya. Dia yang
tidak tahu apa-apa hanya
membawa beg tersebut
ke bilik guru
seperti yang diminta.
Terkejut besar Danish
ketika itu bila
melihat kondom dan kotak rokok tersebut.
Mujurlah ada pengawas
yang bertugas ternampak
Natilia memasuki kelasnya
ketika waktu rehat.
Jika tidak entah
apa akan terjadi
kepada dirinya. Sejak
itu dia dan
Darwisy sentiasa berhati-hati
dengan perempuan yang
bernama Natilia.
DATIN NAFISAH bergegas
menuju ke kolam
bila terdengar kekecohan
dan jeritan. Buntang
matanya melihat Natilia
terkapai-kapai di dalam
kolam renang.
“Mana pergi pekerja
hotel ni? Kenapa
tak selamatkan anak
saya?” jerit Datin
Nafisah. Dia merasa
geram bila orang
yang berada di
situ hanya memandang
tanpa memberi pertolongan.
Termasuk dirinya jugalah!
Hanya tahu mengarah
dan menjerit. Kalau
sayang dan kasihkan
sangat anak perempuannya,
kenapa tidak dia
sahaja yang terjun
ke dalam kolam
dan tolong?
“Apa yang bising
dan kecoh ni
Fisa?” tegur Dato’
Hamdan. Melihat anaknya
terjerit-jerit di dalam
kolam renang, dia
menggeleng kepala. Dengan
hanya menjerit di
situ bukan ada
faedahnya. Memalukan lagi
adalah! Bukannya tidak
tahu berenang. Masih
belum matang walaupun
usia sudah menghampiri
tiga puluh tahun,
getus Dato’ Hamdan.
“Lia keluar sekarang,”
arah Dato’ Hamdan
tegas. Bosan sungguh
dia melayan kerenah
Natilia. Makin besar
makin teruk perangainya.
“Abang nak marah
dia kenapa? Bukan
ke dia jatuh
tu!” marah Datin
Nafisah.
“Jatuh sahaja! Bukannya
ada patah riuk
atau cedera parah,”
rengus Dato’ Hamdan.
“Itulah suka sangat
bela anak! Tengok
apa dah jadi?
Asyik memalukan keluaraga
sahaja kerjanya,” tempelak
Dato’ Hamdan. Malu
sungguh dia dengan
rakan-rakan niaganya.
Dia nampak kejadian
yang berlaku. Dia
tidak menyalahkan Darwisy
mahupun Danish. Natilia
yang memulakan sengketa.
Telinganya tidak larat
menadah cerita yang
tidak elok tentang
anak perempuannya itu.
Bukan dia tidak
pernah nampak anaknya
itu berpelukan dengan
lelaki yang sebaya
dengannya. Bila dia
marah atau hendak
mengajar, isterinya sering
melenting dan merungut.
Kadang kala dia
merasakan yang dirinya
sering dinafikan hak
sebagai ketua keluarga.
Dengan wajah
masam mencuka dan
perasaan dendam yang
sarat di jiwa,
Natilia keluar dari
kolam renang tersebut.
Ingatkan boleh menarik
perhatian papanya tapi
sebaliknya pula yang
berlaku.
Datin Nafisah
membebel sepanjang jalan
menuju ke bilik
hotel. Geram juga
dia dengan perangai
Natilia yang tidak
habis-habis suka mendatangkan
masalah.
“Kenapa Lia buat
kecoh? Lia tak
reti ke nak
jaga maruah papa?”
“Apa pula Lia
yang salah? Danish
dengan Darwisy tu
perangai macam kacang
hantu!” marah Natilia.
“Lia jangan nak
buat hal! Macam
mama tak tahu
perangai Lia!” tempelak
Datin Nafisah. Memang
dia manjakan anaknya.
Tapi kalau sudah
mendatangkan masalah dalam
majlis gilang gemilang
suaminya, hati siapa
yang tidak marah.
Pulak tu...
anak dia punca
kekecohan itu terjadi.
Marah Natilia terhadap
Darwisy lebih tinggi
berbanding Danish. Jaga
kau Darwisy! Hari
kau pasti akan
tiba jua, bisik
hati Natilia. Dia
akan buat sesuatu
hingga lelaki itu
jatuh tersungkur dan
tidak akan bangkit
sampai bila-bila.
DANISH dan
Nurul Nadira hanya
tersenyum sinis memandang
Natilia yang sudah
kebasahan itu. Darwisy
dan Damia sudahpun
melangkah pulang ke
rumah mereka. Padan
muka! Jolok sangat
sarang tebuan! Kan
dah dapat sakit!
Getus Danish.
Itulah... tak ada
bala cari bala!
Buat malukan kaum
perempuan sahaja, bisik
hati Nurul Nadira.
“Apa dah berlaku?”
bisik Tengku Faridah.
“Natilia
jatuh kolam,” beritahu
Danish.
“Itu bonda tahu!
Tapi kenapa?”
“Danish dan Darwisy
tak sengaja tertolak
dia tadi,” jelas
Danish lagi. Tengkuknya
diusap. Lenguh mulutnya
hendak menjawab apabila
bondanya tidak berhenti
menyoal.
Tengku
Faridah memandang wajah
anak sulungnya. “Macam
mana boleh tertolak?
Macam tak logik
akal sahaja,” komen
Tengku Faridah. “Atau
kamu berdua sengaja
tolak?” serkap Tengku
Faridah.
Danish
merenung bondanya. Bijak
sungguh bondanya meneka.
“Natilia sengaja tumpahkan
air ke atas
baju Damia. Jadi
mengamuklah Darwisy,” ujar
Danish bersahaja.
“Siapa suruh dia
bawa perempuan tu
ke mari?” soal
Tengku Faridah sambil
merenung tajam Danish.
“Lah...
bonda! Itukan PA
dia. Lagipun suka
hati dialah nak
bawa siapa,” jawab
Danish. Danish cuba
mengawal nada suaranya.
“Dah macam
tak ada perempuan
lain yang hendak
di bawa. Dulu
boleh aje ke
mana-mana sendirian!” rungut
Tengku Faridah. “Hah...
dulu! Mana pernah
dia bawa setiausahanya. Ini
dengan bini orang,
sibuk berkepit,” marah
Tengku Faridah. Dia
memandang wajah suaminya
sekilas.
Danish dan
Nurul Nadira mula
melangkah perlahan-lahan, bimbang
jika mereka disoal
siasat lagi.
“Hah... nak ke mana tu?
Bonda belum habis
bercakap lagi.” Tahu
sangat dia yang
anak dan menantunya
hendak mengelak.
Danish
menggaru kepalanya. Bonda
ni macam tahu-tahu
aje aku nak
lari!
“Ira nak cari
tempat duduklah bonda.
Pinggang dah terasa
sakit sebab berdiri
terlalu lama,” dalih
Nurul Nadira.
“Danish nak teman
Ira cari tempat
duduk ya bonda.”
Mujurlah isterinya bijak
mencari idea yang
bernas. Melihat isyarat
mata bondanya suruh
beredar, Danish menarik
nafas lega. Dengan
pantas dia menarik
tangan isterinya. Dia
ingin pulang ke
rumah. Tiada apa
yang menarik di
majlis itu untuk
dia terus menunggu
dan menanti.
Tengku Faridah
menjeling suaminya pula.
Mujurlah mereka berada
jauh dari kelompok
orang ramai.
“Kenapa
jeling abang macam
tu?” bisik Tengku
Dzulkarnain.
“Abang tak tanya
ke anak bujang
abang nak pergi
dengan siapa ke
majlis ni?” soal
Tengku Faridah.
“Tanya. Memang dia
beritahu nak pergi
dengan Damia. Kenapa?
Ada masalah ke?”
Malas Tengku Dzulkarnain
hendak berselindung.
“Mengapa
abang tak larang?”
“Buat apa nak
larangan? Ikut suka
hati dia lah
nak bawa Damia
ke mana dia hendak pergi.”
Buntang mata Tengku
Faridah mendengarnya. “Hisy... abang
ni! Bercakap ikut
sedap mulut aje.
Buatnya Darwisy angkut
masuk bilik hotel
macam mana? Tak
malu kita nanti?
Malu satu hal!
Berdosa besar pulak tu
sebab tak didik
anak ikut syariat
Islam,” leter Tengku
Faridah. “Dan abang
kena ingat! Damia
tu isteri orang.
Tak elok dan
tak manis jika
anak kita duk
usung bini orang
ke sana ke
mari!” tegas Tengku
Faridah.
“Honey... jangan
bimbang! Darwisy tu dah besar.
Dah bijak. Dia
tahu apa yang
dia buat dan
lakukan. Selama ini
ada anak-anak kita
menconteng arang ke
muka kita?” bidas
Tengku Dzulkarnain.
“Sebelum dia menconteng
aranglah kita perlu
beringat! Bila dah
jadi bubur, tak
berguna lagi,” sinis
Tengku Faridah.
Tengku
Dzulkarnain merangkul bahu
isterinya. “Honey berilah kepercayaan
kepada Darwisy sepenuhnya.
Yakin dengan tindak
tanduknya. Percayalah cakap
abang, Darwsiy anak
yang baik dan
tahu bezakan yang
mana halal dan
yang mana haram,”
pujuk Tengku Dzulkarnain.
Bahu isterinya diusap
lembut.
Terdiam
Tengku Faridah mendengar
kata-kata suaminya. Kata-kata
Tengku Dzulkarnain ada
juga benarnya. Tapi...
matanya belum rabun.
Dia dapat melihat
kemesraan antara Darwisy
dan Damia. Siapa
Damia di sisi
Darwisy sebenar-benarnya?
DAMIA memandang
wajah suaninya. Hairan
bin ajaib dia
melihat senyuman yang
tersungging di bibir
Darwisy.
“Tak
sudah-sudah lagi tersenyum?”
sindir Damia.
“Mana ada senyum!
Cuma hati ni aje terasa
puas dan gumbira bila perempuan
tak sedar diri
tu terkena lagi.”
“Apa maksud abang
terkena lagi? Sebelum
ini abang berdua
selalu kenakan dia
ke?”
“Hisy... mana
ada!” sangkal Darwisy.
“Abang dengan Danish
punyalah sebaik-baik manusia!”
puji Darwisy. “Dia
tu yang suka
sangat sakitkan hati
abang dan Danish!”
“Kalau dah sebaik-baik
manusia takdelah sifat
pendendam!” tempelak Damia.
“Siapa yang berdendam?”
“Eleh... tadi tu?”
sindir Damia. “Bukan
berdendam namanya sampai
habis basah rambut
dan baju Natilia
dengan air dan
kuah mee kari.
Macam sayang tak
tahu taktik abang
berdua.”
“Hisy... tak
baik menuduh tanpa
bukti! Mana ada
kami sengaja nak
kenakan dia. Sayang
tak dengar ke
apa kami berdua
kata? Maaf... tak
sengaja! Bila dah
kata tak sengaja
maka perbuatan tu
berlaku di luar
kawalanlah.”
“Berdebat
dengan abang sampai
tahun depan pun
tak habis dan
tak akan menang!”
perli Damia. “Abang...
kenapa Natilia suka
jeling-jeling bila terpandang
muka sayang? Macamlah
sayang ada hutang
dengan dia!”
“Dia jeles
sebab isteri abang
lebih cantik dan
jelita daripada dia,”
selamba badak sahaja
Darwisy memberi komentarnya.
“Abanggg...
sayang serius ni!”
marah Damia. “Jawablah
betul-betul,” rajuk Damia
sambil memukul bahu
Darwisy.
“Sayanggg...
abang tengah memandu
ni. Bahaya!” tegas
Darwisy. Melihat isterinya
mula merajuk, Darwisy
sudah tersengih nakal.
“Janganlah marah-marah nanti
cepat tua! Siapa
susah? Sayang juga!”
“Apa
masalahnya kalau cepat
tua?” tanya Damia
geram.
“Bila tua dah
tak cantik. Muka
dah berkedut dan
kerepot! Jangan menyesal
bila hati abang
beralih alih!” gurau
Darwisy. “Sekarang ni...
ramai sangat yang
nak menghimpit abang.
Termasuk perempuan tak
sedar diri itu
tadi,” giat Darwisy
lagi.
“Huh!” rengus Damia
dengan jelingan tajam.
Segera dia memalingkan
wajahnya ke lain.
Sakit hatinya! “Jika
ada niat hendak
beralih arah, silakan!
Senang saya hendak
buat perhitungan selepas
ini,” marah Damia.
“Apa maksud sayang?”
Darwisy sudah tidak
keruan. Kata ganti
nama diri juga
sudah berubah. Tentu
isterinya sudah naik
angin. Janganlah puting
beliung atau tsunami
datang melanda. Mereka
baru sahaja meniti
bahagia.
“Semua lelaki sama
sahaja. Semuanya nak
cari perempuan cantik
jelita dan bergetah!”
rungut Damia. Wajah
suaminya dipandang sekilas.
“Dah ada niat
nak kahwin lain?
Carilah perempuan mana
yang awak berkenan
dan boleh kekal
jelita serta tidak
berkedut hingga umur
seratus tahun. Tapi
lepaskan saya dahulu. Bencilah
saya dengan lelaki
yang tak setia
ni!” sinis Damia.
Dadanya juga turut
berombak menahan amarahnya.
Tulah...
Darwisy! Yang kau
gatal-gatal jolok sarang
lebah tu kenapa?
Tengok... queennya dah mengamuk!
“Janganlah marah dan
merajuk sayang. Abang
gurau jelah! Tak ada
niat di hati
abang hendak mencari
yang lain. Sayanglah
ratu hati abang!
Sumpah!!! Abang akan
setia hingga ke
akhir hayat kita.
Kalau abang tipu...
sah-sah abang berdosa
besar dan masuk
api neraka,” jelas
Darwisy bersungguh-sungguh.
Damia
menyembunyikan senyumannya. Lawak
juga laki aku!
Dah macam budak
sekolah bercakap dan
berjanji. Sekiranya menipu,
masuk api neraka!
Dulu dia juga
sering menggunakan ayat
yang sama bila
berjanji dengan papanya.
Papa... Sayang rindu!
Teringatkan Dasuki Aqtar,
dia menjadi sebak.
Air matanya mula
membasahi pipi.
Kalut Darwisy melihat
keadaan isterinya. Segera
dia memberhentikan keretanya
di bahu jalan.
Tubuh Damia dipeluk
erat dan seluruh
wajah itu dikucup
sayang tanda memujuk.
Sangkanya Damia bersedih
akibat kata-katanya yang
telah mengguris hati
dan perasaan wanita
itu.
“Maafkan
abang sayang! Abang tidak
bermaksud apa-apa dengan
kata-kata abang itu.
Maafkan abang!” pinta
Darwisy sekali lagi.
Dahi isterinya dikucup
kasih dan pelukan
semakin dieratkan. Dia
benar-benar menyesal kerana
buat Damia terluka.
Damia yang berada dalam
pelukan Darwisy menarik
senyuman nakal. Padan
muka! Orang lelaki
memang patut diajar
sesekali, bisik hati
Damia. Tahu takut!
Gumam Damia pula.
“Janji!
Jangan buat lagi
dan sebut perkataan
macam tu. Andai
abang ingkar... nahas
abang! Jangan terkejut
bila bangun pagi
tiada siapa lagi
di rumah,” ugut
Damia.
“Sumpah!
Abang tak akan
buat lagi! Jangan
tinggalkan abang ya!”
rayu Darwisy.
“Sayang
pegang dengan kata-kata
abang. Tapi ingat...
sekali kepercayaan dinodai,
abang akan kehilangan
anak-anak dan isteri,”
tegas Damia.
“Abang
janji!” ikrar Darwisy.
“Abang kenapa Natilia
tidak berpuas hati
dengan sayang?” tanya
soal lagi.
“Lah... tak habis
lagi rupanya topik
budak sengal tu!
Abang ingat dah
tutup buku,” perli
Darwisy. “Jika sayang
nak tahu sangat...
dia tu sebenarnya
ada hati dekat
abang. Mama dia
pun sama, asyik
melobi bonda supaya
terima anak dia
sebagai menantu,” ujar Darwisy.
“Abang dengan dia
satu sekolah dulu.
Pernahlah dia buat
cerita tentang abang
ni kononnya kekasih
dia. Siap dia
tulis kad ucapan
sendiri dan kata
abang yang hantar.
Suatu hari... abang
kena panggil dengan
guru disiplin. Guru
disiplin tu tunjuk
kad yang kononnya
ditulis oleh abang.
Abang apa lagi...
mengamuklah. Sejak hari
itu... abang memang
jaki dengan dia.”
Darwisy mengeluh mengenangkan
sikap Natilia.
“Abang ingatkan makin
besar makin cerdik
dan matang. Rupanya
tidak... makin bodoh
dan mengada adalah.
Sayang ingat dia
selalu ada kat
tapak pembinaan tu dia
boleh buat kerja?
Jikalau tak ada
pekerja dia yang
membantu, tentu lingkup
bisnes Dato’ Hamdan.
Hari-hari lawat tapak
projek macam nak
pergi jumpa pelanggan
atau ke parti.
Macam tu ke
cara orang nak
datang bekerja?” soal
Darwisy. “Dahlah fikir
tentang dia. Buat
menyakitkan hati je!” Wajah
isterinya ditatap. Cantiknya
dia! Isteri siapalah
agaknya?