SALAM.... Buat semua pembaca setia SPH... Bab 15 adalah bab terakhir yang akan bersiaran di blog BHSK ini. Terima kasih kerana menyokong selama ini. Sayang anda semua.
**********************************************************
**********************************************************
REQZA
membawa sahabat baiknya Damia dan si kembar ke Starhill. Dia ingin menghabiskan
masa hujung minggunya bersama Fareez dan Farisya. Selepas ini dia tidak punya
banyak waktu untuk bertemu si kembar. Setelah menyatakan persetujuan untuk
menyertai Padu Niaga, papanya telah meminta dia menguruskan salah sebuah anak
syarikat Padu Niaga.
Reqza menurunkan Damia dan
anak-anaknya terlebih dahulu. Memandang hujung minggu, kebanyakannya tempat
letak kereta sudah penuh. Damia akur dengan keputusan Reqza. Ketika dia
melintasi di restoran makanan segera, dirinya disapa seseorang. Lantas Damia
menoleh untuk melihat siapakah gerangannya. Terkaku dia seketika dengan
pertemuan yang tidak disangka-sangkakan ini.
“Bonda kenalkan ini Mia. Mia... ini
ibu mentua saya, Tengku Faridah.”
Kenapalah aku asyik terserempak
dengan muka dia aje ni? Malang sungguh nasib badan! Bisik hati Damia. Damia
menghulurkan tangannya bersalaman dengan Tengku Faridah dan madunya. Walaupun
hatinya sebal, dia tetap memaniskan muka.
Tengku Faridah memerhati wajah
Damia. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu.
“Ini Sayang Damia, anak Dr. Karina,
kan?” Tanya Tengku Faridah inginkan kepastian.
Damia pantas mengangguk.
“Tengku
kenal dengan mama saya?” Damia bertanya dengan nada terkejut. Dia sudah berasa
tidak senang hati dengan pertemuan yang tidak disengajakan ini. Janganlah
hendaknya bonda Darwisy membuka apa-apa cerita di hadapan mamanya. Dia bimbang
akan penerimaan mamanya.
“Panggil mak cik sahaja. Dulu mama
Mia dan mak cik bercadang hendak jodohkan kamu dengan anak mak cik. Nampak
gayanya takde rezekilah kami nak
berbesan,” ujar Tengku Faridah sambil ketawa. Dia sedikit terkilan.
“Ya ke bonda? Tak tahu pun. Nak
dijodohkan dengan siapa? Danish atau Darwisy?”
“Tentulah dengan Darwisy. Dia
seorang sahaja yang bujang.”
Damia masih ingat tentang calon
menantu pilihan mamanya yang bernama Tengku itu. Cuma dia tidak memberi
perhatian terhadap lelaki itu. Adakah gambar lelaki yang memakai seluar koyak
rabak dan bertampal sana-sini adalah Darwisy? Suaminya? Sungguh tak masuk dek
akal. Akhirnya dia berkahwin juga dengan calon pilihan mamanya walaupun dia
berusaha menolak jauh jodoh yang cuba diaturkan untuknya. Sungguh hebat
kekuasaan ALLAH. Tapi apa yang hendak dikatakan lagi... Darwisy juga mempunyai
isteri, selain dirinya. Tentu Tengku Faridah masih belum tahu yang anak
lelakinya itu sudah berkahwin dua.
Untuk tidak kelihatan canggung,
Damia berusaha menyertai Tengku Faridah dan madunya berbual.
“Dah berapa bulan? Hari tu tak
sempat nak bertanya,” dalih Damia. Padahal baru sekarang dia perasan bonjolan
di perut madunya itu. Hatinya bertambah sakit. Kata tak sayang dan cinta! Tapi
yang dalam perut madunya tu apa? Bukankah itu tandanya dia juga merelakan
hubungan yang terjalin?
“Hampir empat bulan. Dah lama kami
menantikan kehadirannya. Mujurlah ALLAH beri kesempatan untuk saya menjadi
ibu.” Jelas terpancar kegembiraan di wajahnya. “Mia buat apa di sini?”
“Bawa anak-anak jalan-jalan,” terang
Damia ramah walaupun dalam hatinya terseksa bagai nak rak hanya Tuhan sahaja
yang tahu. Dia berusaha tersenyum dan mengawal nada suaranya sebaik mungkin.
“Nurul
dengan mak cik pula buat apa di sini?” Argh...
betapa bodohnya pertanyaan yang diketengahkan olehnya. Tentulah mereka datang
ke mari hendak membeli-belah.
“Nurul? Dulu saya perkenalkan diri
saya sebagai Nurul ke?”
Damia angguk kepala.
“Nurul pun Nurullah! Saja window shopping.”
Tengku Faridah merenung wajah si
kembar dengan perasaan yang sukar hendak digambarkan. Muka si kembar ada
iras-iras anak lelakinya semasa kecil. Belum sempat dia membuka mulut bertanya,
muncul seorang lelaki.
“Assalamualaikum,” sapa Reqza ramah.
“Waalaikumussalam,” balas mereka
bertiga.
“Kenalkan
ini Reqza,” ujar Damia kepada Tengku Faridah dan perempuan yang bernama Nurul
itu. “Reqza ini Tengku Faridah dan Nurul.”
Reqza menundukkan sedikit kepalanya
tanda hormat. Begitu juga dengan Tengku Faridah dan menantunya. Tengku Faridah
mencuri pandang wajah Reqza dan si kembar, namun tiada persamaan pada wajah mereka.
Si kembar itu lebih mirip wajah Darwisy dan Danish.
“Suami Damia ke?” Perempuan yang
bernama Nurul itu bertanya.
Damia
yang sedang sibuk melayan kerenah kembarnya hanya tersenyum. Dia sebenarnya
tidak mendengar soalan yang diajukan untuknya. Reqza pula sibuk melayan anak
lelakinya yang mula berjalan ke sana ke mari. Mereka kini sudah tidak mahu
dipegang lagi.
“Takpelah Mia, kami nak bergerak dulu. Ada masa kita jumpa lagi.” Usai
bersalaman dengan Damia, dia mengajak Tengku Faridah beredar.
“Mari bonda, kita pergi ke butik
lain. Lewat balik, abang bising pula.”
Tengku Faridah menuruti ajakan
menantunya. Hatinya masih tertanya-tanya siapakah si kembar itu?
“Siapa tu?” Soal Reqza.
“Kalau kau nak tahu, itulah mentua
dan madu aku.”
“Aku tengok okey aje kau layan madu
kau.”
“Kau sindir aku ke?” Tanya Damia
dengan perasaan jengkel.
“Mana ada! Aku berkata yang benar.
Bukan ke itu yang kau pamerkan depan aku tadi,” balas Reqza.
“Luaran memanglah nampak okey. Hati
aku merintih pedih, jiwa aku merana dan hidup aku sengsara... ada kau tahu?”
Damia meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
“Setahu aku... orang kalau bertemu
dengan madu mereka, dia orang akan ‘perang’. Tapi aku tak tengok pun adegan
perang mulut atau tarik-tarik rambut tadi!” Giat Reqza sambil tersenyum
mengejek.
“Gila kau! Tak akan aku nak
bersilat... berkuntau... disebabkan dia berkahwin dengan Darwisy. Lainlah jika
dia serang aku dulu. Aku rasa... dia pun tak tahu yang dirinya dimadukan!”
“Baiknya kau! Aku pun nak cari
isteri yang serupa macam kau lah. Bila aku kahwin lagi... dan lagi... dan
lagi..., takdelah isteri aku baling
pinggan mangkuk dan periuk belanga,” ujar
Reqza dengan ketawa kelucuan.
“Jangan nak merepek Reqza!” Tutur
Damia dengan nada sayu. “Kau tak tahu bagaimana hancur dan merananya hati
seorang isteri bila cinta suaminya terbahagi dua. Kau tak tahu betapa perit dan
deritanya jiwa seorang wanita bila suaminya terpaut dengan wanita lain. Dan kau
tak tahu betapa luka dan seksanya hidup seorang perempuan bila suaminya
curang,” ujar Damia sambil menatap wajah temannya itu. “Cuba kau letakkan diri
kau di tempat kami dan cuba kau selami hati seorang perempuan. Tentu kau akan
rasa betapa sakit dan peritnya hidup insan bernama perempuan bila sang suami
menduakan mereka.”
Terdiam Reqza mendengar luahan hiba
Damia. Berat sungguh bebanan yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Seandainya
dia menjadi suami Damia, tidak akan sekali-kali dia membuat hati isterinya itu
menderita. Pelukan dieratkan bila Fareez sudah tertidur di bahunya. Tangan
kanannya mengesat mutiara putih yang mula mengalir di pipi Damia.
“Janji dengan aku Req, sekiranya
kau bertemu dengan idaman hati kau, jadilah suami yang setia. Jangan sesekali
kau mainkan perasaan pasangan kau.”
“Syyy... jangan menangis! Nanti orang ingat aku marah kau pula,”
usik Reqza sambil berbisik.
“Janji Req!” Damia menagih
kepastian daripada Reqza. Dia mencari anak mata Reqza. Dia tidak mahu Reqza menjadi
seperti sebahagian lelaki di luar sana yang tidak bertanggungjawab dan suka
mempermainkan hati dan perasaan pasangannya.
Reqza mengangguk.
“Aku akan berusaha untuk setia!”
Kenyitan dihadiahkan buat Damia.
Damia tersenyum nipis dengan usikan
nakal Reqza. Itulah sahabatnya dunia dan akhirat. Lelaki itu sentiasa ada di
waktu suka dan duka. Temannya itu selalu di sisi saat dia senang dan susah.
DARWISY
duduk
bersantai di tepi kolam renang bersama Danish. Ayahnya Tengku Dzulkarnai keluar
bermain golf bersama rakannya. Kelihatan bonda dan kakak iparnya menatang
dulang yang mengandungi juadah minum petang.
Darwisy segera mengambil minuman
tersebut. Tekaknya terasa haus. Sudahlah ketika dia tiba, tiada sesiapa di
rumah. Bondanya yang sibuk meminta dia segera pulang pun... hilang entah ke mana.
Danish pula sibuk dengan rakan tenisnya. Panas sungguh hati Darwisy dibuatnya.
Nadira mengambil tempat di sebelah
suaminya. Tangannya menepuk lembut paha suaminya.
“Abang nak tahu..., tadi Ira
terserempak dengan calon menantu tak jadi pilihan bonda untuk Darwisy.” Nadira
membuka bicara. “Cantik orangnya bang!” Sambungnya lagi. Matanya menjeling
Darwisy.
Berkerut-kerut dahi Darwisy. Siapa
yang kakak iparnya maksudkan? Natilia? Masakan Nadira tak kenal dengan perempuan
gila itu?
Danish menuntas pandangannya ke
wajah Nadira. Dia juga ingin tahu siapakah gerangan perempuan malang yang cuba
dijodohkan dengan adiknya itu.
“Siapa dia?” Danish bersuara.
“Siapa namanya bonda?” Nadira pura-pura
bertanya Tengku Faridah.
Danish memandang geram wajah
isterinya yang bernama Nurul Nadira itu. Dia tahu isterinya sengaja hendak
mendera perasaannya.
Nadira tersengih-sengih memandang
wajah geram suaminya.
“Alahai... apalah nama budak tu
tadi! Cantik orang Darwisy. Rugi kamu menolaknya dulu.” Tengku Faridah
memandang wajah si bongsunya. “Siapa ya...” Tengku Faridah cuba mengingati nama
anak sahabat karibnya Dr. Karina. “Ha... Sayang Damia,” ujar Tengku Faridah spontan.
Bersembur air dari mulut Darwisy
dan Danish. Masing-masing memandang antara satu sama lain.
Pelik Tengku Faridah dan Nadira
memandang mereka.
“Hisy... kamu berdua ni, tak senonoh betul! Kenapa sampai bersembur
macam tu sekali? Ada yang tak kena ke dengan nama Sayang Damia? Atau bonda
tersebut nama Maya Karin atau Lisa Surihani?” Sindir Tengku Faridah.
“Entahlah abang dan Darwisy ni,
minum mengalahkan budak kecik. Gelojoh! Tengok! Habis basah muka Ira,” omel
Nadira sambil mengesat mukanya dengan lengan baju sebelum berlalu ke pili air.
Danish dan Darwisy memandang wajah
Nadira yang kebasahan. Mereka tersengih bersalah.
Hati Darwisy sudah tidak tenteram. Habislah
kalau bonda tahu siapa Damia, bisik hatinya.
“Di mana bonda jumpa dia?” Tanya
Danish mewakili Darwisy.
“Kami jumpa di Starhill. Tak sangka
pulak dia dah kahwin! Comelnya anak-anak
dia,” jelas Tengku Faridah sambil menyuap bingka ubi ke dalam mulutnya.
Darwisy semakin panas punggung.
Perit tekaknya masih belum lagi hilang. Kini dihidangkan pula berita yang boleh
membuatkan jantungnya mengepam laju. Dadanya berdegup kencang mendengar kata-kata
bonda. Janganlah Damia membuka apa-apa cerita tentang dia, getus Darwisy.
“Kacakkan bonda, suami dia.”
Tengku Faridah angguk kepala
menyetujui kata-kata menantunya.
“Rugi abang tak ikut tadi. Jika
tidak, boleh berkenalan dengan suami dia.”
Danish memandang pelik wajah
Darwisy. Begitu juga dengan Darwisy. Masakan Nadira tak kenal muka Darwisy.
Atau Damia keluar dengan lelaki lain? Gumam Danish.
Dengan siapa pula Damia keluar?
Bukan ke tadi dia berada di rumah Jeslina? Damia keluar dengan keluarga Jeslina
kut! Mungkin Damia berjalan dengan Pak Cik Abdullah. Pak Cik Abdullah walaupun
sudah berumur tetapi masih segak dan bergaya. Darwisy menyedapkan hatinya.
“Muda ke tua pasangannya?” Tanya
Darwisy. Dia cuba menutup kegelisahan di hatinya.
“Tentulah muda! Mungkin sebaya
dengan Damia,” jawab Tengku Faridah tanpa mengetahui apa yang berladung dalam
hati anak bongsunya itu. “Terkilan juga bonda tak dapat jadikan dia menantu di
rumah ini. Baik dan sopan santun budaknya. Beruntung suami dia,” ujar Tengku
Faridah sedikit terharu. Dia benar-benar berkenan dengan anak sahabatnya itu.
Jika masih bujang lagi, memang dia dah serbu rumah Dr. Karina hari ini untuk
masuk meminang. Tak kisahlah seandainya Darwisy berkeras menolak, asalkan
hajatnya dapat dipenuhi.
Menyirap darah Darwisy mendengar
keterangan bondanya. Tidakkah Damia berasa berdosa kerana membelakangkan
suaminya? Perempuan ni mesti diajar, bisik hati Darwisy geram.
“Kamu bila nak kahwin Darwisy? Umur
makin meningkat! Tengok Danish, tak lama lagi dah nak jadi ayah,” luah Tengku
Faridah. “Seronok bonda tengok suami Damia melayan anak-anaknya. Pandai dia
pilih suami.” Tengku Faridah menoleh melihat Darwisy. Muka anak lelakinya
kelihatan merah dan tegang. Apa masalah anaknya itu? Macam hendak marah sahaja lagaknya.
Hati Darwisy semakin hangus
terbakar mendengar kata-kata bondanya. Memang nak kena perempuan ni!
Danish menguis kaki adiknya. Raut
wajah Darwisy yang tegang membimbangkan Danish. Risau dia jika bondanya jatuh
pengsan atau kena serangan jantung jika rahsia itu tiba-tiba terbongkar.
Darwisy segera mengawal perasaan amarahnya.
“Kenapa Darwisy?” Tanya Tengku
Faridah. Risau dia melihat wajah kelat anaknya.
“Kenapa apa?” Darwisy bertanya
kembali seolah-olah tidak faham dengan soalan bondanya.
“Bonda tengok macam orang tengah
marah aje!”
“Marah? Tak adalah bonda. Darwisy
baru teringat ada satu lagi dokumen yang belum selesai disemak. Esok ada meeting. Tentu kelam-kabut Darwisy pagi
esok,” dalih Darwisy.
“Cuti-cuti ni, tolaklah dulu ke tepi
hal-hal pejabat. Kerja tu semua sampai kamu mati pun tak akan habis,” omel
Tengku Faridah. “Cubalah ikut macam ayah kamu tu, pergi beriadah dan bersukan.
Ada juga faedahnya. Ini tidak... asyik hilang entah ke mana pun bonda tak tahu.
Kalau menghilang cari calon isteri tak apalah juga. Ini... satu pun tak ada!”
Bebel Tengku Faridah.
Danish dan Nadira tersengih
memandang wajah mencuka Darwisy.
Darwisy menjeling geram pada abang
dan kakak iparnya.
“Ini... bonda nak tanya ni.
Berhari-hari tak nampak batang hidung, kamu pergi mana?” Tengku Faridah
memandang tajam wajah anaknya. “Dan... kamu tidur di mana? Jangan kata tidur di
hotel Casuarina. Bonda dah berkali-kali call
hotel, tapi mereka kata kamu tak ada.” Tengku Faridah mula menyerang.
Darwisy tersenyum kelat mendengar
serangan bondanya. Mana mungkin dia akan menceritakan tentang kehilangannya
selama beberapa hari ini dalam masa yang terdekat. Mahu pengsan bonda dan
Nadira jika dia buka kisah hidupnya sekarang. Tak pasal-pasal ada yang kena
usung ke hospital.
“Tak ada ke mana-manalah bonda.
Darwisy ada urusan kerja di luar,” bohong Darwisy. Maaf bonda kerana membohongi
dirimu. Ampunkan dosa anakmu ini.
Fikiran Darwisy masih lagi runsing
memikirkan perihal Damia. Sesak dadanya mendengar cerita tentang Damia dengan
seorang lelaki kacak. Tiba-tiba dia teringatkan wajah seseorang. Adakah dia?
Hatinya kembali sebal.
Tengku Faridah memandang geram
wajah anaknya. Ada sahaja alasan yang akan keluar dari mulut itu. Namun dia
tidak mahu memanjangkan bual bicaranya. Dia tahu anak-anak dan suaminya begitu
sibuk melebarkan empayar perniagaan keluarga mereka.
“Jom... Darwisy! Kata tadi nak
pergi hantar cuci kereta. Abang pun dah lama tak cuci kereta Ira. Nak harapkan
kakak ipar kamu ni, alamatnya berkulatlah kereta tu.” Danish menjeling isterinya.
Muncung mulut Nadira mendengar
sindiran suaminya itu. Dia mula mengangkat punggung. Dia juga tidak mahu ikut
campur dalam urusan keluarga mentuanya. Nadira mengutip cawan dan pinggang
kotor lalu dibawa masuk ke dalam rumah.
Darwisy tahu Danish cuba menyelamatkan
keadaan. Walaupun moodnya sudah
dibawa terbang, Darwisy terpaksa akur dengan cadangan Danish. Dia juga tidak mahu
mengecohkan suasana yang mula membahang itu. Hati bondanya harus dijaga dengan baik.
“Rilekslah! Jangan buat muka macam
nasi basi. Sekiranya bonda dapat kesan wajah keruh Darwisy tentu susah kita
hendak tutup rahsia ini lagi.” Danish bersuara setelah mereka berada di garaj
kereta.
Darwisy meraup wajahnya. Terbit
rasa kesal di hatinya kerana gagal menyembunyikan gejolak di hatinya.
“Bila Darwisy nak ceritakan perkara
yang sebenarnya pada bonda? Sampai bila kita nak sorok perkara ini? Bonda pun
abang tengok dah mula mengesyaki Darwisy.”
“Darwisy belum bincangkan perkara
ini dengan Damia. Lagipun kami masih baru lagi berjumpa kembali. Darwisy tak
mahu terburu-buru, bimbang Damia tertekan. Penerimaan dia terhadap Darwisy pun
masih lagi hambar. Bila keadaan dah benar-benar selesa, baru Darwisy umumkan
pernikahan kami.”
“Eleh! Dalam pada tak nak rahsia
ini terbongkar tapi kat mana-mana wajib panggil
‘abang’ dan ‘sayang’,” sindir Danish. Melihat buntang mata Darwisy, dia
menokok. “Sorry... terdengar
perbualan antara Darwisy dan Damia tempoh hari,” ujar Danish dengan ketawa
tidak henti.
“Darwisy sengaja buat begitu supaya
dia terasa dekat dengan Darwisy. Sekiranya kami... berengkau dan beraku atau
saya awak, sampai bila-bila pun kami seperti orang asing. Lagipun bonda jarang
datang pejabat, dia tak akan tahu. Dan kami juga tidak selalu berada di
khalayak ramai. Kalau ada orang, kami berbisik-bisik bila bercakap,” ulas
Darwisy tentang tujuan dia berbuat demikian.
Danish menepuk bahu adiknya dengan
lembut. Apa pun keputusan dan tindakan Darwisy, dia tahu Darwisy sudah
menimbangkan perkara itu dengan matang.
“Abang sentiasa berada di belakang
Darwisy sekiranya Darwisy perlukan bantuan,” tutur Danish ikhlas. Darwisy
satu-satunya saudara yang dia ada. Jika dia mengambil sikap lepas tangan adalah
tidak wajar. Apatah lagi dia selaku abang sulung.
“Terima kasih abang.” Lantas
Darwisy memeluk erat saudara kembarnya itu.
Abangnya banyak memberi sokongan
moral semasa dia ditimpa kemalangan dan kehilangan Damia. Hinggakan abangnya
sanggup menangguhkan majlis perkahwinannya sewaktu dia kemalangan dulu. Mujur
dia berkeras. Jika tidak... entah bila baru abangnya itu akan berkahwin.
Darwisy tahu... Nadira bukanlah pilihan hati Danish. Demi kasih sayang terhadap
bondanya, Danish hanya menurut dan sedikit pun tidak membangkang. Syukurlah
Nadira bijak memainkan peranan dan baik. Andai sebaliknya tentu berantakan rumah
tangga abangnya itu.