KOTA
Keriangan Genting menyaksikan penyatuan dua hati. Dia bukan sahaja menerima lamaran
cinta tetapi juga bertemu dengan suami yang selama ini tidak pernah dikenalinya.
Athirah merasa amat bahagia dan gembira dengan kurniaan ini.
Sahabat
baiknya merangkap teman sebilik dan sekelasnya juga tidak kurang hebatnya.
Sungguh dia tidak menyangka begitu cepat sekali Fazlina menerima lamaran cinta
daripada Borhan. Sedangkan mereka tidaklah serapat mana sebelum ini. Mungkin keperibadian
Borhan menarik minat Fazlina dan cinta mereka berputik semasa Fazlina tidur di rumah
pak cik Borhan tempoh hari. Emm... kena
korek sampai lubang cacing kisah cinta mereka ni! Bisik hati Athirah. Tersenyum
dia memikirkan segala yang berlaku dalam hidupnya kebelakangan ini. Begitu
indah dan mengasyikkan.
Aisyah
juga nampak rapat dengan budak engineering.
Manakala Aina, rapat dengan budak sekelas mereka Faizul. Hanya Salmi sahaja yang
masih solo. He... he... he... boleh buat kakak ipar aku nanti. Emm... siapakah abang-abangnya yang masih solo? Fikir... fikir...
fikir...! Ujar Athirah sambil mengetuk-ngetuk kepala.
Abang
Lan masih solo. Katanya ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya
terlebih dahulu. Selagi belum bergelar doktor pakar, dia tidak mahu memikirkan
tentang perkahwinan. Kalau aku pujuk abang aku tu, agak-agak dia nak tak ikut cakap
aku? Lagipun dia nak tunggu sampai umur berapa baru nak kahwin? Bukannya tak
boleh jadi doktor pakar walaupun sudah berkahwin. Hisy... macam-macamlah abang aku yang seorang ni! Abang aku ni walaupun
tampak ala-ala romantik gitu, tapi tegas yang amat. Jika dia kata tidak, maknanya
tidaklah. Nanti... ada Si Salmi menjerut perasaan sekiranya berkahwin dengan
dia. Ini bermakna Abang Lan reject
daripada senarai pemilihan calon suami untuk Salmi.
Abang
Man? Ustaz ni pandai ke bercinta? Aku tengok macam kayu je. Tak pernah lagi aku tengok atau dengar nama-nama perempuan
meniti di bibirnya. Mungkin title
ustaz yang disandang, membuatkan dia menjaga batas pergaulannya. Abang aku ni,
seorang yang manja walaupun bukan anak bongsu. Kadangkala jeles juga aku bila dia bermanja dengan mak. Dia ni suka sangat berebut
dengan aku baring atas riba mak. Mungkin sebab terlantar jauh bertahun-tahun kat
Timur Tengah menyebabkan perasaan rindunya menebal. Tapi dah bertahun balik, tak
akanlah tak hilang lagi perasaan rindu tu? Agaknya kalau dah kahwin nanti dan tiba-tiba
bergaduh dengan isteri dia, ada tak dia keluarkan ayat macam ni... “Ayang... kalau
awak dah tak cintakan abang lagi, tolong hantar abang balik ke rumah mak bapak
abang!” Hu... hu... hu... tak ke niaya
Salmi nanti? Setiap kali bergaduh dan merajuk je nak balik rumah mak. Abang Man akan disaring sekali lagi. Andai
benar-benar layak baru dipertimbangkan untuk Salmi.
Abang
Tam? Emm... memang cocok dan padan dengan
Salmi! Tapi single lagi ke orang tua
tu? Sekiranya balik kampung, tak sah kalau takde orang perempuan yang telefon dia. Kadangkala sampai empat atau lima
orang yang telefon dalam sehari. Dan aku pula, terpaksa menjadi operator
telefon bimbit tidak bergaji untuknya. Bila aku tanya... kawan satu ofis, kawan
satu universiti dan klien syarikat tempat dia bekerja. Pernah juga dia paksa
aku menyamar jadi teman wanita dia. Ketika itu, dia hendak melarikan diri daripada
seorang perempuan yang pakai baju tak cukup kain.
Seandainya
aku kenenkan dengan Salmi, dia nak tak? Aku rasa mesti dia tak membantah. Aku kan
adik kesayangan dia dan banyak membantu dia menyelamatkan diri. Tak akanlah dia
tak sanggup berkorban untuk aku? Tapi kesian pulak Si Salmi, asyik kena tinggal setiap masa. Maklumlah bidang kerjanya
selalu buat dia keluar daerah. Kiranya Abang Tam calon teratas untuk menjadi
bakal suami Salmi.
Otak
Athirah juga ligat memikirkan kenapa abang-abangnya masih belum berkahwin? Dari
segi rupa paras, tidak ada cacat celanya. Masing-masing juga berjawatan tinggi
dan bergaji besar. Mungkin abang-abangnya ini jenis takut perempuan. Tak pun
perempuan yang takut nak dekati mereka.
Sedang
asyik memikirkan masalah mencari jodoh untuk Salmi, pintu biliknya terbuka.
Terjengul muka Fazlina dengan wajah yang berseri-seri.
“Amboi-amboi...
orang baru balik dating! Tersenyum simpul nampak?” giat Athirah. “Eh... sejak bila
hah, kau rapat dengan Abang Hans?” Athirah memulakan misi mengorek rahsia.
“Mana
ada! Kami sekadar kawan biasa ajelah,”
ujar Fazlina menutup rahsia.
“Kau
ni... bercakap dah macam artis,” ejek Athirah. “Mana ada... kami hanya kawan biasa
aje. Eh... takdelah! Kami ni teman...
tapi mesra.” Athirah mengajuk kata-kata Fazlina dan sesetengah artis di
Malaysia. Mulutnya juga sudah mencebik.
Fazlina
tersenyum kelat mendengar sindiran Athirah.
“Hey... kau tahu tak? Itu semua ayat skema
dan lapuk. Sekiranya orang lain dengar, mereka pun naik boring dengar ayat yang sama. Kawanku sayang... kau ingat aku ni
budak kecik yang kau boleh gula-gulakan? Baik kau bagi tahu aku sekarang! Kalau
tidak... aku korek rahsia kau dengan abang sayang aku nanti.” Athirah mula mengugut.
Senyuman nakal mula tersungging di bibirnya.
“Hisy.... kau ni, suka main ugut-ugut!
Perangai sebiji macam abang sayang kau. Ni mesti sedikit sebanyak, kau tuntut
ilmu daripada dia, kan?” Fazlina mengeluarkan aura tidak puas hatinya.
Athirah
menunjukkan barisan giginya. Tersengih!
“Kau
ingat tak... masa aku ikut Borhan balik rumah pak cik dia? Masa tulah dia
berkenalan dengan aku. Tapi kami betul-betul serius masa kat Genting.” Tak sampai
hati pula dia nak berahsia dengan sahabat baiknya itu.
“Oh...
patutlah kau orang berdua nampak pelik bila teman aku dating! Rupa-rupanya kita
sama-sama berdating. Bila aku tanya masa kat Genting tentang cincin kat jari kau
tu, tak mengaku. Mati-mati kau nafikan Borhan yang bagi.” Athirah memuncungkan
mulutnya merajuk.
“Ala...
Athirah! Kau janganlah merajuk. Aku bukannya tak nak bagi tahu kau, tapi aku malu. Nanti semua orang kata... kita berdua
sengaja nak rebut lelaki popular di kampus. Lagipun aku malulah sekiranya
hubungan kami ini tak sampai ke mana.”
“Habis
tu aku tak malu, jika hubungan aku dan Mikhail terkandas? Aku pun takut sebenarnya.
Si Masyitah tu macam nak buat aku musuh dia sahaja. Andai selisih dengan aku,
macam hendak ditelannya aku hidup-hidup. Bercinta dengan lelaki kacak dan
popular ni berisiko sebenarnya,” luah Athirah sambil menatap wajah sahabatnya.
“Kita dah sanggup terima cinta mereka, jadi terpaksalah terima kesudahan
episodnya. Sama ada happy atau sad ending!” tutur Athirah dengan nada
sedih. Mampukah dia menghadapi hari-hari mendatang jika ditakdirkan dia dan
Mikhail akan terpisah suatu hari nanti?
“Kita
berdoa sajalah Athirah, semoga ALLAH lindungi cinta kita. Seandainya dah ditakdirkan
dia jodoh kita, macam mana kita tolak, dia tetap datang juga. Katakanlah, kau putus
cinta dengan Mikhail lepas ni, andai memang sudah tertulis di Loh Mahfuz yang Mikhail
tu jodoh kau, kau tetap akan bersamanya kembali walau banyak mana dugaan dan cabaran
yang melanda,” pujuk Fazlina bukan sahaja untuk Athirah tetapi juga untuk
dirinya sendiri.
TELEFON
bimbit Athirah berbunyi. Lantas butang hijau ditekan tanpa melihat terlebih
dahulu pemanggilnya.
“Assalamualaikum...”
Wajah
Athirah berubah serta-merta sebaik saja mendengar suara orang di sebelah sana memberi
salam. Alamak!!! Macam mana boleh terlupa nak telefon dia hari ini? Habislah kena
bebel lepas ni..., getus Athirah.
“Helo,
sayang! Helo... sayang abang yang cantik manis, ayu jelita, ada ke tak tu? Senyap
aje! Salam abang pun tak berjawab.” Suara romantis Mikhail memecah gegendang telinga
Athirah.
“Waalaikumsalam.
Abang... sorry!!! Lupa sangat-sangat
nak telefon abang. Abang tengah buat apa tu?” Athirah bersuara manja.
Sebenarnya dia bimbang jika Mikhail membebel. Sebelum mendengar ceramah Mikhail
di tengah hari, ada baiknya dia jadi kucing siam sekejap. Mikhail kalau membebel
mengalahkan Si Salmi.
“Takpe... abang tak marah! Sekarang abang tak
buat apa-apa. Tapi sekejap lagi abang nak keluar, ada study group. Sayang dah makan?” soal Mikhail.
Sejak
Athirah diserang gastrik dan hampir kena tahan di wad, dialah yang sentiasa
mengingatkan gadis itu tentang waktu makannya. Athirah kalau sudah belajar,
waktu makan diabaikannya. Ini yang membuatkan Mikhail selalu runsing apabila
dia tamat belajar kelak. Siapa yang hendak diharapkan menjaga kekasih hatinya
itu?
“Belum
makan lagi. Tengoklah macam mana nanti. Kalau rajin... sayang pergi makan. Jika
tak... makan biskut pun dah cukup,” ujar Athirah acuh tak acuh. Dia sebenarnya
malas hendak ke kafe.
“Sayang
bersiap, sekejap lagi abang ambik. Jangan
nak tengok-tengok atau rajin ke tidak. Waktu makan, kena makan. Jangan
sekali-kali cuba abaikan atau pandang remeh,” marah Mikhail. Itu yang dia
risaukan. Athirah tidak pernah fikirkan tentang kesihatannya sendiri. “Sebelum
itu, sayang temankan abang pergi study
group. Lepas tu, abang bawa sayang pergi makan. Lagipun Borhan bawa Fazlina
sekali. Mana adil sekiranya abang tiada pasangan.”
“Ha...
bercakap tentang Borhan dan Faz! Kenapa abang tak bagi tahu sayang, mereka ada affair?” marah Athirah pula.
Mata
Fazlina sudah membuntang memandang Athirah.
Athirah
tersenyum kambing.
“Bukan
abang tak nak bagi tahu. Tapi apa hak abang hendak menerombosi privasi orang lain? Sayang pun tak suka kan...
kalau orang lain mengganggu privasi sayang?
Sayang pergi siap ya. Setengah jam lagi abang sampai.” Mikhail memujuk buah hatinya.
Sejak
berkasih dengan Athirah, dia sudah faham rentak buah hatinya itu. Athirah kuat merajuk
dan manja. Sekiranya sudah merajuk dan tak kena cara pujukannya, jangan harap
dia boleh mendengar suara Athirah yang merdu tu. Jika Athirah tengah marah, dia
lalu di sebelah Athirah pun Athirah buat tak kenal.
“Kehadiran
sayang tak mengganggu ke kawan-kawan abang yang lain? Nanti kalau ada kawan
abang yang tak suka macam mana?” tanya Athirah. Athirah bimbangkan Masyitah.
“Tentu ada rakan perbincangan abang yang tak suka sekiranya sayang turut
serta.” Athirah mencipta alasan. Dia tidak betah jika Masyitah ada bersama.
“Tak
ada mengganggunya! Malahan dengan adanya sayang, tentu abang lebih bersemangat
hendak belajar dan idea pun mesti datang mencurah-curah. Lagipun semua kawan
abang, sayang kenal dan rapat. Tentu mereka tak kisah punyalah. Entah-entah semuanya
datang berteman. Beritahu abang... siapa yang tak suka dan berani marahkan
sayang abang ni? Biar abang belasah dia.” Mikhail bertanya. Dia ingin tahu juga
jika ada di kalangan rakan-rakannya yang tidak puas hati dengan gadis kesayangannya
itu.
“Takde sesiapa pun yang marah dan tak suka,”
balas Athirah. Athirah tidak akan memberitahu siapakah gerangannya yang tidak
suka dia mendekati Mikhail. Dia tidak mahu Mikhail bermasam muka dengan
rakan-rakan karibnya. “Okeylah abang, sayang nak bersiap ni, nanti lambat pulak.” Athirah akhirnya menyetujui
rancangan Mikhail.
“Jangan
lupa pakai blouse warna merah dan
skirt putih yang abang hadiahkan hari tu,” pesan Mikhail.
“Emm... baiklah!” Itu mesti nak suruh aku
pakai baju sama warna dengan dia. Kadangkala dah macam boria jikalau keluar
berdua. Itulah trademark mereka. Satu
fakulti dah tahu.
“Amboi...
kau risik juga tentang aku daripada abang sayang kau ya?” rungut Fazlina tidak
puas hati.
“Alah...
bukannya dia bagi tahu pun! Dia kata, tak baik ganggu privasi orang lain. Dahlah... aku nak bersiap! Nak tengok kau orang
berdating!” giat Athirah.
Muka
Fazlina merona merah bila diusik Athirah.
KETIKA
mereka tiba, rakan-rakan Mikhail yang lain sudah pun menunggu. Mikhail dan Borhan
mengambil tempat duduk masing-masing. Kelihatan di situ, Masyitah, Zeck, Kak Azah
isteri Zeck dan Farah sedang berbual-bual. Melihat renungan tajam Masyitah,
Athirah jadi tidak selesa.
Jangan
risau Athirah, Mikhail itukan suami kau. Masyitah tu bukan siapa-siapa dalam
hidup Mikhail. Kau jangan takut dan bimbang. Mikhail pasti akan melindungi kau,
bisik hati Athirah. Sepanjang perbincangan berlangsung, Athirah sering menangkap
jelingan maut Masyitah.
“Abang...
sayang nak pergi tandas sekejap,” bisik Athirah.
Temannya
Fazlina sudah hilang entah ke mana bersama Kak Azah. Kata mereka, hendak membeli
air dan sedikit makanan ringan. Athirah ingin menyertai mereka, tapi Mikhail tidak
izinkan. Sebagai isteri solehah, dia harus mentaati suaminya.
“Nak
abang temankan?” bisik Mikhail dengan suara menggoda.
“Jangan
nak menggatal kat sini boleh tak?” bisik Athirah sambil mencubit lengan Mikhail.
Mikhail
tertawa senang.
“Jangan
lama-lama. Nanti abang rindu bila Barbie
doll abang tiada di depan mata. I
love you with all my heart,” bisik Mikhail sambil tersenyum dan mengenyit
matanya.
Athirah
tersenyum dan geleng kepala. Makin hari, makin nakal suaminya ini.
Kepala
Masyitah semakin berasap apabila Mikhail tanpa segan silu mengusik dan bermanja
dengan Athirah. Dia memandang dengan perasaan sebal. Adegan romantik itu
mengganggu konsentrasinya hendak melakukan perbincangan. Dia tidak menyangka Mikhail
boleh jatuh ke tangan budak hingusan yang tidak tahu bergaya dan kekampungan itu.
Apa kurangnya dia hingga Mikhail tidak memandangnya walaupun sebelah mata?
Mikhail
yang dulunya sedingin ais terhadap perempuan, kini bertukar menjadi seorang
yang sangat romantik dan penyayang. Paling Masyitah tidak puas hati, Mikhail selalu
melebihkan Athirah dalam setiap hal.
Jika dulu, sukar hendak melihat senyuman Mikhail. Tapi kini, senyuman menawan sentiasa
menghiasi bibir merah itu. Hinggakan satu ketika dulu, Masyitah sanggup
membayar sejumlah wang jika Mikhail tersenyum padanya.
Mikhail
yang dulu hanya melayan dan bergelak ketawa dengan rakan lelakinya sahaja. Kaum
perempuan di kampus langsung tidak dipandangnya. Tapi sejak berkasih dengan
Athirah, karektor Mikhail berubah seratus peratus. Semua orang, dia beramah
mesra. Mikhail juga sentiasa ceria dan semangatnya bertambah berlipat ganda.
Kata Mikhail, dia perlu berusaha gigih dari sekarang kerana tidak lama lagi dia
ingin membina sebuah keluarga. Dia mahu zuriatnya bangga kerana mempunyai seorang
bapa yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga dalam hidup.
Begitu besarkah kesan Athirah dalam hidup Mikhail? Masyitah tidak boleh terima
jika Mikhail jatuh ke tangan orang lain.
ATHIRAH
membelek penampilannya di cermin. Lamanya jiran sebelah aku ni memerap kat
dalam tu! Dia buat apa ya? Sakit perut ke? Gumam Athirah. Atau dia buang anak
dalam tandas? Habis tu lama sangat! Bisikan-bisikan jahat mula bermaharajalela
dalam hatinya. Hisy... tak baik Athirah
bersangka buruk dengan orang, desis hatinya. Lantak dialah nak buat apa. Jangan
menyusahkan aku sudah, omel Athirah dalam hatinya lagi. Ketika dia hendak keluar,
tiba-tiba pintu tandas ditolak kasar.
“Oh...
kat sini rupanya budak kampung! Hey...
dengar sini baik-baik budak kampung! Aku nak kau jauhkan diri daripada Mikhail.
Kalau tidak... kau jangan menyesal!” ujar Masyitah kasar dengan nada mengugut.
Masyitah menampar dan menolak Athirah hingga terjatuh. Senyuman sinis
dilemparkan buat Athirah sebelum berlalu pergi.
Fazlina
yang mendengar kekecohan yang berlaku hanya mendiamkan diri. Dia ingin lihat sejauh
mana tindakan Masyitah terhadap Athirah. Sebenarnya dia sudah lama siap dan ingin
keluar. Melihat rakan baiknya sibuk menggayakan tudung dan lihat penampilan
diri, dia hanya mengintai di balik pintu dan berhasrat ingin mengejutkan
Athirah dari belakang. Belum sempat dia berbuat demikian, Masyitah masuk dan
menyerang Athirah. Fazlina fikirkan hanya berlaku perang mulut sahaja. Dia
tidak menyangka Masyitah sanggup bertindak sejauh itu kerana seorang lelaki.
“Athirah...
kau tak apa-apa?” tanya Fazlina kalut apabila melihat rakan baiknya mengerang kesakitan.
“Kaki
aku sakit. Aku tak boleh bangun. Kau tolong aku berdiri Faz.”
Muka
Athirah sudah berkerut-kerut menahan kesakitan. Athirah berpaut pada bahu Fazlina,
tetapi kudrat Fazlina yang tidak sekuat mana menyebabkan dia terjatuh sekali
lagi. Athirah terjerit dan menangis kesakitan. Kesakitan yang dialaminya semakin
bertambah.
Athirah
dapat rasakan kakinya yang terseliuh semasa jatuh pokok rambutan dulu sudah semakin
teruk. Abang Roslannya telah berpesan supaya berhati-hati dan jangan sampai terjatuh
atau tercedera. Jika tidak... kakinya mungkin akan disimen. Dia tidak pasti sama
ada abangnya bercakap benar atau sekadar ingin menakutkannya sahaja. Teruk Abang
Rostamnya kena marah kerana disangkakan penyebab dia terjatuh. Kesian Abang
Rostam! Pada hal dia juga tercedera ketika itu.
“Kau
tahan sikit ya... aku telefon Borhan. Aku tak larat nak angkat kau. Nanti kalau
jatuh sekali lagi tentu kecederaan kau bertambah teruk,” ujar Fazlina. Dia
semakin runsing melihat muka sahabatnya yang berkerut-kerut.
“Helo,
abang! Boleh ajak Abang Khai datang washroom
kat ‘sayap kiri’ tak? Athirah jatuh, kena tolak dengan Masyitah tadi. Athirah tak
boleh berdiri, kakinya sakit. Mungkin terseliuh.” Fazlina terus mengadu.
Athirah
membulatkan biji matanya pada Fazlina.
“Kenapa
kau cakap macam tu Faz? Nanti bergaduh pula Mikhail dengan Masyitah. Kau tahulah
perangai Mikhail tu macam mana. Aku tak makan pun dia dah bising, inikan pulak tercedera. Aku takut Masyitah
semakin berdendam dengan aku.”
“Kau
janganlah bimbang! Mikhail kan ketua pelajar, tak akanlah dia nak buat sesuatu tanpa
berfikir panjang. Tahulah bagaimana caranya Mikhail hendak mengendalikan
masalah ini. Lagipun orang macam Masyitah
tu memang patut kena ajar. Suka hati dia aje nak serang orang. Dia ingat dia tu
dah bagus sangat?” Dalam sabarnya Fazlina, tercetus juga api kemarahan bila teman
baiknya diserang dan tercedera. Sayang sungguh dia pada Athirah.
Mendengar
ketukan, Fazlina dengan pantas membuka pintu tandas.
Mikhail
menyerbu masuk dan terus mencempung Athirah. Perasaan marahnya terhadap
Masyitah sudah tidak dapat dibendung lagi. Mikhail sangkakan kecederaan Athirah
hanya sedikit dan Athirah sekadar ingin bermanja dengannya. Tetapi bila mendengar
Athirah mengerang dan menitiskan air mata semasa dia mengangkatnya tadi, tahulah
Mikhail kesakitan Athirah bukan kepalang. Sepanjang dia mengenali Athirah,
gadis itu hanya manja tetapi tidak cengeng. Kau tunggu pembalasan aku, Ita. Sekali
kau sakiti insan yang aku sayang, sepuluh kali ganda kau akan merasa pedihnya,
ikrar Mikhail dalam hatinya.
Mikhail
mendudukkan Athirah dan memeriksa pergelangan kaki Athirah yang semakin merah dan
membengkak. Mikhail meminta rakan baiknya Borhan dan Fazlina menjaga Athirah seketika
sementara dia mengambil kereta.
“Hans...
kau teruskan perbincangan! Aku nak bawa Athirah pergi klinik.”
“Tentang
perkara tu kau jangan risau,” ujar Borhan sambil menepuk lembut bahu
sahabatnya.
Melihat
keruhnya air muka Mikhail, dia tahu Mikhail sedang membendung perasaan marah yang
hampir meletup. Jika dia pun akan mengamuk bila insan yang dia cintai tercedera
kerana perbuatan orang lain. Borhan tahu Masyitah cemburukan Athirah. Dia
bimbang jika Masyitah bertindak lebih jauh selepas ini.
“Si
Masyitah tu macam mana?” bisik Borhan.
“Pasal
itu kau jangan bimbang, aku uruskan kemudian. Aku pergi dulu,” ujar
Mikhail.
Mikhail
mencempung Athirah menuju ke keretanya.
“Sayang
tahan sikit ya. Sekejap lagi kita sampai klinik,” pujuk Mikhail.
Kekalutan
Mikhail seperti Athirah mengalami kecederaan yang serius. Kecoh klinik milik
kawan uminya dengan aksi Mikhail. Mujurlah tiada siapa yang mengenali mereka.
ATHIRAH
tertawa bila mengingatkan kekalutan Mikhail ketika di klinik tadi. Dia menceritakan
detik-detik cemas dan kelakar itu kepada rakan-rakan karibnya.
“Nurse tolong... isteri saya sakit,”
jerit Mikhail.
“Nurse... boleh cepat sikit tak, buat
kerja tu? Kalau berlaku apa-apa ke atas isteri saya, saya saman awak dan klinik
tempat awak bekerja ni!” ugut Mikhail.
“Apalah
Pak Cik Nasir ni, pekerja yang lembab macam ni pun nak simpan lagi. Kalau aku,
dah lama suruh hantar surat resign,” omel Mikhail tak henti-henti.
Naik
kasihan Athirah melihat wajah nurse
itu. Dari tadi asyik dileteri oleh Mikhail. Ada sahaja yang tidak kena di mata
lelaki itu.
“Encik
baringkan isteri encik di sini dulu. Saya panggilkan doktor,” ujar nurse tersebut.
“Isteri
encik sakit nak bersalin ke?” Doktor lelaki yang berusia lingkungan 50an itu bertanya
bila melihat Athirah mengerang kesakitan dan Mikhail tidak sudah-sudah memujuk Athirah
supaya bersabar.
“Nak
bersalin?” Mikhail memandang pelik ke arah doktor yang bakal merawat Athirah sambil
menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bila masa pulak aku dengan Athirah...? Adoi... kenapalah kat klinik Pak Cik
Nasir ni ramai sangat manusia yang pelik-pelik? Mikhail mengomel dalam hatinya.
Belum
sempat Mikhail meneruskan kata-katanya, doktor tersebut menyampuk.
“Kami
tidak menyediakan perkhidmatan tersebut di sini. Encik terpaksa bawa isteri encik
ke hospital dengan segera. Jika tidak... isteri encik akan bersalin dalam kereta.
Ini akan merumitkan lagi keadaan,” sambung doktor tu lagi. Mungkin dia tidak
memahami apa yang Mikhail cuba sampaikan tadi.
“Doktor,
isteri saya bukannya nak bersalin, tapi kakinya terseliuh, jatuh bilik air.” Mikhail
memperbetulkan tanggapan doktor tersebut.
Mikhail
terpaksa meneruskan panggilan isteri untuk Athirah. Semasa menguruskan pendaftaran
Athirah tadi, dia tersasul menyebut perkataan isteri. Sememangnya dia selalu menggunakan
perkataan isteri bila berdua-duaan dengan Athirah. Dia selalu berkata, cantik
isteri abang hari ini. Isteri abang merajuk ke...? Bermacam-macam lagi ayat
yang dia gunakan ketika bergurau atau memujuk Athirah.
“Oh...
saya ingat isteri encik sakit nak bersalin tadi! Macam mana boleh jatuh ni? Sebelum
ini pernah terjatuh?” tanya doktor itu kembali. Tangannya menekan kaki Athirah.
“Tadi
saya tergelincir di bilik air. Sebelum ni saya pernah jatuh pokok,” ujar
Athirah sambil menahan kesakitan.
Terlopong
mulut Mikhail bila mendengar Athirah pernah jatuh pokok. Dia yang lelaki pun
belum pernah panjat pokok.
“Hebat
juga isteri awak ni! Siap panjat pokok lagi. Lepas ni, awak kena pastikan
isteri awak tidak buat sebarang aktiviti lasak. Pastikan juga dia tidak jatuh
lagi dalam masa terdekat,” pesan doktor tersebut. “Baiklah, saya nak balut kaki
dia untuk kurangkan kesakitan. Awak tolong pegang isteri awak elok-elok,” arah
doktor yang bernama Samad.
Athirah
menghadap mukanya ke dada bidang Mikhail. Dia memeluk erat lengan Mikhail untuk
mengurangkan kesakitan. Tentu merah lengan Mikhail kena cengkam dengannya.
“Abang
sakit!” rengek Athirah.
“Sabar
sayang... sikit je. Tahan ya!” ujar
Mikhail sambil mengusap lembut kepala Athirah.
Belaian
dan sentuhan lembut Mikhail dapat meredakan sedikit kesakitan Athirah. Haruman yang
dipakai Mikhail bagaikan terapi buat dirinya.
“Bahaya
betul abang kau. Berani sungguh dia buat
statement yang kau dengan dia suami isteri. Kalaulah ada budak kampus kita
yang dengar, tak ke haru? Ada yang kata kau berdua kahwin senyap-senyap.
Sudahlah kau berdua dapat jolokan Couple
Of The Year,” usik Aisyah.
“Aku
pun naik terkejut Aisyah, bila dia cakap macam tu. Tapi nak buat macam mana, dah
memang perangai dia begitu, suka buat lawak tak bertempat,” ujar Athirah. Tapi memang
dia suami aku pun, bisik hati kecilnya.
“Jomlah
kita balik bilik. Dah lama sangat kita kat sini. Kesian Athirah, dia mesti nak berehat,”
ujar Salmi.
“Terima
kasih Kak Salmi kerana memahami keadaan adik ipar kau ini,” usik Athirah.
“Hisy... nakalnya! Tak padan dengan
sakit, masih lagi nak bergurau. Bila masa aku kahwin dengan abang kau?” tanya
Salmi. Lantas lengan Athirah dicubitnya.
“Tak
lama lagi jadilah kakak ipar aku. Kau nak yang mana satu? Doktor, ustaz atau
arkitek?” sakat Athirah lagi.
“Sudahlah!
Malas aku nak layan kau. Dulu... Mikhail pening sebab kena baling botol dengan
kau. Sekarang ni kau pulak yang pening,
lepas kena tolak dengan Masyitah. Memang betullah jodoh kau dengan Mikhail. Sama
aje kepala, suka kenakan orang,” usik Salmi sebelum berlalu.
“Kau
rehat ya, Athirah. Sekiranya kau nak apa-apa, jangan segan beritahu aku. Jika kau
nak suruh aku belasah perempuan berlagak tu pun aku sanggup,” ujar Aina. Aina memang
terkenal dengan sikap antinya terhadap Masyitah. Semuanya bermula sejak minggu orientasi
lagi. Masyitah selalu mencari kesalahan mereka satu kumpulan. Apa sahaja yang
kumpulan mereka lakukan mesti mendapat kritikan.