SEPERTI
yang dijanjikan, Athirah akan keluar makan malam bersama Mikhail, Borhan dan
Fazlina. Athirah mengenakan jeans hitam dan blouse
berwarna putih serta bertudung putih. Dia mencalit pelembab bibir dan menyapu
bedak Nutri Metics di pipinya. Berpuas hati dengan penampilannya, Athirah turun
ke bawah bersama Fazlina.
“Hati-hati
tuan puteri berdua, jangan sampai ikut putera impian bermalam di hotel
sudahlah,” usik Aina.
Salmi
dan Aisyah hanya tersenyum penuh makna.
“Sudahlah
kau orang!” marah Athirah. “Kami bukannya nak pergi mana-mana. Sekadar keluar
makan sahaja,” bidas Athirah. Dia tidak suka dengan gurauan sahabat karibnya
itu.
“Mula-mula
memanglah pergi makan. Takut lepas tu melencong ke lain,” sakat Aisyah pula.
Fazlina
hanya menggeleng dan tersenyum mendengar usikan nakal kawan-kawan baiknya.
Malas dia hendak lawan bertekak. Buat sakit jiwa aje!
“Beranilah
dia orang nak buat perkara tak senonoh! Ada nanti yang tak merasa dapat zuriat.
Siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka juga!” seloroh Athirah sambil
ketawa.
Salmi,
Aisyah, Aina dan Fazlina juga turut ketawa kelucuan mendengar lawak selamba
Athirah. Setelah tawa mereka reda, Athirah menyambung kembali kata-katanya.
“Kau
orang jangan berkecil hati ya. Aku bukannya tak nak bawa kau orang. Tapi kau
orang tahu ajelah kereta Mikhail tu macam mana. Tak muat nak sumbat kita semua.
Nanti aku ajak abang aku datang sini, aku belanja kau orang makan. Janganlah sedih-sedih,”
pujuk Athirah sambil merenung sahabatnya yang sudah menunjukkan muka satu sen.
“Kami
turun dulu, nanti bising pulak Mikhail
dengan Borhan,” ujar Athirah.
Athirah
mendapatkan Mikhail yang sedang bersandar di pintu kereta.
“Assalamualaikum.
Sudah lama menunggu?” Athirah menegur Mikhail yang sedang tersenyum menawan.
“Waalaikumsalam...”
Sejuk
hati Mikhail mendengar suara buah hatinya itu. Walaupun Athirah belum diangkat
secara rasmi sebagai kekasihnya, namun Mikhail bersyukur kerana Athirah tidak lagi
bermasam muka dengannya. Antara mereka juga, sudah tiada lagi perang dingin
atau bertikam lidah. Harap-harap selepas ini, tiada lagi tercetus tegang urat
antara mereka. Mikhail juga tidak mahu tergesa-gesa memberitahu hasratnya pada
Athirah. Dia bimbang jika Athirah kembali dingin. Biarlah dia pendamkan sahaja dahulu.
“Mana
Abang Hans?” Athirah bertanya. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam kereta.
“Tu...
kat seberang sana!” Panjang muncung Mikhail menunjuk kereta Borhan.
“Fazlina
naik dengan Abang Hans boleh? Kesian pulak
dia pandu seorang diri,” pinta Mikhail.
“Kenapa
naik kereta berasingan? Bukan ke kita nak keluar makan sekali?” tanya Athirah.
Athirah sebenarnya kurang selesa keluar bersama Mikhail. Dia khuatir jika
terserempak dengan keluarga suaminya. Dia juga bimbang jika terjatuh sayang
pada Mikhail, sedangkan ada tembok tinggi yang menghalang untuk dia membina
impian.
“Asalnya
memang begitu. Tetapi selepas makan, Borhan kena pergi rumah pak cik dia di
Taman Maluri. Ada hal sikit.”
“Faz...
kau tak kisahkan naik kereta dengan Abang Hans?” Athirah risau sekiranya
Fazlina tidak selesa. Melihat anggukan temannya, Athirah tersenyum mengusik.
“Tapi... jangan lebih-lebih pulak
ya?” bisik Athirah sambil tersenyum nakal.
Fazlina
mencubit lengan Athirah sebelum bergerak ke kereta Borhan. Geram sungguh rasa
hatinya bila diusik sebegitu oleh Athirah. Malu pada Mikhail, satu hal!
“Aduh!”
Athirah terjerit kecil.
“Kenapa
sayang?” Mikhail sedikit kalut. Risau juga dia jika Athirah tiba-tiba jatuh
sakit.
“Takde apa-apa! Cuma ada ketam terlepas sangkar!
Tu yang asyik nak menyepit aje,” ujar Athirah sambil menggosok lengannya yang
sedikit perit.
“Macam-macamlah
sayang ni. Buat terperanjatkan abang aje!” luah Mikhail. “Dah masuk kereta. Penat
tangan abang duk buka pintu dari tadi, tapi buah hati abang ni tak reti-reti
nak masuk,” usik Mikhail.
Athirah
menjeling Mikhail sepintas lalu. Kenapalah dia ni makin aku pandang makin hensem? Nasib baik bukan suami aku! Mahu
jeles tahap meroyan jika ada yang
pandang-pandang dan jeling-jeling kat dia, getus Athirah.
Tampannya dia dengan t-shirt putih dan jeans
hitam, omel Athirah dalam hatinya. Apa aku kata tadi? Baju putih? Jeans hitam? Athirah
menilik baju yang tersarung di tubuhnya. Aikk...
dia pun pakai baju putih juga? Dia ni mengintai aku pakai baju ke tadi? Bisik
hati kecil Athirah sambil menggaru kepalanya.
SUASANA
sepi yang mengiringi perjalanan mereka tadi, kini bertukar ceria. Celoteh DJ radio
dan alunan muzik menyemarakkan lagi suasana yang agak sunyi seketika tadi.
Sesekali Mikhail menjeling Athirah. Melihat Athirah keresahan, Mikhail tahu dia
perlu menghidupkan suasana supaya Athirah tidak kekok berada di sampingnya.
“Cantik
sayang malam ni, terpegun abang dibuatnya,” puji Mikhail sambil matanya melirik
ke arah Athirah. Ringan sahaja tangannya hendak menggenggam jemari runcing itu.
Baru sahaja tangannya hendak menyentuh tangan Athirah...
Boleh pandang-pandang
Jangan
pegang-pegang
Duduk
renggang-renggang
Bertambah
sayang
Hisy... DJ ni! Takde lagu lain ke... nak putarkan masa ni? Macam tahu-tahu aje apa yang
aku nak buat. Tak sporting langsung!
Bisik hati Mikhail. Mukanya sudah kemerahan menahan malu. Harap-harap Athirah tidak
perasan dengan tindakannya tadi. Tentu malu besar jadinya jika ketahuan. Pasti Athirah
akan melabelkan dirinya sebagai lelaki yang tidak bermoral dan suka mengambil
kesempatan ke atas perempuan. Dan Athirah pasti membenci dirinya.
Mikhail menarik
nafasnya panjang-panjang dan bereaksi seperti biasa.
“Sayang nak makan
kat mana malam ni? Abang sedia jadi pemandu peribadi sayang. Sayang cakap
sahaja nak pergi mana, abang akan bawa. Suruh pandu ke rumah tok kadi sekarang
ni pun, abang sanggup.” Mikhail mengusik. Matanya melirik Athirah.
Bercakap tentang
tok kadi, teringat Mikhail peristiwa yang berlaku beberapa tahun dahulu. Argh... buat apa hendak dikenang peristiwa
yang pernah membunuh semangat aku itu? Jangan harap aku akan menoleh ke
belakang lagi. Apa yang ada di depan mata perlu aku rebut, bisik hati Mikhail.
Laju sahaja tangan
Athirah mencubit pinggang Mikhail. Mukanya sudah merona merah mendengar usikan
nakal Mikhail. Dia juga semakin tidak selesa bila Mikhail asyik menjeling ke arahnya
sambil tersengih seperti kerang busuk.
“Saya tak kisah makan
kat mana-mana. Tapi jangan jauh sangat dari kolej. Nanti lewat pula kita balik,”
ujar Athirah malu-malu. Cantik sangat ke
aku ni? Dari tadi duk jeling-jeling. Nak kena cucuk biji mata agaknya!
“Bukan saya, tapi
sayang! Jangan buat kesilapan lagi, nanti abang denda,” ugut Mikhail.
Dari kaca mata Athirah,
sesiapa yang menjadi pasangan Mikhail memang beruntung. Mikhail bukan sahaja kacak
malah berada. Paling buat hati Athirah cair, lelaki itu sering memanggilnya sayang.
Mikhail benar-benar romantik. Kalaulah suami misterinya itu seperti Mikhail,
kan best! Tentu aman bahagia dan
sentosa hidup. Syoknya jika Mikhail ni suami aku! Gumam Athirah.
Athirah... kau
jangan nak berangan dan menggedik boleh tak? Dulu masa Mikhail kata kau gedik, kau
tak mengaku! Marah Athirah pada dirinya sendiri. Ingat Athirah... sebelum kau
kecewa dan menderita, kau perlu simpan dalam kepala otak kau, jangan sesekali jatuh
cinta dengan Mikhail. Kau dengan dia hanya berlakon sebagai kekasihnya, tidak
lebih dari itu. Yang paling penting dan perlu kau ingat, kau tu milik orang.
Berdosa... Athirah... berdosa...! Nasihat Athirah pada diri sendiri.
MEREKA
akhirnya tiba di sebuah restoran masakan Thai yang agak popular di kalangan
pelajar kampus. Ketika mencari tempat kosong untuk melabuhkan punggung, telefon
bimbit Mikhail berbunyi.
“Helo, Hans! Ada
apa?” Pantas sahaja Mikhail menjawabnya.
“Sorry Khai, aku tak dapat join kau malam ni. Aku kena cepat. Pak
cik aku dah telefon suruh pergi rumah dia. Beritahu Athirah, kemungkinan besar aku
hantar Fazlina balik esok. Dan bagi tahu dia jangan bimbang, aku akan hantar
kawan baik dia balik dengan selamat.”
“Okey... nanti aku
bagi tahu dia,” ujar Mikhail sebelum menamatkan perbualannya.
“Kenapa abang?” Athirah
bertanya cemas. Bimbang juga dia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Borhan dan Fazlina
tak dapat join kita malam ni. Borhan
perlu cepat ke rumah pak ciknya. Fazlina juga tak balik malam ni, dia bermalam
di rumah pak cik Borhan,” jelas Mikhail. “Sayang jangan bimbang! Borhan tak akan
buat sesuatu yang tidak elok kat kawan baik sayang tu. Abang kenal rapat dengan
Borhan.” Mikhail cuba menenangkan Athirah yang sedikit gusar dengan keselamatan
Fazlina.
Athirah mengangguk
kepalanya. Dia akan pegang kata-kata Mikhail. Jika Borhan buat hal... tahulah
dia bagaimana hendak mengajarnya.
Seorang pelayan datang
mengambil pesanan mereka.
“Bagi saya nasi goreng
kerabu dan jus tembikai,” ujar Mikhail pada pelayan tersebut.
“Sayang nak makan apa?”
tanya Mikhail lembut.
“Saya nak nasi goreng
kerabu dan air suam,” kata Athirah bersama senyuman manis.
“Sayang tak
marahkan, abang suruh ubah panggilan antara kita?” tanya Mikhail setelah
pelayan tersebut berlalu pergi.
“Marah tu tidaklah!
Tapi rasa macam tak selesa dan malu pula jika ada orang lain yang mendengarnya.
Nanti apa pula tanggapan mereka. Abang kena ingat! Hubungan kita ini tak akan
kekal lama dan tak akan ke mana-mana.” Athirah mengingatkan Mikhail status
hubungan mereka.
Mikhail mengeluh.
Tidak fahamkah Athirah bahasa tubuhnya? Tidak nampakkah Athirah, cahaya cinta
yang jelas terpancar di matanya? Mikhail tidak mahu hubungan mereka sekadar
lakonan sahaja. Mikhail ingin lebih dari itu. Tetapi Mikhail tidak tahu
bagaimana caranya untuk menyampaikannya. Dia bimbang akan penerimaan Athirah.
Jika boleh... dia ingin Athirah jatuh cinta padanya atas kerelaan Athirah
sendiri dan bukannya kerana dia mengugut atau memaksa. Nampak gayanya dia perlu
bersabar dan bekerja lebih keras untuk memenangi hati Athirah.
“Abang nak ingatkan
sayang. Jangan sekali-kali ubah cara panggilan kita sampai bila-bila. Sekiranya
abang dengar sayang tersalah cakap, abang denda,” ugut Mikhail seperti biasa.
“Apa kata, kita gabungkan nama kita berdua. Emm....”
Mikhail memikirkan gabungan nama yang sesuai untuk mereka. “Ha... apa kata kita
gabungkan Khai dan Ira! Sayang guna nama Khaira, sekiranya tak nak guna
panggilan sayang. Panggilan sayang tu biar abang aje yang guna.”
Wah... wah...!!! Suka-suka
dia saja nak ugut orang dan panggil nama yang berbagai-bagai! Khaira... tambah
huruf ‘t’ dah jadi khairat, pastu tambah kematian, jadilah khairat kematian. Dia
ingat aku ni apa? Makwe dia ? Tunang atau isteri dia? Gerutu Athirah tidak berpuas
hati dengan cara Mikhail. Tapi dia hanya berani memberontak dalam hatinya sahaja.
“Andai tak nak
juga, abang nak buat apa?” Athirah memberanikan diri menyoal.
“Emm... berani ke sayang membantah cakap abang?”
tanya Mikhail. Dia juga sudah mempamerkan aksi menggoda sambil menjungkit sebelah
keningnya. “Jikalau sayang tersilap cakap, abang cium bibir sayang yang merah merekah
tu. Abang pun dah lama teringin nak rasa bagaimana nikmatnya bibir sayang tu,”
ugut Mikhail kembali.
Athirah sudah
menelan air liur berulang kali sambil menekup mulutnya. Dia tidak menyangka Mikhail
begitu berani. Hisy... miang sungguh
mamat ni! Desis hati Athirah.
“Tapi abang nak
suruh sayang guna nama Adiralah. Nama ni gabungan Ad dan Ira. Ad tu nama
singkatan bagi Adam. Macam mana sayang setuju tak? Abang rasa Adira lebih
nampak feminine berbanding Khaira,”
tambah Mikhail lagi.
Berdegup hebat
jantung Athirah tatkala mendengar nama Adam. Alah... bukannya nama Mikhail saja
yang guna pangkal Adam. Athirah cuba menyedapkan hatinya. Ramai lagi rakyat
Malaysia yang guna pangkal Adam. Itu adik Rafidah, nama dia... Adam juga. Tak
akanlah budak tak cukup umur tu suami kau? Nama lelaki yang duduk di hadapan
kau ni, Adam Mikhail. Suami kau, namanya Adam sahaja. Entah-entah suami kau
yang bernama Adam tu kulitnya hitam legam dan gigi pun takde. Itu yang tak berani nak tonjolkan diri. Athirah cuba
mengukuhkan teorinya sambil meredakan gelora yang melanda hati.
“Ba... baiklah saya
setuju. Eh...!!! Eh...!!! Cup...!!! Cup...!!!
Cup...!!! Baiklah sayang setuju. Bolehkan kalau tak nak guna nama Adira?
Panggilan ‘sayang’ dah sebati dengan diri sayang.” Athirah mempamerkan senyuman manjanya.
Mikhail sudah tersengih
gatal melihat kegugupan Athirah.
“Boleh saja. Abang
pun lebih suka sayang bahasakan diri sayang ‘sayang’, nampak lebih mesra dan
romantik.”
Tidak lama kemudian
pesanan mereka tiba.
Athirah dengan
rakus meneguk air suamnya untuk menghilangkan kegugupan dan ketidakselesaan. Mata
Mikhail yang tidak sudah-sudah merenungnya membuatkan Athirah malu. Mukanya
juga sudah membahang.
Cantik sungguh dia
ni! Begitu sempurna ciptaan ALLAH yang berada di hadapan aku kala ini, desis hati
Mikhail.
“Kenyang ke...
dengan asyik merenung muka sayang sahaja?” Athirah mengusik Mikhail. Sebenarnya
dia tak senang duduk bila mata Mikhail tak berkelip merenungnya.
Mikhail tersenyum
mendengar usikan Athirah itu.
Baru mereka hendak
menikmati makanan, ada suara manja menggoda menegur Mikhail.
“Hai... Khai! Makan
sorang-sorang aje ke? Tak nak pelawa I sekali?” Masyitah bertanya manja lalu
melabuhkan punggungnya di sebelah Mikhail.
Dia sengaja menghimpit
Mikhail untuk mempertontonkan aksi manjanya pada Athirah. Dia menjeling tajam
ke arah Athirah sambil mencebikkan mulutnya. Dasar perempuan perampas! Aku akan
miliki kembali apa yang sepatutnya menjadi hak aku, hati Masyitah berbisik
angkuh. Sakit hatinya menyaksikan keakraban Mikhail dan Athirah sepanjang
minggu orientasi.
Athirah memandang Masyitah
melalui ekor matanya dengan perasaan jelek. Masya-ALLAH, daringnya pakaian perempuan ni! Si Masyitah ni, bukannya nak
menikmati makan malam, tetapi hendak menghidangkan tubuh badannya sebagai
santapan orang ramai. Inilah salah seorang manusia yang mencemarkan dan menjatuhkan
martabat perempuan.
Pakaian Masyitah
yang agak sendat dan ketat itu memperlihatkan bentuk tubuh badannya serta
mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dipertontonkan kepada orang ramai.
Jelingan orang sekeliling membuatkan Athirah tidak selesa. Dia pula yang merasa
malu. Apakah dia terlalu jahil tentang arus kemodenan atau Masyitah yang terlalu
jahil dengan hukum ALLAH?
“Sorry... Ita! Malam ni, I hanya ingin bersama kekasih I sahaja. I harap you tidak terasa hati. Mungkin lain kali kita boleh keluar makan
ramai-ramai,” ujar Mikhail mengambil hati Masyitah. Dia tidak mahu sahabatnya
itu berkecil hati.
Mikhail tahu Athirah
tidak selesa dengan kehadiran Masyitah. Apatah lagi dengan cara pemakaian
Masyitah yang kurang sopan dan menjolok mata. Dia yang lelaki pun tidak sanggup
memandang, inikan pula Athirah yang sering menjaga auratnya.
“Sombongnya you! Sejak
ada awek baru, terus lupakan I, ya? Bukan ke selama ini, I yang selalu temani you
siang dan malam?” Masyitah sengaja membuat Athirah cemburu.
“Apa yang you cuba
sampaikan ni, Ita? Bila masa I ada awek sebelum ni? Pernyataan you tadi,
seolah-olah I ni pemburu perempuan pulak.
Seperkara lagi, kita tak pernah keluar berdua-duaan okey. Biasanya kalau you
dan I keluar, kawan-kawan kita yang lain juga turut serta.” Mikhail menjadi
berang dengan pernyataan Masyitah. Seolah-olah dia sering bertukar pasangan dan
mengambil kesempatan terhadap perempuan. Dia tidak mahu Athirah tersalah tafsir
akan dirinya.
Athirah hanya
memerhati dua sahabat itu bertikam lidah. Malas dia nak ambil pusing. Terasa
malu pun ada bila banyak mata yang menjeling ke arah mereka.
“Okeylah I pergi dulu.
Kawan I pun dah lama tunggu,” ujar Masyitah sedikit kecewa. Dia berlalu dengan perasaan
dendam yang membara. Jika aku tidak dapat memiliki Mikhail, kau juga akan
mengalami nasib yang sama. Itu janji aku Athirah, bisik hati Masyitah.
“Maaf, seandainya sayang
tak selesa.” Mikhail memujuk Athirah yang sedikit canggung dengan kehadiran Masyitah
sebentar tadi.Si Ita ni pun satu, time
aku tengah dating nilah dia datang menyibuk. Macam tak boleh tunggu masa lain,
bisik hati Mikhail.
Sambil menikmati makan
malam, Mikhail memerhati tingkah laku dan keperibadian Athirah. Athirah begitu sempurna
di matanya. Athirah juga tidak pernah menyembunyikan tingkah lakunya yang sebenar.
Daripada pengamatan Mikhail, kebanyakan perempuan yang dia kenal begitu menjaga
perlakuan dan tutur kata mereka terutama jika baru pertama kali berjumpa. Tapi
Athirah tidak begitu. Tengok sahajalah macam mana keadaan mereka sebelum ini. Asyik
bertekak dan bergaduh. Dia suka dengan sikap Athirah yang tidak hipokrit. Itulah
sebabnya dia sayangkan Athirah sepenuh hatinya.
USAI
makan, Mikhail menghantar Athirah pulang. Wajah Mikhail cukup ceria. Siapa yang
tidak gembira dapat menghabiskan masa dengan orang yang tersayang.
“Esok kita keluar lagi
boleh?” Mikhail memancing perasaan Athirah. “Please... jangan katakan tidak dengan ajakan abang ini.” Mikhail memujuk
Athirah.
Hisy... mamat ni! Dia tanya soalan, dia
juga yang tolong bagi jawapan seperti biasa untuk kita. Macam mana aku nak kata
tidak boleh atau tak nak, jika dia sudah berkata JANGAN KATAKAN TIDAK. Atau dengan
kata lain, dia sudah menggunakan kuasa VETOnya. Eeii... pening kepala aku melayan kerenah mamat ni! Nasib baiklah kau
hensem dan pandai beli jiwa aku. Jika
tak... mungkin ini kali pertama dan terakhir kita keluar bersama, gumam Athirah.
“Emm... baiklah! Esok abang ambil lepas Maghrib.
Tapi kita tak boleh keluar lama-lama, lusa hari pertama sayang ke kelas. Sayang
nak buat sedikit persediaan.” Athirah akhirnya memberi persetujuan.
“Okey! Esok lepas Maghrib
abang ambil sayang! See you tomorrow
night. Sweet dreams love,” bicara
Mikhail penuh romantik.