Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Wednesday 12 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK KINI DI PASARAN




Assalamualaikum dan Selamat pagi semuanya...

Sukacita dimaklumkan Sayang Awak Cinta Awak telahpun berada di pasaran dibawah terbitan Penulisan2u. Bagi yang berminat boleh mendapatkannya melalui penulisan2u atau di mana-mana kedai buku yang berhampiran.

Saya ingin merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah menyokong karya saya yang tak seberapa itu selama ini.... Sayang kamu semua <3 <3 <3

Sunday 9 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 20

Bab  20


SHAHRUL HAIRI membawa isterinya keluar bersiar-siar dan menikmati keindahan Musim Bunga di bumi Korea. Tengah hari esok mereka akan kembali semula ke Malaysia. Tempat utama yang ingin dia bawa isterinya pergi ialah Pulau Nami. Dia pasti isterinya akan gembira apabila tiba di sana nanti.
            “Abang nak bawa Hani pergi mana ni?”
            “Rahsia.”
            “Ala... bagilah tahu!” Pujuk Salmiha Haini.
            Shahrul Hairi geleng kepala. Tanda enggan berkompromi.
“Tak baik tau main rahsia-rahsia,” rajuk Salmiha Haini. Muncungnya sudah panjang sedepa.
            Shahrul Hairi tersengih melihat muncung isterinya. Boleh buat hanger, bisik hatinya nakal.
            “Kita nak ke Pulau Nami,” bisik Shahrul Hairi beralah. Dia mahu isterinya merasai detik gembira dan bukannya bermuram durja.
Gembira bukan kepalang Salmiha Haini bila mendapat tahu mereka akan ke Pulau Nami. Dia benar-benar teruja hendak melihat lokasi penggambaran filem Winter Sonata itu.
“Wah... bestnya!” Ucap Salmiha Haini ceria. Lantas pipi Shahrul Hairi dikucup. “Sayang abang,” ujarnya sambil tersenyum manis.
“Amboi... bawa jalan-jalan, sayang! Kalau tak bawa ke mana-mana siap kutuk abang lagi,” perli Shahrul Hairi.
“Mana ada! Setiap hari sayang abang tau,” balas Salmiha Haini manja.
Shahrul Hairi mengukirkan senyuman. Bahagia segenap pelosok hatinya mendengar ungkapan sayang dari mulut Salmiha Haini.
Setibanya di Pelabuhan Gapyeong, mereka menaiki feri menyeberangi Sungai Han. Perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit sahaja untuk tiba di Pulau Nami. Salmiha Haini begitu teruja dan asyik melihat pemandangan di kawasan sekitar. Sungguh menakjubkan sekali kejadian alam ciptaan ALLAH ini.
Shahrul Hairi merangkul erat pinggang Salmiha Haini. Mereka berjalan menyusuri laluan yang digunakan oleh Joon-Sang dan Yu-Jin ketika memadu kasih dalam filem Winter Sonata.
“Abang cantiknya tempat ni,” puji Salmiha Haini. Rata-rata pelancong yang terdapat di situ juga sama sepertinya. Teruja!
Shahrul Hairi angguk kepala. Dia turut menikmati keindahan di pulau cinta itu. Mereka meneruskan langkah sambil berpimpinan tangan.
“Lain kali kita datang lagi. Kita ronda kat kawasan ni puas-puas,” ujar Shahrul Hairi sambil mengucup bibir isterinya.
“Hesy... abang ni, tak senonoh betul. Malulah orang tengok,” tegur Salmiha Haini memprotes. Merona merah wajahnya apabila perbuatan Shahrul Hairi menjadi santapan mata segelintir pelancong.
Shahrul Hairi sekadar tergelak mendengar omelan isterinya.
Salmiha Haini membulatkan matanya tanda geram.
Sebelum pulang mereka mengambil gambar kenang-kenangan. Poster pelakon utama Winter Sonata dijadikan latar bagi merakamkan gambar mereka. Kalaulah Sofea tengok gambar mereka ketika ini, tentu jeles habis perempuan tu.
Salmiha Haini sebenarnya teringin sangat hendak bergambar sambil memeluk patung hero tersebut. Tetapi abang sayangnya sudah buat muka ketat mengalahkan dia hendak memeluk tubuh hero yang sebenar-sebenarnya. Tak faham sungguh! Dengan patung yang keras kejung tu pun nak cemburu.


DI SEBELAH PETANG pula, Shahrul Hairi membawa Salmiha Haini pergi ke Namdaemun market. Isterinya ingin mencari sedikit buah tangan untuk di bawa pulang. Koleksi kerongsang yang cantik-cantik membuatkan Salmiha Haini rambang mata. Shahrul Hairi menggeleng kepala melihat gelagat isterinya. Kalau boleh semua barangan yang dijual di situ ingin dibelinya. Shahrul Hairi sebenarnya tidak kisah jika isterinya ingin memborong barang-barang yang terdapat di situ kerana baginya kegembiraan isterinya adalah kegembiraannya jua. Tapi biarlah berpada, jangan sampai jadi pembaziran pula.
“Aduh... letihnya abang!” Keluh Shahrul Hairi apabila tiba di bilik hotel. Dia melontarkan tubuhnya ke atas tilam. Sudah beberapa kali dia terbang ke Korea, baru kali ini dia merasa benar-benar letih. Biasanya dia lebih suka memerap di dalam bilik. Keluar pun sekadar mencari makanan untuk mengalas perut atau mencari barang-barang yang dikirim oleh rakan-rakannya sahaja.
“Huh... tak ikhlaslah tu kalau dah merungut macam tu?” Sindir Salmiha Haini. Dia membelek barang-barang yang baru dibelinya tadi.
Shahrul Hairi bingkas bangun. Bimbang juga dia jika isterinya terasa hati dengan kata-katanya.
“Mana ada! Abang ikhlaslah bawa isteri abang jalan-jalan dan membeli-belah,” beritahu Shahrul Hairi. “Kalau honey nak tahu, baru hari ni abang berjalan-jalan di sini. Sebelum ni abang hanya duduk dalam bilik je.”
Salmiha Haini memandang wajah suaminya mencari kebenaran.
“Kalau tengok muka abang macam nak telan tu, tahu sangat dah! Mesti honey tak percaya kata-kata abang, kan?” Perli Shahrul Hairi. Memang dia tahu sangat dengan sikap isterinya itu. Langsung tak ada nak sorok-sorok mimik muka dia sekiranya dia tak yakin dengan kata-kata seseorang.
“Tanya dekat Max sekiranya tak percaya!” Shahrul Hairi bersuara lagi.
“Percayalah!”
“Nasib baik percaya. Jika tidak terpaksa la abang belah dada abang ni untuk membuktikan kebenarannya,” usik Shahrul Hairi.
“Betul ke nak belah dada?” Usik Salmiha Haini. Raut wajahnya diseriuskan. Tangannya menyelongkar beg tangannya.
Honey cari apa tu?” Tanya Shahrul Hairi dengan nada cuak.
“Nak cari pisau lipat!” Jawab Salmiha Haini bersahaja.
“Hah! Nak buat apa dengan pisau tu?” Shahrul Hairi sudah gelabah. Biar betul bini aku ni! Aku gurau je. Tak akan dia tangkap serius pulak?
“La... tadi kata nak belah dada. Ni... Hani nak tolong belahkan dada abanglah!”
“Hesy... apa ni honey? Abang gurau ajelah!”
Salmiha Haini ketawa kelucuan. Muka pucat suaminya buatkan dia geli hati.
“Hah... tahu takut!” Ejek Salmiha Haini.
“Oh... dah pandai gurau kasar sekarang ni ya?” Shahrul Hairi menghampiri isterinya.Terus pinggang isterinya digeletek.
Jerit-pekik Salmiha Haini minta dilepaskan.
Shahrul Hairi langsung tidak mengendahkannya malahan makin galak lagi dia menggeletek.
“Abang geli la...” Bergenang air mata Salmiha Haini akibat terlalu banyak ketawa dan menahan kegelian.
“Hah... rasakan! Tadi bukan main lagi kenakan abang,” balas Shahrul Hairi sambil tergelak. Tangannya masih lagi ligat menggeletek pinggang Salmiha Haini.
“Abang... tolonglah! Rasa macam nak terkucil aje ni,” rayu Salmiha Haini. Tawanya juga turut bergema. “Hani minta maaf,” ucapnya pula.
Kasihan pula Shahrul Hairi mendengar rayuan isterinya. Segera dia menghentikan tindakannya. Dia menarik Salmiha Haini ke dalam pelukannya.
“Abang ni teruklah! Nak bergurau senda pun tak boleh,” rungut Salmiha Haini.
“Ini macam nak kena geletek aje lagi ni?” Usik Shahrul Hairi.
Salmiha Haini pantas menggeleng kepala. Tak sanggup rasanya digeletek buat kedua kali. Serik!





Friday 7 March 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 19

Bab  19



















SALMIHA HAINI segera berlari mendapatkan pakaiannya. Macam manalah dia boleh terlupa hendak membawa pakaiannya masuk ke dalam bilik mandi tadi. Risau juga dia jika Shahrul Hairi pulang lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Sebaik saja mereka masuk ke dalam bilik hotel dan mengemas bagasi mereka, suaminya terus mandi dan bersiap. Hendak keluar bertemu rakan yang bernama Han Deok katanya kerana ada urusan penting.
Arghhh....” Salmiha Haini menjerit sekuat hati. Bagai hendak tercabut anak tekaknya pun ada. Jantungnya berdegup kencang dan hendak gugur rasanya pabila terpegang benda alah yang tersorok dalam almari pakaian tersebut. Tanpa sedar dia sudah melompat ke atas katil. Tubuhnya menggigil ketakutan. Tangisannya juga mula bergema di bilik itu.
Shahrul Hairi yang baru pulang dari melunaskan bayaran barang yang dikirim oleh sahabatnya sedikit kecut perut bila terdengar bunyi tangisan yang mendayu-dayu.
“Ada hantu ke dalam bilik ni?” Ujarnya kepada diri sendiri. “Tapi mustahillah wujud hantu di siang hari.” Dia berkata lagi. Shahrul Hairi menelinga mencari arah bunyi itu datang. Saat otaknya mampu berfungsi dengan baik, dia segera mencari isterinya. Bimbang juga dia jika berlaku musibah yang tidak diingini ke atas isterinya itu. Dia merapati tubuh yang sedang berkelubung di bawah selimut tebal itu.
“Hei... kenapa ni?” Soal Shahrul Hairi sambil menarik selimut yang membaluti seluruh tubuh isterinya. Dia dapat rasakan gigilan di tubuh kecil molek itu.
Terdengar sahaja suara Shahrul Hairi, Salmiha Haini terus mendakap erat tubuh itu. Dia benar-benar ketakutan.
Shahrul Hairi yang pada mulanya kaku mula membalas dakapan itu bagi meredakan ketakutan isterinya. Ubun-ubun isterinya dikucup.
Syyy... kenapa ni? Cuba cerita dekat abang kenapa boleh jadi macam ni?” Pinta Shahrul Hairi lembut. Air mata yang mengalir, disapu lembut. Kepala isterinya diusap penuh kasih sayang. Gusar juga dia jika berlaku sesuatu yang tidak elok semasa ketiadaannya tadi.
“Aaa... abang... dalam bilik kita ni ada orang mati dibunuh,” bisik Salmiha Haini dengan suara tersekat-sekat. “Hani terpegang rangka orang dalam almari pakaian tu.” Lurus jari telunjuk Salmiha Haini menunjukkan arahnya. Suaranya jelas ketakutan.
Shahrul Hairi yang pada mulanya tercengang, mengeluh tanpa sedar kemudiannya. Disebabkan barang yang dipesan oleh Khairul, isterinya diselubungi ketakutan yang bukan kepalang. Hendak ketawa pun ada, melihat betapa penakutnya Salmiha Haini.
Syyy... jangan takut. Itu bukannya rangka manusia yang mati dibunuh tapi arca rangka manusia. Kawan abang kirim tempoh hari. Jadi abang suruh Mr. Han Deok tolong simpan dalam almari tu. Kalau honey nak tahu, Mr. Han Deok jugalah yang tolong tempahkan bilik hotel ini untuk kita,” ujar Shahrul Hairi bagi mengurangkan ketakutan isterinya. Tangannya membelai lembut tubuh itu. Bahu yang sedia terdedah itu dikucup lembut.
Salmiha Haini mengetap bibirnya. Disebabkan benda alah yang bodoh itu dia menangis ketakutan. Wajahnya dirapatkan ke dada bagi menyembunyikan perasaan malu yang sedang berleluasa.
Shahrul Hairi mengangkat wajah Salmiha Haini. Kesan air mata yang masih kelihatan diseka. Bibir Salmiha Haini yang berketap rapat, ditarik perlahan-lahan. Bimbang bakal mencederakan bibir yang terbentuk cantik itu. Ulas bibir itu dielusnya. Tatkala pandangan mata mereka bersabung, perasaan halus mengalir dalam tubuh Shahrul Hairi. Dia semakin terpikat dan terpesona. Mata Salmiha Haini yang bundar dan cantik itu dikucup sebelum beralih ke pipi. Kemudian bibir yang basah lagi menggiurkan itu menjadi singgahan terakhirnya. Lama bibirnya berdiam di situ.
Honey...,” panggil Shahrul Hairi dengan suara yang sensual.
Hmmm...,” sahut Salmiha Haini perlahan. Sentuhan demi sentuhan menghadirkan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Sahutan lembut itu membuai jiwa Shahrul Hairi dan dia semakin tergoda.
“Abang sayang dan cintakan honey. Dah lama abang pendamkan perasaan ini. Abang risau sebenarnya andai abang hanya bertepuk sebelah tangan selama ini.” Shahrul Hairi meluahkan rasa hatinya. Tenang rasa jiwanya saat mengungkapkan kata-kata keramat itu.
Luahan berani mati Shahrul Hairi membuatkan jantung Salmiha Haini semakin lari dari temponya. Antara percaya dengan tidak sahaja ketika mendengar ucapan suaminya itu. Namun... hatinya berlagu riang ketika ini. Sangkanya dia hanya bertepuk sebelah tangan dan syok sendiri selama ini. Rupanya dia tersilap. Suaminya juga turut merasa perasaan yang sama.
Honey... adakah honey juga berperasaan seperti abang?” Tanya Shahrul Hairi lembut. Jermarinya mengelus lembut pipi Salmiha Haini. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari menatap wajah ayu itu. 
“Hah?” Hanya itu yang mampu keluar dari mulut Salmiha Haini. Dia memandang wajah Shahrul Hairi seketika sebelum menyembunyikan kembali wajahnya. Pakuan mata Shahrul Hairi yang menikam anak matanya membuatkan dia tidak keruan. Apa yang mampu dia lakukan hanya menunduk dan memandang selimut yang membaluti tubuhnya. Tidak terdaya dia hendak menentang renungan yang menusuk kalbu itu.
Jemari Shahrul Hairi mengangkat lembut wajah Salmiha Haini.
“Abang mahu kita jadi suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya dan bukan sekadar di atas kertas sahaja,” bicara Shahrul Hairi dengan romantis.
Salmiha Haini hanya diam kaku mendengar luahan rasa Shahrul Hairi. Tiada apa yang perlu diucapkan atau ditanyakan lagi kerana Shahrul Hairi sudah menjelaskan segalanya. Sebaik sahaja Shahrul Hairi menjatuhkan tubuhnya ke atas tilam, jantung Salmiha Haini bagaikan rebana yang dipalu hebat. Dia tahu apa yang Shahrul Hairi mahukan darinya. Akhirnya dia pasrah dan membiarkan sahaja Shahrul Hairi mengemudi arah hidupnya.


HONEY... bangun!” Shahrul Hairi mengucup lembut bahu isterinya. Tangannya juga menguis rambut yang menutupi wajah Salmiha Haini. Wajah kekasih hati dunia akhiratnya itu ditatap dengan penuh kasih sayang.
Bulat mata Salmiha Haini menatap wajah Shahrul Hairi yang begitu hampir dengan dirinya. Terasa malu pun ada. Kononnya dia sekadar ingin berbaring bagi merehatkan badan, alih-alih dia turut mengikut rentak suaminya membuat tahi mata.
Honey pergi mandi dulu ya. Sekejap lagi kita keluar makan,” tutur Shahrul Hairi lembut. Namun sebelah tangannya masih belum dirungkaikan dari pinggang isterinya. Melihat Salmiha Haini menggeliat, dia semakin mengeratkan pelukan. Dia benar-benar berasa gembira dan bahagia ketika ini. Balasan cinta dan kasih sayang yang diterima, membuatkan dia merasakan dialah lelaki yang paling beruntung di dunia.
“Macam mana Hani nak bangun kalau abang dah peluk kemas camni?”
Kedengaran manja sekali suara itu di halwa telinga Shahrul Hairi. Terasa sayang pula dia hendak melepaskan isterinya pergi.
“Abang...,” rengek Salmiha Haini sambil cuba melepaskan dirinya.
“Sekejaplah! Abang belum puas peluk honey lagi.”
Hesy... suami aku ni! Tadi dia juga yang kejutkan suruh bangun dan mandi. Kini lain pula jadinya, bebel Salmiha Haini dalam hati.
“Sekejap aje tau!” Salmiha Haini memberi amaran kepada suaminya. Dia pun suka sebenarnya! Siapa yang tak happy dapat bermanja dengan suami tercinta!
Emmm....,” balas Shahrul Hairi. Pelukannya semakin dieratkan.
Sekejap yang dimaksudkan Shahrul Hairi telah berlanjutan hampir dua jam. Salmiha Haini sudah tidak sanggup lagi berlingkar manja dengan suaminya. Mahu terbabas waktu makan mereka sekiranya dia terus hanyut dengan permainan Shahrul Hairi. Tangannya menepuk lembut lengan suaminya. Wajah Shahrul Hairi menjadi tatapannya. Melihat senyuman nakal yang menghiasi bibir suaminya membuatkan dia terasa hendak berlakon pengsan sahaja ketika ini.
Sorry... kerana terpaksa kerja lebih masa sekali lagi,” bisik Shahrul Hairi dengan nakalnya. “Terima kasih kerana membahagiakan hidup abang.” Senyuman menawan tidak lekang di bibirnya.
“Abang!!!” Lengan Shahrul Hairi dicubit geram. Mukanya sudah merah menahan malu.  Mengada-ngada sungguhlah laki aku ni! Suka cakap merapu, bisik hati Salmiha Haini. “Dah... lepaskan Hani! Hani nak pergi mandi. Perut pun dah mula terasa lapar,” omel Salmiha Haini pura-pura marah. Tangannya segera menolak lengan sasa Shahrul Hairi.
Shahrul Hairi bangun. Tubuh Salmiha Haini dicempungnya.
Terkejut Salmiha Haini dengan tindakan Shahrul Hairi.
“Eh! Abang nak buat apa ni?” Salmiha Haini sudah meronta untuk melepaskan diri.
“Tadi kata nak mandi. Kita mandi sama-samanya ya.” Cempungannya dikemaskan lagi bimbang isterinya terjatuh.
“Abang... janganlah buat macam ni!” Pinta Salmiha Haini. Perasaan malu yang mengepung diri usah diceritakan lagi. Gila apa nak mandi berdua!
“Jangan buat macam apa?” Soal Shahrul Hairi. Keningnya dijungkitkan.
“Abang... turunkanlah Hani.”
“Sebab apa nak kena turunkan honey?” Shahrul Hairi terus-terusan mengusik.
Salmiha Haini garu kepala mencari idea.
Errr... kalau abang nak mandi, abang pergilah mandi dulu. Biar Hani mandi kemudian.” Wajahnya sudah membahang ketika ini.
“Kenapa abang perlu mandi dulu? Kenapa tak boleh mandi bersama?” Sengaja Shahrul Hairi menyakat isterinya. Keadaan isterinya yang malu-malu membuatkan dia semakin galak hendak mengusik.
Errr... belum masanya lagi.”
Emmm... bila masanya tu?”
Adoi... banyaknya tanya! Bagi sebijik karang baru tahu, gerutu Salmiha Haini geram.
Errr... tunggu balik Malaysia.”
Shahrul Hairi tersenyum menawan. Riak Salmiha Haini yang malu-malu sangat mencuit hatinya.
“Okey... abang akan tuntut janji honey bila kita sampai di rumah nanti. Jangan buat-buat lupa pula ya,” pesan Shahrul Hairi sambil mencium pipi mulus isterinya. “Sekarang abang lepaskan honey!” Ujar Shahrul Hairi. Tubuh Salmiha Haini diturunkannya. “Cepat beredar dari sini segera, sebelum abang tukar fikiran,” ugut Shahrul Hairi.
Niat asalnya hendak membawa Salmiha Haini keluar bersiar-siar menikmati pemandangan indah negara orang selepas merehatkan badan barang sejam dua. Tetapi tidak pula dia menyangka hasratnya itu telah bertukar kepada sesuatu yang indah, hangat, dan membarakan lagi perasaan cintanya terhadap Salmiha Haini.
Salmiha Haini menjeling geram. Sakit hatinya mendengar usikan nakal suaminya. Segera dia berlari menuju ke bilik mandi pabila terlihat Shahrul Hairi berura-ura hendak menangkapnya semula.
Tawa Shahrul Hairi memenuhi segenap ruang bilik hotel itu. Dia bangun dan mengemas katil yang menjadi saksi cinta mereka bersemi. Getaran halus menyelinap dalam jiwa Shahrul Hairi saat pandangan matanya menjamu sesuatu yang berharga tinggalan Salmiha Haini. Shahrul Hairi benar-benar bersyukur kepada TUHAN kerana menemukan dia dengan gadis yang masih suci lagi murni.
“Terima kasih... honey!” Kini dia mengikat janji ikrar dengan dirinya akan senantiasa setia dan menjaga cintanya hanya untuk isteri kesayangannya itu sahaja. Cintanya kini adalah milik mutlak gadis bernama Salmiha Haini dan tiada yang lain. Opps... bukan gadis lagi, hatinya berbisik nakal. Telefon bimbitnya diambil, waktu yang tertera di skrin tersebut diperhatikannya. La... dah masuk waktu makan tengah hari rupanya. Patutlah lapar bukan main.


SHAHRUL HAIRI tersengih di dalam bilik mandi mendengarkan suara gemersik isterinya. Boleh bawa pergi karaoke ni! Mesti Max jeles habis nanti! Dia bercadang hendak berterus terang dengan sahabatnya, malam ini. Dia tidak mahu teman baiknya itu terus memburu dan mengharapkan Salmiha Haini. Salmiha Haini adalah miliknya dan tidak boleh dikongsi dengan lelaki lain. Dia sama sekali tidak akan benarkannya.
Teringat kejadian yang berlaku sepanjang hari ini, Shahrul Hairi tersenyum senget. Hotel Ramada Songdo menjadi saksi penyatuan dua hati… dua jiwa… Memang mereka betul-betul berbulan madu di bumi Korea ini. Keluar pun hanya seketika, untuk mengisi kantung perut. Selebihnya mereka hanya duduk berkurung di dalam bilik.
Syoknya kalau dapat anak secepat yang mungkin. Anak made in Korea, bisik hati kecil Shahrul Hairi. Dia sudah tidak sabar hendak menjadi seorang ayah dan punya anak yang ramai. Harap-harap Salmiha Haini juga sepertinya.
Salmiha Haini membuang pandang ke luar tingkap sementara menunggu suaminya usai mandi. Lagu Cahaya Cinta, nyanyian Datin Seri Siti Nurhaliza meniti di bibirnya.
“Sayangi daku... Peluklah daku... Janji denganku... Semai cinta nan satu...” Matanya juga begitu ralit menyaksikan keindahan bumi Korea Selatan. Simbahan cahaya lampu yang menerangi suasana senja begitu mempesonakan. Sungguh cantik! Dan langsung tidak ada bezanya dengan Kuala Lumpur. Rindu rasanya dengan tanah air tercinta.
Huwaa... rindunya nak makan nasi lemak dan roti canai! Baru duduk sehari kat negara orang dan macam bertahun pulak rasanya. Mujurlah mereka berada di sini hanya sehari dua. Buat berkurun lamanya? Mahu rentung! Sanggup dia suruh Sofea hantar makanan kegemarannya menggunakan pos.
Terasa ada tangan yang melingkari pinggangnya. Tahulah dia sangat siapakah gerangan orangnya! Salmiha Haini membawa lengan sasa suaminya ke dada. Terasa bahagia menyelubungi dirinya saat ini.
“Abang... nak tanya satu soalan boleh?” Salmiha Haini mendongak memandang suaminya. Kenapalah suami aku ni terlebih tinggi? Naik lenguh leher duk asyik mendongak.
“Setakat satu soalan aje, apa ada hal? Kenapa tak kumpul dulu semua soalan cepumas tu, kemudian barulah bertanya?” Usik Shahrul Hairi sambil tersenyum.
“Abang ni... kalau tak mengusik satu hari boleh demam agaknya?” Perli Salmiha Haini. Tangannya juga menampar tangan suaminya.
Ketawa Shahrul Hairi melihat rajuk isterinya. Makin cantik pulak di matanya isteri kesayangannya itu.
Emmm... apa dia soalannya?” Tanya Shahrul Hairi lembut. Dahi isterinya dikecup kasih.
“Hari tu abang kata, dari KLIA lagi abang nampak wajah mendung Hani. Bila masa abang nampak Hani?”
“Itu rupanya persoalan yang bersarang dalam kepala isteri abang yang jelita ni?” Usik Shahrul Hairi lagi sambil mencuit hidung Salmiha Haini.
Salmiha Haini membulatkan matanya. Suka benar Shahrul Hairi menyakat dirinya. Tapi hati di dalam tiada siapa yang tahu akan kembang kuncupnya bila dipuji sebegitu.
Emmm... honey ingat tak lagi yang honey pernah terlanggar seorang juruterbang kacak semasa di KLIA?” Tanya Shahrul Hairi bersama sengihan. Maklumlah puji diri sendiri. Mahu tak tersengih.
“Abang ke orang tu?” Salmiha Haini minta kepastian. Melihat anggukan Shahrul Hairi, dia ketawa. Sungguh tak disangka! Padahal selepas kejadian itu, sempatlah juga dia dan Sofea mengumpat suaminya itu.
“Ini kenapa ketawa ni?” Tanya Shahrul Hairi sambil mencekak pinggang. 
“Takde apa-apalah! Cuma tak sangka orang yang Hani langgar sudah pun menjadi suami Hani.”
“Itulah namanya jodoh. Sejak peristiwa tu, abang langsung tak boleh lupakan honey! Dan tak sangka pulak kita dipertemukan lagi pada malam bersejarah tu,” luah Shahrul Hairi bersama senyuman kacaknya. Yalah tu... konon tak boleh lupa sejak bertemu di KLIA. Padahal masa kat JB lagi memang tak boleh nak lupakan gadis bernama Salmiha Haini ini, gumam Shahrul Hairi. Biarlah segala rahsia yang berlaku tersimpan kukuh di hati dan akan jadi memori indah untuk dikenang hingga ke mati.
Shahrul Hairi mengeratkan lagi dakapannya. Rambut isterinya dibelai dan ubun-ubun isterinya dikucup berulang kali. Dia mahu Salmiha Haini tahu betapa dalamnya cinta dia buat isterinya itu.
Bunyi telefon bimbitnya membuatkan Shahrul Hairi melepaskan dakapannya. Dia segera mencapai telefon bimbitnya itu. Melihat nama Max, badannya serasa seram sejuk. Terasa kasihan pun ada dengan kawan baiknya itu. Bagaimanalah nanti penerimaan teman rapatnya itu.
Emmm... ada apa Max?”
“Kau kat mana? Dari semalam lagi aku tak nampak?”
“Mana ada semalamnya! Pukul 6.30 pagi tadi kita sampai. Sekarang baru pukul 7.45 minit malam. Baru tiga belas jam kau tak nampak batang hidung aku.”
“Kenapa kau tak menginap sekali dengan kami semua?”
“Aku inginkan privacylah! Tak akan itu pun tak boleh?”
“Sejak bila kawan aku ni pandai cari ruang untuk bersendirian? Atau... kau ada agenda yang tersembunyi?” Sindir Max.
“Kau jangan nak memfitnah aku ya,” tegas Shahrul Hairi.
Errr... sorrylah! Aku tak bermaksud nak buat kau marah dan terasa hati.”
“Tak apalah! Aku mengerti.”
“Rie... kau ada jumpa Miha tak?” Max bertanya. Tak senang duduk dirinya bila tahu Shahrul Hairi dan Salmiha Haini menginap di hotel lain.
“Ada dengan aku ni. Kejap lagi kami nak keluar makan malam. Kau nak join tak?” Pelawa Shahrul Hairi. Dia juga ingin menjelaskan hubungannya dengan Salmiha Haini kepada Max.
“Boleh juga! Aku pun dah rindu kat dia,” jawab Max gembira. “Kat mana kita nak jumpa?”
“Kau tunggu aku dekat Hotel New Airport je, nanti aku ambik kau.”
Emmm... baiklah!”
Shahrul Hairi memandu tenang kereta milik sahabatnya, Han Deok. Hampir setengah jam memandu mereka tiba di Hotel New Airport di Incheon. Selepas mengambil Max, mereka menuju ke Restoran India Halal yang terletak di Itaewon.
Honey nak makan apa?” Tanya Shahrul Hairi perlahan.
“Nak nasi berianilah.”
“Kau Max?” Shahrul Hairi bertanyakan Max pula.
“Aku pun nak nasi beriani juga,” pinta Max.
Selepas membuat pesanan, Shahrul Hairi duduk diam sambil memerhatikan tingkah laku temannya. Melihat keceriaan Max, serba salah dia hendak menerangkan duduk perkara yang sebenarnya.
“Seronok dapat berjalan ke sini, Miha?”
“Seronok apanya? Asyik terperap dalam bilik dengan abang je!” Salmiha Haini menjeling suaminya.
Shahrul Hairi hanya tersengih mendengar celoteh isterinya. Macam mana nak keluar berjalan jika mereka asyik bergolek atas katil seharian. Kalau keluar pun sekadar mencari tempat untuk mengisi perut.
Max memandang wajah Salmiha Haini dan Shahrul Hairi silih berganti. Hatinya digamit rasa tidak enak.
“Ada sesuatu yang cuba kau nak bagi tahu kat aku ke Rie?”
Shahrul Hairi menggenggam kemas jemari Salmiha Haini yang berada di atas pahanya. Dia cuba mencari kekuatan yang terdapat dalam diri isterinya.
Salmiha Haini keresahan bila tersedar dia sudah terlepas cakap sebentar tadi.
Shahrul Hairi berdehem sebelum memulakan bicara.
“Max... aku sebenarnya nak minta maaf dengan kau. Aku tiada niat langsung hendak menyakiti hati kau,” terang Shahrul Hairi sambil merenung sahabat baiknya itu. Muka Max dilihatnya sudah berubah. Mungkin sedang menahan marah, barangkali.
“Salmiha Haini adalah isteri aku!”
Ayat yang baru keluar dari mulut Shahrul Hairi bagaikan belati menikam perit hingga ke jantungnya. Max benar-benar tidak percaya. Tak mungkin! Mustahil! Gumam Max. Adakah Shahrul Hairi sengaja berkata begitu? Max yakin yang temannya itu berniat hendak merampas Salmiha Haini dari hidupnya.
            “Kau bohong, kan? Kau sengaja cakap macam tu sebab nak ambil Miha daripada aku,” ujar Max sedikit emosi.
“Buat apa aku nak berbohong? Tak ada faedah yang aku dapat,” jelas Shahrul Hairi tegas.
Shahrul Hairi mengeluarkan surat pengesahan pernikahannya.
“Ini buktinya!”
Max merenung kertas putih yang berada di atas meja. Jelas kelihatan nama pasangan itu di atasnya.
“Kenapa kau tak berterus terang sebelum ni? Kenapa kau biarkan perasaan sayang aku terhadap Miha tumbuh mekar?” Soal Max sedikit kesal. Sakit hatinya bila terasa dipermainkan oleh sahabat sendiri.
“Maafkan aku. Tiada niat di hati aku untuk berbuat demikian. Dan aku tidak menyangka begitu cepat kau menaruh hati terhadap isteri aku. Aku ingatkan kau sekadar main-main seperti sebelum ni,” luah Shahrul Hairi dengan sedikit penyesalan.
Salmiha Haini hanya diam mendengar. Dia tidak mahu ikut campur perbualan antara Shahrul Hairi dan Max.
Max menghela nafas panjang. Dia cuba tersenyum walaupun hambar. Mungkin tiada rezeki buatnya untuk memiliki gadis bernama Salmiha Haini ini. Mungkin jodohnya sudah tertulis dengan gadis lain. Max cuba berfikiran positif.
Melihat Max kembali tenang dan suaminya sudah mampu menarik nafas lega, Salmiha Haini meminta diri ke tandas. Dia mahu dua bersahabat itu melepaskan apa yang terbuku di hati masing-masing.
Shahrul Hairi menghantar pergi isterinya dengan pandangan matanya sahaja.
“Tahniah!” Kata Max sepatah. “Kiranya baru lagilah kau orang menikah?”
            “Aah... masih baru lagi,” ujar Shahrul Hairi sambil membetulkan letak duduknya. “Sebenarnya masa kau datang rumah aku tempoh hari, aku dan dia sudah pun menikah.” Shahrul Hairi menerangkan hal yang sebenar dan merungkai kekusutan Max.
“Kau nak balas dendam kat perempuan yang kau minat tu ke?”
“Balas dendam? Apa maksud kau? Aku kurang jelas.”
“Maksud aku, kau lepaskan kekecewaan kau dengan mengahwini Miha. Yalah, awek kau tu kan dah kahwin dengan orang lain.”
“Taklah! Dialah gadis yang aku cinta tu,” jelas Shahrul Hairi bersama senyuman bahagia.
Terlopong mulut Max mendengarnya.
“Kau biar betul?”
“Betullah! Tak akan aku nak bohong pulak.”
Shahrul Hairi menceritakan detik pertemuannya dengan Salmiha Haini bermula dari KLIA hinggalah ke detik pernikahannya. Sedikit pun tidak kurang dan tertinggal.
“Kiranya ALLAH dengar impian dan harapan kau, Rie. Aku doakan semoga kau bahagia hingga ke Syurga,” doa Max tulus ikhlas. “Maafkan aku ya, sebab menaruh hati dekat isteri kau. Kau pun satu! Suka sangat berahsia.”
Shahrul Hairi hanya ketawa mendengar kata-kata Max. Lega hatinya bila Max dapat menerima kenyataan tentang hubungannya dengan Salmiha Haini.
“Cuma satu sahaja yang aku pinta dari kau, Max. Aku harap perkara ini menjadi rahsia antara kita berdua dulu. Aku tak mahu Darlina ganggu isteri aku. Kau pun tahu kan bagaimana teruknya perangai dia. Aku tak mahu dia buat perangai gilanya seperti selalu. Aku janji... bila aku nak berhenti nanti, aku akan buat sedikit majlis dan umumkan status aku pada kawan-kawan kita.
“Untuk sahabat baik aku ni, aku akan lakukan apa sahaja. Dan aku akan bantu kau untuk lindungi rumah tangga kau dari gangguan dia,” ujar Max seraya memeluk erat tubuh Shahrul Hairi. Itulah janji seorang sahabat untuk sahabat baiknya. Dia dan Shahrul Hairi ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakitnya. Begitulah akrabnya persahabatan mereka. Lagi pula dia kenal benar dengan sikap Darlina. Perempuan itu sanggup lakukan apa saja, asalkan hatinya puas dan hidupnya senang.



Thursday 6 March 2014

TEASER 5 SAYANG AWAK CINTA AWAK

TEASER 5


 “By the way, I’m Ringgo and you?” tanya Shahrul Hairi sambil menghulurkan salam perkenalan. Dia belum berhajat memberitahu nama sebenarnya. Dan dia juga pura-pura tidak mengenali Salmiha Haini. Dia yakin Salmiha Haini tidak kenal dan mengingati dirinya. “Saya Salmiha Haini. Maaf... saya tak boleh sambut tangan awak, ajnabi. Haram hukumnya,” jelas Salmiha Haini jujur. 
Shahrul Hairi rasa hendak tampar pipinya. Bukannya dia tidak pernah terkena dengan Salmiha Haini sebelum ini. Dia kemudiannya menarik kembali tangannya dan melemparkan senyuman ikhlas. Begitu terjaga akhlak dan sahsiah gadis ini, getusnya. 
“Awak pun kena paksa kahwin juga?” Shahrul Hairi senyum dan angguk. Cakap lembut-lembut macam ni kan bagus. Sejuk hati abang. Makin abang sayang, bisik hati Shahrul Hairi yang nakal lagi gatal. 
“Ya! Malahan saya diberi dua pilihan. Berkahwin dengan sepupu saya atau anak kenalan mereka sekiranya gagal mencari pilihan sendiri dalam tempoh lebih kurang enam bulan ini. Bukankah itu tidak adil namanya?” Shahrul Hairi diam seketika. 
“Awak tahu… Gadis yang hendak dipadankan dengan saya tu langsung tidak menepati kriteria yang saya harapkan. Walaupun dia sepupu saya tapi kalau hati kata tak berkenan nak buat macam mana kan… Saya sebolehnya mengharapkan Allah menjodohkan saya dengan gadis yang dekat dengan agama. Saya impikan seorang isteri yang menutup aurat. Boleh setia bersama saya hingga ke akhirnya. Dan paling penting, mampu menjadi isteri dan ibu yang terbaik buat anak-anak saya. Kalau boleh… Saya ingin berkahwin sekali saja seumur hidup,” jelas Shahrul Hairi sambil memandang Salmiha Haini. Berada di samping gadis itu, jiwanya terasa tenang dan damai. Bahkan mampu membangkitkan perasaan yang begitu mengasyikkan. Angau sungguh! Terpukau Salmiha Haini mendengar luahan lelaki bernama Ringgo itu. Pasti bahagia siapa yang bakal menjadi suri hidup lelaki itu. 
“Awak dah ada kekasih?” Shahrul Hairi bertanya. Matanya turut merenung lembut gadis di sebelahnya itu. Wajah itu tetap kelihatan cantik dan ayu biarpun masih diseliputi mendung. Kelembutan juga terserlah di wajah itu walaupun sedikit garang sebentar tadi. Dan tetap kelihatan anggun dan jelita walaupun tidak menayangkan bentuk badannya. Salmiha Haini memandang wajah lelaki yang bernama Ringgo itu dengan sedikit hairan. 
“Tak ada! Kenapa? Awak berminat nak jadi calonnya ke?” tanya Salmiha Haini sambil mencerlangkan biji matanya tanda tidak menyukai pertanyaan Shahrul Hairi.
“Saya? Nak jadi calon kekasih awak?” Shahrul Hairi bertanya sambil tertawa kelucuan. “Minta maaf la! Penampilan awak tidak kena langsung dengan cita rasa saya dan untuk pengetahuan awak... karektor awak juga tidak sedondon dengan jiwa saya.” Bersahaja kata-kata yang meluncur dari mulut Shahrul Hairi.
“Awak tu garang sangat, macam harimau nak membaham anak. Emmm… seriau saya tau...,” usik Shahrul Hairi. Dia harus dan perlu menjunjung egonya barang seminit dua. Tak akanlah terus hendak mengaku yang dia meminati gadis itu. Mestilah kena berlakon dahulu. Dia tidak mahu nampak terlalu gelojoh di mata Salmiha Haini. Dan juga bimbang sekiranya Salmiha Haini dapat menebak perasaannya terhadap gadis itu. Malulah dia nanti. Mencerlung Salmiha Haini memandang jejaka di sebelahnya.
“Macamlah saya ni dah terdesak sangat nak jadi calon kekasih awak! Awak juga tak tersenarai dalam short listed lelaki idaman saya. Eh! Kalau dunia ni nak kiamat sekali pun, masih ramai lagi lelaki di dunia ini yang boleh dijadikan calon selain awak. Mengerti! Jadi tak usah banyak cakap!” bentak Salmiha Haini geram. Macam bagus aje lelaki di sebelahnya ini. Dia ingin berlalu namun tangannya pantas dicapai Shahrul Hairi.


SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 18

Bab  18


HOI... kau kat mana ni? Dah penat otak aku fikir tentang kau tahu tak? Jari aku pun dah nak patah asyik tekan nombor kau aje sejak beberapa hari ni!” Serang Sofea. Geram sungguh hatinya, sudah acap kali dia menghubungi sahabatnya itu tetapi tetap juga gagal menemukan jejak. Seolah-olah Salmiha Haini sedang duduk dalam gua ataupun hutan yang langsung tiada sistem perhubungan. Dia benar-benar risaukan temannya itu.
Setiap kali dia menghubungi temannya itu hanya suara operator yang menjawab...
            “Harap Maaf! Nombor yang anda panggil tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebenar lagi. Terima kasih.” Asyik-asyik duk ulang ayat itu aje. Rasa macam nak baling aje telefon bimbitnya ke dinding. Nasib baik akalnya masih waras. Kalau tak habis terbarai telefon bimbitnya yang berharga hampir 2k itu. Rugi...!!! Rugi...!!!
“Waalaikumussalam,” sindir Salmiha Haini secara halus. “Kalau ya pun nak terjah masuk rumah orang, bagi-bagilah salam dulu Mak Cik Sofea oiii...!”
“Assalamualaikum... Kau menghilang ke mana selama lima hari ni? Risau aku tahu tak? Aku bimbang kalau-kalau bapa saudara kau yang otak sinting tu, buat sesuatu yang tak elok kat kau!” Terang Sofea penuh kebimbangan. Setiap kali Salmiha Haini gagal dihubungi, setiap kali itulah air matanya menitis. Dia takut sekiranya Pak Lang Salmiha Haini kurung atau dera gadis itu. Lelaki tua itu bukannya boleh dipercayai sangat. Nak-nak kalau dah tumbuh tanduk di hujung kepala. Apa-apa pun boleh jadi.
“Aku okeylah! Masih hidup dan bernafas!” Salmiha Haini mententeramkan rakan baiknya. “Kalau kau tak percaya, kau pergi check kat semua hospital dan balai polis dalam Malaysia ni. Mesti nama aku tak tersenarai dalam rekod mangsa yang menerima rawatan ataupun yang telah mati. Apatah lagi yang disabit melakukan jenayah.” Salmiha Haini bergurau.
“Kau niii... aku tengah serius, kau buat main-main pulak! Eee... geramnya aku! Mujur kau tak ada kat depan bijik mata aku! Kalau tak... memang aku patah-patahkan leher kau!” Marah Sofea. “Tak pun... aku dush... dush.. kat biji mata kau biar lebam selama setahun,” bebel Sofea kegeraman.
Hehehe... Salmiha Haini ketawa dalam hati. Dia dapat bayangkan bagaimana bentuk rupa paras teman baiknya ketika ini. Marah benar nampaknya Si Sofea ini. Bukan dia sengaja tidak mahu menghubungi sahabatnya itu tetapi dia tidak mahu Sofea bimbang dan risau tentangnya.
“Amboi... kau ingat mata aku ni tak bayar zakat fitrah yang kau nak tumbuk-tumbuk? Dan kau ingat leher aku ni adik-beradik kacang panjang, sesuka hati kau aje nak patah-patahkan?” Komen Salmiha Haini.
“Kau!” Sofea sudah tak dapat menahan perasaan marahnya. Geram sungguh dia dengan celoteh Salmiha Haini yang mengalahkan burung murai itu. Langsung tidak berbekas di hati sahabatnya itu akan kerisauan dirinya.
“Ala... Fea, janganlah marah aku. Aku gurau ajelah. Dah lama aku tak dengar kau berkicau macam ni. Rindu pulak aku,” gurau Salmiha Haini sambil mereda suhu kemarahan teman rapatnya itu. “Terima kasihlah sebab ambil berat tentang aku dan sayangkan aku. Tanpa kau, siapalah aku,” luah Salmiha Haini dengan nada sebak. Kolam matanya juga mula bergenang.
Kedua-dua sahabat itu sudah memulakan drama air mata. Suara mereka juga sudah tenggelam timbul.
“Kau sahabat aku dan kau juga dah aku anggap seperti saudara kandung aku sendiri. Aku sayangkan kau, Miha. Kalau kau rasa sakit, aku juga turut merasainya. Aku risau sangat, aku takut bapa saudara kau kurung kau sebab tak nak kau batalkan perkahwinan yang telah dia rancangkan tu,” jelas Sofea sebak. Apa yang bermain di fikirannya selama seminggu ini, diluahkan kepada Salmiha Haini.
“Terima kasih Fea kerana sayangkan aku. Aku pun sayangkan kau, Fea! Kaulah saudara aku dunia akhirat,” ujar Salmiha Haini bersama cucuran air mata. Terharu dia mendengar kata-kata Sofea. Ah... Sofea memang baik dengannya selama ini!
“Kau kat mana ni?” Tanya Sofea sekali lagi. Dia ingin pastikan yang sahabatnya itu benar-benar selamat dan sihat walafiat. “Bila nak balik sini?”
Salmiha Haini segera menghapuskan air mata yang sedang mengalir. Hidupnya kini benar-benar bahagia. Shahrul Hairi adalah anugerah terindah buat dirinya. Lelaki itu selalu menceriakan hari-harinya. Hinggakan dia terlupa kesedihan yang dia alami sebelum ini.
“Aku kat KLIA. Nak pergi honeymoon,” ujar Salmiha Haini sambil tergelak kecil.
“Yalah tu! Macam aku percaya kata-kata kau!”
“Tak percaya sudah!”
“Hesy... cakaplah betul-betul! Tak akan seminggu lebih tak jumpa, kau dah kahwin? Tak percayalah aku! Atau kau terima juga cadangan bapa saudara kau yang sengal-kolot-merapu tu? Kau dah fikir masak-masak ke sebelum kau serah diri kat ‘tali gantung’ tu?” Marah Sofea. “Apa...? Hensem sangat ke dia, sampai kau boleh terpikat? Atau dia terlebih baik hingga buat kau tertarik?”
“Mana ada aku kahwin dengan calon pilihan Pak Lang aku! Kau ni... tak tahu hujung pangkal dah melenting tak tentu fasal! Dah tu tuduh aku yang bukan-bukan pulak! Ini yang buat aku hangin ni!” Salmiha Haini pura-pura mengamuk.
            “Dah... kau asyik cakap bab kahwin je! Aku ingatkan kau dah kahwin dengan calon Pak Lang kau tu! Tapi aku memang tak percaya pun cakap-cakap kau tadi. Sebab nak kata kau dah ada pakwe, kau ni memang spesies hampehlah kan! Ada orang nak, tapi kau menyombong dan jual mahal!” Sindir Sofea.
“Kau... kalau bercakap, macamlah aku ni tak laku barang satu sen!” Tempelak Salmiha Haini.
“Aku tak cakap kau tak laku. Tapi aku kata kau tu yang ‘menjual terlebih mahal’.” Sofea membetulkan tanggapan Salmiha Haini.
Terdiam seketika Salmiha Haini.
“Kau percaya tak? Ajal-maut-jodoh-pertemuan di tangan ALLAH?” Soal Salmiha Haini. “Kalau kau yakin dengan qada dan qadar ALLAH, tentu kau percaya dan tidak akan sesekali mempertikaikan apa yang telah ALLAH catatkan di sepanjang perjalanan hidup kita di dunia ini,” jelas Salmiha Haini satu-persatu. “Memang aku dah kahwin tapi dengan orang lain. Dia jodoh yang ALLAH kirimkan untuk aku. Dia hadir dalam hidup aku tanpa aku tahu akan kehadirannya. Dia muncul di depan aku tanpa aku tahu akan kemunculannya. Dia anugerah ALLAH yang teristimewa buat aku. Aku rasa... dialah jodoh yang terbaik buat aku. Dan aku harap... akulah satu-satunya pemilik tulang rusuknya itu!”
Lumpuh seketika mulut Sofea untuk berdebat dengan sahabatnya itu.
            “Be... betul ke kau dah kahwin?”
            “Betullah! Selama ni, ada tak aku bergurau dengan kau hal-hal yang penting lagi serius macam ni?”
“Kalau benar apa yang kau katakan, aku tumpang gembira. Aku doakan semoga rumah tangga yang kau bina, kekal bahagia hingga ke akhir hayat.”
“Terima kasih Fea!”
Emmm... bila kau kahwin? Tak bagi tahu aku pun. Ceritalah kat aku macam mana kau jumpa dia?”
“Nanti bila aku balik JB, akan aku ceritakan dari awal hingga akhir bagaimana aku boleh berkahwin dengan suami aku ni.”
“Janji?”
“Ya! Aku janji!”


TUGAS RASMINYA sudah sedia menanti. Tanggungjawabnya begitu besar bagi memastikan penumpang dan anak kapalnya berada dalam keadaan selamat dan baik. Dia tidak mahu menanggung apa-apa risiko sewaktu menjalankan tugasnya. Apatah lagi isteri yang sangat dia sayangi dan cintai turut berada dalam kapal terbang tersebut.
“Wei... apa fasal kau angkut orang gaji kau sekali?” Soal Max tidak berpuas hati. Hatinya dipagut rasa cemburu yang bukan sedikit. Dia bimbang jika sahabat baiknya itu merampas Salmiha Haini dari hidupnya.
Shahrul Hairi memandang pelik wajah Max. Kenapa Max begitu sibuk menjaga tepi seluarnya? Sedangkan dia tidak pernah ambil tahu pun apa yang kawannya itu hendak buat dan lakukan. Bukan dia tidak mahu meninggalkan isterinya sendirian diri di rumah. Tapi dia tidak yakin dengan Max dan Pak Lang Salmiha Haini. Buatnya angin sewel Max datang, dan tiba-tiba ambil cuti kecemasan tak ke haru? Apa yang membuatkan dia sangat-sangat risau, dia takut Max duduk berkampung di rumahnya sepanjang ketiadaannya. Salmiha Haini... dia mungkin boleh percayakan isterinya itu. Tapi Max... tidak sekali-kali. Apatah lagi lelaki itu bebas keluar masuk di rumahnya. Ah! Silapnya juga kerana masih belum menceritakan siapa Salmiha Haini dalam hidupnya.
“Aku saja je bawa dia jalan-jalan tengok negara orang. Kesian pulak aku nak tinggalkan dia sendirian di rumah tanpa buat apa-apa aktiviti yang berfaedah,” dalih Shahrul Hairi. Dia berharap sangat Max menerima kata-katanya yang sedikit tidak masuk akal itu. Belum pernah lagi dibuat orang, majikan membawa orang gajinya ke hulu hilir. Tapi Salmiha Haini bukan orang gajinya. Gadis itu si jantung hatinya.
Max memandang wajah Shahrul Hairi untuk mencari kebenaran. Riak tenang sahabatnya itu membuatkan dia sukar hendak menebak apa yang bersarang dalam hati rakannya itu.
“Bagus juga kau bawa dia. Boleh aku bawa dia jalan-jalan nanti. Kau pun bukannya rajin sangat nak bawa dia pergi mana-mana. Asyik nak tidur aje!” Kutuk Max. Memang itulah sikap Shahrul Hairi, lelaki itu lebih suka memerap di dalam bilik daripada keluar bersosial.
Amboi-amboi... sesuka hati dia aje nak bawa bini aku pergi merambu! Langkah mayat aku dululah kawan! Gerutu Shahrul Hairi. Nasib baiklah dia dah tempah hotel lain. Buatnya duduk satu tempat dengan Max, tak ke makan hati dia nanti.
“Helo... kalau aku dah bawa dia ke Korea, tentulah aku akan bawa dia keluar jalan-jalan nanti.”
“Eh... bukan ke selama ni kau selalu tidur aje?”
“Itu selama ini... sekarang ni aku dah tukar minat dan haluan,” balas Shahrul Hairi sedikit jengkel. Keadaan dalam kokpit ketika ini terlalu sesak dia rasakan. Ringan aje tangannya hendak menyedekahkan sebiji penumbuk buat Max sebagai kenang-kenangan.
“Alah... kau ni! Bagilah can kat aku berkenalan dengan dia. Kau tidurlah puas-puas macam biasa.” Max memujuk rayu.
Aku sekeh juga Si Max ni karang! Tak paham bahasa sungguh!
“Kau tanyalah sendiri dengan dia nanti!” Beritahu Shahrul Hairi bengang.
“Macam tulah kawan!” Ujar Max sambil tersengih. Bahu Shahrul Hairi ditepuk. Gembira sungguh hatinya kerana berpeluang kenal rapat dengan Salmiha Haini.
Huh... kawan konon! Perempuan yang kau nak usha tu bini aku tahu! Tinggal kat rumah salah, bawa keluar jalan-jalan pun salah. Inilah susahnya kalau dapat isteri cantik! Getus Shahrul Hairi.
“Eh... Rie! Awek yang kau syok kat JB tu, apa cerita?”
“Dah... kahwin!” Balas Shahrul Hairi tanpa ragu-ragu.
“La... ya ke? Habis tu... meranalah jiwa dan raga kau sekarang ni?”
Aku tak meranalah... sebab dia kahwin dengan aku! Cuma yang aku takut kalau-kalau kau yang terjun lombong bila dapat tahu Salmiha Haini dan awek tu adalah orang yang sama, bisik hati Shahrul Hairi.
“Jodoh dia dah sampai, nak buat macam mana. Doakan ajelah kebahagiaan mereka dunia akhirat.”
Emmm... betul cakap kau tu!” Sokong Max. “Aku pun tak tahu sama ada Miha dah ada kekasih ataupun belum? Kau duduk serumah dengan dia, tak akan kau tak tahu serba sedikit tentang dia?” 
“Kau tanyalah dia sendiri. Nanti kalau aku cakap, kau tak percaya pulak!”
“Maksud kau?”
“Yalah! Kalau aku cakap dia dah kahwin, tentu kau kata aku tipu, kan? Andai aku beritahu yang dia tak ada pakwe, tentu kau tak percaya. Dan kau akan cakap, alah... tak akanlah perempuan cantik macam dia tu tak ada kekasih. Jadi... ada baiknya kau tanya tuan punya badan sendiri. Barulah puas hati!”
“Aku setuju dengan pendapat kau. Nanti aku nak tanya dia. Kalau dia kepunyaan orang, tak akan aku nak ganggu-gugat juga, kan? Ada nanti lebam biji mata! Buatnya lelaki tu jaguh silat, mahu patah riuk badan aku dikerjakannya nanti!”
“Baguslah kalau kau dapat terima segala kemungkinan tentang dia.” Hati Shahrul Hairi lega mendengar pengakuan Max. Sekurang-kurangnya bila tahu Salmiha Haini milik orang, Max akan menjauhkan diri.
“Tapi aku mengharapkan yang dia masih single.” Betapa tingginya harapan Max.
Shahrul Hairi pura-pura tidak mendengar. Dia memerhati radar yang terdapat di hadapannya.
“Eh... Rie, kau ada nampak Darlina? Dia cuti ke? Biasanya dia kalau tak menempel kat kau, tak sah!” Max bertanya apabila bayang Darlina tidak muncul di hadapan mata mereka.
“Cutilah kut! Tadi masa kat Mid Valley, aku terserempak minah tu dengan pakwe baru dia,” ulas Shahrul Hairi.
“Asyik bertukar pasangan aje perempuan tu?” Komen Max.
Aik... kau kutuk dia? Kau tu pun sama aje macam dia. Pantang nampak dahi licin sikit. Semua kau nak sapu!” Tempelak Shahrul Hairi.
“Tapi aku tak porak-perandakan rumah tangga orang!” Max mempertahankan dirinya.
“Kau memang tak pernah memporak-perandakan rumah tangga orang. Tapi kau pernah menghuru-harakan hubungan sepasang kekasih! Dan jangan cakap kat aku yang kau tak pernah jadi punca pasangan kekasih rengang dan putus ikatan cinta!” Tekan Shahrul Hairi.
Max sekadar tersengih mendengar sindiran Shahrul Hairi. Tapi dia rasakan itu bukan salah dirinya. Perempuan tu jenis yang tak setia dan menghargai pasangannya.
“Aku ingatlahkan... kalau aku dapat pikat Miha, aku nak ubah sikap aku. Mungkin Miha adalah jodoh yang ALLAH kirimkan untuk aku.”
Shahrul Hairi sudah tidak terkata apa lagi mendengarnya. Daripada hatinya bertambah sakit, lebih baik dia mendiamkan diri sahaja. Harapannya cuma satu, semoga hati Salmiha Haini tidak mudah dicuri oleh Max. Hidupnya pasti merana andai Salmiha Haini berlalu pergi. Mudah-mudahan hati honey hanya milik abang seorang!