Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 28 February 2014

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 9

Bab  9 



FAIRLADY Z dipandu laju menuju ke Kuala Lumpur. Dia perlukan rehat yang secukupnya. Esok malam, dia akan terbang ke Korea. Itulah rutin hidupnya. Jika tidak fly atau sedang bercuti, dia akan ke Johor Bahru membantu ayahnya mengembangkan perniagaan milik keluarganya. Tiada siapa lagi yang hendak diharapkan selain dia. Mujurlah ayahnya sporting dan tidak terlalu mengongkong. Dia diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja, asalkan tidak melingkupkan bisnes ayahnya. Sekiranya dia tidak ada di pejabat, tugasnya akan diambil alih oleh pengurusnya. Mereka sering berhubung melalui internet mahupun telefon jika ada perkara yang perlu dirujuk dengannya terlebih dahulu.
Telefon bimbitnya dicapai.
“Helo... Max! Kau kat mana?”
What’s up bro?”
“Aku tanya kau, kau tanya aku balik.” Marah Shahrul Hairi.
“Yalah... aku tanya kenapa?” Max sudah ketawa di hujung talian. “Kau kat mana sekarang?”
“Aku on the way balik KL. Nanti kita jumpa kat tempat biasa. Lagi setengah jam aku sampai.”
“Okey... aku tunggu kau. Nak order macam biasa atau tunggu kau sampai dulu?”
“Kau orderlah macam biasa. Nak tunggu aku sampai, lambat pulak pesanan tiba.”
“Okey!” Ujar Max sebelum memutuskan talian.
Stesen radio IKIM FM menjadi pilihan Shahrul Hairi. Lagu Kasih Kekasih nyanyian kumpulan In-team membuatkan dia tersenyum Lebar. Lantas bayangan seseorang bermain-main di fikirannya. Janganlah angau sebelum waktunya, gadis tu langsung tak pandang kau, Shahrul Hairi mengingatkan dirinya. Dia tidak tahu mengapa gadis itu terus-terusan menyapa ingatannya.
Saloma Bistro sudah menanti ketibaannya. Dari jauh lagi Shahrul Hairi dapat melihat seorang gadis cantik menempel di sebelah rakannya Max. Pabila Max ternampak dirinya, gadis itu terus berlalu pergi. Dia yakin pasti Max menyuruh gadis itu beredar.
“Dah lama sampai?” Sapa Shahrul Hairi bersama senyuman.
“Lama tak lama jugalah. Adalah dalam sepuluh minit.”
“Siapa tadi?”
“Alah... pengunjung restoran ni,” ujar Max bagaikan tidak berminat hendak bercerita.
“Kau ni bila nak berubah? Sampai bila kau nak usung anak dara orang?” Tegur Shahrul Hairil. Bimbang dia sekiranya Max terjerat suatu hari nanti.
“Tunggulah sampai puteri kayangan muncul,” ujar Max sambil gelak.
“Tingginya anganan! Kau tak risau ke dengan perangai kau yang ala-ala mat romeo ni? Buatnya ada yang ambil kesempatan macam mana? Tak fasal-fasal kau kena jadi pak sanggup,” nasihat Shahrul Hairi.
“Alah... setakat gelaran mat romeo yang aku sandang ni, apa ada hal sangat! Lagipun aku belum pernah buncitkan perut anak dara orang lagi tau! Aku masih tahu had dan batasan aku.” Max mempertahankan dirinya.
Shahrul Hairi hanya mampu menggeleng kepala mendengar alasan Max.
“Apa hal nak jumpa aku?” Max cuba mengalih topik perbualan mereka. “Ada cerita  menarik yang kau nak kongsikan dengan aku ke? Atau kau dah berkenan dengan calon yang parentss kau pilihkan tu? Tak pun kau dah terpaut dengan sepupu kau? Macam mana? Ada can tak aku makan nasi minyak tak lama lagi?” Tanya Max bertubi-tubi.
“Banyaknya soalan. Aku nak jawab yang mana dulu pun tak tahu.”
“Kau jawablah ikut turutan yang aku tanya tadi. Cepatlah cakap! Aku dah tak sabar nak tahu ni. Aku tengok muka kau dah macam menang TOTO. Berseri-seri semacam!”
“Hesy... mana ada menang TOTO! Haram tahu tak!” Tempelak Shahrul Hairi. “Keserian di muka aku ni, tidak ada kena mengena dengan calon pilihan keluarga aku mahupun sepupu aku. Mereka berdua tu, aku tak minat nak ambik tahu,” terang Shahrul Hairi bersungguh-sungguh. “Untuk pengetahuan kau, apa yang aku rasa di sini lebih berharga dan bernilai dari wang berjuta-juta.” Shahrul Hairi menunjukkan dadanya sambil tersenyum bahagia. Bayangan si dia yang sedang tersenyum manis ketika interview tempoh hari terlayar di mindanya. Ah... sungguh panasaran jadinya bila teringatkan wajah itu!
“Wah... ini lebih menarik dari apa yang aku nak tahu tadi! Ceritalah cepat.” Max benar-benar teruja hendak mengetahuinya.
“Kalau aku kata aku rasa macam nak mati, kau percaya tak Max?” Soal Shahrul Hairi sambil terbayangkan wajah ayu jelita itu. Aduh! Sakitnya rasa menanggung rindu. Terasa hendak mati pun ada. Berkali-kali dinasihatkan hati dan dirinya supaya tidak terlalu memikirkan si cantik manis itu, tetapi hati dan perasaannya enggan berkompromi. Tetap juga berdegil! Bahkan sampai terbawa-bawa dalam mimpi akan wajah dan senyuman manis itu.
Terkejut bukan kepalang Max mendengarnya. Terasa seram pun ada. Tak akan rasa nak mati, muka berseri-seri dan bercahaya. Ke... itu tanda-tandanya Si Rie ni orang yang beriman?
“Aku rasa macam dah tak sanggup nak hidup lagi jika terusan begini.” Shahrul Hairi menambah.
Makin seriau Max dibuatnya.
“Kau ni dah gila atau buang tebiat nak mampus?” Max bertanya geram. Tiba-tiba aje kawannya ungkit perihal mati dan tak sanggup nak hidup lagi. Bimbang juga dia.
Woi... aku tak gila dan belum nak mati lagilah.” Shahrul Hairi menolak bahu rakannya. “Tapi aku dah jatuh cinta tahap kronik kau tahu tak!”
Ketawa terbahak-bahak Max mendengar kata-kata Shahrul Hairi.
Well... well... well... siapakah gadis yang akan jadi malang tu?” Giat Max.
“Apa pulak malangnya? Beruntung apa! Kau ingat mudah ke aku nak jatuh cinta? Dan terima mana-mana perempuan dalam hidup aku?” Bentak Shahrul Hairi tidak puas hati. Dia sebenarnya yang bimbang. Dia bimbang jika gadis itu menolak cinta sucinya. Atau mungkin sudah ada yang punya. Sekiranya itu berlaku, tidak mustahil dia akan menjadi lebai malang dan gila. Nauzubillah!
“Bila nak melangsungnya?”
“Melangsung? Melangsung apanya?” Tanya Shahrul Hairi keliru.
“Kahwinlah pak cik!”
“Oh... kahwin!” Seru Shahrul Hairi. “Macam mana nak kahwin, pengantin perempuan pun belum ada lagi,” ujar Shahrul Hairi selamba.
“La... tadi kau kata dah jatuh cinta. Tentulah dah ada calonnya.”
“Calonnya memang ada. Tapi aku tak tahu sama ada dia suka dekat aku atau tidak?”
Pulak...” Max ketawa berdekah-dekah. Pengunjung di restoran itu memandang pelik ke arahnya.
Oiii... sengal! Yang kau ketawa macam orang gila ni kenapa? Tengok! Semua orang dah pandang kita. Kau ni, buat malu betullah,” rungut Shahrul Hairi sambil menahan rasa hangat di wajah.
“Aku ingatkan kau beria-ia kata dah jatuh cinta, memang kau dah ada calonnya. Dan you all memang berjanji nak sehidup semati. Rupanya kau sorang sahaja yang gila bayang dan syok sendiri.”
Shahrul Hairi menarik muka bengang.
Tawa Max masih lagi belum berhenti. Sampai berair kolam matanya. Terasa lucu pun ada dengan kata-kata Shahrul Hairi. Dilamun cinta tetapi kekasihnya masih belum ada. Tak ke pelik namanya tu?
Siot punya kawan! Suka-suka hati kau aje mentertawakan aku!” Marah Shahrul  Hairi.
So siapa perempuan tu? Darlina?” Max mengusik sambil tersengih.
Shahrul Hairi menceber. Takde nama perempuan lain ke yang cuba dikaitkan dengannya.
“Hesy... kau ni, tak habis-habis dengan stewardess murahan tu! Dengan dia buat apa?! Kalau dengan dia lebih baik aku membujang sampai ke tua!”
Shahrul Hairi teringatkan kelakuan tidak senonoh Darlina ketika mereka berada di Korea. Perempuan tidak tahu malu itu menyelinap masuk ke dalam biliknya ketika dia sedang tidur. Rakannnya Max seperti biasa sudah keluar mencari hiburan.
Sedang enak dibuai mimpi, tiba-tiba terasa ada tangan menjalar di dalam selimutnya. Tidurnya yang baru beberapa minit itu terganggu. Bau wangian milik seseorang membuatkan tubuhnya kejang secara tiba-tiba. Dia kenal siapa pemiliknya. Mukanya bertambah pucat bila wajah Darlina begitu hampir dengan wajahnya. Dan perempuan kurang siuman itu cuba mengucup bibirnya.
Pabila dia mampu bertenang dan berfikiran waras, terus badan Darlina ditolaknya. Dengan pantas dia meraba tubuhnya untuk memastikan sama ada masih tersarung lagi pakaian ataupun tidak. Mana tahu perempuan gila tu buat sesuatu yang tidak senonoh. Tak fasal-fasal hilang keterunaannya. Sejak itu dia lebih berhati-hati dengan perempuan bernama Darlina. Dia benar-benar serik!
“Habis tu siapa? Masakan kau tak kenal dia langsung?”
“Kenal rapat tu taklah. Tapi kami pernah terserempak dua kali. Namanya aku rahsiakan dulu. Nanti kalau tak jadi, malu besar aku.”
“Orang mana? KL?”
“JB...,” ujar Shahrul Hairi sepatah bersama senyuman penuh makna. Salmiha Haini pujaannya bukan asal Johor tetapi Perak. Alamat tetap Bangi, Selangor. Sekarang tinggal di Pasir Gudang kerana mencari rezeki. Semua tentang Salmiha Haini ada dalam poketnya.
“Cantik tak?” Duga Max.
Superbbb!!!”
“Wah... kalau kau dah puji melambung macam ni, memang benar-benar cantiklah perempuan tu.” Max makin tidak sabar hendak tahu siapakah gerangan gadis itu. Sekiranya Shahrul Hairi sudah beri pujian tinggi melangit sebegitu, pasti gadis itu bukan calang-calang orangnya.
“Semua yang ada pada dia buatkan aku tertarik. Tak pernah lagi aku jumpa perempuan yang tidak teruja bila melihat muka aku yang kacak ni,” seloroh Shahrul Hairi. “Tapi dia... langsung tak ambil peduli siapa aku dan penampilan aku.”
“Benar?” Tanya Max bagaikan tidak percaya. Memang tidak akan ada perempuan yang tidak menoleh Shahrul Hairi jika lelaki itu keluar bersamanya. Malahan ada yang sanggup menawarkan diri untuk menjadi kekasih lelaki itu tanpa segan silu.
“Betullah. Tak akan aku nak bohong pulak.”
“Bila aku boleh kenal dengan gadis yang berjaya menakluki hati kau yang pejal mengalahkan batu tu?”
“Kau ni Max! Tak menyabar langsung,” rungut Shahrul Hairi. Dia juga turut sama seperti Max. Tidak sabar hendak menemui gadis itu. Dia akan segera menemui gadis yang berjaya menawan hati lelakinya sebaik sahaja kakinya menjejaki bumi Malaysia. “Sampai masanya kau akan aku kenalkan dengan dia.”
“Macam tak lama lagi aje bunyinya. Jangan-jangan sebelum hujung tahun ni aku dah boleh merasa makan nasi minyak kau,” usik Max.
“Insya-ALLAH! Kau doa-doakanlah semoga jodoh aku dengan dia cepat sampai.” Terbayang-bayang wajah Salmiha Haini di ruang matanya. Salmiha Haini... namamu seindah wajahmu. Senyumanmu bak bunga mekar di pagi hari. Lirikan matamu bak busar menusuk tepat hingga ke jantungku. Suaramu bagaikan syair indah membelai jiwa. Semua milikmu begitu indah dan sempurna.


TEASER 2 SAYANG AWAK CINTA AWAK

TEASER 2 



SOFEA tergamam apabila mendapati mata Salmiha Haini merah dan bengkak. Mesti menangis lagi sahabatnya itu. Apalah masalahnya kali ini? Atau masih lagi perihal yang sama? Rakannya yang sedang menghidangkan sarapan itu ditenung. Fikiran kacau pun masih lagi mampu buat sarapan? Kalau dia... memang duduk berkurung dalam bilik je. Malas nak keluar-keluar!
 “Miha kenapa ni? Orang tua tu ganggu kau lagi?” Salmiha Haini angguk kepala. Dia tersenyum walaupun tidak semanis mana. Sofea mengeluh.
“Tak faham bahasa lagi ke orang tua tu? Bukan ke kau dah tegaskan pendirian kau?” Sememangnya Sofea tidak faham dengan kehendak bapa saudara Salmiha Haini. Lelaki itu bergelar bapa saudara pun sebab berkahwin dengan Mak Lang Salmiha Haini. Jika tidak, memang takde pertalian langsung! Agaknya dia fikir Salmiha Haini pernah menumpang di rumahnya maka Salmiha Haini wajib dan harus ikut segala perintahnya. Salmiha Haini menghela nafasnya. Wajah teman baiknya ditatap.
“Aku nak buat macam mana Fea? Dia kata... aku terima atau tidak, aku tetap akan dikahwinkan dengan anak kawannya itu. Aku dah buntu sekarang.” Hati Salmiha Haini sedikit tenang dapat berkongsi masalahnya dengan Sofea.
“Ala... kau lapor aje pada polis, habis cerita!” Sofea memberi cadangan. Salmiha Haini memandang tepat wajah Sofea.
 “Ada ke... orang buat macam tu? Nanti kalau polis tanya aku apa sebabnya, aku nak jawab apa?” Soalan ala-ala bodoh cerdik sudah keluar dari mulut Salmiha Haini.
“Kau reka-rekalah cerita. Kau kata kat polis tu, bapa saudara kau yang tak guna tu ugut akan bunuh kau kalau kau tak setuju kahwin dengan pilihan dia.” Bulat mata Salmiha Haini mendengar cadangan teman baiknya.
“Boleh ke? Buatnya polis tahu aku menipu, tak pasal-pasal aku pulak yang masuk lokap!”
“Cerdik juga kau ni ya?! Memang pun kalau polis tahu kau buat aduan palsu, mereka akan humban kau masuk ‘dalam’,” ujar Sofea bersahaja sambil ketawa terkekeh-kekeh. Seolah-olah cadangannya yang tidak masuk akal tadi, tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan kepada Salmiha Haini. Buatnya Salmiha Haini bersetuju menurut cadangannya, tak ke kes niaya? Salmiha Haini mencebik geram. Macam la... lucu sangat!
“Aku memang cerdik pun! Kau tak tahu ke? Nasib baiklah aku tak jadi pak turut. Kalau tak... memang gali lubang kubur namanya!” Sofea menarik sengih melihat wajah cemberut Salmiha Haini.
 “Haa... apa kata kau lari. Tentu dia tak dapat cari kau lagi.” Berkerut-kerut dahi Salmiha Haini.
“Nak lari? Ke mana? Duit pun aku takde, kerja jauh sekali. Ada karang aku merempat tepi jalan. Lagipun Malaysia ni bukanlah luas sangat, pasti aku akan bertemu dengan orang tua tu juga. Cuma cepat atau lambat saja. Orang tua itu kan ramai kenalan. Mudah aje dia nak kesan aku.” Sofea angguk kepala. Benar juga apa yang Salmiha Haini katakan. Macam mana nak lari kalau poket kempis. Sengaja tempah bala namanya. Dan lelaki tua itu pasti ramai ‘kaki’.
 “Kenapa kau tak cakap yang kau dah ada pakwe?”

“Masalahnya aku mana ada pakwe,” tukas Salmiha Haini. Geram pula dia dengan Sofea. Macamlah Sofea tidak tahu siapa dirinya. Dia manalah minat ada pakwe-pakwe ni. 

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 8

Bab  8


SALMIHA HAINI bangun awal pagi ini. Dia ingin mencuba resipi terbarunya. Begitulah keadaan dirinya jika tidak ke mana-mana atau membantu Sofea di Nur Kasih. Lagipun dia memang suka mencuba resipi yang baharu dan terkini. Sedap tak sedap itu belakang kira. Asalkan hajatnya hendak mencuba resipi tersebut tertunai. Selalunya apa yang dimasaknya masih boleh ditelan walaupun tidak sesedap masakan chef terkenal. Boleh masuk rancangan MasterChef Malaysia musim 3 ni.
“Hoi… cik kak! Kau buat apa tu?” Tegur Sofea sambil membuka peti sejuk. Kotak Sunkist dikeluarkan. Jus epal dituang ke dalam gelas dan diteguk perlahan-lahan. Hidungnya juga bergerak-gerak mencium bau masakan Salmiha Haini.
 “Tengah main pondok-pondok,” balas Salmiha Haini selamba. Tergelak kecil dia melihat roman tidak puas hati Sofea.
“Kau ni… seriuslah sikit! Suka sangat kenakan aku.” Sofea merungut. Nada rajuk mula kedengaran.
“Nak cuba buat nasi dagang. Tekak aku ni tiba-tiba aje terasa hendak makan,” ujar Salmiha Haini sambil mengacau perlahan gulai ikan tongkol yang sedang mereneh. “Dulu masa belajar, kau ingat tak kita selalu makan nasi dagang ni?” Sambung Salmiha Haini seraya menoleh sekilas.
Sofea pantas mengangguk kepalanya.
“Mana boleh lupa. Makanan kegemaran aku tu,” ujar Sofea teruja. Bagaikan tidak sabar dia hendak merasa air tangan Salmiha Haini yang pertama kali itu. Harap-haraplah boleh tahan rasanya walaupun tidak sesedap tukang masak dari Terengganu atau Kelantan. “Dari mana kau belajar?”
“Aku google aje cari resipinya.”
Oiit... boleh dipercayai ke resipi-resipi dalam internet tu? Manalah tahu ada bahan-bahan yang tidak cukup dan lengkap. Biasanya resipi yang mereka bagi bukannya boleh pakai sangat. Ada sahaja yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan,” kompelin Sofea.
“Kita tawakal ajelah. Tapi kalau kau nak resipi yang betul-betul pure dari Pantai Timur, tunggu aku kahwin dengan orang sana,” seloroh Salmiha Haini.
“Okey juga tu! Kau pun bukannya ada pakwe lagi. Apa kata kau iklan dalam surat khabar atau kat FB, kata kau nak cari calon suami dari sana. Manalah tahu ada yang tersangkut. Kau pun tak kurang cantiknya. Mesti ramai yang berkenan nak buat calon isteri.” Sofea membalas kembali usikan temannya.
“Tak ada maknanya!” Salmiha Haini menjeling kawan rapatnya itu.
“Lambat lagi ke?” Sofea bertanya tidak sabar. Tekaknya sudah teringin benar hendak menikmati nasi dagang tersebut.
“Tunggu kuah ni aje. Nasinya aku dah siap kukus.”
“Wah… dah hampir siap! Pukul berapa kau bangun?”
“Aku bangun pukul tiga pagi, kenapa?”
“Awalnya bangun! Kenapa tak kejut aku? Boleh aku tolong.”
“Tak apalah. Bukan susah sangat kerjanya. Lagipun aku kasihan kat kau. Aku ni tak kerja, tapi kau… seharian dekat nurseri jaga budak-budak. Tentu kau dah lepak.”
“Untungnya aku kerana punya teman baik seperti kau,” ujar Sofea.
Salmiha Haini membalas dengan senyuman. Setelah gulainya siap dimasak, api dapur ditutup dan dia memulakan kerja-kerja menghidang. Sebentar lagi temannya itu hendak ke tempat kerja.
“Eh… kau dah mandi ke belum?” Tegur Salmiha Haini sambil melihat jam. Temannya itu masih lagi duduk santai di meja makan dengan baju tidur masih tersarung di tubuh.
Sofea menarik sengih. Dia bangun dan menghampiri Salmiha Haini.
 “Cuba kau tengok jam tu dah pukul berapa?” Salmiha Haini memuncungkan mulutnya ke arah jam yang elok tergantung di dinding dapur. Di rumah Sofea ini boleh dikatakan setiap ceruk pasti akan tergantung jam dinding. Tetapi dia tidak pastilah sama ada temannya itu mematuhi masa ataupun tidak.
“Relakslah,” balas Sofea sambil memeluk mesra bahu Salmiha Haini.
“Amboi… mentang-mentanglah awak tu bos! Sesuka hati dia aje nak masuk kerja lambat!” Tempelak Salmiha Haini.
“Aku bukannya suka-suka nak masuk lambat. Tapi kalau aku pergi, budak yang hendak dijaga tak ada, buat apa?” Sofea mengusik temannya itu.
Salmiha Haini memandang wajah teman baiknya itu. Dahinya sedikit berkerut. Dia tidak faham apa yang cuba temannya itu sampaikan.
Sofea ketawa kelucuan. Kasihan pula dia melihat tampang muka Salmiha Haini yang terpinga-pinga itu.
“Hari ini, Johor cutilah.” Bahu temannya ditolak sedikit.
“Apa fasal kau tak cakap semalam? Tak perlulah aku tergesa-gesa bangun awal pagi nak sediakan sarapan untuk kau. Ini dah macam orang nak buka kedai makan aje lagaknya bangun sebelum Subuh,” rungut Salmiha Haini. Bahu temannya ditepuk geram.
“Habis tu kau tak tanya!” Sofea membalas balik.
Salmiha Haini menjeling geram. Ringan saja dia hendak membelasah sahabat baiknya itu. Namun disabarkan hatinya. Sudahlah orang bagi menumpang, tak akan hendak tunjuk besar kepala pula. Buatnya Sofea halau dia keluar, entah ke mana dia hendak tinggal menyewa.
“Eh, Miha! Kejap lagi kita keluar nak? Cuci-cuci mata.”
Emmm... bagus juga idea kau tu. Tapi kita nak ke mana?”
“Mana-mana ajelah, asalkan boleh lepaskan tension.”
“Aku ikut aje asalkan kau yang drive. Aku manalah mahir sangat jalan-jalan kat sini.”
“Itu bisa diatur deh! Nona manis hanya perlu duduk diam-diam di sebelah. Cik supir akan bawa ke mana sahaja nona manis mahu pergi.” Sofea tersengih sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya.
Salmiha Haini tergelak dengan tingkah Sofea. Temannya itu memang tidak kering idea hendak buat dia tergelak dan ketawa.
  

DUA BERSAHABAT itu memandang sesama sendiri apabila SLK55 AMG berhenti di hadapan pintu pagar rumah mereka. Sebaik sahaja si empunya kereta tersebut keluar, mulut Sofea mahupun Salmiha Haini terlopong. Amboi... nak tayang kereta baharu ke?!
            “Kereta baru nampak?” Sofea menegur sambil merapati Imran Ajmal. Tertarik dia dengan reka bentuk dan warna kereta tersebut. Nampak mewah dan sangat menarik di matanya. Apatah lagi dia memang fanatik dengan warna silver.
            Salmiha Haini sekadar memerhati. Langsung tidak teruja dengan kemewahan dan kekayaan yang dimiliki oleh Imran Ajmal. Lelaki itu menukar kereta laksana menukar baju. Ah... bukan kereta aje yang kerap bertukar, teman wanitanya pun apa kurangnya?!
Astaghfirullahaladzim... apa yang aku merapu ni? Ini kes cemburu ke apa ni? Cemburu?! Cemburu tentang apa? Makwe atau kekayaan yang dia miliki? Hesy... dua-dua perkara tu langsung tak ada dalam hati dan minda aku, getus Salmiha Haini. Dia membalas senyuman Imran Ajmal yang sedari tadi tersenyum bak gula tumpah sekapal. Manis sangat-sangat!
            “Ini bersiap cantik-cantik nak ke mana ni?” Imran Ajmal menyoal sebaik sahaja senyumannya berbalas. Terlupa dia tentang perkara yang dibangkitkan oleh Sofea.
            “Nak keluar,” balas Sofea. “Bila beli kereta ni?” Jemarinya menyentuh permukaan bumbung kereta.
            “Minggu lepas.” Imran Ajmal bersuara. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari merenung Salmiha Haini. Dia sendiri tidak mengerti akan hatinya. Entah mengapa sepanjang pagi tadi hatinya resah gelisah dan meronta-ronta agar dia berlari mendapatkan Salmiha Haini. Sedangkan baru kelmarin mereka bertemu mata. Nak kata dia jatuh cinta?! Tidak! Dia yakin akan hal itu. Tapi... entahlah! Sukar untuk dimengertikan...
Sofea angguk mengerti. Dia meneroka ke segenap pelosok kereta tersebut. Entah kenapa dia berminat benar dengan kereta yang satu ini berbanding koleksi kereta Imran Ajmal yang lain.
“Nak pergi mana ni?” Imran Ajmal bertanya kembali.
“Fea ajak pergi Tesco Seri Alam.” Salmiha Haini bersuara apabila Sofea dilihatnya seperti orang jakun membelek satu persatu kompenan yang terdapat pada kereta Imran Ajmal. Pelik sungguh! Porsche Imran Ajmal takde pulak Si Sofea belek beria-ia macam ni. Atau mungkin begini juga cara Sofea, cuma dia yang tidak tahu.
            “Marilah Im hantar.”
            “Hah?!” Terkejut Salmiha Haini beberapa saat. “Mana muat.” Itu adalah kenyataannya. Kereta Imran Ajmal hanya mampu memuatkan dua orang penumpang. Biasalah... lelaki bujang! Mana mahu kereta yang besar gedabak. Kalau boleh nak satu tempat duduk sahaja. Dan si kekasih duduk bertenggek di atas riba sepanjang perjalanan. Astaghfirullahaladzim... Salmiha Haini! Tak boleh ke kau bersangka baik?!
            “Muat! Fea, kita tinggallah.” Imran Ajmal pandang Sofea seketika. Sepupunya itu masih ralit meneliti keretanya. “Nak buat apa ke sana? Beli barang dapur?”
            “Eh, taklah! Nak cuci-cuci mata je.”
            “Cuci mata?! Apa yang bestnya kat Tesco tu? Jomlah, Im bawa ronda JB. Tak pun kita pergi Singapore.” Imran Ajmal memujuk. Laku dia ‘jual minyak’ hari ni, bolehlah berkepit dengan Salmiha Haini. Memang tujuan utama kedatangannya ke Pasir Gudang hendak mengajak Salmiha Haini keluar.
            Gila nak pergi Singapura! Dengan dia aje pulak tu. Kalau ada Sofea takpelah jugak. Lagipun baharu lagi mereka keluar bersama. Nak keluar lagi? Hilang akal agaknya Imran Ajmal ni?
            “Eh, takpelah! Lagipun dah janji dengan Fea nak cuci mata sama-sama hari ni.” Salmiha Haini menolak dengan baik. Bimbang dia tiba-tiba kena ganyang dengan kekasih-kekasih Imran Ajmal. Tak fasal-fasal lebam-lebam tubuh badannya.
            “Fea... Im nak ajak Miha keluar dengan Im hari ni boleh tak?” Gagal memujuk yang empunya diri, ada baiknya dia bertanyakan sepupunya pula. Manalah tahu Sofea mampu menjadi orang tengah. Dia sama sekali tidak akan lelah untuk mencuba dan memujuk.
Sofea berpaling apabila namanya diseru.
“Keluar? Ke mana? Habis tu Fea?” Sofea luah rasa tidak puas hatinya. Dia yakin yang dirinya bakal ditinggalkan.
“Fea duduk rumah la. Fea kan dah biasa dengan Bandaraya Johor Bahru,” luah Imran Ajmal kurang senang.
Mencuka Sofea mendengar kata-kata Imran Ajmal. Mana mungkin dia nak tinggal. Masa cuti inilah dia nak bersuka ria dan bergembira. Biasa tak biasa, itu belakang cerita. Tambahan pula... bila lagi dia nak melaram naik kereta baharu Imran Ajmal?!
“Mana boleh!”
Sofea...., gerutu Imran Ajmal dalam hatinya. Geram betul dia bila Sofea berkelakuan seperti anak kecil. Mereka kan dah kerap bersama. Bagi canlah kat dia pulak untuk kenal rapat dengan Salmiha Haini.
Salmiha Haini geleng kepala melihat gelagat dua orang bersepupu itu. Muka Imran Ajmal yang menahan geram dipandang penuh minat. Dalam keadaan marah pun masih kekal tampan di matanya. Erk?!
Imran Ajmal menghampiri Sofea.
“Bagilah Im keluar dengan Miha. Fea keluarlah dengan Muaz,” bisik Imran Ajmal memujuk. Dia tidak mahu perbualan antara dia dan Sofea didengari Salmiha Haini.
Sofea geleng kepala tanda enggan berkompromi.
Imran Ajmal garu kepala. Kalah dengan sikap keras kepala Sofea. Kasihanlah Si Muaz jika Sofea tetap berdegil macam ni bila mereka dah kahwin kelak.
“Im bagi pinjam kereta ni seminggu kalau Fea setuju benarkan Im keluar berdua dengan Miha.” Imran Ajmal membuat tawaran sambil menepuk bumbung keretanya. Dia tahu yang Sofea tertarik dengan keretanya ini.
“Seminggu je? Sebulan atau setahun naklah jugak.” Sofea main tarik tali. Dia sebenarnya sudah teruja dengan tawaran Imran Ajmal. Bolehlah dia melaram dengan kereta sepupunya itu. Sepatutnya Imran Ajmal bagi aje kereta ni kat dia. Lelaki itu kan masih ada lagi beberapa buah kereta mewah yang lain.
Pelik Salmiha Haini melihat keadaan Sofea dan Imran Ajmal. Berbisik-bisik kemudian memandang ke arahnya. Bagaikan ada yang tak kena.
Aduh, banyak pulak cekadak Si Sofea ni!
“Ok, bolehlah.” Akhirnya Imran Ajmal bersetuju.
“Setahun ya...” Sofea bersuara manja. Ingin memujuk la katakan.
“Seminggu je...” Mahu jahanam keretanya nanti. Sofea ni mana reti jaga kereta. Ada karang dia main langgar je.
“Setahun! Kalau tak...” Sofea menggertak.
“Yalah... Yalah...” Imran Ajmal terpaksa bersetuju. Punyalah susah nak bawa Salmiha Haini keluar. Banyak sangat halangannya. “Tapi jaga elok-elok,” pesan Imran Ajmal. “Hari ni Im nak guna dulu. Esok baru Fea pakai kereta ni.”
Sofea angguk kepala tanda faham. Bukan main lagi Imran Ajmal ni, kerana Salmiha Haini sanggup serahkan kereta baharunya. Dia sebenarnya sekadar hendak menguji kesungguhan Imran Ajmal. Ternyata lelaki itu benar-benar tekad dengan kemahuannya. Mungkin ada hikmahnya jika Salmiha Haini dan Imran Ajmal berkawan rapat. Manalah tahu Salmiha Haini boleh mengubah sikap sepupunya dan membawa Imran Ajmal kembali ke pangkal jalan. Dan dia bukanlah materialistik hingga sanggup menggadai maruah sahabat baik semata-mata kepentingan diri sendiri.
            Sofea menghampiri Salmiha Haini.
            “Sorrylah Miha. Hari ni kita tak jadi keluar. Kau keluar dengan Imran ya. Lagipun aku baru teringat yang aku nak jumpa ibu aku hari ni. Ada perkara yang kami nak bincangkan.”
            “Tapi...” Salmiha Haini ingin menolak.
            “Miha keluar dengan Im ya. Boleh bantu Im cari pakaian pejabat yang sesuai.” Imran Ajmal tidak berputus asa memujuk. Jika tidak, sia-sia sahaja kedatangannya.
Hesy... Sofea dan Imran Ajmal ni, mengada-adalah! Getus Salmiha Haini geram. Entah apalah yang disogokkan oleh Imran Ajmal hingga sanggup rakannya itu menukar rancangan mereka.


IMRAN AJMAL memandang sekilas Salmiha Haini di sisinya. Puas memujuk dan merayu, barulah Salmiha Haini sudi keluar dengannya. Itu pun mujur juga Sofea menerima panggilan dari Muaz. Lelaki itu mahu mengajak Sofea menemaninya melawat rakan kerja yang sakit. Jika tidak, sampai sudah Salmiha Haini enggan. Dia amat berterima kasih dengan Muaz.
“Kenapa diam aje ni?”
            “Hah?!...” Wajah Imran Ajmal, Salmiha Haini pandang beberapa saat sebelum memandang kembali ke harapan.
            “Kenapa diam aje sejak tadi? Tak sudi keluar dengan Im? Atau Im terlalu memaksa?” Imran Ajmal melirik seketika sebelum menumpukan kembali pemanduannya.
“Tiada isu yang hendak dibualkan.” Salmiha Haini berdalih. Dia tidak mahu Imran Ajmal terasa hati dengan sikapnya yang dingin walaupun sememangnya dia tidak sanggup hendak menemani lelaki itu keluar. “Errr... Im nak pergi mana sebenarnya ni?” Terasa lama benar dia berada di dalam kereta.
“JPO.”
“JPO?”
“Johor Premium Outlet.”
“Oh...”
“Miha ada nak pergi mana-mana?”
“Maksud Im?”
“Yalah... selepas temankan Im pilih baju, Miha ada teringin nak pergi ke tempat lain tak?” Imran Ajmal sebenarnya tidak pernah membeli barang keperluannya di situ. Dia sekadar mahu berlama dengan Salmiha Haini. Tapi tak akanlah dia hendak tawaf JPO sampai empat lima jam. Mahu lenguh kaki berjalan tanpa arah tujuan.
“Rasanya tak ada kut.” Salmiha Haini jika boleh mahu segera pulang selepas barang yang Imran Ajmal inginkan ditemui.
“Apa kata lepas kita beli baju, kita pergi makan dan tengok wayang? Atau Miha nak pergi Legoland?”
Salmiha Haini semakin gusar dengan idea-idea Imran Ajmal. Jika ada Sofea lainlah. Ini mereka berdua sahaja.
“Kalau kita terus balik, tak boleh ke?” Salmiha Haini sekadar mencuba nasib walaupun dia tahu Imran Ajmal tak mungkin menuruti kemahuannya.
“Awalnya nak balik? Fea bukannya ada kat rumah pun kalau Miha balik awal.”
Aduh, ada aje alasannya!
Emmm... bolehlah kalau setakat pergi makan. Tengok wayang dan Legoland tu, lain kali ajelah kita pergi. Kita pergi dengan Sofea dan Muaz, baru seronok.” Salmiha Haini memang mahu mengelak keluar berdua-duaan dengan Imran Ajmal.
            Imran Ajmal tersenyum senang. Dia pun bukannya hendak sangat tengok wayang. Bukan boleh pandang wajah Salmiha Haini dalam panggung. Suram! Pergi Legoland lagilah tak masuk akal. Tempat itu hanya sesuai untuk yang dah berkeluarga.
            “Baiklah! Lepas beli baju, kita pergi makan. Miha suka makanan laut, kan?” Info tentang Salmiha Haini banyak dia tahu dari ibunya. Dari mana ibunya tahu, dia kurang pasti. Kemungkinan besar dari Sofea. Atau mungkin, ibunya risik sendiri. Maklumlah ibunya kan dah terlalu berkenan dengan kawan baik Sofea ini. Cuma dia yang sering mengelak bila diajak berbicara tentang gadis di sebelahnya ini.
            Salmiha Haini angguk kepala. Memang dia gemar dengan makanan laut. Terutama sekali udang dan ketam.
“Im nak bawa Miha ke satu tempat yang special. Tapi jauhlah sikit dari sini.”
Jauh?! Jantung Salmiha Haini sudah dup dap... dup dap... Matilah dia kalau Imran Ajmal hantar balik lewat! Mahu jadi buah mulut jiran tetangga nanti.
“Kat mana tempatnya?” Pantas sahaja Salmiha Haini bertanya.
            “Amboi, cuaknya muka!” Tergelak Imran Ajmal melihat air muka Salmiha Haini yang sedikit berubah. Takut sangat orang angkut dia pergi jauh-jauh.
            Ceh, disindirnya aku!
“Kita pergi Kukup, ajelah. Tak akanlah Im nak bawa Miha pergi jauh-jauh. Mahu kena leter dengan Si Sofea bila Im hantar Miha balik jauh malam. Im janji... sebelum pukul sepuluh malam, Miha dah ada kat rumah.”
            Salmiha Haini menghela nafas lega. Walaupun dia tidak tahu di mana letaknya Kukup, tetapi dia pegang kata-kata Imran Ajmal. Ya... mana mungkin lelaki itu boleh membawanya pergi jauh-jauh sesuka hati, mahu seminggu Imran Ajmal mendengar Sofea mengomel.
            “Mana ada cuak.” Salmiha Haini menafikan. “Miha cuma takut kita balik lewat je. Esok kan Im nak kerja. Nanti tak cukup rehat pulak. Ada karang tertidur kat ofis.” Salmiha Haini tersengih dengan kata-katanya. Alasan kau tu tak boleh pakai la Salmiha Haini.... Dia kan dah terbiasa balik lewat malam.
            Imran Ajmal tergelak kecil. Ada sahaja idea gadis itu hendak membalas balik kata-katanya. Dia tahu Salmiha Haini tidak selesa dan tidak betah keluar dengannya apatah lagi hingga lewat malam. Dia juga tahu akan batas-batasnya ketika keluar bersama Salmiha Haini. Gadis itu bukan seperti Maria atau Hana atau gadis-gadis lain yang biasa diangkut keluar. Salmiha Haini gadis yang senantiasa menjaga maruah dan kehormatan diri. Dia tidak akan sekali-kali mencemarkan kepercayaan Salmiha Haini terhadapnya.



Thursday 27 February 2014

TEASER 1 SAYANG AWAK CINTA AWAK



TEASER 1 

SALMIHA HAINI dan Sofea memecut laju motosikal masing-masing. Mereka benar-benar sudah kelewatan. Sepatutnya pukul 6.30 pagi lagi mereka sudah berada di Nur Kasih. Tapi kini, mereka masih lagi terhegeh-hegeh di atas jalan raya. Ini semua gara-gara tidur lewat malam tadi. Kesian Wani dan Kak Bibi. Pasti mereka tak menang tangan ketika ini. 
“Aduh... sakitnya!” Salmiha Haini terjerit kecil. Visor helmetnya ditolak ke atas. Dia ingin melihat telapak tangannya yang terasa perit. Bulat mata Salmiha Haini saat melihat telapak tangannya. 
“Makkk... lukaaa...!!!” Panjang jeritannya. Mesti bingit telinga-telinga yang mendengarnya. Lantas helmet ditanggalkan. Tergopoh-gapah Sofea menongkat motosikal dan menghampiri sahabatnya. Risau juga dia jika Salmiha Haini cedera teruk. 
“Tolong aku Sofea...! Tolong aku! Habislah kurang duit hantaran bila bakal suami aku lihat parut kat tangan ni nanti.” Tangis Salmiha Haini. Habis melecet dan berdarah telapak tangannya itu. Sofea pandang wajah Salmiha Haini dengan rasa tidak percaya. Takde benda lain ke nak sebut? Sengal betul temannya ini!
“Hesy... kau ni! Biar benar? Setakat melecet ciput macam ni, takdenya tinggal parut,” omel Sofea sambil membelek tangan sahabatnya. Setelah itu motosikal kawannya diangkat dan ditolak ke tepi. 
“Besar macam ni kau kata sikit? Kau biar betul?!” Salmiha Haini tidak berpuas hati. 
“Ini kau punya pasallah! Ajak bersembang sampai pukul empat pagi. Tengok... dah bangun lewat. Sampai aku ‘subuh gajah’,” rungut Salmiha Haini. Terlupa dia seketika tentang lelaki yang dilanggarnya tadi.
 “Eh... kau nak salahkan aku pulak? Yang kau tu keluar simpang tak tengok kanan kiri apa hal? Main aci redah aje! Macam tak reti peraturan lalu lintas,” sindir Sofea. 
“Habis tu... kau asyik cakap cepat-cepat, takut nanti kita terlambat. Jadi aku ikutlah cakap kau,” marah Salmiha Haini. 
“Betul ya takde tinggal parut?” Salmiha Haini menunjuk kembali tangannya. 
“Kesian bakal suami aku kalau dapat isteri yang dah tak cun-melecun,” ujar Salmiha Haini sambil membelek tubuh badannya. Mujur takde anggota lain yang cedera atau patah riuk, getusnya. Mak aii... dia ni! Buat drama queen pulak kat sini, gumam Sofea. Bukannya risau tentang kesakitan yang dialami tapi risau tentang calon suami. Helo, kawan! Pakwe pun jauh panggang dari api, ini kan pulak nak ada calon suami?! Rasanya teman dia ni terlajak mamai kut. Mana nak datangnya calon suami kalau semua yang datang nak berkenalan ditolaknya ke tepi. 
“Tak ada apalah Miha. Sapu minyak gamat, baiklah tu nanti,” pujuk Sofea. Dia menjeling sekilas jejaka yang sudah terduduk di bahu jalan ekoran hampir disondol motosikal yang ditunggangi sahabatnya. Mujur juga dia tunggang motor sendiri. Jika tidak... dengan dia sekali tunggang langgang terjatuh. 
“Ehem... ehem...” Salmiha Haini menepuk sedikit dahinya. Terlupa dia akan lelaki yang hampir dilanggarnya sebentar tadi. Desis kesakitan juga kedengaran dari ulas bibirnya. “Maaf ya sebab hampir langgar abang tadi,” pinta Salmiha Haini. Muka lelaki itu dibuat pandang tak pandang sahaja. Konon-kononnya hendak jaga aurat mata. Padahal takut kena maki. Apa jenis perempuan hari ni lah? Nak minta maaf, tapi mata pandang ke lain. Apa, tak cukup kacak lagi ke dia ni? Bebelnya dalam hati. Lelaki itu bangun sambil menepuk seluarnya yang sedikit kotor. Mujurlah dia sempat mengelak. Kalau tak, mahu tersadai di hospital hari ini. Tapi bukanlah salah gadis itu sebenarnya. Dia yang tergesa-gesa melintas jalan tanpa melihat kanan kiri. Tak pasal-pasal jatuh tergolek anak dara orang. Tapi tak akan terang-terangan nak mengaku salah. Ada nanti kena hempuk dengan dua orang gadis di hadapannya ini. Melihat lelaki itu mendiamkan diri, Salmiha Haini mengeluarkan dompetnya. Sekeping not lima puluh ringgit dikeluarkan bersama sekeping kad. 
“Emmm... abang! Ini ada duit sikit, abang pergilah klinik buat pemeriksaan. Manalah tahu kalau-kalau ada anggota badan yang tercedera. Kalau tak cukup duitnya, abang telefon saya. Kat kad tu ada alamat dan nombor telefon saya,” ujar Salmiha Haini dengan perasaan gementar. Sayu hatinya melihat duit yang berada di tangan. Pasti bakal melayang duitnya hari ini. Sudahlah dia hampir ‘kekeringan’. Shahrul Hairi mengambil kad yang dimaksudkan. Ini kad zaman bila? Ada gambar kartun lagi. Berkerut dahinya melihat nama yang tertulis di situ. Puteri Mawar? Alahai... dia ni, biar betul! Keturunan bunga la... pulak!

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 7

Bab  7



SHAHRUL HAIRI melontar tubuhnya ke atas katil. Dia benar-benar letih dan penat. Banyak perkara yang terpaksa dilakukan hari ini sebelum menyertai Persada Indah Holdings. Dia hanya mahukan yang terbaik buat dirinya dan Persada Indah Holdings. Kerajinannya pada hari ini juga membuahkan kepuasan yang berlipat ganda. Gadis itu...
Mengingati gadis bernama Salmiha Haini, dia tertawa kecil. Masih terbayang-bayang reaksi gadis itu. Salmiha Haini kelihatan amat terperanjat pabila terpandang wajahnya semasa sesi temu duga. Sebagaimana Salmiha Haini terperanjat memandang wajahnya, begitulah juga dirinya. Dia benar-benar terkejut bila gadis itu dengan beraninya menggunakan tandas dalam kamar kerjanya. Memandangkan dia jarang berada di pejabat, dia memang tidak suka ruang pejabatnya dicerobohi oleh orang lain.
Dia dapat mengagak gadis itu bukan pekerja di situ memandangkan terdapat fail peribadi di tangannya. Selain itu, kakitangan Persada Indah memang masak benar dengan apa yang boleh dan apa yang tidak. Pekerjanya memang tidak dibenarkan masuk ke ruangan kerjanya sesuka hati, apatah lagi hendak menggunakan tandas peribadinya. Memang mereka akan dengar tempikannya jika melanggar peraturan yang telah dia tetapkan.
Wajah putih bersih itu kelihatan cantik dan bercahaya. Tanpa solekan tebal, dia masih tampak jelita dan menarik. Senyuman yang dilemparkan mampu menggetarkan hati setiap lelaki yang memandang termasuk dirinya. Lirikan mata bundar itu sungguh mengancam dan mempesonakan. Wahai Salmiha Haini... bilalah kita boleh main-main mata selalu?
Tiga bulan dari sekarang, bisik hati kecilnya yang nakal. Aduh, Lambat lagi tu! Rungut hatinya kembali.
“Hai.. Rie! Dah tergoda ke?” Shahrul Hairi menepuk-nepuk pipinya.
Aiseyman... boleh jadi tiga suku macam ni kalau asyik teringatkan anak Pak Ishak. Ada karang makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah. Silap-silap hantar notis berhenti kerja 24jam. Parah... parah...!!! Syuhh... syuhh... menjauhlah kau wahai bisikan yang menggoda. Geleng kepala Shahrul Hairi memikirkan ‘kesengetan’ otaknya kala ini. Terutama setelah hampir tiga puluh tahun hidup. Barangkali inilah yang dinamakan cinta!
Enggan melayani beban perasaan yang ditanggung, langkah diatur ke meja solek. Misai dan jambang palsu ditanggal. Begitu juga dengan cermin mata hodohnya itu. Wajahnya yang kacak dan tampan itu direnung.
“Kesian kan kau muka! Terpaksa pakai benda alah yang bodoh dan berserabut macam  ni,” ujar Shahrul Hairi sambil membelek-belek wajahnya. Dia tidak suka jika wajahnya kusam dan ditumbuhi jerawat walaupun dia tahu peratusan itu amat sedikit.
Shahrul Hairi menoleh ke sisi apabila telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia mencapainya.
“Ibu!” Keluh Shahrul Hairi. Dirinya masih berkira-kira sama ada hendak menjawabnya ataupun tidak. Hari ini, sudah lebih sepuluh kali ibunya menelefon. Otaknya juga sudah boleh menghafal ayat-ayat yang bakal keluar dari mulut ibunya.
“Jangan lupa balik ke sini malam ni. Malam ni keluarga Mak Ngah nak datang. Dahlah kamu jarang berada di JB. Sekali-sekala balik, apa salahnya tunjuk muka.” Itulah ayat yang bakal keluar dari mulut ibunya lagi. Lalu dibiarkan sahaja panggilan itu terputus begitu sahaja. Dia tidak berniat hendak bersikap kurang ajar. Tetapi bila memikirkan ‘perempuan serabut’ itu turut berada di situ, dia jadi malas hendak pulang.
Shahrul Hairi meneliti jam tangannya. Pukul lapan, bisik hatinya.
“Baik aku mandi.”
Selesai mandi dan solat, Shahrul Hairi bercadang hendak keluar bersiar-siar dan mengisi perutnya. Lusa dia sudah hendak pulang ke KL, ada tugas rasmi menantinya di sana sebelum dia berhenti. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Sedih pula rasanya hendak meninggalkan bidang yang amat dia minati sejak kecil. Namun janji tetap janji. Ayahnya sudah menepati janjinya. Kini gilirannya pula. Dia akan menamatkan kerjayanya sebagai pilot dan bekerja di Persada Indah Holdings buat selama-lamanya.
Shahrul Hairi memakai kembali misai, jambang dan cermin mata tebalnya. Jeans lusuh bersama t-shirt kumal menjadi pilihannya. Bahkan Proton Saga milik Pak Akob, pemandu ayahnya menjadi teman jika dia hendak keluar bersiar-siar setiap kali pulang ke Johor Bahru. ‘Biar selekeh asalkan poket tebal’, itulah falsafah hidupnya.
“Pergi Angsanalah.”
Lantas Proton Saga yang agak berumur itu dipandu menuju ke Plaza Angsana. Setelah memarkir keretanya, Shahrul Hairi berjalan pantas mencari restoran makanan segera. Mata-mata yang memandannya pelik, dibiarkan sepi. Ada juga gadis-gadis yang memandang sinis ke arahnya. Apa dia kisah?! Bukan mintak duit mereka pun bagi membayar harga makanan untuk mengisi kantung perutnya. Dalam pada dia mengumpat dalam hati tanpa sengaja dia melanggar seseorang.
Alamak... perempuan sinting ni ada kat sini gak? Bisik hatinya bila melihat Darlina di Plaza Angsana.
“Hoi... rabun ke?” Marah Darlina sambil membetulkan pakaiannya.
Ewah... ewah... mentang-mentanglah aku buruk dan berserabut, kau tengking-tengking aku ya?! Jika tidak... bukan main lagi kau meliuk-lintok macam pokok kelapa ditiup angin.
            “Aku yang rabun atau kau yang dah buta? Bodoh betul!” Jerkah Shahrul Hairi. Orang main kasar tak akan dia nak sopan-santun pula. Cermin matanya yang hampir terjatuh dibetulkan kembali.
“Kau!!!” Marah Darlina. Bibirnya diketap geram. Jam tangan Bonia dikerling sekilas, lima minit lagi kekasih hatinya akan tiba. Tentu wajahnya nampak hodoh sekarang ini. “Tepilah,” tengking Darlina kasar lalu beredar. Dia perlu merapikan dirinya dengan segera.
Shahrul Hairi memerhati Darlina yang semakin menjauh. Bibirnya menjuih.
Dasar perempuan murahan! Cemuh hati Shahrul Hairi. Dia memang tidak suka dengan Darlina. Perempuan itu bukan sahaja pisau cukur tetapi juga ‘makhluk perosak’. Sanggup memporak-perandakan rumah tangga orang lain semata-mata kepentingan diri sendiri.
Dia buat apa kat sini? Pancing ‘jerung’ ke? Dah habis ke lelaki kaya kat KL dia sauk? Omel hati Shahrul Hairi. Lantaklah apa dia nak buat. Bukannya ada kena mengena dengan aku. Jangan dia ganggu hidup aku sudah!
Shahrul Hairi membatalkan hasratnya untuk makan di Angsana. Pertemuan ‘indah’ yang terjadi sebentar tadi telah membantutkan seleranya. Dia berkira-kira sama ada hendak pulang ke rumah bapanya atau tidak. Jarak antara rumah bapanya di Strait View dan Angsana tidaklah jauh mana. Namun hatinya terlalu berat hendak pulang. Cuci mata dekat Danga Bay lagi bagus, detik hatinya.
Namun kereta yang dipandunya tidak dihalakan ke Danga Bay, sebaliknya menuju ke restoran Singgah Selalu. Perutnya sudah menangis minta diisi. Jika dibiarkan kosong tentu memudaratkannya. Sedang enak menjamu selera, matanya menangkap kehadiran seseorang. Jantungnya mula bergendang. Matanya melilau mencari si dia namun hampa. Mana mungkin gadis itu akan turut serta. Yalah... member baiknya tengah berdating. Tak akan dia hendak kacau daun pulak, bisik hati kecil Sharul Hairi.
Teringat lagi Shahrul Hairi akan peristiwa yang berlaku. Sanggup dia memandu dari Permas Jaya ke Pasir Gudang semata-mata ingin melarikan diri daripada Aspalela. Entah apa mimpi perempuan itu datang ke rumahnya pagi-pagi buta, dia tidak tahu! Tak sanggup berlama dengan perempuan gila itu, dia mengambil keputusan keluar rumah. Langsung tidak dihiraukan rengekan Aspalela yang mahu mengikutnya.
Setelah memarkirkan keretanya di bahu jalan, dia mengambil keputusan berjalan kaki sahaja untuk membeli nasi lemak di gerai seberang jalan. Sewaktu hendak melintas, tanpa dia sedar sebuah motosikal sudah mendekatinya. Mujurlah dia sempat mengelak dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Tapi yang dia kasihankan gadis itu. Habis telapak tangannya luka. Hajatnya hendak membantu terhenti pabila gadis itu menanggalkan topi keledarnya.
Dia benar-benar terpukau, terpegun dan entah apa ter... lagi. Bayangkan... jantungnya yang selama ini berdenyut normal menjadi kacau bilau bagaikan terlibat dalam peperangan yang maha dahsyat. Tidak pun seperti menyelamatkan diri dari gempa bumi yang berskala besar. Dup-dap... dup-dap... tanpa henti. Pabila gadis itu memberi kad namanya, hati lelakinya melonjak riang. Langsung terlupa hendak menolong dan membeli nasi lemak. Hebat benar penangan gadis itu terhadap dirinya.
Baru hendak mengimbau wajah cantik itu, telefon bimbitnya bergetar. Kacau daun sungguh! Rungut Shahrul Hairi. Melihat nama Aspalela, dia mengeluh. Apa lagilah yang perempuan ni nak? Tak cukup lagi ke clue yang aku bagi selama ini? Atau nak kena hantar gi sekolah balik?
“Hah... nak apa?” Shahrul Hairi bersuara bosan.
“Garangnya! I like!” Ujar gadis itu sambil ketawa.
Ya ALLAH dia ni! Tak kenal ke... nada orang suka atau tidak? Memang tak berapa nak cerdik! Kutuk Shahrul Hairi.
“Cepatlah cakap nak apa? Orang tengah drive ni,” bohong Shahrul Hairi.
“Kalau I kata nak you macam mana?” Tawa manja Aspalela kedengaran.
Meremang bulu roma Shahrul Hairi. Nak termuntah pun ada. Perangai Aspalela lebih kurang sama dengan Darlina. Semakin ditolak, semakin ligat mencari akal untuk mendekati. Campak kat Sg. Segget baru tahu!
“Kepala otak kau!” Bentak Shahrul Hairi. “Perempuan tak betul macam kau, tak ingin aku nak buat bini.”
“Shahrul Hairi sayang! I tahu... you sebenarnya sukakan I, cuma you malu nak luahkannya,” balas Aspalela lembut dan manja.
Shahrul Hairi buat aksi menjolok anak tekak.
“Helo...! Helo...! Tak dengarlah kau cakap apa.” Terus taliannya Shahrul Hairi putuskan. Padan muka! Nak terkeluar balik rasanya semua makanan yang berada dalam perutnya mendengar suara gedik Aspalela.


ASPALELA merenung telefon bimbitnya. Rasa hendak dibaling saja telefon tersebut ke tanah. Sudahlah sukar untuk menembusi talian Shahrul Hairi. Bila boleh bercakap, begini pula jadinya.
“Bodoh punya telefon! Masa ni juga kau buat hal!” Bebel Aspalela geram.
“Kenapa membebel sorang-sorang ni?” Tegur Mariam. Wajah mencuka anak gadisnya ditatap.
“Telefon nilah! Buat hal pulak. Nanti mama bagi duit. Laila nak beli telefon baru yang lebih canggih. Takdelah buat hal lagi bila bercakap dengan Shahrul Hairi,” rungut Aspalela.
“Nanti mama cuba tanyakan papa.”
“Ala... kalau dengan papa, lecehlah. Dia bukannya nak bagi duit pun,” bentak Aspalela.
Mariam mengeluh dengan perangai degil anaknya itu. Tak reti nak bersabar langsung.
“Mama usahakanlah sampai dapat,” pujuk Mariam. Kalau Aspalela dapat pikat Shahrul Hairi, dia juga turut merasa tempiasnya. Siapa yang tak nak bermenantukan lelaki kaya dan berkedudukan.
“Betul ni?” Aspalela menagih kepastian daripada mamanya.
Mariam mengangguk.
Tanpa Aspalela dan Mariam sedari, perlakuan mereka anak-beranak menarik perhatian Tan Sri Sharman. Lelaki itu hanya memandang tanpa ada niat hendak mendekati atau menegur.
“Rie... Rie...,” keluh Tan Sri Sharman sambil menggeleng kepalanya. Macam manalah dia hendak lembutkan hati anak terunanya itu.


TIDAK LAMA kemudian telefon bimbit Shahrul Hairi berdering kembali. Tertera perkataan ‘ayah’. Dengan perasaan malas dia menjawab panggilan tersebut. Tahu sangat kenapa ayahnya menghubunginya.
“Assalamualaikum ayah!” Lemah sahaja nada suaranya.
Ketawa Tan Sri Sharman mendengar nada suara anaknya yang kurang bersemangat itu.
“Suara macam orang tak makan sepuluh hari aje?” Usik Tan Sri Sharman.
“Bukan tak makanlah ayah. Tapi tak ada mood!” Shahrul Hairi berterus-terang.
“Ini kenapa tiba-tiba aje jiwa melayang jauh ni, emmm...?”
Shahrul Hairi menghela nafas panjang.
“Apa perempuan tu buat kat rumah kita? Rie boringlah. Dia asyik ganggu ketenteraman jiwa Rie aje.” Dengan ayahnya, Shahrul Hairi tidak merasa segan meluahkan keluh-kesah hatinya.
“Tak baik cakap macam tu. Dia kan sepupu Rie,” nasihat Tan Sri Sharman lembut.
“Sepupu yang tak diiktiraf,” luah Shahrul Hairi berani.
“Ayah pun tak suka sebenarnya. Ingat! Ini rahsia kita dua beranak,” bisik Tan Sri Sharman di corong telefon.
Ketawa Shahrul Hairi mendengarnya. Ayahnya juga tidak menyukai Aspalela. Mudahlah kerjanya nanti.
“Mereka buat apa kat rumah kita ayah?” Shahrul Hairi ulang bertanya.
“Biasalah lawatan keluarga.”
“Macam tak percaya aje.”
Ketawa besar Tan Sri Sharman mendengarnya. Dia tahu bukan mudah hendak memperbodohkan anak lelakinya itu.
“Permintaan ayah tu macam mana? Dah fikirkan?”
“Rie tak naklah ayah. Kita bukannya hidup di zaman 50an atau 70an, semua jodoh anak-anak ditentukan keluarga. Ini zaman moden. Rie ingin cari sendiri pasangan hidup Rie.” Shahrul Hairi mengeluh di talian.
“Masalahnya bila? Nak harapkan Rie mencari sendiri, entah bilalah ayah merasa dapat cucu.” Tan Sri Sharman membebel di talian.
“Itukan kerja ALLAH. Jika ALLAH kata minggu depan Rie kahwin, akan kahwinlah Rie pada minggu depan.” Shahrul Hairi berlawak dengan ayahnya.
“Ada aje alasan Rie hendak mengelak bila ayah sentuh bab kahwin.” Tan Sri Sharman mula merungut.
“Bukan mengelak. Tapi Rie mana ada perasaan tertarik dengan calon-calon yang ibu dan ayah carikan tu. Mereka berdua tak sesuai langsung dengan jiwa dan kehendak Rie.” Shahrul Hairi mengemukakan hujah-hujahnya.
“Rie tak cuba, macam mana Rie nak tahu sesuai atau tidak?”
“Tak payah cuba-cuba ayah. Tengok sepintas lalu pun dah boleh tahu perangai mereka.”
Tan Sri Sharman menggeleng.
“Ayah tak kira. Kalau Rie tak berkenan dengan mana-mana perempuan dalam masa yang terdekat, Rie kena kahwin dengan pilihan ayah. Pilihan ibu tu kalau Rie tak suka, ayah tak paksa. Tapi pilihan ayah, ayah rasa dia sesuai untuk kamu,” tegas Tan Sri Sharman.
“Apalah ayah ni! Pilihan ayah dan ibu, dua-duanya tak menepati piawaian Rielah,” rungut Shahrul Hairi.
“Kamu ni cerewet sangat!”
“Habis tu, ayah tak cerewet? Ayah pun pilih sendiri kan pasangan ayah. Jadi bagilah kebebasan untuk Rie memilih dan mencari gadis yang benar-benar sesuai dan menepati cita rasa Rie.” Bayangan Salmiha Haini menjelma di ruangan matanya. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.
“Ayah bagi tempoh sebulan dari sekarang. Jika tidak... Rie kena ikut cakap ayah.” Tan Sri Sharman memberi amaran.
            “Enam bulanlah ayah.” Shahrul Hairi membuat tawaran. Dia yakin dalam tempoh itu, dia mampu menambat hati seorang gadis yang sudah mendapat tempat di hatinya. Tapi... masih single lagikah si dia? Belum tanya mana nak tau kan?!
“Enam bulan terlalu lama. Nanti panjang saja akal kamu hendak mencari helah.”
“Ayah ni!” Shahrul Hairi mula merajuk. “Selama ni, ada ke Rie menolak segala kehendak dan permintaan ayah?”
“Memanglah tak ada. Tapi tindakan kamu kali ni manalah ayah nak jangka.”
“Selagi Rie ni anak ayah, ayah kena percaya pada Rie.”
“Baiklah! Ayah cuba percayakan Rie. Tapi... jika Rie cuba permainkan ayah, tahulah macam mana ayah nak buat,” ugut Tan Sri Sharman.
“Ayah nak buat apa?”
Hehehe...! Rahsia!”
“Ayah ni... mana aci!” Shahrul Hairi merajuk lagi.
“Mana? Mana aci? Dia ada kat sebelah ayah atau sebelah Rie?” Gurau Tan Sri Sharman.
Shahrul Hairi sudah ketawa. Ayahnya ada sahaja idea hendak menyakat.
“Ingat! Tunjukkan menantu ayah dengan segera jika tidak mahu berkahwin dengan pilihan kami,” gertak Tan Sri Sharman.
“Baik! Rie setuju dengan cadangan ayah.” Shahrul Hairi yakin dia mampu menewaskan permainan yang diciptakan oleh ayah dan ibunya.