Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Wednesday 3 July 2013

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 3




SALMIHA HAINI DAN SOFEA memecut laju motosikal masing-masing. Mereka benar-benar sudah kelewatan. Sepatutnya pukul 6.30 pagi lagi mereka sudah berada di Nur Kasih. Tapi kini, mereka masih lagi terhegeh-hegeh di atas jalan raya. Ini semua gara-gara tidur lewat malam tadi. Kesian Wani dan Kak Bibi. Pasti mereka tak menang tangan ketika ini.
“Aduh... sakitnya!” Salmiha Haini terjerit kecil. Visor helmetnya ditolak ke atas. Dia ingin melihat telapak tangannya yang terasa perit. Bulat mata Salmiha Haini saat melihat telapak tangannya. “Makkk... lukaaa...!!!” Panjang jeritannya. Mesti bingit telinga-telinga yang mendengarnya. Lantas helmet ditanggalkan.
“Tolong aku Sofea...! Tolong aku! Habislah kurang duit hantaran bila bakal suami aku lihat parut kat tangan ni nanti.” Tangis Salmiha Haini. Habis melecet dan berdarah telapak tangannya itu.
Sofea pandang wajah Salmiha Haini dengan rasa tidak percaya. Takde benda lain ke nak sebut? Sengal betul temannya itu!
“Hesy... kau ni! Biar benar? Setakat melecet ciput macam ni, takdenya tinggal parut,” omel Sofea sambil membelek tangan sahabatnya. Setelah itu motosikal kawannya diangkat dan ditolak ke tepi.
“Besar macam ni kau kata sikit? Kau biar betul?!” Salmiha Haini tidak berpuas hati. “Ini kau punya fasallah! Ajak bersembang sampai pukul empat pagi. Tengok... dah bangun lewat. Sampai aku ‘subuh gajah’,” rungut Salmiha Haini. Terlupa dia seketika tentang lelaki yang dilanggarnya tadi.
“Eh... kau nak salahkan aku pulak? Yang kau tu keluar simpang tak tengok kanan kiri apa hal? Main aci redah aje! Macam tak reti peraturan lalu lintas,” sindir Sofea.
“Habis tu, kau asyik cakap cepat-cepat, takut nanti kita terlambat. Jadi aku ikutlah cakap kau,” marah Salmiha Haini. “Betul ya takde tinggal parut?” Salmiha Haini menunjuk kembali tangannya. “Kesian bakal suami aku jika dapat isteri yang dah tak cun-melecun,” ujar Salmiha Haini sambil membelek tubuh badannya. Mujur takde anggota lain yang cedera atau patah riuk, getusnya.
Mak aii... dia ni! Buat drama pulak kat sini, gumam Sofea. Bukannya risau tentang kesakitan yang dialami tapi risau tentang calon suami. Pakwe pun tak ada lagi. Mana nak datangnya calon suami?
“Taklah Miha. Sapu minyak gamat baiklah tu nanti,” pujuk Sofea.
Sofea menjeling sekilas jejaka yang sudah terduduk di bahu jalan ekoran hampir disondol motosikal yang ditunggangi sahabatnya. Mujur juga dia bawa motor sendiri. Jika tidak... dengan dia sekali terjatuh.
“Ehem... ehem...”
Salmiha Haini menepuk sedikit dahinya. Terlupa dia akan lelaki yang hampir dilanggarnya sebentar tadi. Desis kesakitan juga kedengaran dari ulas bibirnya.
“Maaf ya sebab hampir langgar abang tadi,” pinta Salmiha Haini. Muka lelaki itu dibuat pandang tak pandang sahaja. Konon-kononnya hendak jaga aurat mata. Padahal takut kena maki.
Apa jenis perempuan hari ni lah? Nak minta maaf, tapi mata pandang ke lain. Apa, tak cukup kacak lagi ke dia ni? Bebelnya dalam hati. Lelaki itu bangun sambil menepuk seluarnya yang sedikit kotor. Mujurlah dia sempat mengelak. Kalau tak, mahu masuk hospital hari ni. Tapi bukanlah salah gadis itu sebenarnya. Dia yang tergesa-gesa melintas jalan tanpa melihat kanan kiri. Tak fasal-fasal jatuh tergolek anak dara orang. Tapi tak akan terang-terang nak mengaku salah. Ada nanti kena belasah dengan dua orang gadis di hadapannya ini.
Melihat lelaki itu mendiamkan diri, Salmiha Haini mengeluarkan dompetnya. Sekeping not lima puluh ringgit dikeluarkan bersama sekeping kad.
Emmm... abang! Ini ada duit sikit, abang pergilah klinik buat pemeriksaan. Manalah tahu ada anggota badan yang tercedera. Kalau tak cukup duitnya, abang telefon saya. Kat kad tu ada alamat dan nombor telefon saya,” ujar Salmiha Haini dengan perasaan gementar. Sayu hatinya melihat duit yang berada di tangan. Pasti bakal melayang duitnya hari ni. Sudahlah dia hampir ‘kekeringan’.
Shahrul Hairi mengambil kad yang dimaksudkan. Ini kad zaman bila? Ada gambar kartun lagi. Berkerut dahinya melihat nama yang tertulis di situ. Puteri Mawar? Alahai... dia ni, biar betul! Keturunan bunga la... pulak!
Melihat kerutan di wajah itu, Salmiha Haini tahu mengapa. Salahnya juga bagi kad nama zaman tok kadok. Kad itu sebenarnya kad nama zaman dia sekolah menengah dulu. Nak dibuang sayang, jadi dia simpan sahaja. Tiada niat pun nak bagi sesiapa kecuali teman-teman rapat yang dah lost contact. Sebab itulah di belakang kad tersebut, ada tulisan tangannya. Manalah tahu terjumpa kawan-kawannya yang ‘sesat’ kat bandar ni, boleh juga dihulurkan kad tersebut. Tak payah susah-susah nak cari pen atau kertas, sebab dia dah terlebih rajin menulisnya dulu.
“Sebenarnya nama kat depan tu, nama olok-olok. Nama sebenar, alamat dan nombor telefon ada kat bahagian belakang,” terang Salmiha Haini bersama aksi gadis Melayu terakhirnya. Ceh... macam lelaki tu tak nampak perangai sebenarnya sebentar tadi!
Setelah mendengar penerangan Salmiha Haini, Shahrul Hairi memusingkan kad nama tersebut. Berpuas hati dengan maklumat yang ada, kad tersebut dimasukkan ke dalam dompetnya. Wang yang dihulur Salmiha Haini dipandang sepi. Terus dia bergegas pergi.
Tercengang Salmiha Haini apabila Shahrul Hairi berlalu begitu sahaja.
“Mak datuk! Sombong giler ‘mangkuk tingkat plastik’ tu!” Kutuk Salmiha Haini. “Blah macam tu aje. Dia tak tahu ke... akibat perangai ayam dia tu, aku jatuh tergolek? Nasib baik tak kojol. Kalau tak... aku saman dia cukup-cukup,” marah Salmiha Haini. “Ngok-ngek betul!” Tambahnya lagi.
Sofea geleng kepala melihat tingkah temannya. Tak padan dengan sakit, mulut tetap berbunyi macam mesin-gan.
“Kalau kau dah masuk lubang kubur, macam mana kau nak saman dia mak cik oiii?” Sindir Sofea.
Salmiha Haini garu pipinya. Betul juga cakap Sofea. Kalau dah mati macam mana nak saman. Kemudian dia tersenyum dalam hati. Tak boleh saman, aku cekik dia pulak.
“Tak baik kau cakap dia ngok-ngek,” nasihat Sofea. “Bukan salah dia pun.”
Ewah... ewah... ewah... perempuan ni! Dah syok kat lelaki tu ke? Salmiha Haini memandang dengan wajah tidak puas hati.
“Macam mana aku tak kata dia ngok-ngek. Kau tak tengok ke cara dia melintas tadi? Main nonong aje macam ayam nak lintas jalan. Tak pandang kanan kiri langsung. Lepas tu... dia dah tahu aku ni sakit, ada ke dia nak tolong angkat motor dan tolak ke tepi? Ada? Takde kan? Orang macam tu memang layak dibuat musuh!”
“Hesy... kau ni! Tak tahu hujung pangkal dah buat kesimpulan. Dia pun jatuh juga tadi, kan? Manalah tahu tangan dia patah ke... atau terseliuh ke... Itu yang dia tak dapat nak tolong kau.” Sofea mengemukakan andaiannya yang agak bernas.
Salmiha Haini mencebik atas keprihatinan Sofea terhadap lelaki itu. Macamlah lelaki tu buah hati dia, beria-ia nak tolong backup!
Sofea tahu temannya itu teramat bengang dengan lelaki tadi. Tapi cakap banyak pun tak guna sebab lelaki tu dah tak ada. Sepatutnya dari tadi lagi Salmiha Haini menghamburkan rasa kurang senangnya, bukan sekarang.
“Kau nak bising sekarang pun tak guna, dia dah blah.” Sofea bersuara.
Salmiha Haini mengeluh kecil. Benar apa yang Sofea katakan. Dia mengamuk bagai nak rak pun bukan ada faedahnya. Bukannya lelaki itu dengar apa yang terbuku di hatinya.
“Jomlah kita gerak, nanti makin lambat kita sampai. Tak menang tangan pulak Wani dan Kak Bibi melayan budak-budak tu.” Gesa Sofea.
Salmiha Haini angguk kepala tanda faham. Berdiri tegak macam tiang lampu kat tepi jalan ni pun tak ada gunanya. Buat jatuh saham saja. Nasib baiklah tak ramai pengguna jalan raya masa ni, fikir Salmiha Haini. Macam mana nak ramai kalau pintu pejabat dah pun buka satu jam yang lalu. Matanya merenung motor Wani yang ‘tercedera’. Aduh... nak kena keluar duit lagi! Keluh Salmiha Haini. Semalam Wani meminjam keretanya dan berjanji akan memulangkannya hari ini.


MEMANG BENAR telahan Sofea. Keadaan nurseri Nur Kasih milik ibu Sofea agak kelam kabut sedikit kerana tidak cukup kakitangan. Ibu Sofea menjaga nurseri Nur Kasih miliknya di cawangan Seri Alam manakala Sofea menjaga di Taman Dahlia.
“Kau duduk kat situ, nanti aku cuci luka kau,” arah Sofea sambil menunjukkan meja makan yang terdapat di bahagian dapur. Dia kemudiannya mencapai peti kecemasan yang tersimpan dalam kabinet.
Salmiha Haini akur dengan arahan teman baiknya. Matanya juga tidak lepas memerhatikan Sofea.
“Kau tahan ya, aku nak cuci tapak tangan kau dengan Dettol. Mungkin pedih sikit ni.”
Salmiha Haini angguk kepala. Mengerti. Tekun dia melihat Sofea mencuci lukanya dan menyapu ubat sebelum melakukan kerja-kerja membalut. Dia mengenali Sofea ketika menuntut di UKM. Mereka kebetulan duduk di bilik yang sama tetapi berlainan course. Sofea merupakan anak tunggal, sama sepertinya. Cuma sahabatnya itu memiliki keluarga yang lengkap berbanding dirinya. Tujuan dia datang ke Johor Bahru sebulan yang lepas kerana ingin mencari pekerjaan yang sesuai, selain melarikan diri.
Salmiha Haini melihat telapak tangannya yang sudah siap dibalut oleh Sofea. Kemas dan cantik balutannya. Sepatutnya rakannya itu menjadi doktor ataupun jururawat bukannya tauke pusat jagaan kanak-kanak.
Sofea pandang wajah Salmiha Haini setelah kerja membalut tangan rakannya itu selesai.
Oii... mak cik! Kau berangankan siapa? Kau teringatkan abang yang pakai baju kelabu tadi eh?” Usik Sofea.
“Aku?” Salmiha Haini tuding jari telunjuk ke arah mukanya. “Ingatkan dia? Takde maknanya! Buang masa dan tenaga aku aje ingatkan mamat bongkak dan ngok-ngek tu!” Tegas Salmiha Haini.
“Tapikan Miha, mamat yang kau kata bongkak dan ngok-ngek tu... hensem tau. Kalah pelakon Korea yang bernama Lee Min Ho atau Dennis Joseph O’Neil.”
Ek?” Sengaja Salmiha Haini mengejek Sofea. Dia sedikit pun tak kisah dengan ketampanan atau kekacakan lelaki itu. Ada apa dengan wajah? Bukannya boleh kenyang pun bila tengok muka dia tu. Sebab kalau lapar, dia akan cari nasi jugak. Tak akan dia nak makan muka orang tu pulak. Ini... kalau Sofea dengar ayat macam ni, tentu perempuan tu bengang.
“Kau ni... kalau aku cakap mesti ada sahaja yang tak berkenan di hati. Malaslah aku nak layan kau,” rajuk Sofea.
“Ala... kau ni! Sikit-sikit nak merajuk. Macam manalah Si Muaz tu boleh tahan? Aku kalau jadi boyfriend kau, dah lama aku tendang kau, tahu!”
“Nasib baik kau bukan boyfriend aku! Kalau tak... dah lama kau kena tinggal. Yalah! Semua benda yang aku cakap, masuk telinga kanan pas tu tak sampai sesaat dah keluar ikut telinga kiri. Makwe mana yang tak bengang?” Tempelak Sofea. “Entah lelaki manalah yang tahan dapat makwe macam kau ni nanti?”
“Siapa yang dah ada pakwe? Miha?” Wani yang tidak tahu hujung pangkal datang menyampuk. Dia sedang mendukung Danish yang baru berusia setahun tiga bulan.
Salmiha Haini menoleh ke arah Wani. Dia tersengih. Mujurlah Wani tidak mengamuk sewaktu dia menunjukkan keadaan motosikal gadis itu yang ‘tercedera’. Bahkan air muka yang ditunjukkan juga cool. Redha...
“Si Sofea ni... Wani! Dah nak kahwin tak lama lagipun... masih jugak nak menggatal! Entah mamat Lombok mana pulak yang dia berkenan, tak tahulah!” Salmiha Haini mengusik.
Wani tersengih-sengih mendengar kata-kata Salmiha Haini.
Sofea menjeling.
“Amboi...! Amboi...! Amboi...! Engkau bila dah bercakap, langsung tak tengok traffic light tu warna merah ke warna hijau. Main langgar dan redah aje! Kau jangan sesekali menabur fitnah! Aku cepuk karang.” Sofea pura-pura marah. “Dengar dek bakal suami aku, tak ke haru jadinya!” Sofea membesarkan biji matanya pula.
 “Maaflah Sofea. Aku sebenarnya tidak maksudkan apa-apa. Aku sekadar bergurau ajelah. Sejak bila kau jadi sensitif ni?” Luah Salmiha Haini. Bimbang juga dia jika Sofea ambil hati akan gurauannya tadi. Melihat tiada riak marah di wajah sahabatnya, dia menyambung kembali kata-katanya. “Oh... baru aku ingat! Dah nak masuk bulan baru! Patutlah nak naik angin semacam!” Sakat Salmiha Haini.
“Kau ni kan...!!! Saja je nak usik aku. Kalau tak dapat sakat aku satu hari, boleh kena demam kepialu agaknya!” Sofea menjeling geram namun bibirnya sudah mula menerbitkan senyuman. Dia mana boleh merajuk lama-lama dengan Salmiha Haini. Alamatnya... kiamatlah dunia.
Wani geleng kepala melihat aksi majikan dan rakannya bertekak. Dah tua-tua pun perangai macam budak-budak. Apa-apa pun dia sangat bersyukur punya majikan yang baik dan tidak berkira. Sekiranya mereka punya masalah, Sofea tanpa banyak soal akan menghulurkan bantuan. Walaupun majikannya itu masih muda tapi bijak dan matang dalam membuat keputusan dan perancangan. Kawan baiknya Si Salmiha Haini juga sama seperti majikannya. Tidak lokek dan mudah memberi bantuan.




BERSAMBUNG.....