Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Monday 22 April 2013

SAYANG AWAK CINTA AWAK BAB 1



SHAHRUL HAIRI menyemak dan meneliti satu persatu timbunan fail yang berada di atas mejanya. Empat hari tidak berada di pejabat, sudah sebeban kerja yang menantinya. Inilah yang dia tidak minat dan malas bekerja di pejabat. Selain terikat dengan masa dan mesyuarat, kerja yang datang juga tak henti-henti.Bak kata Si Labu dalam filem Labu Labi arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, selagi tak tutup mata,kerja...kerja...!!! Pening kepalanya mengadap timbunan fail dan dokumen yang berada di atas meja.

 Shahrul Hairi meneliti jam tangannya. Menghampiri satu tengah hari. Dia menggeliat dan membetulkan urat saraf yang sudah terasa bersimpul. Punggungnya juga terasa kebas dan kematu akibat duduk terlalu lama. Perut yang mula mengeluarkan bunyi dipegangnya. Keluar makan lagi bagus, bisik hatinya. Dia mengemas timbunan fail yang berada di atas meja. Memang pantang bagi Shahrul Hairi meninggalkan meja kerjanya dalam keadaan berselerak dan tidak kemas.
Terasa ada getaran dalam poket seluar, Shahrul Hairi pantas menyeluknya. Tertera nama ‘ayah’ di atas skrin telefon bimbitnya. Dia tersenyum. Pasti ayahnya inginkan sesuatu darinya.
“Assalamualaikum ayah.”
“Waalaikumussalam. Rie masih ada kat bilik Rie lagi ke?” Tan Sri Sharman terus bertanya.
“Ya, ayah. Ada apa ayah call Rie ni?”
“Amboi! Sejak bila seorang ayah tak boleh menghubungi anaknya?” Usik Tan Sri Sharman.
Shahrul Hairi tersenyum kelat. Kepalanya digaru tanpa sebab. Ada sahaja idea ayahnya hendak mengenakan dirinya.
“Bukan macam tu ayah. Rie cuma nak tahu kenapa ayah hubungi Rie. Manalah tahu ada hal mustahak atau mesyuarat tergempar.” Shahrul Hairi mengemukakan alasannya. Berbicara dengan ayahnya harus berhati-hati, bimbang terperangkap dengan soalan maut. Apa lagi kalau bukan isu kahwin. Sejak akhir-akhir ni, gemar benar ayah dan ibunya membangkitkan perihal nan satu ini. Sudah naik tepu otaknya. Bahkah sudah boleh dihafal skripnya. Nak-nak skrip ibunya. Balik-balik tang tu jugak ayat yang keluar. Balik-balik nama si dot... dot... tu jugak yang keluar dari mulut ibunya. Apa yang bagus sangat dengan si dot... dot... tu pun Shahrul Hairi tidak tahu. Apa yang dia tahu, gadis itu bukan gadis idaman hatinya.
Tan Sri Sharman tergelak kecil di talian.
“Tak ada apa-apa. Ayah cuma nak ajak keluar makan tengah hari bersama. Macam mana? Rie setuju tak?”
Shahrul Hairi menghela nafas lega. Selamat!
“Tak ada masalah. Rie pun memang nak keluar makan. Perut ni dah mula berkeroncong dan merayu-rayu mintak di isi.”
Ketawa besar Tan Sri Sharman mendengar jenaka anaknya.
“Kalau macam tu baguslah. Ayah tunggu Rie kat pejabat ayah.”
“Ayah bagi Rie masa dalam lima minit, boleh?” Pinta Shahrul Hairi sambil melihat pergelangan tangannya.
Emmm... baiklah.”
Selepas menamatkan panggilan dengan ayahnya. Shahrul Hairi mengemas mejanya sepantas yang mungkin. Dia tidak mahu ayahnya tertunggu-tunggu kedatangannya. Usai kerjanya, kot berwarna kelabu yang tersarung kemas ditubuhnya ditanggalkan dan disangkut di kepala kerusi. Dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke pejabat ayahnya.
“Kita nak makan kat mana ayah?” Soal Shahrul Hairi sambil memandu. Wajah ayahnya dipandang sepintas lalu.
“Kita cari masakan kampunglah.”
Kecur air liur Shahrul Hairi apabila mendengar perkataan masakan kampung.
“Bagus juga cadangan ayah tu. Rie pun dah lama tak pekena gulai tempoyak ikan patin dan budu. ”
Tan Sri Sharman tersenyum. Selera Shahrul Hairi sama seperti dirinya dan juga insan yang sangat dia sayangi dalam hidup.
Shahrul Hairi memandu ke Taman Perling. Sebuah restoran masakan kampung yang terkenal di situ menjadi pilihan mereka.
“Dah lama kita tak keluar makan bersama,” ujar Tan Sri Sharman sambil memandang anaknya.

            “Tapi kan kita selalu makan bersama kat rumah,” balas Shahrul Hairi. Dia tersenyum mesra ke arah ayahnya.

“Kat rumah suasananya lain,” ujar Tan Sri Sharman. Bahu Shahrul Hairi ditepuknya.
Shahrul Hairi tergelak kecil mendengar kata-kata ayahnya. Memang benar apa yang ayahnya katakan. Makan di rumah tidak sama rasanya seperti makan di luar. Bahkan dia merasakan, makan di luar lebih aman dan menyeronokkan. Lebih-lebih lagi tanpa gangguan dari sepupunya.
            Shahrul Hairi membuang pandang sekitar restoran. Ramai juga pengunjung yang datang makan tengah hari di sini. Matanya tiba-tiba terpandang wajah seseorang. Alamak! Kenapalah mesti jumpa minah tu kat sini? Pantang terdetik nama, pasti muncul. Baru saja dia hendak merasa aman, dah terganggu. Shahrul Hairi segera melarikan wajahnya dan berselindung dibalik ayahnya.
            “Kamu ni kenapa? Macam nampak ceti aje tiba-tiba menyorok.” Tak selesa jadi dirinya bila Shahrul Hairi bersembunyi di belakangnya.
            “Ini bukan kata ceti lagi ayah, lebih dari itu,” bisik Shahrul Hairi. Dia sudah tidak betah makan di situ. Hendak mengajak ayahnya makan di tempat lain, dia tidak sampai hati. Lagi pula mereka tidak boleh masuk lewat ke pejabat. Pukul tiga nanti mereka ada mesyuarat penting bersama pelabur dari Jerman.
            Tan Sri Sharman segera merapati meja kosong yang berada tidak jauh dari mereka berdiri. Melihatkan keadaan anaknya yang seperti hendak main sorok-sorok, ada baiknya dia mencari tempat duduk terlebih dahulu.
            “Macam-macam hal kamu ni...,” omel Tan Sri Sharman. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi.
Shahrul Hairi mengambil tempat duduk di hadapan ayahnya. Sesekali dia memandang ke sebelah kiri. Tatkala musuh ketatnya mula menghampiri mereka, Shahrul Hairi segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan pura-pura menaip sesuatu. Malas dia hendak melayan.
Tan Sri Sharman memandang pelik sikap anaknya. Dalam hatinya tertanya-tanya apakah yang membuatkan anak lelakinya itu tidak senang duduk. Dia menghala pandangan ke arah yang sama seperti Shahrul Hairi.
            “Eh... Pak Usu! Pak Usu pun makan kat sini?” Sapa seseorang mesra. Senyuman manis juga menghiasi bibirnya yang dioles dengan gincu berwarna merah terang.
            Tan Sri Sharman mendongak. Ini rupanya yang membuatkan bujangnya macam cacing kepanasan.
            “Laila! Nak makan tengah hari juga ke?” Tan Sri Sharman menyapa anak saudara isterinya itu.
            “Lebih kuranglah. Emmm... mana Hairi? Bukan ke dia ada kat JB. Dia tak ikut Pak Usu makan sekali ke?” Aspalela bertanya ramah. Matanya melilau mencari Shahrul Hairi. 
            Shahrul Hairi menghela nafas lega. Mujurlah Aspalela tidak perasankan dirinya.
            Tan Sri Sharman tersengih memandang wajah anaknya yang dilitupi misai, jambang dan kaca mata tebal itu.
            Shahrul Hairi mengisyaratkan agar ayahnya tidak bersuara tentang dirinya. Malas dia hendak melayan kerenah Aspalela yang mengalahkan orang terencat akal.
            “Rie? Tadi dia ada, tapi sekarang dah tak tahu hilang ke mana pulak. Dah macam Chipsmore, sekejap ada sekejap tak ada,” ujar Tan Sri Sharman sambil memandang anaknya. 
            Shahrul Hairi tersengih mendengar kata-kata ayahnya. Pandai juga ayahnya berlakon.
“Jemputlah duduk Laila, kita makan sekali,” pelawa Tan Sri Sharman. Dia mula menarik kerusi di sebelahnya. Wajah anak tunggalnya juga dipandang. Melihat Shahrul Hairi tak senang duduk, dia ketawa kecil. Macamlah Si Laila boleh perasan jika dah menyamar seperti mawas, gumam Tan Sri Sharman.
Aspalela menatap Tan Sri Shahrman seketika sebelum beralih ke arah lelaki yang berada di hadapan Tan Sri Sharman. Lelaki ni mesti pangkat besar. Boleh buat stok ‘bank’ aku ni. Muka belakang kira, janji poket tebal, bisik hati Aspalela.
Shahrul Hairi telan liur. Gerun dia melihat renungan Aspalela. Mahu pengsan sekiranya Aspalela kenal akan dirinya ketika ini.
Errr... takpelah Pak Usu, Laila makan kat tempat lain aje.” Aspalela jual mahal. Dia melirik ke arah lelaki yang berada di hadapan Tan Sri Sharman dan menunggu lelaki itu mempelawanya. 
            Haa... berhambuslah cepat-cepat, membantutkan selera aku nak makan aje! Bisik hati Shahrul Hairi. Wajah Aspalela langsung tidak dipandangnya.
Melihatkan tiada tanda-tanda lelaki itu ingin mengajaknya makan bersama, Aspalela angkat kaki. Buang masa dia aje tercongok di situ. Lagipun kawan-kawannya sudah pun menanti. Lainlah sekiranya Shahrul Hairi ada. Tak dipelawa pun dia dengan senang hati mempelawa dirinya untuk makan tengah hari bersama.
            Setelah Aspalela beredar, Shahrul Hairi bersuara.
            “Apalah ayah ni! Perempuan yang pakai baju tak cukup kain tu pun ayah ajak duduk makan sekali. Buat sakit biji mata dan tambah dosa aje.” Shahrul Hairi meluahkan rasa tidak puashatinya.
            “Ayah bukannya ajak betul-betul. Sekadar nak tunjukkan yang kita ni tak sombong. Lagipun dia tu kan sepupu Rie, apa salahnya kita makan semeja.”
            “Biarlah takde sepupu asalkan hati senang,” balas Shahrul Hairi bersahaja.
            Menggeleng kepala Tan Sri Sharman dengan gelagat anak terunanya itu. Benci benar Shahrul Hairi dengan Aspalela.
            “Kenapa kamu tak boleh berbaik dengan dia?” Soal Tan Sri Sharman.
            “Tak serasi kut!”
            “Itu aje alasannya?”
“Bukan itu sahaja. Banyak benda yang buatkan Rie tak ngam dan tak boleh jalan seiringan dengan dia. Ayah tak tengok ke bagaimana sikapnya? Pergaulan dia? Bebas sangat. Takut Rie melihatnya. Rie yang lelaki ni pun malu nak lepas laku macam tu dikhalayak ramai.” Shahrul Hairi memuncung mulutnya ke arah Aspalela. Aspalela ketika itu sedang berbual-bual dengan teman-temannya. Aspalela dan teman-temannya buat restoran itu bagaikan milik mereka sendiri. Langsung tiada rasa malu dan bersalah kerana mengganggu ketenteraman pengunjung di situ.
Mata Tan Sri Sharman mencari tempat duduk Aspalela. Dia mengeluh sendirian. Memang benar apa yang anaknya katakan. Bagaimana isterinya boleh merancang untuk menjodohkan Shahrul Hairi dengan Aspalela. Teruk benar tingkah laku gadis itu. Tidak sesuai langsung untuk dijadikan teman hidup.


SHAHRUL HAIRI merenung ke luar tingkap. Letih benar rasanya hari ini. Bukan penat tubuh badan tetapi lebih kepada melayan kerenah ibunya. Sudah dua hari dia berada di Johor Bahru tetapi dia langsung tidak pulang ke rumah ibu bapanya. Sejak ibunya berura-ura hendak menjodohkannya dengan Aspalela, dia semakin tidak betah hendak pulang ke rumah keluarganya. Dia lebih suka berkurung di kondonya sahaja. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka dan bertegang urat dengan ibunya. Jadi ada baiknya dia mengambil sikap menjauhkan diri sahaja.
            Bunyi deringan membuatkan Shahrul Hairi sedikit tersentak. Dia berkira-kira sama ada hendak mengangkat telefon bimbitnya yang terdampar di atas katil ataupun tidak. Dia bimbang jika itu adalah panggilan daripada ibunya lagi. Telinganya sudah kebas mendengar leteran ibunya selama dua hari ini.
            Bukannya dia tidak mahu pulang ke rumah. Tetapi dia bosan jika terus-terusan dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak dia cintai. Sekiranya Aspalela itu elok budi pekertinya mungkin dia akan pertimbangkan juga. Ini... memang tak serupa manusia bertamadun. Siapa yang inginkan perempuan yang terdedah sana terdedah sini? Buat rugi aje dapat isteri yang sudah ditonton oleh ramai orang tubuh badannya.
Jika boleh dia inginkan gadis yang berpakaian sopan dan menutup aurat. Biarlah dia yang pertama melihat keindahan tubuh badan isterinya. Biarlah segala yang menjadi rahsia isterinya selama ini, dialah yang pertama ‘menerokainya’. Dia ingin menjadi lelaki pertama yang ‘memiliki’ segala-galanya.
            Kasihankan telefon bimbitnya yang sedari tadi menjerit-jerit, Shahrul Hairi menggagahi diri mengambilnya. Melihat nama Max yang tertera, Shahrul Hairi menghela nafas kelegaan.
            “Helo bro! Apa hal call aku malam-malam ni?” Soal Shahrul Hairi.
            “Peninglah kepala aku melayan kerenah awek kau ni. Tak faham bahasa langsung. Dah berbuih mulut aku cakap yang kau takde kat sini, tapi langsung tak nak faham,” adu Max.
            “Apa yang kau cakapkan ni Max? Bila masa aku ada makwe?” Rengus Shahrul Hairi kurang senang. Bila masa pulak dia ada makwe? Nak rapat dengan perempuan pun susah. Inikan pula nak isytiharkan sebarangan gadis sebagai kekasih. Gila betul Max ni! Kini kepala Shahrul Hairi pula yang pening gara-gara kenyataan Max.
            “Habis tu... kenapa Si Darlina asyik cakap yang kau ni pakwe dia? Aku mati-matilah ingat yang kau ni betul-betul pakwe dia,” usik Max. Dia tahu siapa Darlina di sisi Shahrul Hairi.
            “Dia? Hei... kau dah hilang akal ke? Kalau aku jadi pakwe dia, memang pendek umurlah aku ni nanti,” balas Shahrul Hairi geram.
            Max ketawa berdekah-dekah di hujung talian. Dia sudah dapat mengagak yang temannya itu akan mengamuk.
Shahrul Hairi mengetuk dahinya. Bengang! Macamlah ayat yang keluar dari mulutnya tadi lucu. Dapat dia bayangkan bagaimana keadaannya jika Max berada di hadapannya sekarang ini. Sebijik penumbuk pasti melekat di perut sahabatnya itu. Suka sangat bergurau tak kena gaya.
            “Dia nak apa daripada aku?” Tanya Shahrul Hairi sedikit tegas. Tawa Max yang menyakitkan hati diabainya.
            “Manalah aku tahu. Bila aku tanya, dia kata itu urusan antara dia dan kau aje.”
            Shahrul Hairi mendengus. Tanda tidak suka.
            “Gila! Aku tak pernah pun ada apa-apa urusan dengan dia dan tak ingin berurusan dengan dia selagi hayat dikandung badan.” Tekan Shahrul Hairi.
            So, hal kau macam mana? Dah settle?” Max mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu menambah beban sahabatnya itu. Tentu Shahrul Hairi tidak senang duduk ketika ini bila ditekan supaya segera menamatkan zaman bujangnya.
            Settle apanya! Makin berserabut adalah. Ibu aku tak sudah-sudah nak padankan aku dengan anak sedara dia. Ayah aku pulak tak habis-habis promote anak kawan dia. Macamlah aku ni bujang terlajak yang tak laku. Tension aku dibuatnya,” omel Shahrul Hairi.
            “Susah-susah sangat, kau pikat ajelah salah sorang rakan sekerja kita. Habis cerita!” Max menyatakan pandangannya. 
            “Kahwin dengan rakan setugas? Oh... itu bukan impian aku! Aku nak cari yang duduk di bawah aje sebab tak lama lagi aku akan pencen.”
            “Kau ni cerewet betullah. Yang parent kau pilih, kau tak nak. Cari sendiri pun tak minat. Sampai bila kau nak single-mingel macam ni?” Max bersuara dengan nada tidak puas hati. Puas dia ‘berkempen’ perempuan untuk Shahrul Hairi tapi semuanya dipandang sepi dan ditolak mentah-mentah. Susah benar nak tarik minat kawannya yang seorang ini terhadap perempuan. Entah yang bagaimanalah yang menjadi pojaan hati rakan baik merangkap rakan setugasnya itu.
            “Selagi jantung aku tidak bergetar hebat bila bertentang mata dengan si dia, selagi itulah aku tak akan serahkan cinta suci aku ni terhadap mana-mana perempuan.”
            Wow! Kiranya kau ni nak jadi pencinta yang setialah ni?” Ejek Max.
            “Lebih kuranglah! Aku tak nak jadi macam kau. Pantang nampak yang cantik sikit, mulalah jantung kau asyik berdenyutlah, berdetaklah dan entah apa ‘ber’... lagi yang kau rasa aku pun tak tahu. Entah-entah semuanya palsu,” sindir Shahrul Hairi.
            “Itu normallah bagi lelaki kacak macam aku ni. Ramai sangat yang tertawan dan terpikat. Kalau aku tak layan mereka, tentu mereka kecewa dan berduka,” balas Max tak mahu kalah.
            Menggeleng kepala Shahrul Hairi mendengar alasan kurang bijak Max.
            “Berubahlah sebelum malaikat Izrail datang menjemput,” nasihat Shahrul Hairi. Dalam sekali maknanya.
            Errr... okeylah Rie, aku nak hang up dah ni. Lain kali aku call kau lagi.”
            Emmm... yalah!” Balas Shahrul Hairi ringkas. Tahu sangat dia yang Max ingin mengelak. Bukan sekali dua Max berkelakuan begitu. Boleh dikatakan setiap kali dia menegur temannya itu.
Usai berbual dengan Max, Shahrul Hairi bingkas bangun menuju ke komputer ribanya. Ada kerja yang perlu dia bereskan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.



BERSAMBUNG.... :)