Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 23 November 2012

Pemberitahuan.... (tak tahulah ada yg sudi bc ke tidak)



Asslamualaikum... dan salam sayang buat semua.


Di sini ada sedikit info tentang Cinta Itu Milikku (CIM). CIM dijangka bakal menemui anda semua sedikit masa lagi. Nanti akak akan bagi tahu semula sama ada tepat atau tidak jangkaan terbitannya.

Cuma apa yang ingin akak beritahu di sini, CIM mungkin tidak dapat memenuhi tuntutan  dan impian pembaca di luar sana. Dan akak akui, akak bukanlah mahir dalam bidang penulisan ini. Menulis ini sekadar mengisi masa lapang akak. Dan sekadar untuk suka-suka. Yang penting ikut kepala akak yang kadang kala mood ok dan kadang kala ko. Senang cakap gila-gila.


CIM adalah sekadar bahan bacaan ringan dan santai, sesuai untuk spesies mcm akak yang tak suka konflik berat2. Ada sedikit gelak2, marah2 sayang n merajuk tahap tak ingat. Athirah marah, Mikhail pujuk. Mikhail marah, Athirah merajuk...

Ingat ya... adik-adik, jangan mengharapkan sebarang kesempurnaan dalam CIM ini kerana sememangnya dan sebenar-benarnya CIM tidak sempurna. Ini gara-gara penulisnya (akak awak nilah ya...) juga begitu. Insan yang banyak kelemahan dan kekurangan.


AMARAN KERAS:
 Kalau anda bukan pengemar cerita cinta ala-ala romantika de amour, jangan sesekali memegang atau menyentuh CIM ( itupun kalau scene sayang2 abang Mikhail n adik Athirah tidak dipotong buang – akak pun tak tahu lagi apa yg ada di dalam CIM tu ya... )
Jangan cakap akak tak warning awal-awal tau...


Apapun nak tahu lebih lanjut tentang CINTA ITU MILIKKU.... kita tunggu kehadirannya sedikit masa lagi... (sebenarnya akak pun dah lupa mcm mana jln ceritanya....)
 

CINTA ITU MILIKKU ni dah sama macam tajuk drama yang ditayangkan di TV 3...


Opppsss.... sebelum akak terlupa : Ada tak sape2 kat sini yang sudi tolong akak tak. Kalau blh nak cari ‘pemandu pelancong’  untuk projek akan datang... terutama yang tinggal di US. Kalau rajin atau kesian kan akak awak ni la...

Thursday 22 November 2012

Si Pencuri Hati Bab 16




Buat yang ternanti2 kemunculan Darwisy dan Damia. Semoga anda terhibur dengan cerita yang tidak seberapa ini. Kemaafan dipohon atas kekurangan yang ada. Sayang anda semua,..


****************************************************************

DARWISY  menuju  ke  pejabatnya  dengan  riak  cemberut.  Jambangan  bunga  di  tangan  Damia,  menyemarakkan  lagi  api  cemburunya.  Senyuman  manis  yang  menghiasi  bibir  mongel  itu  menyentap  tangkai  hatinya.  Sudahlah  cerekarama  Damia  dengan  seorang  lelaki  di  Starhill  belum  menemukan  penyelesaiannya.  Kini  timbul  pula  cerita  baru. 

            “Masuk  bilik  abang  sekarang,”  arah  Darwisy  melalui  butang  intercomenya.
            Terpinga-pinga  Damia  mendengar  suara  dingin  Darwisy.  Sepatutnya  dia  yang  perlu  merasa  marah  kerana  Darwisy  memungkiri  janji.  Ini  terbalik  pulak!  Hampir  satu  pagi  dia  menunggu  kepulangan  lelaki  itu  tetapi  bayang  pun  tak  nampak.  Ini  mesti  bergaduh  dengan  bini  muda  hingga  aku  menjadi  mangsa,  gerutu  Damia.  Damia  meletakkan  kedua  jari  telunjuknya  ke  tepi  bibir  dan  menolaknya  ke  atas.  Dia  perlu  tersenyum  bila  berhadapan  dengan  Darwisy  nanti.  Damia  masuk  dengan  sebuah  buku  di  tangan.

            “Ada  apa  abang?”  Damia  memaniskan  wajahnya  umpama  gula  enau.

            “Semalam  lepas  abang  hantar  ke  rumah  Jes,  sayang  pergi  mana?”

            Lah...  ingatkan  panggil  masuk  tadi  nak  suruh  buat  kerja!  Rupanya  nak  buat  siasatan  rupanya.  Kuat  mengadu  sungguh  Nurul  Nadira  ni,   gumam  Damia.  Dia  berdehem  dan  membetulkan  letak  pinggulnya.

            “Semalam  sayang  keluar  dengan  Reqza.  Ingatkan  nak  telefon  abang  tapi  bateri  telefon  pula  kong!”  Damia  beralasan.

            “Siapa  Reqza?”  soal  Darwisy  dengan  nada  berbaur  cemburu.

            “Teman  baik  sayang  masa  di  UK  dan  papa  angkat  si  kembar,”  Damia  melihat  wajah  Darwisy  sudah  bertukar  merah.  “Dia  juga  kekasih  Jeslina.”

            Ayat  terakhir  yang  keluar  dari  ulas  bibir  Damia  menyejukkan  hatinya.  Mungkin  bonda  dan  Nurul  Nadira  tidak  perasan  keberadaan  Jeslina  semalam,  fikir  Darwisy.  Lepas  satu  beban  di  kepalanya.

            “Jambangan  bunga  tadi  daripada  siapa?”

            Banyaknya  soalan!  Bila  nak  start  buat  kerja  ni?  Namun  pertanyaan  suaminya  tidak  mampu  dipandang  remeh.“Benjamin  Asyraf.” 

            “Benji?”  tanya  Darwisy  seakan  tidak  percaya  mendengar  nama  yang  baru  terpancul  daripada  mulut  Damia.  Segera  dia  mengambil  bunga  itu  di  bilik  Damia.  Kad  ucapan  yang  terdapat  di  bunga  tersebut  dibacanya...  Wajahnya  kembali  menegang.
           
Sejak  terpandang  wajah  Damia,  hati  ini  sering  merindu.  Adakah  ini  namanya  cinta?  Seandainya  itu   adalah  cinta,  Benji  merasa  amat  bertuah  sekali  jika  Damia  sudi  membalas  salam  percintaan  ini.

Yang  ingin  bersamamu,
Benjamin  Asyraf.

Huh...  tak  bermoral  langsung  mengambil  barang  tanpa  keizinan  tuannya.  Apatah  lagi  membacanya.  Melanggar   hak  asasi  manusia  sungguh!  Getus  Damia.

“Sarah  masuk!”  Darwisy  melontarkan  nada  suara  tegasnya.

Melihat  wajah  Sarah  di  muka  pintu,  dia  terus  bersuara.  “Ada  peminat  rahsia  awak  kirimkan  bunga  melalui  Pn.  Sayang,”  ujar  Darwisy  tanpa  rasa  bersalah  terhadap  Damia.

 Bagaikan  hendak  terkeluar  biji  mata  Damia  dan  Sarah.  Damia  hendak  terjojol  biji  mata  tanda  bengang  manakala  Sarah  pula  merasa  teruja  bila  mendapat  tahu  ada  orang  meminatinya  secara  rahsia.  Darwisy  pula  hanya  tersenyum  sinis  melihat  aksi  dua  orang  perempuan  di  hadapannya.

“Awak  boleh  keluar  sekarang  Sarah.  Tapi  ingat...  jangan  kerana  teruja  dapat  bunga  ini  awak  sampai  hilang  tumpuan  bekerja.”  Darwisy  memberi  amaran.

Suka-suka  aje  orang  tua  ni  bagi  bunga  kat  orang  lain  tanpa  minta  izin  aku  terlebih  dulu,  marah  Damia  dalam  hatinya.

Setelah  Sarah  keluar,  Darwisy  memandang  kembali  wajah  Damia.  Dia  tahu  Damia  marahkan  dirinya.

“Kenapa?  Terkilan  bunga  yang  kekasih  sayang  bagi  tadi  abang  serahkan  kat  orang  lain?”  sindir  Darwisy.

Hisy...  ada  ke  situ  pulak  abang  ni!  Sayang  tak  heran  langsunglah!”  ujar  Damia  sambil  mencebik.  “Sayang  baru  ingat  nak  bagi  bunga  tu  kat  Safina.  Tapi  abang  dah  potong  jalan!”  luah  Damia.  Dia  memang  berhajat  nak  beri  bunga  tu  ke  Safina  tapi  gadis  tu  tergesa-gesa  hendak  ke  tandas.  Bila  terpandang  wajah  masam  Darwisy  terus  dia  terlupa  akan  niatnya.

“Ingatkan  terkilan!”  perli  Darwisy  selamba.  “Sayang  dah  sarapan?”  Darwisy  cuba  menjernihkan  suasana.

“Tak  sempat!  Lewat  bangun!  Ini  abang  punya  pasallah.  Janji  nak  balik  tapi  tak  balik-balik,”  perli  Damia.  

Tersengih  Darwisy  mendengar  sindiran  isterinya.  Terlalu  ikutkan  perasaan  marah,  dia  mengabaikan  janji-janjinya.  “Jom...  sarapan!  Abang  laparlah,”  pujuk  Darwisy.

“Tadi  yang  bersungguh-sungguh  suruh  masuk  sini  bukan  nak  bincang  pasal  kerja  ke?”  perli  Damia.  Wajah  Darwisy  dijeling  geram! 

Ketawa  terkekeh-kekeh  Darwisy  mendengar  perlian  Damia.  “Sambil  sarapan  kita  bincang  pasal  kerjalah.”

“Abang...  sepanjang  dua  minggu  sayang  bekerja  kat  sini  tak  pernah  nampak  pun  abang  kandung  abang  dan  ayah.  Bukan  ke  pejabat  mereka  di  sini?”  Damia  memberanikan  diri  bertanya.

“Abang  Danish  sekarang  sibuk  ulang-alik  ke  pelabuhan.  Ada  sedikit  masalah  teknikal  di  sana.  Ayah  pula  memang  jarang  berada  di  sini.  Dia  sering  turun  padang,  pantau  anak-anak  syarikat  yang  lain.”  Darwisy  memecah  kebuntuan  yang  bersarang  di  otak  Damia. 

            “Mari  kita  pergi  sarapan  dulu.  Pukul  sepuluh  nanti  ada  mesyuarat  jabatan.”  Tangannya  sudah  mencapai  jemari  Damia.

“Tak  ambil  sarapan  lagi  ke?”  tanya  Damia.  Dia  sedikit  kehairanan.  Tak  disediakan  sarapan  ke  kat  rumah  pak  cik  ni?  Apa  punya  isterilah  Nurul  Nadira  tu?  Pemalas!  Aku  dulu  pun  mengandung  juga.  Boleh  aje  memasak!  Eh...  bukan  ke  kat  rumah  dia  ada  orang  gaji?  Tak  akan  orang  gaji  pun  malas  juga?  Agaknya  Si  Darwisy  ni  cerewet  sangat  kut?  Tapi  kat  umah  aku,  tak  ada  pulak  dia  memilih-milih  makanan.  Semuanya  dia  lantak!  Agaknya  kalau  aku  celup  kayu  dan  batu  dengan  coklat  pun  dia  telan!

            “Belum  sarapan  lagi,”  balas  Darwisy.  Dia  juga  sudah  mengheret  Damia  keluar  dari  pejabatnya.

            Sewaktu  melintasi  meja  Sarah,  Darwisy  dapat  melihat  mulut  Sarah  yang  terlopong  melihat  dia  menggenggam  erat  jemari  Damia.

            “Sarah...  awak  jangan  cuba  nak  bergosip.”  Darwisy  memberi  amaran.  “Jika  tidak...  saya  akan  pastikan  tiada  lagi  bunga  daripada  peminat  rahsia  awak  yang  akan  sampai  ke  tangan  awak,”  ugut  Darwisy.  Melihat  anggukan  Sarah,  dia  mengenyit  mata  kepada  gadis  itu. 

            Sarah  sudah  gelisah  di  tempat  duduknya.  Sebagai  gadis  yang  terkenal  dengan  jolokan  minah  kepoh,  terlalu  sukar  rasanya  hendak  menyimpan  sesuatu  rahsia.  Bagaikan  ada  suatu  benda  yang  besar  dan  berat  menghempap  tubuhnya  jika  tidak  diluahkan.  Hisy...  nak  buat  macam  mana  ni?  Gumam  Sarah.

“Cerita...  tak  cerita...  cerita...  tak  cerita...,”  dia  mengelopak  kuntuman  mawar  yang  berada  di  tangannya  satu  persatu.  Pabila  jawapan  yang  diterima  tidak  memuaskan  hatinya  dia  mencapai  lagi  sekuntum.  “Gosip...  tak  bergosip...  gosip...  tak  bergosip...  gosip...”  Matanya  bersinar  gembira  bila  jawapan  yang  diterima  memenuhi  tuntutan  hatinya.  Tetapi  ugutan  Darwisy  mematikan  hasratnya,

            “Siapa  mereka  berdua  ya?  Begitu  mesra!  Damia  sudah  punya  anak.  Adakah  mereka  suami  isteri?  Tapi  tak  pernah  dengar  pula  bos  dah  berkahwin.  Mungkin  Damia  janda  dan  bos  terpikat  dengannya.”   Sarah  menggaru  kepalanya.  Dia  menyambung  kembali  tugas-tugasnya.  Sesekali  matanya  menjeling  jambangan  bunga  yang  begitu  indah  gubahannya.  Bau  haruman  yang  terbit  daripada  bunga  segar  itu  amat  mendamaikan  jiwanya.  Siapakah  lelaki  misteri  itu  ya?  Bibirnya  tanpa  sedar  mengukir  senyuman.

            “Hoi...  minah  kepoh!  Tak  ada  berita  sensasi  ke  hari  ini?”  sergah  Amy  sambil  menepuk  meja.

            “Ada...  ada...  kepoh...  ada...”  Sarah  melatah.  “Hoi...  yang  kau  main  sergah  aku  ni  kenapa?  Dah  takde  kerja  lain  ke?  Kalau  bos  nampak...  mati  kita  kena  marah  dengan  dia.  Kau  bukan  tak  tahu  perangai  dia  macam  mana.  Kalau  dah  start  bukak  mulut,  susah  nak  berhenti.”

            “Eleh...  cakap  aje  yang  kau  ni  penakut!”  ejek  Amy.  “Eh...  ada  bungalah!  Untuk  siapa  ni?  Cantiknya!”  puji  Amy  sambil  mengambil  jambangan  bunga  mawar  merah  itu.

            “Apa  ni...  main  ambik  yang  orang  punya  tanpa  minta  izin  terlebih  dahulu?”  marah  Sarah.  Meluat  sungguh  dia  dengan  tingkah  laku  temannya  itu.

            “Kau  punya  ke?”

            “Tentulah  yang  aku  punya!”  Sarah  merampas  kembali  jambangan  bunga  tersebut.
            Amy  mencebik  melihat  gelagat  Sarah.  Tak  pernah-pernah  dapat  bunga,  tiba-tiba  hari  ini  boleh  dapat  bunga  pulak.  Pelik!  Orang  gila  manalah  yang  bagi  bunga  dekat  Sarah  ni?  Hatinya  tiba  dihambat  rasa  cemburu.  Kenapalah  bukan  dia  yang  menerima  jambangan  bunga  itu?

            “Sarah...  Amy...  dah  siap  semua  kerja  awak?”  tegur  Darwisy.

 Dari  tadi  lagi  dia  perhatikan  gelagat  dua  orang  pekerjanya  itu.  Mengalahkan  wartawan  majalah  hiburan.  Tak  habis-habis  nak  menjaja  cerita  tentang  orang  lain.  Baru  setengah  jam  dia  pergi  bersarapan.  Dah  mula  kumpulkan  ahli  kelab  gosipnya.  Jika  lebih  lama  dia  keluar?  Entah  apa  akan  jadinya!

            “Be...  belum  lagi  bos,”  jelas  Amy  tergagap-gagap.  Tanpa  berlengah  dia  terus  beredar. 
            Darwisy  merenung  Sarah.  Bagaikan  faham-faham  makna  renungan  Darwisy,  Sarah  membuka  mulut.  “Bos  jangan  bimbang.  Rahsia  bos  tetap  tersimpan  rapi.  Saya  akan  pastikan  mulut  saya  sentiasa  berzip!”

            “Bagus!  Saya  pegang  kata-kata  awak.  Tapi...  sekiranya  saya  terdengar  cerita  yang  tak  baik  tentang  saya  dan  Damia,  saya  tidak  teragak-agak  memecat  awak!”  gertak  Darwisy.

            Sarah  menelan  air  liurnya  berulang  kali.  Jika  dia  dibuang  kerja  macam  mana  dengan  masa  depannya?  Dalam  keadaan  kegawatan  ekonomi,  agak  sukar  dia  hendak  mencari  pekerjaan  baru.  Di  luar  sana  berebut-rebut  orang  mencari  kerja.  Tak  akan  semata-mata  sebuah  cerita  yang  tidak  tahu  hujung  pangkalnya,  dia  sanggup  dibuang  kerja?  Itu  bodoh  namanya!

            Darwisy  mencari  isterinya.  Mana  pulak  dia  pergi.  Kata  tak  lama.  Ini  dah  lebih  lima  minit  tak  naik-naik  lagi.  Kejap  lagi  dah  nak  meeting,  getus  Darwisy.  Inilah  orang  perempuan!  Bila  dah  jumpa  kawan,  tak  ingat  suami,  bebelnya  dalam  hati.  Darwisy  melangkah  ke  biliknya.




TENGAH  HARI  ITU,  Damia  menerima  kunjungan  tidak  rasmi  daripada  Benjamin  Asyraf.  Terperanjat  dia  ketika  muka  Benjamin  Asyraf  muncul  di  hadapan  pintu  pejabatnya.

            “Assalamualaikum...”  Benjamin  Asyraf   memulakan  bicaranya.  “Masih  sibuk  lagi  ke?”  Dia  bertanya  ramah  sambil  melihat  jam  tangannya.

            “Waalaikumussalam,  silakan  duduk  En.  Benjamin.”  Damia  menyapa  ramah.  Damia  melihat  jam  di  dinding  bilik  pejabatnya.  Masih  ada  sepuluh  minit  lagi  sebelum  masa  rehat.  Damia  mengemas  mejanya  yang  sedikit  bersepah.  “En.  Benjamin  dari  mana?”  tanya  Damia  berbasa-basi  sekadar  tidak  mahu  dikatakan  sombong.

            “Panggil  saya  Benji.  Mia  bukannya  pekerja  saya.”  Benjamin  Asyraf  menyuarakan  ketidakpuasan  hatinya.   “Saya  nak  ajak  Mia  keluar  makan  tengah  hari,”  ujar  Benjamin  Asyraf  dengan  senyuman  menawan  terbit  di  ulas  bibirnya. 

            “Masih  ada  sepuluh  minit  lagi  sebelum  waktu  rehat  Benji.”  Damia  beralasan.  Bimbang  dia  jika  suaminya  mengamuk.  Mujurlah  kes  pagi  tadi  sudah  reda.  Dia  tidak  mahu  lagi  melihat  muncung  itik  Darwisy.  Susah  dia  hendak  buat  kerja  nanti  sekiranya  lelaki  itu  buat  hal.  Perangai  sebijik  macam  Farisya.  Kuat  merajuk! 

            “Takpe  saya  sanggup  tunggu,”  balas  Benjamin  Asyraf.

            Damia  sudah  keresahan.  Apa  hendak  dia  jawab  dengan  Darwisy  nanti?  Sedangkan  dapat  bunga  pun  lelaki  itu  sudah  mengamuk,  inikan  pula  keluar  makan.  Boleh  dapat  penyakit!  Tak  sanggup  dia  hendak  mendengar  Darwisy  berjerayawara.  Terdengar  pintu  biliknya  diketuk.

            “Masuk,”  arah  Damia.

            Terjengul  kepala  Darwisy  sambil  tersenyum.  “Eh...  Benji  pun  ada.”  Darwisy  pura-pura  tidak  tahu.  Pada  hal...  dia  punyalah  hendak  semput  berkejar  ke  bilik  Damia  setelah  tahu  kedatangan  Benjamin  Asyraf.  Mujur  ada  wartawan  bergerak  di  pejabatnya.  Jika  tidak...  tentu  berita  sensasi  itu  lambat  sampai  ke  telinganya.

            “Rasanya  kita  takde  meeting  hari  ini.”  Darwisy  meneruskan  lakonannya.  Dia  dapat  mengagak  tujuan  Benjamin  Asyraf  datang  ke  pejabatnya.  Mesti  tak  habis  lagi  hendak  mengayat  bini  aku!

            “Aku  nak  ajak  Damia  keluar  makan  tengah  hari.  Itupun  jika  kau  tak  keberatan.”  Benjamin  Asyraf  mengutarakan  hasratnya.

            “Aku  sebenarnya  tak  keberatan  jika  Damia  nak  pergi  keluar  makan  tengah  hari  dengan  kau  asalkan  kau  juga  tak  kisah  jika  aku  ikut  serta,”  balas  Darwisy  selamba.  “Aku  sebenarnya  ada  benda  yang  hendak  bincangkan  dengan  PA  aku  ni.  Maklumlah  esok  kami  ada  mesyuarat  di  Petaling  Jaya,”  dalih  Darwisy.

            Dahi  Damia  berkerut-kerut  memikirkan  jadual  esok  hari.  Rasanya  tidak  ada  mesyuarat  di  Petaling  Jaya  seperti  yang  dikhabarkan  oleh  Darwisy.  Tapi  tidak  tahulah  sekiranya  maklumat  terkini  itu  belum  sampai  ke  pengetahuannya.  Mungkin  Sarah  terlupa  agaknya  ataupun  selepas  makan  tengah  hari  nanti  baru  hendak  beritahu  kepadanya,  gumam  Damia.

            “Kalau  begitu  marilah  kita  keluar  makan  sama-sama,”  ujar  Benjamin  Asyraf  separuh  hati.  Kecoh  betul  Si  Darwisy  ni!

            “Kau  tunggu  sekejap.”  Darwisy  keluar  seketika.  Tidak  lama  kemudian  dia  muncul  bersama  Sarah.  Pening  kepala  Damia  memikirkan  agenda  Darwisy  seterusnya.

            “Kenalkan  setiausaha  aku,  Sarah.  Sarah  ini  En.  Benjamin  Asyraf.  Dia  akan  belanja  kita  makan  tengah  hari  nanti.”

            Sarah  yang  tidak  tahu  menahu  rancangan  bosnya  hanya  tersenyum  malu.  Kacak  juga  Benjamin  Asyraf  ni,  bisik  hati  Sarah.  Kalau  jadi  boyfriend  aku  kan  bagus.  Dalam  pada  itu  hatinya  tertanya-tanya  apakah  tujuan  Darwisy  mengajaknya  keluar  makan  tengah  hari  bersama.  Adakah  bosnya  itu  meminati  dirinya?  Tapi  bagaimana  pula  dengan  Damia?  Mereka  nampak  seperti  pasangan  kekasih!  Ke  mana  sahaja  berdua.  Hisy...  apalah  kau  ni,  Sarah?  Dah  sah-sah  Damia  tu  PA  dia,  tentulah  ke  mana  sahaja  bersama.  Tapi  tak  akan  sampai  berpegangan  tangan?

            Lebar  senyuman  Benjamin  Asyraf.  Gembira  rasa  hatinya  bila  Darwisy  bukan  berpacaran  dengan  Damia  tetapi  dengan  Sarah.  Tentu  Sarah  buah  hati  Darwisy,  getus  Benjamin  Asyraf.  Darwisy  yang  tidak  tahu  makna  senyuman  Benjamin  Asyraf  juga  turut  tersenyum.

            Damia  pula  mengambil  kesempatan  untuk  mengenakan  suaminya.  Kena  potong  gaji  pun  tak  mengapa  asalkan  hatinya  puas.

            “Mari  Sarah,  Benji  dan  Tengku,  kita  keluar  makan,”  ujar  Damia  sambil  tersenyum  mengejek  memandang  wajah  suaminya  yang  cemberut.

            “Kita  nak  pergi  berasingan  atau  bagaimana?”  Benjamin  Asyraf  bertanya.

            “Apa  kata  kita  pergi  berasingan,”  cadang  Damia.  “Sarah  dengan  Tengku  Darwisy  dan  kita  berdua.”  Sengaja  Damia  menyakiti  hati  Darwisy.  Dendamnya  pada  Darwisy  belum  terlerai   setelah  Darwisy  memungkiri  janji  dan  tidak  pulang  ke  rumahnya.  Biar  lelaki  itu  rasa  sakitnya  bila  diri  dikhianati.

            Darwisy  memandang  wajah  Damia  dengan  perasaan  marah  yang  teramat  sangat.  Isterinya  seolah-olah  sengaja  menuang  minyak  petrol  ke  dalam  api  yang  sedang  marak.  Untuk  mengelakkan  sesiapa  dapat  menghidu  gejolak  rasanya,  Darwisy  menenangkan  diri  dan  perasaannya.  Bagaikan  satu  rahmat,  tiba-tiba  telefon  bimbitnya  berbunyi.

            “Sebentar.”  Darwisy  memohon  izin  beredar.  Setelah  tamat  perbualan  Darwisy  menghampiri  mereka. 

            “Maaf  saya  kerana  tak  dapat  turut  serta  untuk  makan  tengah  hari  ini.  Ada  perjumpaan  dengan  ayah  saya.  Sarah...  awak  tolong  temankan  En.  Benji  kerana  Damia  terpaksa  ikut  saya,”  arah  Darwisy.

            “Sekiranya  Damia  tidak  dapat  turut  serta  tak  mengapalah.  Kita  batalkan  sahaja  makan  tengah  hari  kita  untuk  hari  ini,”  ujar  Benjamin  Asyraf  sedikit  kecewa.  “Damia  nanti  saya  akan  hubungi  awak.  Mungkin  kita  keluar  dinner  bersama,”  ujar  Benjamin  Asyraf  tanpa  segan  silu.  “Sorry...  Sarah!”  usai  berkata-kata  Benjamin  Asyraf  terus  beredar.

            Sarah  juga  turut  beredar  setelah  Benjamin  Asyraf  pergi.  Untuk  apa  dia  terus  tercegat  di  situ  kerana  dia  tahu  Darwisy  dan  Damia  juga  akan  keluar  tidak  lama  lagi.  Damia  menatap  muka  Darwisy  yang  tegang.  Apa  yang  tak  kena?  Bimbang  juga  dia  jika  ada  sesuatu  yang  tidak  diingin.

            “Kenapa  abang?  Apa  yang  sudah  berlaku?”  Risau  juga  Damia  melihat  Darwisy  bagaikan  dalam  dunianya  sendiri.

            “Abang?  Bukannya  Tengku  Darwisy?”  sindir  Darwisy  tanpa  menoleh  ke  arah  Damia.

            Damia  memandang  wajah  suaminya.  Entah  angin  apa  yang  merasuk  dirinya  tiba-tiba  dia  pula  terasa  ingin  merajuk.  Segera  dia  memalingkan  wajahnya  ke  lain  dengan  muncung  panjang  sedepa.

            Aiks...  aku  yang  terasa  hati  dengan  perbuatan  dia,  dia  pulak  yang  tarik  muncung  berdepa-depa!  Darwisy  menggaru  kepalanya  yang  tiba-tiba  terasa  gatal.  “Yang  sayang  tiba-tiba  tarik  muncung  ni  kenapa?”

            Damia  tetap  membatukan  diri.  Darwisy  sudah  ketandusan  idea.  Dia  memang  tidak  pernah  berhadapan  dengan  perempuan  merajuk.  Malahan  dia  buat  endah  tak  endah  sahaja  jika  ada  yang  mengada-ngada  atau  pura-pura  merajuk  semata-mata  ingin  menarik  perhatiannya.  Tapi  dengan  isteri  tercinta  tak  akan  hendak  buat  tidak  tahu  sahaja.  Mahu  menangis  seribu  tahun!

            “Apa  yang  tak  kena  ni?”  pujuk  Darwisy.  Sebelum  itu  sempat  juga  dia  mengunci  pintu  bilik  Damia  dan  pintu  bilik  yang  menghubungkan  bilik  Damia  dengan  biliknya.  Tangan  Damia  diraih  dan  di  bawa  ke  sofa.  Tubuh  Damia  diusap  mesra. 

            “Abang  tu  lah!  Sayang  tanya  apa  yang  berlaku,  buat  tak  tahu  aje,”  marah  Damia  manja.  Terasa  lain  pula  yang  menjalar  dalam  tubuhnya  pabila  Darwisy  membelai  lembut  tubuhnya.  Hatinya  yang  panas  tiba-tiba  menjadi  sejuk  dengan  pujukan  Darwisy.

            “Kenapa  abang  tak  balik  malam  tadi?  Penat  tau  sayang  tunggu,”  rajuk  Damia  kembali.
            Lah...  tak  habis  merajuk  lagi  rupanya?  Hingga  meleret-leret  kisah  dia  tak  pulang  malam  tadi.  Ingatkan  dah  belanja  sarapan,  dah  sejuk  hatinya.  Tapi  dipendam  dalam  hati.  Manja  juga  bini  aku  ni,  bisik  Darwisy  dalam  hatinya.  Darwisy  memeluk  isterinya.  Tangannya  mengusap  lembut  kepala  isterinya.

            “Maafkan  abang  sebab  tak  pulang  malam  tadi.  Sebenarnya  abang  cemburu  bila  bonda  dan  Nurul  Nadira  beritahu  berjumpa  dengan  sayang  bersama  seorang  lelaki.  Mereka  kata  lelaki  itu  suami  sayang.  Suami  mana  yang  tak  marah  bila  tahu  isterinya  curang  di  belakang.”

            Damia  mencebik  mendengar  kata-kata  suaminya.  Eleh...  nak  ‘goreng’  akulah  tu!  Sorry...  tak  lut!  Macam  aku  tak  tahu  yang  dia  sayang  nak  tinggal  bini  muda  dia.

            “Tadi  abang  kata  ayah  telefon  suruh  jumpa.  Kenapa  tak  pergi  lagi?”

            “Memang  ayah  telefon  tapi  bukan  nak  jumpa  cuma  dia  ajak  makan  tengah  hari.  Tapi  sekejap  lagi  sebab  ayah  ada  hal  sikit.”

            “Habis  tu  kenapa  abang  tak  bagi  sayang  keluar  dengan  Benji?”  Damia  menyakat  suaminya.

            “Amboi...  memang  ada  hati  nampak  nak  rapat  dengan  Benji?”  perli  Darwisy.

            “Tak  baik  main  tuduh-tuduh!  Habis  tu  yang  abang  gatal-gatal  ajak  Sarah  tu  kenapa?”  tanya  Damia  dengan  nada  berbaur  cemburu.

            “Habis  tu  yang  sayang  nak  naik  kereta  berdua  dengan  Benji  tu  kenapa?”  Darwisy  menggiat  isterinya  pula.  Dia  tahu  Damia  sengaja  hendak  mengenakan  dirinya  dan  buat  dia  cemburu.  Andai  kata  Damia  terpikat  dengan  Benjamin  Asyraf , tentu  sudah  lama  dulu  isterinya  bersetuju  bila  keluarga  mereka  berhasrat  hendak  menjodohkan  mereka.

            “Dah  abang  ajak  Sarah.  Sayang  ajaklah  Benji.”

            “Cemburu  juga  isteri  abang  ni  rupanya.”  Darwisy  mencuit  hidung  isterinya.

            Damia  mencubit  pinggang  suaminya.  Malu  pula  dia  bila  tertangkap  cemburu  oleh  Darwisy.  Tapi  cuba  cerita...  isteri  mana  yang  tak  cemburu  bila  melihat  suami  bersama  dan  bermesra  dengan  perempuan  lain?

            “Sudahlah...  jangan  nak  merajuk-rajuk.  Tak  ada  maknanya  abang  nak  pikat  Sarah  atau  perempuan  lain.  Abang  dah  ada  sayang.  Tak  terfikir  abang  hendak  mencari  perempuan  lain.  Hati  dan  cinta  abang  cuma  satu  dan  tak  mampu  abang  hendak  kongsikan  dengan  yang  lain.  Percayalah!”  Darwisy  merenung  isterinya  untuk  menunjukkan  keikhlasan  hatinya.