Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Tuesday 4 September 2012

Si Pencuri Hati! Bab 15


  SALAM.... Buat semua pembaca setia SPH... Bab 15 adalah bab terakhir yang akan bersiaran di blog BHSK ini. Terima kasih kerana menyokong selama ini. Sayang anda semua. 

**********************************************************

REQZA membawa sahabat baiknya Damia dan si kembar ke Starhill. Dia ingin menghabiskan masa hujung minggunya bersama Fareez dan Farisya. Selepas ini dia tidak punya banyak waktu untuk bertemu si kembar. Setelah menyatakan persetujuan untuk menyertai Padu Niaga, papanya telah meminta dia menguruskan salah sebuah anak syarikat Padu Niaga.

Reqza menurunkan Damia dan anak-anaknya terlebih dahulu. Memandang hujung minggu, kebanyakannya tempat letak kereta sudah penuh. Damia akur dengan keputusan Reqza. Ketika dia melintasi di restoran makanan segera, dirinya disapa seseorang. Lantas Damia menoleh untuk melihat siapakah gerangannya. Terkaku dia seketika dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan ini.

“Bonda kenalkan ini Mia. Mia... ini ibu mentua saya, Tengku Faridah.”

Kenapalah aku asyik terserempak dengan muka dia aje ni? Malang sungguh nasib badan! Bisik hati Damia. Damia menghulurkan tangannya bersalaman dengan Tengku Faridah dan madunya. Walaupun hatinya sebal, dia tetap memaniskan muka.

Tengku Faridah memerhati wajah Damia. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu.

“Ini Sayang Damia, anak Dr. Karina, kan?” Tanya Tengku Faridah inginkan kepastian.

Damia pantas mengangguk.

          “Tengku kenal dengan mama saya?” Damia bertanya dengan nada terkejut. Dia sudah berasa tidak senang hati dengan pertemuan yang tidak disengajakan ini. Janganlah hendaknya bonda Darwisy membuka apa-apa cerita di hadapan mamanya. Dia bimbang akan penerimaan mamanya.

“Panggil mak cik sahaja. Dulu mama Mia dan mak cik bercadang hendak jodohkan kamu dengan anak mak cik. Nampak gayanya takde rezekilah kami nak berbesan,” ujar Tengku Faridah sambil ketawa. Dia sedikit terkilan.

“Ya ke bonda? Tak tahu pun. Nak dijodohkan dengan siapa? Danish atau Darwisy?”

“Tentulah dengan Darwisy. Dia seorang sahaja yang bujang.”

Damia masih ingat tentang calon menantu pilihan mamanya yang bernama Tengku itu. Cuma dia tidak memberi perhatian terhadap lelaki itu. Adakah gambar lelaki yang memakai seluar koyak rabak dan bertampal sana-sini adalah Darwisy? Suaminya? Sungguh tak masuk dek akal. Akhirnya dia berkahwin juga dengan calon pilihan mamanya walaupun dia berusaha menolak jauh jodoh yang cuba diaturkan untuknya. Sungguh hebat kekuasaan ALLAH. Tapi apa yang hendak dikatakan lagi... Darwisy juga mempunyai isteri, selain dirinya. Tentu Tengku Faridah masih belum tahu yang anak lelakinya itu sudah berkahwin dua. 

Untuk tidak kelihatan canggung, Damia berusaha menyertai Tengku Faridah dan madunya berbual.

“Dah berapa bulan? Hari tu tak sempat nak bertanya,” dalih Damia. Padahal baru sekarang dia perasan bonjolan di perut madunya itu. Hatinya bertambah sakit. Kata tak sayang dan cinta! Tapi yang dalam perut madunya tu apa? Bukankah itu tandanya dia juga merelakan hubungan yang terjalin?

“Hampir empat bulan. Dah lama kami menantikan kehadirannya. Mujurlah ALLAH beri kesempatan untuk saya menjadi ibu.” Jelas terpancar kegembiraan di wajahnya. “Mia buat apa di sini?”

“Bawa anak-anak jalan-jalan,” terang Damia ramah walaupun dalam hatinya terseksa bagai nak rak hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia berusaha tersenyum dan mengawal nada suaranya sebaik mungkin.

          “Nurul dengan mak cik pula buat apa di sini?” Argh... betapa bodohnya pertanyaan yang diketengahkan olehnya. Tentulah mereka datang ke mari hendak membeli-belah.

“Nurul? Dulu saya perkenalkan diri saya sebagai Nurul ke?”

Damia angguk kepala.

“Nurul pun Nurullah! Saja window shopping.”

Tengku Faridah merenung wajah si kembar dengan perasaan yang sukar hendak digambarkan. Muka si kembar ada iras-iras anak lelakinya semasa kecil. Belum sempat dia membuka mulut bertanya, muncul seorang lelaki.

“Assalamualaikum,” sapa Reqza ramah.

“Waalaikumussalam,” balas mereka bertiga. 

          “Kenalkan ini Reqza,” ujar Damia kepada Tengku Faridah dan perempuan yang bernama Nurul itu. “Reqza ini Tengku Faridah dan Nurul.”

Reqza menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat. Begitu juga dengan Tengku Faridah dan menantunya. Tengku Faridah mencuri pandang wajah Reqza dan si kembar, namun tiada persamaan pada wajah mereka. Si kembar itu lebih mirip wajah Darwisy dan Danish.

“Suami Damia ke?” Perempuan yang bernama Nurul itu bertanya.

          Damia yang sedang sibuk melayan kerenah kembarnya hanya tersenyum. Dia sebenarnya tidak mendengar soalan yang diajukan untuknya. Reqza pula sibuk melayan anak lelakinya yang mula berjalan ke sana ke mari. Mereka kini sudah tidak mahu dipegang lagi.

“Takpelah Mia, kami nak bergerak dulu. Ada masa kita jumpa lagi.” Usai bersalaman dengan Damia, dia mengajak Tengku Faridah beredar.

“Mari bonda, kita pergi ke butik lain. Lewat balik, abang bising pula.”

Tengku Faridah menuruti ajakan menantunya. Hatinya masih tertanya-tanya siapakah si kembar itu?

“Siapa tu?” Soal Reqza.

“Kalau kau nak tahu, itulah mentua dan madu aku.”

“Aku tengok okey aje kau layan madu kau.”

“Kau sindir aku ke?” Tanya Damia dengan perasaan jengkel.

“Mana ada! Aku berkata yang benar. Bukan ke itu yang kau pamerkan depan aku tadi,” balas Reqza.

“Luaran memanglah nampak okey. Hati aku merintih pedih, jiwa aku merana dan hidup aku sengsara... ada kau tahu?” Damia meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Setahu aku... orang kalau bertemu dengan madu mereka, dia orang akan ‘perang’. Tapi aku tak tengok pun adegan perang mulut atau tarik-tarik rambut tadi!” Giat Reqza sambil tersenyum mengejek.

“Gila kau! Tak akan aku nak bersilat... berkuntau... disebabkan dia berkahwin dengan Darwisy. Lainlah jika dia serang aku dulu. Aku rasa... dia pun tak tahu yang dirinya dimadukan!”

“Baiknya kau! Aku pun nak cari isteri yang serupa macam kau lah. Bila aku kahwin lagi... dan lagi... dan lagi..., takdelah isteri aku baling pinggan mangkuk dan periuk belanga,” ujar  Reqza dengan ketawa kelucuan.

“Jangan nak merepek Reqza!” Tutur Damia dengan nada sayu. “Kau tak tahu bagaimana hancur dan merananya hati seorang isteri bila cinta suaminya terbahagi dua. Kau tak tahu betapa perit dan deritanya jiwa seorang wanita bila suaminya terpaut dengan wanita lain. Dan kau tak tahu betapa luka dan seksanya hidup seorang perempuan bila suaminya curang,” ujar Damia sambil menatap wajah temannya itu. “Cuba kau letakkan diri kau di tempat kami dan cuba kau selami hati seorang perempuan. Tentu kau akan rasa betapa sakit dan peritnya hidup insan bernama perempuan bila sang suami menduakan mereka.”

Terdiam Reqza mendengar luahan hiba Damia. Berat sungguh bebanan yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Seandainya dia menjadi suami Damia, tidak akan sekali-kali dia membuat hati isterinya itu menderita. Pelukan dieratkan bila Fareez sudah tertidur di bahunya. Tangan kanannya mengesat mutiara putih yang mula mengalir di pipi Damia.

“Janji dengan aku Req, sekiranya kau bertemu dengan idaman hati kau, jadilah suami yang setia. Jangan sesekali kau mainkan perasaan pasangan kau.”

Syyy... jangan menangis! Nanti orang ingat aku marah kau pula,” usik Reqza sambil berbisik.

“Janji Req!” Damia menagih kepastian daripada Reqza. Dia mencari anak mata Reqza. Dia tidak mahu Reqza menjadi seperti sebahagian lelaki di luar sana yang tidak bertanggungjawab dan suka mempermainkan hati dan perasaan pasangannya.

Reqza mengangguk.

“Aku akan berusaha untuk setia!” Kenyitan dihadiahkan buat Damia.

Damia tersenyum nipis dengan usikan nakal Reqza. Itulah sahabatnya dunia dan akhirat. Lelaki itu sentiasa ada di waktu suka dan duka. Temannya itu selalu di sisi saat dia senang dan susah.



DARWISY duduk bersantai di tepi kolam renang bersama Danish. Ayahnya Tengku Dzulkarnai keluar bermain golf bersama rakannya. Kelihatan bonda dan kakak iparnya menatang dulang yang mengandungi juadah minum petang.

Darwisy segera mengambil minuman tersebut. Tekaknya terasa haus. Sudahlah ketika dia tiba, tiada sesiapa di rumah. Bondanya yang sibuk meminta dia segera pulang pun... hilang entah ke mana. Danish pula sibuk dengan rakan tenisnya. Panas sungguh hati Darwisy dibuatnya.

Nadira mengambil tempat di sebelah suaminya. Tangannya menepuk lembut paha suaminya.

“Abang nak tahu..., tadi Ira terserempak dengan calon menantu tak jadi pilihan bonda untuk Darwisy.” Nadira membuka bicara. “Cantik orangnya bang!” Sambungnya lagi. Matanya menjeling Darwisy.

Berkerut-kerut dahi Darwisy. Siapa yang kakak iparnya maksudkan? Natilia? Masakan Nadira tak kenal dengan perempuan gila itu?

Danish menuntas pandangannya ke wajah Nadira. Dia juga ingin tahu siapakah gerangan perempuan malang yang cuba dijodohkan dengan adiknya itu.

“Siapa dia?” Danish bersuara.

“Siapa namanya bonda?” Nadira pura-pura bertanya Tengku Faridah.

Danish memandang geram wajah isterinya yang bernama Nurul Nadira itu. Dia tahu isterinya sengaja hendak mendera perasaannya.

Nadira tersengih-sengih memandang wajah geram suaminya.

“Alahai... apalah nama budak tu tadi! Cantik orang Darwisy. Rugi kamu menolaknya dulu.” Tengku Faridah memandang wajah si bongsunya. “Siapa ya...” Tengku Faridah cuba mengingati nama anak sahabat karibnya Dr. Karina. “Ha... Sayang Damia,” ujar Tengku Faridah spontan.

Bersembur air dari mulut Darwisy dan Danish. Masing-masing memandang antara satu sama lain.

Pelik Tengku Faridah dan Nadira memandang mereka.

Hisy... kamu berdua ni, tak senonoh betul! Kenapa sampai bersembur macam tu sekali? Ada yang tak kena ke dengan nama Sayang Damia? Atau bonda tersebut nama Maya Karin atau Lisa Surihani?” Sindir Tengku Faridah.

“Entahlah abang dan Darwisy ni, minum mengalahkan budak kecik. Gelojoh! Tengok! Habis basah muka Ira,” omel Nadira sambil mengesat mukanya dengan lengan baju sebelum berlalu ke pili air.

Danish dan Darwisy memandang wajah Nadira yang kebasahan. Mereka tersengih bersalah.

Hati Darwisy sudah tidak tenteram. Habislah kalau bonda tahu siapa Damia, bisik hatinya.

“Di mana bonda jumpa dia?” Tanya Danish mewakili Darwisy.

“Kami jumpa di Starhill. Tak sangka pulak dia dah kahwin! Comelnya anak-anak dia,” jelas Tengku Faridah sambil menyuap bingka ubi ke dalam mulutnya.

Darwisy semakin panas punggung. Perit tekaknya masih belum lagi hilang. Kini dihidangkan pula berita yang boleh membuatkan jantungnya mengepam laju. Dadanya berdegup kencang mendengar kata-kata bonda. Janganlah Damia membuka apa-apa cerita tentang dia, getus Darwisy.

“Kacakkan bonda, suami dia.”

Tengku Faridah angguk kepala menyetujui kata-kata menantunya.

“Rugi abang tak ikut tadi. Jika tidak, boleh berkenalan dengan suami dia.”

Danish memandang pelik wajah Darwisy. Begitu juga dengan Darwisy. Masakan Nadira tak kenal muka Darwisy. Atau Damia keluar dengan lelaki lain? Gumam Danish.

Dengan siapa pula Damia keluar? Bukan ke tadi dia berada di rumah Jeslina? Damia keluar dengan keluarga Jeslina kut! Mungkin Damia berjalan dengan Pak Cik Abdullah. Pak Cik Abdullah walaupun sudah berumur tetapi masih segak dan bergaya. Darwisy menyedapkan hatinya.

“Muda ke tua pasangannya?” Tanya Darwisy. Dia cuba menutup kegelisahan di hatinya.

“Tentulah muda! Mungkin sebaya dengan Damia,” jawab Tengku Faridah tanpa mengetahui apa yang berladung dalam hati anak bongsunya itu. “Terkilan juga bonda tak dapat jadikan dia menantu di rumah ini. Baik dan sopan santun budaknya. Beruntung suami dia,” ujar Tengku Faridah sedikit terharu. Dia benar-benar berkenan dengan anak sahabatnya itu. Jika masih bujang lagi, memang dia dah serbu rumah Dr. Karina hari ini untuk masuk meminang. Tak kisahlah seandainya Darwisy berkeras menolak, asalkan hajatnya dapat dipenuhi.

Menyirap darah Darwisy mendengar keterangan bondanya. Tidakkah Damia berasa berdosa kerana membelakangkan suaminya? Perempuan ni mesti diajar, bisik hati Darwisy geram. 

“Kamu bila nak kahwin Darwisy? Umur makin meningkat! Tengok Danish, tak lama lagi dah nak jadi ayah,” luah Tengku Faridah. “Seronok bonda tengok suami Damia melayan anak-anaknya. Pandai dia pilih suami.” Tengku Faridah menoleh melihat Darwisy. Muka anak lelakinya kelihatan merah dan tegang. Apa masalah anaknya itu? Macam hendak marah sahaja lagaknya.

Hati Darwisy semakin hangus terbakar mendengar kata-kata bondanya. Memang nak kena perempuan ni!

Danish menguis kaki adiknya. Raut wajah Darwisy yang tegang membimbangkan Danish. Risau dia jika bondanya jatuh pengsan atau kena serangan jantung jika rahsia itu tiba-tiba terbongkar.

Darwisy segera mengawal perasaan amarahnya.

“Kenapa Darwisy?” Tanya Tengku Faridah. Risau dia melihat wajah kelat anaknya.

“Kenapa apa?” Darwisy bertanya kembali seolah-olah tidak faham dengan soalan bondanya.

“Bonda tengok macam orang tengah marah aje!”

“Marah? Tak adalah bonda. Darwisy baru teringat ada satu lagi dokumen yang belum selesai disemak. Esok ada meeting. Tentu kelam-kabut Darwisy pagi esok,” dalih Darwisy.

“Cuti-cuti ni, tolaklah dulu ke tepi hal-hal pejabat. Kerja tu semua sampai kamu mati pun tak akan habis,” omel Tengku Faridah. “Cubalah ikut macam ayah kamu tu, pergi beriadah dan bersukan. Ada juga faedahnya. Ini tidak... asyik hilang entah ke mana pun bonda tak tahu. Kalau menghilang cari calon isteri tak apalah juga. Ini... satu pun tak ada!” Bebel Tengku Faridah.

Danish dan Nadira tersengih memandang wajah mencuka Darwisy.

Darwisy menjeling geram pada abang dan kakak iparnya.

“Ini... bonda nak tanya ni. Berhari-hari tak nampak batang hidung, kamu pergi mana?” Tengku Faridah memandang tajam wajah anaknya. “Dan... kamu tidur di mana? Jangan kata tidur di hotel Casuarina. Bonda dah berkali-kali call hotel, tapi mereka kata kamu tak ada.” Tengku Faridah mula menyerang.

Darwisy tersenyum kelat mendengar serangan bondanya. Mana mungkin dia akan menceritakan tentang kehilangannya selama beberapa hari ini dalam masa yang terdekat. Mahu pengsan bonda dan Nadira jika dia buka kisah hidupnya sekarang. Tak pasal-pasal ada yang kena usung ke hospital.

“Tak ada ke mana-manalah bonda. Darwisy ada urusan kerja di luar,” bohong Darwisy. Maaf bonda kerana membohongi dirimu. Ampunkan dosa anakmu ini.

Fikiran Darwisy masih lagi runsing memikirkan perihal Damia. Sesak dadanya mendengar cerita tentang Damia dengan seorang lelaki kacak. Tiba-tiba dia teringatkan wajah seseorang. Adakah dia? Hatinya kembali sebal.

Tengku Faridah memandang geram wajah anaknya. Ada sahaja alasan yang akan keluar dari mulut itu. Namun dia tidak mahu memanjangkan bual bicaranya. Dia tahu anak-anak dan suaminya begitu sibuk melebarkan empayar perniagaan keluarga mereka.

“Jom... Darwisy! Kata tadi nak pergi hantar cuci kereta. Abang pun dah lama tak cuci kereta Ira. Nak harapkan kakak ipar kamu ni, alamatnya berkulatlah kereta tu.” Danish menjeling isterinya.

Muncung mulut Nadira mendengar sindiran suaminya itu. Dia mula mengangkat punggung. Dia juga tidak mahu ikut campur dalam urusan keluarga mentuanya. Nadira mengutip cawan dan pinggang kotor lalu dibawa masuk ke dalam rumah.

Darwisy tahu Danish cuba menyelamatkan keadaan. Walaupun moodnya sudah dibawa terbang, Darwisy terpaksa akur dengan cadangan Danish. Dia juga tidak mahu mengecohkan suasana yang mula membahang itu. Hati bondanya harus dijaga dengan baik.

“Rilekslah! Jangan buat muka macam nasi basi. Sekiranya bonda dapat kesan wajah keruh Darwisy tentu susah kita hendak tutup rahsia ini lagi.” Danish bersuara setelah mereka berada di garaj kereta.

Darwisy meraup wajahnya. Terbit rasa kesal di hatinya kerana gagal menyembunyikan gejolak di hatinya.

“Bila Darwisy nak ceritakan perkara yang sebenarnya pada bonda? Sampai bila kita nak sorok perkara ini? Bonda pun abang tengok dah mula mengesyaki Darwisy.”

“Darwisy belum bincangkan perkara ini dengan Damia. Lagipun kami masih baru lagi berjumpa kembali. Darwisy tak mahu terburu-buru, bimbang Damia tertekan. Penerimaan dia terhadap Darwisy pun masih lagi hambar. Bila keadaan dah benar-benar selesa, baru Darwisy umumkan pernikahan kami.”

“Eleh! Dalam pada tak nak rahsia ini terbongkar tapi kat mana-mana wajib panggil  ‘abang’ dan ‘sayang’,” sindir Danish. Melihat buntang mata Darwisy, dia menokok. “Sorry... terdengar perbualan antara Darwisy dan Damia tempoh hari,” ujar Danish dengan ketawa tidak henti.

“Darwisy sengaja buat begitu supaya dia terasa dekat dengan Darwisy. Sekiranya kami... berengkau dan beraku atau saya awak, sampai bila-bila pun kami seperti orang asing. Lagipun bonda jarang datang pejabat, dia tak akan tahu. Dan kami juga tidak selalu berada di khalayak ramai. Kalau ada orang, kami berbisik-bisik bila bercakap,” ulas Darwisy tentang tujuan dia berbuat demikian.

Danish menepuk bahu adiknya dengan lembut. Apa pun keputusan dan tindakan Darwisy, dia tahu Darwisy sudah menimbangkan perkara itu dengan matang.

“Abang sentiasa berada di belakang Darwisy sekiranya Darwisy perlukan bantuan,” tutur Danish ikhlas. Darwisy satu-satunya saudara yang dia ada. Jika dia mengambil sikap lepas tangan adalah tidak wajar. Apatah lagi dia selaku abang sulung.

“Terima kasih abang.” Lantas Darwisy memeluk erat saudara kembarnya itu.

Abangnya banyak memberi sokongan moral semasa dia ditimpa kemalangan dan kehilangan Damia. Hinggakan abangnya sanggup menangguhkan majlis perkahwinannya sewaktu dia kemalangan dulu. Mujur dia berkeras. Jika tidak... entah bila baru abangnya itu akan berkahwin. Darwisy tahu... Nadira bukanlah pilihan hati Danish. Demi kasih sayang terhadap bondanya, Danish hanya menurut dan sedikit pun tidak membangkang. Syukurlah Nadira bijak memainkan peranan dan baik. Andai sebaliknya tentu berantakan rumah tangga abangnya itu.